PERSOALAN INTEGRASI NASIONAL HAK ASASI D

1

PERSOALAN INTEGRASI, HAK ASASI DAN TUNTUTAN KEMERDEKAAN:
FAKTOR DALAMAN PEMISAHAN TIMOR LESTE DARI INDONESIA1
Muhammad Febriansyah
ABSTRAK
Kertas kerja mengenai pemisahan Timor Leste (Timor Timur) dari Indonesia ini disediakan sebagai
pembanding terhadap isu federalisme dan hak negeri Sabah dan Sarawak di Malaysia. Sebagai sebuah
negara majmuk, Indonesia pun mengalami persoalan nasional yang kerana tidak diuruskan dengan baik,
menyebabkan terpisahnya Timor Leste dari negara kesatuan republik itu. Pada masa yang sama,
pemerintah Orde Baru (1966-1998) dan pemerintah-pemerintah sesudahnya terus berhadapan tuntutan
yang serupa di Aceh dan Papua (dahulu Irian Jaya). Ketika banyak sarjana menekankan kepada peranan
antarabangsa, kertas kerja ini mencuba melihat faktor dalaman yang mendorong proses pemisahan
Timor Leste dari Indonesia. Walaupun tuntutan kemerdekaan dari rakyat Timor Leste sangat kuat dan
tekanan antarabangsa dari segi pencabulan hak asasi tidak pernah berhenti, tetapi rezim Orde Baru telah
berjaya mempertahankan provinsi itu untuk tetap menjadi sebahagian daripada Indonesia. Partai Rakyat
Demokratik (PRD), iaitu sebuah parti beraliran kiri yang pernah dianggap sebagai musuh utama rezim
Orde Baru dan bergerak secara bawah tanah merupakan satu-satunya pihak yang menjadikan isu
pembebasan Timor Timur sebagai program politik mereka untuk melawan Suharto. Mereka menyokong
perjuangan kelompok pemisah bersenjata Timor Leste dengan membantu kempen kelompok itu untuk
memerdekakan diri dari Indonesia di wilayah pusat kuasa Orde Baru, iaitu Jakarta. Walaupun PRD

berperanan di dalam menurunkan Suharto dan juga kemerdekaan Timor Leste dari Indonesia, tetapi
pengaruh mereka semakin hilang selepas reformasi. Berdasarkan fakta tersebut, kertas kerja ini berhujah
bahawa kemerdekaan Timor Leste dari Indonesia tidak akan terwujud jika tidak ada kekuatan politik dari
dalam wilayah Indonesia itu sendiri yang menyokong upaya itu. Kes Timor Leste relevan untuk dijadikan
bahan perbandingan bagi kes Sabah dan Sarawak di Malaysia yang sedang hangat dibincangkan saat ini.
Selama tidak ada kekuatan politik dari Semenanjung yang menyokong tuntutan SSKM untuk keluar dari
Malaysia, maka tuntutan tersebut sukar untuk diwujudkan. Tambahan pula, pendekatan kerajaan
persekutuan Malaysia yang mengedepankan perundingan dilihat lebih berkesan berbanding pemerintah
Orde Baru di Indonesia yang selalu menggunakan pendekatan ketenteraan dalam menangani isu
pemisahan di Timor Leste, Aceh, dan Papua.

I. Pengenalan
1 Kertas kerja disediakan untuk Persidangan Meja Bulat “Federalisme dan Hak Negeri”, anjuran Insititut Kajian
Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 14 April 2016.

2

Pada 16 Mac 2016, Xanana Gusmao, iaitu seorang pejuang kemerdekaan, bekas presiden dan
perdana menteri Timor Leste telah memberikan penghargaan kepada beberapa individu dan
institusi dari luar negara yang dianggap berjasa dalam perjuangan kemerdekaan negara tersebut

daripada Indonesia. Selain diterima oleh beberapa individu dan institusi dari Portugal, Jepun dan
Australia, anugerah itu juga diberikan kepada beberapa aktivis dari Indonesia (MediaIndonesia
19/3/2016).2 Kesemua penerima anugerah dari Indonesia ialah bekas aktivis Partai Rakyat
Demokratik (PRD) yang pernah diharamkan oleh rejim Orde Baru (1966-1998) lima hari setelah
dilancarkan pada 22 Julai 1996. Parti yang kebanyakannya dianggotai oleh anak muda radikal ini
pada waktu itu merupakan satu-satunya parti politik di Indonesia yang meletakkan hak
kebebasan untuk menentukan nasib sendiri bagi rakyat Timor Timur sebagai program politiknya.
Pemberian penghargaan kepada bekas aktivis PRD ini telah membuka peluang kepada
sebuah perspektif bahawa kejayaan strategi pembebasan atau pemisahan Timor Leste dari
Indonesia ternyata tidak hanya disebabkan oleh perjuangan bersenjata dan faktor sokongan
antarabangsa seperti yang telah banyak dibahaskan oleh sarjana sebelum ini. Ia juga sebenarnya
ikut melibatkan kekuatan politik tertentu dari Indonesia, iaitu negara yang dianggap menjajah
mereka. Sokongan politik dari kelompok prodemokrasi di negara penjajah ini juga merupakan
musuh kepada rejim penjajah yang dianggap dapat membahayakan kekuasaannya. Mereka lah
yang dimaksudkan dengan faktor dalaman dan menjadi bahasan utama di dalam kertas kerja ini.
Penghargaan yang diberikan oleh Xanana tersebut juga menunjukkan bahawa tuntutan
kemerdekaan atau pemisahan sebuah negara terjajah dapat selari dengan tuntutan
pendemokrasian di negara penjajah.
Semenjak diduduki oleh tentera Indonesia pada tahun 1975, sukar untuk mengetahui
keadaan sebenar di Timor Timur disebabkan oleh sekatan yang dilakukan oleh pemerintah

terhadap pergerakan manusia dan maklumat yang masuk dan keluar kawasan itu. Namun insiden
pembantaian Santa Cruz pada tahun 1991 telah membuka mata pihak antarabangsa serta aktivis
hak asasi di Indonesia tentang persoalan sebenar di Timor Timur. Semenjak itu, sokongan
terhadap kempen hak asasi dan penentuan nasib sendiri bagi Timor Timur di Indonesia semakin
2 Para aktivis Indonesia yang menerima penghargaan itu ialah Budiman Sujatmiko, Wilson, Bimo Petrus, Jakobus
Eko Kurniawan, Petrus Haryanto, Wiji Tukul dan Ditha Indah Sari. Kesemua mereka ialah bekas aktivis Partai
Rakyat Demokratik (PRD). Penghargaan tersebut dianugerahkan oleh Brigada Negra, iaitu kelompok tentara
klandestin Falintil (Angkatan Bersenjata Pembebasan Nasional Timor Timur). Xanana menyerahkan piagam
penghargaan dalam kapasitinya sebagai bekas Panglima Falintil.

