Mal Mutaqawwim Menurut Perundangan Islam

INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMIC ECONOMY AND BUSINESS

29 June – 1 July 2012
A’Famosa Resort Hotel, Melaka

MAL MUTAQAWWIM MENURUT PERUNDANGAN ISLAM DAN

IMPLIKASINYA DI DALAM KEHIDUPAN MANUSIA
Mohd Asyadi Redzuan & Mohd Zaki Razaly
Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi MARA, Johor
mohda131@johor.uitm.edu.my & moham694@johor.uitm.edu.my

ABSTRAK
Allah SWT menjadikan setiap sesuatu di atas muka bumi ini untuk dimanfaatkan oleh manusia dengan
sebaik-baiknya. Kajian ini akan membincangkan pandangan para fuqaha’ daripada empat mazhab yang
muktabar iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali berkaitan konsep harta bernilai (Mal Mutaqawwim)
menerusi perbahasan mereka di dalam kitab-kitab warisan mereka yang terulung. Kajian ini juga akan
menggariskan kepentingan konsep ini terhadap kehidupan manusia terutamanya di dalam aktiviti
muamalat. Konsep harta bernilai ini menjadi salah satu daripada dasar utama bagi menentukan hukum
terhadap transaksi yang melibatkan harta sama ada di dalam urusan jual beli, zakat, kes jenayah mahu
pun pemberian mahar di dalam perkahwinan. Apabila harta yang didagangkan tidak memenuhi syarat

mutaqawwam, maka implikasinya membawa kepada pembatalan sesuatu kontrak. Justeru, amat penting
untuk menentukan parameter bagi harta yang boleh dikategorikan sebagai mal mutaqawwim, agar segala
bentuk urusan yang melibatkan harta mematuhi piawaian yang ditetapkan syarak.

Pendahuluan
Harta merupakan anugerah serta amanah daripada Allah SWT kepada manusia untuk diuruskan
dan ditadbir dengan baik demi mencapai kesejahteraan hidup duniawi dan ukhrawi. Allah SWT
telah menjadikan segala ciptaanNya di atas muka bumi ini untuk keperluan dan kesejahteraan
hamba-hambaNya. Firman Allah SWT dalam al-Quran:
Maksudnya: Dialah yang telah menjadikan segala apa yang ada di bumi ini
untuk kamu.
(al-Baqarah: 29)

Allah SWT telah memberi keizinan kepada manusia untuk menggunakan segala hasil
bumi dan ciptaanNya demi kesejahteraan hidup mereka. Untuk mencapai matlamat tersebut,
syariat Islam telah mengiktiraf pemilikan terhadap harta oleh manusia. Syariat Islam telah
mengharuskan jual beli serta pelbagai jenis kontrak muamalat yang lain bukan hanya untuk
memenuhi keperluan manusia, malah mengiktiraf kehendak manusia untuk mengumpul harta
kekayaan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Syariat Islam
juga telah menetapkan hanya harta-harta tertentu sahaja yang boleh dimiliki dan digunakan dalam

kehidupan seharian. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah kepada engkau (kebahagiaan)
akhirat, dan janganlah engkau melupakan kebahagiaan di dunia, dan berbuat
baik (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada engkau,

430

INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMIC ECONOMY AND BUSINESS

29 June – 1 July 2012
A’Famosa Resort Hotel, Melaka

dan janganlah engkau melakukan kerosakan di atas muka bumi ini,
sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan”.
(al-Qassas: 77)
Salah satu ciri-ciri harta yang dibincangkan oleh para fuqaha‟ ialah sifat taqawwum
(‫ )التقوم‬iaitu kewujudan sifat nilai pada sesuatu harta. Walaubagaimanapun dalam hal ini mereka
mempunyai pandangan yang berbeza. Justeru penulisan ini bertujuan untuk membincangkan
konsep harta mutaqawwim (‫ )مال متقوم‬iaitu harta yang mempunyai nilai dalam konteks
perundangan Islam. Perbahasan dalam penulisan ini dimulakan dengan mengemukakan definisi

harta oleh para fuqaha, diikuti dengan konsep taqawwum, kemudian perbincangan dilanjutkan
kepada kepentingan serta implikasinya terhadap kehidupan manusia dari aspek perundangan
Islam khususnya yang berkaitan dengan harta.

Definisi Harta
a) Dari Sudut Bahasa
Perkataan al-mal ( ‫ ) المال‬berasal daripada tiga huruf bahasa Arab iaitu huruf mim, wau dan lam.
Al-Mal merupakan satu istilah yang diketahui umum yang merujuk kepada pemilikan manusia
terhadap sesuatu (Ibnu Manzur, 1999). Ibn Athir menyatakan mal pada asalnya merujuk kepada
emas dan perak. Kemudian istilah ini digunapakai untuk benda-benda lain yang disimpan atau
dimiliki. Dalam percakapan Arab, perkataan ini banyak digunakan dengan merujuk kepada unta
atau binatang ternakan kerana pada ketika itu unta dan haiwan ternakan merupakan harta
terpenting atau paling terbesar dimiliki oleh masyarakat Arab (Ibnu Manzur, 1999 & asSyarbashi, 1981).
Al-Mal juga dikatakan digunakan pada peringkat awalnya dengan merujuk kepada tanah
atau bumi kerana ia merupakan harta pertama yang dimiliki oleh manusia. Ini kerana manusia
memperoleh serta menikmati rezeki dengan bercucuk tanam, menternak serta mengutip hasilhasil bumi yang lain. Perkataan ini juga turut terpakai kepada hamba (az-Zuhaili, 1985 & asSyarbashi, 1981). Menurut Kamus al-Munjid pula, harta bererti sesuatu yang dimiliki dan dipakai
oleh orang-orang Badwi kepada haiwan ternakan seperti kambing biri-biri dan unta sama ada
jantan ataupun betina (Kamus al-Munjid, 1975).

