Suatu Tinjauan Sistem Pendidikan Islam d

International Seminar On Tarbiyah 2015 (ISoT 2015)
5 Mac- 8 Mac, Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh

Suatu Tinjauan Sistem Pendidikan Islam di Sekolah Tahfiz al-Islam Tasek
Gelugur, Seberang Prai Utara, Pulau Pinang
Abdul Munir Bin Ismail
Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak
ABSTRAK
Kajian ini membincangkan tentang sistem Pendidikan Islam di Sekolah Tahfiz al-Islah, Tasek
Gelugor Pulau Pinang. Kajian ini mengkaji sejarah penubuhan dan perkembangan serta
pendidikan yang diamalkan selaras dengan kaedah pendidikan Islam semasa. Juga meneliti
sumbangan sekolah tahfiz ini kepada masyarakat di samping mengkaji kaedah pengajaran
para guru dalam subjek pendidikan Islam. Bagi mendapatkan maklumat, pengkaji
menggunakan metode kajian perpustakaan dan metode kajian lapangan serta menganalisis
data. Hasil kajian mendapati sistem pendidikan di Sekolah Tahfiz al-Islah mempraktikan
sistem pengajaran yang laksanakan oleh Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Kementerian
Pendidikan Malaysia. Sekolah ini menawarkan sistem pendidikan bersepadu iaitu dengan
menggabungkan hafazan al-Quran dan akademik. Matlamat utama sekolah ini ialah untuk
melahirkan pelajar yang menguasai keseimbangan ilmu pengetahuan dunia dan akhirat di
samping perkembangan emosi yang stabil.
Kata kunci; Sekolah tahfiz, pendidikan Islam, pendidikan bersepadu.

PENDAHULUAN
Mendapat pendidikan peringkat rendah merupakan asas penting terhadap seorang kanakkanak. Ibu bapa diberi amanah dan tanggungjawab bagi memberi pendidikan sempurna
kepada anak-anak mereka. Abdullah Nasih Ulwan (2004) mengatakan bahawa ibu bapa
hendaklah memberi pendidikan secara formal dan tidak formal kepada anak-anak mereka
secara berterusan dan berhikmah supaya terbentuk sebuah masyarakat yang harmoni, anakanak patuh kepada ajaran Islam, menghormati ibu bapa, guru-guru, alim ulama serta
menjauhkan diri daripada perbuatan keji dan munkar. Kebanyakan ibu bapa memilih
pendidikan perdana iaitu sekolah rendah kebangsaan yang disediakan oleh kerajaan dengan
pelbagai kemudahan. Namun, ada juga di kalangan ibu bapa kini memilih pendidikan
peringkat rendah sebagai tempat untuk anak-anak mereka menuntut ilmu agama. Tidak
dinafikan sekolah yang menawarkan hafazan al-Quran dan ilmu agama kini mendapat
sambutan masyarakat kini. Meski pun sekolah tersebut mengenakan bayaran setiap bulan ia
tidak menjadi halangan ibu bapa menghantar anak mereka menuntut ilmu.
Sementara itu, Maznah & Zakiah (2009) mengatakan bahawa anak-anak yang
mencapai umur 21 tahun ke atas, ibu bapa perlu mendedahkan anak-anak dengan kehidupan
sebenar yang bakal dilalui oleh mereka. Ibu bapa perlu menanamkan nilai-nilai murni dalam
diri anak-anak supaya mereka boleh menempuh kehidupan mereka dengan sempurna. Ibu
bapa hendaklah mengajar anak-anak tentang akhlak mulia berpandukan akhlak Rasulullah
saw. Selaras dengan Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud ;
Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci (bersih), maka ibu dan bapanya yang
mencorakkan anaknya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Abu Daud, 1387H).


1

International Seminar On Tarbiyah 2015 (ISoT 2015)
5 Mac- 8 Mac, Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh

Berdasarkan maksud hadis di atas, dapat difahami bahawa dalam konteks pendidikan awal
kanak-kanak wajib diberi perhatian oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka dengan sebaik
mungkin. Tugas ibu bapa bukan sekadar memberi makan, minum, pakaian, tempat tinggal
dan sebagainya tetapi berperanan sebagai pemberi nasihat, tunjuk ajar dan bimbingan dengan
menegur perbuatan anak-anak secara hikmah sekiranya terdapat perbuatan yang melanggar
batasan agama Islam.
Samsinas, (2009) mengatakan para ibu bapa menaruh keyakinan tinggi terhadap
sistem pendidikan agama yang dipraktikan di sekolah agama kerana dapat melahirkan
individu yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Hal ini dibuktikan
terhadap para pelajar sekolah rendah agama mempamirkan akhlak mulia dan pencapaian
akademi yang membanggakan ibu bapa. Dari itu, ibu bapa mula beralih arah di dalam
memberi pendidikan anak-anak mereka dengan memilih sekolah tahfiz al-Quran sebagai
alternatif dalam usaha memberi pendidikan kepada anak mereka. Sekolah yang menawarkan
pendidikan bersepadu mencakupi ilmu dunia dan ilmu akhirat mendapat tempat dalam

