Pola Sistem Pendidikan Islam di Malaysia

1

Pola Sistem Pendidikan Islam di Malaysia:
Agenda Pendidikan Insan Sepanjang Hayat
Solahuddin bin Ismail
Mohd Sobri bin Don@Wahab PhD
Zaheruddin bin Othman PhD
Kertas kerja ini dibentangkan di 3rd Lifelong Learning International Conference 2014 di Hotel Promenade
Kota Kinabalu Sabah pada 20-21 November 2014.

Abstrak
Sistem Pendidikan Islam di Malaysia telah mendepani perjalanan masa
yang sangat panjang. Ia kekal ampuh mendominasi ruang lingkup
pemikiran masyarakatnya walaupun menghadapi pelbagai tantangan
modenisasi dan globalisasi. Keterujaan Muslim untukmengaplikasi sistem
ini di dalam kehidupan harian mereka telah menghasilkan dwi bentuk
sistem pendidikan Islam di negara kita iaitu pendidikan Islam formal dan
pendidikan Islam tidak formal. Ia menjadi pemangkin dalam mengangkat
Islam sebagai agama yang amat mementingkan pendidikan dan perlu
dilaksanakan serta diamalkan sepanjang hayat penganutnya. Penekanan
ini semestinya bermula dari pendidikan awal kanak-kanak sehinggalah

mencapai usia emas. Pendekatan yang ditonjolkan oleh Islam dalam
mengurus pendidikan ummah seharusnya diberi perhatian yang mendalam
kerana sistem ini bukan sahaja konsisten dalam pelaksanaannya tetapi
juga mampu membentuk pengaruh yang luas ke atas masyarakat Muslim
di Malaysia serta memberi ruang dan alternatif untuk rakyat menjana
pengetahuan di dalam kehidupan mereka.
Kata Kunci: Islam, Pendidikan, Pendidikan Islam, Pendidikan Sepenjang Hayat
1.

PENDAHULUAN

Islam sememangnya sudah lama bertapak di dalam negara kita. Ia telah mula diterima sebagai
satu anutan dan kepercayaan beragama sejak kurun ke 13M (Wan Hussein Azmi:1980).
Pendekatan santai dan tidak memaksa yang dijalankan oleh pendakwah sama ada dari Tanah
Arab, Cina dan juga India dapat diterima dengan baik sekali oleh para bangsawan Melayu dan
rakyat jelata. Ia terus berkembang dan berjaya meneggelamkan ajaran animisme dan HinduBuddha yang mendominasi kepercayaan masyarakat Melayu sebelum tersebarnya Islam.
Kejayaan meyakinkan umat Melayu tentang kebenaran Islam oleh pendakwah - merangkap
pedagang – pada waktu itu perlu disanjung dan diberi penghargaan yang selayaknya kerana

2


dengan usaha mereka jua Islam diangkat menjadi agama majoriti rakyat negara dan dinobatkan
sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Malaysia.
Bidang pendidikan sangat diberi tumpuan dan perhatian dalam ajaran Islam. al-Quran
menyatakan bahawa orang yang berilmu akan diangkat kedudukan mereka di sisi manusia (alMujadalah:11) dan sunnah menekankan bahawa menuntut ilmu itu merupakan satu kefarduan
bagi setiap Muslim (Hadis Riwayat Ibnu Majah) tanpa mengira jantina. Gambaran umum ini
sangat jelas tentang pandangan Islam yang amat menekankan aspek pendidikan. Kelangsungan
pendidikan juga telah dinukilkan oleh sarjana Islam bahawa proses menuntut ilmu perlu
bermula dari dalam buaian (kanak-Kanak) hingga ke liang lahad (menemui kematian). Justeru,
ruang pendidikan sepanjang hayat telah lama dilaksanakan oleh Islam sebagai kerangka
mempersiapkan diri menghadapi cabaran dunia dan alam akhirat.
Perjuangan ini telah lama bergerak sejak Islam mula bertapak di negara kita. Pelbagai bentuk
pengajian telah dianjurkan oleh cerdik pandai Islam dalam memastikan masyarakat Islam kaya
dengan ilmu pengetahuan. Rupa bentuk berjaya disesuaikan oleh ulama Islam agar ia menepati
kehendak dan keperluan semasa. Persoalannya, apakah bentuk dan pola sistem pendidikan
Islam negara yang telah diketengahkan sehingga ia mampu bertahan hingga masa kini?. Justeru
kertas ini berusaha untuk membincangkan pola sistem pendidikan Islam di Malaysia yang - pada
pandangan penulis - menjadi agenda negara untuk kelangsungan pendidikan sepanjang hayat
masyarakat Muslim secara khususnya.
2.


