Reformasi Pendidikan Islam di Malaysia

REFORMASI PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA:
SUATU SOROTAN SEJARAH1
Solahuddin Ismail
Mohd Nizho Abdul Rahman
Alias Puteh
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
Perkembangan pendidikan Islam bertapak selari dengan kedatangan Islam di Alam
Melayu. Proses berterusan ini telah mengalami evolusi yang amat ketara dalam
mendepani cabaran modenisasi dan sekularisme yang dibawa oleh kolonialisme. Di
Malaysia, pendidikan Islam secara formal bermula dengan ‘sekolah atap’. Ia
kemudiannya berkembang maju dan berupaya berasimilasi dengan sistem
pendidikan Barat (sekular) sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Keserasian ulama
dan pemerintah dalam memartabatkan pendidikan Islam akhirnya berjaya
menginstitusikan pendidikan Islam sehinggalah ke peringkat menara gading. Kertas
ini akan membincangkan proses evolusi dalam pendidikan Islam di Malaysia dengan
mengamati perubahan-perubahan yang berlaku dalam tiga zaman iaitu zaman pra
kolonialisme, zaman kolonialisme dan zaman selepas kolonialisme sebagai asas
untuk lebih memahami Islam yang menjadi agama rasmi di Malaysia.

1.


PENDAHULUAN

Pendidikan merupakan teras utama dalam Islam. Ia merupakan soal pokok yang dengannya akan dapat
memenuhi citra Islam yang lain. Kedatangan agama Samawi ini adalah dengan seruan mendidik. Jibril a.s.
telah mengajar dan mendidik Muhammad s.a.w. agar membaca (menghafaz-memorize) di Gua Hira’.
Seruan pertama Islam yang diwahyukan oleh Allah SWT melalui Jibril a.s. ini telah mengingatkan kepada
kita bahawa agama baru yang diturunkan meletakkan asas ilmu sebagai teras untuk membangunkan
kehidupan manusia. Maka ilmu yang melalui proses pendidikan tertentu akan menjadikan manusia
berbeza taraf kedudukan bukan hanya di sisi manusia malahan juga di sisi Allah SWT.
Kedatangan Islam di Alam Melayu sejak abad ke11M telah membawa perubahan baru dalam kehidupan
masyarakatnya. Islam telah merevolusikan pandangan beragama orang-orang Melayu (sebelumnya
menganut animisme-Hinduisme-Buddhisme) agar menyerah diri sepenuhnya dan mengEsakan Allah SWT
selaku Tuhan Yang Mencipta Alam ini. Mendoktrinasi pemikiran Melayu kepada Islam juga tidak terlepas
keperluan mendidik dan member ilmu pengetahuan yang secukupnya tentang Islam. Proses dakwah
1

Kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Antarabangsa Pendidikan ICT Bernuansakan Islam anjuran Kolej Sastera dan Sains
(CAS) Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Universitas Syiah Kuala (UNSYIAH) Banda Acheh Sumatera Indonesia pada 1519 Disember 2009.

1


Islam ke Alam Melayu adalah selari dengan tuntutan mendidik dan mengajar masyarakat pribumi
tentang keistimewaan Islam yang berpandukan wahyu (ilmu) secara langsung dari Allah SWT. Maka
peranan pendakwah yang terdiri daripada ulama dan pedagang dilihat sebagai medium untuk
merealisasikan dan melancarkan kegiatan dakwah Islam di Alam Melayu.
Berpaksikan ilmu dan tatacara pendidikan Islam, para ilmuan telah menyebarkan risalah Islam kepada
masyarakat dengan sempurna. Keupayaan mereka meyakinkan masyarakat tempatan tentang
kesempurnaan Islam dengan metod yang mudah tanpa paksaan telah menjadikan Islam dapat diterima
dengan senang hati oleh sebahagian orang-orang Melayu. Dan proses penyebaran dakwah Islam itu
semestinya tidak dapat lari dari unsur-unsur pengajaran dan pembelajaran yang menjadi elemen utama
dalam proses pendidikan. Justeru usaha mengIslamkan penduduk secara langsung juga merupakan
usaha untuk menerapkan suatu sistem pendidikan berteraskan Islam kepada masyarakat Melayu. Maka
di awal perkembangan penyebaran Islam itu sendiri secara tidak langsung menjadi titik tolak kepada
proses pendidikan Islam di Alam Melayu. Transformasi pendidikan Islam di Malaysia khususnya telah
melalui tiga proses perubahan iaitu zaman pra kolonial, zaman kolonial dan zaman selepas kolonial.
2.

ZAMAN PRA KOLONIAL

Di Tanah Melayu, pendidikan Islam jelas dilihat berkembang semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Magnum opus Sejarah Melayu telah menukilkan perjalanan pendidikan Islam walaupun secara tidak
langsung. Gambaran Sultan Muhammad Syah telah bersama-sama rakyat jelata menunaikan solat
Tarawikh di masjid pada malam dua puluh tujuh Ramadan (A. Samad Ahmad; 1986). begitu juga dengan
solat yang dilakukan oleh Sayyid Abdul Aziz tatkala beliau tiba di Melaka dari Jeddah (W.G. Sheallabear;
56). Kefahaman Islam menjadi lebih berkualiti apabila Sultan Muzaffar Syah telah menitahkan agar
digubal satu bentuk undang-undang pemerintahan di Melaka (Zainal Abidin Wahid at all., 1992; 29).
Perundangan ini terbahagi kepada dua bahagian. Pertama; Undang-Undang Melaka yang lebih dikenali
sebagai Hukum Kanun Melaka yang terkandung di dalamnya perundangan berkaitan dengan jenayah,
muamalah, kekeluargaan, keterangan dan acara, syarat-syarat menjadi raja dan tanggungjawab sultan
dan pembesar dalam pemerintahan. Kedua; Undang-Undang Laut Melaka yang termaktub di dalamnya
peraturan-peraturan pelayaran dan perniagaan, kesalahan jenayah perdagangan serta bidang kuasa
nakhoda (Abdullah Ishak, 1990; 147). Muhd. Yusuf Ibrahim berpendapat Hukum Kanun Melaka meliputi
semua tanah, sungai, dusun dan setiap tanah jajahan takluk Melaka. Manakala Undang-Undang Laut
2

Melaka meliputi perusahaan perkapalan, perdagangan di laut dan di darat dan kegiatan berkaitan
dengannya. Kedua-duanya didasari dengan hukum syariah dan hukum adat yang telah wujud berzaman
lamanya (Zainal Abidin Wahid at all, 1992; 29) dan juga perintah raja. Pelaksanaannya secara tegas
dibuat semasa zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah. Menariknya, perundangan Melaka ini
juga telah digunapakai juga untuk negeri-negeri seperti Pahang, Johor, Perak dan Selangor di Tanah

