Kosa kata Sistem Bahasa

10

5.8 Keusahawan

Elemen keusahawanan merentas kurikulum merupakan satu pendekatan membudayakan keusahawanan. Proses ini melibatkan pembentukan sikap keusahawan serta amalan nilai moral dan etika dalam keusahawanan. Penerapan elemen keusahawanan bertujuan membentuk ciri-ciri dan amalan keusahawanan sehingga menjadi satu budaya dalam kalangan murid.

5.9 Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi TMK diaplikasikan dan diintegrasikan supaya murid dapat belajar mengenai perkakasan dan perisian. Selain itu, guru dan murid menggunakan TMK sebagai alat untuk mengajar dan belajar. Murid juga belajar melalui TMK untuk mengakses maklumat dan ilmu pengetahuan menggunakan media TMK seperti internet dan lain-lain untuk meluaskan penerokaan ilmu pengetahuan dalam urusan kehidupan.

6.0 STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

6.1 Penekanan 5P

Dalam mencapai hasrat dan matlamat KSSR, strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia perlu menekankan prinsip 5P iaitu penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pemulihan dan pengayaan. Hal ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Strategi pengajaran dan pembelajaran tersebut adalah seperti yang berikut: Penggabungjalinan Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses ini, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak. Cara ini juga dapat mengelakkan kebosanan dalam proses pembelajaran. Kemahiran dapat digabungjalinkan, sama ada kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis yang terdapat dalam standard kandungan. Penyerapan Dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia, unsur ilmu, nilai murni dan kemahiran bernilai tambah boleh diserapkan. Penyerapan ini mengandungi pelbagai ilmu dan disiplin daripada mata-mata pelajaran lain. Penilaian Penilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan suatu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran dan pembelajaran. Penilaian perlulah dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses penilaian berterusan segala kelemahan dapat dikenal pasti dan jenis tindakan susulan dapat diambil terhadap seseorang murid sama ada berbentuk pemulihan atau pengayaan.