Program Kerja Sosial tenaga kerja (1)

Program Kerja Sosial
SSW410: Kerja Sosial Antarabangsa dan Silang Budaya
Semester 1, Sidang Akademik 2016/2017

Kerja Kursus Individu:
Kepentingan Keperluan Pekerja Sosial di Peringkat Antarabangsa

Nur Syahirah Ahmad Bastari
122423

Nama Pensyarah
Dr Mohd Haizzan Bin Yahaya
Dr Zulkarnain Ahmad Hatta

1
Pengenalan
Kerja sosial antarabangsa adalah profesion kerja sosial yang berhadapan dengan isu
antara beberapa negara atau sempadan silang budaya dalam penyelesaian masalah atau
konflik. Menurut Lyons (1999), bidang kerja sosial antarabangsa merangkumi praktis silang
budaya dan antarabangsa untuk mempengaruhi polisi dan praktis undang-undang
supranational. Supranational adalah satu bentuk undang-undang antarabangsa yang dibentuk


atas limitasi hak antara negara-negara yang berdaulat. Berbeza pula dengan pandangan Healy
(2001) yang menyatakan bahawa kerja sosial antarabangsa adalah tindakan dan pembuatan
kes bagi meningkatkan kefungsian global di mana kerja sosial tempatan dan khidmat manusia
domestik mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk terlibat dalam aktiviti antarabangsa
yang merangkumi advokasi, pertukaran profesional, praktis antarabangsa dan pembangunan
polisi antarabangsa. Kerja sosial antarabangsa juga ditakrifkan sebagai praktis kerja sosial
dengan golongan imigrasi dan pelarian (Sanders,1984; Sanders & Pedersen, 1984). Malah
sejak 1990-an, kerja sosial antarabangsa juga telah dikenali daripada pelbagai sudut
perspektif yang luas iaitu sebagai praktis profesional yang melepasi sempadan negara serta
berkaitan hubungan dan pertukaran antara negara (Hokenstad, Khinduka, & Midgley, 1992).
Kepentingan Pekerja Sosial Antarabangsa
Kerja sosial antarabangsa berperanan besar dalam pelbagai bidang yang merentas
sempadan negara seperti isu hak asasi manusia, keadilan sosial, hubungan diplomatik,
pendidikan, penyelidikan dan sebagainya. Pekerja sosial antarabangsa juga turut aktif dalam
praktis isu global seperti menangani masalah pelarian, imigran, bencana alam dan sosial
(Lyons, 1999). Berikut merupakan kepentingan keperluan pekerja sosial antarabangsa yang
akan dikupas satu persatu bagi melihat kegentingan keperluannya dalam menangani isu
global pada masa kini.
Kepentingan dalam Membina Hubungan Diplomatik Antarabangsa


2
Kepentingan kewujudan pekerja sosial antarabangsa dapat dilihat melalui pembinaan
hubungan diplomatik antara beberapa negara di mana pekerja sosial akan melihat realiti
semasa politik dan sosial yang merangkumi undang-undang dan budaya sesuatu negara serta
mempelajari dan mengkaji pengalaman daripada pelbagai negara mengenai adaptasi sesuatu
praktis terhadap negara dan undang-undang antarabangsa (Ahmadi, 2002). Apabila menyebut
mengenai antarabangsa, secara automatik skop yang perlu dilihat adalah secara global dan
menyeluruh tanpa bias pada mana-mana pihak melalui integrasi budaya global bagi
mengelakkan konflik dan menggalakkan keamanan sesama negara. Keamanan tersebut
dicapai bukan sekadar penghormatan terhadap negara lain malah diperoleh daripada
pembinaan hubungan diplomatik antarabangsa yang dapat diimplementasikan oleh pekerja
sosial antarabangsa yang berperanan sebagai mediator atau orang tengah dalam mencapai
suatu kata sepakat secara aman.
Misalnya, tragedi perebutan hak ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan antara
Malaysia dan Indonesia serta cubaan campur tangan daripada negara Filipina pada tahun
1996. Perebutan ini terjadi apabila kedua-dua pihak menyatakan tuntutan hak masing-masing
bagi pemilikan pulau-pulau tersebut (Abd Latif & Tiung,2007). Di sini peranan pekerja sosial
antarabangsa adalah sebagai orang tengah untuk menilai dan mengkaji status dan sejarah latar
belakang pemilikan pulau-pulau terbabit di samping menjadi broker dengan menghubungkan