LATAR SEJARAH PENDIDIKAN ISLAM

Proses mengembang ajaran Islam semestinya tidak dapat lari dari unsur pendidikan. Ia selari
dengan perintah Allah SWT dalam surah al-Alaq ayat 1 hingga 4. Pembacaan akan
menambahkan ilmu dan ilmu hanya mampu ditawan dengan pendidikan. Perkembangan
pendidikan Islam boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu zaman pra kolonial, zaman
kolonial dan zaman pasca kolonial. Secara umum, ketiga-tiga zaman ini memperlihatkan wujud
pasang surut proses pergerakan keilmuan Islam di Malaysia.
Semasa zaman pra kolonial, pendidikan Islam mula disalurkan melalui surau, rumah dan masjid
(Fazlullah Shuib, 1995). Pelajaran yang diajar ilmu asas fardu ain dan fardu kifayah. Sarjana
menggelarkannya sebagai sekolah al-Quran. Setelah Islam mendapat kestabilan dan disambut
dengan baik oleh masyarakat, aras pendidikan telah diangkat ke tahap yang lebih tinggi
menerokai disiplin tasawuf dan ketuhanan. Hal yang demikian telah dibuktikan di dalam Sejarah
Melayu semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Majlis ilmu di rumah guru
mula mendapat perhatian dan limpahan pelajar terutama dari luar kawasan telah memaksa
guru bergotong royong membina rumah-rumah kecil yang dikenali sebagai pondok untuk
memudahkan pelajar luar menginap (Abdullah Jusuh, 1990). Ia merupakan satu bentuk sistem
pendidikan Islam pertama yang secara terbuka diperkenalkan kepada rakyat.
Keadaan yang berbeza berlaku semasa zaman kolonial. Pendidikan Islam meneruskan legasinya

walaupun tidak banyak tulisan sarjana yang merungkaikan perkembangannya. Ia sama ada
sengaja atau tidak diperlakukan begitu bagi mengelak polisi kolonial yang sangat menekan

3

perkembangan dakwah dan pendidikan Islam yang dijalankan (Abdullah Ishak, 1995). Struktur
pemerintahan kolonial yang hanya memberi kuasa kepada sultan melayu menjaga agama dan
adat istiadat (Mohammad Redzuan Othman, 2005) sedikit sebanyak telah memberi kesan
kepada perkembangan pendidikan Islam. Kekurangan dana menyebabkan sistem pendidikan ini
bergerak secara mandiri dan bergantung kepada infak dan wakaf dari masyarakat. Selain itu, ia
juga menghadapi persaingan dengan sistem pendidikan tajaan kolonial yang lebih
menguntungkan dari aspek peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi. Namun masyarakat
Islam tidak terpikat dengan sekolah kolonial kerana menganggapnya sebagai agenda
tersembunyi kolonial untuk mengembangkan dakyah Kristian kepada rakyat. Penubuhan
sekolah Islam ala Inggeris seperti Madrasah al-Hamidiah di Limbong Kapal Kedah (1806),
Madrasah Iqbal di Singapura (1907), Madrasah al-Hadi di Melaka (1915) dan Madasah alMashoor di Pulau Pinang (1926) masih kurang meyakinkan masyarakat Islam Tanah Melayu
untuk menerima sistem pendidikan bersifat dualism. Sekolah pondok terus dipilih sebagai
keutamaan dalam kelangsungan hayat mereka.
Zaman awal kemerdekaan kurang menampakkan masyarakat Islam Tanah Melayu cenderung
untuk memilih pendidikan alternatif sama ada sekolah Melayu atau pun Sekolah Inggeris. Fasa