masyarakat kini.
Kamarul (2007) menyatakan falsafah pendidikan adalah asas kepada pembentukan
P&P dalam sesuatu institusi pendidikan. Falsafah merupakan panduan pembentukan hala tuju
institusi pendidikan. Biasanya falsafah dibentuk berasaskan latar belakang sejarah, budaya
dan agama sesuatu bangsa sebagai mana yang dijelaskan sebelum ini. Pendidikan agama
merupakan teras kepada pendidikan peradaban manusia sebagaimana yang dinyatakan oleh
Ibnu Khaldun (2000), maka Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mewujudkan Jabatan
Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) untuk merealisasikan nilai dan ketinggian ilmu yang
terdapat dalam ajaran Islam. Hasilnya, Falsafah Pendidikan Islam (FPI) dibentuk dengan
memberi perhatian kepada aspek sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup
sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat,
alam sekitar.
Jika diteliti satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Kurikulum, Jabatan
Pendidikan Islam dan Moral, (2002) menyebut bahawa Pendidikan Islam adalah suatu usaha
berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan alQur’an dan sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup
sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat,
alam sekitar dan insan mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.
Alfatiah Mat Rani (2011), berpendapat pendidikan Islam menekankan kemahiran-kemahiran
asas yang perlu dikuasai oleh individu muslim merangkumi aspek keimanan, kemanusiaan,
kemasyarakatan dan kenegaraan. Keempat-empat bidang ini hendaklah disampaikan dengan

berkesan. Penyampaian yang berkesan mampu menanam asas keimanan dan membentuk
pelajar agar mempunyai cita-cita yang tinggi, daya tahan, semangat juang, gigih berusaha dan
mampu mengubah diri proaktif, menyumbang kepada asas tamadun masyarakat, bangsa dan
negara.
Pendidikan merupakan suatu perkara penting yang menjadi asas bagi menentukan
jalan menuju kecemerlangan hidup seseorang. Pengalaman didikan yang diterima akan
membentuk cara berfikir, sikap dan tingkah laku. Abdul Rashid Ahmad (1991) menjelaskan
pendidikan merupakan suatu aspek yang sangat penting dan perlu diberikan perhatian khusus
agar dapat menjadi seorang insan yang terbaik dalam kalangan umat manusia. Istilah
pendidikan, disebut juga sebagai tarbiyyah di dalam bahasa Arab yang merupakan satu
elemen penting, bukan sahaja melibatkan fizikal malahan turut menekankan aspek rohani dan
2

International Seminar On Tarbiyah 2015 (ISoT 2015)
5 Mac- 8 Mac, Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh

akal. Para pendidik perlu memastikan setiap pelajar menguasai ilmu, amalan dan kemahiran
yang telah ditetapkan supaya mata pelajaran Pendidikan Islam ini dapat menyumbang ke arah
pembentukan muslim mukmin yang berilmu, beriman, beradab, berakhlak mulia,
berketrampilan, bertanggungjawab, beramal soleh, dan bertakwa selaras dengan Falsafah

Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Islam.
Abdullah al-Qari (1972) menjelaskan Pendidikan Islam adalah pendidikan yang
bercorak Islam atau pendidikan yang diajar mengikut kehendak ajaran Islam. Pendidikan
Islam juga merupakan bimbingan jasmani dan rohani berdasarkan hukum agama Islam.
Menurut Ahmad Mohd Salleh, (2008), selaras dengan Falsafah Pendidikan Islam di Malaysia
dilihat lebih menjurus kepada pembangunan empat aspek utama iaitu pertama menjadikan alQur’an dan sunnah sebagai dasar dalam pembelajaran seumur hidup bagi mendapat ilmu,
kemahiran dan penghayatan. Kedua, membentuk umat Islam menjadi hamba Allah S.W.T.
yang mahir, keperibadian tinggi serta mempunyai pandangan semesta yang selari dengan
ajaran Islam. Ketiga, membentuk umat Islam yang bertanggungjawab kepada diri,
masyarakat dan alam sekitar. Keempat, membentuk insan soleh sehingga mencapai kejayaan
dalam kehidupan di dunia dan akhirat.
Menurut Rahil Mahyuddin et. Al (1997) menjelaskan sistem pendidikan Islam yang
digabungkan dengan sistem tahfiz perlu mengandungi elemen-elemen penting bagi memberi
gambaran yang jelas berkaitan proses pengajaran dan pembelajaran. Contoh aktiviti yang
berlaku dalam dan luar kelas yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran, objektif
pengajaran, pengetahuan sedia ada murid serta kaedah pengajaran dan penilaian guru
terhadap murid perlu diterapkan dalam sistem pendidikan Islam semasa. Ini kerana menurut
Sharifah Alawiyah (1986) model pengajaran yang sesuai digunakan semasa proses
pengajaran dan pembelajaran dapat membantu pihak pengurusan sekolah menyusun
rancangan kurikulum sebagai panduan interaksi antara guru dan murid serta penentuan bagi