b) Dari Sudut Istilah

Para fuqaha‟ telah memberikan pelbagai takrifan yang berbeza mengenai mal atau harta. Menurut
Ibn Abidin (1995), harta adalah sesuatu yang menjurus terhadap kecenderungan manusia secara
tabi‟i atau semulajadi serta boleh disimpan dan digunakan pada waktu yang dihajatkan. Imam azZaila‟i yang merupakan pengarang kitab Tabyin al-Haqaiq pula mentakrifkan harta sebagai
sesuatu yang pada kebiasaannya boleh diambil manfaat daripadanya dan boleh dikawal serta
disimpan untuk digunakan pada waktu yang diperlukan (az-Zaila‟i, 1896 & as-Sarkhasi, ).
Imam as-Syatibi (2003) pula telah menjelaskan di dalam kitabnya „al-Muwafaqat‟, mal
merupakan sesuatu yang berlaku pemilikan terhadapnya, dan pemilik memilikinya secara mutlak
apabila diperolehi daripada orang lain yang menjadi haknya. Ibn Arabi di dalam kitabnya „Ahkam

431

INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMIC ECONOMY AND BUSINESS

29 June – 1 July 2012
A’Famosa Resort Hotel, Melaka

al-Quran‟ telah mendefinisikan harta sebagai sesuatu yang dimiliki oleh manusia dan dapat
memberikankan manfaat kepada pemiliknya (Ibnu Arabi, 2003 & al-Qurtubi, 2002).

Fuqaha‟ Mazhab Syafi‟i pula berpendapat bahawa tidak dinamakan sesuatu itu sebagai mal

kecuali ia mempunyai nilai yang boleh dijual dengannya dan diganti apabila berlaku kerosakan
padanya. Termasuk di dalam sesuatu yang dikategorikan sebagai mal itu walaupun sedikit dan
tidak diabaikan oleh manusia seperti fils (duit syiling) dan yang seumpama dengannya (as-Syafi‟i,
2001 & as-Suyuti, 2001).
Manakala harta menurut Ibn Najjar al-Futuhi membawa maksud sesuatu yang harus dimanfaatkan
secara mutlak iaitu pada bila-bila masa atau harus dihimpun dan diperolehi selain daripada waktu
yang diperlukan (al-Buhuti, 2000). Pengarang kitab Iqna‟ pula mentakrifkan mal sebagai sesuatu
yang ada manfaat padanya yang harus selain daripada manfaat hajat dan darurat (as-Syirbini,
1994 & al-Buhuti, 1997). Sebahagian fuqaha‟ Mazhab Maliki berpendapat bahawa sesuatu yang
boleh dikelaskan sebagai mal adalah yang boleh digunakan oleh pemiliknya sahaja dan ia
mestilah diperolehi dengan cara yang betul berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh
syarak (Ahmad Yusuf, 1990).
Justeru, berdasarkan definisi-definisi yang telah dinyatakan, al-mal dapat dikategorikan kepada
dua pandangan utama:
Pandangan Pertama:
Pendapat pertama dipelopori oleh fuqaha‟ mazhab Hanafi. Berdasarkan takrifan yang
dikemukakan oleh Ibn Abidin, fuqaha‟ Hanafi telah meletakkan beberapa kriteria yang perlu ada
pada al-mal iaitu:
a) Boleh disimpan, dikawal atau dijaga untuk suatu tempoh tertentu yang mana ianya boleh
digunakan apabila diperlukan. Sesuatu yang tidak boleh disimpan dan dipelihara seperti

ilmu, kesihatan, kemuliaan, udara, haba matahari dan cahaya bulan tidak boleh disebut
sebagai harta.
b) Sesuatu yang mempunyai manfaat serta boleh dimanfaatkan menurut uruf atau kebiasaan
manusia. Setiap sesuatu yang tidak memberikan manfaat kepada manusia seperti daging
bangkai dan nasi basi tidak boleh dikategorikan sebagai harta. Sesuatu yang boleh
dikuasai tetapi tidak boleh dimanfaatkan seperti sebiji gandum atau setitis air, juga tidak
boleh dinamakan sebagai harta kerana nilainya yang terlalu kecil serta tidak dapat
dimanfaatkan oleh manusia menurut kebiasaannya (Ahmad Yusuf, 1990 & Zaidan,
1986).
Justeru, sekiranya sesuatu itu tidak memenuhi salah satu syarat di atas, maka ia tidak diiktiraf
sebagai harta menurut perspektif Mazhab Hanafi. Kedua-dua kriteria di atas dengan jelasnya
telah membawa kepada satu kesimpulan bahawa sesuatu itu boleh dikira sebagai harta jika ia
mempunyai jisim. Ini kerana hanya sesuatu yang berjisim sahaja boleh disimpan, dikawal dan
dijaga. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa harta menurut fuqaha‟ mazhab Hanafi hanya terhad
dan terbatas kepada harta-harta yang berbentuk fizikal sahaja. Justeru, sesuatu yang tidak berjisim
seperti manfaat tidak boleh dikelaskan di dalam kategori al-mal.

