Pengurusan Sisa Pepejal di Penempatan Se

BAB V

PERBINCANGAN

5.1

PENDAHULUAN

Dalam bahagian ini, perbincangan yang lebih lanjut dilaksanakan berdasarkan kepada
dapatan kajian mengikut setiap objektif yang ingin dicapai. Berdasarkan kepada
dapatan kajian yang diperolehi, kesemua objektif yang dibina bagi menjawab
persoalan dapat dicapai dengan baik. Pengenalpastian corak pengurusan yang
dilaksanakan di kawasan kajian, tidak kira dalam peringkat isi rumah sehingga ke
peringkat pihak swasta dapat dikenalpasti dengan baik. Melalui temubual yang
dijalankan terhadap JKKK serta pihak DBKK, penilaian pengurusan sisa pepejal sedia
ada dapat dijalankan. Permasalahan yang timbul juga dikenalpasti dan dianalisis.
Penghasilan cadangan juga dilaksanakan bagi tujuan mengatasi dan meminimumkan
kesan yang sedia ada serta membentuk sistem pengurusan yang efektif.

5.2


SISTEM PENGURUSAN SISA PEPEJAL ISI RUMAH

Sistem pengurusan sisa pepejal isi rumah membincangkan dengan lebih lanjut tentang
pengurusan dan pengendalian yang dilaksanakan oleh isi rumah dan pihak swasta
dalam pengurusan sisa pepejal. Selain itu, analisis terhadap kemudahan juga
dilaksanakan bagi menilai kepekaan penduduk terhadap kemudahan yang disediakan.

5.2.1 Pengurusan isi rumah

Pengendalian sisa pepejal tidak kira di peringkat isi rumah atau di peringkat pihak
swasta tidak memberikan perbezaan yang ketara. Penstoran sisa di kedua-dua
peringkat ini sangat lemah kerana isi rumah menggunakan plastik biasa bagi

68

menyimpan sisa yang dijana, manakala pihak swasta pula tidak memberikan kawasan
penstoran sampah (rumah sampah) yang tertutup dan terjaga. Purata kekerapan
pembuangan sisa pepejal yang dilakukan oleh setiap isi rumah adalah sebanyak dua
kali sehari. Pembuangan sisa tersebut dilakukan pada waktu subuh dan waktu malam
bagi mengelakkan pihak pengurusan atau JKKK mengesan perbuatan membuang sisa

pepejal ke bawah bukit. Purata sisa yang dibuang dalam sehari adalah sebanyak tiga
kilogram (3 kg) dan ke atas bagi setiap isi rumah. Mengambil jumlah sedemikian,
penjanaan sisa sehari bagi kawasan penempatan tersebut menjana sisa sebanyak 1.5
tan. Jumlah ini sangat banyak dan menyebabkan sisa yang terkumpul (Gambar 5.1)
membawa kepada permasalahan yang lain.

Gambar 5.1 Keadaan Pembuangan Sampah Di Salah Satu Kawasan
Pembuangan Sampah

Komposisi sisa yang dijana adalah pelbagai dari penjanaan sisa organik kepada
penjanaan sisa bukan organik. Komposisi sisa yang dapat dikenalpasti adalah sisa
makanan, plastik, kertas, kayu, fabrik kain, besi dan lain-lain. Kepelbagaian penjanaan
sisa yang dikenalpasti disimpan dalam penstoran yang sama iaitu plastik biasa.
Penstoran sisa juga melibatkan penggunaan tong sampah yang dikenalpasti sebagai
baldi kecil dan tong sampah kecil. Penstoran dalam tong sampah yang berwarna hitam
tidak digunakan oleh mana-mana penduduk dalam kawasan tersebut. Disebabkan

69

penyimpanan sisa tersebut dalam kaedah penstoran yang sama, sisa plastik, kertas dan

seumpamanya bercampur dan menyebabkan sisa yang terkumpul mengeluarkan bau
yang tidak diingini. Lokasi pembuangan sisa pepejal yang menjadi tumpuan utama
adalah di sekitar rumah sampah dan juga bawah bukit serta bahu jalan (Gambar 5.1).

Gambar 5.2 Keadaan Kawasan Parit Di Kawasan Kajian

Pembuangan di sekitar rumah sampah adalah fenomena yang biasa dijumpai di
kawasan kajian. Disebabkan kapasiti rumah sampah yang terhad dan ditambah dengan
sikap masyarakat yang malas, menyebabkan sisa terkumpul di sekitar rumah sampah
dan akhirnya memasuki bahu jalan. Pembuangan ke bawah bukit juga sering
dilakukan oleh penduduk di kawasan tersebut dengan harapan sisa akan dibawa pergi
dari kawasan tersebut. Kaedah pembuangan sisa pepejal ke bawah bukit mempunyai
dua cara, yang pertama adalah dengan membuang terus ke bawah bukit dan yang
kedua adalah melalui sistem perparitan. Kaedah pembuangan melalui sistem
perparitan menyebabkan parit tersumbat dan air bertakung. Takungan air tersebut
bertambah teruk dengan percampuran sisa pepejal yang menyebabkan keadaan air
parit menjadi hitam dan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan (Gambar 5.2).
Sesetengah penduduk yang ditemui tidak mengetahui terdapatnya pihak yang
menguruskan sisa pepejal di kawasan tersebut. Perkara ini disebabkan oleh kekerapan
pengutipan semasa adalah sangat jarang sekali dilakukan menyebabkan penduduk


70

merasa bahawa pengutipan sisa pepejal tidak lagi dilaksanakan. Disebabkan itu juga,
ada penduduk yang tidak tahan dengan pencemaran bau yang terhasil mendorong
mereka untuk membakar sampah di sekitar dan dalam rumah sampah itu sendiri
(Gambar 5.3). Perbuatan sedemikian membawa kesan yang buruk seperti kebakaran,
pencemaran udara dan juga pengurangan penyimpanan sisa pepejal. Disebabkan ada
di antara penduduk yang kurang selesa dengan pembakaran, pembuangan terus ke
bawah bukit menjadi pilihan utama.

