Contoh Penulisan Kerja Kursus Sejarah ST

Contoh Penulisan Kerja Kursus Sejarah STPM Penggal 2
Tajuk: Asal-usul seni bermukun dan persembahannya dalam konteks masyarakat Melanau di
Daerah Matu Daro Sarawak.
Memandangkan Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, menyebabkan wujudnya pelbagai
persembahan tradisional. Lazimnya setiap masyarakat mempunyai kepelbagaian persembahan
tradisional yang unik. Pelbagai kesenian kaum ini dipengaruhi oleh masyarakat luar. Secara
umumnya, kesenian dan hiburan tradisional ini dibawa dari luar tetapi telah mengalami beberapa
proses pengubahsuaian dan unsur-unsur budaya tempatan agar mudah diterima oleh masyarakat
di sini.[1]
Secara umumnya, latihan ilmiah ini adalah mengenai kajian tentang kesenian dan
kebudayaan masyarakat tempatan.Secara umumnya kesenian merupakan aspek-aspek yang
dipamerkan atau ditonton di khalayak ramai. Ini meliputi tarian, muzik nyanyian dan teater.
Kebudayaan pula merupakan amalan dan upacara dalam kehidupan harian. Keadaan ini meliputi
pakaian, adat, serta pelbagai perayaan kaum di Malaysia.[2] Penulis memilihtajuk seni
bermukun atau bergendang dalam konteks masyarakat Melanau di Daerah Matu Daro, Sarawak.
Seni bermukun atau bergendang ini amat popular dalam etnik Melanau dan Melayu di negeri ini.
Persembahan bermukun Melanau tiada bezanya dangan cara persembahan masyarakat Melayu
Sarawak. Bergendang dan bermukun merupakan satu aktiviti yang masih diamalkan oleh
sesetengah masyarakat Melanau dan Melayu, khususnya di kawasan kampung-kampung.
Bermukun merupakan persembahan tradisional Sarawak yang membabitkan persembahan tarian
dan pantun berlagu yang diiringi oleh gesekan biola dan gendang. Seni ini merupakan satu

khazanah yang diwarisi sejak zaman-berzaman.[3]
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji dengan lebih mendalam tentang sejarah asal usul
seni bermukun ini dalam konteks masyarakat Melanau. Sejarah asal sesebuah kebudayaan seni
amat penting kerana melalui sejarah masyarakat dapat lebih mengenali seni tersebut dan
membolehkan masyarakat untuk mendalami kesenian tersebut. Selain itu, penulis juga
akanmengupas berkenaan elemen-elemen penting dalam persembahan seni bermukun, serta alat
muzik yang digunakan dalam persembahan tersebut. Elemen utama dalam persembahan
bermukun adalah satu perkara yang harus dititikberatkan kerana ianya merupakan satu pelengkap

kepada persembahan tersebut. Persembahan seni bermukun akan menjadi tidak menarik dan
tidak sempurna sekiranya salah satu daripada elemen tersebut tiada. Pengkaji juga ingin
mengenalpasti peranan seni ini kepada masyarakat agar timbul kesedaran dalam diri pengkaji
dan masyarakat sekitar akan betapa seni bermukun ini berperanan penting dalam pelbagai aspek
kehidupan seperti dari aspek sosial masyarakat.
Permasalahan kajian adalah mengenai kemalapan persembahan bermukun dalam
masyarakat Melanau pada hari ini. Kajian ini bersesuaian dengan kemalapan beberapa kesenian
Sarawak berikutan daripada transformasi Negara kearah era kemodenan. Kebanyakan rakyat
negara ini,terutama golongan remaja yang masih mentah mula melupakan kebudayaan asal
rakyat kerana terikut-ikut dengan trend yang wujud pada masa ini.Kemodenan yang wujud
bukan merupakan satu alasan kepada masyarakat hari ini untuk menghapuskan pelbagai kesenian