432

INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMIC ECONOMY AND BUSINESS


29 June – 1 July 2012
A’Famosa Resort Hotel, Melaka

Manfaat tidak dianggap sebagai harta menurut pendapat Mazhab Hanafi kerana ia tidak boleh
disimpan, dipelihara serta tidak kekal. Ini disebabkan manfaat tidak mempunyai zat serta tidak
dapat ditanggapi oleh penglihatan kasar manusia sepertimana harta fizikal atau ayn. Ini bertitik
tolak daripada sifat harta yang bertunjangkan kepada kewujudan harta tersebut, sekiranya sesuatu
itu tidak wujud pada zahirnya seperti manfaat, maka ia tidak menepati kriteria untuk dinamakan
sebagai harta (Ala al-Din al-Bukhari, 1997 & az-Zaila‟i, 1896). Selain itu, kewujudan manfaat
adalah disebabkan wujudnya zat. Nilainya juga bersandarkan kepada zat aynnya. Manakala nilai
ayn terletak pada zatnya sendiri berbeza dengan manfaat yang mana nilainya bergantung kepada
zat aynnya (Ala al-Din al-Bukhari, 1997). Berdasarkan hujah-hujah inilah fuqaha‟ mazhab Hanafi
telah membezakan di antara ayn dan manfaat.
Walaupun begitu, manfaat akan bertukar statusnya menjadi harta setelah ia melalui proses aqad
serta mampu untuk diserahkan, misalnya kontrak al-ijarah, atas dasar untuk menolak
kemudharatan sekaligus memenuhi keperluan manusia (Az-Zaila‟i, 1896). Walaubagaimanapun
dalam konteks ini fuqaha‟ mazhab Hanafi berpendapat ketetapannya berdiri di atas asas wujudnya
asset atau ayn, bukannya disebabkan manfaat itu sendiri. Manfaat apabila diiktibarkan sebagai
harta mutaqawwim maka ianya adalah berlawanan dengan qiyas, justeru itu ia tidak boleh

diqiyaskan dengan perkara yang lain (Ala al-Din al-Bukhari, 1997).
Jika dilihat dari sudut yang berbeza, takrifan di atas yang diberikan oleh fuqaha‟ mazhab Hanafi
tidak menetapkan keizinan syarak sebagai asas pertimbangan dan piawaian dalam
mengkategorikan sesuatu itu sebagai harta atau pun sebaliknya. Oleh itu, tidak ada halangan
menurut mereka bagi sesuatu yang telah jelas pengharamannya seperti khamar (arak) dan khinzir
untuk dianggap sebagai harta. Walaubagaimanapun, harta itu hanya boleh dimiliki oleh ahl zimmi
(orang kafir yang tinggal di dalam Negara Islam dan mematuhi peraturan dan undang-undang
Islam) sahaja tetapi tidak bagi orang Islam (Ibnu Abidin, 2003, al-Musolim t.t & Az-Zaila‟i,
1896).

Pandangan Kedua:
Pendapat kedua didokong oleh majoriti fuqaha‟ yang menegaskan mal merujuk kepada sesuatu
yang bernilai, boleh diambil manfaat dan ianya terdiri daripada ayn dan manfaat (al-Qairawani,
1998, Ibnu Arabi, 2003, as-Syarbaini, 1997 & al-Buhuti, 2000). Ini jelas dapat dilihat daripada
takrifan yang dikemukakan oleh Imam as-Syatibi dan Imam Syafie. Kewujudan sifat harta pada
manfaat ini dapat dilihat melalui pandangan dan hujah Imam Syafie (Ala al-Din al-Bukhari,
1997):
a) Kewujudan maslahah disebabkan manfaat bukannya zat harta atau ayn. Pada hakikatnya,
harta benda atau ayn diciptakan untuk kemaslahatan manusia. Maslahah hanya akan
dapat direalisasikan sekiranya ayn tersebut mempunyai manfaat. Ini kerana maslahah itu

wujud disebabkan manfaat yang ada pada harta tersebut bukannya zat harta tersebut.
b) Dari segi uruf, transaksi di kalangan manusia bersendikan kepada zat dan manfaat. Ini
dapat dilihat di pasar apabila ada peniaga yang menjual barang dan ada pula yang
membeli untuk menyewakan kepada orang lain.