Melayu dan juga Inderagiri dan Kampar di Sumatera serta Kepulauan Riau-Lingga yang menjadi jajahan
takluk Melaka (B.W. Andaya and L.Y. Andaya, 1982; 50-51, Abdullah Ishak, 1990; 100).
Justeru dapat dikatakan bahawa tahap pendidikan Islam pada zaman Melaka telah mencapai tahap
kematangan ilmu yang tinggi sehingga para pembesar ketika itu berupaya untuk menggubal satu sistem
perundangan berteraskan islam walaupun ianya bercampur aduk dengan adat (customary) dan perintah
raja. Prinsip-prinsip ilmu fekah telah dihubung jalin untuk membentuk satu bentuk undang-undang demi
menjaga kepentingan (maslahah) dan keadilan untuk rakyat. Penguasaan ilmu yang berkaitan dengan
syariah dan perundangan Islam menunjukkan masyarakat Melayu terutamanya di Melaka telah
membuat perubahan untuk kehidupan yang lebih baik berasaskan acuan yang diketengahkan oleh Islam.
Ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa sistem pendidikan yang diaplikasi berasaskan prinsip
Islam telah berjaya menguasai dan menjiwai pemikiran orang-orang Melayu ketika itu.
Pelaksanaan sistem pendidikan secara tidak formal di Semenanjung Tanah Melayu lahir selari dengan
perkembangan Islam itu sendiri. Ilmu Islam disampaikan secara sistem halaqah (Wan Yahya Wan Ahmad,
1994; 146-147, Syed Muhd. Khairudin al-Junied & Dayang Istiaisyah Hussin, 2005;249) seperti yang
dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w. Sistem ini juga disebut dan dikenali sebagai sebagai circle school.
Proses penyampaian ilmu banyak dilakukan dalam bentuk sehala dan secara berhadapan di mana guru
membaca kitab dengan dilingkungi oleh murid yang turut menadah kitab serta membuat catatan
berkaitan dengan syarahan yang disampaikan (Abdullah Muhammad Zain at all, 2005; 18). Kitab-kitab
yang digunakan dan bentuk ilmu yang diajar adalah tertakluk kepada guru yang mengajar berasaskan
kepada autoriti ilmu atau bidang yang mereka mahir. Ini menunjukkan bahawa intelektual agama

terdahulu sangat jujur dan prihatin dengan disiplin ilmu yang mereka kuasai. Mereka tidak akan
mencampur adukkan bidang kepakaran mereka melainkan dalam ilmu-ilmu yang menjadi amalan harian
masyarakat.
Menurut Wan Yahya, sebelum sekolah didirikan pada zaman Islam di Tanah Arab, pendidikan Islam
dijalankan di tempat-tempat tertentu seperti majlis khalifah, kuttab, istana, rumah ulama dan masjid
(Wan Yahya Wan Ahmad, 1994; 148, Fazlullah Shuib, 1995; 110-116). Model yang sama juga digunakan
3

pada tahap awal pendidikan Islam di Semenanjung Tanah Melayu, istana telah dijadikan sebagai tempat
untuk menyampaikan ilmu. Perbahasan dan penjelasan tentang ilmu-ilmu Islam telah disampaikan oleh
tokoh-tokoh agama yang berkelayakkan. Mereka ini digelar sebagai alim ulama ataupun tuan guru.
Istana, rumah, surau/madrasah dan masjid dijadikan tempat untuk menjalankan aktiviti keilmuan.
Menurut Abdul Rahman Abdullah, aktiviti pendidikan Islam di Melaka biasanya dilakukan di istana yang
juga berfungsi sebagai perpustakaan (maktabah) dan tempat untuk menyalin serta menterjemahkan
kitab (Abdul Rahman Abdullah, 1989; 145) terutamanya dari bahasa Arab dan Parsi ke dalam bahasa
Melayu. Selain dari itu, rumah tuan guru juga dijadikan sebagai pusat untuk menimba dan mentelaah
ilmu. Ia sebagai satu proses dalam memartabatkan ilmu dan kebiasaan dilakukan dalam dua bentuk iaitu
pengajian secara beramai-ramai dan pengajian secara individu di rumah tuan guru itu.
Zaman awal Islam di Tanah Melayu mempersembahkan pendidikan Islam secara langsung dari golongan
pendakwah yang datang berdagang. Mereka membawa ajaran Islam dalam diri mereka dan diperlihatkan

secara langsung kepada masyarakat tentang keistimewaan dan kewajaran agama Islam. Dengan
pengIslaman raja dan golongan bangsawan menjadikan ajaran suci ini juga diterima oleh rakyat
bawahan. Islam direalisasikan dan diamalkan bukan sekadar untuk tujuan beragama tetapi juga dalam
sistem pemerintahan dengan lahirnya Hukum Kanun Melaka dan Undang Laut Melaka yang berteraskan
al-Quran dan al-Sunnah dalam mendidik dan masyarakat agar mematuhi tata susila hidup
bermasyarakat. Pendidikan pada zaman ini dipraktikkan dengan kaedah pembelajaran secara halaqah
(circle school) mengikut bidang kepakaran guru yang mengendalikan kelas-kelas tersebut. Begitu juga
dengan tempat-tempat pengajian, ia tertakluk kepada kehendak dan keinginan masyarakat dan
kebanykkan pengajian Islam disampaikan di rumah guru, madrasah, masjid dan juga istana. Ini
melambangkan bahawa Islam itu boleh dipelajari di merata tempat asalkan ada kehendak dan kemahuan
untuk menimba dan menggali ilmu-ilmu tersebut di dalam masyarakat.
ZAMAN KOLONIAL
Melaka yang menjadi tonggak Kesultanan Melayu Islam di Tanah Melayu telah dijajah oleh Portugis
(1511M-1641M), Belanda (1641M-1786M) dan juga Inggeris (1786M-1957M). Sejarawan Malaysia tidak
banyak mengungkap perihal pendidikan pada zaman Portugis dan juga Belanda. Namun pada pandangan
penulis, sistem pendidikan Islam semestinya berjalan seperti zaman sebelumnya. Cuma mungkin
perkembangan dan kehadirannya kurang dirasai kerana unsur-unsur penjajahan lebih mendominasi

4


kehidupan masyarakat pada ketika itu. Justeru kisah dan penulisan berkaitan dengan Islam dan
perkembangannya termasuklah pendidikan Islam kelihatan seolah-olah dipinggirkan dan diabaikan.
Namun jika diteliti dengan mendalam, penjajah Portugis menguasai Melaka bermula tahun 1511M
dengan dua tujuan. Pertama; untuk memonopoli kegiatan perdagangan yang berkembang pesat di Alam
Melayu yang berpusat di Melaka. Kedua; untuk menghakis dan menghapuskan pengaruh Islam melalui
penyebaran agama kristian kepada masyarakat Melayu Islam (Zamry Abd. Kadir, 2005; 273).
Manakala Belanda pula telah berjaya menawan Melaka pada tahun 1641M. Polisi dan dasar penjajah
Belanda sama seperti Portugis iaitu politik dan ekonomi di samping mengembangkan Kristian.
Sebaliknya, Belanda menghadapi saingan politik dan perdagangan dari kuasa Barat seperti Portugis dan
juga kuasa tempatan seperti Kerajaan Bantam dan Kerajaan Mataram. Kekalutan ini menjadikan Belanda
hanya memberi fokus kepada aspek perniagaan dan pemerintahan serta tidak berusaha untuk
menyebarkan ajaran Kristian kepada masyarakat Melayu Islam. Semasa penjajahan Belanda, kegiatan
dan aktiviti berkaitan keagamaan dan pendidikan Islam mengalami kelesuan dan tidak ditonjolkan secara
ketara. Abdullah Ishak mengatakan hal ini berlaku disebabkan dua kemungkinan. Pertama; tidak wujud
sebarang bentuk penulisan atau laporan dari mana-mana pihak sama ada bersifat ilmiah atau tidak yang
melaporkan tentang kegiatan yang ada. Kedua; sikap intelektual agama yang sengaja merahsiakan
kegiatan yang berlaku bagi mengelakkan tentangan dan ancaman ganas daripada penjajah Belanda.
Namun berpandukan pernyataan-pernyataan zaman kemudiannya, maka dibuat rumusan bahawa
kegiatan agama dan pendidikan Islam tetap berjalan semasan penjajahan Belanda tetapi situasinya tidak
menonjol (Abdullah Ishak, 1995; 133).