menyediakan bahan-bahan pengajaran. Mohd Aderi (2008) merumuskan model pendidikan
Islam dan tahfiz boleh dijadikan sebagai panduan dan rujukan untuk memudahkan para guru
pendidikan Islam memilih dan menyesuaikan dengan suasana murid serta persekitaran
pembelajaran.
LATARBELAKANG KAJIAN
Sistem Pendidikan Islam di Malaysia mula diperkenalkan secara formal pada tahun 1960-an
lagi. Berdasarkan kepada Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960 dan Akta
Pelajaran 1961 yang menetapkan bahawa pelajaran Agama Islam boleh diberikan kepada
murid-murid Islam apabila bilangannya mencapai 15 orang ke atas. Tahun 1962 mata
pelajaran Islam dimasukkan dalam jadual waktu persekolahan peringkat rendah dan
menengah. (Lihat Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979). Bagi memenuhi tuntutan semasa
kurikulum Pendidikan Islam menerima perubahan dengan memasukan bidang tilawah alQuran sebagai salah satu bidang pendidikan Islam. Menyedari berlaku beberapa kelemahan
dalam kurikulum pendidikan Islam yang menekankan aspek pengetahuan Islam dan kurang
dari aspek penghayatan Islam, maka Laporan Jawatankuasa Kabinet mengkaji Dasar
Pelajaran 1979 dan merumuskan sistem Pendidikan Islam masih belum mencapai tahap yang
memuaskan. Antara faktor kegagalan tersebut ialah guru tidak memiliki kelayakan iktisas
serta tahap pelajar yang kurang memuaskan dalam aspek pengajaran al-Quran. (lihat Laporan
Jawatankuasa Kabinet 1979).

3


International Seminar On Tarbiyah 2015 (ISoT 2015)
5 Mac- 8 Mac, Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh

Berikutan itu, suatu pandangan yang dikemukakan secara menyeluruh bagi mengatasi
masalah tersebut. Antaranya dibentuk Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) tahun 1982
diikuti Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) tahun 1988. Sistem Pengajaran Islam
dan al-Quran bukan sahaja diperkenalkan bagi membolehkan murid membaca ayat suci alQuran dengan baik tetapi aspek hafazan dan penghayatan terhadap al-Quran turut diberi
perhatian. Sementara itu Adnan, (2009); Ahmad, (2004) menjelaskan tilawah al-Quran
dimasukkan dalam mata pelajaran Pendidikan Islam yang terdiri daripada tiga komponen
iaitu pelajar dapat membaca ayat al-Quran dengan betul dan fasih, menghafal surah-surah
terpilih dengan lancar dan memahami maksudnya serta menghayati pengajarannya.
Menurut Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 18), menyatakan sistem Pendidikan Islam
diperkukuhkan lagi dengan mewajibkan subjek Pendidikan Islam diajar kepada semua kanakkanak Islam. Sistem pendidikan Islam merupakan wadah utama membentuk identiti anak
bangsa menjadi alat terpenting untuk menjayakan agenda pembangunan negara, perpaduan
dan kesejahteraan bangsa dan negara. (Tajul Ariffin, 1990). Jika diteliti jumlah sekolah yang
menyediakan sistem pendidikan Islam dan tahfiz secara bersepadu di Malaysia terdapat
banyak sekolah yang diusahakan oleh pihak swasta. Ia lebih dikenali sebagai sekolah rendah
Islam integrasi tahfiz yang menggabungkan pendidikan akademik dan pendidikan agama.
Sekolah peringkat rendah integrasi ini terdapat di seluruh negeri-negeri di Malaysia.

