Sistem Latihan Dual di Malaysia Satu Per

Sistem Latihan Dual di Malaysia:
Satu Perbandingan Dengan Negara Jerman
Akhmal Annas bin Hasmori
Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia
E-mail: [email protected]
Mohd Khata bin Jabor, PhD
Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia
E-mail: [email protected]
Abstrak
Sistem latihan kemahiran di Negara ini telah bermula sejak zaman sebelum
merdeka lagi dan ianya terus berevolusi dari masa ke masa sehinggalah tibanya
pengaruh dual system iaitu sistem dual di negara ini. Penulisan konsep yang
dilakukan secara kajian literatur mendalam ini akan membincangkan secara
ringkas berkenaan dengan pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di
Malaysia dan seterusya melakukan perbandingan dengan sistem dual yang
dijalankan di Jerman. Perbandingan literatur akan dilakukan dari pelbagai aspek
terutamanya aspek teras, matlamat utama dan bagaimana pelaksanaan sistem
dual ini dijalankan di kedua-dua buah negara. Faktor kritikal yang mempengaruhi
kejayaan holistik sistem dual ialah bagaimana kerjasama yang erat di antara
pihak industri dengan pusat latihan dapat dibentuk dalam mencari kata sepakat
dalam setiap aspek pelaksanaannya. Dengan berpandukan kepada matlamat

utama proses pendidikan dan garis panduan pelbagai program dan pelan
pembangunan modal insan yang sedang digunapakai di Negara ini, penulisan ini
diharap akan dapat memberi satu perpekstif dan persepsi baru terhadap
bagaimana pelaksanaan sistem dual ini secara sepenuhnya amat berpotensi
dalam mengatasi pelbagai isu dan status dalam bidang pekerjaan iaitu World of
Work. Ianya juga diharapkan akan dapat membantu dalam proses mencapai
matlamat utama serta meningkatkan lagi stigma dan pandangan positif
masyarakat terhadap pendidikan dan latihan teknik dan vokasional (TVET) di
Malaysia amnya dan di peringkat global khasnya.
Kata Kunci: Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), Sistem Dual, Pendidikan dan
Latihan Teknik dan Vokasional (TVET).

1. Pendahuluan
Tidak mahu tertinggal jauh dengan negara-negara maju dan membangun
yang lain, Malaysia dengan penuh komited terus mengorak langkah dan
melakukan pelbagai proses penyelidikan dan pembangunan bagi
mengenalpasti sistem latihan teknik dan vokasional yang benar-benar
berkesan dalam mentransformasikan sumber manusia yang sedia ada
menjadi sesuatu yang lebih bermutu dan berkualiti (Wan, 2007). Di
Malaysia, istilah atau terminologi yang sering digunakan bagi merujuk

kepada perkara ini secara amnya ialah pembangunan modal insan iaitu
“human capital” atau secara spesifiknya iaitu yang berkait rapat dengan
pendidikan dan latihan teknik dan vokasional (TVET) ialah k-workers
holistik (Ahmad, 2005; Rahim et. al, 2007; Alexandra, 2006).

Hasil daripada proses penyelidikan dan pembangunan yang dilakukan oleh
pihak berwajib, terdapat satu sistem latihan yang telah cuba diaplikasikan
di negara ini. Sistem ini secara amnya berkonsepkan atau berorientasikan
kepada dual system atau sistem dual dan ianya di Malaysia dilabelkan
dengan nama Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) (Pang, 2009; Ahmad,
2005; Zuraidah, 2008; Jailani 2006; Wan 2007; JPK, 2009). Salasilah
kewujudan sistem ini secara formalnya boleh dilihat dengan mengimbas
kembali sejarah hubungan kerjasama di antara Malaysia dengan Jerman
yang dilakukan pada tahun 1996 (Pang, 2010). Hasil daripada pertemuan
yang dilakukan, satu hasil penyelidikan telah ditemui yang mana ianya
mengesyorkan bahawa hubungan kerjasama di antara Malaysia dan
Jerman harus diperkukuhkan lagi dengan pembentukan pasukan Projek
Sistem Dual atau Dual System Project (DSP) yang mana ianya telah
membawa kepada perasmian Sistem Latihan Dual Nasional pada tahun
2005 (Ahmad, 2005; Jailani, 2006).