Penjajahan British pula telah menerapkan ideologi sekular telah diterapkan dalam kehidupan orangorang Melayu melalui sistem politk yang mereka bawa. Dengan adanya pemisahan antara agama dan
struktur pemerintahan, maka sultan yang sebelumnya mempunyai kuasa mutlak ke atas sistem
pemerintahan telah dikecilkan fungsi dan penglibatannya. Mereka hanya berkuasa penuh ke atas urusan
berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat melayu sahaja manakalan urusan pentadbiran kerajaan
dikuasai sepenuhnya oleh british melalui residen dan pesuruhjaya tinggi yang dilantik. Fungsi KERAJAAN
disempitkan dan dikecilkan peranaannya menjadi kerajaan dengan wujud pengasingan kuasa oleh British
(Shamsul A.B.). Sultan dan raja Melayu dilihat seolah-olah bekerja dengan British apabila mereka dibayar
elaun bulanan dalam mengurus hal ehwal berkaitan agama islam dan adat istiadat. Apabila pentadbiran
agama Islam bernaung di bawah kuasa sultan dan raja Melayu, maka institusi ini kelihatan terpinggir dari
perkembangan pentadbiran semasa dan tidak tersusun sebaimana sepatutnya akibat kekurangan dana
5

untuk mengembangkannya. Keadaan ini menyebabkan ia tersepit kerana tidak sumber kewangan yang
terhad dan dipinggirkan malahan diasingkan terus oleh British dari kerangka besar pentadbiran British.
Kepayahan dan tekanan British menyebabkan institusi agama Islam dan adat istiadat Melayu menjadi
lemah dan boleh diibaratkan hidup segan mati tak mahu.
Proses sekularisme dan penyingkiran secara terancang oleh British ke atas institusi agama Islam juga
turut melemahkan perkembangan pendidikan Islam di Tanah Melayu. Ia berlaku kerana sokongan oleh
sultan dan raja terhadap institusi pendidikan Islam menjadi semakin berkurangan kerana kuasa mereka
yang terhad oleh konsep pengasingan kuasa (separation of power) oleh British melalui sistem sekular

yang diterapkan dalam pemerintahan mereka. Pensekularan sistem pemerintahan oleh British
menjadikan institusi pendidikan Islam hilang tempat untuk bergantung dalam mendapatkan bantuan dan
sokongan dari pemerintah yang berkuasakhususnya sultan dan raja Melayu. Dasar tidak campurtangan
British ke atas hal ehwal agama dan istiadat Melayu menjadikan pendidikan Islam terabai dan sengaja
diabaikan dari perhatian penjajah. British percaya bahawa kemajuan ekonomi dan kestabilan politik
mampu dicapai selagi status quo (tidak campurtangan dalam agama Islam dan adat istiadat Melayu)
dalam masyarakat diperlihara (Mohammad Redzuan Othman, 2005; 18).
Keterasingan akibat dari proses sekilarisasi menyebabkan golongan ulama dan tokoh pendidik Islam
mengambil inisiatif sendiri untuk terus menggerakkan dan menyelenggara pendidikan Islam walaupun
tanpa bantuan dari pemerintah. Kegiatan pendidikan Islam masih berjalan seperti sebelumnya dari segi
institusi atapun kurikulumnya. Pusat-pusat pengajian Islam masih bergerak di rumah, surau dan masjid
dengan mengguna pakai kurikulum pelajaran berasaskan al-Quran bersama-sama dengan subjek Islam
yang lain (Abdullah Ishak, 1995; 134). Kaedah pengajian dan struktur pendidikan masih lagi sama seperti
yang dilakukan sebelum kedatangan British dan ia tidak mempunyai perbezaan dengan struktur dan
kaedah pengajian yang wujud di Alam Melayu. Ini kerana sistem pendidikan secara talaqqi merupakan
warisan Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi yang diwariskan kepada para sahabat dan tabi’in
hinggalah kepada ulama di Tanah Melayu. Justeru pendidikan Islam di zaman British terbahagi kepada
dua peringkat iaitu sistem pendidikan tradisional (pondok) dan juga sistem sekolah yang lebih dikenali
sebagai sistem madrasah.


6

Sistem Pendidikan Pondok
Pada abad ke 18M, Islam di Tanah Melayu terus berkembang dan diamalkan. Pasaran pendidikan Islam
bertambah maju dan mendapat permintaan yang tinggi dari masyarakat Islam. Surau, istana, rumah,
masjid dan madrasah yang sedia ada hanya mengajar ilmu-ilmu Islam secara tidak formal. Manakala
tempat pengajian yang sempit dengan ruang yang terhad tidak lagi berupaya untuk menampung jumlah
pelajar yang ramai terutamanya yang datang dari jauh (Abdullah Jusuh, 1990; 8). Justeru, ulama dan
intelektual Melayu mula memikirkan kaedah yang terbaik untuk mengembangkan dan menaik taraf
sistem pendidikan Islam di Tanah Melayu. Tiga perkara asas yang difikirkan perlu wujud dalam sistem
pendidikan ini. Pertama; sistem yang lebih efisyen dengan kaedah pengajian formal dan tersusun. Kedua;
ruang dan tempat yang luas sebagai kelas pengajian yang mampu menampung bilangan pelajar yang
ramai dalam sesuatu masa. Ketiga; mempunyai kemudahan tempat penginapan khususnya untuk
keselesaan pelajar yang datang sama ada dari tempat yang jauh atau dekat yang menginginkan tempat
berteduh. Hasilnya muncul satu kawasan pengajian Islam yang dilengkati dengan ketiga-tiga asas ini yang
dinamakan sebagai pondok.
Ia merupakan institusi pendidikan formal pertama yang diperkenalkan di Tanah Melayu dengan kelaskelas pengajian dan tempat tinggal pelajar. Kelahiran sistem pondok tercetus akibat dari keghairahan
masyarakt untuk menambah ilmu pengetahuan tetapi tidak mempunyai ruang yang selesa untuk belajar.
Tanah yang dijadikan tempat belajar kebiasaannya adalah milik pengasas ataupun tanah yang diwakafkan
sama ada khusus untuk tujuan pendidikan atau untuk tujuan umum pembangunan masyarakat Islam.