3

meningkat. Sebelumnya mereka hanya mengandalkan perjuangan gerila bersenjata yang
dipimpin oleh Falintil (Angkatan Bersenjata Pembebasan Nasional Timor Timur ), iaitu sayap
militari Fretilin serta diplomasi antarabangsa yang dipimpin oleh Jose Ramos Horta di luar
negara. Gereja juga memainkan peranan penting sebagai tempat berlindung bagi warga dan juga
membuka komunikasi dengan pihak luar. Sedangkan gerakan bawah tanah yang dikendalikan
oleh CNRM (National Council of Maubere Resistance) di bawah pimpinan Xanana Gusmao
berperanan sebagai penghubung di antara Falintil yang bergerak di hutan gunung dan pejuang
lainnya di kawasan urban.

Namun sokongan daripada unsur prodemokrasi di Indonesia terhadap tuntutan
kemerdekaan Timor Timur semenjak pertengahan tahun 1990an telah memberikan sumbangan
penting dalam dua perkara. Pertama, mereka telah menandingi wacana dominan yang dipaksakan
oleh Orde Baru bahawa Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) merupakan matlamat akhir
dalam proses bernegara. Bertentangan dengan wacana nasionalistik negara, mereka menganggap
penyatuan wilayah Timor Timur ke Indonesia bukan hasil dari persetujuan secara sukarela,
melainkan satu bentuk penjajahan Indonesia. Kedua, mereka melawan penjajahan Indonesia
terhadap rakyat Timor Timur dengan bekerjasama dengan pihak terjajah. Hal ini memudahkan
perjuangan kemerdekaan Timor Timur tidak hanya bertahan di kawasannya sendiri, tetapi juga
bergerak di pusat kuasa rejim Orde Baru, iaitu Jakarta.
Kertas kerja ini akan membincangkan tentang faktor dalaman pemisahan Timor Timur
dari Indonesia. Ia akan menumpukan kepada kerjasama perjuangan pembebasan di antara
gerakan pro kemerdekaan di Timor Timur dengan kelompok-kelompok yang menyokong
perjuangan mereka di Indonesia. Siapa sahaja mereka yang dianggap menjadi duri dalam daging
bagi pemerintah Indonesia dan apa yang melatari sokongan politik mereka kepada pemisahan
Timor Timur. Bahagian yang tidak kurang penting untuk dibincangkan ialah strategi dan medium
apa yang mereka gunakan dalam perjuangan. Untuk itu, kertas kerja ini membatasi skopnya
hanya pada masa kekuasaan Orde Baru. Walaupun referendum dan kemerdekaan penuh Timor
Timur dicapai pada era reformasi, tetapi tuntutan itu telah disuarakan ketika kelompok
prodemokrasi masih harus menghadapi tekanan rejim autoritarian tentera Orde Baru.

Perbincangan dimulakan dengan memahami sekilas latar belakang penggabungan Timor Timur
ke Indonesia, kerana di situlah punca permasalahannya.

4

II.Integrasi Timor Timur: Penggabungan Yang Dipaksakan
Berbeza dengan seluruh wilayah Indonesia yang merupakan warisan daripada kolonial Belanda,
Timor Timur telah diperintah oleh penjajah Portugis selama lebih empat ratus tahun. Ketika
Indonesia merdeka dan mendapatkan kedaulatan wilayah sepenuhnya pada tahun 1949, Timor
Timur masih di bawah pemerintahan Portugis sampai berlakunya Revolusi Bunga (Carnation
Revolution) di negara itu pada tahun 1974. Kudeta terhadap Jeneral Marcello Caetano yang oleh
Samuel Huntington (1995) disebut sebagai permulaan gelombang pendemokrasian ketiga telah
merubah dasar politik negara tersebut terhadap wilayah jajahannya. Sebelumnya Portugal
menganggap Timor Timur sebagai salah satu provinsi luarnya, walaupun klaim ini ditolak oleh
Majlis Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa. Dalam sebuah deklarasinya pada tahun 1960, badan
tersebut menyatakan bahawa kawasan di bawah pentadbiran Portugis merupakan kawasan “nonself governing territories” seperti yang termaktub di dalam Bab XI Piagam Pertubuhan Bangsabangsa (Martin 2001:15). Semenjak tahun 1962 sampai 1973 Majlis Umum PBB telah
mengeluarkan pelbagai resolusi yang mengakui hak untuk menentukan nasib sendiri kepada
Timor Timur, tetapi Portugal di bawah kepimpinan Salazar dan penerusnya Caetano enggan
mengikutinya (de Magalhaes 1992:8).
Pemerintahan baru Portugal yang lebih demokratik mengakui hak untuk menentukan

nasib sendiri bagi negara bekas jajahannya. Niat baik itu ditunjukkan dengan penubuhan sebuah
jawatankuasa pengundian pada 13 Mei 1974 di Dili. Dalam bulan yang sama tiga buah parti
politik telah ditubuhkan dengan membawa tiga agenda yang berbeza. UDT (Kesatuan
Demokratik Rakyat Timor) menjalankan kempen autonomi tetapi masih di bawah bendera
Portugal. ASDT (Asosiasi Sosial Demokrasi Rakyat Timor) yang kemudian berubah menjadi
FRETILIN (Front Revolusioner untuk Timor Merdeka) berjuang untuk kemerdekaan penuh
dengan agenda sosialisme. Sedangkan APODETI (Asosiasi Popular Demokratik Rakyat Timor)
berkempen untuk bersatu dengan Indonesia.
Faktor geopolitik kawasan dalam Perang Dingin waktu itu berperanan besar terhadap
penentuan nasib Timor Timur. Australia merasa bahawa rundingan perbatasan laut yang
menempatkan Timor Gap yang kaya kandungan minyak lebih mudah dilakukan jika Timor
menjadi sebahagian wilayah Indonesia. Pada masa yang sama, blok Barat sedang diancam
dengan kemaraan rejim komunis di kawasan Indo-China selepas pembentukan rejim Republik