Oleh yang demikian, tujuan utama concept paper ini ditulis adalah untuk
berkongsi idea, konsep dan pandangan yang disokong secara literatur
dalam melakukan perbandingan di antara sistem dual yang diaplikasikan
di Malaysia dengan sistem yang diaplikasikan oleh negara yang menjadi
perintis atau founder kepada sistem latihan ini (Mohamed, 1998;
Alexander, 2006; Agrawal, 2009). Diharapkan juga, penulisan ini dapat
membantu pelbagai pihak terutamanya pihak kerajaan, pihak industri dan
pusat latihan untuk melihat perkara ini dari pelbagai sudut dan aspek
dengan secara terbuka. Hal ini adalah penting dalam mencari
penyelesaian bersama terutamanya berkenaan dengan isu keperluan dan
kepentingan untuk mewujudkan dan melaksanakan sistem dual yang
universal fungsi dan kesannya terutamanya untuk menghasilkan sumber
manusia holistik secara besar-besaran di Malaysia (RMK-10; Habsah,
2009). Menurut Donna (2007), integrasi di antara pendekatan holistik dan
pendidikan vokasional boleh menjadi pemangkin kepada pencapaian yang
tinggi dalam pelbagai aspek kehidupan dan ianya tidak terhad kepada
pembangunan kemahiran dan ekonomi semata-mata.
2. Perkembangan Dual System di Malaysia
National Apprenticeship Scheme (NAS) mula diperkenalkan pada tahun
1957 iaitu sebaik sahaja negara kita memperoleh kemerdekaan (Ahmad,

2005). Secara ringkasnya, skim latihan ini melibatkan kombinasi di antara
pusat latihan dengan kemudahan latihan on-the-job yang disediakan oleh
pihak majikan. Skim latihan ini merupakan asas atau titik permulaan
kepada sistem latihan kemahiran yang digunapakai pada hari ini yang
mana ianya menekankan kepentingan aspek kerjasama di antara pusat
latihan dengan pihak majikan iaitu industri (Ahmad, 2005; Wan, 2007).
Perkembangan sistem latihan kemahiran di negara ini adalah bergerak
seiring dengan perubahan dalam sistem pendidikan dan latihan
kemahirannya sendiri. Terdapat satu kajian yang bertajuk Basic Study on
Designing a Dual Training Scheme in Malaysia telah dilakukan bermula
pada tahun 1997 hingga 1999 oleh sepasukan perunding yang telah
didatangkan dari negara Jerman (Pang, 2010). Hasilnya, mereka telah
menggambarkan sistem TVET di Malaysia kepada 3 subsistem yang
seperti berikut:
a) Subsistem 1 iaitu pendidikan teknikal dan latihan vokasional yang
dilaksanakan di sekolah-sekolah menengah atas dan terletak di bawah
seliaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
b) Subsistem 2 iaitu pendidikan teknikal dan latihan vokasional yang
berada bukan di bawah KPM namun terletak di bawah KementerianKementerian Persekutuan yang lain seperti Kementerian Sumber


Manusia, Kementerian Pelajaran Tinggi Malaysia dan Kementerian Belia
dan Sukan.
c) Subsistem 3 iaitu proses penilaian dan pensijilan kemahiran kerja yang
dilakukan berdasarkan kepada Standard Kemahiran Pekerjaan
Kebangsaan dan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia. Sistem ini secara
amnya terletak di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)
yang dahulunya dikenali dengan nama Majlis Latihan Vokasional
Kebangsaan (MLVK).
Rentetan daripada rancangan pelaksanaan DSP, pasukan penyelidikan ini
secara ringkasnya diketuai oleh sekumpulan penyelidik dari negara Jerman
dan turut disertai oleh empat orang ahli penyelidik tempatan yang telah
dipilih khas dan dilantik untuk bekerja secara sepenuh masa. Projek ini
bermula pada tahun 2000 dan berakhir pada tahun 2005 (Pang, 2010)
yang mana terdapat lima komponen utama yang menjadi tunjang utama
dalam perlaksanaanya iaitu:
a) Komponen 1: Memperkasakan hubungan dua hala di antara pihak
industri dengan pusat latihan. Hal ini merupakan aspek yang penting
dalam memberikan arah dan dorongan utama kepada DSP yang mana ia
juga adalah titik tolak kepada bermulanya penglibatan langsung pihak
industri dalam sistem TVET.