awal kemerdekaan masih memperlihatkan kekuatan pendidikan Islam. Institusi pendidikan
tradisional seperti sekolah pondok masih kukuh terpahat di minda masyarakat yang meyakini
bahawa ia adalah yang suatu sistem pendidikan terbaik pada masa tersebut. Bentuk pengajian
tradisional kekal mendominasi ruang pendidikan Islam masyarakat. Sekolah al-Quran dan
sekolah Pondok sangat menarik perhatian rakyat bagi kelangsungan pendidikan anak-anak
mereka walaupun ia dijalankan secara tidak formal dan berada dalam keadaan serba
kekurangan.
Walaupun sistem pendidikan Islam tradisional kekal menguasai pasaran pendidikan Tanah
Melayu fasa awal kemerdekaan, ianya sedikit sebanyak telah menimbulkan masalah terutama
dalam aspek pentadbiran agama. ia berlaku akibat dari acuan sistem pentadbiran kolonial
berkehendakkan sijil sebagai tanda kelayakkan bagi menjawat sesuatu jawatan dalam
pentadbiran termasuklah institusi keagamaan. Maka institusi pendidikan Islam ala Inggeris yang
muram sebelumnya telah diberi pengiktirafan dan diangkat sebagai institusi pendidikan Islam
formal bagi melahirkan para birokrat agama untuk turut terlibat dalam jawatan pentadbiran
negara. Maktab Mahmud (1936), Kolej Islam Kelang (1955) dan banyak lagi telah giat
melahirkan ‘ulama bersijil’ sebagai memenuhi keperluan pentadbiran tersebut. Ia menjadi
pencetus kepada kelahiran sistem persekolahan agama seperti yang ada pada masa kini.
Dalam masa yang sama, proses dakwah Islam terus berkembang dalam negara kita. Ilmu telah
diwacanakan dengan begitu giat dan aktif sekali. Kegiatan pendidikan ini dilaksanakan secara
tidak formal dan terbuka kepada masyarakat awam. Institusi keagamaan Islam seperti masjid

dan surau telah membuka ruang yang seluasnya kepada orang awam bagi mengikuti kegiatan
kerohanian Islam melalui majlis-majlis ilmu yang dianjurkan. Aktiviti agama seperti forum,
kuliah, syarahan dan seumpamanya sangat banyak dibuat bagi memberi peluang kepada
masyarakat Islam menambah dan menimba ilmu keagamaan. Media elektronik seperti radio
dan television juga turut serta dalam mengimarahkan ilmu serta berusaha mendidik masyarakat

4

menjadi insan yang bukan sahaja beramal tetapi berpengatahuan agama. Malahan terdapat
institusi pondok khusus untuk warga emas seperti Pondok Haji Abdul Majid, Pondok Haji
Hussain Dol, Pondok Lanai, Pondok Chegar dan banyak lagi di Kedah yang menyediakan tempat
bagi warga emas untuk menghabiskan sisa hidup mereka belajar agama. Hal ini membuktikan
bahawa Islam sangat menitik beratkan pendidikan bermula seawal usia kanak-kanak hinggalah
ke peringkat warga emas. Persediaan sistem pendidikan ini berlaku secara berperingkat dan
mengikut kesesuaian usia. Ia sebagai langkah untuk membentuk kefahaman Islam yang
mendalam kepada masyarakat agar menjadi Muslim yang sempurna mengikut tatacara yang
dituntut dan ditekankan oleh Islam.
3.

KONSEP DAN FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM


Bukti pertama menunjukkan Islam amat mementingkan pendidikan adalah melalui wahyu
pertama yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w. melalui Jibril a.s. yang menghendaki
Baginda membaca seperti yang terdapat dalam surah al-Alaq (96:1-5). Menurut el-Muhammady
(1991), surah ini telah memberi perhatian yang serius terhadap kepentingan menuntut ilmu
(pendidikan). Terdapat empat teras utama yang ditekankan iaitu pembacaan, pengajaran,
penulisan dan pengetahuan. Penguasaan teras utama ini merupakan asas kepada pembinaan
insan dan peradaban hidup manusia. Secara umum, pendidikan boleh diertikan sebagai proses
merubah dan memindahkan nilai kebudayaan kepada setiap individu dalam masyarakat melalui
pengajaran, latihan dan indoktrinasi (Hasan Langgulung,1979).
Menurut Abdul Halim el-Muhammady (1991), pendidikan Islam merupakan proses mendidik
dan melatih akal, jasmani dan roh manusia berasaskan nilai-nilai Islamiah yang bersumberkan
wahyu - al-Quran dan al-Sunnah – bagi melahirkan manusia yang bertaqwa dan mengabdikan
diri kepada Allah SWT semata-mata. Beliau menegaskan bahawa pendidikan Islam sangat
menekankan konsep-konsep berikut:
1.

