Kaedah Pengajaran Ibadat Haji kepada Ora

Kaedah Pengajaran Ibadat Haji kepada Orang Awam
Amran bin Mat Arriffen
Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan
Mohd Isa bin Hamzah
Universiti Kebangsaan Malaysia
Mohd Aderi bin Che Noh
Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak
Ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditunai oleh setiap
individu muslim yang berkemampuan. Selain daripada kesihatan yang
mengizinkan dan perbelanjaan yang mencukupi, bakal haji perlu mempersiapkan
diri dengan ilmu manasik haji dengan sebaiknya. Kajian ini dijalankan adalah
bertujuan untuk membincangkan kaedah pengajaran ibadat haji kepada orang
awam yang berpandukan Modul Bimbingan Haji Bersepadu. Bagi mencapai
tujuan tersebut, kajian ini menggunakan kaedah keperpustakaan iaitu dengan
merujuk bahan-bahan ilmiah seperti buku, jurnal, kertas kerja seminar, surat dan
laman web yang berkaitan dengan kajian. Kajian mendapati pengajaran ibadat
haji kepada orang awam dijalankan oleh pengkursus yang bertauliah dan
mempunyai kemahiran dalam manasik haji. Kajian ini juga mendapati
pengkursus menggunakan kaedah pengajaran bersesuaian dengan orang awam

yang mempunyai pelbagai latar belakang iaitu kaedah syarahan, kuliah,
penerangan, bercerita, dialog, perbincangan, soal jawab, tunjuk cara, demonstrasi
dan simulasi. Kursus haji yang dijalankan oleh Bahagian Bimbingan Jabatan Haji
Lembaga Tabung Haji sangat membantu orang awam untuk mengerjakan rukun
Islam yang kelima dengan sempurna. Implikasinya, kajian ini dapat memberi
input penting bagi meningkatkan lagi kualiti bimbingan haji khususnya daripada
aspek kaedah pengajaran.
KATA KUNCI: Kaedah Pengajaran, Tabung Haji, Ibadat Haji, Kursus Haji

Pengenalan
Setiap tahun puluhan ribu rakyat Malaysia mengunjungi Tanah Suci Mekah untuk
mengerjakan ibadat haji. Kebanyakan mereka yang terpilih ke tanah suci adalah terdiri daripada
kalangan orang awam yang berumur 50 tahun ke atas. Oleh itu, persediaan daripada pelbagai
aspek perlu dilakukan bagi menjamin kemabruran haji terutamanya berkaitan dengan manasik
haji.

Sehubungan

itu,


Bahagian

Bimbingan
1

Jabatan

Haji,

Lembaga

Tabung

haji

bertanggungjawab untuk mengadakan program pembangunan jemaah haji yang melibatkan orang
awam di seluruh Malaysia. Bagi melaksanakan program ini, satu Modul Bimbingan Haji
Bersepadu (MBHB) telah disediakan melalui empat kursus yang dijalankan iaitu Kursus Asas
Haji (KAH), Kursus Intensif Haji (KIH), Kursus Khas Haji (KKH) dan Kursus Perdana Haji
(KPH) (www.tabunghaji.gov.my/bimbingan).

MBHB yang digunakan untuk bimbingan haji kepada orang awam mengandungi tiga
bahagian penting iaitu Ibadat Haji, Kesihatan dan Pengurusan Haji di Tanah Air dan Tanah Suci.
Bahagian Ibadat Haji merangkumi topik-topik berikut iaitu Falsafah dan Penyucian Jiwa, Sejarah
dan Pengenalan Tanah Suci dan Kelebihan, Pengenalan Haji dan Umrah, Rukun Haji, Wajib Haji,
Aurat dan Izin Suami, Ibadat Umrah dan Niat Bersyarat, Taharah dan Solat, Permasalahan Darah
Wanita, Tawaf Wada’ dan Ziarah Madinah dan Amali Ibadat Haji. Modul KAH mula
dilaksanakan pada tahun 2014. Hasil daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat
Ibadat Haji (JAKIM-TH) Bil.2. 1435H pada 27 hingga 30 Disember 2013 yang meluluskan
modul tersebut. Objektif KAH dilaksanakan ialah untuk memberi pendedahan dan panduan ibadat
haji dan umrah kepada bakal haji serta perkara berkaitan dengan pengurusan haji dan penjagaan
kesihatan. Ia juga bertujuan untuk memberi pendedahan dan persediaan awal sebelum bakal haji
berangkat ke Tanah Suci dan seterusnya membantu mereka mendapat haji mabrur
(www.tabunghaji.gov.my/bimbingan).
Modul KAH mengandungi 15 topik berkaitan dengan ibadat haji dan umrah yang
melibatkan 30 jam kredit dan 2 topik berkaitan dengan pengurusan dan kesihatan. Manakala
dalam KIH topik ini disampaikan dalam masa 2 hari yang melibatkan 10 jam kredit. KAH
terbuka kepada semua orang awam, manakala KIH hanya kepada jemaah haji yang telah terpilih
untuk mengerjakan haji pada tahun tersebut (www.tabunghaji.gov.my/bimbingan). Oleh itu, bagi
memastikan objektif kursus tercapai, peranan Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dalam
pengajaran dan pembelajaran (PdP) adalah amat mencabar terutamanya apabila berhadapan

