APAKAH PERLUNYA MALAYSIA MEMPUNYAI DASAR

APAKAH PERLUNYA MALAYSIA MEMPUNYAI DASAR MBMMBI YANG JELAS
Kita telah mengetahui bahawa pada 5 Ogos 2009, Mesyuarat Jemaah Menteri telah
memutuskan agar dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris,
MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bagi menggantikan dasar Pengajaran
dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, PPSMI. Dasar ini bakal
dilaksanakan dengan mengambil kira beberapa pendekatan penting.
Antara pendekatan yang diambil oleh kerajaan ialah berusaha untuk melahirkan guru-guru
yang berkualiti dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Dalam konteks pengajaran dan
pembelajaran, P & P pula ialah menggunakan semula bahasa melayu sebagai bahasa
pengantar bagi subjek sains dan matematik di sekolah-sekolah kebangsaan dan sekolah
menengah kebangsaan. Manakala penggunaan semula bahasa ibunda di Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina, SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, SJKT. Bagi meningkatkan
penguasaan bahasa inggeris dalam kalangan pelajar di luar bandar, kerajaan akan
menempatkan guru-guru bahasa inggeris terbaik dan juga yang diambil dari luar negara.
Fungsi makmal komputer turut ditambah untuk memperluaskan kaedah P & P bagi
pengajaran kedua-dua bahasa ini. Jika dilihat pendekatan yang diambil oleh kerajaan tersebut,
menunjukkan kepada kita bahawa kerajaan sememangnya mengambil berat akan sistem
pendidikan negara.
Sementelah pendidikan merupakan nadi penggerak pembangunan bagi sesebuah negara, maka
Malaysia sebagai sebuah negara membangun perlu mempunyai dasar pendidikan yang tepat
untuk diguna pakai bagi melahirkan modal insan yang berkualiti. Dasar terbaru iaitu

MBMMBI perlulah diterjemahkan dengan lebih jelas ibarat landasan ke arah misi melahirkan
rakyat Malaysia yang berkebolehan, berilmu pengetahuan, dan seimbang dari segi intelektual,
rohani, emosi dan jasmaninya. Oleh itu pada pendapat saya dasar baru yang digubal ini
perlulah diperinci untuk memastikan kecemerlangan pencapaian pelajar-pelajar dalam
pendidikan dapat terus dihasilkan.
Dasar ini digubal bagi mengelakkan masalah keciciran pelajar terutama pelajar di luar bandar
dalam penguasaan bahasa inggeris. Penggunaan semula bahasa melayu dalam pengajaran
matematik dan sains adalah untuk menaikkan semula prestasi pelajar dalam menguasai
matapelajaran daripada peringkat asas. Sistem pendidikan negara perlu rigid dengan dasar
baru ini kerana ia dilihat sebagai mesra pelajar. Pelajar boleh memahami asas ilmu dengan
mudah sebelum melangkah ke tahap yang lebih tinggi. Jika perubahan dasar berlaku dengan
kerap ia bukan sahaja akan mengelirukan pelajar bahkan boleh menyebabkan keciciran
pelajar dalam penguasaan mata pelajaran. Oleh itu kajian boleh dilaksanakan untuk
meningkatkan kualiti sistem ini dari semasa ke semasa.
Pelaksanaan dasar ini juga harus seimbang dengan tidak meminggirkan kepentingan manamana bahasa. Ini kerana kedua-duanya mempunyai keutamaannya tersendiri. Selain daripada
itu, rancangan yang jelas tentang dasar ini akan dapat meyakinkan rakyat Malaysia agar tidak
keliru dengan sistem pendidikan negara yang sering mengalami perubahan dasar. Sesuatu
dasar perlu dikaji secara terperinci terlebih dahulu. Ini bagi mengelakkan kerugian atau
peruntukan yang besar sekiranya sesuatu dasar terpaksa ditukar dan melibatkan perubahan
kurikulum, penyediaan buku teks dan sebagainya. Sekali lagi, adalah lebih baik sekiranya

peruntukan tersebut digunakan dalam kajian untuk memantapkan sesuatu ‘kaedah’ dan dibuat
penambahbaikkan. Semoga dasar MBMMBI yang digubal ini dapat mengurangkan keciciran
pelajar-pelajar yang lemah dan meningkatkan lagi taraf pendidikan di negara kita untuk
mencapai taraf negara maju menjelang wawasan 2020. Sekian sahaja pendapat saya untuk
kali ini.