dan memanjangkan isu tersebut kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The
Hague untuk diperdebatkan secara adil dan saksama. Pekerja sosial juga berperanan membina

dan memastikan hubungan diplomatik antara negara tersebut terus terjaga terutamanya antara
Malaysia dan Indonesia bagi memastikan pergolakan dan perang dingin tidak terjadi
seterusnya menggelakkan keadaan daripada menjadi lebih buruk. Kepentingan peranan
pekerja sosial antarabangsa dalam pembinaan hubungan diplomatik dapat dilihat buat
pertama kali dalam sejarah Asia Tenggara, dua negara berjiran bersama-sama bersetuju untuk

3
menyelesaikan isu tersebut secara aman menerusi penglibatan pihak ketiga yang berasaskan
undang-undang antarabangsa. Namun, kepentingan peranan pekerja sosial tidak terhenti
setakat itu sahaja malah pekerja sosial perlu memastikan kelangsungan hubungan diplomatik
tersebut perlu kekal terjaga sehingga ke generasi-generasi akan datang.
Kepentingan dalam Memahami Silang Budaya dan Antarabangsa
Zaman modenisasi kini, peningkatan penghijrahan pelajar antarabangsa semakin
ketara malah kebanyakan pelajar antarabangsa lebih cenderung untuk tinggal dan bekerja di
luar negara setelah tamat belajar atas faktor ekonomi, politik dan pengangguran di negara
asal. Kebanyakan negara seperti Australia, Amerika Syarikat dan New Zealand juga telah
mengemaskinikan polisi imigresen bagi negara masing-masing untuk permohonan kerakyatan

kekal bagi pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan akademik kepada pelajar-pelajar
antarabangsa yang telah menamatkan pelajaran (Ryan & Zuber-Skeritt, 1999). Keperluan
kepentingan pekerja sosial antarabangsa adalah dengan memainkan peranan penting dalam
memastikan setiap pelajar antarabangsa memahami struktur silang budaya bagi memastikan
setiap daripada mereka dapat mengadaptasi dan bersosialisasi dengan baik di negara tersebut.
Pekerja sosial antarabangsa juga amat diperlukan bagi memastikan intervensi yang diberikan
kepada pelajar-pelajar antarabangsa tidak berat sebelah dan sesuai mengikut konteks pelajar
itu sendiri dan negara tersebut selari dengan undang-undang negara bukan sekadar melihat
sudut pandang budaya negara tersebut sepenuhnya.
Hal ini demikian kerana kebanyakan pelajar antarabangsa mengalami kesukaran
untuk bersosialisasi mengenali budaya dan kepelbagaian di negara tersebut seterusnya
menimbulkan rasa kurang senang bagi pelajar tempatan apabila ditambah pula dengan
permasalahan bahasa dan komunikasi (Ahmad & Weerakkody, 2011). Peranan penting
pekerja sosial yang dapat dimainkan adalah menjadi pendidik untuk menjelaskan setiap aspek
budaya dengan lebih spesifik mengenai realiti sosial sebagai persediaan kepada pelajar