dengan orang awam yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan dan pengalaman.
Sehubungan itu, kajian ini dilakukan untuk membincangkan tentang kaedah pengajaran yang
digunakan oleh PEKTA semasa menyampaikan kursus haji kepada orang awam. Bagaimanakah
seseorang itu boleh dilantik untuk menjadi PEKTA dan apakah kaedah yang bersesuaian
digunakan oleh PEKTA dalam PdP ibadat haji? Apakah impak kaedah berkesan dalam
pengajaran ibadat haji ini?

2

Kerangka Konsep
Kaedah bermaksud suatu langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan tertentu.
Pengajaran pula bermaksud segala aktiviti yang dilakukan oleh seseorang untuk menghasilkan
perubahan tingkah laku yang kekal dalam diri orang lain. Secara umumnya kaedah pengajaran
adalah suatu proses yang berorientasikan matlamat yang dirancang terlebih dahulu (Abd. Rahim
2002). Kaedah pengajaran seperti syarahan, kuliah, soal jawab, bercerita, lakonan, penerangan,
perbincangan dan sebagainya. Haji ialah mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bulanbulan haji untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya. Ibadat haji
merupakan salah satu rukun Islam yang mesti dilaksanakan oleh setiap muslim yang mukallaf.
Hukumnya wajib sekali seumur hidup apabila memenuhi syarat-syaratnya (Lembaga Tabung Haji
2015). Berdasarkan pengertian tersebut dapatlah dirumuskan bahawa kaedah pengajaran ibadat
haji adalah suatu proses yang disusun secara sistematik dalam menyampaikan ilmu, kefahaman

dan permasalahan ibadat haji kepada masyarakat. Ianya merupakan suatu kewajipan yang perlu
dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab kerana tidak akan sempurna ibadat haji seseorang
tanpa ilmu mengenainya. Oleh itu, kaedah pengajaran merupakan salah satu kompenan penting
untuk mencapai objektif kursus haji.
Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air
Kursus haji kepada orang awam dikendalikan oleh pengkursus bertauliah yang dilantik
oleh Bahagian Bimbingan Tabung Haji. Sebelum mereka mengendalikan kursus ini, PEKTA
perlu mendapatkan tauliah mengajar dan ceramah daripada pejabat-pejabat mufti

negeri.

Kemudian mereka dikehendaki menghadiri temuduga yang dikendalikan oleh Bahagian
Bimbingan untuk mendapatkan Kad Tauliah Mengajar Haji dan Umrah. Kad ini akan diberikan
setelah mereka berjaya dalam ujian bertulis dan ujian lisan, menghadiri Kursus Training of
Trainers (TOT) Pengkursus Baharu, Kelas Intensif Tafaqquh Haji dan Umrah dan Muzakarah
Haji Peringkat Kebangsaan. Bagi memastikan setiap PEKTA dapat melalui proses pembelajaran
berbentuk akademik secara sistematik dan berkesan untuk membimbing jemaah haji, satu
program usahasama antara Tabung Haji dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah
diperkenalkan pada tahun 2009 iaitu Sijil Pembimbing Ibadat Haji (SPIH).
Peranan PEKTA amat penting untuk memberi kefahaman yang jelas kepada peserta

tentang ibadat haji. Selain daripada kaedah yang bersesuaian, PEKTA perlu menguasai
3