433

INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMIC ECONOMY AND BUSINESS

29 June – 1 July 2012
A’Famosa Resort Hotel, Melaka

c) Syarak memperakui manfaat sebagai harta yang tersendiri. Ini dapat dilihat dalam banyak
kes-kes membabitkan harta seperti sulh terhadap mahar serta wajib menggantikan barang
yang telah rosak atau hilang.
Pengertian manfaat menurut para fuqaha‟ merujuk kepada faedah atau kegunaan yang terhasil
daripada sesuatu benda atau barang seperti rumah yang boleh didiami atau kenderaan yang boleh
dinaiki (Rahman Syafei, 2006). Adapun hak yang merupakan penguasaan seseorang terhadap
sesuatu dikira sebagai harta sekiranya ia dikaitkan dengan harta, tetapi sebaliknya ke atas hak
yang tidak berkenaan dengan harta seperti hak minum, hak melintas jalan dan hak penjagaan anak

(Zaidan, 1986). Jika seseorang itu dihalang daripada menggunakan hak untuk tinggal di
rumahnya, maka dia boleh menuntut ganti rugi berdasarkan hak tersebut yang berhubung dengan
hartanya (Ahmad Ibrahim et al, 1991). Justeru, manfaat menepati dan memenuhi karakteristik
untuk diklasifikasikan sebagai harta kerana ia mendatangkan maslahah serta kemudahan di dalam
kehidupan manusia. Malah, manfaat merupakan objektif utama dalam suatu aktiviti ekonomi
kerana harta-harta fizikal yang diperdagangkan di pasaran adalah bertujuan untuk mengambil
serta menikmati manfaat yang terhasil daripada penggunaan harta-harta tersebut.
Selain daripada konsep mal yang lebih luas, jumhur fuqaha‟ mensyaratkan keizinan syarak
sebagai pertimbangan utama dalam menentukan status sesuatu yang dinilai itu sebagai mal atau
tidak. Oleh itu, pada pandangan jumhur fuqaha‟ antaranya Imam Syafi‟i, Ibnu al-Thauri dan Ibnu
Hazm, khamar dan khinzir tidak dianggap sebagai harta kerana ianya tidak dibenarkan oleh
syarak walaupun ianya dimiliki oleh golongan bukan Islam (az-Zuhaili, 1985 & Muhammad
Yusuf, 1952). Ini selaras dengan firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, infaqkan harta kamu daripada sumber yang
baik (halal) daripada apa yang kamu usahakan dan daripada apa yang Kami
(Allah) keluarkan untuk kamu daripada perut bumi…..”.
(al-Baqarah: 267)
Majoriti di kalangan mufassirun mentakwilkan perkataan „at-tayyibat‟ dalam ayat di atas sebagai
sesuatu yang baik dan halal yang diusahakan daripada titik peluh seseorang (al-Qurtubi, 2002).
Imam Syafi‟i dan Imam Ahmad berpendapat bahawa sesuatu yang haram, apabila dinisbahkan

kepada orang bukan Islam, ia tidak boleh dikelaskan sebagai harta yang bernilai kerana orang
bukan Islam yang tinggal dalam Negara Islam, maka apa yang dikenakan ke atas orang Islam
akan dikenakan juga kepada orang bukan Islam (az-Zuhaili, 1985). Mazhab Hanafi pula berbeza
pendapat dengan jumhur fuqaha‟ kerana telah mengiktiraf sesuatu yang haram itu sebagai harta
jika ia dinisbahkan kepada orang bukan Islam. Namun, sebaliknya jika ia dinisbahkan kepada
orang Islam. Fuqaha‟ mazhab Hanafi berhujah bahawa Islam memerintahkan umatnya untuk
menghormati ahl zimmi bersama dengan apa yang dianutinya. Justeru, wajib ke atas kita untuk
mengiktiraf harta yang dimiliki oleh orang bukan Islam (Fatimah Sulaiman, 1999).
Kesimpulannya, perbezaan pendapat tentang takrifan mal di antara fuqaha‟ Hanafi dengan jumhur
fuqaha‟ dapat dilihat daripada dua aspek penting:
a) Skop harta bagi jumhur fuqaha‟ lebih luas dan menyeluruh kerana ia merangkumi sesuatu
yang berbentuk fizikal dan bukan fizikal seperti manfaat, hak dan hutang berkaitan
dengan harta (menurut setengah fuqaha). Manakala bagi fuqaha‟ Hanafi pula hanya
membataskan harta kepada suatu yang berbentuk fizikal sahaja manakala sesuatu yang

434

INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMIC ECONOMY AND BUSINESS

29 June – 1 July 2012
A’Famosa Resort Hotel, Melaka

abstrak seperti manfaat tidak dikategorikan sebagai harta tetapi lebih cenderung untuk
dinisbahkan kepada pemilikan.
b) Selain daripada dapat memberikan manfaat, jumhur fuqaha‟ meletakkan keizinan syarak
merupakan piawaian utama dalam menentukan sesuatu itu sama ada harta atau pun tidak.
Manakala bagi fuqaha‟ Hanafi pula, uruf masyarakat menjadi salah satu asas yang
penting dalam menentukan status sesuatu itu sebagai harta.