b) Komponen 2: Meningkatkan kualiti dan kuantiti proses pembangunan
kurikulum dan alat bantu mengajar. Hal ini bertujuan untuk
mengembang serta mempertingkatkan lagi standard latihan kemahiran,
profil pekerjaan serta penghasilan bahan pembelajaran yang berkesan.
c) Komponen 3: Mempertingkatkan program latihan untuk guru-guru
dalam bidang TVET bagi memenuhi permintaan. Komponen ini juga
bermatlamat untuk memberikan guru latihan pra-perkhidmatan serta
latihan dalam perkhidmatan.
d) Komponen 4: Mengukuhkan rangkaian TVET bagi meningkatkan
kecekapan dan keberkesanan latihan yang dirancang dan seterusnya
menguatkan unsur-unsur penting yang terkandung dalam rangkaian
pendidikan teknik dan vokasional.
e) Komponen 5: Meningkatkan kepuasan diri untuk bekerja di kalangan
pekerja, keberkesanan sistem latihan dan imej TVET bagi memenuhi
nilai-nilai sosial, stigma dan persepsi masyarakat, serta gambaran
persekitaran kerja yang sihat secara keseluruhannya.
Gambarajah 1 (Lampiran)
Setiap komponen yang digariskan dalam DSP ini ternyata amat berpotensi
dalam membentuk sumber manusia holistik kerana ianya dilihat berjaya
memenuhi tiga prinsip asas pendekatan holistik dalam bidang TVET iaitu

garis panduan yang dibina mesti berjaya memenuhi kehendak dan
matlamat masyarakat secara keseluruhannya, aspek penggunaan local
language dititikberatkan dalam proses pelaksanaan program latihan dan
akhir sekali kurikulum yang dibentuk mestilah bersifat holistik dan tidak
terhad kepada sesuatu atau beberapa aspek sahaja (Donna, 2007).
3.0 Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN)
Secara teorinya, SLDN merupakan satu label baru kepada NAS iaitu
program latihan perantis yang telah lama cuba diaplikasikan di Malaysia.
Namun jika dilihat secara praktikalnya, SLDN merupakan satu sistem
latihan perantis yang mana konsep asasnya telah mengalami satu proses
penyelidikan, pembangunan dan transformasi yang panjang dan matang
di negara asal usulnya iaitu Jerman (Alexandra, 2006). Konsep asas yang
menjadi tunjang kepada sistem latihan ini ialah ianya cuba

mengintegrasikan dan memanipulasikan hubungan di antara dua pihak
iaitu pihak majikan atau industri dengan pusat latihan kemahiran atau
vokasional (Rahim et. al, 2007; Pang, 2010; Jailani, 2006; Ahmad, 2011;
Mohamed, 1998). Konsep dan idea ini telah berjaya dilaksanakan di
banyak negara maju dan ia juga boleh dikatakan sebagai pemangkin ke
arah win-win situation kerana kerjasama bijak ini dapat memastikan pusat

latihan sentiasa dari masa ke masa menghasilkan pekerja yang
mempunyai mutu dan kualiti sebagaimana yang diperlukan oleh pihak
majikan atau industri (Pang, 2009; Wan, 2007; Alexandra, 2006).
Kabinet Malaysia telah meluluskan pelaksanaan SLDN pada tarikh 19 Mei
2004 yang mana ianya telah mula diaplikasikan pada tahun 2005 (JPK,
2009; Pang, 2010; Ahmad, 2005). Sasaran SLDN secara kasarnya adalah
untuk menghasilkan sejumlah 31,500 orang pekerja mahir menjelang
tahun 2010 (MLVK, 2005; Pang, 2010). Tujuan utama SLDN adalah untuk
menghasilkan k-workers holistik yang mana definisinya di Malaysia ialah
seorang pekerja yang kompeten dalam bidang teknikal, metodologi
pembelajaran, kemahiran sosial dan nilai sosial (Rahim, 2007; Pang 2009;
Ahmad,2005). Nisbah pelaksanaan SLDN ialah 70-80 peratus melibatkan
latihan yang berteraskan kepada pengalaman membuat secara praktik
iaitu hands-on di industri dan baki 20-30 peratus pula berteraskan kepada
pengetahuan asas dan teori iaitu minds-on di pusat latihan (JPK, 2009).
Terdapat beberapa perkara yang boleh membezakan SLDN dari sistem
latihan kemahiran yang lain. Antaranya ialah terdapat keperluan untuk
membangunkan kemahiran dan nilai sosial secara eksplisit dalam setiap
proses pengajaran dan pembelajaran teknikal bagi meningkatkan rasa
self-esteem, keyakinan diri dan sense of achievement di kalangan para