Justeru, kerjasama dan sokongan masyarakat Islam yang turut serta menghulurkan bantuan tenaga
semasa membina dan dana material menjadikan pendidikan Islam terus subur bercambah di Tanah
Melayu. Amanah yang dipegang oleh tuan guru amat besar sekali kerana mereka bertanggungjawab
untuk mengajar dan mentadbir perjalanan sistem tersebut.
Sistem pendidikan pondok di Tanah Melayu dikatakan berasal dari Pattani (Ismail Awang, 2006; 11,
Abdullah Jusuh, 1990; 8, Ismail Che Daud, 1988; 6-7, Awang Had Salleh, 1977; ). Namun satu perkara
yang perlu diambil perhatian bahawa Acheh yang terkenal dengan kepesatan perkembangan
intelektualnya telah mempunyai suatu bentuk sistem pendidikan yang tersusun pada ketika itu. Terdapat
tiga bentuk system pendidikan Islam di Acheh Darussalam iaitu meunasah untuk peringkat rendah,
7

rangkang untuk peringkat menengah dan balee untuk peringkat tinggi. Gabungan bebarapa rangkang
dan balee membentuk kompleks pendidikan yang dinamakan sebagai dayah (Abdullah Ishak, 1990; 117).
Justeru mengatakan bahawa sistem pondok berasal dari Pattani adalah agak tidak adil bagi sumbangan
yang telah dibuat oleh Acheh. Ia mungkin salah faham dalam bentuk dalam bentuk pembuktian fakta
sejarah kerana Acheh sudah pun mempunyai hubungan kekeluargaan Melayu Islam dengan sejak
kejatuhan Melaka ke tangan penjajah Portugis lagi. Dan kemunculan sistem pondok di Tanah Melayu
pada akhir abad 18M kerana ia dibawa oleh ulama Pattani yang banyak mendapat didikan Islam dari
Acheh. Dengan demikian, Acheh menjadi peneroka sistem pondok dan dijadikan model dalam
pendidikan Islam oleh Pattani seterusnya Tanah Melayu oleh ulama Pattani.
Populariti sesebuah pondok bergantung kepada kemasyhuran guru merangkap pengasas kepada
kelahiran sesebuah pondok. Ia bergantung kepada bidang kesarjanaan yang dimiliki guru serta
kemampuan guru untuk menterjemahkan kesarjaanan kepada pelajar. Kemasyhuran ini juga tertakluk
kepada lokasi serta silsilah guru tempat pengasas pondok belajar (Fauziah Shaffie, 2001; 127). Aspek ini
menjadi faktor utama untuk menarik pelajar datang belajar dengan seseorang guru. Pondok Bohor di
Alor Setar Kedah misalnya mempunyai lebih dari 300 buah(Abdullah Ishak, 1995:196). Sistem pondok
umpama sebuah fakulti dalam universiti yang besar yang melihat kepada kepakaran disiplin ilmu yang
dimiliki oleh seseorang guru sebelum pelajar datang belajar dengan mereka. Cuma bezanya ialah fakulti
mempunyai ramai guru yang mengajar mengikut kepakaran masing-masing sedangkan sistem pondok
hanya mempunyai seorang guru yang mengajar disiplin ilmu yang pelbagai.
Sistem pengajian pondok tidak mengenakan sebarang bayaran sebagai yuran pengajian kepada
penuntutnya. Cuma pada peringkat awal, pelajar dikehendaki membeli pondok yang akan didiami dan
wang tersebut akan digunakan untuk kerja-kerja penyenggaraan bangunan utama di kawasan pondok.
Manakala guru pula tidak dibayar gaji seperti institusi pendidikan lain. Pendapatan guru yang utama
adalah dari hasil kebun atau sawah yang dikerjakan secara percuma oleh pelajar-pelajar. Selain itu,
terdapat juga sumbangan lain hasil dari perkhidmatan keagamaan seperti syarahan agama, sembahyang
jenazah, dan sebagainya selain dari kutipan derma, sedekah dan zakat. Sebelum wujudnya
penguatkuasaan kutipan zakat oleh Jabatan Agama, hasil zakat dikuasai oleh guru-guru pondok (Awang
Had Salleh, 1977; ) kerana mereka termasuk dalam golongan asnaf fi sibiliLlah (berjuang di jalan Allah)
yang layak menerima zakat. Sumber pendapatan inilah yang digunakan oleh guru untuk saraan
kehidupan seharian dan mengurus serta menyelenggara kawasan pondok.
8

Pelajar yang berjaya menamatkan pengajian mereka di pondok tidak diberi sijil sebagai tanda mereka
menamatkan pengajian. Tetapi dengan kemampuan ilmu yang dimiliki menjadikan mereka mempunyai
kelayakkan untuk melanjutkan pengajian di Hijaz (Mekah dan Madinah). Ia sebagai usaha untuk
melayakkan diri menjadi seorang ulama (Mohammad Redzuan Othman, 2005; 63). Keadaan ini
menunjukkan berlakunya kesinambungan ilmu yang sebelumnya dipelajari dan diperolehi melalui kitabkitab dari Hijaz dan kesudahannya pelajar sendiri yang berpeluang untuk belajar di Hijaz yang menjadi
sumber utama pembinaan ilmu-ilmu Islam dan tempat bermastautin ulama-ulama tersohor Islam.
Contohnya; pada akhir abad ke 17, Syeikh Abdul Malik Abdullah dari Terengganu telah menyambung
pengajian di Mekah setelah lama menuntut di Acheh. Begitu juga dengan Syeikh Muhammad Arsyad alBanjari, Syeikh Nawawi al-Bantani dan Syeikh Daud al-Fatani yang bukan sahaja belajar di Mekah tetapi
juga diberi pengiktirafahan untuk mengajar di Masjid al-Haram Mekah (Mohammad Redzuan Othman,
2005; 64). Inilah lambang ketinggian ilmu dan kesarjanaan yang dimiliki oleh ulama pondok yang bukan
sahaja terkenal di Alam Melayu tetapi juga diperingkat antarabangsa. Tumpuan lepasan pengajian
pondok ke Hijaz disebabkan silsilah guru dan tempat pengajian yang tersohor dengan kemuliaan dan
keberkatan bagi mewarisi ilmu hingga sampai ke Rasulullah s.a.w.
Sistem pengajian pondok menghadapi zaman kesukaran apabila muncul sekolah atau madrasah agama
yang melaksanakan sistem pengajian yang lebih sistematik dan tersusun. Suatu sistem baru dalam
pendidikan Islam yang mengikut struktur dan gaya penjajah British tetapi dimanfaatkan untuk
kepentingan pengajian Islam. Kemunculan sistem persekolahan telah menyebabkan tradisi pengajian
pondok kurang diminati dan akhirnya pupus di tinggal zaman. Namun begitu, di Kelantan hingga ke hari
ini masih lagi wujud tradisi pengajian pondok seperti Pondok Pasir Tumbuh dan Pondok Lubuk Tapah. Ia
kekal bertahan kerana wujud segelintir masyarakat yang masih mempercayai keupayaan tradisi ini dalam
pembinaan ilmu fizikal dan spiritual. Walau bagaimanapun kaedah persekolahan Islam secara moden
lebih diminati oleh anak-anak Melayu kerana pengiktirafan dalam bentuk sijil telah membuka ruang dan
peluang untuk mereka mendapatkan pekerjaan dengan mudah di bawah naungan British malah hingga
ke hari ini.
Sistem Madrasah/Sekolah Agama