kandungan modul ibadat haji dengan baik supaya penyampaian lebih berkesan dan menyakinkan
peserta. Mereka berperanan untuk menjelaskan kepada peserta sehingga mereka mampu
menggambarkan kronologi perjalanan haji ini dengan baik. PEKTA berperanan seperti seorang
guru, di mana mereka hendaklah menghayati konsep muallim, muaddib dan murabbi dalam
kursus ibadat haji (Othman 2016). Oleh itu, seseorang pengkursus bertanggungjawab
menyampaikan ilmu, maklumat dan hikmah, pada masa yang sama mereka berperanan untuk
membentuk akhlak para peserta kursus dengan akhlak Islamiah dan sifat mahmudah. Proses ini
dilakukan secara berperingkat-peringkat sehingga terbentuknya jiwa hamba yang taat dan berjaya
di dunia dan akhirat. Inilah persiapan awal yang perlu ditekankan oleh PEKTA dalam PdP ibadat
haji sebelum jemaah ke Tanah Suci.
PEKTA sebagai pembimbing haji, mereka perlu memiliki personaliti cemerlang iaitu
ikhlas dalam menjalankan tugas, mempunyai sikap untuk memajukan diri, bekerjasama sebagai
satu pasukan, mengutamakan pelanggan, mempunyai sifat kreativiti dan inovasi, akuantibaliti dan
cintakan ilmu (Othman 2016). Mereka dilarang daripada membuat sebarang bentuk promosi dan
janji syarikat semasa memberi ceramah (Surat Pelantikan Pengkursus KAH 2016). Selain
daripada mempunyai personaliti cemerlang, PEKTA juga menguasai ilmu metodologi pengajaran
agar penyampaiannya lebih berkesan dan dapat menarik minat orang ramai menghadiri KAH

yang dijalan secara terbuka di masjid-masjid terpilih. Oleh itu, PEKTA telah didedahkan dengan
pembelajaran dewasa iaitu berdasarkan teori andragogi. Menurut Othman (2016) para peserta
hendaklah mengetahui kepentingan kursus ibadat haji ini kepada mereka, peranan PEKTA dan
peserta dalam proses pembelajaran ini. Tujuannya adalah untuk menarik perhatian dan fokus
peserta kepada PdP ibadat haji.
Kaedah Pengajaran Ibadat Haji
Peserta kursus haji terdiri daripada kalangan orang awam yang mepunyai pelbagai latar
belakang pendidikan dan pengalaman kerjaya. Oleh itu, bagi memastikan keberkesanan
pengajaran ini, para PEKTA hendaklah mengamalkan kepelbagaian gaya pembelajaran dan
berusaha untuk memenuhi kehendak peserta seperti konsep V.A.K

(Visual, Auditori dan

Kinestetik). Kaedah visual iaitu dengan menggunakan gambar, video, carta, model dan diagram
semasa menyampaikan PdP ibadat haji. Manakala kaedah auditori adalah dengan menyampaikan
syarahan dan bercerita, memperdengarkan rakaman dan muzik, menggalakkan soal jawab dan
perbualan dengan para peserta. Kaedah kinestatik pula melibatkan pergerakan, bersifat praktikal
dan penglibatan peserta seperti berlakon, simulasi dan menggunakan anggota badan. Untuk
4


menghasilkan PdP ibadat haji yang menarik, setiap PEKTA perlu memahami konsep ini dan
mampu mengaplikasikannya dengan menggabungkan ketiga-tiganya sekaligus (Othman 2016).
Antara kaedah yang sering digunakan oleh PEKTA dalam kursus haji:
i.

Kaedah Syarahan, Kuliah dan Penerangan
Selama empat bulan KAH diadakan di masjid-masjid terpilih seluruh Malaysia. Ianya

dikendalikan oleh PEKTA secara mingguan. Dalam kursus ini, PEKTA menggunakan kaedah
syarahan, kuliah dan penerangan kepada peserta. Menurut Kamarul (2007) kaedah pengajaran ini
lebih banyak melibatkan guru dalam memberikan huraian dan penjelasan kepada pelajar. Tujuan
kaedah ini adalah untuk menyampaikan sesuatu pengajaran kepada pelajar supaya dapat
merangsang mereka, menjelas dan membuat rumusan pelajaran, membuat penelitian dan ulang
kaji, mengembangkan isi pengajaran dan menyampaikan maklumat yang telah dirancang. Atan
Long (1980) menjelaskan bahawa guru dianggap sebagai individu yang mengetahui segalagalanya dan pelajar sebagai individu yang tidak mengetahui apa-apa. Ini menunjukkan kepada
kita bahawa guru mempunyai pengetahuan yang luas manakala pelajar boleh diibaratkan sebagai
‘tin yang kosong’. Melalui kaedah ini, pelajar mendengar pengajaran guru, mencatat nota dan
memikir semula isi pengajaran selepas pengajaran. Dalam kursus haji, pesertanya terdiri daripada
orang awam yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan. Oleh itu, PEKTA perlu
merancang pengajarannya dengan baik supaya objektif kursus tercapai.