rakyat, namun sikap rakyat yang mengagung-agungkan budaya luar adalah menimbulkan
permasalahan dalam menerapkan kebudayaan asal kita ke dalam jiwa masyarakat terutama
remaja hari ini. Justeru itu, kajian ini mengupas sejarah bagaimana kewujudan seni bermukun ini
agar remaja pada hari ini mengetahui tujuan sebenar bermukun ini diadakan pada zaman dahulu
dan bagi mendapatkan semula tempat seni ini dalam hati mereka yang kian hanyut dalam arus
globalisasi.Selain itu,sejauhmana kepentingan beberapa elemen utama dalam persembahan seni
ini juga akan turut dikaji oleh pengkaji. Sehubungan itu, sejauhmana masyarakat dapat
mendalami seni kehalusan berpantun yang merupakan satu eleman penting dalam adat
bermukun ini.
Menurut Mohd Fauzi Abdullah (1985) dalam kajiannya “pemikiran cinta bermukun
dalam gendang melayu Sarawak” kebudayaan merujuk langsung kepada “the way of life”atau
cara hidup dan pemikiran masyarakat. Penelitian terhadap elemen pantun atau mukun dalam
seni ini membolehkan kita menyelami pemikiran dan cara hidup masyarakat terdahulu. Persoalan
seperti, apakah hal yang sering masyarakat fikirkan? Bagaimana persepsi masyarakat terhadap
sesuatu hal yang berkaitan dengan kehidupan mereka? Bagaimana masyarakat menyelesaikan
masalah yang mengganggu hidup mereka ? Sesungguhnya puisi tradisional seperti pantun mukun

agak asing dan misteri bagi kehidupan masyarakat hari ini.Oleh itu kajian ini juga mengkaji
sejauhmana peranan seni mukun ini dalam kehidupan masyarakat dahulu dan sekarang.[4]


Seterusnya, kajian ini amat penting kepada seluruh lapisan masyarakat dalam memahami
seni bermukun yang menjadi khazanah nenek moyang etnik Melayu dan Melanau di Sarawak.
Hasil kajian ini diharapkan dapat memberikan satu gambaran umum kepada masyarakat
terutamanya etnik Melanau yang menjadi penggiat utama seni bermukun ini. Malahan dapat
menimbulkan perasaan cinta akan seni kebudayaan sesebuah masyarakat itu sendiri. Masyarakat
dapat mengetahui sejarah asal seni itu wujud dalam etnik mereka sendiri. Pengkaji juga
mengharapkan agar hasil kajian ini boleh menjadi rujukan pengkaji seterusnya. Pengkaji
amatlah berharap agar masyarakat sedar akan peranan seni bermukun ini terhadap pelbagai
aspek kehidupan kita. Justeru itu, kajian ini amat penting bagi menghidupkan semula seni
warisan dan khazanah nenek-moyang masyarakat Melanau iaitu bermukun yang kian tenggelam
dalam arus modenisasi ini. Berdasarkan kajian ini, diharapkan minat masyarakat terhadap
kaeindahan seni dan kebudayaan bermukun ini akan bertambah seterusnya memperkembangkan
seni ini agar dapat dikenali dan menjadi khazanah yang bakal dihargai dan diteruskan oleh
generasi akan datang.
Kajian yang dilaksanakan oleh pengkaji ialah meliputi kerangka masa selama 30 tahun
iaitu antara tahun 1970 hingga tahun 2000. Perbincangan kajian ini akan membincangkan
tentang asal bermulanya kegiatan seni bermukun ini dalam konteks masyarakat Melanau di
Daerah Matu Daro yang di fokuskan di Kampung Penibong. Kampung Penibong merupakan
sebuah kampung yang terdapat dalam pulau Bruit di Daerah Matu Daro. Semua penduduk asal
kampung ini merupakan etnik Melanau asli. Kaum melanaumerupakan salah satu etnik yang

sama seperti bangsa lain di Sarawak. Kebanyakan Sarjana Barat menggambarkan watak dan
keperibadian kaum Melanau sebagai“gentle and peace loving people”. Menurut pendapat Hugh
Low (1968), mengenai kaum Melanau adalah seperti berikut :
“…Next members to the kyans,but of much more peaceful habits and
practices,are the orang milanowes, who inhabit the mouth of the great Rejang