5

Laos pada tahun 1973 dan diekori dengan Pol Pot di Kemboja pada tahun 1975. Ini diikuti
dengan kejayaan pasukan Vietnam Utara memasuki Saigon pada tahun 1975 untuk menyatukan
kedua-dua wilayah tersebut selepas mereka mengalahkan tentera Amerika dua tahun
sebelumnya. Sedangkan perkembangan bekas koloni Portugis di Afrika selepas kemerdekaan

sangat membimbangkan kerana telah berjaya menghantarkan rejim sosialis berkuasa di
Mozambik dan Angola (de Magalhaes 1992:13-14, Goncalves 2010:5). Pengaruh pemikiran dan
kaedah perjuangan Amicral Cabral, tokoh pembebasan Afrika yang ikut memicu lahirnya
Revolusi Bunga di Portugal, sangat jelas terlihat di dalam Fretilin. Ini berlaku setelah kepulangan
lima orang mahasiswa “maoist” dari Portugal yang kemudian bergabung dengan parti itu
(George 1999:xxxi, Goncalves 2010:7).
Suharto yang mengambil alih kuasa pada tahun 1965 melalui penghancuran komunisme
di Indonesia dilihat sebagai satu-satunya harapan bagi kuasa Barat bagi membendung pengaruh
fahaman itu merebak di Timor Timur. Melalui campur tangan Badan Koordinasi Intelijen Negara
(BAKIN), Indonesia berjaya memecahbelahkan koalisi di antara UDT dan Fretilin yang
sebelumnya telah bersetuju untuk pilihan kemerdekaan. Pada 25 Julai 1975, beberapa pemimpin
UDT telah bertemu dengan BAKIN, di Jakarta dan mereka disarankan untuk mengambil alih
kuasa dari Portugal secepatnya. Pada bulan Ogos 1975, upaya kudeta yang dilakukan oleh UDT
telah memicu perang saudara yang memaksa Gabernor dan pentadbir Portugal meninggalkan
pulau Timor. Kekosongan kuasa ini dimanfaatkan oleh FRETILIN yang memenangi perang
saudara dan menguasai keseluruhan wilayah untuk memproklamirkan kemerdekaan Republik
Demokratik Timor Leste pada 28 November 1975. Dua hari kemudian, gabungan UDT dan
APODETI juga menyatakan kemerdekaan dan bergabung dengan Indonesia (Martin 2001:16).
Tentera Indonesia yang semenjak bulan Oktober 1974 sudah melakukan operasi
terselubung di kawasan perbatasan hanya menunggu masa yang tepat untuk melakukan invasi.

Kunjungan presiden Amerika Syarikat, Gerald Ford dan Menteri luarnya, Henry Kissinger pada
5-6 Disember 1975 ke Jakarta dilihat sebagai sebuah persetujuan oleh kuasa besar itu bagi
Indonesia melakukan invasi terhadap Timor Timur. Sehari selepas itu, Indonesia melancarkan
“Operasi Seroja” untuk menduduki Timor Timur melalui laut, darat dan udara dengan kekuatan
10.000 tentera di bawah komando Jenderal L.B.Moerdani. Dalam serangan ini, penduduk Timor
mengalami pembunuhan secara sistematik. Mangsa berjatuhan tidak hanya dari kalangan ahli
Fretilin, tetapi juga masyarakat sivil secara keseluruhan, termasuk wanita, orang tua dan kanak-

6

kanak. Sampai pertengahan Januari 1976, sebanyak 2000 orang atau 80% daripada jumlah
penduduk lelaki di ibukota Timor Timur, Dili terbunuh oleh tentera Indonesia (Taylor 1991:68).
Setahun selepas pendudukan tersebut, pihak gereja melaporkan bahawa jumlah mangsa ialah
100.000 di kalangan rakyat Timor Timur (Nadiah & Kamal 1997:85). Institusi yang sama pada
tahun 1981 juga melaporkan bahawa dalam masa lima tahun pendudukan Indonesia, jumlah
keseluruhan rakyat Timor Timur yang terbunuh mencapai 200.000 (de Magalhaes 1992:33,
Martin 2001:17, Tiffen 2001:30, Wilson 2010:68). Angka ini setara dengan sepertiga jumlah
penduduk Timor Timur sebelum invasi.
Pendudukan tersebut diikuti dengan pembentukan pemerintahan sementara di Timor
Timur yang terdiri daripada ahli UDT dan Apodeti. Pemerintahan sementara ini kemudian

mengadakan Regional Popular Assembly pada 31 Mei 1976 yang menghasilkan keputusan untuk
sepenuhnya menjadi sebahagian daripada Indonesia. Indonesia menganggap Regional Popular
Assembly sebagai pelaksanaan hak rakyat Timor untuk menentukan nasib sendiri. Pada 17 Julai
1976, parlimen (Dewan Perwakilan Rakyat/DPR) meluluskan usulan supaya Timor-Timur
menjadi provinsi Indonesia Indonesia yang ke-27. Namun Persatuan Bangsa-bangsa dan Portugal
tidak pernah mengakui Timor-Timur sebagai sebahagian daripada Indonesia.
III.Strategi Perjuangan Kelompok Pemisah
Selepas kemerdekaan, Indonesia di bawah kepimpinan Soekarno mengalami pelbagai upaya
pemberontakan dari daerah yang ingin berpisah dan mendirikan negara sendiri, tetapi semuanya
berjaya diatasi (Kahin & Kahin 1995). Persoalan Timor Timur merupakan masalah separatisme
pertama yang dihadapi oleh pemerintah Orde Baru. Timor Timur juga menjadi satu-satunya
kawasan bekas koloni yang bermasalah dalam menentukan nasibnya setelah terlepas daripada
cengkaman Portugal. Proses kemerdekaan Mozambik, Angola dan Macau serta penggabungan
Goa dengan India pasca Revolusi Bunga di Portugal berjalan dengan lancar.
Rejim Orde Baru yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan lebih sejuta orang yang
dituduh komunis pada tahun 1965-1969, tidak memiliki imajinasi untuk menyelesaikan
persoalan nasion selain daripada menggunakan pendekatan ketenteraan. Ini lah mengapa
Dwifungsi ABRI, iaitu doktrin yang mengabsahkan penglibatan tentera di dalam politik memiliki
usia yang sama dengan jangka hayat Orde Baru sendiri. Pada masa yang sama, persoalan Timor


7

Timur telah menjadi duri dalam daging sepanjang rejim itu berdiri. Nyata sekali bahawa Timor
Timur berbeza dengan Jawa dan Bali pada tahun 1965. Pada masa itu pembunuhan besar-besaran
berlaku bersifat lokal dan ikut melibatkan masyarakat yang takut bahawa mereka akan menjadi
mangsa jika Partai Komunis Indonesia (PKI) berjaya memerintah. Sedangkan integrasi Timor
Timur sepuluh tahun kemudian merupakan projek nasionalis Orde Baru dengan memperlakukan
mereka lebih sebagai musuh daripada saudara sebangsa. Sehingga bagi rakyat Timor Timur,
projek nasionalis Indonesia tidak berbeza dengan projek kolonial, bahkan lebih kejam daripada
Portugis yang telah memerintah lebih dari empat ratus tahun.
Indonesia menjangkakan proses integrasi dapat dilakukan dengan mudah dalam masa
yang singkat. Namun ambisi ini tidak diikuti dengan perancangan dan eksekusi penyerangan
yang baik sehingga menyebabkan para pemimpin Fretilin dan penduduk sempat menyelamatkan
diri ke kawasan pegunungan di mana mereka dapat membina kekuatan (Kammen 2016:130).
Dengan menggunakan senjata dan perlengkapan perang peninggalan bekas penjajah Portugal,
Fretilin melakukan perlawanan hebat. Memandangkan Portugal merupakan ahli NATO,
perlawanan Fretilin dibekali dengan senjata dan latihan ketenteraan yang baik (Anderson 1993).
Dengan kekuatan 2500 bekas tentera Portugal, 7000 milisi separuh masa, dan 20.000 tentera
cadangan, mereka dapat menguasai kawasan pedalaman dengan sumber makanan yang cukup
dari ladang yang diusahakan sendiri (Taylor 1991:70). Situasi ini menimbulkan kekecewaan

tentera Indonesia yang membuat mereka mengalihkan sasaran kepada penduduk awam untuk
memisahkan rakyat biasa dengan pejuang Falintil (Dunn 1996:251). Setelah kampung-kampung
mereka dimusnahkan, sebanyak 200.000 rakyat Timor dipindahkan ke sebuah tempat
penampungan yang dikawal oleh tentera Indonesia. Pengasingan hampir separuh penduduk
Timor Timur ini menyebabkan menurunnya aktiviti pertanian yang berakhir dengan kelaparan.
Taktik kejam ini berjaya melemahkan Falintil yang semakin kekurangan bekalan makanan dan
semenjak 1978, aktiviti perlawanannya semakin menurun menjadi simbolik belaka.
Dalam keadaan terkurung, persoalan yang dihadapi oleh gerakan pemisah ialah
bagaimana hendak berkomunikasi dengan pihak luar. Semenjak invasi, pemerintah Indonesia
telah menutup semua maklumat tentang apa yang berlaku di kawasan itu. Bahkan Palang Merah
Internasional (RCI) pun tidak dibenarkan datang sampai tahun 1979 (Tiffen 2001:27). Pusat
maklumat telekomunikasi di Dili adalah yang pertama menjadi sasaran penghancuran oleh
tentera Indonesia (Hill & Sen 2005:100). Tidak ada wartawan mahupun pelancong dibenarkan

8

masuk dan pergerakan setiap rakyat Indonesia yang masuk dan keluar kawasan itu mesti melalui
pemeriksaan yang ketat. Terbunuhnya lima orang jurnalis Australia yang sedang melakukan
liputan persiapan tentera Indonesia di perbatasan sebelum invasi pada bulan Oktober 1975
memberi sebuah pesan yang serius kepada pihak luar yang hendak masuk campur dalam urusan
Indonesia terhadap Timor Timur. Walau bagaimanapun Falintil masih boleh menggunakan alat
komunikasi radio peninggalan tentera Portugal dan mampu melakukan transmisi maklumat
sampai ke Darwin, Australia. Pesan yang disampaikan melalui kod rahsia akan dirakam, ditulis,
dan disebarkan oleh ke kontak-kontak Fretilin di pelbagai negara. Namun penyerahan diri
Menteri Komunikasi Fretilin, Alarico Fernandes pada bulan Disember tahun 1978 telah
membawa kepada perampasan alat komunikasi oleh Indonesia (Tiffen 2001:27, Hill & Sen
2005:100).
Ketika komunikasi melalui radio tidak boleh lagi dilakukan, gereja mengambil alih
peranan. Gereja Katolik merupakan satu-satunya institusi di Timor Timur yang memiliki akses
terhadap dunia luar pada masa-masa awal pendudukan (Tifffen 2001:27, CAVR 2005:97).
Walaupun pada mulanya gereja memilih bersikap netral terhadap pendudukan Indonesia, namun
perubahan kepimpinan yang berlaku di dalam institusi itu menjadikannya lebih dekat kepada
perjuangan pembebasan. Ini bermula selepas terpilihnya ketua gereja pertama yang berasal dari
rakyat tempatan, Monsignor Costa Lopes pada tahun 1977. Ia merupakan pemimpin gereja
pertama yang secara terbuka menentang pencabulan hak asasi yang dilakukan oleh tentera
Indonesia. Salah satu kenyataannya yang sampai ke media antarabangsa dan banyak dipetik oleh
sarjana ialah perkiraannya tentang 200.000 orang Timor Timur yang telah menjadi mangsa
pendudukan tentera Indonesia sampai tahun 1983 (Pascoe 2006:119). Di masa kepimpinannya
juga gereja mengambil keputusan untuk menggunakan bahasa Tetun yang merupakan bahasa
ibunda majoriti rakyat Timor sebagai bahasa rasmi gereja, menggantikan Bahasa Indonesia.
Dengan perubahan bahasa ini, gereja lebih bebas membincangkan tentang persoalan mereka
tanpa takut diketahui oleh pihak berkuasa Indonesia. Kedudukan gereja Katolik yang langsung
berada di bawah kuasa Vatikan, bukan pemerintah Indonesia menjadi faktor terpenting mengapa
ia dapat mengambil langkah berani dan kritikal seperti itu. Setiap maklumat yang diterima
tentang pencabulan hak asasi dan juga kedudukan gerakan perlawanan akan disebarkan supaya
perlakuan Indonesia terhadap rakyat Timor menjadi perhatian dunia. Tugas ini diamanatkan
kepada Jose Ramos Horta yang semenjak ketibaannya di ibu pejabat PBB, New York pada 11

9

Disember 1975, telah melakukan perjalanan mengelilingi dunia untuk meningkatkan protes
antarabangsa melawan pendudukan Indonesia (Hill & Sen 2005:100). Di peringkat antarabangsa,
kempen ini disokong oleh NGOs dan individu-individu yang bersimpati ke atas nasib rakyat
Timor Timur semenjak Indonesia melakukan invasi.
Selepas melalui beberapa fasa perlawanan, mulai dari perlawanan bersenjata,
penangkapan dan pembunuhan beberapa pemimpin Fretilin, kebangkitan kembali perjuangan
bersenjata, persetujuan gencatan senjata, menjadikan Falintil semakin lemah. Pada tahun 1988
kekuatannya hanya menyisakan beberapa ratus pejuang sahaja dan perlawanannya hanya bersifat
simbolik (Schwartz 1994:208 George 1999:xxxv). Hal ini memaksa gerakan perlawanan
merubah strateginya dengan melakukan perlawanan secara bawah tanah di kawasan perkotaan
yang dikuasai oleh tentera Indonesia (de Magalhaes 1992:42, Rei 2005, CAVR 2005). Strategi
gerakan bawah tanah digunakan lebih meluas setelah terbentuknya Organisasi Perlawanan
Nasional Mahasiswa Timor Leste (RENETIL) oleh mahasiswa Timor Leste di Jawa dan Bali
pada tahun 1988. Tujuan penubuhan organisasi ini ialah menyokong perjuangan Falintil dengan
membina jaringan bawah tanah dengan organisasi perlawanan di Timor Timur (Wilson
2010:218). Selain itu, ia juga memiliki objektif untuk memberi tekanan kepada pemerintah dari
dalam Indonesia sendiri dengan mengkempenkan prinsip universal hak asasi dan demokrasi,
serta mendefinisikan kembali identiti nasional (Goodman 1999). Renetil kemudian berjaya
mempengaruhi Ikatan Mahasiswa dan Pelajar Timor Timur (IMPETTU). Pertubuhan ini pada
mulanya ditubuhkan oleh pemerintah Indonesia untuk mengawal dan memasukkan ideologi
integrasi ke generasi muda Timor Timur dengan menyediakan biasiswa dan asrama pelajar untuk
mereka di pelbagai kota di Indonesia. Namun dalam perkembangannya, ia berubah menjadi alat
perlawanan untuk kemerdekaan Timor Timur. Pada masa yang sama, banyak kelompokkelompok yang pada mulanya pro kepada integrasi, termasuk UDT dan APODETI juga telah
berubah arah melawan pemerintahan Indonesia.
Xanana Gusmao sebagai komandan Falintil dan pemimpin tertinggi Fretilin melihat
perlunya menyatukan semua unsur perlawanan sama ada perjuangan bersenjata, jaringan bawah
tanah, diplomasi antarabangsa, dari pelbagai kelompok yang berbeza-beza, termasuk gereja.
Dalam erti lain, ini merupakan strategi “perang rakyat semesta” yang mengerahkan semua
kekuatan di desa, kota, tanah air, luar negara, dan juga di Indonesia (George 1999:xxxv). Di sini
lah identifikasi sebagai rakyat Maubere yang telah digunakan oleh Fretilin semenjak awal

10

perjuangan sebagai simbol nasionalisme dan perlawanan terhadap Indonesia menjadi penting.
Maubere yang dianggap penjajah Portugis sebagai etnik yang bodoh dan terbelakang dijadikan
identiti yang menyatukan perjuangan nasionalisme rakyat Timor.
Untuk mengakomodasi kepentingan seluruh unsur perlawanan ini, mereka bersetuju
untuk menepikan ideologi dalam menghadapi musuh bersama rejim tentera Indonesia. Dengan
demikian, Falintil tidak lagi dianggap sebagai sayap militari Fretilin, tetapi menjadi angkatan
bersenjata pembebasan nasional Timor Timur. pada tahun 1988 semua gerakan perlawanan di
bawah organisasi payung CNRM (Dewan Nasional Perlawanan Rakyat Maubere) yang dipimpin
oleh Xanana. Untuk itu, Xanana melepaskan jawatannya sebagai pemimpin Fretilin dan
panglima perang Falintil.
IV. Sokongan Kelompok Prodemokrasi Indonesia
Perubahan strategi perlawanan kemerdekaan Timor Timur yang tidak lagi mengedepankan
perjuangan bersenjata berpengaruh terhadap perubahan sikap Indonesia. Pemerintah mula
mengurangi jumlah tenteranya dan mereka dilibatkan dalam projek-projek pembangunan untuk
mendapatkan simpati dan sokongan rakyat Timor (Schwartz 1994:210). Larangan untuk
memasuki dan keluar Timor Timur dicabut dan untuk kali pertama selepas invasi, orang asing,
termasuk wartawan dibenarkan tinggal di Timor Timur. Situasi itu bertepatan masanya dengan
kemunculan bentuk penentangan baharu di Indonesia yang memiliki pendekatan lebih radikal
dari gerakan-gerakan penentangan sebelumnya. Meskipun gerakan ini masih di dominasi oleh
kalangan kelas menengah, termasuk aktivis mahasiswa dan intelektual (Ariel 1996:262), namun
mereka mulai menumpukan kekuatan penentangannya dari kelas bawah. Idea dan aktiviti politik
mereka menyebar ke pelbagai daerah dan menggunakan pendekatan yang lebih militan dan
berdisiplin dalam gerakan.
Sehingga tahun 1978, gerakan mahasiswa merupakan satu-satunya kelompok oposisi
yang aktif terhadap Orde Baru. Setelah itu, pemerintah melarang segala macam bentuk aktiviti
politik

mahasiswa

dengan

memperlakukan

undang-undang

Normalisasi

Kehidupan

Kampus/Badan Koordinasi Kampus (NKK/BKK) yang menyekat kebebasan politik mahasiswa.
Impak daripada diperlakukannya peraturan ini, mahasiswa menyalurkan minat aktivisme mereka
kepada kelompok diskusi mahupun aktif di dalam NGO (Aspinall 2005:121). Pada tahun

11

1980an, persoalan kemiskinan dan masalah sosial lainnya di Indonesia semakin meningkat
kerana proses perindustrian. Kes-kes perampasan tanah rakyat untuk pembangunan kilang,
empangan, padang golf, mahupun perumahan elit yang tidak memihak kepada pemilik tanah
semakin sering berlaku di akhir tahun 1980an. Persoalan nyata yang dihadapi oleh rakyat ini
membuka jalan kepada aktivis kelas menengah untuk mengamalkan teori yang telah mereka
bincangkan di dalam kelompok diskusi tadi ke dalam praktik. Mereka juga dapat belajar daripada
pengalaman gerakan politik tahun 1970an yang gagal dalam menentang Orde Baru kerana
gerakan mahasiswa pada waktu itu tidak melibatkan rakyat. Pada masa inilah peranan
masyarakat sivil mulai terlihat dan pelbagai NGOs yang bergerak dalam isu hak asasi dan
pembelaan golongan terpinggir semakin politikal.
Keterlibatan dengan dunia NGO membuka ruang gerak yang lebih besar kepada mereka
kerana jaringan antarabangsa yang dijalin oleh NGO-NGO tersebut. Ini juga membuka jalan
kepada masuknya idea-idea baru daripada luar yang kemudian dibincangkan di kalangan mereka.
Salah satu pengaruh asing terhadap wacana demokrasi pada masa itu ialah berkenaan dengan
persoalan hak menentukan nasib sendiri, terutama dalam kes Timor Timur (Uhlin 1998:223).
Berbanding masyarakat antarabangsa yang sudah terlebih dahulu membela Timor Timur,
perhatian terhadap persoalan Timor Timur di Indonesia muncul agak terlambat disebabkan oleh
pelbagai hambatan yang dihadapi oleh masyarakat sivil di bawah Orde Baru. Sampai akhir tahun
1980an, hanya beberapa individu di luar pemerintah yang pernah terlibat dengan isu Timor
Timur disebabkan oleh faktor kerjaya membolehkan mereka mengunjungi kawasan tersebut.
George Junus, intelektual Indonesia yang paling banyak menulis mengenai isu Timor Timur ialah
bekas wartawan dan pernah bertugas di sana sebelum invasi. Beberapa aktivis kemanusiaan yang
menjadi ahli gereja Katolik yang mengunjungi Timor Timur untuk bantuan kemanusiaan juga
kerap menjadi sumber maklumat rahsia kepada pihak luar. Sedangkan orang Indonesia yang
menjadi exile kerana peristiwa 1965 lebih banyak terlibat langsung dengan kempen Timor Timur
di luar negara. Mereka menyediakan berita alternatif yang diterbitkan di luar negara kepada
aktivis-aktivis di Indonesia dan menghubungkan para aktivis Timor Leste dan Indonesia dengan
jaringan antarabangsa (CAVR 2005:126).
INFIGHT (Indonesian Front for the Defence of Human Rights) yang ditubuhkan pada
tahun 1990 oleh aktivis hak asasi radikal ialah kelompok pertama yang berani memunculkan isu
Timor Timur (Uhlin 1998:223). Individu-individu radikal di dalam INFIGHT banyak berasal

12

daripada ahli SKEPHI (Sekretariat Kerjasama Pelestarian Hutan Indonesia (SKEPHI), sebuah
NGO yang ditubuhkan pada tahun 1982 dan dianggotai oleh beberapa orang bekas aktivis
mahasiswa. SKEPHI memainkan peranan penting dalam memperkenalkan kecenderungan aksi
demonstrasi, protes jalanan, dan mobilisasi massa dalam mengangkat sesuatu isu. Dalam
perkembangannya, SKEPHI kemudian merespon situasi hak asasi dan politik di Indonesia
dengan merubah orientasinya untuk bergerak melampaui isu persekitaran dan perhutanan (Lane
2007:139). Banyak sarjana merujuk kepada SKEPHI-INFIGHT untuk menunjukkan radikalisasi
NGO yang berlaku di tahun 1990an (Eldridge 1995, Uhlin 1998, Aspinall 2005, Lane 2007).
Hubungan dengan aktivis Indonesia dengan mahasiswa Timor yang belajar di Jawa
(RENETIL/IMPETTU) mula terjalin setelah provinsi tersebut dibuka oleh pemerintah pada
tahun 1989. Aktivis SKEPHI-INFIGHT yang kali pertama menjalin hubungan dengan
perjuangan Timor Timur ialah Danial Inderakusuma pada akhir tahun 1980-an (Wilson
2010:188). Ia kemudian menjadi aktor penting di sebalik penubuhan Partai Rakyat Demokratik
(PRD) pada tahun 1996 yang merupakan puncak radikalisasi gerakan melawan Orde Baru.
Insiden penembakan membabi buta tentera Indonesia terhadap rakyat Timor Timur di
Santa Cruz yang terakam kamera wartawan asing pada 12 November 1991 telah menjadi titik
balik perjuangan pembebasan Timor Timur. Melalui video yang berjaya diseludupkan keluar dan
dengan cepat tersebar ke seluruh dunia, ini lah kali pertama dunia melihat secara jelas apa yang
selama ini cuba ditutupi oleh pemerintah Indonesia. Ketika tekanan antarabangsa ke atas
pemerintah Indonesia semakin keras, kelompok-kelompok prodemokrasi Indonesia pun semakin
berani menentukan sikap. Infight bersama dengan Lembaga Pembela Hak Asasi Manusia
(LPHAM) dan pemuda-pemuda Timor Timur melakukan bantahan terhadap pembantaian Santa
Cruz di depan pejabat PBB di Jakarta yang menyebabkan mereka ditahan oleh polis (Uhlin
1998:223, CAVR 2005:129). Pelbagai NGO hak asasi bersama dengan pihak gereja membentuk
Komite Bersama untuk Membela Rakyat Timor Timur bagi kempen pembebasan mereka yang
ditahan semasa bantahan itu (Goodman 1999). Yayasan PIJAR menjadi kelompok seterusnya
yang berani berbicara tentang Timor Timur. Mereka menghantar perwakilan ke Konferensi Asia
Pasifik Tentang Timor Timur (APCET) I di Manila pada tahun 1994 dan konferensi tentang
Timor Timur di Porto pada tahun yang sama. Orang-orang Indonesia juga hadir di APCET II di
Kuala Lumpur pada tahun 1995 dan APCET III di Bangkok pada tahun 1998 (CAVR 2005:130).

13

Solidariti kelompok prodemokrasi Indonesia berterusan sampai kejatuhan Suharto,
bahkan setelah hari pengundian referendum bagi menentukan status Timor Timur dilakukan pada
30 Ogos 1999. Ada kelompok yang menumpukan kepada kempen solidariti di Indonesia
mahupun antarabangsa seperti Solidamor (Solidaritas Indonesia Untuk Perdamaian Timor
Timur). Sedangkan kelompok lain seperti Fortilos (Forum Solidaritas untuk Rakyat Timor
Loro’sae) memilih untuk menggembleng pemikiran dan tenaga bagi merumuskan konsep politikekonomi Timor Leste selepas berpisah dari Indonesia.
Namun kelompok yang paling berani membawa agenda pembebasan Timor Timur selari
dengan tuntutan pendemokrasian Indonesia ialah Persatuan Rakyat Demokratik (PRD) yang
ditubuhkan pada Mei 1994. Dalam deklarasi pelancarannya, PRD menuntut hak demokrasi dan
kebebasan penuh, pengagihan kekayaan yang adil untuk rakyat miskin. PRD juga megeluarkan
tuntutan yang sebelumnya tidak pernah disuarakan secara terbuka oleh mana-mana kelompok
prodemokrasi, iaitu pemulihan hak ribuan bekas banduan politik 1965 dan juga penyelesaian
secara damai persoalan Timor Timur tanpa penglibatan tentera. Selain itu mereka juga menuntut
pengakuan hak asasi dan kemanusiaan bangsa Timor Timur (Lane 1994).
Selain memiliki organisasi sayap berdasarkan sektor (mahasiswa, buruh, petani, golongan
miskin bandar, dan seniman), PRD juga telah menubuhkan sebuah organisasi yang khas
menguruskan persoalan Timor Timur, iaitu SPRIM (Solidariti Perjuangan Rakyat Indonesia
untuk Maubere) pada tahun 1995. Slogan kempen SPRIM ialah ”Demokrasi untuk Indonesia,
Kemerdekaan Untuk Timor Timur”. SPRIM mengklaim sebagai organisasi pertama di Indonesia
yang matlamat utamanya ialah perjuangan pembebasan Timor Timur (ASIET 1996b:38). Bagi
PRD, referendum bagi Timor Timur menjadi ukuran kepada pendemokrasian sejati. Oleh sebab
itu mereka menjadikan tuntutan referendum sama pentingnya dengan tuntutan politik yang lain.
Bagaimana kemerdekaan Timor Timur sangat penting bagi PRD dapat dilihat dari
perpecahan awal di peringkat pimpinan organisasi yang disebabkan oleh isu tersebut. Dalam
kongres mereka yang pertama, Sugeng Bahagijo sebagai pemimpin terpilih telah diberi amanah
untuk menjadikan isu Timor Timur sebagai program perjuangan organisasi yang mesti
disuarakan. Namun ternyata ia tidak berani mengemban amanah tersebut sehingga kepimpinan
diambil alih oleh Budiman Sudjatmiko. Selepas pergantian kepimpinan ini, PRD semakin aktif
menuntut pendemokrasian dengan menggunakan kaedah aksi massa. Mereka maju selangkah
lagi dengan merubah organisasinya menjadi Partai Rakyat Indonesia pada 22 Julai 1996.

14

Menurut laporan Human Rights Watch/Asia (1996), PRD merupakan unsur terpenting gerakan
prodemokrasi yang lebih kerap menganjurkan demonstrasi jalanan dengan melibatkan massa
yang selalu bertambah, tersusun, dan lebih terbuka menuntut perubahan politik di level
kepimpinan.
Hubungan kelompok prodemokrasi, termasuk pimpinan PRD dengan perjuangan Timor
Timur semakin dekat selepas Xanana Gusmao yang telah berjaya ditangkap pada tahun 1992,
dipindahkan ke penjara Cipinang, Jakarta pada tahun 1994. Komunikasi di antara kelompok
prodemokrasi Indonesia dengan pemimpin tertinggi perjuangan pembebasan Timor Timur itu
sama ada secara langsung mahupun melalui pesan-pesan rahsia yang dihantarkan melalui kurier
mempermudah kempen mereka (Rei 2005, Wilson 2010, CAVR 2005). Melalui komunikasi
inilah aksi-aksi kempen dirancang, di antaranya aksi pada bulan Jun 1995 membantah
penangkapan 30 orang mahasiswa dan pekerja Timor Timur kerana kesalahan bermesyuarat
secara gelap tanpa izin dan aksi mengenang insiden pembantaian Santa Cruz di tahun yang sama.
Pada 7 Disember 1995, iaitu 20 tahun selepas pendudukan Indonesia di Timor Timur,
puluhan aktivis PRD bersama dengan pemuda Timor Timur melakukan aksi menceroboh
kedutaan Rusia dan Belanda. Aksi ini dilakukan untuk menarik perhatian antarabangsa terhadap
persoalan Timor Timur. Pada pukul empat pagi, 26 aktivis pembebasan Timor dan 29 aktivis
PRD berjaya menduduki kedutaan Belanda. Pada masa yang sama, 58 orang rakan mereka yang
lain juga berjaya masuk ke dalam kedutaan Rusia. 3 Mereka membentangkan kain rentang yang
berisi tuntutan: ”Free Indonesia, Free East Timor”, dan Cabut 5 UU Politik, Referendum untuk
Rakyat Maubere”.4 Ini merupakan aksi pencerobohan kedutaan asing yang keduapuluh kali
pernah dilakukan oleh pejuang pembebasan Timor Timur semenjak tahun 1986 (ASIET 1996a).
Namun ini kali pertama aksi pencerobohan dilakukan dengan melibatkan aktivis Indonesia dan
berjaya mencapai objektifnya. Aksi-aksi sebelumnya selalu gagal kerana pelaku aksi tidak tahan
dengan tekanan dan menerima tawaran untuk mendapatkan suaka ke Portugal.
3 Rincian lengkap mengenai perancangan dan jalannya aksi ini terdapat dalam ASIET (1996a), Rei (2005), dan
Wilson (2010).
4 Lima pakej Undang-undang politik (5 UU Politik) tahun 1985 mengatur tentang pilihanraya, kedudukan dan
jumlah anggota MPR/DPR (parlimen) dan DPRD (parlimen lokal/DUN), tentang parti politik dan Golkar, serta
organisasi kemasyarakatan. Undang-undang ini hanya membenarkan dua parti politik, iaitu PDI dan PPP, dan
Golongan Karya (Golkar, yang dalam Undang- undang ini tidak disebut sebagai parti politik) yang berhak untuk ikut
pilihanraya. Pencabutan Undang-undang ini menjadi salah satu program tuntutan politik PRD. Tuntutan lainnya
ialah penghapusan dwifungsi ABRI dan Referendum untuk Timor Timur.

15

Solidariti dan aksi-aksi bersama yang dilakukan oleh PRD berterusan, bahkan ketika
sebahagian besar pemimpinnya dipenjarakan pada tahun 1996 dan mereka terpaksa bergerak di
bawah tanah sampai kejatuhan presiden Suharto pada 20 Mei 1998. Pendirian politik dan
militansi yang ditunjukkan oleh para aktivis PRD telah menjadi justifikasi bagi Xanana untuk
memberikan penghargaan kepada mereka.
V. Penutup
Berdasarkan perbincangan di atas, kertas kerja ini berhujah bahawa pemisahan Timor-Timur dari
Indonesia tidak akan terwujud jika tidak ada kekuatan politik dari dalam wilayah Indonesia itu
sendiri yang menyokong upaya itu. Kes Timor Timur telah menunjukkan bahawa tuntutan
pendemokrasian dan hak menentukan nasib sendiri sebuah bangsa yang terjajah memiliki
hubungan yang sangat erat. Apa yang dilakukan oleh Indonesia terhadap Timor Timur
merupakan pengulangan sejarah yang sudah banyak berlaku di seluruh dunia. Kemerdekaan
negara-negara bekas jajahan Portugal hanya berlaku selepas Jeneral Caetano yang mewarisi
kediktatoran Salazar berjaya digulingkan pada tahun 1974.
Penolakan rakyat Perancis terhadap penjajahan negaranya di Algeria dan juga reaksi
keras rakyat Amerika terhadap perang di Vietnam menjadi contoh bahawa rakyat di negara
penjajah dapat menjadi kekuatan untuk memberikan tekanan bagi mengakhiri kolonialisasi. Apa
yang berlaku tersebut selari dengan hujah Samuel Huntington dalam buku The Third Waves of
Democratization. Menurutnya, salah satu faktor yang mempercepat tumbangnya rejim-rejim
autoritarian ialah kehilangan sokongan rakyat disebabkan oleh politik agresif terhadap bangsa
atau negara lain. Seperti yang berlaku di negara-negara tersebut, pada akhirnya rejim Orde Baru
pun tumbang. Dan sejarah menginginkan itu sebagai jalan bagi Timor Timur mendapatkan
kemerdekaan.

Rujukan
Anderson, Benedict. 1993. Imagining East Timor. Arena Magazine. No.4-May-April.
Anderson, Benedict. 2008. Imagined Communities: Komunitas-komunitas Terbayang (terj).
Yogyakarta: Insist Press & Pustaka Pelajar.

16

Ariel Heryanto. 1996. Indonesian Middle-Class Oppositions in 1990s. Dlm Rodan, Gary (pnyt.).
Political Opposition in Industrialising Asia, hlm.241-271. London: Routledge.
ASIET. 1996a. Fighting Together: Indonesian and East Timorese Join Struggle. Broadway:
ASIET
ASIET. 1996b. The Struggle for Democracy in Indonesia: Introducing The Peoples Democratic
Party. Broadway: ASIET.
Aspinall, Edward. 2005. Opposing Suharto: Compromise, Resistance, and Regime Change in
Indonesia. Stanford: Stanford University Press.
Aucoin, Louis & Brandt Michele. 2010. East Timor’s Constitutional Passage To Independence.
Dalam Miller, Laurel E & Aucoin, Louis. Framing The State In Times of Transition:
Case Studies in Constitution Making. Hlm. 245-274. Washington D.C: United States
Institute of Peace Press.
Bamadhaj, Kamal & Bamadhaj, Nadiah. 1997. AKSI Write. Petaling Jaya: Rhino Press.
CAVR. 2005. Chega! Laporan Akhir Komisi Penerimaan, Kebenaran dan Rekonsiliasi Timor
Leste (CAVR).
de Magalhaes, A. Barbedo. 1992. East Timor Indonesian Occupation and Genocide. Porto:
Oporto University.
Dunn, James. 1996. Timor: A People Betrayed. Sydney: ABC Books.
Eldridge. Philip. 1995. Non-Government Organisations and Democratic Participation
in Indonesia. South-East Asian Social Science Monographs. Kuala Lumpur:
Oxford University Press.
Eldridge. Philip. 1995. Non-Government Organisations and Democratic Participation
in Indonesia. South-East Asian Social Science Monographs. Kuala Lumpur:
Oxford University Press.
Eldridge. Philip. 1995. Non-Government Organisations and Democratic Participation in
Indonesia. South-East Asian Social Science Monographs. Kuala Lumpur: Oxford
University Press.
Garrison, Randall. 2005. The Role of Constitution-Building Processes in Democratization: Case
Study East Timor. Stockholm: International IDEA Democracy-Building & Conflict
Management (DCM).
George Junus Aditjondro. 1999. Dari Cabral ke Xanana: Modifikasi Sosiologi Perang
Kemerdekaan Dari Afrika Ke Nusantara. Dalam Chilcote, Ronald H. Pembebasan
Nasional Menentang Imperialisme: Teori dan Praktek Revolusioner Amilcar Cabral
(terj). Hlm. xvii-xxxvi. Dili: Sahe Study Club & Yayasan Hak.

17

Goncalves, Mateus Marco. 2010. Pengantar: Rakyat Maubere dan Proyek Pembebasan Kolektif
Yang Belum Usai. Dalam Wilson. A Luta Continua! Hlm. 1-17. Jakarta: Penerbit Tanah
Lapang.
Goodman, James. 1999. Indonesians for East Timor. Inside Indonesia, No.59.
Hill, David & Sen, Krishna. 2005. The Internet in Indonesia’s New Democracy. London:
Routledge.
Human Rights Watch/Asia. 1996. Indonesia: Tough International Response Needed To Widening
Crackdown. Robert F. Kennedy Memorial Center for Human Rights.
Huntington, Samuel. 1991. Gelombang Demokratisasi Ketiga (terj). Jakarta: Grafiti.
Inside Indonesia. 1990. New Human Rights Coalition Formed in Indonesia. Inside Indonesia.
June. Hlm. 2-13.
Kahin, Audrey & Kahin, George McTurner. 1995. Subversion as Foreign Policy. New York: The
New Press.
Lane, Max. 1994. New Stage for the Progressive Movement in Indonesia. Links: International
Journal of Socialist Renewal. No.2, July-September.
Lane, Max. 2007. Bangsa Yang Belum Selesai. Jakarta: Reform Institue.
Kammen, Douglas. 2016. Three Centuries of Conflict in East Timor. Singapore: NUS Press.
Martin, Ian. 2001. Self-Determination in East Timor: The United Nations, The Ballot, and
International Intervention. London: Lynne Rienner.
Media Indonesia. 2016. Xanana Apresiasi Aktivis RI. 19 Mac.
Pascoe, Daniel. 2006. The Role of Chatolic Church in Support or Opposition To the Indonesian
Occupation in East Timor (1975-1999). Cross-Sections. Volume. II. Hlm. 119-132.
Rei, Naldo. 2007. Resistance: A Childhood Fighting for East Timor. Queensland: University of
Queensland Press.
Schwartz, Adam. 1994. A Nation in Waiting: Indonesia in 1990’s. Colorado: Westview Press.
Taylor, John G. 1991. Indonesia’s Forgotten War. The Hidden History of East Timor. London:
Zed Books.
Tiffen, Rodney. 2001. Diplomatic Deceits: Government, Media and East Timor. Sydney: UNSW
Press.

18

Uhlin, Anders. 1997. Oposisi Berserak: Arus Deras Demokratisasi Gelombang Ketiga di
Indonesia. Bandung: Penerbit Mizan.
Vatikiotis, Michael R.J. 1998. Indonesian Politics Under Suharto: The Rise and Fall of the New
Order. London: Routledge.
Wilson. 2010. A Luta Continua! Jakarta: Penerbit Tanah Lapang.