Konsep Taqawwum Menurut Pandangan Fuqaha’
Perkataan taqawwum merupakan kata sandaran kepada taqawwama yang merujuk kepada
perbuatan menilai sesuatu atau menjelaskan nilainya (Ibnu Manzur, 1999 & Mu‟jam al-Wasit,
2004). Taqawwum atau mutaqawwim mempunyai hubungan yang istimewa dengan al-mal. Almal yang mempunyai sifat taqawwum memberikan implikasi perundangan yang berbeza daripada
mal yang tidak mempunyai sifat taqawwum. Dalam perbahasan fiqh, al-mal yang mempunyai
sifat taqawwum diistilahkan sebagai mal mutaqawwim manakala mal yang tidak mempunyai sifat
taqawwum dinamakan sebagai mal ghair mutaqawwim.
Fuqaha‟ Hanafi menjelaskan taqawwum merupakan ibarah an I’tidal al-ma’ani (Ala al-Din alBukhari, 1997). Mereka menjelaskan mal mutaqawwim ialah harta yang menepati kriteria-kriteria
yang ditetapkan oleh mereka sebagaimana yang telah dibincangkan di atas iaitu boleh disimpan
serta dimanfaatkan oleh manusia secara adatnya. Taqawwum sesuatu harta tersebut bersandarkan
kepada kewujudan yang membolehkan sesuatu itu dapat dikawal atau disimpan (Ala al-Din alBukhari, 1997). Selain itu ianya juga hendaklah diharuskan oleh syarak. Keizinan syarak
merupakan satu-satunya syarat dalam menentukan sesuatu mal itu mutaqawwim atau ghair
mutaqawwim. Sekiranya ia tidak diharuskan oleh syarak maka ia tidak dikira sebagai mal
mutaqawwim walaupun ia menepati semua kriteria harta sebagaimana yang telah dibincangkan di
atas. Justeru, perkara yang membezakan di antara mal mutaqawwim dengan mal ghair
mutaqawwim menurut fuqaha‟ Hanafi ialah pengiktiran syarak terhadap keharusan menggunakan
harta tersebut. Hal ini dapat dilihat dengan jelas daripada kata-kata Ibn Abidin (1995) di dalam
kitabnya Hasyiah Rad al-Mukhtar:
“Sifat kehartaan dapat disabitkan apabila ianya disimpan dan dipelihara oleh
setiap manusia atau sebahagiannya, sifat taqawwum itu dapat disabitkan apabila
adanya keizinan syarak untuk mengguna dan memanfaati harta tersebut, sesuatu
yang harus di sisi syarak tetapi tidak dapat disimpan dan dipelihara maka ianya
bukan harta misalnya sebutir gandum, dan sesuatu yang dapat disimpan dan
dijaga tetapi ia tidak diharuskan di sisi syarak maka ia merupakan harta yang
tidak mempunyai ciri mutaqawwim misalnya arak, sekiranya sesuatu itu tiada dua
perkara tersebut maka ia bukanlah harta contohnya seperti darah”.
Daripada perbincangan di atas, dapat difahami sesuatu benda yang menepati kriteria harta tidak
semestinya bersifat mutaqawwim. Ini bererti, mal lebih umum daripada mal mutaqawwim. Hal ini
turut diulas dengan jelas oleh Ibn Abidin (1995) di dalam kitabnya yang sama:
“Sesungguhnya mal lebih umum daripada mutaqawwim kerana mal merupakan
sesuatu yang boleh disimpan walaupun tidak harus menurut syarak seperti