river, and the small rivers to the eastward of print sirik. Their principal town is
egan, on the rivers of that name, which is,however.but a mouthof the
Rejang,being that must to the eastward; hoya,on a small riverstwenty miles of
egan ;and Mocha, on another fourteen miles east of the last mentioned
settlement…”
Berdasarkan penyataan tersebut, memang terbuktilah bahawa masyarakat Melanau ini
merupakan masyarakat yang mendiami kawasan persisiran pantai.
Sorotan kesusasteraan adalah amat penting kepada pengkaji bagi kajian yang dijalankan.
Kajian lepas dapat membantu pengkaji untuk menilai dan mendapatkan maklumat tentang kajian
yang bakal dikaji sekarang dan melihat sejauh manakah kajian lepas berkait langsung dengan
kajian akan datang (Lawrence Dino, 2007). Pelbagai maklumat yang berkaitan dengan kajian
telah diperoleh daripada beberapa kajian lepas dan juga buku-buku yang berkaitan. Antaranya
ialah kajian yang bertajuk Pemikiran Cinta Bermukun dalam Gendang Melayu Sarawak (Mohd
Fauzi et.all,1985). Selain itu Mary Fatimah Subet dan Salbia Hassan dalam pembentangannya

“Bergendang dan Bermukun Dalam Masyarakat Sarawak” pada tahun 2009. Selain itu kajian
juga dibuat oleh Jasiman Ahmad dan Nora Haji Samat dalam bukunya yang bertajuk
“Persembahan tradisional” pada tahun 2001.
Kaedah kajian yang digunakan oleh pengkaji untuk mengumpul data ialah kaedah
kajian lapangan. Pengkaji sendiri meluangkan masa menyaksikan persembahan adat bermukun
ini Selain itu, kaedah temu bual juga digunakan oleh pengkaji. Kaedah temu ramah dan
perbualan merupakan satu kaedah yang lazim digunakan untuk mendapatkan maklumat tentang
latar belakang atau pandangan daripada seseorang. Pengkaji telah menemubual Puan Raunah
binti Mat yang merupakan salah seorang syeh[5] gendang di Kampung Penibong bagi
medapatkan keterangan lisan yang berkaitan dengan kajian yang dilaksanakan. Selain itu,
pengkaji juga menggunakan kaedah penyelidikan buku-buku di perpustakaan dan pelbagai bahan
bacaan ilmiah lain bagi memperoleh data skunder. Kajian-kajian lepas yang telah dilaksanakan
juga merupakan satu panduan pengkaji.Bagi mengukuhkan lagi pemahaman pengkaji, rujukan
internet juga digunakan.
Dalam suatu penyelidikan sejarah, asal-usul sesuatu perkara yang hendak dikaji adalah
amat penting agar pengkaji dapat mendalami sejarah terlebih dahulu dan menimbulkan minat

pengkaji untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang sesuatu isu. Menurut Kamus Dewan
edisi ke-4 perkataan asal-usul boleh didefinisikan sebagai salasilah, asal keturunan seseorang.
Asal-usul juga merupakan kaedah yang mula-mula dan punca kewujudan sesuatu perkara. Oleh

itu, pengertian tersebut bertepatan dengan objektif pengkaji yang ingin mendalami tentang
punca kewujudan dan kaedah mula-mula kesenian bermukun dalam konteks masyarakat
Melanau di Daerah Matu Daro.
Menurut Tuan Haji Mohd Yassin (2000) secara umumnya seni tari melayu amat rapat
dengan hubungan pengaruh luar seperti kesenian Arab. Bagaimanapun,dasar atau asas sesuatu
seni itu bersifat seni melayu dan segala yang diambil dari luar itu telah disesuaikan dengan
kesesuaian melayu yang sedia wujud. Budaya bermukun dikatakan bermula sebelum era Brooke
ataupun lebih awal. Penduduk sekitar juga telah menyatakan bahawa, kesenian bermukun ini
mula wujud di Daerah ini ketika kemasukan Islam yang mula bertapak di kawasan tersebut
seperti di Kampung Sekaan Matu. Pengaruh pemerintahan kesultanan Brunei di Sarawak sekitar
tahun 1600-an, telah banyak mencorakkan hidup masyarakat Melanau yang tinggal di sekitar
daerah ini. Buyong Adil (1989) menyatakan peranan kerajaan Kesultanan Brunei menjadi
penting dalam penyebaran Islam dan kebudayaan Melayu. Hal ini tertumpu kepada beberapa
tempat barat daya Borneo terutama sekali di Kuching, Kelaka, Sadong, Semanggang, Sibu,
Lundu, Saribas, Muara Sungai Rejang hingga sepanjang kawasan Tanjung Datu dan Tanjung
Sirik.
Namun begitu, Puan Raunah Binti Mat yang merupakan penduduk tetap di Daerah Matu
Daro atau spesifik di Kampung Penibong menyatakan bahawa, tiada terdapat kesasihan yang
sebenar tentang bermulanya seni bermukun dalam masyarakat Melanau ini. Namun demikian,
budaya bermukun ini merupakan satu khazanah yang diperturunkan daripada nenek moyang