5.2.2 Pengurusan pihak swasta

Bagi sistem pengurusan yang dilaksanakan oleh pihak swasta, pengutipan sisa pepejal
tidak konsisten berbanding sebelumnya. Kekerapan pengutipan pada awal peralihan
kuasa yang dilaksanakan oleh pihak swasta adalah sebanyak tiga kali seminggu.
Disebabkan kos yang ditanggung adalah tinggi dengan sikap sesetengah penduduk
yang tidak membayar duit sampah kepada pihak swasta, kekerapan pengutipan
semakin berkurangan kepada sekali seminggu dan adakalanya sekali sebulan.
Kekerapan pengutipan yang tidak konsisten ini menyebabkan longgokan sisa pepejal

bertambah dan akhirnya membawa kepada permasalahan yang lain. Pemberian
perkhidmatan oleh pihak swasta juga tidak menyeluruh apabila operasi pembersihan
rumah sampah tidak dilaksanakan menyebabkan permasalahan dalam aspek
kebersihan. Pembersihan yang dilaksanakan hanya di kawasan rumah sampah yang
mempunyai sedikit penstoran sisa dan pembersihan tersebut tidak menggunakan air
untuk membersih, tetapi hanya menyapu sisa yang tertinggal masuk ke dalam sistem
perparitan.

Bukan itu sahaja, perkhidmatan yang ditawarkan juga adalah bersifat selektif,
di mana pihak swasta hanya mengutip sisa pepejal yang dibuang di sekitar rumah
sampah (Gambar 5.4) dan bukan di kawasan bawah bukit (Gambar 5.6). pengutipan
bersifat selektif ini membawa kepada permasalahan yang lain seperti perubahan sikap
dan penerimaan penduduk yang mentafsir perkhidmatan yang diberikan tidak
menyeluruh. Hal ini sekaligus mendorong kepada ketidakpuasan dan kurang percaya
terhadap perkhidmatan yang diberikan dan akhirnya penduduk tidak memberikan
kerjasama sepenuhnya dalam pengurusan sisa pepejal tersebut. Selain itu, majoriti

71

penduduk di kawasan kajian menyatakan bahawa tiada tindakan atau pemantauan dari

pihak DBKK ke kawasan kajian. Sekiranya ada, pemantauan tersebut adalah bersifat
tahunan dan pihak DBKK hanya akan datang sekiranya terdapat aduan yang
dilaporkan. Pada tahun 2014, pihak dari Jabatan Kesihatan iaitu Unit Pengawalan
Vektor turut meninjau kawasan kajian sebagai salah satu kempen dalam memerangi
aedes di Telipok. Kedatangan pihak berkenaan jelas menunjukkan bahawa
permasalahan dalam sisa pepejal ini membawa kepada kemudaratan penduduk.

Gambar 5.3 Keadaan Tong Sampah Yang Dibakar

Penggunaan lori biasa sebagai salah satu kenderaan pengangkut sampah
menunjukkan perkhidmatan yang lemah diberikan oleh pihak swasta. Lori yang
digunakan berada dalam keadaan yang lusuh dan mempunyai daya tampungan yang
sedikit. Disebabkan kapasiti muatan yang terhad (Gambar 5.6), pihak swasta terpaksa
berulang-alik lebih dari dua kali sekiranya ingin memastikan pengutipan yang
dilaksanakan mencapai tahap yang memuaskan. Namun begitu, kekerapan pengutipan
yang memuaskan tidak dapat dicapai dengan baik kerana kos yang sangat tinggi.
Selain itu, keadaan lori yang agak lusuh menyukarkan pengangkutan sampah ke
kawasan tapak pelupusan dengan efisien. Tenaga kerja yang terlibat juga adalah
sedikit iaitu kurang dari tiga orang dan tidak berkemahiran dalam mengendalikan sisa


72

pepejal menyebabkan pengurusan sisa pepejal bertambah rumit. Disebabkan kekangan
tersebut, pihak swasta adakalanya mengambil tindakan membakar sisa di kawasan
sekitar rumah sampah bagi memastikan sampah tidak terus bertambah dan kurang
mengeluarkan bau busuk (Gambar 5.5).

Gambar 5.4 Keadaan Kawasan Pembuangan Sisa Pepejal

Pembayaran duit sampah yang dikenakan adalah sebanyak RM 10 sahaja, dan
pembayaran ini diberikan terus kepada pihak swasta. Disebabkan pemberian
perkhidmatan yang agak selektif oleh pihak swasta, ada sesetengah penduduk yang
tidak membayar duit sampah ini kerana mereka menganggap dengan membuang terus
ke bawah bukit akan menyelesaikan masalah ini. Akibat dari perkara ini, kos yang
digunakan untuk menguruskan sampah tidak dapat ditampung dengan sepenuhnya,
menyebabkan penyelenggaraan dan pengurusan sampah tergendala untuk seketika.
Pengutipan sisa pepejal juga tidak konsisten dan hanya akan dibuat sekiranya
mempunyai kos yang secukupnya. Selain itu, pihak swasta tidak mempunyai rekod
pembayaran yang rasmi seperti buku akaun atau seumpamanya dan hanya menulis di
atas sekeping kertas sahaja. Tanpa rekod yang rasmi menyukarkan pihak swasta dan

juga JKKK untuk mengesan penduduk yang tidak membayar dan menyukarkan
tindakan susulan diambil. Bukan itu sahaja, ketiadaan rekod tersebut menyebabkan

73

pihak swasta mengutip pembayaran lebih dari sekali dalam sebulan yang mendorong
kepada ketidakpuasan penduduk terhadap perkhidmatan yang diberikan.