9

Sistem pengajian Islam yang moden yang menggantikan sistem pengajian pondok muncul untuk
menyaingi sistem pendidikan sekular yang ditubuhkan oleh British. Ia dikenali sebagai sekolah agama
ataupun madrasah. Inisiatif penubuhan persekolahan moden ini dibuat untuk mengketengahkan satu
bentuk pengajian Islam dengan lebih tersusun dan bersistematik dengan prasarana yang lengkap sebagai
sebuah institusi pendidikan. Ia juga sebagai langkah alternatif untuk orang-orang Melayu Islam
mendapat pendidikan yang sempurna dan setaraf seperti yang diperkenalkan oleh penjajah British.
Langkah menghadapkan orang-orang Melayu dengan pendidikan Islam moden merupakan
kesinambungan dari usaha yang dibuat oleh ulama dan tokoh agama sebelumnya. Sistem persekolahan
Islam secara moden masih lagi mengekalkan konsep ilmu yang sama seperti yang diajar di institusi
pondok tetapi dibuat perubahan dalam bentuk operasi, penambahbaikan struktur bangunan dan
pengemaskinian serta tambahan dalam kurikulum sejajar dengan fungsi dan tatacara pengendalian
sekolah.
Konsep sekolah agama/madrasah dibina sama seperti sekolah Inggeris kerana ia mempunyai struktur
bangunan, kelas-kelas pengajian atau bili-bilik darjah, kurikulum pengajian, guru, pelajar, wujud
peperiksaan sebagai ujian tentang kefahamn ilmu yang dipelajari, diiktiraf dalam bentuk persijilan dan
mempunyai pejabat yang beroperasi yang menjalankan operasi pentadbiran. Struktur bangunan dibina
di atas tanah sama ada diwakafkan oleh orang ramai ataupun tanah yang dikurniakan oleh sultan atau
raja Melayu. Bilik darjah dibuat secara partisan atau blok tertentu untuk menempatkan sejumlah
tertentu murid di dalamnya. Kurikulum sekolah agama peringkat awal masih lagi terikut dengan tradisi
pengajian pondok tetapi ia distrukturkan semula dengan menggabungkan subjek agama dengan subjek
sekular. Guru-guru kebiasaannya terdiri dari lepasan pondok dan mereka yang mendapat pendidikan dari
Timur Tengah khususnya dari Universiti al-Azhar Mesir. Peringkat awal murid dipilih tanpa berdasarkan
umur tetapi mengikut kemampuan menerima ilmu yang diajar tetapi kaedah ini diubah dengan memilih
murid mengikut umur. Pelajar akan dinilai melalui peperiksaan tertentu bagi menentukan keupayaan
berinteraksi dengan ilmu yang diajar mengikut kelas yang ditempatkan. Lepasan sekolah
agama/madrasah akan diberi sjil sebagai pengiktirafan bahawa mereka telah berjaya dalam ujian yang
ditetapkan. Sijil ini boleh digunakan untuk mendapatkan pekerjaan atau berguna untuk melanjutkan
pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Sekolah agama juga mempunyai pejabat yang menjalankan
operasi mengurus seperti penggajian guru, penyelenggaraan (maintenance) bangunan, pengurusan
keluar masuk murid dan sebagai yang berkaitan dengan urusan pentadbiran.

10

Idea penubuhan sekolah agama/madrasah bermula apabila muncul tokoh-tokoh agama yang mula
memikirkan tentang permasalahan umat Melayu di bawah naungan penjajah British. Isu-isu berkaitan
dengan agama, kehidupan dan kolonialisme telah diperdebatkan dalam masyarakat. Mereka menyedari
bahawa hanya dengan ilmu dan pendidikan sahaja bangsa Melayu akan terlepas dari belenggu
penjajahan dan kemelaratan hidup (B.W. Andaya & L.Y. Andaya, 1982; 203). Cetusan perdebatan ini
dibuat oleh golongan yang mendapat pendidikan dari Timur Tengah terutamanya lepasan Universiti alAzhar (Abdullah Jusuh, 1989; 16). Mereka terkesan dengan perjuangan dan konsep pembaharuan
gerakan Islah (Auni Abdullah, 2005; 111, Wan Mohd Ali dan Uthman el-Muhammadi, 1977; 32) yang
dibuat oleh Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh serta modenisasi yang berlaku di Turki. Di
Tanah Melayu mereka dikenali sebagai golongan reformis atau kaum al-Manar. Antara mereka yang
terkenal ialah Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syed Syeikh Ahmad al-Hadi yang menjadi ahli dalam
mengasaskan majalah al-Imam iaitu suatu majalah berkala berbahasa Melayu (W.R.Roff, 2004; 65) yang
banyak membincangkan permasalahan Melayu dalam menghadapi arus permodenan yang dibawa oleh
Barat. Mereka juga antara reformis Islam yang mengajak umat Melayu supaya kembali kepada Islam yang
sebenar berasaskan al-Quran dan al-Hadis dengan melakukan ijtihad sebagai jalan keluar bagi sesuatu
masalah agama dan tidak bertaklid (Syed Muhd Khairudin al-Juneid & Dayang Istiaisyah Hussin, 2005;
252) secara membuta tuli dalam amalan agama. Golongan ini banyak menulis dalam Majalah al-Imam
yang menuntut agar diadakan reformasi dalam kehidupan sosial dan ekonomi. Teras kepada perubahan
ini adalah pendidikan.
Kesan dari cabaran dan kritikaan al-Imam agar diadakan reformasi dalam kehidupan orang-orang Melayu
terutamanya dalam bidang pendidikan Islam, maka pada tahun 1908, sebuah institusi pendidikan Islam
moden yang mengambil model pendidikan dari Mesir dan Barat telah ditubuhkan dengan bantuan dan
daya usaha Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syed Seikh Ahmad al-Hadi. Ia dikenali dengan nama Madrasah alIqbal al-Islamiyah yang ditadbir oleh Othman Effendi Rafat berbangsa Mesir. Tenaga pengajarnya terdiri
daripada guru-guru yang dibawa masuk dari Mesir. Penubuhan sekolah agama moden ini menjadi titik
awal kepada perkembangan pendidikan Islam di Tanah Melayu. Sekolah agama ini mula mendaftarkan
pelajar dari kampung dan bandar dan melantik mereka sebagai wakil untuk mengembangkan hasrat
perjuangan golongan reformis ini. Sifat pembaharuan yang dicanangkan oleh mereka menyebabkan
mereka diejek dengan panggilan Kaum Muda atas sifat dan sikap radikal yang diperjuangkan kerana
aliran pemikiran dan pandangan mereka yang sentiasa berbeza dan bercanggah dengan pemikiran

