AKTIVITI 2 GAMBAR FOTO SUASANA SAMBUTAN

  AKTIVITI 2: GAMBAR FOTO SUASANA SAMBUTAN DAN RUMUSAN (T1A2) RUMUSAN

  Dalam perkahwinan kaum Sikh, jelaslah pelbagai budaya dan adat resam yang dapat kita lihat walaupun kaum Sikh ini merupakan kaum yang terkecil di negara kita. Berdasarkan lawatan ke perkahwinan kaum Sikh ini, pelbagai aspek budaya yang menonjol dapat diperhatikan. Antaranya adalah dari segi pakaian, makanan, tarian, upacara adat resam sebelum, semasa dan selepas perkahwinan itu berlangsung.

  Perbezaan dari segi kepercayaan dan adat resam kaum Sikh inilah menjadikan upacara perkahwinan kaum ini menarik dan unik dari segi aspek budaya dan agama. Apa yang dapat diperhatikan adalah semasa upacara perkahwinan Kaum Sikh, kebanyakan acara atau aktiviti dalam perkahwinan ini berlangsung di kuil. Dalam gambar-gambar yang diambil dapat diperhatikan bahawa pemimpin agama Sikh atau Guru Agama Sikh ini memainkan peranan penting semasa upacara perkahwinan berlangsung. Peranan guru agama Sikh ini adalah hampir sama seperti peranan Tok Kadi dalam upacara perkahwinan kaum Melayu.

  Dalam lawatan perkahwinan Kaum Sikh ini, terdapat perbezaan yang dapat dilihat semasa ia berlangsung. Berdasarkan gambar foto yang diambil, perkahwinan campur Kaum Sikh dengan Kaum Dusun dapat dilihat berlangsung, namun adat resam Kaum Sikh masih diamalkan kerana pihak pengantin lelaki adalah daripada Kaum Sikh. Biarpun perkahwinan campur ini berlangsung, namun keunikan dari segi adat resam kedua-dua kaum ini dapat dilihat dari segi pakaian, makanan, minuman dan jamuan makan malam perkahwinan itu.

  Gambar foto yang diambil bermula dari sebelum upacara perkahwinan itu berlangsung sehingga selepas upacara perkahwinan itu selesai berlangsung. Pada awal pagi, pengantin lelaki dan pengantin perempuan akan bersiap untuk upacara perkahwinan yang akan berlangsung di kuil itu. Semasa persiapan untuk ke kuil tersebut, keunikan dan keindahan dari segi pakaian pengantin lelaki dapat dilihat dan pelbagai aksesori tambahan ditambahkan ke atas pakaian pengantin lelaki tersebut. Semasa upacara perkahwinan di kuil berlangsung, kebanyakan acara yang berlangsung adalah upacara doa yang dipimpin oleh guru Agama Sikh. Apabila selesai upacara di kuil, kedua-dua pengantin akan pulang ke rumah pengantin lelaki untuk berehat. Jamuan makan malam kedua-dua pengantin akan berlangsung di sebuah restoran bersama-sama keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan daripada kedua-dua pihak datang untuk memeriahkan suasana majlis ini.