Gambar 5.5 Keadaan Sampah Yang Terlalu Banyak Sehinggakan Dibakar

Gambar 5.6 Lori Yang Digunakan Melebihi Kadar Kapasiti Sampah

74

5.2.3 Kepekaan terhadap kemudahan

Kepekaan terhadap kemudahan yang dimaksudkan ini adalah perkhidmatan yang
diberikan oleh pihak swasta dalam menyediakan kemudahan yang tertentu seperti tong
sampah untuk setiap rumah dan juga lokasi pengumpulan sisa pepejal setempat.
Penduduk di kawasan kajian ini secara umumnya mengetahui kewujudan rumah

sampah dan tong sampah berskala besar yang disediakan oleh PBT dan JKKK. Pada
awal pembukaan kawasan ini, rumah sampah yang dibina mempunyai pagar ketika
pengurusan masih lagi di bawah kuasa DBKK. Setelah peralihan kuasa tersebut,
kawasan rumah sampah yang asal telah bertukar fungsi (Gambar 5.7) kepada struktur
yang lain. Bermula dari itu, penduduk mula membuang sampah ke bawah bukit kerana
tiada rumah sampah untuk dijadikan penstoran sisa. Pembinaan rumah sampah
(Gambar 5.1) mengambil tempat pada lima tahun yang lalu bagi menangani
permasalahan dalam pembuangan sampah ke bawah bukit. Terdapat lima rumah
sampah yang berfungsi manakala tiga daripadanya merupakan rumah sampah yang
baru. Pemberian tong sampah bersaiz besar merupakan pemberian oleh DBKK bagi
memudahkan pihak swasta melaksanakan tugas pengutipan.

Penyediaan tong sampah bagi setiap isi rumah tidak dilaksanakan kerana
pemberian perkhidmatan sedemikian tidak diberikan oleh pihak swasta. Malah
pengutipan sisa pepejal dari pintu ke pintu juga tidak dijalankan. Disebabkan
ketiadaan tong sampah bagi setiap isi rumah, maka penyimpanan sisa pepejal majoriti
adalah dalam plastik biasa. Selain itu, kemudahan seperti rumah sampah juga turut
diketahui oleh penduduk di kawasan tersebut dan penduduk di arah untuk membuang
sisa pepejal ke rumah sampah yang telah disediakan.


Walau bagaimanapun, rumah sampah yang baru dibina terletak di beberapa
kawasan yang agak sukar untuk dicapai oleh pengguna kerana berhampiran dengan
jalan utama dan jauh dari kawasan rumah. Perletakan tersebut agak baik khususnya
dalam mengurangkan kesan bau busuk, namun perletakan yang agak jauh
menyebabkan penduduk lebih gemar membuang terus ke bawah bukit. Selain itu,
pembinaan rumah sampah yang baru itu tidak mencapai spesifikasi yang asal, yang
mana rumah sampah yang baru tersebut dibina tanpa adanya pagar atau penghalang

75

yang berfungsi untuk memastikan tong sampah berada dalam kedudukan dan
memastikan haiwan liar seperti anjing atau ternakan seperti kambing menyebabkan
sampah berselerak. Dalam kajian yang dijalankan ini juga, ia mendapati bahawa
terdapat beberapa penduduk kampung khususnya golongan remaja dan kanak-kanak
yang bertindak menolak jatuh tong sampah ke bawah bukit. Tingkah laku tersebut
menunjukkan sikap vandalism atas tujuan keseronokan bermain.

Keseluruhannya, penduduk peka terhadap kemudahan yang disediakan oleh
pihak swasta seperti rumah sampah dan tong sampah besar. Namun begitu,
disebabkan lokasi pembuangan yang tidak strategik dan jauh dari penduduk

mendorong mereka untuk membuang sisa pepejal terus ke bawah bukit. Pembuangan
ke rumah sampah hanya bagi mereka yang berhampiran dengan rumah sampah, yang
menunjukkan sikap masyarakat yang tidak memberi kerjasama sepenuhnya dalam
perkara ini.

5.2.4 Impak terhasil

Pengendalian sisa pepejal isi rumah dan pihak swasta, pengurusan yang tidak efisien
dan sikap negatif sesetengah penduduk membawa kepada impak negatif terhadap
manusia, alam sekitar dan fizikal. Antara impak tersebut yang dapat dikenalpasti
adalah pencemaran udara (bau), pencemaran air, masalah serangga/haiwan pembawa
penyakit, permasalahan ruang dan masalah kebersihan. Kesemua impak ini wujud
hasil dari permasalahan pengurusan sampah yang kurang efisien. Kesan yang paling
signifikan sekali adalah pencemaran bau hasil dari sisa pepejal yang tidak dikutip
berhari-hari. Sisa pepejal khususnya sisa makanan merupakan sisa yang mudah reput
dan dicampur dengan sisa yang lain seperti kertas plastik dan bahan kimia yang lain
menghasilkan bendalir sampah dan bau yang kurang menyenangkan.

Permasalahan yang wujud ini berlaku di kawasan kediaman yang berdekatan
dengan kawasan pembuangan sampah dan kurang di kawasan yang jauh di kawasan
pembuangan. Ini juga menunjukkan bahawa penduduk yang tinggal berhampiran
dengan kawasan pembuangan menerima impak yang lebih tinggi berbanding dari
mereka yang berada jauh dari kawasan pembuangan sampah. Pencemaran air pula

76

dapat dikenalpasti dalam pembuangan sampah ke dalam saliran air dan bertakung
untuk satu tempoh yang lama (Gambar 5.4). Air yang terhasil akibat dari longgokan
tersebut adalah berwarna hitam dan mempunyai bau yang tidak begitu menyenangkan.