Bagi mereka yang mempunyai minat menceburi dalam industri pendidikan haruslah
melihat peluang ini sebagai asset yang sangat penting bagi mencapai sebuah negara maju.
Walaupun kerajaan menyediakan garis panduan khusus pengendalian sekolah swasta, namun
pemantauan berterusan bagi menjaga kualiti pendidikan tidak seharusnya dipandang ringan.
Berdasarkan falsafah pendidikan Islam yang telah dibincangkan di atas, maka para pengusaha
sekolah swasta peringkat rendah hendaklah
memasukkan eleman tersebut dalam
pembelajaran dan pendidikan. Persoalannya sejauh manakah sistem Pendidikan Islam di
Sekolah Tahfiz al-Islah, Tasek Gelugor Pulau Pinang menerima pakai falsafah pendidikan
Islam sesuai dengan tuntutan semasa.
METODOLOGI
Metode yang sesuai digunakan dalam sesuatu kajian adalah amat penting dan mempunyai
kebolehkepercayaan terhadap dapatan kajian, Idris Awang (2001). Bagi mendapatkan
maklumat yang diperlukan, kajian ini menggunakan metode perpustakaan yang mencakupi
metode historis. Juga pengkaji menggunakan kajian lapangan, mencakupi metode temubual
dan metode pemerhatian. Temubual dilakukan kepada beberapa orang responden yang
terlibat dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah dan ditandakan sebagai R1 hingga R
seterusnya. Pengkaji membuat pemerhatian di sekolah tersebut ketika proses pengajaran dan
pembelajaran berkaitan pendidikan Islam dan akademik seperti sains dan matematik. Melalui
metode pemerhatian membolehkan pengkaji menilai dan menganalisis sistem pendidikan

yang diamalkan oleh Sekolah Tahfiz al-Islah.
DAPATAN DAN PERBINCANGAN
Sejarah Penubuhan Sekolah Tahfiz al-Islah
Seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang ingin melahirkan individu yang
seimbang daripada pelbagai aspek, maka lahirlah sebuah sekolah Islam swasta iaitu Sekolah
Tahfiz Al-Islah (STAIL) terletak di Tasek Gelugor, Pulau Pinang lima belas tahun yang lalu.
Berdasarkan temubual responden pertama (R1), sekolah ini diasaskan oleh ustazah Wardatul
Iman Sindhu binti Abdullah. Beliau mempunyai latar belakang pendidikan agama dan kini
merupakan guru besar di STAIL. Manakala suaminya Ustaz Mohd Fahmi sebagai mudir am
4

International Seminar On Tarbiyah 2015 (ISoT 2015)
5 Mac- 8 Mac, Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh

kepada STAIL dan juga SMART iaitu Sekolah Menengah Arab Tahfiz (R2). Kedua-dua
sekolah ini bernaung di bawah satu pusat pendidikan yang sama. Pada peringkat awal
Sekolah Tahfiz al–Islah ini menerima dua belas orang pelajar sahaja. Para pelajar ini dilatih,
dibimbing membaca dan menghafal al-Qur’an dengan betul dan mantap. Ini adalah selaras
dengan tujuan penubuhan Sekolah Tahfiz al-Islah (STAIL) adalah untuk melahirkan generasi
cerdik pandai dalam al-Qur;an dan seterusnya menjadi golongan yang menghafal al-Qur’an.

Mengikut catatan awal (R3), Sekolah Tahfiz al-Islah ditubuhkan pada tahun 2000
bertempat di Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor Pulau Pinang. Pada waktu itu sekolah
mempunyai pelajar daripada darjah satu sehingga darjah tiga sahaja. Kemudian, atas
permintaan ibu bapa STAIL menyediakan pendidikan bersepadu diwujudkan kelas tahun
empat, tahun lima dan tahun enam. Secara amnya, sokongan ibu bapa pelajar banyak
membantu sekolah dengan memberi sumbangan berbentuk wang ringgit dan galakan
sepanjang awal penubuhan STAIL sehinggalah berjaya mendirikan kompleks pendidikannya
terdiri daripada Sekolah Tahfiz al-Islah (STAIL) dan Sekolah Menengah Arab Tahfiz
(SMART). Kini jumlah pelajar sekolah rendah tahfiz adalah seramai 519 orang.
Matlamat Penubuhan
Tujuan penubuhan Sekolah Rendah Tahfiz al-Islah adalah untuk melahirkan golongan huffaz
dan hafizah yang terdiri daripada kanak kanak berumur kurang dari dua belas tahun. Puteri
Roslina Abdul Wahid, (2008) menjelaskan kanak-kanak yang berumur tujuh tahun ke atas
mempunyai jiwa yang bersih, memiliki daya ingatan yang kuat, merupakan elemen yang
sangat membantu dalam proses menghafaz al-Qur’an. Menurut Ustazah Wardatul Iman
merupakan guru besar STAIL (R1), pada waktu awal penubuhan STAIL, terdapat banyak
sekolah agama, tetapi belum ada sekolah yang menawarkan pendidikan akademik dan tahfiz
dalam masa yang sama. Atas faktor ini mendorong Ustazah Wardatul Iman dan suaminya
menguatkan tekad untuk menubuhkan sebuah sekolah rendah tahfiz bentuk integrasi. Moto
Sekolah Tahfiz al-Islah ialah, ‘Untukmu Islam yang Kucintai’. Simbol gerbang mihrab atau