pelatih (Donna, 2007). Hal ini dilakukan dengan mengintegrasikan perkara
tersebut dalam kandungan kurikulum dengan tujuan untuk memenuhi
kehendak dan keperluan majikan iaitu pihak industri. SLDN juga
merupakan satu sistem latihan yang unik kerana ianya amat menekankan
aspek duality iaitu kerjasama dua hala pihak industri dan pusat latihan
dalam setiap aspek pelaksanaannya (Ahmad, 2005). Jika berjaya
kerjasama yang cuba dilakukan, maka berjayalah sistem latihan ini dan
jika gagal kerjasama yang cuba dilakukan, maka gagallah sistem latihan
ini.
Secara ringkasnya, SLDN yang menggunakan konsep dual system dari
negara Jerman ini boleh dianggap sebagai satu sistem latihan yang holistik
kerana ianya bukan sahaja mementingkan aspek pembangunan
kemahiran semata-mata, tetapi sistem ini turut menekankan aspek
integrasi di antara pengetahuan, kemahiran, nilai dan bahasa dalam
proses pembelajaran (Habsah, 2009). SLDN juga menggunakan National
Occupational Core Curriculum (NOCC) iaitu Kurikulum Teras Pekerjaan
Kebangsaan yang dibangunkan berasaskan kepada polisi semasa kerajaan
dalam program pembangunan peringkat nasional dan dilakukan oleh
sekumpulan pakar dalam sesuatu bidang pekerjaan (Pang, 2009; JPK 2009;
Ahmad, 2005).

3.1 Pengoperasian dan Pencapaian SLDN
Pengoperasian SLDN dilakukan dengan menggunakan sistem semester di
mana setiap perantis mesti mengikuti latihan selama 4 semester dan
mereka juga diberi pilihan samada mahu mengikuti latihan dengan
menggunakan pendekatan day-release di mana mereka akan mengikuti
latihan selama 3-4 hari dalam seminggu di pusat industri dan 1-2 hari di
pusat latihan. Satu lagi pendekatan yang boleh menjadi pilihan mereka
ialah pendekatan block-release di mana mereka akan mengikuti latihan
berterusan selama 3-4 bulan di pusat industri dan 1-2 bulan di pusat

latihan dalam satu semester (Jailani, 2006; Ahmad 2005). Bagi terus
menarik minat perantis untuk mengikuti sistem latihan ini, mereka juga
akan diberi elaun bulanan iaitu RM350 dalam semester pertama, RM400
dalam semester kedua, RM450 dalam semester ketiga dan RM500 dalam
semester yang terakhir (Ahmad, 2005). Di samping itu, nisbah 1 trainers
kepada 20 perantis di pusat latihan dan 1 coaches kepada 3 perantis di
pusat industri akan dipraktikkan untuk memastikan keberkesanan proses
pengajaran dan pembelajaran para perantis secara teori dan juga
praktikal. Sepanjang proses latihan, perantis akan mengikuti sistem
latihan ini berdasarkan kepada NOCC dan juga Learn and Work