mereka sejak dahulu kala. Ketiadaan hiburan pada zaman dahulu mendorong masyarakat untuk
mencipta sesuatu persembahan bagi mengisi masa lapangdan dapat memberikan hiburan kepada
masyarakat.[6] Bostami (1992) juga berpendapat bahawa dalam proses penciptaan seni
traadisional, terjadi hubungan antara subjek pencipta dan kondisi lingkungan. Pencipta seni
tradisional biasanya terpengaruh oleh keadaan sosial budaya masyarakat di suatu

tempat.Keterangan tersebut adalah sejajar dengan penjelasan Puan Raunah iaitu, asal usul
persembahan bermukun di kawasan Kampung Penibong apabila orang terdahulu memulakan
aktiviti bergendang dengan menggunakan papan terbuang. Idea tersebut muncul apabila mereka
mengetuk papan dan ianya menghasilkan bunyi dan irama yang berbeza dan dapat menimbulkan
minat penduduk untuk menari mengikut rentak yang dipukul. Oleh itu, pelbagai idea untuk
mengubah alat muzik tersebut dan akhirnya mereka terfikir untuk menggunakan gendang yang
diperbuat daripada kulit binatang seperti lembu. Akhirnya persembahan tersebut terus
diperkembangkan dalam kalangan masyarakat Melanau di Kampung tersebut.[7]
Tarian dalam persembahan tersebut juga diringi dengan pelbagai kesusteraan melayu
terutamanya pantun. Pantun yang dipersembahkan dalam seni ini berlandaskan pemikiran cinta,
walaupun digambarkan agak sederhana namun ianya ringan dan menghiburkan, namun isinya
mampu menggambarkan peradaban dan etika masyarakatnya,Mohd Fauzi bin Abdullah (1985).
Penjelasan tersebut di perkuatkan lagi oleh Mary (2009) yang menyatakan bahawa menurut kata
orang tua-tua, pada zaman dahulu, acara bermukun atau bergendang adalah masa untuk mencari

jodoh, berkenal-kenalan sambil berhibur. Keadaan tersebut tidak menghairankan kerana pada
masa dahulu anak- anak gadis jarang keluar rumah dengan bebas.[8] Tambahan lagi,pada zaman
dahulu, majlis bergendang dan bermukun mengikut aturan umum seperti “bercampak” iaitu
mencampak sesuatu seperti bunga, duit syiling atau sapu tangan ke dalam tabir yang
memisahkan tukang gendang dan para penari.[9]
Selain itu persembahan bermukun atau bergendang ini juga dipanggil bernopeng oleh
masyarakat dahulu kala kerana para penari menggunakan topeng ketika persembahan tersebut.
[10] Gendang melayu ini wujud untuk mendidik budaya berbahasa juga mendidik akhlak
menerusi pantun dan tandak (tarian) mudah. Namun, budaya ini pernah disalahgunakan oleh
segelintir individu sebagai medium 'menjerat' dan maksiat.[11] Isu tersebut menjadi sindiran
menerusi novel Melati Sarawak oleh Mohamad Rakawi Yusuf terbitan tahun 1932 mengenai
kelonggaran akhlak masyarakat Melayu Sarawak dalam bermukun. Pandangan serong terhadap
seni gendang tersebut ternyata memberi konflik terhadap golongan bangsawan, perabangan,
pengiran, syed dan tunku yang tergolong dalam istilah 'Melayu Sarawak'. Disebabkan perkara