Gambar 5.7 Penukaran Rumah Sampah Kepada Kedai Runcit

Permasalahan serangga/haiwan bawaan penyakit pula melibatkan tikus, lalat
dan lipas. Pembiakan bagi serangga/haiwan ini berlaku berhampiran dengan tempat
pembuangan sampah disebabkan sisa makanan yang tidak diuruskan dengan baik
bercampur dengan sampah yang lain, menyebabkan sisa makanan tersebut menjadi
sumber makanan bagi serangga/haiwan ini. Sebagai contohnya, kambing yang
diternak secara lepas bebas, terdorong untuk menjadikan kawasan pembuangan
sampah sebagai padang ragut untuk mencari makanan menyebabkan sampah
berselerak, bersepah serta bertabur jauh dari kawasan pembuangan. Seiringan dengan
perkara tersebut, masalah sampah berselerak di merata-rata tempat membawa kepada
masalah kebersihan.

77

Gambar 5.8 Keadaan Kawasan Pembuangan Sampah Ke Bawah Bukit

Natijahnya, disebabkan permasalahan yang wujud dari pengurusan di
peringkat isi rumah yang tidak efisien dan ketidakcekapan pengurusan sampah oleh
pihak pengurusan, menyebabkan permasalahan sampah di kawasan kajian semakin
rumit. Ditambah dengan impak yang terhasil menyebabkan kesan yang terhasil
mempengaruhi penduduk dan alam sekitar dan kedatangan haiwan liar dan serangga
vektor dipengaruhi oleh sisa pepejal di kawasan kajian. Sekaligus menyebabkan
permasalahan yang timbul ini semakin rumit dan semakin besar tanpa adanya
peraturan pengurusan yang jelas tentang pengurusan yang dilaksanakan ini.

5.3

PENILAIAN PENGURUSAN SEDIA ADA

Penilaian terhadap pengurusan sedia ada ini merujuk kepada pengurusan yang
dilaksanakan dan ditetapkan oleh JKKK dan DBKK itu sendiri. Pematuhan adalah
keutamaan utama kepada pihak swasta khususnya dalam perkara yang melibatkan
pengurusan sisa pepejal. Temubual dilaksanakan bagi melihat keberkesanan
pengurusan sedia ada yang telah ditetapkan oleh JKKK dan DBKK itu sendiri.

78

5.3.1 Penilaian pengurusan JKKK

Penilaian terhadap peraturan pengurusan sisa pepejal sedia ada di kawasan kajian
dilaksanakan berdasarkan kepada pihak berkuasa tempatan (DBKK) dan pihak JKKK.
Temubual yang pertama melibatkan pihak ketua kampung JKKK iaitu En. Marasil.
Demografi penduduk di kawasan tersebut majoritinya merupakan penduduk dari Kg.
Pulau Gaya/Pondoh dan berbangsa suluk/bajau (bumiputera sabah). Pengendalian bagi
setiap isi rumah dipengaruhi oleh tabiat lama seperti pembuangan sampah terus ke
dalam laut. Menunjukkan bahawa kediaman asal bagi penduduk di kawasan kajian
mempunyai signifikan yang agak kuat. Berkaitan dengan pengurusan bagi pihak
swasta pula, pengurusan sisa pepejal telah diswastakan semenjak tahun 2004.

Kriteria pemilihan pihak pengurusan pula adalah berdasarkan kepada mereka
yang ingin menguruskan sampah dan juga mempunyai kenderaan yang membolehkan
pihak ini mengangkut sampah ke kawasan pembuangan sampah. Pihak swasta ini
hanya menguruskan sampah yang berada dalam kawasan tempat pembuangan sampah
sahaja yang menunjukkan perkhidmatan yang bersifat selektif. Pengurusan pengutipan
dari rumah ke rumah tidak dilaksanakan. Pembersihan dan pengutipan dilaksanakan
secara berkala, iaitu sekurang-kurangnya seminggu sekali. Selain itu, duit
sampah/pembayaran bagi perkhidmatan ini diserahkan sepenuhnya kepada pihak
swasta dengan jumlah pembayaran sebanyak RM 10 bagi setiap rumah.

Pengutipan berkala ini melibatkan kepada empat kaedah perlaksanaan yang
dilaksanakan pada setiap 7hb bagi setiap bulan bagi semua rumah, kemudian pada
10hb untuk pengutipan bagi mereka yang tidak membayar pada 7hb. 15hb pula akan
dilaksanakan pengutipan pembayaran yang melibatkan isi rumah yang belum
membuat pembayaran. Tunggakan pembayaran maksimum adalah selama 3 bulan
sahaja. Kaedah tersebut merupakan peraturan yang telah ditetapkan oleh JKKK
kepada pihak swasta, namun gagal untuk dipatuhi. Kekerapan pengutipan mengikut
tender yang diberikan adalah sekali setiap minggu, namun begitu, secara realitinya ia
tidak mengikut apa yang ditetapkan. Kekerapan pengutipan yang dilakukan
adakalanya sekali sebulan dan adakalanya dibiarkan untuk satu tempoh yang lama.

79

Perkara ini sekaligus menyebabkan ramai penduduk di kawasan kajian ini cenderung
untuk membuang sampah terus ke bawah bukit.