11

semasa masyarakat yang lebih dikenali dengan jolokan Kaum Tua. (Syed Muhd Khairudin al-Juneid &
Dayang Istiaisyah Hussin, 2005; 252, W.R.Roff; 2004; 71).
Madrasah Hamidiyah Islamiyah di Limbong Kapal Alor Setar Kedah (1906M), Madrasah Muhammadiyah
Melayu di Kelantan (1917M), Madrasah Idrisiyah di Perak (1920M), Madrasah al-Ra’ayat di Arau Perlis
(1930M) dan lain-lain merupakan antara sekolah agama yang menggabungkan aliran moden Inggeris
dengan aliran agama secara serentak. Hasilnya wujud sistem sekolah dwi aliran dengan kurikulum yang
tersendiri di sekolah-sekolah berkenaan sebagai usaha melahirkan pelajar yang bukan sekadar
mendalami ilmu berkaitan agama Islam tetapi juga menguasai ilmu-ilmu lain yang dibawa oleh sekolah
tajaan Inggeris (sekular). Serampang dua mata yang dilakukan oleh reformis ini mampu menyaingi
sekolah Inggeris dan sebagai alternative kepada ibubapa yang tidak mahu anak-anak mereka
diKristiankan oleh penjajah pada ketika itu.
Pembentukan kurikulum yang bersifat dwi hala telah dibentuk oleh golongan reformis Islam di tanah
Melayu agar pelajar keluaran sekolah agama/madrasah mampi bersaing dengan pelajar lepasan sekolah
Inggeris. Matlamat untuk membentuk insan yang mempunyai ilmu keduniaan dan ilmu keakhiratan
direalisasikan ke atas sekolah agama/madrasah demi memperlihatkan kesejagatan ilmu Islam. Ia dilihat
menjadi kaedah terbaik untuk di samping melihat keupayaan masyarakat Islam menguasai ilmu dan lebih
bermakna lagi dapat membuktikan bahawa wujud pertalian ilmu dunia dan ilmu akhirat dalam
kehidupan. Ternyata kerangka kurikulum yang dibina telah mnghasilkan pelajar-pelajar yang bukan
sahaja menguasai ilmu-ilmu Islam tetapi juga berjaya meraih kejayaan dalam ilmu sekular.
Pengintegrasian ilmu yang dibentuk melalui kurikulum pendidikan Islam yang dipraktis ke atas sekolah
agama/madrasah telah member sumbangan besar kepada peradaban Melayu Islam. Malahan kaedah ini
juga mendapat pengiktirafan untuk melanjutkan pengajian dieringkat yang lebih tinggi di Universiti alAzhar Mesir dan university-universiti lain di Timur Tengah.
ZAMAN PASCA KOLONIAL
Cita-cita intelektual Islam untuk menubuhkan universiti Islam yang boleh memberi pendidikan tinggi
kepada orang-orang Melayu khusus dalam bidang agama. Idea penubuhan institusi pengajian tinggi
Islam tercetus apabila intelektual Islam melihat sekularisme yang di bawa oleh British mampu
menyongsangkan fahaman Islam orang-orang Melayu, menyatukan umat Islam yang berpecah (Kaum
12

Muda dan Kaum Tua) kerana salah faham tentang Islam, menjimatkan perbelanjaan yang tinggi untuk
menghantar seseotang pelajar ke universiti di Timur Tengah dan pusat untuk membekalkan tenaga
terlatih yang berupaya berdakwah dan mempertahankan survival Islam (Abdullah Muhammad Zain,
2005; 38-39). Sokongan dari sultan dan raja Melayu telah merealisasikan hasrat ini apabila Kolej Islam
Malaya ditubuhkan pada tahun 1955M di Istana Jamiah Klang Selangor. Usaha intelektual agama dengan
sokongan sultan dan raja Melayu dalam memartabatkan institusi pendidikan Islam dari sekolah pondok
yang serba kekurangan hingga ke terbina institusi pengajian tinggi Islam yang terkenal hingga peringkat
antarabangsa perlu disokong, dihargai dan dipuji.
Pada tahun 1965M, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) ditubuhkan di Istana Nilam Puri di
bawah kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Seramai 43 orang pelajar dalam
dan luar negara seperti Brunei dan Singapura telah diterima masuk ke YPTIK pada peringkat awal
penubuhannya. Mereka menduduki Kuliah Syariah wa al-Qanun. Pada tahun 1966M, Ma’ahad Dakwah
wa al-Imamah telah diwujudkan sebagai satu lagi cabang pengajian di YPTIK. Ia bertujuan untuk
melahirkan golongan pendakwah terlatih untuk mengembangkan lagi Islam di samping menjadi benteng
ilmu untuk mempertahankan Islam dari serangan musuh. Namun ijazah yang dikeluarkan oleh YPTIK
tidak mendapat pengiktirafan Kerajaan Malaysia kerana menyalahi Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU)
1971 walaupun Universiti al-Azhar Mesir mengiktiraf ijazahnya. Pada tahun 1981M, YPTIK telah
bergabung dengan Universiti Malaya Lembah Pantai dan menubuhkan Akademi Islam Universiti Malaya.
Ia sebagai langkah untuk mendapat pengiktirafan ijazah yang mereka keluarkan dan pusat pengajian di
Nilam Puri dijadikan kampus untuk persediaan atau pra ijazah bagi para pelajar pengajian Islam sebelum
mereka memasuki Akademi Islam Universiti Malaya (Abdullah Muhammad Zain at all., 2005; 31-35).
Manakala Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi ditubuhkan pada tahun
1970M hasil gabungan antara Kolej Islam Malaya dengan UKM. Terdapat tiga jabatan yang dikendalikan
oleh Fakulti Pengajian Islam UKM iaitu Jabatan Syariah, Jabatan Usuluddin dan Jabatan Pengajian Bahasa
dan Kesusasteraan Arab. Kuliah pengajian dikendalikan dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab (Abdullah
Muhammad Zain at all., 2005; 94-98). Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak pula ditubuhkan pada
tahun 1983M di bawah Akta Syarikat (Compony Act) oleh Kerajaan Malaysia dengan tajaan bersama
Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Negara-negara Islam lain seperti Libya, Mesir, Maldives, Arab
Saudi, Pakistan, Turki dan Bangladesh. Penubuhan UIA di bawah Akta Syarikat bertujuan untuk
membolehkan kuliah pengajian diajar dalam bahasa asing seperti bahasa Inggeris dan bahasa Arab
13

