TEMA BANGUNAN BERSEJARAH TUGASAN SOALAN KEPENTINGAN MEMULIHARA BANGUNAN BERSEJARAH ARAS CEMERLANG ( 80 – 85 MARKAH )

TEMA
TUGASAN SOALAN
ARAS

BANGUNAN BERSEJARAH
KEPENTINGAN MEMULIHARA BANGUNAN BERSEJARAH
CEMERLANG ( 80 – 85 MARKAH )

Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia wujud daripada ketamadunan silam iaitu
Kesultanan Melayu Melaka dan kerajaan awal, seperti Kerajaan Langkasuka, Kerajaan Kedah
Tua. Sementara itu, beberapa kerajaan lain di pantai Timur Semenanjung. Malaysia pernah
dijajah selama 446 tahun dan akhirnya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sejarah
penubuhan kerajaan ini pastinya banyak meninggalkan bangunan bersejarah sama ada yang
bercirikan tempatan mahupun Eropah. Sejak UNESCO mengiktiraf bandar Melaka dan
Georgetown sebagai bandar warisan bersejarah atau tapak warisan dan ketamadunan dunia,
barulah timbul kesedaran tentang kepentingan bangunan-bangunan bersejarah.

Menyedari

hakikat ini, pihak kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi memulihara
bangunan bersejarah. Persoalannya, apakah kepentingan pemuliharaan bangunan-bangunan

bersejarah dalam konteks Malaysia?
Salah satu kepentingan bangunan bersejarah atau monumen ialah, dapat dijadikan
sebagai bukti kukuh tentang peristiwa sejarah yang telah berlaku kepada generasi akan
datang.

Kita sedia maklum bahawa bangunan bersejarah atau monumen

bermaksud

bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang tokoh yang telah berjasa atau peristiwa
penting yang pernah berlaku. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama lebih
daripada 50 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda, dan
Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga serta dilestarikan.

Di samping itu, bangunan

bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana
dengan kewujudan bangunan bersejarah kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia
yang telah dibukukan oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan
bukanlah cerita-cerita dongeng, metos atau legenda semata-mata. Sebagai contoh, zaman

kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai
dengan wujudnya Pintu Gerabang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan
Gereja St. Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling,Gereja St. Georgetown, Pulau Pinang
dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah dijajah pada suatu masa
dahulu dan juga dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal, pemerintahan British di
Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, bangunan bersejarah dan

monumen lama amat penting sebagai bahan bukti yang kukuh tentang peristiwa yang telah
berlaku untuk ditunjukkan kepada generasi akan datang.
Selain itu, bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan
iktibar kepada masyarakat terutamanya golongan remaja.

Kita sedia maklum bahawa

remaja pada hari ini kurang mempunyai kesedaran diri terutamanya berkaitan dengan sejarah
Malaysia. Dengan adanya bangunan bersejarah di negara kita. Sekurang-kurangnya mereka
dapat menjadikannya sebagai panduan hidup mereka. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di
Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis
setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana
terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepimpinan dan juga kelemahan tentera yang

mengawal Melaka. Jika kita menghayati sejarah, di sebalik bangunan tersebut serta mengambil
pengajaran daripada peristiwa yang berlaku maka kita dapat terus mara tanpa mengulangi
kesilapan yang dilakukan oleh masyarakat terdahulu.

Walaupun ada antara bangunan

bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara, namun kita tidak harus
menjadikannya sebagai halangan untuk mencapai kejayaan. Negara kita juga mampu menjadi
negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya kita tidak mengambil
mudah dan mengambil ikhtibar daripada sejarah silam negara.

Tuntasnya, bangunan

bersejarah di negara kita sememangnya dapat memberi ikhtibar dan pengajaran kepada
generasi muda kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
Di samping itu, bangunan bersejarah dan monumen memberi banyak manfaat dari
sudut pelancongan. Hal ini demikian kerana bangunan bersejarah dapat menarik pelancong
sama ada pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat negara
kita. Kita sedia maklum bahawa bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan
pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan kehebatan bangunan yang moden seperti

Menara Berkembar Petronas.

Kehalusan seni bina dan keunikan reka bentuk bangunan

tersebut mampu menjadi tarikan para pelancong untuk berkunjung ke tempat-tempat tersebut.
Sebagai contoh, bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur mempunyai unsur seni yang
tiada tolok bandingnya. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah
dan menyaksikan monumen-monumen yang terdapat di lokasi yang dikunjungi di samping
menyaksikan keindahan alam semula jadi dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni
lukis. Oleh itu, bangunan bersejarah perlu dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya,
bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat
pelancongan.

Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara

Eropah, Perancis, Itali dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford dan
Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan
bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik pelancong dari seluruh dunia
dengan lebih banyak dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Oleh itu, bangunan dan
monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

Seterusnya, pemuliharaan bangunan bersejarah juga penting sebagai salah satu
cara untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda. Kita sedia
maklum bahawa bangunan bersejarah amat penting kerana semangat patriotisme dalam
kalangan remaja sejak belakangan ini semakin menipis.

Dalam konteks ini, bangunan

bersejarah perlu dikekalkan untuk menjadi tatapan dan penghayatan generasi muda. Sebagai
contoh, Kota A Famosa di Melaka dan Kota Cornwallis di Pulau Pinang dapat mengingatkan
kita tentang usaha mempertahankan kedaulatan negeri Melaka dan Pulau Pinang pada zaman
penjajahan dahulu. Tinggalan sejarah ini boleh mengingatkan generasi muda tentang segala
pahit maung yang dilalui oleh pejuang nasionalis ketika memerdekakan tanah air. Peribahasa
Melayu biar putih tulang jangan putih mata sentiasa tersemat di dalam hati para pejuang
negara ketika itu. Secara tidak langsung, hal ini dapat mencelikkan minda generasi muda agar
sentiasa berwaspada terhadap musuh negara yang sentiasa mencari peluang untuk menjajah
negara kita sekali gus berjuang bermati-matian untuk ibu pertiwi daripada dicerobohi oleh kuasa
asing. Oleh itu, bangunan bersejarah penting dalam memupuk semangat patriotisme dalam
kalangan generasi muda bagi mempertahankan negara kita yang tercinta.
Ada pendapat mengatakan bahawa, bangunan dan monumen lama juga turut
memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya kepada para

pelajar dan penyelidik. Kita sedia maklum bahawa pelbagai ilmu akan dapat dipelajari dengan
memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contoh, dengan terdapatnya
bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan
Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja
kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan
masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan
Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat
British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga
halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja
dan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang
inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper.

Pemuliharaan dan penghayatan

kemaslahatan bangunan bersejarah dapat memberi maklumat kepada pelajar tentang peristiwa
yang pernah berlaku di negara kita kerana tak kenal maka tak cinta.

Sesungguhnya,

bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri dan

menjadi bahan rujukan kepada pelajar dan penyelidik.
Sebagai penghias bicara akhir, bangunan bersejarah amat vital dalam pembentukan
minda generasi muda terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara.
Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi.
Bangunan bersejarah juga akan memangkin jiwa generasi muda agar lebih menghargai dan
peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk masyarakat yang sensitif
akan sebarang usaha untuk merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah.
Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah yang perlu
dikekalkan. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan dan memusnahkan
bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang. Cintailah sejarah
ibu pertiwi kita demi kemantapan perjuangan rakyat kita kerana nilai sejarah tak lapuk dek
hujan dan tak lekang dek panas.