Kebanyakan PEKTA menggunakan kaedah syarahan, kuliah dan penerangan dalam
semua tajuk Modul Bersepadu Ibadat Haji. Kaedah ini sesuai untuk orang awam dewasa yang
sentiasa terdedah dengan kaedah syarahan dan kuliah di masjid atau surau. Setiap minggu kursus
haji bermula pada pukul 9.00 pagi dan tamat pada pukul 11.30 pagi. Pengajaran dilaksanakan
dalam dua sesi iaitu sesi pertama pada pukul 9.00 pagi hingga 10.00 pagi dan sesi kedua pada
pukul 10.30 pagi hingga 11.30 pagi. PEKTA akan memulakan sesi pengajaran dengan ucapan
talbiah beramai-ramai. Kebiasaannya PEKTA sendiri yang memimpin ucapan talbiah dan
terdapat juga PEKTA yang menggunakan bahan bantu mengajar seperti video semasa
mengucapkan talbiah. Seterusnya PEKTA menerangkan sesuatu tajuk dengan merujuk kepada
power point yang telah disediakan dan para peserta dibekalkan dengan Buku Nota KAH sebagai
rujukan semasa PdP.
Pada peringkat kursus asas ini, PEKTA banyak menerangkan tentang konsep-konsep haji
dan umrah. Kaedah syarahan, kuliah dan penerangan digunakan dalam menghuraikan tajuk-tajuk

5

kursus iaitu Falsafah dan Penyucian Jiwa, Pengenalan Haji dan Umrah, Rukun Haji, Wajib Haji,
Aurat dan Izin Suami, Ibadat Umrah dan Niat Bersyarat, Taharah dan Solat, Permasalahan Darah
Wanita dan Tawaf Wada’ dan Ziarah Madinah. Namun begitu, PEKTA bukan hanya bergantung
kepada satu kaedah sahaja, kaedah pengajaran dipilih mengikut kesesuaian tajuk.

ii.

Kaedah Bercerita
PEKTA banyak menggunakan kaedah bercerita semasa membincangkan tajuk Sejarah

dan Pengenalan Tanah Suci dan Kelebihan. Kaedah ini merupakan salah satu teknik yang mampu
menerapkan aspek pembangunan insan. Malah keadah ini adalah antara cara al-Quran
memberikan didikan akhlak kepada manusia melalui cerita atau kisah para Rasul dan Anbia'
seperti kisah Nabi Yusuf a.s., Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s dan sebagainya. Dalam al-Quran
juga diceritakan tentang kisah Ashabul Kahfi, Iskandar Zulkarnain dan Lukman al-Hakim
(Kamarul 2007). Oleh itu dalam KAH, PEKTA menggunakan kaedah ini untuk menceritakan
tentang sejarah Nabi Adam dan Hawa, Tanah Haram Mekah, Kaabah dan Masjidil Haram,
Peristiwa Nabi Ibrahim, Hajar, Nabi Ismail dan air zam-zam, sejarah Masya’ir haji iaitu Arafah,
Muzdalifah dan Mina dan sirah perjalanan haji Rasulullah saw berdasarkan kepada peristiwa
Hajjatul Wada’. Pengajaran daripada cerita-cerita ini dapat dirumuskan agar para jemaah haji
menjaga adab-adab di Tanah Suci, memanfaatkan kelebihan berada di Tanah Suci sebagai tetamu
Allah dan khusyuk dalam beribadat kepada Allah (Lembaga Tabung Haji 2014).
iii.

