Sejarah Sosio ekonomi Kraftangan di Brun

Sejarah Sosio-ekonomi Tradisi Kraf Tangan Brunei.
Oleh
Dayang Siti Norkhalbi Haji Wahsalfelah, PhD
Awang Abdul Hai bin Haji Julay
Akademi Pengajian Brunei
Universiti Brunei Darussalam.

Pengenalan.
Kertas kerja ini akan membincangkan tentang ekonomi tradisi kraf tangan sebelum tahun
1960an yang dihasilkan di Brunei. Perbincangan ini memfokuskan kepada penghasilan kraf
tangan masyarakat Melayu Brunei. Kertas ini cuba untuk mengupas perkembangan perusahaan
kraftangan dan hubungannya dengan sosio-ekonomi di negara Brunei Darussalam. Di samping
itu akan disentuh juga potensi perusahaan kraftangan.
Kraf tangan sering dihubungkait dengan kehalusan seni yang melambangkan ciri, motif
dan simbol. Hasil daripada inilah kemahiran kraf tangan menjadi aset penting yang terdapat pada
situkang. Kraf tangan juga merupakan satu identiti dan elemen yang membentuk satu warisan
budaya turun temurun di dalam sesebuah masyarakat.
Catatan sejarah menunjukkan bahawa Negara Brunei Darussalam kaya dengan khazanah
budaya material. Istilah budaya material ini juga merangkumi hasil pertukangan tangan atau kraf
tangan yang dicipta untuk memenuhi keperluan masyarakat yang selalunya mempunyai
kepentingan sesuai dengan perubahan dan perkembangan semasa. Budaya material mempunyai

1

peranan yang wajar dan realistik dalam kehidupan sama ada di rumah atau pada peringkat
komuniti. Salah satu kepentingan kraf tangan dalam masyarakat ialah sumbangannya terhadap
perkembangan sosio-ekonomi.

Sejarah Pengeluaran dan Penggunaan Hasil Kraf tangan.
Catatan awal yang dibuat oleh pengembara-pengembara asing yang datang ke Brunei
banyak menyebutkan kemahiran bertukang tangan ini tertumpu di Kampong Ayer. Di zaman
sebelum naungan British, Kampong Ayer bukan sahaja merupakan pusat pemerintahan, tetapi
juga pusat kebudayaan dan perekonomian yang sangat penting (Md Zain 1996).

Brunei

dikatakan terkenal dengan pembuatan barangan kraf tangan seperti menenun kain, pertukangan
tembaga, emas dan perak, kerja-kerja menganyam dan pembuatan perahu (Jiram 2008: 42).
Pigafetta yang datang melawat Brunei pada tahun 1521 menjelaskan bahawa industri kraf
tangan sudah wujud pada abad itu dan beliau merekodkan bahawa terdapat 56 buah meriam yang
diperbuat dari logam besi, tersergam indah di depan istana Sultan Bolkiah.


Beliau juga

mencatatkan tentang penggunaan pedang, tombak dan perisai oleh pengawal-pengawal Istana.
Peralatan yang diperbuat daripada perak seperti kedudukan dian dan pelita juga digunakan. Para
pembesar negara membawa keris dan memakai pakaian dari kain tenunan. Selain menjadi
pakaian, kain tenunan juga dijadikan sebagai langsir di istana (Hughes-Hallet 1998: 32-33).
Menurut laporan ini, Brunei sudah wujud sebagai sebuah negara yang bertamadun dan
mempunyai teknologi pembuatan yang canggih pada masa itu sebanding dengan negara-negara
yang menjajah.

2

Hasil kajian juga mendapati terdapat beberapa buah kampung yang dinamakan
bersempena dengan kemahiran atau pekerjaan penduduk kampung (Abdul Latif 1996). Spencer
St. John ada menyebutkan nama-nama kampung atas pekerjaan dan kemahiran penduduknya di
antaranya ialah Kampong Pandai Besi yang penduduknya mahir bertukang besi dan Kampong
Pandai Emas1 bagi tempat kediaman tukang emas, perak dan bertenun kain.
Many of the people are employed casting brass guns, or are goldsmiths or
general traders and latterly their women have commenced the manufacture of
expensive and handsome gold brocade. (Spencer St. John 1862: 256)