tersebut, mereka yang menggemari budaya ini memenuhi kehendak mereka dengan memakai
topeng bagi menyembunyikan wajah sambil berpantun dan bertandak. Sejak itu, lahirlah istilah
'menopeng' dalam budaya bermukun.
Seterusnya, pengkaji mendalami cara persembahan seni tersebut serta elemen-elemen
utama dalam persembahan seni bermukun ini dalam konteks masyarakat Melanau. Menurut

pengalaman pengkaji sendiri yang telah menghadiri majlis bermukun ini, aktiviti bermukun ini
dikendalikan dalam kalangan wanita seramai dua atau lebih yang duduk dibahagian balik tabir
untuk memukul gendang sambil berpantun. Mereka ini dipanggil atau dikenali sebagai ‘tukang
gendang’ atau juga ‘syeh gendang’. Para lelaki pulaakan duduk berselerak atau sejajar mengikut
keselesaan sendiri diluar tabir. Namun begitu mereka meninggalkan ruang dibahagian
berdekatan tabir dan tukang gendang sebagai gelanggang tarian. Mereka menari secara bergilirgilir dengan pasangan masing-masing sambil menunjukkan kehebatan berbalas pantun bersama
mak gendang. Majlis bergendang ini biasanya berjalan sepanjang malam hinggalah kesubuh
mengikut kehendak dan kemampuan tukang gendang dan penarinya dengan keizinan tuan rumah.
Persembahan bermukun ini biasanya diadakan di anjung rumah dan dalam keadaan terbuka.
Selain itu, aktiviti bermukun ini biasanya diadakan pada malam hari perkahwinan sebagai tanda
kesyukuran dan aktivi bersuka ria.[12] Penyataan tersebut juga dijelaskan oleh Abdullah Haji
Saidol yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Semop dalam ucapannya dalam program
TitikSentuhan dan Mukun Ria anjuran RTM Sibu (2012) berkata :
“bermukun merupakan satu aktiviti yan dikhazanahkan dan merupakan
aktiviti bersuka ria yang diadakan dalam keadaan terbuka dan terang
dikhalayak ramai terutama pada majlis perkhwinan dan pelbagai majlis
keramaian.”
Seterusnya adalah berkenaan dengan gendang yang merupakan elemen utama dalam
persembahan seni bermukun dan merupakan satu-satunya alat muzik yang digunakan oleh
masyarakat Melanau bagi menyempurnakan seni khazanah mereka. Gendang mempunyai dua

muka yang tidak sama besar. Muka yang kecil dipasang belulang[13] kambing manakala, muka
yang besar pula dipasang belulang lembu. Belulang-belulang tersebut disirat dengan tali rotan
dan dililit dengan rotan yang sudah dibelah dua. Belulang ditegangkan dengan memasangkan

gelong-gelong yang diperbuat daripada kulit.[14] Badan gendang melayu diperbuat daripada
kayu nagka. Badan ini dipanggil temiang. Gendang dimainkan dengan cara meribanya dengan
kedudukan melintang. Muka gendang akan dipukul dengan telapak tangan.[15] Dalam
persembahan bermukun, gendang tersebut dipukul oleh dua orang wanita dengan irama yang
asas agar dapat disamakan dengan gerak tari para penari atau dipanggil sebagai penandak yang
terdiri daripada golongan lelaki. Pukulan asas tersebut adalah pukulan tepi dan tengah. Ditengah
pikulannya berbunyi “pak” dan pada bahagian tepi gendang berbunyi “pung”. Pukulan tersebut
dikenali sebagai pukulan induk.[16] Kedua-dua seh gendang boleh menggunakan pukulan induk
dalam persembahan bergendang. Namun, pukulan gendang harus dikendalikan dengan berhatihati agar tidak merosakkan atau menyumbangkan pukulan keseluruhannya.
Elemen yang seterusnya adalah pemukul gendang dan penari ataupun penandak. Pemukul
gendang adalah paling penting dan memainkan dua tugas utama iaitu memukul gendang dan
berbalas pantun dengan penari.Pemukul gendang adalah terdiri daripada dua orang wanita atau
lebih. Pemukul gendang mestilah mereka yang bergiat aktif dan mahir dalam pukulan gendang
melayu.Tambahan lagi,mereka haruslah mempunyai kemahiran berpantun.[17]Penandak atau
juga penari pula adalah terdiri daripada lelaki. Mereka akan berbalas pantun dengan tukang
gendang sambil menari.Para penandak menari berdasarkan irama pukulan gendang.