Tanggapan dan penerimaan penduduk dalam sistem pengurusan sampah di
kawasan ini adalah pada tahap yang agak rendah berdasarkan kepada keadaan
kawasan pembuangan sampah yang tidak terurus dan juga sangat kotor. Terdapat juga
aktiviti gotong-royong yang dilaksanakan di kawasan ini pada tahun 2013 dengan
penglibatan dari pihak DBKK. Namun begitu, penyertaan tidaklah begitu
memberansangkan. Terdapat juga perlaksanaan gotong-royong yang tidak melibatkan
pihak DBKK dan program tersebut sangat jarang dilaksanakan dan tidak menerima
sambutan yang baik. Terdapat papan notis yang diletakkan bagi tujuan larangan
pembuangan sampah ke dalam longkang dan kawasan yang bukan menjadi kawasan
pembuangan sampah, namun tidak di ambil peduli oleh penduduk di kawasan ini.

Tindakan yang melibatkan pengusiran isi rumah pernah dilaksanakan pada
sekitar tahun 2004-2005 yang melibatkan empat keluarga. Antara faktor pengusiran
tersebut adalah tidak memberikan kerjasama sepenuhnya dalam pengurusan sisa
pepejal dan juga membuang sampah ke kawasan yang tidak sepatutnya. Selain itu,
sebarang aduan berkaitan dengan kawasan kajian tidak pernah diajukan kepada pihak
DBKK (di bawah pentadbiran ketua kampung semasa). Walau bagaimanapun, pihak
DBKK pernah mengambil tindakan dalam perkara ini, khususnya dalam perlaksanaan
gotong-royong. Pada keadaan semasa pula, sebarang tindakan tidak dapat diambil
kerana kurang kerjasama dengan pihak swasta. Hal ini kerana, ketiadaan rekod
pembayaran menyukarkan pihak JKKK untuk mengambil tindakan kepada manamana isi rumah yang ingkar terhadap peraturan yang telah ditetapkan.

5.3.2 Penilaian pengurusan DBKK

Hasil temubual dengan pihak pegawai DBKK sedikit sebanyak memberikan kontras
dengan penyataan yang dikeluarkan oleh JKKK kampung tersebut. Temubual yang
dilaksanakan ini bermula dengan melihat kepada kaedah pengurusan sisa pepejal yang
dijalankan dalam Daerah Kota Kinabalu secara umum. Hasil temubual menunjukkan
bahawa pengurusan sampah terbahagi kepada dua iaitu bahagian pengutipan dan

80

bahagian pelupusan. Perbincangan ini hanya melihat kepada bahagian pengutipan
sahaja kerana skop kajian utama adalah melibatkan bahagian penjanaan sisa sehingga
ke bahagian pengutipan sahaja. Bagi bahagian pengutipan, perlaksanakan kerja-kerja
pengutipan sisa pepejal adalah berdasarkan kepada dua jenis kawasan iaitu kawasan
komersil dan kawasan kediaman. Pengutipan dilaksanakan selama tiga kali seminggu
dengan selang sehari bagi setiap pengutipan. Pengutipan dilaksanakan dari rumah ke
rumah bagi kediaman yang membayar cukai pintu dan di kawasan taman perumahan
yang mempunyai akses yang mudah.

Gambar 5.9 Keadaan Persekitaran Rumah Sampah

Kriteria yang diperlukan untuk mendapatkan perkhidmatan DBKK dalam hal
pengurusan sisa pepejal ini hanya melibatkan kepada aspek kediaman yang membayar
cukai pintu dan juga melalui persetujuan pembinaan “Bin Centre” untuk bahagian
kampung. Tiada sebarang kriteria yang lebih spesifik diwujudkan. Pembinaan “Bin
Centre” ini merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak DBKK dalam
memastikan sampah dari kawasan kampung dapat dilupuskan dengan sebaiknya tanpa
mencemarkan kawasan kediaman dan juga kawasan alam sekeliling. Pihak DBKK
juga turut mengeluarkan tender bagi tujuan penswastaan dan pengurusan sisa klinikal
dan sisa terjadual. Pengeluaran tender hanya akan diberikan kepada kerja penyapuan
jalan raya, dan juga pengutipan sisa kebun. Sisa domestik yang dikutip, dilupuskan di

81

Tapak Pelupusan Kayu Madang, Tuaran, yang meliputi pengurusan sisa pepejal bagi
daerah Penampang, Kota Kinabalu, Papar dan juga Tuaran itu sendiri.

Berhubung dengan penglibatan pihak DBKK dalam pengurusan di kawasan
kajian, pihak DBKK pernah terlibat dalam pengurusan sisa pepejal pada awal
penubuhan kawasan tersebut, tetapi, setelah adanya jawatankuasa mikro dan jawatan
kuasa ini setuju untuk menjadi pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan sisa
pepejal ini, maka pihak DBKK tidak lagi terlibat secara rasmi. Sebarang aktiviti atau
pengurusan adalah di bawah kuasa Jawatankuasa Mikro itu sendiri. Bantuan dari
pihak DBKK akan diberikan khususnya dalam aktiviti gotong-royong tetapi perlu
melalui beberapa prosedur kerja baru pihak DBKK boleh menghulurkan bantuan.
Penglibatan pihak DBKK hanya pada ketika perasmian perlaksanaan aktiviti gotongroyong serta penubuhan Jawatankuasa Mikro bagi kawasan Penempatan Sementara
Telipok. Bagi isu yang berkaitan tindakan dan aduan pula, setakat ini, tiada sebarang
aduan yang diterima. Setiap permasalahan dan pengurusan yang berkaitan dengan hal
kampung tersebut adalah dibawah kuasa Jawatankuasa Mikro itu sendiri. DBKK
hanya mampu mengambil tindakan sekiranya laporan atau aduan diterima dari
jawatankuasa tersebut atau mana-mana pihak yang terjejas. Tindakan yang diambil
akan dimulakan dengan mengenalpasti punca permasalahan. Seterusnya, amaran atau
tindakan kompaun dikenakan mengikut tahap keseriusan kemudaratan yang diperolehi
hasil dari aktiviti tersebut. Kompaun yang dikenakan adalah di antara RM 500
sehingga RM 5000.