Brown (1970: 65-66) pula menjelaskan bahawa pembuatan perahu merupakan salah satu
aktiviti kraf tangan yang penting kerana perahu adalah salah satu keperluan perhubungan dan
juga sumber ekonomi masyarakat Brunei ketika itu dan masih relevan sehingga kini. Pada
zaman tradisi, kegiatan-kegiatan ekonomi yang bersumberkan laut terutama penangkapan ikan
merupakan tulang belakang ekonomi Brunei (Pg Khairul Rijal 2008). Pada ketika itu, majoriti
penduduk Kampong Ayer bergantung pada aktiviti menangkap ikan sebagai pekerjaan utama dan
ini memerlukan perahu bagi tujuan menangkap ikan. Pada waktu dahulu, terdapat berbagaibagai jenis dan bentuk perahu yang digunakan untuk menangkap ikan seperti bidar, jumpung,
bagung dan temuai (Hj Takong 1996:202).
Selain itu, perahu juga berperanan penting sebagai alat perhubungan dan pengangkutan
yang digunakan oleh masyarakat yang tinggal di Kampong Ayer. Sehingga kini, pembuatan
perahu masih lagi aktif dilakukan terutama di Kampung Setia.
pengeluaran perahu lebih tertumpu pada perahu tambang.

Walau bagaimanapun,

Sumbangan perahu kepada

1


Kampung ini juga dikenali dengan nama Kampung Sungai Kedayan.

3

masyarakat di Kampung Ayer bukan hanya terhad dari segi pembuatan, malah memberikan
sumbangan ekonomi yang agak besar sebagai pendapatan dalam perusahaan perkhidmatan
pengangkutan. Pada zaman dahulu, anak-anak muda menerima upahan untuk mengayuhkan
penumpang dari satu tempat ke suatu tempat yang lain. Di samping itu, mereka juga mengambil
upah berkayuh untuk mengambil air untuk kegunaan seharian. Dari itu, perahu mempunyai
kepentingan menjana ekonomi di zaman tradisi.

Perkembangan Perusahaan Tradisi Kraf tangan.
Perkembangan kraf tangan boleh dibahagikan kepada dua tempoh iaitu sebelum 1940an
dan selepas 1940an. Sebelum tahun 1940, aktiviti perusahaan kraf tangan lebih tertumpu kepada
pertukaran barang.

Negara ini memang sudah terdedah kepada bangsa-bangsa asing dan

mempunyai hubungan perdagangan dengan mereka. Brunei pernah pada suatu ketika dahulu
merupakan sebuah pelabuhan penting bagi pedagang-pedagang luar dan berlakunya pertukaran

barang dagangan. Laidlaw yang melawat Kota Bharu, Kelantan pada hujung abad dua puluh
mencatatkan beliau melihat barangan timah dan tembaga dari Brunei diperdagangkan di pasar
membeli-belah di sana (Ishak 1991:29). Bahkan Peter Blundell mencatatkan juga bahawa gong
hasil buatan dari Brunei sangat terkenal di rantau Asia Tenggara (Hj Takong 1996:208). Dari
catatan ini, jelas bahawa barangan logam dari Brunei telah tersebar ke luar negara.
Di samping itu, Residen British juga mempunyai peranan dalam membantu
perkembangan aktiviti kraf tangan sebelum 1940. Terdapat permintaan barangan kraf tangan dari
perak, tembaga, tenunan dan senjata daripada pegawai-pegawai luar untuk keperluan dan koleksi

4

mereka. Dari itu tidak mustahil mereka membawa balik hasil kraf tangan yang dikumpul ke
negara asal atau tempat mereka bertugas. Ini juga mungkin di antara sebab hasil kraftangan
Brunei boleh di dapati di muzium-muzium di luar negara seperti di England, Malaysia,
Indonesia, Singapura dan Filipina (Mustafa Ahmad 1988:96).
Salah seorang Residen British yang terlibat menyumbang terhadap perkembangan
perusahaan kraftangan di Brunei ialah H.Chevalier. Beliau bertanggungjawab dalam memberi
galakan untuk menggunakan teknologi moden dalam aktiviti pertukangan tangan terutama
pertukangan perak di kalangan masyarakat Brunei (M. Shahree 1976:46).


Penggunaan

teknologi moden ini mungkin telah meningkatkan pengeluaran hasil pertukangan perak. Di
samping itu, penemuan bentuk ukiran baru dan juga kemudahan mendapat bahan-bahan mentah
yang diimpot dari England juga telah menyumbang terhadap perkembangan dan kemajuan
perusahaan perak. Pada tahun 1947 sebuah pusat swasta yang mengendalikan penjualan kraf
tangan yang terletak di Jalan Chevalier (seberang jalan Bendahara) telah ditubuhkan. Pusat ini
telah pun berkembang dan hasil daripada kejayaan pusat pertama ini, satu lagi pusat telah
ditubuhkan yang terletak di Jalan Roberts (Mustafa Ahmad 1988: 99).
Tempoh kedua bagi perkembangan perusahaan kraf tangan ialah di zaman pemerintahan
Sultan Omar Ali Saifuddien III. Baginda terkenal dengan jolokan nama “Akitek Brunei Moden”.
Semasa pemerintahan baginda mempunyai inisiatif dan telah menitahkan supaya perusahaan kraf
tangan perlulah dikembangkan terutama perusahaan kraf tangan perak, tenunan dan tembaga.
Baginda juga menjadikan Istana Darul Hana sebagai tempat pertukangan perak dan mengambil
beberapa tukang perak untuk bekerja di Istana. Bagi memastikan seni kraf tangan terus

5

berkembang, Kerajaan Brunei telah menghantar beberapa orang pelajar untuk melanjutkan
kursus pertukangan perak di England.