Assignments (LWA) yang akan dibangunkan bersama oleh pusat industri
dan pusat latihan. Pada akhir sistem latihan ini, perantis akan
dianugerahkan dengan Sijil k-pekerja SLDN atau NDTS k-worker certificate
(Ahmad, 2005; Pang, 2010) dan ianya adalah setaraf dengan Sijil
Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 yang juga diselia oleh JPK (JPK, 2009).
Enrolmen pertama SLDN bermula pada tahun 2005 dengan pengambilan
kumpulan perantis yang terdiri daripada 29 orang oleh syarikat Daimler
Chrysler Malaysia dan 14 orang oleh syarikat Pengeluaran NAZA Automotif
untuk melatih mereka dalam bidang mekatronik automotif (Pang, 2020).
Statistik penglibatan pelatih, pusat latihan bertauliah dan syarikat industri
ini terus meningkat dan mendapat sambutan dari tahun ke tahun
sepanjang perlaksanaan SLDN. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan
oleh JPK sendiri, sehingga bulan Disember tahun 2010 terdapat sejumlah
25, 021 orang pelatih yang sedang menjalani atau telah menyelesaikan
program latihan di bawah sistem dual ini yang mana ianya telah
melibatkan sekitar 1028 syarikat perindustrian dan 119 pusat latihan
bertauliah yang berbeza (JPK, 2010).
Gambar Rajah 2 (Lampiran)
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan ini juga, didapati bahawa fasa
pertama pelaksanaan SLDN yang dijalankan bermula pada tahun 2005
sehingga tahun 2010 ini tidak berjaya dengan sepenuhnya mencapai
target enrolmen iaitu matlamat mengeluarkan sejumlah 31, 500 orang
pekerja mahir menjelang tahun 2010 sebagaimana yang dinyatakan
sebelum ini.
4.0 Dapatan dan Pengajaran
Antara dapatan analisis literatur yang dijalankan, didapati dengan jelas
bahawa sistem latihan dual yang buat pertama kalinya secara formal cuba
dilaksanakan di Malaysia masih belum berjaya menjadi seperti sistem dual
yang sudah sejak sekian lama dijalankan di Jerman walaupun secara teori
dan dasarnya masih juga terdapat beberapa persamaan yang tidak begitu
ketara. Antara perbezaan yang paling ketara di antara sistem latihan dual
yang dijalankan ialah:
a) Polisi pelaksanaan TVET di Jerman bersifat lebih universal dan holistik.
Ianya telah di”mindset”kan sebagai lebih penting daripada kepentingan
ekonomi dan produktiviti itu sendiri kerana ianya secara keseluruhan
dilihat sebagai sebahagian daripada proses pembangunan potensi
seseorang individu. Mereka juga telah melalui satu sistem latihan
vokasional yang teratur dan sistematik secara berterusan dan sentiasa
mempunyai akses atau peluang untuk mencapai apa yang dikatakan
sebagai fasa pembelajaran sepanjang hayat (Pang, 2010; Alexandra,
2006; Mohamed, 1998)
b) Fungsi dominan sistem dual yang dilaksanakan di Malaysia adalah lebih
bersifat untuk memenuhi kepentingan ekonomi semata-mata. Hal ini