Seterusnya adalah tandak.Tandak ialah satu bentuk tarian yang ditari oleh golongan
lelaki. Tuan Haji Mohammad Yasin (2002) mendefinisikan tarian sebagai memandang dan
meneliti gerak-geri, lenggang liuk daun kayu dan sebagainya, menurut kudrat dan bakat yang ada
padanya, manusia mencipta tarian sebagai hasrat jiwanya. Terdapat juga pelbagai bunga tandak
dicipta oleh masyarakat itu sendiri. Di Kampung Penibong, para penandak kebanyakannya
menari meggunakan bunga sorong tarik iaitu hayunan tangan yang bertentangan dengan kaki.
Seperti hayunan kaki dan tangan dalam perbarisan. Ciptaan tarian tersebut adalah sinonim
dengan pelbagai aktiviti harian masyarakat setempat. Kepelbagaian aktiviti tersebut
diterjemahkan dalam bentuk aktiviti kebudayaan bergendang. Masyarakat lama akrab dengan
alam semulajadi seperti alam tumbuhan, haiwan dan cakerawala. Ini adalah disebabkan
masyarakat pada masa tersebut sering berinteraksi dengan alam yang berada di sekeliling mereka

sama ada di laut, di hutan, di bendang, di ladang dan di gunung. Harun Mat Piah (1989)
menjelaskan bahawa penggunaan lambang-lambang dan simbol-simbol daripada alam perlu
diketahui untuk memahami sesuatu kebudayaan pada zaman dahulu. Tambahan lagi, ahli sejarah
tarian dan muzik Jerman, C.Sachs mengatakan bahawa,tarian merupakan:
“…gerakan berirama dan pengucapan jiwa manusia melalui gerakgeri berirama yang indah. Gerak-geri yang dimaksudkan itu adalah
berbentuk ciptaan yang indah boleh memberi kepuasan kepada orang
lain…”
Seterusnya adalah pantun yang merupakan sumber penarikan utama seni tersebut. Pantun
dalam adat bergendang juga dipanggil mukun. Pemukul gendang dan penari akan berbalas
pantun secara bergilir. Aktiviti berbalas pantun ini merupakan satu aktiviti bagi mengasah minda
masyarakat.Ada kajian yang dilakukan oleh ahli akademik mendapati bergendang dan bermukun
adalah bertujuan untuk mempamerkan kebijaksanaan, kemahiran, kecekapan tingkah laku dan
menguji minda.[18] Pantun yang terdapat dalam acara ini adalah berdasarkan pemikiran
masyarakat tentang aktiviti harian mereka. Za’ba di dalam bukunya bertajuk Ilmu Mengarang
Melayu (1965), mengatakan bahawa penciptaan pantun merupakan puisi tertua dan milik asal
kepunyaan masyarakat Melayu. Oleh itu, umum telah menerima bahawa pantun adalah ciptaan
asli orang Melayu bagi mentafsirkan kelakuan harian mereka.Belles Lettres (2000) juga
berpendapat :
“…if one of the assets of poetry at its best is the magic and beauty
accomplished by language, the Malay pantun can be placed
among the highest achievements of mankind in this form of art…”

Jelaslah bahawa pantun dalam seni bermukun adalah amat penting kepada kehidupan masyarakat
Melanau pada zaman dahulu.
Seterusnya adalah berikutan masalah seni bermukun ini yang kian malap dalam
kehidupan masyarakat Melanau pada hari ini. Menurut Mary berdasarkan kaji selidik yang
dilakukan bersama seorang lagi pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Unimas, Salbia Hassan, 70
peratus daripada responden mengatakan mereka mengetahui wujudnya aktiviti itu tetapi tidak
pernah menyertainya.[19] Berdasarkan penyataan tersebut,ternyata seni ini semakin luput ditelan
kemodenan. Oleh itu, adalah amat wajar bagi pengkaji mendalami kepentingan ataupun peranan

seni bermukun dalam kehidupan masyarakat Melanau pada zaman dahulu dan juga
sekarang.Menurut Richie (2008) terdapat tiga peranan seni hiburan tradisional bergendang dan
bermukun iaitu sebagai medium bagi merapatkan hubungan silaturrahim, medium komunikasi
antara manusia, dan juga sebagai medium untuk mendidik generasi muda (menerusi pantun).