Pendidikan seumur hidup.

2.


Pembangunan seluruh potensi manusia.

3.

Menyampaikan dwi fungsi manusia; hamba Allah dan khalifah Allah.

4.

Memakmurkan alam dengan iman dan pengetahuan.

Islam menekankan bahawa pencarian ilmu merupakan kewajipan kerana dengannya akan
melahirkan perasaan takwa. Menuntutnya dikira ibadah, perbincangan ilmu merupakan tasbih,
mengkaji dan mendalaminya adalah jihad, mengajar kepada orang jahil adalah sedekah dan
menyampakan ilmu kepada keluarga adalah amal untuk berdamping dengan Allah SWT (Abdul
Halim el-Muhammady, 1991). Demikanlah peranan dan kepentingan pendidikan dan ilmu. Ia
amat luas dan mencakupi bukan hanya diri sendiri tetapi juga melibatkan ahli keluarga dan ahli
masyarakat yang lain. Ia juga adalah suatu proses perubahan sikap dalam diri dan tindak tanduk
manusia yang bukan sahaja boleh mempengaruhi unsur dalaman manusia seperti kecerdasan
tetapi juga unsur luaran manusia seumpama alam sekitar dan nilai sosio politik dan ekonomi


5

sedia ada (Abdul Halim Mat Diah, 1989). Pengaruhnya amat luas dan keupayaannya juga boleh
mengubah perjalanan hidup manusia sama ada ke arah kebaikan atau pun keburukan. Jika
pendidikan berupaya ditangani dengan baik dan sempurna, ia akan dapat melestarikan alam.
Namun jika ia bergerak secara tidak sempurna, ilmu yang diperolehi boleh memberi
kemudaratan dan kecelakaan kepada kehidupan manusia seperti firman Allah SWT: “Telah
nyata kerosakan di darat dan di lautan disebabkan oleh tangan manusia..” (al-Rum:41). Justeru,
pendidikan sepatutnya mampu memandu manusia ke arah kebenaran dan boleh memberi
kebahagiaan kepada manusia.
Falsafah pendidikan di Malaysia telah wujud dan berkembang sejak Islam disebarkan ke Alam
Melayu. Islam yang didagangkan kepada umat Melayu pada masa itu telah dipersembahkan
dalam bentuk yang tersurat dan tersirat. Pembentukan akidah ummah melalui pendidikan
terutamanya ilmu kalam atau teologi secara tidak langsung mengangkat martabat falsafah
apabila perbincangan dibuat mengenai konsep ketuhanan, konsep hamba dan sebagainya yang
terdapat di dalam rukun iman. Pembentukan asas akidah ini dicerna melalui ilmu-ilmu teologi
yang banyak membahaskan persoalan berkaitan roh, jiwa, sifat-sifat Allah SWT yang dikenali
sebagai Sifat Dua Puluh dan banyak lagi dengan matlamat untuk mengikat jiwa masyarakat
Islam agar sentiasa menjaga persoalan tentang iman agar tidak berlaku kegelinciran akidah

yang boleh merosakkannya.
Proses modenisasi dan globalisasi telah membentuk satu paradigm baru dalam pembentukan
falsafah pendidikan Islam. Usaha yang dibina oleh sistem pendidkan Islam moden yang berjaya
menyatupadukan ilmu agama dan ilmu sekular menjadi gagasan dan acuan ke arah melahirkan
pendidikan Islam yang sempurna serta mampu memberi sumbangan ke arah kemakmuran
negara. Justeru, falsafah pendidikan menjadi cerminan dalam memberi pedoman, arah tuju
serta pandangan khususnya dalam hal yang berkaitan dengan pendidikan dunia dan akhirat. Ia
menjadi dasar dan pertimbangan asas untuk menentukan hala tuju dan matlamat pendidikan
negara. Pada tahun 1988M, Falsafah Pendidikan Islam turut diperkenalkan oleh kerajaan
sebagai langkah untuk memperkukuhkan sistem pendidikan Islam dalam negara. Ia menjadi
pemangkin dalam membentuk hala tuju yang jelas agar boleh dijadikan pedoman bagi sistem
pendidkan Islam moden berkembang dengan lebih baik. Dengan matlamat dan tujuan yang
jelas, Falsafah Pendidikan Islam dijadikan teras untu melahirkan Muslim yang sempurna dan
mengetahui peranan serta tanggungjawab mereka sebagi hamba dan khalifah untuk
memakmurkan negara. Gagasan Falsafah Pendidikan Islam Malaysia adalah seperti berikut:
Pendidikan Islam adalah suatu usaha berterusan untuk menyampaikan
ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan alSunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan
hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk
membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah
mencapai kebaikan di dunia dan di akhirat.