kerana perundangan Malaysia hanya membenarkan penggunaan bahasa Malaysia. UIA mempunyai
empat fakulti yang dinamakan sebagai ‘kulliyah’ iaitu Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Kulliyah
Ekonomi dan sains Pengurusan, Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan dan Kulliyah Perubatan. Ia
juga mempunyai sebuah pusat matrikulasi sebagai persediaan dari kalangan pelajar Malaysia untuk
memasuki UIA (Abdullah Muhammad Zain at all., 2005 125-131). Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Nilai wujud hasil naik taraf Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM). Ia ditubuhkan pada tahun 2000M
dengan menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Kumpulan pelajar pertama adalah seramai
200 orang. KUIM mempunyai empat fakulti iaitu Fakulti Syariah dan Kehakiman, Fakulti Pengajian alQuran dan Sunnah, Fakulti Dakwah dan Pengurusan Islam dan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (Abdullah
Muhammad Zain at all., 2005; 139-144).
Kegigihan inteletual agama mengembangkan ilmu keagamaan hingga tertubuhnya institusi pengajian
tinggi Islam di Malaysia merupakan hadiah yang amat bermakna buat generasi Islam pascakolonialisme.
Usaha memodenkan institusi pengajian Islam atas sokongan kerajaan dan rakyat telah menyempurnakan
sebahagian dari tugas dakwah Islam yang dibawa oleh generasi terdahulu. Adalah menjadi tugas
intelektual Islam kini untuk mempertahankan Islam yang sedia ada serta mengembangkan lagi agar
kesempurnaan Islam itu dapat dihayati bukan sahaja oleh orang-orang Islam tetapi juga oleh masyarakat
bukan Islam. Kesanggupan pendakwah mengharungi cabaran dalam dan luaran dalam memartabatkan
institusi keilmuan Islam wajar dipelihara agar kesinambungan ini berkekalan hingga ke akhir zaman.
PENDIDIKAN ISLAM MUTAKHIR
Perkembangan sekolah agama mutakhir bergerak selari dengan kepesatan institusi lain di Malaysia. Ilmu
Islam terus dibina dan dikembangkan untuk menjana tenaga mahir dalam negara. Srtuktur pendidikan
Islam diperkasakan dengan mewujudkan lebih banyak pusat-pusat pengajian Islam sama ada di peringkat
rendah , menengah mahupun institusi pengajian tinggi. Sekolah-sekolah agama mendapat sambutan
hangat dari masyarakat Malaysia yang beragama Islam. Mereka memilih institusi ini kerana percaya dan
yakin bahawa kurikulum Islam yang dipelajari oleh anak-anak di sekolah agama mampu menjadi benteng
untuk menghalang diri dari melakukan perkara yang merosakkan akhlak. Pendidikan Islam juga dijadikan
wadah untuk menyelesaikan masalah akhlak dan moral ummah. Dengan berbekalkan ilmu-ilmu Islam
masyarakat percaya banyak masalah dapat diselesaikan sekiranya mereka menghayati dengan jujur dan
betul. Oleh yang demikian, kerajaan harus memperbanyakkan institusi pengajian Islam hingga ke

14

peringkat pengajian tinggi dengan menggabungkan kurikulum ilmunya dengan ilmu sekular agar
masyarakat Malaysia bersedia menghadapi cabaran semasa dengan berbekalkan ilmu pengetahuan
duniawi dan ukhrawi.
Institusi pengajian Islam sama ada di peringkat sekolah atau pusat pengajian tinggi telah didedahkan
dengan perkembangan teknologi semasa. Kemudahan mendapat maklumat di serata dunia dengan
cepat telah memperteguhkan penguasaan ilmu agama berasaskan aplikasi teknologi maklumat (IT).
Dunia ilmu menjadi semakin kecil dan tidak lagi dinilai berdasarkan sempadan negara. Kitab dan buku
rujukan pengajian Islam banyak didapati dalam bentuk digital yang boleh diperolehi secara percuma
mahupun berbayar. Usaha untuk mendapatkan ilmu serta menyebarkan kepada orang ramai menjadi
lebih mudah dan terbuka kepada sesiapa sahaja yang menginginkannya. Ilmu-ilmu Islam seperti
usuluddin, syariah dan akhlak tetap sama seperti yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. sejak 1400 tahun
dahulu tetapi penyesuaian ilmu yang bersifat tetap dengan ilmu semasa yang sentiasa berubah-ubah
perlu dimanipulasi dengan cekap dan berkesan. Justeru dengan ada platform pendidikan Islam di
peringkat tinggi (universiti), maka seharusnya ia dimanfaatkan dengan maksimum oleh intelektual Islam
untuk menjana ilmu naqli yang tetap sifatnya dengan menggunakan aplikasi-aplikasi ilmu aqli yang
sentiasa berubah-ubah supaya welstanchung Islam dapat disampaikan untuk kebaikan sejagat. Dengan
ini, barulah dapat ditonjolkan kebijaksanaan Melayu Islam mengembangkan Islam melalui kemajuan ilmu
yang dibawa oleh Barat.
TRANSFORMASI PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA
Secara nyata, sistem pendidikan Islam di Malaysia telah mengalami beberapa transformasi. Perubahan
yang berlaku sebenarnya telah memperkasakan lagi sistem berkenaan dengan adanya penambahbaikan
serta penstrukturan semula sama ada terhadap struktur fizikal, kurikulum, tenaga pengajar dan
sebagainya. Dengan bantuan dan sokongan Kerajaan Malaysia, pendidikan Islam telah mencapai tahap
kemuncak apabila diberi pengiktirafan bukan hanya di peringkat negara malahan juga di peringkat dunia
dengan wujudnya Universiti Islam Antarabangsa yang melibatkan para pelajar pelbagai bangsa dari
seluruh dunia yang inginkan sistem pengajian berteraskan Islam.
Jika diteliti terdapat dua peringkat umum yang mengubah dasar pendidikan Islam di Malaysia. Pertama;
sistem pendidikan Islam tidak formal yang bersifat tradisional. Ianya berpusat di istana, kediaman guru
15

agama, surau dan masjid. Keadaan ini wujud pada zaman awal perkembangan Islam di Tanah Melayu
atau lebih tepat lagi semasa zaman keagungan Kesultanan Melayu sebelum berlakunya kolonialisme
Barat. Walaupun kegiatan pendidikan Islam dijalankan secara tidak formal dan tidak tersusun,
masyarakat Islam pada zaman ini telah dididik oleh sarjana Islam agar menghayati Islam dengan
sempurna sehingga para pemerintah dan rakyat jelata boleh menerima Islam sebagai suatu tatacara
kehidupan ( A Way of Life) dengan wujudnya bentuk perundangan yang berasaskan prinsip-prinsip Islam
seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka yang digubal semasa zaman
pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (Zainal Abidin Wahid at all., 1992; 29). Ini menggambarkan bahawa
walaupun sistem pendidikan Islam yang didokong itu tidak mengikut sistematikanya tetapi penghayatan
terhadap ilmu telah mereka praktis dengan sempurna sehinggakan ia melibatkan urusan-urusan yang
berkaitan dengan sistem pemerintahan.
Kedua; sistem pendidikan formal mengikut acuan yang digabungkan antara sistem pendidikan Islam dan
sistem pendidikan barat. Ia berlaku bermula sejak zaman kolonialisme barat sehinggalah ke mutakhir ini.
Arus perubahan zaman akibat dari proses modenisasi telah menyebabkan pendidikan Islam terpaksa
bergerak selari dengan tuntutan zaman. Ini menunjukkan bahawaIslam itu bersifat anjal (flexible) dan
sesuai untuk sepanjang zaman dalam pelbagai urusan kehidupan. Usaha untuk memodenkan pendidikan
Islam yang dibuat oleh golongan reformis Islam atau kaum muda bertujuan untuk memberi pilihan
kepada masyarakat agar anak-anak dari keluarga Islam yang saying dan cintakan agama mereka mampu
memperolehi pendidikan sempurna seperti yang dibawa oleh penjajah. Saingan positif ini
melambangkan keupayaan Islam untuk menggembeling ilmu secara bersepadu dengan ilmu sekular
barat dalam memajukan dan memartabatkan pendidikan masyarakat Islam.
Hasilnya, wujud sistem pendidikan Islam yang dinamai dengan sekolah agama/madrasah yang bersifat
dwi aliran semasa zaman kolonialisme Inggeris. Dengan demikian nilai dan ajaran Islam tidak lagi
dipinggirkan dalam kehidupan masyarakat. Pelajar Melayu Islam yang tidak mahu bersekolah aliran
Inggeris boleh memilih untuk belajar di sekolah agama/madrasah yang kurikulumnya sama dengan
sekolah Inggeris dengan subjek-subjek Islam sebagai teras pengajian untuk memantapkan penghayatan
Islam dalam diri mereka dan subjek-subjek sekular sebagai asas untuk mereka menjalani kehidupan
duniawi seperti yang diperlukan dalam arus modenisasi. Gabungan dan jalinan ilmu-ilmu ini nyata telah
memberi nilai (added value) tambah kepada pelajar aliran agama kerana mereka bukan sahaja mampu
menguasai ilmu agama malahan juga mendalami ilmu untuk tujuan pekerjaan selepas tamat pengajian.
16

