Sistem Kewangan Islam Antara Idealistik

Sistem Kewangan Islam: Antara Idealistik dan Realistik1
Ezry Fahmy Bin Eddy Yusof 2
Perbankan Islam telah bertapak selama lebih 25 tahun di Malaysia. Perkembangan
perbankan Islam semakin rancak selepas Bank Negara Malaysia memberi sokongan penuh
dengan meluluskan penubuhan syarikat penuh perbankan Islam kepada bank-bank konvensional
yang berminat. Maka kaunter perbankan Islam di bank-bank konvensional akan berdiri sebagai
salah satu anak syarikat bank-bank konvensional dan mempunyai satu entiti berasingan dari
bank-bank konvensional yang wujud pada waktu ini. Tetapi isu-isu perihal perbankan Islam
seperti ianya masih tidak menepati kehendak Shariah masih berterusan hingga ke saat ini.
Alternatif ini disangsi oleh beberapa pihak yang menyoal isu-isu Shariah yang wujud di sebalik
produk-produk yang ditawarkan oleh perbankan Islam sebagai produk yang tidak Islamik.
Revolusi perbankan melalui sistem yang direka berlandaskan Shariah ini dirasakan
kurang menyengat apabila perbankan Islam tidak menyelesaikan beberapa isu yang masih
menyelubungi sistem ini. Tulisan demi tulisan membongkar isu-isu Shariah di sebalik ‘penipuan’
perbankan Islam menjadi santapan orang awam dan hasilnya membawa kepada kesan jangka
masa panjang. Melalui tulisan-tulisan sebegini, para pembaca boleh menambah pengetahuan
dengan mengetahui isu-isu Shariah di sebalik modus operandi produk-produk yang
ditawarkan.Cuma sahaja lebih parah jika ada para pembaca yang mengambil keputusan untuk
beralih terus kepada perbankan konvensional bila membugar prasangka negatif terhadap
‘keislaman’ perbankan Islam yang kurang Islamik walaupun mengetahui pengharaman sistem
riba yang menjadi asas perbankan konvensional itu sudah jelas.

Walaupun perbankan Islam telah wujud lebih tiga dekad di seluruh dunia ini, kita tidak
dapat menafikan tentang kewujudan isu-isu Shariah di sebaliknya. Cuma tulisan-tulisan idealis
berkenaan perbankan Islam perlulah berpijak pada realiti hari ini agar tidak mewujudkan rasa
1

Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah Dewan Ekonomi, Januari 2011, dengan judul "Realiti Sistem
Kewangan Islam".
2
Penulis kini salah seorang penuntut doktor falsafah (PhD) dalam bidang Kewangan Islam di INCEIF dan
pemegang Kewangan Islam Profesional Bertauliah (CIFP).

1|Pa ge

sangsi dalam benak para pembaca sehingga meragui akan alternatif yang ditawarkan. Perkara ini
telahpun disentuh oleh Mahmoud El-Gamal dalam kertas kerja beliau bertajuk “The Economics
of 21st Century Islamic Jurisprudence”. Secara ringkasnya Mahmoud El-Gamal menerangkan
bahawa jika ingin mengaplikasi apa yang termuat dalam teori, ianya tidaklah semudah yang
dijangkakan.
Dalam tulisan tersebut beliau melihatkan kepentingan equiti dan efisiensi yang menjadi
faktor mengapa wujudnya jurang perbezaan antara tulisan awal dan mutakhir perihal kewangan

Islam. Hal ini berlaku kerana golongan agamawan cenderung kepada equiti tetapi mereka yang
terlibat dalam industri pula cenderung kepada efisiensi. Equiti bermaksud keadilan dalam
distribusi manakala efisiensi merujuk kepada menghasilkan sesuatu dengan kos yang rendah.
Pemilihan yang ideal sememangnya seperti apa yang dihajati oleh golongan agamawan yang
lebih mengetahui kehendak Shariah, akan tetapi buat masa ini kerangka institusi masih belum
mampu untuk menawarkan apa yang dihajati kerana ianya terlalu idealistik dan tidak berpijak
pada kerangka institusi sedia ada.
Hal ini adalah kerana setelah beberapa dekad berlalu, kita masih gagal membangunkan
sistem kewangan Islam yang efektif yakni seperti yang dihajati oleh golongan agamawan. Sistem
kewangan konvensional sahaja memerlukan enam abad atau lebih untuk berkembang maka tidak
mustahil sistem kewangan Islam memerlukan masa dan tempoh percubaan yang panjang untuk
sampai ke tahap yang dihajati. Maka toleransi antara dua pihak dalam memilih titik persamaan
diperlukan selagimana ianya berada dalam landasan Shariah dan kerangka institusi yang dapat
merealisasi kontrak yang dingini.
Atas dasar itulah kita harus menerima hakikat bahawa sistem yang diguna pakai kini
adalah cenderung kepada sistem konvensional sedia ada cuma ianya diusahakan supaya masih
dalam linkungan Shariah. Mekanisma sistem yang dituruti ini berkemungkinan agak kabur jika
jawatankuasa Shariah tidak memainkan peranan yang menyeluruh. Kekaburan di dalam sistem
kewangan ini jika dibiarkan akan menjurus kepada salah faham bahawa sistem kewangan Islam
yang digunakan adalah sama seperti sistem konvensional. Usaha gigih yang berterusan