Kaedah Dialog, Perbincangan dan Soal Jawab

Seterusnya dalam membicarakan soal hukum hakam haji dan umrah. Kaedah dialog dan

perbincangan melalui soal jawab. Kaedah soal jawab bersifat dua hala iaitu soalan daripada
pengkursus kepada peserta dan sebaliknya. Sesi soal jawab kebiasaannya diadakan pada bahagian
akhir pengajaran, namun para peserta tidak dihalang untuk mencelah bagi mengemukakan
sebarang soalan semasa penerangan disampaikan. Kamarul (2007) menjelaskan tujuan kaedah ini
adalah untuk merangsang pemikiran. Menyoal merupakan sebahagian daripada interaksi antara
guru dan murid. Sebagaimana yang diketahui, kaedah menyoal dapat membangkitkan kecerdasan
dan menggalakkan berfikir. Keadaan ini dapat membuatkan seseorang itu menumpukan perhatian
fikirannya terhadap apa yang sedang diingati.
Bagi PEKTA yang baharu dilantik untuk mengendalikan kursus, mereka perlu berhatihati dan jangan terburu-buru dalam menjawab sebarang permasalahan hukum. Sekiranya kurang

6

jelas tentang sesuatu isu yang dibangkitkan, PEKTA boleh memohon keizinan untuk
menjawabnya pada sesi akan datang. PEKTA boleh merujuk persoalan tersebut dalam buku Soal
Jawab Haji dan Umrah yang disediakan oleh pihak Tabung Haji. PEKTA juga digalakkan
menjadi ahli dalam kumpulan whatsapp dan telegram PEKTA untuk memudahkan mereka
membuat rujukan kepada ahli kumpulan tersebut.
Antara tajuk-tajuk yang banyak menimbulkan kekeliruan hukum-hakam ialah berkenaan
dengan Rukun dan Wajib Haji, Larangan Semasa Ihram dan Dam dan Permasalahan Darah
Wanita. Kebiasaannya tajuk berkaitan dengan pemasalahan darah wanita dan isu-isu wanita
dikendalikan oleh PEKTA wanita. Kadang-kala kaedah soal jawab dilakukan secara bersemuka
antara PEKTA dengan beberapa orang peserta yang musykil selepas sesi pengajaran. Soal jawab
secara bersemuka lebih berkesan dan memberi kepuasan kepada peserta. Soal jawab merupakan
salah satu kaedah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah saw dengan malaikat Jibril dalam usaha
menyampaikan pengajaran agama kepada para sahabat. Ianya sangat berkesan kerana hanya
menfokuskan kepada topik yang kurang jelas sahaja.
iv.

Kaedah Tunjuk Cara dan Demonstrasi
Keberkesanan pengajaran akan dicapai apabila PEKTA mempelbagaikan kaedah

penyampaian terutamanya apabila berhadapan dengan peserta yang mempunyai pelbagai latar
belakang dan usia. Sesetengah tajuk tidak memadai disampaikan dalam bentuk syarahan sematamata, bahkan ia perlu kepada kaedah lain yang lebih berkesan. Oleh itu, kaedah tunjuk cara atau
demonstrasi digunakan oleh PEKTA dalam kursus haji untuk mengajar cara-cara memakai kain
ihram dengan betul, cara-cara solat hormat waktu, berwuduk menggunakan spray, tayammum
dan cara-cara melontar di jamrah. Menurut Azizi (2008) kaedah demonstrasi merupakan teknik
yang paling berkesan untuk kemahiran psikomotor. Menerusi kaedah pengajaran ini, pelajarpelajar akan dapat mencontohi tunjuk cara yang dilakukan oleh guru sewaktu pengajaran dengan
lebih tepat.
Kaedah ini

melibatkan individu tertentu menunjukkan cara membuat sesuatu atau

menghasilkan sesuatu di hadapan idividu-individu lain. Teknik ini menekankan kepada
pemusatan perhatian pelajar-pelajar terhadap langkah-langkah atau prosedur, atau peraturanperaturan yang terlibat dengan sesuatu proses ‘manual’. Tujuan kaedah ini ialah untuk
menunjukkan sesuatu prinsip supaya pelajar dapat melakukan sesuatu itu dengan cara yang
7

sistematik, teratur, kemas dan berkesan. Apabila sesuatu demontrasi ditunjukkan dengan cara
yang berkesan, maka para pelajar akan dapat meniru perilaku guru tadi, dan kaedah ini juga boleh
dipanggil ‘peniruan pasif’(Abdul Rahim dan Mohd Zawawi 2011).
v.