masjid yang terdapat dalam logo sekolah ini melambangkan ke arah satu usaha untuk para
pelajar mendekatkan diri kepada Allah SWT. Lambang al-Qur’an pula menunjukkan wahyu
daripada Allah SWT dan merupakan teras pendidikan di STAIL. Lambang bumi dan orbit
yang terdapat di tengah tengah gerbang masjid mewakili global dan teknologi bermaksud
penekanan terhadap subjek akademik. Warna biru yang merupakan warna teras bagi logo
STAIL menunjukkan kelembutan dan disiplin dalam proses pendidikan. Perkataan tahfiz
yang terdapat dalam logo sekolah ini pula menunjukkan STAIL memberi penekanan terhadap
al-Qur’an kepada para pelajarnya.
Bentuk sistem pendidikan yang diamalkan di Sekolah Rendah Tahfiz al-Islah ialah
sistem pendidikan bersepadu iaitu dalam erti kata lain, “three in one”. STAIL bukan sahaja
bercita-cita melahirkan individu Muslim yang berjaya dalam hafazan al-Quran dan cemerlang
di bidang akademik, tetapi dapat memberikan sumbangan dakwah dan tarbiyah kepada
masyarakat Islam. Ianya dapat difahami menerusi falsafah pendidikan musleh yang menjadi
teras atau panduan kepada bentuk sistem pendidikan yang diamalkan di STAIL. Kerana itu
syarat yang ditetapkan bagi memenuhi matlamat sekolah diberi keutamaan. Jika dirujuk pada
laman sesawang http://www.stailsmart.edu.my, dinyatakan antaranya pelajar yang berminat
belajar di sekolah ini hendaklah berumur 7 tahun pada tahun persekolahan berkenaan. Boleh
membaca Al - Quran. Telah menguasai bacaan tulisan jawi, boleh bacaan Bahasa Malaysia,
Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab serta menguasai doa harian pada tahap sederhana. Lulus
ujian temuduga daripada pihak sekolah.

5

International Seminar On Tarbiyah 2015 (ISoT 2015)
5 Mac- 8 Mac, Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh

Pentadbiran dan Tenaga Pengajar
Organisasi tertinggi dalam pentadbiran STAIL ini bertanggungjawab terhadap keseluruhan
pentadbiran STAIL dengan dibantu oleh Jemaah Pengurusan Sekolah yang terdiri daripada
guru besar selaku, penolong kanan hal ehwal murid, penolong kanan ko-kurikulum dan guru
guru kanan mata pelajaran. Di samping itu, hal yang berkaitan dengan pentadbiran sekolah
dibantu oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru STAIL. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
Sekolah Tahfiz al-Islah (STAIL) terdiri daripada waris para pelajar STAIL banyak membantu
daripada aspek kewangan serta memberi nasihat dalam pelbagai aspek terutama
pembangunan sekolah.
Terdapat 20 orang tenaga pengajar di Sekolah Tahfiz al-Islah terdiri daripada mereka
yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan lulusan Sekolah Menengah Agama.
Berdasarkan temubual (R1), menjelaskan latar belakang guru amat penting dan amat dititik
beratkan ketika proses pengambilan temuduga calon guru yang berkelayakan. Keutamaan
diberikan kepada guru yang mempunyai kefahaman Islam yang mendalam dan berminat
dalam aspek pengajaran dan pendidikan. Ini adalah kerana, guru merupakan insan yang
sentiasa dilihat oleh para pelajar daripada pelbagai aspek terutamanya dalam aspek sahsiah
atau akhlak. Guru yang mempunyai kefahaman Islam yang mendalam bertindak sebagai
qudwah hasanah kepada para pelajarnya.
Sumber Kewangan dan Kemudahan Fasiliti
Sumber utama kewangan Sekolah Tahfiz al-Islah ialah daripada yuran sekolah. Yuran yang
dikenakan kepada pelajar setiap bulan merupakan sumber utama dana sekolah. Yuran sekolah
yang diperoleh digunakan untuk membayar gaji guru dan kakitangan STAIL. Selebihnya duit
ini digunakan untuk pembangunan dan keceriaan sekolah. Daripada aspek penambaikan
prasarana sekolah, ibu-bapa kepada para pelajar di sekolah ini serta sumbangan daripada
pihak-pihak tertentu dan orang-orang persendirian yang prihatin banyak membantu. Pusat
Zakat Pulau Pinang adalah pihak yang paling banyak membantu dalam pembangunan STAIL.
Setiap tahun, Pusat Zakat Pulau Pinang akan memberi peruntukan kepada Sekolah Tahfiz alIslah berdasarkan perkapita pelajar.
Berdasarkan pemerhatian pengkaji terdapat kemudahan prasarana. Antara kemudahan
asas ialah bilik kelas, kantin, pejabat sekolah, bilik guru lelaki dan perempuan, surau,
perpustakaan dan makmal komputer. Terdapat kira-kira 13 buah kelas di STAIL. Kelas
tersebut terletak di bahagian bawah Pusat Pendidikan STAIL. Kesemua kemudahan ini
adalah untuk kegunaan para pelajar Sekolah Tahfiz al-Islah (STAIL). Kemudahan prasarana
yang terdapat di STAIL adalah hasil sumbangan pihak-pihak tertentu, orang-orang
persendirian dan juga ibu-bapa pelajar di Sekolah Tahfiz al-Islah.
Struktur Pengajian dan Pembelajaran
Sekolah Tahfiz al-Islah menawarkan mata pelajaran agama dan akademik kepada para
pelajarnya. Mata pelajaran asas ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik.
Selain itu, pentadbiran sekolah mewajibkan para pelajarnya mengambil subjek-subjek
deeniyah. Antara subjek-subjek deeniyah yang dipelajari ialah Bahasa Arab, Jawi, Tajwid,
Fekah, Sirah, Akidah, dan Akhlak. Menurut Guru Besar Sekolah Tahfiz al-Islah (STAIL),
Ustazah Wardatul Iman menjelaskan walaupun terdapat banyak subjek yang perlu dipelajari
oleh para pelajar STAIL, ianya tidak menjejaskan prestasi akademik para pelajarnya. Bahkan,
ianya banyak membantu para pelajar untuk menjadi manusia yang seimbang ilmu duniawi
dan ukhrawinya. Tenaga pengajar dan kakitangan di Sekolah Tahfiz al-Islah (STAIL) dididik
dalam suasana yang soleh. Ini adalah kerana, STAIL menyediakan suasana yang soleh
6

International Seminar On Tarbiyah 2015 (ISoT 2015)
5 Mac- 8 Mac, Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh

kepada para pelajar, tenaga pendidik dan juga kakitangan sokongan. Setiap minggu, tenaga
pengajar dan kakitangan di Sekolah Tahfiz al-Islah (STAIL) diwajibkan untuk mengikuti
usrah bagi memastikan setiap guru dan kakitangan di STAIL sentiasa diberi nasihat dan
peringatan agar menjadi manusia berjaya di dunia dan akhirat dan dapat memberi sumbangan
kepada Islam khususnya, bangsa dan negara. Selain itu, dengan menghadiri usrah atau
halaqah, seseorang itu sentiasa terdidik hatinya agar setiap detik yang dilaluinya tidak
terlepas daripada mengingati Allah.
Dalam aspek peraturan, Sekolah Tahfiz al-Islah menekankan peraturan yang
digariskan oleh Islam di samping peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM). Antara peraturan yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran STAIL ialah
melarang pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Dalam hal ini, pihak pentadbiran
STAIL telah menetapkan penggunaan tangga dan laluan yang berbeza antara pelajar lelaki
dan perempuan. Selain itu, peraturan lain yang dapat dilihat di STAIL ialah daripada aspek
pemakaian. Pelajar perempuan diwajibkan memakai tudung labuh, berstokin manakala
pelajar lelaki pula diwajibkan memakai kopiah putih. Ini bagi menunjukkan imej Sekolah
Tahfiz al-Islah sebagai salah sebuah sekolah Islam swasta selain ianya merupakan tuntutan
agama Islam.
Subjek akademik seperti Sains dan Matematik yang diajar kepada para pelajarnya
mengandungi silibus tambahan dikenali sebagai kurikulum merentasi tauhid. Guru yang
mengajar subjek-subjek ini membawa para pelajar untuk mengenali Maha Pencipta melalui
kaedah pemerhatian terhadap isi pengajaran. Hasilnya, para pelajar bukan sahaja mendapat
pengetahuan atau kemahiran baru, tetapi dapat mengenali Pencipta. Selain itu, pendidikan
bersepadu yang diamalkan STAIL menggambarkan keistimewaan sekolah ini yang
dikategorikan sebagai sebuah sekolah agama swasta. Pendidikan bersepadu yang
dimaksudkan ialah keseimbangan di antara akademik dan agama. STAIL bukan sahaja
sebuah sekolah yang memberikan penekanan kepada subjek akademik tetapi subjek agama
terutamanya pembacaan al-Qur’an diutamakan. Para pelajar diajar membaca al-Qur’an
dengan tajwid yang betul di samping galakan turut diberi kepada para pelajar STAIL untuk
menghafaznya. Di samping itu, kajian mendapati bahawa Sekolah Tahfiz al-Islah sangat
menitikberatkan soal akhlak serta pendidikan keimanan kepada para pelajarnya. Salah satu
usaha yang dibuat oleh pihak pentadbiran STAIL dalam membentuk akhlak mulia serta
memberikan pendidikan keimanan kepada para pelajarnya adalah dengan mewajibkan para
pelajarnya mengikuti usrah dan aktiviti ko-kurikulum. Ia bertujuan untuk memantapkan
pembentukan jati diri muslim dan muslimah.
Sekolah Tahfiz al-Islah (STAIL) juga merupakan sebuah sekolah yang memberi
penekanan dalam aspek ibadah kepada para pelajarnya. Ini dapat dilihat pelajar diwajibkan
menunaikan solat lima waktu secara berjemaah. Selain itu, penekanan dalam aspek ibadah
dapat dilihat menerusi bacaan dan hafazan al-Qur’an yang menjadi rutin harian bagi pelajar
STAIL. Hasil daripada penekanan dalam aspek ibadah ini, pelajar dapat menguasai
kemahiran bacaan al-Qur’an, menguasai hafazan al-Qur’an bergantung kepada kemampuan
masing-masing. Sistem pendidikan yang berteraskan tauhid menjadikan falsafah pendidikan
STAIL mempunyai matlamat dan halatuju yang jelas di dalam mengarahkan sisem
pendidikan yang terancang supaya sesuai dengan tuntutan roh pendidikan Islam. Dasar ini
membolehkan sistem pendidikan di STAIL membentuk budaya pendidikan yang mantap dan
teguh berteraskan prinsip tersebut. Konsep pendidikan sepadu antara akademik dan
pendidikan agama yang diterapkan di STAIL sebahagiannya telah menepati prinsip
pendidikan Islam mengambilkira kedua-dua aspek kehidupan dunia dan akhirat. Ia
7

International Seminar On Tarbiyah 2015 (ISoT 2015)
5 Mac- 8 Mac, Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh

menggambarkan seluruh aspek pendidikan di dalam Islam yang diberi penekanan secara
seimbang, berasaskan kesepaduan ilmu-ilmu agama dan akademik bentuk teori dan praktikal.
Dari sudut yang lain, pengkaji mendapati falasafah pendidikan STAIL membentuk
insan rabbani yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia. Pelajar yang tamat pendidikan di
sekolah ini lazimnya mampu memahami dan menghayati hakikat kelahirannya di dunia ini.
Kekuatan yang diperlihatkan di dalam falsafah pendidikan Islam STAIL ialah bersumberkan
al-Qur’an dan as-Sunnah yang menjadi nadi falsafah pendidikan Islam. Justeru, ia menepati
prasyarat yang dikehendaki di dalam Islam dengan memberi penekanan kepada melahirkan
generasi yang mengamalkan akhlak mulia dan penghayatan amalan Islam.
Antara kelemahan yang dikenalpasti ialah aspek prasarana yang terdapat di Sekolah
Tahfiz al-Islah (STAIL) masih kurang mencukupi. Dalam pelaksanaan operasi sesebuah
institusi pendidkan, prasarana merupakan asas yang perlu disediakan oleh pihak pengurusan.
Walaupun, STAIL telah beroperasi selama 15 tahun lebih, namun masih terdapat kekurangan
seperti peralatan bilik belajar yang sesuai dan teratur, bahan pembacaan, penggunaan ICT dan
kemudahan pentadbiran. Prasarana dilihat tidak cukup untuk menampung bilangan pelajar
yang semakin meningkat saban tahun. Selain itu, kurangnya pendedahan berkaitan kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang diberikan kepada tenaga pengajar di STAIL khususnya
guru yang mengajar subjek akademik. Kebanyakan tenaga pengajar didapati tiada
pengalaman atau kepakaran dalam bidang yang diceburi.
KESIMPULAN
Sekolah Tahfiz al-Islah merupakan salah sebuah sekolah Islam swasta yang memberi
penekanan kepada pelajar tentang akademik dan tahfiz bagi melahirkan insan yang seimbang
dan seterusnya mampu memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara. Hal ini
adalah bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan juga falsafah
Pendidikan Islam yang mana tujuannya untuk melahirkan insan yang seimbang. Sekolah
Tahfiz al-Islah berteraskan al-Qur’an yang menjadi panduan mendidik manusia mengenali
Allah dan Rasul-Nya khususnya peringkat asas. Penekanan terhadap pentingnya wujud satu
suasana kerohanian di antara pendidik dengan penuntut agar keimanan dan nilai-nilai yang
baik dapat diwujudkan dalam proses pendidikan. Kekuatan melahirkan "integrated
personality" atau sahsiah yang bersepadu menyediakan seseorang individu untuk menghadapi
seluruh aspek kehidupan ini. Penumpuan terhadap keperluan rohani dan material menusia
yang tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain. Pembinaan iman dan nilai-nilai murni di
dalam hati dan pemikiran generasi muda serta kemajuan dalam pembentukan akhlak dan
kerohanian pelajar.
RUJUKAN
Abdul Rashid Ahmad (1991). Surah Luqman: Suatu Analisa tentang asas-asas pendidikan
Luqman dan hubungannya dengan pendidikan Islam dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah. Tesis Sarjana Pengajian Islam, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.
Abdullah al-Qari b. Haji Salleh (1972), Dasar-dasar Pendidikan Menurut Islam, cet. 1,
Kelantan: Pustaka Aman Press.
Abdullah Ishak (1985). Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia, Kuala Lumpur.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

8

International Seminar On Tarbiyah 2015 (ISoT 2015)
5 Mac- 8 Mac, Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh

Abdullah Nasih Ulwan (2004). Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam. (Terj. Syed Ahmad
Semait). Jil. 1 dan 2. Cet. Ke 13. Singapura: Pustaka Nasional.
Abu Daud al-Sajistany Sulayman bin Ash’ath (1387H). Sunan. Jil 1. Kafur : Matba’ah alMajidi.
Adnan Mohamed Yusoff (2009). Pendidikan Islam tahun 5 dan 6, Seri Kembangan : Open
Universiti Malaysia.
Ahmad Mohd Salleh (2004). Pendidikan Islam, falsafah, sejarah dan kaedah pengajaran dan
pembelajaran. Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Ahmad Mohd Salleh, (2008). Pengajian Agama Islam & J-Qaf Metodologi dan Pedagogi
Pendidikan, Selangor, Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Alfatiah Mat Rani, (2011). Tahap Penggunaan Alat Bantu Mengajar Dalam Pengajaran dan
Pembelajaran Islam di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri Daerah Pasir
Putih, Kelantan, Tanjong Malim, Tesis Sarjana Muda Pendidikan Islam, UPSI.
Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, (2002). Sukatan Pelajaran
Bahasa Arab Komunikasi, Kuala Lumpur, Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Islam
dan Moral, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Ibnu Khaldun, (2000). Muqaddimah Ibnu Khaldun. Jakarta, Terjemahan oleh Ahmadi Thoha,
Pustaka Firdaus, cet. Ke iv.
Idris Awang, (2001). Kaedah Penyelidikan : Suatu Overview, Kuala Lumpur, Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979). Akta Pelajaran 1961, seksyen 36 (1).
Kamarul Azmi Jasmi dan Ab. Halim Tamuri, (2007). Pendidikan Islam kaedah pengajaran
& pembelajaran, Johor Bahru: Penerbit UTM Press.
Mohd Aderi, (2008). Hubungan antara amalan pengajaran guru dan pencapaian tilawah alQuran pelajar tingkatan dua di Malaysia. Tesis Phd, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti
Putra Malaysia.
Maznah & Zakiah (2009). Persediaan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Rohani Terhadap AnakAnak: Kajian Di Taman Batu Permai, Kuala Lumpur, Jurnal Ilmiah, Johor : Fakulti
Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.
Puteri Roslina Abdul Wahid, (2008). Bahasa Dalam Komunikasi Verval : Pembelajaran
Bahasa Melayu Kanak-kanak, Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 19.
Rahil Mahyuddin, Habibah Elias & Kamariah Abu Bakar (1997). Pedagogi 2: Pelaksanaan
Pengajaran, Selangor, Longman.
Samsinas, (2009). Ibnu Khaldun: Kajian Tokoh Sejarah Dan Ilmu-ilmu Sosial, Jurnal
Hunafa, Vol. 6. Jilid 3. Disember 2009.

9

International Seminar On Tarbiyah 2015 (ISoT 2015)
5 Mac- 8 Mac, Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh

Sharifah Alawiyah (1986). Ilmu Pendidikan Pedagogi, Kuala Lumpur : Heinemann
(Malaysia) Sdn. Bhd.
Tajul Ariffin, (1990). Pendidikan suatu Pemikiran Semula, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa
dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

10