Pernyataan Falsafah Pendidikan Islam tersebut telah memberi nilai tambah baru ke arah
merealisasikan Islam dalam konteks pembangunan negara. Ini selaras dengan peruntukan

6

Perlembagaan Negara Fasal 1 Perkara 37 yang memartabatkan Islam sebagai agama rasmi
negara. Asas inilah yang menjadi tonggak dan dasar utama dan diterjemahkan melalui Falsafah
Pendidikan Islam agar individu yang dihasilkan melalui sistem pendidikan Islam mewujudkan
hubungan yang harmonis dengan Allah SWT, sesama insan dan alam persekitaran. Ia juga
secara tidak langsung telah memberi penekanan dalam aspek metafizik, epestimologi, aksiologi
dan logik yang sempurna selari dengan tuntutan Islam melalui pembentukan kurikulum yang
jelas dalam aspek keimanan, ilmu, akhlak, penghayatan, amalan dan matlamat untuk
melahirkan Muslim yang beriman, beramal salih dan berkeperibadian tinggi agar memperoleh
kebaikan hidup di dunia dan di akhirat (Asmawati Suhid dan Fathiyah Mohd Fakhruddin, 2012).
Falsafah pendidikan Islam secara asas telah mengikat ilmu dengan wahyu dari Allah SWT. Ia
membimbing manusia ke arah mencapai kebahagiaan dalam kehidupan di dunia dan akhirat.
Pedoman Islam telah membuka jalan yang terang untuk orang-orang Islam memperkasakan
ilmu demi kemajuan diri dan ummah. Falsafah yang menjalinkan hubungan diantara hamba dan
Pencipta, hubungan sesama manusia dan peranan mereka terhadap alam persekitaran
merupakan intipati ilmu yang yang dimanifestasikan melalui tiga prinsip Islam utama iaitu
akidah syariah dan akhlak. Prinsip-prinsip ini jika dilakukan dengan ikhlas akan memberi
kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Ia lambang bagi kesempurnaan insan yang bergelar
Muslim sepanjang hayat mereka.
4.

BENTUK DAN POLA SISTEM PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA

Perkembangan Islam yang berdepan dengan tiga zaman - pra kolonial, kolonial dan pasca
kolonial - telah memberi kesan yang mendalam ke atas perubahan sistem pendidikannya.
Cabaran yang dihadapi semasa proses perkembangan tersebut telah membentuk dua kategori
sistem iaitu sistem pendidikan Islam formal dan sistem pendidikan Islam tidak formal pada
masa kini.
4.1

Sistem Pendidikan Islam Formal

Secara umum, sistem pendidikan Islam formal boleh dibahagikan kepada tiga peringkat
pelaksanaan iaitu sistem pendidikan Islam pra sekolah, sistem persekolahan Islam dan sistem
pengajian tinggi Islam. Ia dibentuk bagi menjana ilmu bermula dari peringkat asas hingga ke
peringkat tertinggi mengikut acuan moden/barat supaya nilai ilmu yang dipelajari berupaya
untuk bersaing dengan sistem pendidikan sekular sedia ada. Disiplin ilmu dunia dan akhirat
telah digabungkan untuk membentuk pelajar yang bukan sahaja mendalami ilmu keagamaan
tetapi juga memperolehi ilmu keduniaan supaya pelajar memperolehi keseimbangan
pendidikan di dalam kehidupam mereka.
Penubuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI) pada tahun 1975 oleh Angkatan Belia
Islam Malaysia (ABIM) merupakan kelangsungan usaha untuk memberi pendidikan asas Islam di
peringkat awal kanak-kanak. Ia sebagai kesinambungan dari kelas-kelas al-Quran yang diadakan
di rumah guru, surau atau masjid yang dahulunya dikenali sebagai sekolah al-Quran. Kurikulum
asas Islam telah diterapkan seperti bacaan al-Quran, fardu ain dan amalan cara hidup Islam. Ia
juga sebagai langkah untuk kanak-kanak Islam mendapat pendedahan awal pendidikan formal