435

INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMIC ECONOMY AND BUSINESS

29 June – 1 July 2012
A’Famosa Resort Hotel, Melaka

minuman arak, akan tetapi mal mutaqawwim merujuk kepada sesuatu yang boleh
disimpan dengan keizinan daripada syarak”.
Maka dapat dirumuskan mal mutaqawwim menurut mazhab Hanafi merupakan harta yang boleh
disimpan melalui perbuatan manusia serta boleh dimanfaatkan menurut pandangan syarak dan
adat. Justeru, ikan di lautan dan burung di langit tidak boleh dikira sebagai mal mutaqawwim
kerana ia belum dimiliki atau ditangkap oleh manusia. Begitu juga arak dan khinzir tidak
dianggap sebagai mal mutaqawwim bagi orang Islam kerana syarak tidak membenarkan
penggunaannya.
Bagi jumhur fuqaha‟ pula, konsep mal mutaqawwim adalah selari dengan konsep mal secara
umum. Justeru itu, tidak timbul keperluan untuk membahagikan harta kepada mal mutaqawwim
serta mal ghair mutaqawwim. Jumhur fuqaha‟ menjadikan keizinan syarak sebagai unsur penting
dalam meletakkan sesuatu itu sebagai harta (Ibnu Arifah, 1993, Ibnu Arabi, 2003 & al-Qurtubi,
2002). Justeru itu, mal mutaqawwim menurut jumhur fuqaha‟ ialah harta yang dibenarkan oleh
syarak untuk diambil manfaat serta mempunyai nilai pada uruf manusia. Ia merangkumi ayn dan
manfaat. Oleh itu, sesuatu yang tidak menepati ciri-ciri ini maka ia tidak dianggap sebagai mal
mutaqawwim contohnya seperti khamar dan khinzir. Menurut Muhammad Abu Zahrah (1976)
pula, orang-orang Islam tidak boleh mengambil manfaat daripada khamar dan babi, apatah lagi
untuk dijadikan sebaga hak milik. Harta jenis ini dikenali sebagai harta yang tidak ada nilai pada
pandangan syarak (mal ghair mutaqawwim). Orang-orang Islam tidak boleh mengambil
manfaatnya kecuali di dalam keadaan darurat. Juga termasuk di dalam kategori ini ialah setiap
sesuatu yang najis atau kotor, yang diistilahkan oleh syarak sebagai „najisun bi ‘ainihi‟ seperti
bangkai haiwan, makanan yang merosakkan kesihatan dan sebagainya. Orang-orang Islam
ditegah untuk memilikinya dan ia dianggap tidak mempunyai nilai oleh syarak (Ahmad Ibrahim
et al, 1991).
Daripada perbincangan di atas, parameter yang mungkin dapat diambil dalam mengklasifikasikan
sesuatu itu sebagai mal mutaqawwim atau sebaliknya dapat diringkaskan seperti berikut:
a) Diizinkan oleh syarak untuk dimiliki serta diambil manfaatnya – justeru benda-benda
bernajis, memudaratkan manusia serta harta benda yang telah dinyatakan
pengharamannya oleh nas maka ia tidak dianggap sebagai harta.
b) Sesuatu yang bernilai pada pandangan manusia – asas kepada nilai ini adalah dengan
merujuk kepada uruf manusia.
c) Dimiliki secara sah – harta-harta mubah yang belum dimiliki seperti burung-burung
berterbangan di udara, ikan di lautan serta segala hasil hutan tidak dianggap sebagai mal
mutaqawwim. Sesuatu yang menepati kriteria mal akan menjadi mutaqawwim sekiranya
ia berada dalam pemilikan manusia melalui cara perolehan yang dibenarkan oleh syarak.
Individu yang memiliki harta ini mempunyai hak mutlak terhadap harta tersebut dari
sudut penggunaan, pemberian dan sebagainya. Sebarang urusan berkaitan dengan harta
tersebut perlulah mendapat keizinan daripada pemiliknya. Walaubagaimanapun, menurut
fuqaha‟ Hanafi status ghair mutaqawwim tidak menafikan hak pemilikan sesesorang
terhadap harta tersebut.

Implikasi/Kepentingan Mutaqawwim dalam Kehidupan Manusia

436

INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMIC ECONOMY AND BUSINESS

29 June – 1 July 2012
A’Famosa Resort Hotel, Melaka

Mal mutaqawwim menjadi salah satu pertimbangan penting para fuqaha‟ dalam menentukan
suatu hukum bagi kebanyakan perkara. Berikut merupakan antara contoh kepentingan konsep ini
dari aspek perundangan Islam:

a) Aspek jual beli
Status sesuatu harta amat penting dalam menentukan kesahihan sesuatu urusan jual beli. Harta
yang bernilai sah dilakukan semua jenis kontrak ke atasnya seperti kontrak jual beli, sewa, hibah,
pinjaman, wasiat, syarikat dan sebagainya. Shariah telah mensyaratkan mutaqawwim ke atas
barang pertukaran atau dagangan dalam kontrak jual beli. Sekiranya harta yang didagangkan itu
tidak menepati syarat mutaqawwim, kontrak tersebut akan terbatal secara sendirinya. Namun bagi
fuqaha mazhab Hanafi, sekiranya bayaran atau tukaran yang diberikan terhadap pembelian
sesuatu barang tersebut tidak memenuhi syarat mal mutaqawwim, kontrak tersebut akan menjadi
fasid. Ini kerana mabi’ (barang yang dijual) merupakan syarat in‟iqad (termetrinya kontrak)
manakala thaman (harga) merupakan syarat sihhah kerana ia hanya perantaraan yang tidak
dimaksudkan zatnya (az-Zuhaili, 1985). Ini dapat dilihat dalam kata-kata Ibn Abidin (1995):
“thaman bukanlah matlamat (dalam suatu kontrak) tetapi ia merupakan wasilah
untuk mencapai matlamat (iaitu untuk mendapat manfaat), ini kerana manfaat itu
diperoleh daripada zat bukannya thaman, oleh itu disyaratkan perlu wujudnya
barang yang dijual berbanding thaman, maka dengan kenyataan ini thaman telah
menjadi sebahagian daripada syarat-syarat jual beli atas dasar ianya umpama alat
pertukangan”.
b) Aspek jaminan atau ganti rugi (dhaman)
Status harta mutaqawwim memberikan hak kepada pemiliknya untuk membuat tuntutan ganti rugi
terhadap individu yang bertanggungjawab merosakkan atau menghilangkan harta tersebut.
Sekiranya seseorang itu merosakkan mal mutaqawwim milik orang lain, maka ia wajib
menggantikan harta tersebut dengan jenis harta tersebut atau nilainya. Ini merupakan salah satu
daripada Maqasid as-Shariah (objektif shariah) iaitu memelihara harta. Harta manusia dapat
dipelihara dengan pensyariatan dhaman dan hudud. Ini dapat dilihat daripada kata-kata Imam alRazi (1992):
“al-mal fahua mahfuz bisyar’i dhamanat wa hudud”.
Sekiranya harta yang dirosakkan itu tidak bernilai, maka tidak perlu untuk membayar ganti rugi
jika ia dimiliki oleh seorang Islam. Justeru, seseorang yang memecahkan botol arak atau
membunuh babi yang dimiliki oleh orang Islam, maka dia tidak perlu membayar ganti rugi
tersebut. Tetapi jika seseorang memusnahkan arak atau membunuh babi kepunyaan ahl zimmi,
maka wajib ke atasnya untuk membayar ganti rugi kepada mereka menurut pendapat fuqaha‟
mazhab Hanafi. Namun, bagi jumhur fuqaha‟ tidak perlu untuk menggantinya kerana arak dan
babi tidak diiktiraf sebagai harta oleh syarak (az-Zuhaili, 1985).
c) Aspek jenayah melibatkan harta
Mal mutaqawwim menjadi salah satu asas dalam menentukan sabitnya jenayah terhadap harta.
Jenayah seperti mencuri dan merampas tanpa kebenaran akan sabit sekiranya harta yang dicuri