Pertama sekali seni bermukun adalah amat penting sebagai medium bagi merapatkan
hubungan silaturrahim antara masyarakat. Hal ini demikian kerana, ketika persembahan seni
dilangsungkan, seluruh masyarakat sekitar akan berkumpul dan bersuka ria. Sopi Smile (2008)
berkata:
“…majlis bermukun bukan hanya dihadiri oleh mereka yang datang dari
satu kampung, namun ia disertai oleh para pemuda dari kampungkampung yang berdekatan…”

Melalui aktiviti bermukun ini,masyarakat sekitar dapat berkenalan sesama sendiri dan dapat
merapatkan jurang yang wujud antara masyarakat hari ini yang disebabkan perubahan gaya
hidup. Tambahan lagi, persembahan seni bermukun yang sering diadakan pada malam majlis
perkahwinan ini dapat dijadikan oleh masyarakat bagi mengumpulkan ahli keluarga masingmasing dan meraikan satu keluarga baru yang bakal menempuhi alam rumahtangga.
Seterusnya adalah amat wajar dikatakan bahawa seni bermukun ini adalah sabagai
medium komunikasi antara masyarakat pada masa dahulu terutamanya.Mohd Taib Osman
(1996) menganggap pantun, selain daripada alat komunikasi dalam konteks sosialnya, adalah
artifak budaya.Elemen utama dalam seni tersebut iaitu pantun merupakan ucapan spontan oleh
masyarakat dalam seni bermukun. Hal ini juga sejajar dengan ucapan Abdullah Haji Saidol
(2012) iaitu :
“…unsur bahasa yang istimewa ini memberi keindahan dan kehalusan
tersendiri kepada sastera melayu kerana sesuatu penyataan dan fikiran
hanya akan dikemukakan dalambentuk yang tidak langsung, tidak
menyinggung perasaan tetapi tepat pada makna dan tujuannya…”

Bermukun sebagai satu medium komunikasi juga dinyatakan oleh Mary Subet dalam
kajian menyatakan bahawa pada zaman dahulu, persembahan bermukun adalah masa yang

dinantikan oleh anak-anak muda untuk mencari jodoh dan berkenal-kenalan.[20] Ketiadaan
teknologi komunikasi pada zaman dahulu juga menyebabkan masyarakat menggunakan
persembahan bermukun iaitu ketika kebanyakan masyarakat sekitar berkumpul. Pada majlis
tersebut, masyarakat juga boleh berbincang tentang soal duniawi mahupun akhirat, kerana hanya
pada masa tersebut sahaja mereka boleh berkumpul beramai-ramai sambil menenangkan fikiran.
Selain itu, menurutMohamad Saleeh Rahamad, Universiti Malaya,bagi tujuan berkomunikasi
sesama manusia pantun tergolong dalam fungsi untuk berkasih sayang, adat resam, agama dan
kepercayaan, budi, jenaka dan permainan, teka teki, kepahlawanan, nasihat dan pendidikan,
kritikan, kembara, dan sebagainya. Jelaslah, seni bermukun merupakan medium komunikasi
masyarakat pada masa dahulu dan sekarang.
Selain itu, seni bermukun juga merupakan satu medium bagi mendidik generasi muda
melalui pantun. Pantun-pantun yang berkenaan dengan hubungan kasih-sayang, berbudi bahasa
dan norma kehidupan masyarakat. Masyarakat Melayu terutamanya golongan tua kaya dengan
pelbagai nasihat. Sebagai golongan yang ‘makan garam’ terlebih dahulu pastinya mereka
mempunyai pelbagai pengalaman hidup dan amat peka terhadap perubahan sesuatu perkara.
Justeru,jika mereka mendapati ada sesuatu perkara yang tidak kena atau bertujuan untuk
memberikan peringatan kepada golongan muda atau kanak-kanak, mereka akan menggunakan
pantun sebagai alat untuk menyampaikan nasihat dan didikan. Pantun lebih lanjut dikatakan
harus berperanan untuk menyampaikan pesan-pesan moral yang penuh berisi nilai-nilai luhur
agama, budaya, dan norma-norma sosial masyarakat (Hodijah widyaiswara, 2009).
Sebagai rumusan, aktiviti seni bermukun dalam kalangan masyarakat Melanau ini
sememangnya sudah menjadi khazanah nenek moyang masyarakat Melanau sejak zaman dahulu
kala. Menurut beberapa pendapat umum, dapat dirumuskan bahawa tiada asal usul sebenar
kewujudan seni ini, mereka hanya menyatakan bahawa seni ini adalah turun temurun daripada
nenek moyang mereka. Selain itu, dalam mengupas beberapa aspek dalam elemen penting
dalam persembahan bergendang, terdapat elemen seperti gendang iaitu alat muzik utama,
pemukul gendang, penari iaitu lebih dikenal sebagai penandak, tarian atau tandak,dan juga
pantun. Seterusnya, seni ini juga berperanan sebagai, medium bagi merapatkan hubungan