Kaedah Simulasi
Kaedah yang sangat penting dan berkesan dalam kursus haji sama ada KAH, KIH atau

KPH ialah simulasi. Kaedah ini adalah merupakan satu kaedah di mana satu situasi diwujudkan
untuk menyerupai keadaan sebenar dan ia melibatkan para peserta melakukan sesuatu perkara
(secara berpura-pura) dalam suasana yang terancang (Norzihan 2009). Keadaan yang diwujudkan
sama dengan situasi sebenar dan ianya bertujuan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Melalui
kaedah ini, pelajar-pelajar akan melakukan pembelajaran melalui aktiviti lakonan secara teratur
dan dikawal. Lazimnya kaedah pengajaran jenis simulasi ini adalah bertujuan untuk
mempelbagaikan aktiviti pembelajaran dan membina sifat positif pada peserta (Azizi 2008).
Menurut Buku Panduan Am Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (1981) simulasi
dinyatakan sebagai satu teknik PdP di mana murid-murid mengajuk dan melakukan sesuatu
secara pura-pura, tetapi dalam keadaan tersusun. Perkara-perkara yang boleh diajukkan atau
dilakukan secara pura-pura ada1ah seperti sesuatu peristiwa, masalah dan situasi dalam konteks
yang sebenar. Simulasi boleh menunjukkan keadaan yang berbagai-bagai seperti yang terdapat
dalam kehidupan manusia atau situasi sebenarnya. Dalam pengajaran haji, PEKTA akan
melakukan simulasi haji bermula daripada niat Ihram sehingga urusan haji selesai iaitu tahallul.
Model Kaabah disediakan untuk melakukan tawaf tujuh pusingan, tempat sa’ie antara Bukit Safa
ke Bukit Marwah ditandakan dengan lampu hijau untuk berlari anak-anak, lokasi seperti Arafah,
Muzdalifah dan Mina disusun kedudukannya bagi memudahkan pergerakan jemaah pada harihari haji. Para peserta juga melakukkan simulasi melontar dengan anak-anak batu di ketiga-tiga
jamrah yang telah disediakan.
Implikasi Kaedah Berkesan Dalam Pengajaran
Berdasarkan kaedah-kaedah yang digunakan oleh PEKTA dalam kursus haji ini, ianya
amat membantu para peserta memahami ibadat haji dengan lebih baik berbanding dengan kaedah
dahulu yang lebih berpusat kepada guru semata-mata. Namun, tidak semua kaedah yang
berpusatkan pelajar dapat dilaksanakan dalam PdP kerana melihat kepada latar belakang peserta

8

yang pelbagai dan bilangan peserta yang terlalu ramai. Oleh itu, kaedah syarahan, kuliah,
penerangan dan soal jawab masih relevan dan penambahbaikan dilakukan dengan penyediaan
Alat Bantu Mengajar (ABM) seperti power point yang seragam seluruh Malaysia. Tujuannya
adalah untuk memastikan bakal jemaah haji Malaysia mendapat input yang sama walaupun
berada di negeri yang berbeza. Ianya juga dapat dapat mengelak PEKTA daripada meleret semasa
penyampaian dan tidak fokus kepada tajuk yang meyebabkan peserta jemu. Sehubungan itu,
jemaah haji Malaysia sentiasa mendapat pujian daripada Kerajaan Arab Saudi atas sikap dan
disiplin yang baik ditunjukkan sepanjang musim haji.
Penyampaian PEKTA yang berkesan dengan kaedah pengajaran yang menarik banyak
mempengaruhi pemahaman peserta kursus haji. Selain daripada kaedah yang digunakan, PEKTA
juga menguasai kandungan MBHB dengan baik supaya penyampaian lebih jelas dan
menyakinkan peserta. PEKTA berperanan untuk menjelaskan kepada peserta sehingga mereka
mampu menggambarkan kronologi perjalanan haji ini dengan jelas. Tidak dinafikan bahawa
kaedah yang digunakan tidak dapat memenuhi sepenuhnya kehendak pengajaran. Terdapat
peserta daripada warga emas yang sukar untuk menguasai ilmu-ilmu haji disebabkan faktor usia.
Oleh itu, Bahagian Bimbingan mengadakan ujian penilaian untuk mengukur kefahaman peserta
yang terpilih untuk menunaikan haji. Bagi mereka yang gagal dalam ujian tersebut, KKH
diadakan untuk mereka dalam kumpulan yang kecil iaitu 10 hingga 20 peserta. Kaedah
pengajaran yang sama digunakan dalam kursus ini, cuma pendekatannya adalah berbeza kerana
dalam kumpulan yang kecil. PEKTA berusaha memahami permasalahan yang dihadapi oleh
setiap peserta dan kaedah soal jawab dan dialog lebih banyak digunakan dalam PdP.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan dalam kajian ini, dapatlah disimpulkan bahawa kaedah
pengajaran yang digunakan oleh PEKTA dalam kursus haji ini amat membantu orang awam
memahami perjalanan ibadat haji dengan lebih baik. Kepelbagaian kaedah pengajaran seperti
kaedah syarahan, kuliah, penerangan, bercerita, dialog, perbincangan, soal jawab, tunjuk cara,
demonstrasi dan simulasi amat perlu bagi meningkatkan kefahaman peserta dan menarik minat
mereka untuk menghadiri kursus haji. Namun, kaedah latihan dalam kumpulan dan
pembentangan kurang sesuai digunakan dalam kursus haji kerana masih ramai peserta yang
belum dapat menguasai konsep-konsep asas dalam ibadat ini dan jumlah peserta yang ramai.
Pada masa yang sama, PEKTA perlu menghabiskan tajuk dalam MBHB mengikut jadual yang
telah ditetapkan. Oleh itu, kaedah pengajaran haji yang diamalkan sekarang masih relevan dan
9