437

INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMIC ECONOMY AND BUSINESS

29 June – 1 July 2012
A’Famosa Resort Hotel, Melaka

merupakan mal mutaqawwim yang dimiliki oleh seseorang. Sekiranya barang yang dicuri itu
tidak tergolong dalam jenis yang bernilai, maka pencuri itu tidak akan dipotong tangannya
melainkan akan dihukum dengan hukuman takzir. Contohnya pencuri muslim yang mencuri
sebotol arak tidak akan dijatuhkan hukuman had potong tangan ke atasnya (al-Kasani, 2000, alRamli, 1993, Ibnu Qudamah, 1996 & az-Zuhaili, 1985). Tangan pencuri juga tidak akan dipotong
sekiranya harta itu adalah ghair mutaqawwim seperti anjing, alat-alat hiburan, bangkai binatang,
rumput, batu dan sebagainya (Abdul Qadir Audah, 1964 & Mat Saad, 1993).
d) Mahar dalam perkahwinan
Jumhur fuqaha‟ mensyaratkan benda atau barang yang ingin digunakan bagi tujuan mahar
perkahwinan mestilah daripada jenis Mal mutaqawwim. Justeru, tanah, darah, bangkai, arak, babi
serta yang seumpama dengannya tidak boleh dijadikan mahar kerana tidak tergolong di dalam
kumpulan tersebut. Sekiranya suatu pernikahan berlaku dengan menjadikan sebotol arak sebagai
mahar perkahwinan, maka sah perkahwinan tersebut, tetapi wajib ke atas suami menggantikan
mahar kepada isterinya daripada jenis harta yang mutaqawwim (Syirbini, t.t, Ibnu Qudamah,
1996, Ibnu Rushd, 1981 & al-Kasani, 2000).

Kesimpulan
Status suatu harta sama ada ia mutaqawwim atau ghair mutaqawwim memberikan impak yang
sangat besar dalam menentukan kesahihan sesuatu kontrak. Justeru, hanya harta yang bernilai
(mutaqawwim) sahaja yang diiktiraf oleh syarak serta memberikan kesan dari aspek perundangan
terhadap sesuatu kontrak atau transaksi yang berlaku di kalangan manusia. Kelekaan manusia
dalam mengenalpasti dan membezakan harta yang mutaqawwim dan ghair mutaqawwim
menyebabkan sesuatu kontrak atau transaksi itu menjadi batal dan tidak sah menurut syarak. Oleh
itu, parameter yang telah diberikan bertindak sebagai garis panduan atau piawaian dalam
menentukan sama ada sesuatu itu dapat diklasifikasikan sebagai mal mutaqawwim atau
sebaliknya.
Daripada perbincangan di atas, dapat difahami bahawa pembinaan konsep harta dalam mazhab
Hanafi adalah berasaskan kepada tabiat dan uruf manusia. Peranan syarak pula ialah untuk
menentukan sama ada ianya boleh digunakan untuk kehidupan manusia atau sebaliknya.
Manakala pembinaan konsep harta bagi jumhur fuqaha pula ialah dengan menjadikan perakuan
syarak sebagai satu indikator dalam menentukan sesuatu itu harta atau sebaliknya. Walaupun
fuqaha mazhab Hanafi mengemukakan konsep harta yang sedikit berbeza daripada jumhur
fuqaha, namun mereka bersepakat menyatakan bahawa hanya mal mutaqawwim sahaja yang
boleh dijadikan sebagai barang yang dikontrakkan (ma’qud ‘alaihi) atau dengan kata lain ianya
digunakan dalam sebarang kontrak jual beli atau kontrak yang melibatkan harta.
Satu persoalan yang mungkin timbul disini ialah adakah istilah mutaqawwim turut terpakai
kepada harta-harta abstrak yang wujud pada masa kini seperti harta intelek, paten dan yang
seumpama dengannya. Persoalan ini mempunyai kaitan rapat dengan perbincangan para fuqaha
silam berkenaan status harta pada hak dan hutang. Justeru, kertas ini menyarankan perlunya satu
penulisan yang komprehensif dibuat bagi menyingkap pendapat, hujah serta metodologi yang
digunapakai oleh para fuqaha silam dalam masalah tersebut sekaligus dapat memberikan

438

INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMIC ECONOMY AND BUSINESS

29 June – 1 July 2012
A’Famosa Resort Hotel, Melaka

gambaran yang lebih jelas kepada masyarakat serta berupaya untuk membina parameter dan jalan
penyelesaian terhadap sesuatu isu yang melibatkan aspek perundangan.