silaturrahim, medium komunikasi antara manusia, dan juga sebagai medium untuk mendidik
generasi muda (menerusi pantun). Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa seni
bermukun adalah amat penting dalam beberapa aspek kehidupan masyarakat pada zaman dahulu
dan sekarang.

[1] Hamidah Husein, kesenian dan hiburan tradisional,1995, hal 1.
[2]Ibid, hal 2.
[3]Sopi Samile, “bermukun meriah keramaian,” utusan Malaysia(Kuching Sarawak) 24 september

2008.hal.2
[4] Mohd Fauzi Abdullah et.al. “ pemikiran cinta bermukun dalam gendang melayu Sarawak”
(Institusi Bahasa Melayu, Kuala Lumpur, 1985, hal.2.
[5] Syeh gendang ialah panggilan bagi pemukul gendang dalam masyarakat Melanau.
[6]Op.cit., Hamidah Husein, hal.2.
[7]Raunah bin Mat, (2013) temubual lapangan, Kampung Penibong Matu Daro.
[8] Mary Fatimah Subet dan Salbia Hassan “bergendang dan bermukun dalam masyarakat melayu
Sarawak”(kertas kerja dibentangkan dalam 55 TH seminar in the cls research seminar series,
UNIMAS, 4th May 2009) diterbitkan dalam artikel my Sarawak “ bermukun semakin malap”, hal. 3.
[9]Ibid.
[10]Op.cit., Sopi Samile, hal.2.
[11]Mohd RakawiYussuf, Melati Sarawak, 1932, hal.20.
[12]Temuramah dengan Raunah binti Mat.
[13] “belulang” ialah kulit binatang yang telah dikeringkan.
[14]Op.cit., Hamidah Husein, hal.51.
[15]Ibid, hal.52.
[16] Temuramah dengan Raunah Binti Mat.
[17]Temuramah dengan Raunah Binti Mat.
[18]Op.ci., Mary Fatimah Subet dan Salbia Hassan, hal.2.
[19]Ibid.
[20]Ibid, hal. 3

(Jumlah Perkataan: 3394 )
Bibliografi :

Sumber Primer :
Temuramah lisan:
Raunah Binti Mat, temu bual lapangan di kampung Penibong, Daro, pada 8 Februari 2013, pukul
4.30 petang.

Sumber Skunder:

Hamidah Husein, Kesenian dan Hiburan Tradisional, Selangor, Penerbit Prisma, Sdn. Bhd.
1995.
Jermai Bedihi “Pesta Bermukun 2013” Mingguan Sarawak (Sarawak), 31 Mac 2013.
Mary Fatimah Subet dan Salbia Hassan, Gendang dan Bermukun Dalam masyarakat melayu
Sarawak, kertas kerja dibentangkan dalam 55th Seminar in the CLS research seminar series,
2009.
Mohd. Fauzi et.al, Pemikiran Cinta Bermukun Dalam Gendang melayu Sarawak, Kuala Lumpur,
Institusi Bahasa Melayu Malaysia, 1985.
Mohd Rakawi Yussuf, Melati Sarawak, Sarawak, The Sarawak Printing Company, 1932.
Sopi Samaile, Bermukun Meriah Keramaian, Kuching Sarawak, Utusan Malaysia, 2008.