penambahbaikan dari aspek kreativiti dan inovasi PEKTA perlu dilakukan supaya orang ramai
tidak jemu untuk mengikuti kursus haji yang diadakan setiap tahun dengan kandungan yang
sama. Justeru, latihan pengajaran kepada PEKTA perlu ditingkatkan lagi supaya selari dengan
perkembangan semasa dan citarasa jemaah masa kini.
Rujukan
Abdul Rahim Abdul Rashid. 2002. Kemahiran berfikir merentasi kurikulum: Pendekatan
pedagogi dan wawasan pendidikan bestari. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti.
Abdul Rahim Hamdan dan Mohd Zawawi Ismail. 2011. Kesesuaian Isi Kandungan,
Masa, Kemudahan dan Alatan dan Kaedah Tunjuk Cara (Demonstrasi) dalam Mata Pelajaran
Kemahiran Teknikal dari Perspektif Guru-Guru Kemahiran Hidup di Sekolah Menengah di
Daerah Kuala Krai, Kelantan. Journal of Technical, Vocational & Engineering Educational
Volume 3 Sept.: 14-32.
Atan Long. 1980. Psikologi Pendidikan . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Azizi Yahaya dan Chu Siew Pang. 2008. Kaedah Pengajaran Guru Dalam Penggunaan
Alatan Tangan. Sekudai:Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Kamarul Azmi Jasmi dan Ab. Halim Tamuri. 2007. Pendidikan Islam Kaedah
Pengajaran & Pembelajaran. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Kementerian Pelajaran Malaysia. 1981. Buku Panduan Am Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lembaga Tabung Haji. 2015. Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah. Kuala Lumpur: Bahagian
Bimbingan Jabatan Haji.
Lembaga Tabung Haji. 2014. Modul Kursus Asas Haji Musim Haji 1435H. Kuala
Lumpur: Bahagian Bimbingan Jabatan Haji.
Lembaga Tabung Haji.2015. Nota Kursus Asas Haji. Kuala Lumpur: Bahagian
Bimbingan Jabatan Haji.
Lembaga Tabung Haji. 2013. Soal Jawab Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah. Kuala
Lumpur: Bahagian Bimbingan Jabatan Haji.
Norzihan binti Zakaria. 2009. Penggunaan Teknik Simulasi dalam Meningkatkan
Pemahaman Pelajar dalam Mata pelajaran Sejarah. SMK Sri Tapah.
Othman Ab. Rahman. 2016. “Kaedah Pengajaran Berkesan Pembimbing Ibadat Haji dan
Umrah”. Kertas kerja Kursus Sijil Pembimbing Ibadat Haji, 28 Mei hingga 2 Jun 2016, USIM.
Portal Lembaga Tabung Haji. http://www.tabunghaji.gov.my/bimbingan.

10

Surat Pelantikan Pengkursus Kursus Asas Haji (KAH) 1438H Untuk Negeri/ Daerah
Wilayah Pesekutuan. 8 Disember 2016.

.

11