berlaku kerana kebanyakan majikan atau industri yang terlibat
menganggap SLDN sebagai satu pelaburan yang sepatutnya boleh
membawa keuntungan dan peningkatan dari segi produktiviti syarikat
itu melebihi daripada peranan dan tanggungjawab mereka dalam
menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada perkembangan potensi
seseorang individu dan sekumpulan masyarakat (Pang, 2009; Pang,
2010; Ahmad, 2005).
c) Penghayatan konsep duality yang diaplikasikan dalam sistem dual di
Malaysia masih belum cukup setanding dengan apa yang berlaku di
Jerman di mana pihak kerajaan, pihak industri dan pusat latihan samasama berganding bahu secara professional dalam semua aspek seperti
tanggungjawab kewangan dan perlaksanaan polisi (Alexandra, 2006).
d) Keberkesanan dan kebolehterimaan sistem dual ini amat dipengaruhi
oleh pelbagai faktor seperti kestabilan struktur dan keadaan ekonomi
semasa, pengurusan, faktor demografi dan juga sistem pendidikan yang
digunapakai oleh sesebuah negara (Alexandra, 2006). Persoalannya di
sini, adakah Malaysia sudah benar-benar bersedia untuk menerima
pakai sistem latihan ini? Jika kita sudah bersedia, adakah kita mampu
untuk memenuhi setiap aspek yang diperlukan dalam memastikan
keberkesan sistem dual ini secara holistik?
Terdapat pelbagai lagi perbezaan yang agak ketara dalam sistem dual
yang cuba dilaksanakan di negara ini. Setiap perbezaan yang wujud ini
sedikit sebanyak telah menyebabkan SLDN tidak boleh dilaksanakan
dengan sempuna dan seterusnya menyebabkan matlamat universal
sistem latihan yang dilihat amat berpotensi untuk dilaksanakan dalam
bidang TVET di Malaysia ini tidak dapat dicapai dengan secara
menyeluruh. Di antara perbezaan yang wujud boleh dilihat dalam jadual 1
di bawah.
Jadual 1 (Lampiran)
Schmidt dan Alex (1997) dalam penulisan mereka turut menyatakan
bahawa kejayaan sistem dual yang dilaksanakan di Jerman turut
dipengaruhi oleh faktor:
a) Lulusan dalam bidang vokasional sentiasa mendapat permintaan yang
tinggi dari pasaran kerja tempatan iaitu world of work. Pekerja mahir
dan separuh mahir di Jerman juga memiliki status dan penerimaan yang
baik dalam masyarakat.
b) TVET merupakan bidang utama yang diberi perhatian oleh pihak
kerajaan dan sistem dual amat diperakui keberkesannya sehingga tidak
pernah dipersoalkan oleh mana-mana pihak dan ia dilihat sebagai
pemangkin ke arah pembentukan polisi TVET yang stabil.
c) Apabila merancang apa-apa pembaharuan dan pembangunan dalam
bidang TVET, pihak kerajaan secara serius memainkan peranan sebagai
pemudah cara dalam mencari kata sepakat di antara pihak majikan atau
industri dengan pusat latihan. Ini boleh dilakukan dengan pelaksanaan
polisi atau perangkaan undang-undang yang dimulakan dengan proses
penyelidikan yang teliti.
d) Pihak majikan atau industri secara sukarela mahu terlibat dalam sistem
dual dan sentiasa bekerjasama dengan pusat latihan samada dalam
aspek kewangan mahupun dalam proses mengemaskini kandungan
latihan dan silibus peperiksaan.
e) Disokong oleh data dan maklumat yang diperolehi dari proses
penyelidikan berkaitan dari pelbagai institusi yang juga menjadi
penasihat kepada pihak majikan atau industri, pusat latihan dan juga
pihak kerajaan bagi membangunkan bidang TVET.

5.0 Penutup
Sehingga kini, sudah hampir enam tahun SLDN cuba diperkenal dan
dilaksanakan sebagai salah satu sistem latihan yang amat berpotensi
dalam melahirkan pekerja holistik iaitu k-workers. Terdapat pelbagai
perkara yang boleh dipelajari dan dijadikan iktibar bagi terus
mengukuhkan lagi kedudukan dan meningkatkan lagi keberkesanan
pelaksanaan sistem latihan dual ini. Di antara beberapa perkara yang
perlu diamati dengan mendalam untuk memastikan kejayaan SLDN
adalah seperti yang berikut:
a) Memanfaatkan sumber kewangan dari Human Resource Development
Fund (HRDF) dengan sepenuhnya (Ahmad, 2005)
b) Menguatkuasakan undang-undang yang spesifik secara tegas dan
berhemah bagi melicinkan pelaksanaan SLDN (Pang, 2010).
c) Memanfaatkan sepenuhnya kajian dan maklumat yang diperoleh melalui
proses penyelidikan yang terdapat di institusi-institusi pengajian tinggi
dan pusat-pusat latihan bagi mencari penyelesaian jangka masa
panjang yang sebenar bagi sistem latihan dual ini (Pang, 2010).
Perkara ini juga boleh direalisasikan dengan merealisasikan terlebih
dahulu misi dan teras-teras strategik Pelan Induk Latihan dan
Pembangunan Kemahiran Pekerjaan Malaysia 2008-2020 (KSM, 2008)
iaitu:
a) Memperkukuhkan sistem latihan dan pembangunan kemahiran
kebangsaan. Perkara ini boleh dilakukan dengan memberi fokus dan
sepenuh perhatian terhadap keperluan untuk mencapai matlamat
pendidikan iaitu goal of education melebihi dari kepentingan yang lain
(Habsah, 2009).
b) Mempertingkatkan kualiti latihan dan pembangunan kemahiran.
c) Memperluaskan akses dan peluang untuk individu. Perkara yang sama
turut ditegaskan dalam RMK-10 yang menyatakan keperluan untuk
mengarusperdanakan dan memperluas akses kepada pendidikan
teknikal dan latihan vokasional yang berkualiti.
d) Memenuhi keperluan tenaga kerja mahir oleh industri. Ini adalah bagi
meningkatkan kompetensi siswazah sebagai persediaan untuk
memasuki pasaran pekerjaan (RMK-10).
e) Mempertingkatkan martabat dan pengiktirafan kelayakan dan kerjaya
berasaskan kemahiran. Kita mesti sama-sama berganding mahu bagi
menukar persepsi dan stigma masyarakat setempat khasnya dan global
amnya yang terus mengatakan bahawa pendidikan vokasional adalah
jalan alternatif kepada mereka yang mempunyai pencapaian yang
kurang memberansangkan dalam general education dan juga mereka
yang mempunyai taraf sosio-ekonomi yang rendah sahaja (Agrawal,
2009).
Sebagai kesimpulan, kunci kejayaan sistem latihan dual ini adalah
bergantung kepada bagaimana hubungan kerjasama yang berkesan dapat
dibina di antara pihak kerajaan, pihak industri dan pusat latihan dalam
mencari kata sepakat bagi sama-sama menghasilkan tenaga kerja yang
betul-betul layak dilabel sebagai k-workers holistik. Ianya juga perlu selari
dengan apa yang telah diungkapkan dalam laporan RMK ke-9 yang
menyebut matlamat pembangunan modal insan adalah untuk
memperkembang potensi diri, melengkapkan diri dengan pelbagai
kemahiran dan membentuk ciri keperibadian dan perpekstif hidup yang
membolehkan mereka berjaya dalam kehidupan dan mampu memajukan
lagi negara di mata dunia. Perkara ini juga boleh dicapai sekiranya kita

semua mampu mengkonsepsikan minda kita bahawa pembangunan diri
seseorang pekerja itu sendiri adalah jauh lebih penting dari hukum
ekonomi lama yang berlandaskan produktiviti semata-mata (Amla, 2010)
selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) negara kita sendiri
yang mana pembangunan aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan
sosial seseorang individu itu amat dititikberatkan (PPK, 1988).
Some TVET systems work well; it is a matter of doing it right
(Castro, 2008)

Rujukan
Ahmad B. Othman. 2005. The National Dual Training System: An
alternative Mode of Training for Producing K-Workers in Malaysia?
Published in Aminah, et al. 2005. Human Resource Development: Practices
and Directions for a Developed Malaysia. Serdang: Universiti Putera
Malaysia.
Amla Mohd. Salleh. 2010. Pendidikan Kerjaya dan Pembangunan Modal
Insan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Alexandra Uhly, Klaus Troltsch & Gunter Walden. 2006. Challenges to the
German Dual System. Netherlands: Springer.
Bab 5: Membangun dan Mengekalkan Modal Insan Bertaraf Dunia.
Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Castro. 2008. Is Training in Developing Countries Different from Training in
Developed Countries? UNESCO-UNEVOC Bulletin 14.
Donna-Louise McGrath. 2007. Implementing an holistic approach in
vocational education and training. Australian Journal of Adult Learning.
Volume 47, Number 2.
Habsah Ismail & Aminuddin Hassan. 2009. Holistic Education in Malaysia.
European Journal of Social Sciences – Volume 9, Number 2.
Haji Wan Seman bin Wan Ahmad. 2007. To Inculcate Training Culture
Amongst Malaysian Industry Through National Dual Training System
(NDTS). Malaysia: Department Of Skills Development.
Jabatan Pembangunan Kemahiran. 2009. Panduan Pelaksanaan Sistem
Penilaian Sistem Latihan Dual Nasional. Malaysia: Kementerian Sumber
Manusia.
Jabatan Pembangunan Kemahiran. 2009. Daftar Kurikulum – Sistem
Latihan Dual Nasional (K-SLDN). Malaysia: Kementerian Sumber Manusia.

Jabatan Pembangunan Kemahiran. 2010. Statistik Pencapaian Aktiviti JPK
Sehingga Disember 2010. Malaysia: Kementerian Sumber Manusia.
Jailani bin Md. Yunos, Wan Mohd Rashid bin Wan Ahmad, Noraini bte
Kaprawi, Wahid bin Razally. 2006. System of Technical & Vocational
Education & Training in Malaysia (TVET). 2 nd International TT-TVET EU-AsiaLink Project Meeting. Malang: VEDC.
Kementerian Sumber Manusia. 2008. Pelan Induk Latihan dan
Pembangunan Kemahiran Pekerjaan Malaysia 2008-2020. Kementerian
Sumber Manusia: Promark Marketing.
Mohamed N. Abou-Zeid, Rudolf K. E. Bode & Ali Sayed. 1999.
Implementing a Dual Sytem of Technical Education in Egypt. Bowling
Green, Ohio: Epsilon Pi Tau.
Pang, C.L. (2008). A historical account of skills training in Malaysia. In G.
Loose, G.Spottl, & Y. M. Sahir (eds). “Re-engineering dual training – the
Malaysian experience, 165-176. Frankfurt am Main: Peter Lang.
Pang Chau Leong, Rajamorganan Narunan & Simon Sim. 2010.
Background Paper For Malaysia: Skills Development In The Workplace In
Malaysia. ILO/SKILLS-AP/Japan Regional Technical Workshop and Study
Programme on Skills Training in The Workplace Overseas Vocational
Training Association, Chiba, Japan.
Pang Chau Leong, Jailani Bin Md Yunos & Georg Spottl. 2009. Comparative
Review of The National Occupational Skills Standard (NOSS) – Based
Training System and The National Dual Training System (NDTS) in
Malaysia: Issues and Themes. Malaysia Labour Review.
Poonam Agrawal. 2009. Traditional and Transitional TVET Systems;
International Handbook of Education for the Changing World of Work.
Springer Science+Business Media B.V
Pusat Perkembangan Kurikulum. 1988. Falsafah Pendidikan Negara.
Malaysia: Kementerian Pendidikan.
Rahim M. Sail, Abdul Rahman Md. Aroff, Asnarulkhadi Abu Samah, Azimi
Hamzah, Sidek Mohd Noah & Zakaria Kasa. 2007. Sistem Latihan Dual
Nasional; Buku Panduan Kemahiran Sosial dan Nilai Sosial dalam
Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional. Malaysia; Kementerian
Sumber Manusia.
Rashid & Nasir (2003). Lifelong learning in Malaysia. Paper presented at
the International Policy Seminar, 24-26 June, Seoul, Korea.

Richard A. Swanson & Elwood F. Holton III. 2001. Foundations Of Human
Resource Development. San Francisco: Berrett-Koehler Publishers, Inc.
Schmidt, H. & Alex, L. 1997. “The Dual System of Vocational Education and
Training in Germany” in Roderick Millar & Jonathan Reuvid. Doing Business
With Germany. London.
Zuraidah Mohd Zain. 2008. TVET in Malaysia. Malaysia: Universiti Malaysia
Perlis.

Lampiran

Gambar Rajah 1. Konsep Dual System Project (DSP)

Gambar Rajah 2. Graf Pencapaian SLDN sehingga tahun 2010

Kata Kunci
Titik
Permulaan

Perangkaan
UndangUndang

Kurikulum
dan
Rekabentuk
Pengajaran

Jangka Masa

Jerman
Latihan apprentice
bermula pada abad ke-17
dan sistem latihan yang
mempunyai ciri dual
diterapkan seawal abad
ke-20.
Vocational Training Act
1969; untuk latihan di
tempat kerja dan State
(Lander) Education Acts;
untuk latihan di sekolahsekolah.
Tidak terperinci dan
fleksibel; Rangka
kurikulum yang singkat
diberikan; Setiap satunya
adalah berbeza mengikut
syarikat industri dan pusat
latihan.
Panjang; 3 tahun hingga

Malaysia
Dual System Project (DSP)
yang mula diusahakan pada
pertengahan tahun 1990.

National Skills
Development Act 2006
(ACT 652); Tidak spesifik
untuk sistem latihan dual.
Terlalu terperinci dan tidak
fleksibel; National
Occupational Skills
Standard (NOSS); Standard
untuk semua syarikat
industri dan pusat latihan.
Pendek; 2 tahun.

Pengajian

tiga tahun setengah.

Jadual 1. Perbandingan Sistem Dual Jerman dan Malaysia.