Serampang dua mata yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan Islam di Malaysia telah berjaya
melahirkan pelajar yang menguasai dwi bidang sekaligus.
Selain itu, reformasi oleh kaum muda juga telah memartabatkan status pendidikan Islam sehingga
berjaya diangkat hingga ke peringkat pengajian tinggi. Penubuhan Kolej Malaya Kelang Selangor (1955M)
menjadi titik tolak kepada memperkasakan pendidikan Islam ke tahap yang lebih tinggi. Begitu juga
dengan kelahiran Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) tahun 1965M telah menjadi
pemangkin kepada penerimaan pendidikan Islam di peringkat tinggi khususnya universiti. Kolej Islam
Malaya telah berjaya dinaiktaraf menjadi Fakulti Pengajian Islam (FPI) di Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) pada tahun 1970M. Manakala YPTIK telah diperkasakan lagi dengan penubuhan Akademi Islam
Universiti Malaya pada tahun 1981M yang mengambil kurikulum pengajian Islam dari Universiti al-Azhar
Mesir dan pengijazahannya juga setaraf dengan pengijazahan Universiti al-Azhar. Pada tahun 1983M,
Universiti Islam Antarabangsa ditubuhkan dengan tajaan bersama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)
dan negara-negara Islam lain seperti Libya, Mesir, Maldives, Arab Saudi, Pakistan, Turki dan Bangladesh.
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah dinaiktaraf dari Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) yang
ditubuhkan pada tahun 2000M (Abdullah Muhammad Zain at all., 2005; 139-144). Kesemua universiti ini
tidak sekadar menawarkan pengajian Islam semata-mata tetapi juga menawarkan kursus-kursus
konvensional yang selari dengan kehendak pasaran pekerjaan.
Hasrat intelektual Islam untuk melihat kebangkitan Islam melalui proses pendidikan di Malaysia ternyata
telah berjaya. Pengorbanan yang telah mereka lakukan telah membuahkan hasil yang telah mendapat
pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Bermula dengan sistem tidak formal yang serba kekurangan dan
kepayahan, pendidikan Islam telah menyusur arus zaman dengan pendidikan yang lebih sistematik dan
tersusun. Permodenan telah banyak mereka bentuk sistem pendidikan Islam di Malaysia. Sistem
pendidikan Islam yang lebih formal diterokai oleh kaum tua yang memulakannya dengan pendidikan
pondok dengan struktur fizikal dan kurikulum berdasarkan populariti guru bagi sesuatu pondok. Suasana
ini dikembangkan lagi oleh kaum muda yang member pendidikan pilihan kepada masyarakat yang
dahagakan ilmu Islam tetapi juga berkehendakkan sistem bawaan Inggeris sehingga melahirkan sekolah
agama/madrasah. Sistem dwi aliran berjalan lancar dan mendapat sambutan hangat dari kalangan
masyarakat Malaysia hari ini. Perkongsian antara subjek Islam dan subjek sekular telah berkembang di
kebanyakkan fakulti Islam serta universiti berteraskan Islam dalam usaha untuk mengintegrasikan dan
mengIslamisasikan ilmu seperti saranan Ismail al-Faruqi dan Syed Muhamad Naquib al-Attas agar selaras
17

dengan matlamat dan tujuan ajaran Islam agar manusia mencapai kejayaan hidup di dunia dan di
akhirat.
PENUTUP
Islam telah terbina berasaskan ilmu pengetahuan dan kependidikan. Sejak awal wahyu diturunkan lagi,
ilmu dan pendidikan menjadi elemen utama agar menuasi mengEsakan Allah SWT. Perjalanan dakwah
Islam yang penuh ranjau juga untuk tujuan mendidik manusia agar mencerap ilmu dan pendidikan dalam
kehidupan mereka. Pendidikan yang boleh membawa kebahagian dan kedamaian di dunia dan di akhirat.
Allah SWT yang mencipta manusia telah menjadikan Islam sebagai agama pendidikan dan akan mendidik
manusia sepanjang lehidupan mereka. Islamlah agama terakhir yang dapat menyelamat manusia dari
kemusnahan hidup. Janji Allah SWT dalam al-Quran “…pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu
(Muhammad) agama kamu dan Aku kurniakan kepada kamu (Muhammad) segala nikmat Aku dan Aku
redha Islam itu menjadi agama kamu…”. Islam adalah agama terakhir yang mendidik manusia agar
bertaqwa kepada Allah SWT dengan segala nikmat dan Islam juga akan menyelamatkan manusia dari
kesempitan hidup di dunia dan di akhirat.
Dalam konteks Malaysia, sistem pendidikan Islam telah melalui tiga peringkat pensejarahannya. Ia
bermula sejak penyebaran Islam, period kolonialisme dan pasca kolonialisme. Peringkat awal pendidikan
Islam yang disebarkan oleh pendakwaah yang juga pedagang Islam telah dihayati walaupun dalam
keadaan yang tidak formal dan tidak sistematik seperti yang kelihatan pada hari ini. Namun begitu, ilmuilmu Islam telah diangkat kedudukannya sehingga dijadikan asas kepada sistem perundangan Kesultanan
melayu Melaka semasa zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah . Manakala peringkat kedua iaitu
zaman kolonialisme terutama semasa penjajahan Inggeris boleh dikatakan sebagai zaman pemantapan.
Sistem pendidikan Islam diperkayakan lagi dengan ilmu-ilmu tambahan agar mampu dan berupaya
menjadi saingan sengit dengan sistem pendidikan sekular. Ia juga sebagai alternatif kepada masyarakat
Melayu Islam yang tidak mahu anak-anak mereka dikristiankan oleh sistem pendidikan barat mendapat
pendidikan yang sempurna dengan penambahan subjek-subjek yang bersifat sekular. Period ketiga iaitu
zaman pasca kolonialisme memperlihatkan zaman kegemilangan sistem pendidikan Islam di Malaysia
dengan penstrukturan semula (rebranding) sehingga melayakkan pendidikan Islam mendapat
pengiktirafan masyarakat antarabangsa. Justeru pendidikan Islam berkembang pesat selari dengan ilmuilmu lain dan kelebihannya lebih terserlah lagi apabila mampu untuk mengasimilasi dalam ilmu-ilmu lain
18

yang ditawarkan oleh pihak konvensional. Inilah kelebihan sistem pendidikan Islam yang mampu
meneroka dan menyelami ilmu-ilmu lain tanpa menjejaskan intipati ajaran islam itu sendiri. Inilah agama
universal yang sesuai buat umat sepanjang zaman hinggalah ke hari pengakhirannya dan di Malaysia,
inilah agama rasmi yang menjadi kebanggan seluruh rakyatnya.

RUJUKAN

19