Berkaitan dengan isu yang melibatkan pengusiran keluar penduduk dari
kawasan kediaman pula, pihak DBKK menyatakan bahawa mereka tiada kuasa untuk
melaksanakan pengusiran melainkan kawasan kediaman tersebut dibina atas tanah
milik persendirian, dan rumah yang dibina tiada geran atau persetujuan, maka ia boleh
diusir keluar dari tanah tersebut. Memandangkan kawasan perumahan tersebut dibina
atas projek pemindahan penduduk di Pulau Gaya ke Kawasan Penempatan Sementara
Telipok, maka penduduk di kawasan tersebut tinggal atas kebenaran dari kerajaan itu
sendiri. Perkara yang melibatkan pengusiran keluar dari kawasan kediaman itu
bukanlah di bawah kuasa mana-mana bahagian dalam DBKK. Namun begitu,

82

tindakan boleh diambil seperti memberikan kompaun dan denda, tetapi dengan syarat
adanya aduan dilaporkan dan mempunyai rekod sebagai bukti kesalahan tersebut.

5.4

CADANGAN MENGATASI

Penghasilan cadangan dan langkah yang bersesuaian bagi bertujuan untuk
meminimumkan impak negatif dalam pengurusan sisa pepejal di kawasan kajian
dilaksanakan. Cadangan yang diberikan ini diperolehi melalui tiga kaedah, yang
pertama adalah melalui pemberian cadangan oleh responden, yang kedua adalah
melalui pembacaan kajian-kajian yang lepas dan ketiga adalah melalui penghasilan
sistem cadangan pengurusan sisa pepejal yang cekap

Berdasarkan kepada cadangan yang diberikan oleh responden di kawasan
kajian, aspek pengurusan dalam aspek teknikaliti seperti pematuhan jadual yang
ditetapkan, proses pembersihan perlu dilaksanakan dan penyelenggaraan yang lebih
baik terhadap perkara yang berkaitan dengan pengurusan sisa pepejal merupakan
cadangan yang utama. Ia merupakan cadangan yang biasa untuk diutarakan jika
melihat kepada aspek keadaan semasa kawasan kajian. Penyediaan kemudahan juga
perlu mencukupi seperti tong sampah untuk setiap rumah dan juga tong sampah
bersaiz besar untuk rumah sampah. Hal ini kerana, jumlah tong sampah yang
disediakan tidak mempunyai kapasiti yang cukup untuk menampung penghasilan sisa
pepejal dalam kawasan kajian. Bukan itu sahaja, pemagaran untuk rumah sampah baru
perlu dilaksanakan bagi mengelakkan sampah yang disimpan berselerak.

Cadangan yang kedua pula lebih kepada penglibatan pihak berkuasa tempatan,
khususnya pihak DBKK. Sesetengah penduduk dalam kawasan kajian lebih
menggemari sekiranya pihak DBKK yang menguruskan sampah kerana ia lebih
teratur dan bersih. Bukan itu sahaja, penduduk dalam kawasan kajian mempunyai rasa
hormat dan takut kepada pegawai kerajaan seperti polis dan pihak DBKK itu sendiri,
dengan adanya campurtangan dari pihak berkuasa, permasalahan dalam tingkah laku
dan juga dalam pengurusan sisa pepejal dapat dielakkan. Selain itu, penguatkuasaan
undang-undang dan peraturan perlu diperketatkan lagi bagi memastikan penduduk di
kawasan kajian mematuhi peraturan yang sedia ada. Intipati utama dalam cadangan ini

83

adalah dengan adanya campur tangan dari pihak berkuasa, maka permasalahan dalam
pengurusan sisa pepejal ini dapat dikurangkan.

Cadangan yang ketiga adalah yang melibatkan kepada penglibatan penduduk
dalam kawasan kajian. Cadangan yang ketiga ini seakan-akan sangat sukar untuk
dicapai, hal ini kerana melalui cadangan yang diberikan dalam prospek ini adalah
lebih kepada penglibatan yang lebih aktif dalam aktiviti gotong-royong, membuat
pembayaran yang diperlukan dalam pengurusan sampah, mengubah sikap kepada
penduduk yang mengambil berat dalam pengurusan sampah dan juga mengubah tabiat
suka membuang sampah ke bawah bukit atau bahu jalan. Cadangan ini merupakan
cadangan yang lebih bersifat pendedahan secara holistik. Antara cadangan yang
diberikan adalah kerjasama dalam membuat pembayaran dan juga kekerapan
membuat aktiviti gotong-royong. Kaedah ini boleh dikatakan sebagai cadangan yang
asas khususnya yang melibatkan pengurusan dan aktiviti kemasyarakatan yang
menangani isu kebersihan dalam aktiviti gotong-royong.