7

sebelum memasuki sekolah rendah (Mahyuddin Ashaari: 2004). Perkembangan ini diikuti oleh
PARTI Islam SeMalaysia (PAS) dengan menubuhkan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) pada
1988. Ia kemudiannya berkembang sehingga membentuk pelbagai institusi pra sekolah dengan
pelbagai kaedah pengajian seperti yang sedia ada pada masa kini. Walaupun banyak institusi
pendidikan Islam pra sekolah dibina, namun konsep dan falsafahnya adalah sama dalam
membentuk kanak-kanak Islam menjadi Muslim yang sejati berasaskan panduan al-Quran dan
sunnah.
Kelangsungan pendidikan agama diteruskan lagi ke peringkat sekolah rendah dan sekolah
menengah. Ia terbahagi kepada dua bentuk iaitu sekolah rendah/menengah kerajaan dan
sekolah rendah/menengah swasta. Sistem yang digunakan adalah sama seperti kurikulum, buku
teks dan tahap peperiksaan. Cuma mungkin kelebihan sekolah rendah/menengah swasta lebih
memberi penekanan dalam aspek pembelajaran subjek agama. Penubuhan Sekolah Rendah
Islam (SERI-1989) dan Sekolah Menengah Islam (SEMI-1989) diasaskan untuk mewujudkan
rangkaian pendidikan Islam swasta setaraf dengan pendidikan yang ditawarkan oleh kerajaan.
Ini kerana Sekolah Menengah Agama Kerajaan menawarkan tempat yang sangat terhadap
kepada pelajar Islam. Justeru penubuhan sekolah swasta Islam menjadi alternatif kepada ibu
bapa yang berkehendakkan anak-anak mereka terlibat dengan sistem tersebut.
Pada masa kini, terdapat pelbagai sekolah agama sama ada milik kerajaan atau pun swasta. Ia
boleh dibahagikan kepada beberapa bentuk. Mohd Kamal Hasan (1993) membahagikan sekolah
agama kepada empat jenis iaitu sekolah agama/Arab di bawah kuasa Kementerian Pendidikan
Malaysia, Sekolah agama/Arab di bawah kerajaan negeri, sekolah agama/Arab di bawah Majlis
Agama Isalm Negeri dan sekolah agama/Arab peringkat rendah dan menengah. Manakala
Richard G. Kraince (2009) membahagikan sekolah agama di Malaysia kepada lima jenis iaitu
Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Negeri, Sekolah Agama Swasta, Sekolah Agama
Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan.
Di peringkat pengajian tinggi pula, ia bertapak dengan penubuhan Yayasan Pengajian Tinggi
Islam Kelantan (YPTIK-1965) di Istana Nilam Puri Kelantan. Ia di bawah kelolaan Majlis Agama
Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Seramai 43 orang pelajar dalam dan luar negara
seperti Brunei dan Singapura telah diterima masuk ke YPTIK pada peringkat awal
penubuhannya. Mereka menduduki Kuliah Syariah wa al-Qanun. Pada tahun 1966M, Ma’ahad
Dakwah wa al-Imamah telah diwujudkan sebagai satu lagi cabang pengajian di YPTIK. Ia
bertujuan untuk melahirkan golongan pendakwah terlatih untuk mengembangkan lagi Islam di
samping menjadi benteng ilmu untuk mempertahankan Islam dari serangan musuh. Namun
ijazah yang dikeluarkan oleh YPTIK tidak mendapat pengiktirafan Kerajaan Malaysia kerana
menyalahi Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 walaupun Universiti al-Azhar Mesir
mengiktiraf ijazahnya. Pada tahun 1981M, YPTIK telah bergabung dengan Universiti Malaya
Lembah Pantai dan menubuhkan Akademi Islam Universiti Malaya. Ia sebagai langkah untuk
mendapat pengiktirafan ijazah yang mereka keluarkan dan pusat pengajian di Nilam Puri
dijadikan kampus untuk persediaan atau pra ijazah bagi para pelajar pengajian Islam sebelum
mereka memasuki Akademi Islam Universiti Malaya (Abdullah Muhammad Zain at all., 2005).