RUJUKAN
Abdul Rahman, Mat Saad. (1993). Undang-Undang Jenayah Islam-Jenayah Hudud. Shah Alam:
Penerbit Hizbi.
Abu Zahrah, Muhammad. (1976). Al-Milkiyyah wa Nazariyyah al-Aqd fi as-Shariah al-Islamiyah.
Kaherah: Dar al-Fikr al-Arabi.
Ahmad Ibrahim et al. (1991). Undang-Undang Harta Dalam Islam. Selangor: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Ahmad Yusuf. (1990). Al-Mal fi as-Shariah al-Islamiyah bayn al-Kasb wa al-Infaq wa atTawrith. Kaherah: Dar as-Saqafah Li Nasyr wa at-Tauzi‟.
Ala al-Din al-Bukhari. (1997). Kasyf al-asrar . Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah
Al-Buhuti, Mansur Bin Yunus. (2000). Syarh muntaha al-Iradat. Kaherah: Muassasah al-Risalah
Nasyirun
Al-Buhuti, Mansur Bin Yunus. (1997). Kasyaf al-Qina’. Beirut: Alam al-Kutub.
Al-Kasani, Abu Bakar Bin Mas‟ud. (2000). Badai’ Sanai’ Fi Tartib As-Syarai’. Beirut: Dar alIhya‟ at-Turath al-Arabi.
Al-Qairawani, Abi Zaid. (1998). al-Fawakih al-Dawani. Beirut: Dar al-Kutub Ilmiyah.
Al-Qurtubi, Muhammad Bin Ahmad. (2002). al-Jami’ li Ahkam al-Quran. Kaherah: Dar alHadis.
Ar-Ramli, Shamsuddin. (1993). Nihayah al-Muhtaj. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah.
Ar-Razi, Fakhr ad-Din. (1992). Mahsul fi Ilmi al-Usul. Beirut: Muassasah al-Risalah.
As-Sarkhasi, Shamsuddin. (t.t) Mabsut. Beirut: Dar al-Makrifah.
As-Suyuti, Jalaluddin. (2001). Asybah wa an-Nazaair . Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah.
As-Syafie, Muhammad Bin Idris. (2001). Al-Umm. Mansurah: Dar al-wafa

439

INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMIC ECONOMY AND BUSINESS

29 June – 1 July 2012
A’Famosa Resort Hotel, Melaka

As-Syarbashi, Ahmad. (1981). Al-Mu’jam al-Iqtisadi al-Islami. Dar al-Jil.
As-Syatibi, Abu Ishaq. (2003). Al-Muwafaqat. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah.
As-Syirbini, Shamsuddin. (1994). al-Iqna’ fi Hilli Alfaz Abi Shuja’. Beirut: Dar al-Fikr.
As-Syirbini, Shamsuddin. (t.t). Mughni al-Muhtaj. Kaherah: Maktabah at-Taufiqiyah.
Audah, Abdul Qadir. (1964). Tashri’ al-Jina’i al-Islami. Kaherah: Maktabah Dar al-Urubah.
Az-Zaila‟i, Fakhr ad-Din. (1896). Tabyiin al-Haqaiq Syarh Kanz ad-Daqaiq. Kaherah: Dar alKutub al-Islami
Az-Zuhaily, Wahbah. (1985). Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. Dimashq: Dar al-Fikr.
Fatimah Sulaiman. (1999). Tegahan Pengurusan Harta: Kajian Perbandingan antara Syariat
Islam dengan Undang-Undang Sivil. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ibn Abidin, Muhammad Amin. (1995). Hasyiah Rad al-Mukhtar . Beirut: Dar al-Fikr.
Ibn Arabi, Abi Bakar Muhammad. (2003), Ahkam al-Quran. Beirut: Dar al-Kutub Ilmiyah
Ibn Arifah. (1993). Syarh Hudud. Beirut: Dar al-Gharb al-Islami.
Ibn Manzur, Muhammad Bin Mukarram. (t.t), Lisan al-Arab. Kaherah: Dar Ma‟arif.
Ibnu Qudamah, Abu Muhammad. (1996). Al-Mughni. Kaherah: Dar al-Hadith.
Ibnu Rushd, Taqiyuddin. (1981). Bidayatul Mujtahid. Kaherah: Maktabah Mustafa al-Bab alHalabi wa-Awladuh.
Kamus Al-Munjid fi al-Lughah wa al-„Alam. (1975). Beirut: Dar al-Masyriq.
Muhammad Yusuf Musa. (1952), Al-Amwal wa Nazariyat al-Aqd fi Fiqh al-Islami ma’a Madkhal
li Dirasat al-Fiqh wa al-Falsafah: Dirasah Muqaranah. Kaherah: Dar al-Kitab al-Arabi.
Rahman Syafie. (2006). Fiqh Mua’malah. Bandung: Pustaka Setia.
Zaidan, Abdul Karim. (1986), al-Madkhal Li Dirasat as-Shariah al-Islamiyah. Beirut: Maktabah
al-Quds.

440