Seterusnya adalah melalui perlaksanaan program seperti pembeliaan sampah
sarap. Ia boleh digunakan sebagai salah satu cara untuk memberikan pendapatan
sampingan kepada penduduk di kawasan tersebut, malah boleh digunakan sebagai
salah satu pendekatan dalam pengurusan sampah dalam kawasan kajian. Program
yang sama ada dilaksanakan di Pulau Gaya baru-baru ini, iaitu pihak NGO bertindak
untuk membeli plastik dari penduduk. Langkah ini mampu mengurangkan
pembuangan plastik dan dalam masa yang sama berfungsi dalam menguruskan
kawasan sekitar dan langkah alternatif untuk mengurangkan pembuangan sampah.
Antara sampah yang boleh dibuat sebagai urusan jual beli adalah plastik, aluminium,
kertas, kayu dan juga besi dan seumpamanya. Dalam kawasan kajian, terdapat juga
beberapa individu yang membuat pembelian tin aluminium dan wayar tembaga
sebagai salah satu pendapatan kepada mereka. Program pembelian sampah perlu
dilaksanakan bagi memupuk kesedaran terhadap kepentingan dan kelebihan sampah
dan kitar semula dan faedah di sebalik longgokan tersebut.

84

5.4.1 Insinerator berskala kecil

Cadangan yang dinyatakan sebelum ini adalah berdasarkan kepada cadangan yang
diberikan oleh penduduk di kawasan tersebut. Cadangan yang terhasil dari ulasan
kepustakaan pula adalah lebih kepada projek pembinaan insinerator. Projek ini
melibatkan kos yang agak besar dan mempunyai beberapa kesan yang memberikan
kemudaratan yang agak banyak kepada alam sekitar. Namun begitu, proses pelupusan
sampah secara tradisional melalui pelupusan dengan menanam dan menimbus sisa
pepejal juga tidak memberikan kesan yang baik. Tanah yang ada sekarang
kebanyakannya dibangunkan untuk pembangunan bangunan komersil dan kediaman,
manakala tanah untuk tujuan pelupusan pula adalah terhad. Satu-satunya kawasan
pelupusan sampah di Kayu Madang juga menampung daerah Tuaran, Penampang,
Papar dan juga Bandaraya Kota Kinabalu itu sendiri. Oleh yang demikian, projek
pembinaan insinerator ini boleh dikatakan bersifat agak praktikal untuk dilaksanakan.

Projek insinerator yang dimaksudkan adalah berskala kecil dan sesuai untuk
dibangunkan berdasarkan kepada prinsip perancangan Jabatan Perancang Bandar dan
Desa (Semenanjung Malaysia). Pertama, kawasan tapak insinerator berskala kecil ini
adalah sesuai untuk kawasan kediaman yang mempunyai kawasan tanah lapang
dengan keluasan sebanyak 0.4-2 hektar sahaja bagi penghasilan sampah sebanyak 15200 tan sehari. Daripada sisa pepejal dibuang ke bawah bukit atau ke dalam saliran
air, pelupusan dengan kaedah dan teknoogi yang sesuai sebagai contohnya insinerator
merupakan pilihan yang terbaik buat masa sekarang. Di bawah peruntukan Akta
Kualiti Alam Sekeliling 1974, dalam seksyen 34A, perkara 18(b) telah menggariskan
jenis-jenis rawatan pelupusan bahan buangan pepejal yang mana salah satunya adalah
berkaitan dengan pembinaan loji pembakaran. Melalui peruntukan tersebut, ia sudah
menyatakan bahawa pembinaan insinerator adalah boleh dilaksanakan namun ia perlu
mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Peraturan tersebut adalah meliputi fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Jika dilihat dari aspek fizikal, perletakan kawasan kajian ini bukanlah di kawasan
gaung tetapi ia di atas bukit dan mempunyai lembah yang juga dikelilingi oleh bukit
dan mempunyai ketumpatan tumbuhan yang tinggi serta kepadatan yang rendah dari

85

aspek penduduk. Dengan pembinaan insinerator ini, pelepasan karbon dioksida akan
dapat dikurangkan melalui proses fotosintesis tumbuhan hijau di sekeliling dan risiko
pencemaran dan kesan dari pencemaran dapat dikurangkan. Dari aspek ekonomi pula,
peraturan pembinaan insinerator adalah tidak melebihi ½ hari perjalanan dan keluasan
mínimum adalah 50-60 hektar, usia projek kira-kira 20 tahun, mudah dihubungi dan
kos pengangkutan yang murah. Manakala dari aspek sosial pula, ia perlu dalam 5 -10
km dari kepadatan penduduk yang tinggi iaitu sebanyak 30 000 penduduk/10 km.
Melalui alam sekitar pula, ia mementingkan kaedah dalam menangani kesan
pencemaran yang terhasil.

Jika dilihat di kawasan kajian itu sendiri, ia sudah jelas menyatakan bahawa
kawasan tersebut adalah sesuai kerana ia bukan sahaja dikelilingi bukit, malah
kepadatan penduduk adalah kurang daripada 30 000 penduduk/10 km, tambahan pula
kesan pencemaran udara yang mungkin terhasil akibat dari pembakaran insinerator itu
sendiri dapat dikurangkan melalui kaedah semulajadi iaitu proses fotosíntesis. Namun
begitu, penggunaan insinerator perlu mengikut jadual dan masa tertentu bagi
memastikan penggunaan adalah optimum dan pengurangan pencemaran dapat
dikurangkan lagi. Penggunaan secara berkala dapat memberikan masa kepada alam
sekitar untuk membersihkan pencemaran yang terhasil oleh insinerator sebelum
melakukan proses pembakaran insinerator sekali lagi. Cadangan pembinaan
insinerator ini bukan hanya melibatkan kawasan Penempatan Sementara Telipok Fasa
2, tetapi penglibatan kawasan penempatan sekitarnya juga seperti kawasan
Penempatan Fasa 1, kawasan perkampungan setinggan, kawasan taman perumahan
dan premis perniagaan di Pekan Telipok itu sendiri.