8

Manakala Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi ditubuhkan pada
tahun 1970M hasil gabungan antara Kolej Islam Malaya dengan UKM. Terdapat tiga jabatan
yang dikendalikan oleh Fakulti Pengajian Islam UKM iaitu Jabatan Syariah, Jabatan Usuluddin
dan Jabatan Pengajian Bahasa dan Kesusasteraan Arab. Kuliah pengajian dikendalikan dalam
bahasa Melayu dan bahasa Arab (Abdullah Muhammad Zain at all.). Universiti Islam
Antarabangsa (UIA) Gombak pula ditubuhkan pada tahun 1983M di bawah Akta Syarikat
(Compony Act) oleh Kerajaan Malaysia dengan tajaan bersama Pertubuhan Persidangan Islam
(OIC) dan Negara-negara Islam lain seperti Libya, Mesir, Maldives, Arab Saudi, Pakistan, Turki
dan Bangladesh. Penubuhan UIA di bawah Akta Syarikat bertujuan untuk membolehkan kuliah
pengajian diajar dalam bahasa asing seperti bahasa Inggeris dan bahasa Arab kerana
perundangan Malaysia hanya membenarkan penggunaan bahasa Malaysia. UIA mempunyai
empat fakulti yang dinamakan sebagai ‘kulliyah’ iaitu Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,
Kulliyah Ekonomi dan sains Pengurusan, Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan dan
Kulliyah Perubatan. Ia juga mempunyai sebuah pusat matrikulasi sebagai persediaan dari
kalangan pelajar Malaysia untuk memasuki UIA (Abdullah Muhammad Zain at all.2005).
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai wujud hasil naik taraf Kolej Universiti Islam Malaysia
(KUIM). Ia ditubuhkan pada tahun 2000M dengan menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa
pengantar. Kumpulan pelajar pertama adalah seramai 200 orang. KUIM mempunyai empat
fakulti iaitu Fakulti Syariah dan Kehakiman, Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, Fakulti
Dakwah dan Pengurusan Islam dan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (Abdullah Muhammad Zain
at all., 2005).
4.2

Sistem pendidikan Islam Tidak Formal

Jaringan ilmu yang semakin melebar dalam arus modenisasi sebenarnya memberi kelebihan
kepada sistem pendidikan Islam tidak formal untuk bergerak dengan lebih pesat. Kepelbagaian
medium boleh dijana untuk memperkayakan lagi kegiatan pendidikan Islam. Wujud dua bentuk
pendekatan yang popular yang diguna pakai untuk menyebarkan ilmu agama bagi menjadikan
sistem pendidikan Islam tidak formal ini lebih efisyen dalam tindakan mereka mendidik
masyarakat tentang Islam. Ilmu melalui sistem ini boleh disampaikan secara santai dan tidak
mendesak serta terbuka luas kepada masyarakat umum.
Pertama, penggunaan institusi seperti masjid, surau, pondok dan institusi keagamaan lain
dalam berdakwah kepada masyarakat. Pendedahan ilmu secara terbuka kepada khalayak
umum mencerminkan Islam telah membuka ruang yang seluas-luasnya kepada masyarakat
tanpa mengira umur, pangkat dan jantina. Kehadiran tanpa paksaan bagi kanak-kanak
hinggalah ke warga emas ke institusi agama bagi memberi peluang menuntut ilmu merupakan
suatu pendekatan mulia, berhemah dan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT (Ibn
Abdul Bar dan Ibn Majah). Tambahan pula ilmu melalui sistem pendidikan tidak formal ini
disampaikan secara percuma kepada masyarakat sebagai tanggungjawab sosial institusi agama
agar dapat mengambil manfaat daripadanya. Kebanyakan program keagamaan ini disampaikan
dalam bentuk pendidikan umum seperti syarahan, forum dan sebagainya. Wujud juga institusi
yang menggunakan bentuk pengajian talaqqi dengan menggunakan kitab tertentu seperti Ihya
Ulumuddin karangan al-Ghazali, Hadis Empat Puluh karangan Imam Nawawi, Mustika Hadis