2|Pa ge

diperlukan supaya sistem kewangan Islam kini tidak dimanipulasi oleh sistem konvensional yang
mengusai pasaran.
Selain itu, seperti apa yang diterangkan di awal penulisan ini, tulisan atau ucapan yang
berbentuk retorik rancak mengusulkan untuk membangunkan keseragaman yang tetap, walhal
realitinya pasaran adalah terbahagi dan fleksibel. Hatta tertubuhnya institusi-institusi
antarabangsa yang berkaliber seperti Accounting and Auditing Organisation for Islamic
Financial Institutions (AAOIFI), Islamic Financial Services Board (IFSB) dan sebagainya,
pelbagai isu masih tidak dapat diselesaikan. Apa tidaknya jika pasaran terbahagi dengan pelbagai
struktur yang berbeza, contohnya monopoli, oligopoli, dan sebagainya. Maka campur tangan
dalam hal-hal pengawalan kewangan Islam global yang dianggap perlu dibatasi hanya kepada
pihak-pihak yang tertentu sahaja hakikatnya memerlukan jumlah badan Shariah yang berbeza
bergantung kepada struktur pasaran.
Masalah lain yang dihadapi ialah banyaknya persoalan hukum hakam yang bermain
dalam benak mereka yang terlibat dengan industri perbankan tetapi sungguh sedikit golongan
agamawan yang terlibat sama di dalam industri. Ini akhirnya menyebabkan mereka yang terlibat
sukar mendapatkan panduan dan nasihat dari golongan yang pakar dalam hal-hal kewangan
Islam. Tidak hairanlah jika banyak masalah mutakhir ini berlaku akibat daripada kurangnya
penglibatan golongan agamawan dalam industri untuk berkerjasama dengan orang-orang yang

berada di dalam industri. Meluluskan sahaja kontrak tidak memadai kerana tanpa panduan dan
penglibatan sama golongan agamawan, kontrak yang dijalankan barangkali tidak menjadi
sepertimana yang dihajati.
Kewangan Islam yang efektif memerlukan kerjasama antara semua pihak. Jika masalah
kekurangan golongan agamawan untuk turut sama dalam merungkai persoalan yang bermain di
benak mereka yang terlibat di dalam industry berterusan, tidak mustahil ia akan membawa pula
kepada masalah-masalah lain. Golongan agamawan harus menyedari bahawa tidak semua
mereka yang mengimplementasi kontrak yang telah diluluskan memahami objektif Shariah

3|Pa ge

disebaliknya. Perbezaan latar belakang dan ilmu yang ketara merupakan jurang yang seharusnya
dirapatkan bagi melancarkan perlaksanaan sistem.
Wujud juga masalah seperti golongan agamawan yang meluluskan kontrak akhirnya
menjadi golongan yang mengkritik kontrak yang telah diluluskan. Hal ini berlaku apabila di awal
pembangunan sistem kewangan Islam, beberapa pihak dari golongan agamawan yang terlibat
sama dalam meningkatkan kredibiliti institusi kewangan Islam memilih untuk bersikap
sederhana dalam membenarkan inovasi yang berlaku. Jika hal ini dibiarkan, golongan agamawan
yang berkompromi sama akan menyebabkan inovasi tersebut berterusan sehingga melebihi hadhad yang ditetapkan. Atas dasar itu, adalah lebih baik jika membatasi golongan agamawan yang
membuat keputusan untuk mengelak inovasi sewenang-wenangnya berlaku. Atau mempunyai

penasihat shariah bebas untuk memantau jawatankuasa penasihat Shariah bagi institusi-institusi
kewangan Islam.
Kesimpulannya, tujuan mengutarakan paradoks ini adalah untuk menambah kefahaman
realiti sistem kewangan Islam sedia ada dengan lebih baik. Pemahaman yang jelas diperlukan
agar kita berpijak di bumi yang nyata dan tidak bersikap retorik baik dalam penulisan mahupun
ucapan. Dengan pemahaman yang jelas juga kita mampu memahami tahap masa kini di samping
memperkuat sistem kewangan Islam. Kekuatan dan kelemahan semua pihak di dalam dan luar
industri yang turut sama dalam perjuangan ini perlu diambil kira bagi memartabatkan sistem
kewangan Islam dengan lebih efektif.
Wallahuállam.

4|Pa ge