5.4.2 Cadangan sistem pengurusan

Berdasarkan kepada data kajian yang diperolehi, sistem pengurusan sisa pepejal yang
perlu dilaksanakan adalah dengan melihat jumlah kekerapan pengutipan dan jumlah
penjanaan sisa pepejal yang dihasilkan oleh sesebuah isi rumah. Sistem pengurusan
yang sepatutnya yang dilaksanakan adalah dengan mengambil kira jumlah penjanaan
sisa dengan jumlah kekerapan kutipan sisa pepejal untuk melihat kecekapan dalam
pengurusan sisa pepejal. Sebelum melihat kepada cadangan kecekapan pengurusan,

86

kecekapan pengurusan sedia ada juga perlu dinilai untuk dijadikan dasar pembinaan
sistem pengurusan sedia ada. Pengiraan kecekapan pengurusan semasa adalah seperti
berikut;

Jadual 5.1 Nilai Kecekapan Pengurusan Sisa Pepejal
Perkara

Nilai

Jumlah purata penghasilan sisa (per isi

3 kg

rumah)
Bilangan isi rumah

504 buah rumah

Jumlah kutipan (seminggu)

1 kali

Kekerapan perjalanan pengutipan

2 kali

Kapasiti kenderaan (per kutipan)

2 tan

Formula pengiraan anggaran jumlah sisa yang dijana (sebulan):
= Jumlah purata penghasilan sisa (per isi rumah) X Bilangan isi rumah
X sebulan
= 3 kg X 504 buah rumah X 30
= 45360 kg bersamaan 45.36 tan

Formula pengiraan anggaran jumlah dikutip (sebulan):
= Kapasiti kenderaan X Kekerapan perjalanan X Jumlah kutipan
Seminggu X bilangan minggu dalam sebulan
= 2 tan X 2 kali X 1 kali seminggu X 4 minggu
= 16 tan sebulan

Formula pengiraan anggaran sisa tidak dikutip (sebulan):
= Anggaran pengutipan sebulan – Anggaran penjanaan sisa sebulan
= 16 tan – 45.36 tan
= 29.36 tan

Formula pengiraan anggaran peratus kecekapan (sebulan):
= Anggaran sisa yang dikutip / Anggaran pengutipan sebulan X
100

87

= 16 tan / 45.36 tan X 100
= 35.27 peratus

Melihat kepada kecekapan pengurusan sisa pepejal, sebanyak 35.27 peratus
kecekapan pengutipan yang dapat dicapai oleh pengurusan dalam kawasan kajian.
Berdasarkan kepada peratus tersebut, ia menunjukkan bahawa ketidakcekapan
pengurusan adalah sebanyak 64.73 peratus. Berdasarkan kepada ketidakcekapan
pengurusan tersebut, jumlah sisa pepejal yang tidak dapat dikutip adalah sebanyak
29.36 tan. Berdasarkan kepada status pengurusan semasa (35.27%), pengutipan sisa
yang dilaksanakan meninggalkan sebanyak 29.36 tan yang tidak dapat dikutip
sepenuhnya. Melihat kepada jumlah tersebut, ia jelas menunjukkan bahawa jumlah
sisa tersebut masih lagi dalam jumlah yang agak banyak. Perkara ini tidak begitu
mengejutkan kerana keadaan semasa kawasan kajian menunjukkan longgokan sampah
yang masih tidak terusik dan makin bertambah. Untuk melihat kecekapan pengutipan
yang mencapai tahap 99.99 peratus, kekerapan pengutipan dalam satu-satu masa perlu
diambil kira sekiranya pengutipan adalah berdasarkan kepada dua kali seminggu.
Pengiraan formula adalah seperti berikut;

Formula pengiraan anggaran kecekapan penuh (sebulan)(99.99%):
= (Anggaran jumlah dikutip sebulan – Anggaran penjanaan sisa) /
Anggaran jumlah dikutip sebulan X 100 = 99.99%
= ((2 X x X 2 X 4) – 45.36) / 16 X 100 = 99.99
= ((8x) – 45.36) / 16 X 100 = 99.99
= ((8x) – 45.36) / 16 = 99.99 / 100
= ((8x) – 45.36) = 0.9999 X 16
= (8x) = 15.998 + 45.36
= x = 61.36 / 8
= x = 7.7 kali

Berdasarkan kepada kecekapan sebanyak 99.99%, jumlah kekerapan
pengutipan dalam satu-satu masa adalah sebanyak tujuh ke lapan kali perjalanan
sebulan, iaitu dua kali seminggu berbanding kekerapan pengangkutan sebelumnya

88

dengan menganggarkan bahawa kapasiti kenderaan adalah sebanyak dua tan dan
kekerapan pengutipan adalah sebanyak dua kali seminggu. Oleh yang demikian,
dalam mencapai kecekapan sebanyak 99.99%, pihak swasta perlu membuat kekerapan
pengangkutan sebanyak dua kali bagi jadual pengutipan sehari.

5.5

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada pebincangan yang telah dinyatakan, ia menunjukkan bahawa
kesemua objektif kajian yang dibina atas permasalahan kajian dan isu yang timbul
dapat dijawab dengan baik. Melihat kepada cadangan yang diberikan pula, ia
bertindak sebagai salah satu alternatif dalam mengurangkan impak negatif kepada
manusia dan alam sekitar, dan ia juga berfungsi sebagai salah satu kaedah dalam
memberikan satu pandangan yang baru dalam pengurusan sampah yang lebih baik.
Cadangan sistem pengurusan dihasilkan bagi melihat kecekapan semasa dan cadangan
kecekapan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan pengurusan sisa pepejal berada
di tahap yang memberansangkan. Akhir kata, dengan maklumat yang diberikan dan
hasil analisis yang telah dibuat diharapkan dapat memberikan sedikit sebanyak
maklumat yang diperlukan khususnya dalam perkara yang melibatkan pengurusan sisa
pepejal.