9

keluaran jabatan Perdana Menteri dan sebagainya. Inilah kelebihan sistem pendidikan Islam
tidak formal yang sentiasa memperkayakan ilmu agama melalui majlis-majlis ilmu agar ia dapat
dihayati dan diamalkan sepanjang hayat Muslim.
Kedua, penggunaan laman media elektronik dan laman media sosial seperti radio, television
dan internet dalam menyebarkan dakwah Islam. Hal ini telah dilakukan oleh Radio dan
Television Malaysia (RTM), Radio IKIM, TV al-Hijrah dan sebagainya. Pelbagai program
keagamaan dipersembahkan kepada penonton bagi mendekatkan diri masyarakat dengan
ajaran Islam. Begitu juga dengan ruang maya telah digunakan secara maksimum oleh
pendakwah untuk menyampaikan ilmu agama. Pelbagai laman sesawang dicipta dalam pelbagai
bahasa untuk memberi kemudahan kepada masyarakat mendapatkan ilmu. Namun, harus
diingat bahawa pembaca seharusnya menyemak semula bahan agama yang diperolehi dengan
guru yang berautoriti bagi menentukan kesahihan ilmu-ilmu tersebut. Langkah ini perlu agar
ilmu melalui laman sesawang terbukti tulin dan selari dengan kehendak ajaran Islam.
5.

PENUTUP

Kemajuan dalam sistem pendidikan Islam telah menjadikan Malaysia antara negara Islam yang
boleh dijadikan model negara membangun yang maju pesat membangun. Gabungan ilmu yang
telah disepadukan mengikut acuan Malaysia berlaku di semua peringkat masyarakat. Ia
seterusnya membentuk pola yang boleh dipilih dan disesuaikan mengikut kemampuan dan
keupayaan masyarakat. Kepelbagaian pola ini menjadikan sistem pendidikan Islam relevan
untuk terus diterokai sepanjang hayat. Ia adalah agenda berterusan Islam dalam melahirkan
insan yang berperibadi mulia serta warganegara berilmu yang sentiasa menjunjung Islam selari
dengan kehendak al-Quran dan sunnah.

10

RUJUKAN
Wan Hussein Azmi, 1980, Islam di Malaysia: Kedatangan dan Perkembangan Abad ke 7 hingga
20 Masihi dalam Tamadun Islam di Malaysia, Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia.
Fadzlullah Shuib, 1995, Kecemerlangan Ilmu dalam Sejarah dan Tamadun Islam:
Penginstitusian Ilmu di Zaman Abbasiyah 750-1258, KL; Pustaka Warisan.
Abdullah Jusuh 1990, Pengenalan Tamadun Islam di Malaysia, KL: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Ishak, 1995, Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia, KL; Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Mohammad Redzuan Othman, 2005, Islam dan Masyarakat Melayu: Peranan dan Pengaruh
Timur Tengah, Kuala Lumpur; Penerbit Universiti Malaya.
el-Muhammady Abdul Halim, 1991, Pendidikan Islam; Falsafah, Disiplin dan Peranan Pendidik,
Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Hasan Langgulung, 1997, Pengenalan Tamadun Islam Dalam Pendidikan, Kuala Lumpur; Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Abdul Halim Mat Diah, 1989, Islam dan Demokrasi Pendidikan, Kuala Lumpur: Angkatan Belia
Islam Malaysia.
Asmawati Suhid dan Fathiyah Mohd Fakhruddin, Gagasan pemikiran Falsafah Dalam
Pendidikan Islam: Hala Tuju dan Cabaran dalam Journal of Islamic and Arabic Education,
4 (2) 2012
Mahyuddin Ashaari, Sejarah Pendidikan ABIM dalam Jurnal Pendidikan Islam, Angkatan Belia
Islam Malaysia (ABIM, jil. 10 bil. 4, 2004.
Mohd Kamal Hasan at all., Konsep pendidikan Islam dan Matlamat Persekolahan Agama dan
Arab di Malaysia dalam Ismail Ab. Rahman, 1993, penyut, Pendidikan Islam di Malaysia,
Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Richard G. Kraince, Reforming Islamic Education In Malaysia: Doctrine or Dialogue? in Robert
W. Hefner, 2009, (edt.), Making Modern Muslim: the politics of Islamic Education In
Southeast Asia, Honolulu: University Of Hawai’i Press.
Abdullah Muhammad Zain at all., 2005, Pendidikan Islam di Malaysia: Dari Pondok ke
Universiti, Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka.