Kedudukan Undang Undang Islam Sebelum Pe

Kedudukan Undang-Undang Islam Sebelum Penjajahan Inggeris di Tanah Melayu

Kedatangan Islam & Kesan kepada Undang-Undang di Tanah Melayu
Syed Naquib Al-Attas berpendapat bahawa undang-undang Islam mula digunakan oleh
penduduk Tanah Melayu seawal waktu tibanya Islam di Tanah Melayu. Menurut beliau
Prasasti (Batu Bersurat) Terengganu yang bertarikh 14 Rejab 702H (bersamaan dengan 22hb
Februari 1303M) menjadi bukti bagi dakwaan tersebut kerana di dalamnya undang-undang
berkaitan jenayah, urusniaga, dan pentadbiran ada diperuntukkan (Abdullah @ Alwi Hj
Hassan 1997) .
Abdul Kadir Muhammad menyatakan bahawa Batu Bersurat Terengganu adalah karya
perundangan pertama yang dihasilkan oleh masyarakat Melayu-Islam (Rahimin Affandi Abd
Rahim et al. 2010). Hakikatnya, Batu Bersurat Terengganu adalah suatu dokumentasi sejarah
yang penting dalam menggambarkan bahawa penduduk Melayu menerima Islam sebagai
agama mereka dan Islam menjadi sumber intelektualiti mereka dalam menggubal undangundang yang mengatur urusan kehidupan mereka. Penggunaan tulisan jawi pada Batu
Bersurat Terengganu menjadi bukti kepada kenyataan tersebut (Rahimin Affandi Abd Rahim
et al. 2010).

Kesultanan Melayu Melaka & Undang-Undang Berasaskan Islam
Era kesultanan Melayu Melaka menjadi zaman yang signifikan dalam melihat bagaimana
undang-undang Islam diangkat kedudukannnya menjadi undang-undang kerajaan. Era ini
(1400M – 1700M) digambarkan oleh Syed Naquib Al-Attas sebagai zaman pengislaman

masyarakat Melayu secara zahir dan batin (Rahimin Affandi Abd Rahim et al. 2010).
Kesultanan Melayu Melaka yang menerima Islam sebagai agama rasmi telah mengambil
undang-undang Islam dan ditulis menjadi sebuah dokumentasi undang-undang yang
dinamakan sebagai Hukum Kanun Melaka. Undang-undang ini ditulis sekitar tahun 1446M –
1456M menurut satu pendapat (Abdullah @ Alwi Hj Hassan 1997). Ada juga pendapat yang
mengatakan bahawa ia ditulis lebih kemudian dari itu iaitu sekitar tahun 1488M – 1511M di

zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah, Sultan terakhir Kerajaan Melaka (M. Alwee
Yusoff 2014).
Dalam Hukum Kanun Melaka, pembahagian yang digunakan dalam menyusun peruntukan
undang-undang jenayah adalah sama seperti pembahagian yang terdapat dalam hukum Islam.
Peruntukan tentang jenayah dibahagikan kepada hudud, qiyas, diyat, dan takzir di mana
setiap satunya mengandungi peruntukan hukuman yang selari dengan hukum Islam (Paizah
Hj Ismail 2007). Selain itu terdapat juga undang-undang berkenaan perkahwinan, jual beli
(bai’), dan syahadat yang menurut hukum Islam (Liaw Yock Fang 2007).
Untuk hal ehwal perdagangan yang pesat berlaku di perairan kesultanan Melayu Melaka,
terdapat Undang-Undang Laut Melaka yang turut dihubungkan kepada Sultan Mahmud Syah.
Pedagang-pedagang Bugis dan Makassar menggunakan undang-undang ini (M. Alwee Yusoff
2014).
Boleh disimpulkan bahawa undang-undang yang digunakan di zaman kesultanan Melayu

Melaka adalah undang-undang yang berteraskan Islam dan hukum Islam digunakan untuk
penggubalannya dalam pelbagai ruang undang-undang. Islam sebagai teras di samping
hukum akal dan adat tetap diambilkira. Ini turut diakui sendiri oleh beberapa sarjana Barat
seperti William R. Roff dan Alfred P. Rubin (Hj Hairuddin Megat Latif 2009).

Undang-Undang Islam dalam Kesultanan/Kerajaan Tempatan Lain
Selain Undang-Undang Melaka, sejarah juga telah mencatatkan bahawa terdapat undangundang dalam kerajaan selain Melaka seperti Pahang, Johor, Perak dan lain-lain negeri yang
turut mengambil Islam sebagai teras pembentukan hukum kanunnya, walau pada zaman yang
berbeza-beza (Abdullah @ Alwi Hj Hassan 1997).
Dalam Undang-Undang Pahang, yang ditulis pada zaman pemerintahan sultan Abdul Ghafar
Mahaiyuddin Shah (1592M – 1616M) misalnya, terdapat berbagai peruntukan tentang
jenayah. Hukum qisas, hudud, diyat dan takzir adalah antara yang terdapat dalam kanun
undang-undang tersebut (Paizah Hj Ismail 2007).

Di Johor terdapat ‘Majalah Ahkam Johor’, atau Kod undang-undang Sivil Islam Kerajaam
Johor (1331 Hijrah/1913 Masehi). Kod ini diterjemahkan dari Majallah Al-Ahkam AlAdliyah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Othmaniyyah Turki pada kurun ke 19. Majalah ini
mula dipakai sebagai kod undang-undang sivil Islam di Johor semenjak tahun 1893 (Hj
Hairuddin Megat Latif 2009).
Johor juga dikatakan mempunyai Kanun Johor 1789 yang berasaskan Risalat Hukum Kanun
Melaka dengan beberapa peruntukan tambahan dan pembetulan yang mempunyai ciri-ciri

undang-undang awam, undang-undang tradisi Melayu (adat) dan Islam yang tersendiri (Hj
Hairuddin Megat Latif 2009).
Manakala di Perak pula terdapat undang-undang yang digelar sebagai ‘Undang-Undang
Sembilan Puluh Sembilan Negeri Perak’ yang jeas menjadikan Islam sebagai asasnya. Ia
dikatakan di bawa pada abad ke-17 Masihi oleh seorang Arab bernama Sayyid Hussain yang
menjadi Menteri di Perak diikuti oleh keturunannya. Menurut Abdullah @ Alwi Hj Hassan,
“Undang-undang ini ialah sebuah buku rujukan lengkap untuk digunakan oleh seorang
pemerintah Islam bagi menjalankan pentadbiran secara cekap menurut sistem pentadbiran
undang-undang Islam” (Hj Hairuddin Megat Latif 2009).

Kedudukan Undang-Undang Islam di Zaman Penjajahan Portugis dan Belanda
Sebelum penjajahan Inggeris, Tanah Melayu dijajah oleh kuasa Portugis dan Belanda.
Portugis menjajah Tanah Melayu dari tahun 1511M hingga 1641M manakala Belanda
menjajah Tanah Melayu daripada tahun 1641M hingga 1795M dan dari 1818M hingga
1824M (Abdullah @ Alwi Hj Hassan 1997).
Meskipun Portugis dan Belanda menjajah Tanah Melayu, mereka membiarkan penduduk
Tanah Melayu mengamalkan undang-undang dan adat mereka sendiri. Tidak berlaku
sebarang pertembungan antara sistem undang-undang penjajah dengan sistem undang-undang
Melayu yang berteraskan Islam (Abdullah @ Alwi Hj Hassan 1997).
Secara umum boleh dikatakan pelaksanaan undang-undang Islam, termasuk dalam kes-kes

jenayah di Melaka dan semua negeri-negeri di Malaysia tetap berjalan hinggalah berlakunya

penjajahan Inggeris pada tahun 1786. Undang-Undang Islam, termasuk juga hal-hal jenayah
yang dulunya dilaksanakan sebagai Undang-Undang Negara telah terpinggir secara beransuransur. Langkah Inggeris memperkenalkan Piagam Keadilan Pertama pada tahun 1807 sebagai
permulaan, sampailah kepada tahun 1956 apabila Ordinan Undang-Undang Sivil 1956
diperkenalkan, adalah pengaruh penjajahan Inggeris dalam membataskan Islam sebagai
sumber perundangan kepada Tanah Melayu (Paizah Hj Ismail 2007).

Kesimpulan
Berdasarkan keterangan-keterangan yang dinyatakan di atas, dapat disimpulkan bahawa
semenjak agama Islam tiba ke Tanah Melayu, Islam memiliki kedudukan yang penting dan
utama khasnya dalam penggubalan undang-undang di Tanah Melayu. Hukum-hakam Islam
yang menyeluruh merangkumi hukum yang melibatkan individu, keluarga, masyarakat,
bahkan negara telah diambil sebagai kerangka kepada undang-undang orang Melayu-Islam.
Undang-undang ini boleh dikatakan efektif kerana kesultanan Melayu ketika itu berjaya
membina suasana negara yang teratur, walaupun tiada rekod jelas yang menceritakan
bagaimana undang-undang tersebut dikuatkuasakan. Kedatangan penjajah seperti Portugis
dan Belanda tidak mengubah situasi tersebut. Inggeris yang datang menjajah akhirnya telah
melakukan strategi yang bersifat beransur-ansur untuk membataskan peranan Islam dalam
undang-undang yang digunapakai di Tanah Melayu.


Rujukan
Abd Rahim, R. A., Hj Ismail, P., Abd Majid, M. K. & Md Dahlal, N. H. 2010. Batu Bersurat
Terengganu: Satu Tafsiran Terhadap Pelaksanaan Syariah Islam. Journal of Fiqh, (7),
107–148.
Hassan, A. @ A. 1997. Permasalahan Intelektual Dalam Pembinaan Hukum Islam Semasa Di
Malaysia. Seminar Hukum Islam Semasa Peringkat Kebangsaan, hlm.1–19. Kuala
Lumpur: Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Hj Hairuddin Megat Latif. 2009. Undang-Undang Islam dalam Perlembagaan Malaysia:
Kewajarannya berdasarkan Faktor Sejarah Perundangan Tanah Melayu. REKAYASA –
Journal of ethics, 5, 22–47.

Ismail, P. H. 2007. Kedudukan Mazhab Syafi’i Dalam Undang-Undang Jenayah Islam Di
Malaysia. Jurnal Fiqh, (4), 237–250.
Liaw Yock Fang. 2007. Naskah Undang-Undang Melaka: Suatu Tinjauan. Sari, 25, 85–94.
Yusoff, M. A. 2014. Pengaruh Islam Terhadap Teks Melayu dan Undang-undang Melayu.
Jumal Syariah, 6(1).