4
antarabangsa. Hal ini demikian kerana, segelintir pelajar antarabangsa kurang pengetahuan
mengenai sistem komunikasi dan budaya di negara lain masih belum dapat mengadaptasi
kesedaran kendiri seperti terikat dengan perbezaan agama, bangsa, etnik, kewarganegaraan,

cuaca, nilai, kepercayaan dan pengalaman hidup di tempat asal yang menyukarkan mereka
untuk beradaptasi dengan negara tersebut (Ahmad & Weerakkody, 2011).
Memastikan Keadilan Sosial dan Hak Asasi Manusia Terjamin
Hak asasi manusia merupakan hak setiap individu untuk bebas mendapatkan hak yang
sama rata tanpa mengira agama, bangsa, keturunan, warna kulit, bahasa, budaya dan
sebagainya namun ia berbeza mengikut sudut geografi dan bergantung pada keperluan
masyarakat tersebut. Secara umumnya, hak asasi manusia didefinisikan sebagai perlakuan
terhadap setiap individu mengikut dasar kemanusiaan yang sebenar (Abdul Wahab & Bidin,
2000). Sekiranya hak asasi manusia tersebut dicabuli, maka tuntutan yang dibuat adalah bagi
mempertahankan keadilan sosial individu atau kelompok tersebut. Keadilan sosial merupakan
suatu hak yang diperakui oleh Perkara 22 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948.
Misalnya, isu pelarian Syria yang giat diperkatakan kini yang mana terdapat banyak
negara mengiktiraf penerimaan terhadap pelarian Syria seperti negara Malaysia, Australia,
United Kingdom, Jerman, Finland, Austria, Perancis dan Itali. Malahan, negara Lebanon,
Jordan, Iraq, Turki, dan Egypt turut menerima dan membantu golongan pelarian Syria
mendapatkan keperluan asas tersebut melalui pertubuhan The United Nation Children’s Fund
(UNICEF) terutamanya golongan kanak-kanak (UNICEF, 2014). Oleh itu, peranan pekerja
sosial antarabangsa berkaitan isu ini bukan sahaja memastikan setiap pelarian Syria mendapat
bantuan keperluan asas malah perlu memastikan komuniti tidak ditindas dan tidak
didiskriminasikan oleh negara penerima. Selain itu, pekerja sosial antarabangsa berperanan

penting dalam memastikan golongan pelarian Syria di negara-negara penerima dapat

5
menyesuaikan diri dengan budaya dan persekitaran mereka khususnya di negara-negara
Eropah yang bertentangan dengan budaya dan persekitaran negara-negara Arab.
Negara Australia adalah salah sebuah negara yang menerima paling ramai golongan
pelarian Syria untuk ditempatkan di negara mereka atas dasar kemanusiaan (Australian
Government, 2015). Namun begitu, dalam masa yang sama Australia juga merupakan orang

kuat dalam memerangi Syria dan Iraq atas faktor ingin menghapuskan pengganas Islamic
State of Iraq and Syria (ISIS). Malah, menurut Gardner, Karakasoglu dan Luchtenberg

(2008) dan Chopra (2015), negara Australia juga mengalami Islamophobia di mana individu
dan kumpulan yang beragama Islam ditindas dan didiskriminasikan oleh penganut agama lain
dengan menyatakan bahawa penganut agama Islam adalah sebagai pengganas. Oleh itu,
kewujudan pekerja sosial antarabangsa adalah untuk menilai semula sejauh mana keperluan
komuniti pelarian Syria ini diberi dan dijaga di samping memastikan golongan ini tidak
didiskriminasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Memastikan Pendidikan dan Penyelidikan Kerja Sosial Memenuhi Piawaian Global
Keperluan pekerja sosial antarabangsa dalam memastikan penyelarasan pendidikan

dan penyelidikan kerja sosial bertaraf antarabangsa di peringkat global amat diperlukan. Hal
ini demikian kerana kewujudan pekerja sosial antarabangsa bukan sahaja dapat
menggalakkan dan mengekalkan kualiti amalan kerja sosial berada dalam posisi piawaian
tahap pendidikan global malah membolehkan transaksi pengetahuan dan kemahiran berkaitan
isu-isu semasa di seluruh pelosok dunia dapat dipelopori secara menyeluruh dan saksama
(Faruque & Ahmmed, 2013). Pengetahuan dan kemahiran yang dikongsi antara pekerja sosial
antarabangsa tersebut boleh merangkumi bahasa, corak komunikasi, undang-undang, budaya,
agama, dan kepercayaan bagi setiap kelompok masyarakat di dunia (Webb, 2003). Hal
tersebut akan memudahkan pekerja sosial antarabangsa untuk meninjau perkembangan skop
kerja sosial di negara-negara tersebut di samping melahirkan pekerja sosial antarabangsa

6
yang kompeten dan berkebolehan menyelesaikan permasalahan dengan mengambil kira sudut
pandang politik, undang-undang, ekonomi dan sosial negara-negara yang terlibat seterusnya
menghubung kaitkan dengan undang-undang atau polisi antarabangsa.
Misalnya, pertubuhan The Asian and Pacific Association for Social Work Education
(APASWE) yang ditubuhkan bagi memberi tumpuan kepada pendidikan dan penyelidikan

kerja sosial di rantau ini dengan menitikberatkan peranan yang perlu dimainkan oleh pekerja
sosial antarabangsa. APASWE juga menggalakkan para akademik dan profesional pendidikan

kerja sosial memenuhi tahap piawaian global di samping memudahkan kerjasama antara
negara-negara yang terlibat terutamanya perkara yang berkaitan dengan skop bidang kerja
sosial. Selain itu, kewujudan pertubuhan International Association of School Social Work
(IASSW) juga membuktikan keperluan pekerja sosial di peringkat global yang melibatkan

seluruh dunia. Pertubuhan ini menggalakkan pembangunan pendidikan kerja sosial di seluruh
dunia, memperkasa piawaian kualiti pendidikan kerja sosial, menggalakkan pertukaran isu
antarabangsa, menyediakan platform forum bagi pertukaran idea penyelidikan kerja sosial di
peringkat global serta mempergiat perjuangan hak asasi manusia dan pembangunan sosial.
Profesion Kerja Sosial Antarabangsa Mempunyai Nilai dan Etika Tersendiri
Kerja sosial antarabangsa mempunyai nilai dan etika yang tersendiri dalam
menawarkan perkhidmatan berdasarkan undang-undang, budaya dan persekitaran negara
yang ditawarkan perkhidmatan (National Association of Social Worker, 2008). Apabila
berbicara mengenai pekerja sosial antarabangsa, antara nilai etika dan norma yang perlu
dititikberatkan ialah prinsip memartabatkan manusia, hak asasi manusia, kemanusiaan,
perpaduan, kebajikan dan keselamatan, martabat dan integriti, demokrasi dan penyertaan,
keamanan dan kesaksamaan ( Akademikerförbundet SSR,2008). Hal ini penting bagi
memastikan setiap klien atau komuniti mendapat perkhidmatan yang sepatutnya diterima

7

malah membolehkan pekerja sosial antarabangsa untuk mengetepikan nilai etika sendiri
semasa memberikan intervensi dan khidmat tolong-bantu.
Misalnya, negara India yang sememangnya unik dan terkenal dengan sistem kasta
iaitu pembahagian kelas sosial dibuat berdasarkan sistem hierarki dan masyarakat hidup
dalam keadaan mengikut peringkat kelas sosial. Dalam sistem kasta ini, terdapat banyak
penindasan berlaku terutamanya penindasan mengikut warna kulit berdasarkan kelas sosial(
Kadun & Gadkar, 2014). Sebagai individu yang memegang nilai etika, pekerja sosial
antarabangsa akan meneliti dan memahami sistem budaya India terlebih dahulu bagi
mengelakkan pekerja sosial daripada membuat keputusan berdasarkan nilai sendiri dan
menyentuh sensitiviti di negara tersebut (Hiwrale, 2014). Dengan wujudnya nilai penerimaan
dan hormat kepelbagaian dalam diri pekerja sosial antarabangsa membolehkan pekerja sosial
antarabangsa untuk berkhidmat secara telus tanpa mengira mana-mana kelas sosial.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kerja sosial antarabangsa sememangnya memainkan peranan yang
cukup penting bagi penyelesaian masalah di peringkat global terutamanya isu yang
melibatkan konflik antara negara dan hak asasi manusia. Kebanyakan artikel juga
menekankan peranan paling penting bagi pekerja sosial antarabangsa adalah
mempertahankan hak asasi manusia, memartabatkan manusia dan keamanan sosial (Hall,
2013). Oleh itu, keperluan kerja sosial antarabangsa di peringkat global tidak dapat dinafikan
lagi akan kepentingannya dalam merentas permasalahan global. Setiap peranan yang

dimainkan oleh pekerja sosial antarabangsa juga dilihat tidak ketinggalan dengan kajian yang
relevan dan seiring pergerakan masa kini bagi memperoleh maklumat tentang sejauh mana
keberkesanan perkhidmatan yang diberikan selari dengan nilai etika yang dipegang oleh
pekerja sosial.

8
Rujukan
Abd Latif & Tiung, L., K. (2007). Kasus ambalat-reaksi media Indonesia: framing dan
komunikasi antarabangsa. Jurnal Komunikasi, Malaysian Journal of Communication,
23, 14-27.

Abdul Wahab, H., & Bidin, A. (2000). Akta 597: Satu Perkembangan Hak Asasi Manusia di
Malaysia. Kedah. Universiti Utara Malaysia.

Ahmadi, N. (2003). Globalisation of consciousness and new challenges for international
social work. International Journal of Social Welfare, 12, 14-23.
Ahmad, J., & Weerakkody, N. (2011). Komunikasi silang budaya, kompetensi, pengajaran
dan pembelajaran: satu analisis. Jurnal Pendidikan Malaysia, 36(1), 45-53.
Akademikerförbundet SSR. (2008). Ethics in Social Work. The Swedish Association of
Graduates in Social Sciences. Sweeden.

Australian Government. (2015). Australia’s Humanitarian Response to the Syria Crisis.
Canberra: Department of Foreign Affairs and Trade.
Chopra, T. (2015). Beyond burqas, bombs, and bogeymen: Australian muslims and the
media. Griffith Journal of Law & Human Dignity, 3(2), 324-337.
Faruque, C. J., & Ahmmed, F. (2013). Development of social work education and practice in
an era of international collaboration and cooperation. Journal of International Social
Issues 2(1), 61-70.

Gardnera, R., Karakasoglub, Y., & Luchtenberg, S. (2008). Islamophobia in the media a
response from multicultural education. Intercultural Education, 19(2), 119-136.
Hall, N. (2013) International Federation of Social Work. Encyclopedia of Social Work. USA:
National Association of Social Workers and Oxford University Press USA.
Healy, L. M. (2001). International Social Work: Profesional Action in an Interdependent
World. New York : Oxford University Press.

9
Hokenstad, M. C., Khinduka, S. K., & Midgley, J. (1992) Profiles in International Social
Work. Washington, DC: NASW Press.

Hiwrale, A. (2014). Ambedkar social work: its theory and practice. Indian Journal of Dalit
and Tribal Social Work, 2(2), 12-27.

Kadun, P. B., & Gadkar. R. D. (2014). Social exclusion –its types and impact on dalits in
India. IOSR Journal Of Humanities And Social Science, 19(4), 81-85.
Lyons, K. (1999). International Social Work: Themes and Perspectives. Aldershot and
Brookfield, Ashgate & Arena.
National Association of Social Work. (2008). Code of Ethics. diakses daripada https://www.
socialworkers.org/pubs/code/default.asp.
Ryan, Y. & Zuber-Skeritt, O. (1999). Supervising Postgraduate Students From Non-English
Speaking Backgrounds. Buckingdom, UK: Open University Press.

Sanders, D. (1984). Developing a graduate social work curriculum with an international
cross-cultural perspective. Journal of Education for Social Work, 13(3), 76-83.
Sanders, D. & Pedersan, P. (1984). Education for International Social Welfare. Honolulu, HI:
School of Social Work, University of Hawaii.
UNICEF. (2014). Syria Crisis: 2014 Annual Situation Report. diakses daripada https://data.
unhcr.org/ syrianrefugees/download.php?id=6264.
Webb, S. (2003). Local orders and global chaos in social work. European Journal of Social
Work, 6(2), 191-204.