Penggunaan hasil kraf tangan dalam adat istiadat diraja yang diperbuat daripada logam
seperti keris, gangsa, bedil, celapa, kabuk dan penastan, pesigupan dan alat-alat yang lain boleh
dilihat sebagai usaha mempertahan dan mengembangkan pengeluaran dan permintaan hasil kraf
tangan. Dalam adat istiadat, barangan kraf tangan ini mempunyai peranan sebagai alat kebesaran
dan juga alat perhiasan diraja yang digunakan semasa istiadat-istiadat seperti perkahwinan diraja,
istiadat bergelar, hari keputeraan dan seumpamanya.
Di samping itu, semasa pemerintahan Sultan Omar Ali Saifuddien III, baginda juga telah
memperkenankan pemakaian kain tenunan sebagai sebahagian dari pakaian rasmi dalam adat
istiadat diraja, terutama ketika pakaian cara Melayu digunakan. Baginda telah memperkenankan
penggunaan warna, jenis, rekabentuk, corak dan motif untuk membezakan status dan pangkat
para pembesar negara (Siti Norkhalbi 2007). Sebagai orang yang bertanggungjawab memelihara
dan memperkembangkan warisan tenunan ini, baginda sering memakai pakaian dari kain tenunan
ketika berangkat dalam majlis beradat istiadat.
Dari penjelasan ini menunjukkan Sultan Omar Ali Saifuddien III memainkan peranan
yang sangat penting bagi memastikan aktiviti pertukangan tangan dipelihara, dipertahankan dan
diperkembangkan.

Dan usaha ini telah dilanjutkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia

Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei

Darussalam.

Inisiatif ini adalah suatu kelaziman di mana kerabat diraja memang merupakan

penaung yang memastikan kesinambungan kewujudan kraf tangan. Ini bukanlah merupakan

6

suatu yang ganjil kerana pengeluaran dan penggunaan hasil kraf tangan memang biasa dikaitkan
dengan golongan raja-raja dan seterusnya menggambarkan kekuasaan (Uchino 2005).

Kepentingan Hasil Kraf Tangan Dalam Masyarakat Melayu.
Penggunaan kraf tangan dalam masyarakat merupakan faktor yang penting bagi memastikan
kesinambungan pengeluarannya. Hasil kraf tangan ini tidak hanya mempunyai fungsi gunaan
tetapi juga menekankan kepada fungsi ekspresif dan simbolik. Keseimbangan fungsi-fungsi
tersebut memberikan nilai yang lebih tinggi ke atas barangan kraf tangan (Wan Abd. Kadir et al
2004).

Pengeluaran dan penggunaan barangan kraf tangan ini berkait rapat dengan adat,


kebudayaan dan kesenian warisan bangsa Melayu. Sebagai contoh, motif-motif yang digunakan
untuk menghiasi barangan kraf tangan melambangkan jati diri Melayu yang mengandungi nilainilai seni keindahan dan kehalusan tradisi budaya Melayu. Ini menunjukkan bahawa barangan
kraf tangan merupakan elemen yang penting dalam sosiobudaya masyarakat Melayu yang
meliputi ruang lingkup yang luas sebagai lambang nilai budaya dan identiti.
Barangan kraf tangan yang diperbuat daripada logam sama ada emas, perak, tembaga dan
besi seperti keris, celapa, gangsa
masyarakat Melayu.

serta kain tenunan mempunyai peranan penting dalam

Barangan kraf tangan ini biasa dilihat penggunaannya dalam upacara

beradat seperti majlis perkahwinan, istiadat penganugerahan gelaran dan sebagainya. Barangan
kraf tangan ini tidak hanya terhad penggunaannya di kalangan golongan atasan, tetapi juga
dalam lingkungan masyarakat biasa.

7

Dalam Silsilah Raja-Raja Brunei yang dicatatkan oleh Imam Yaakub (Sweeney 1998)
juga banyak menyebutkan tentang penggunaan budaya material dalam adat istiadat diraja iaitu

majlis menobatkan raja. Di antara alat-alat yang digunakan ialah kasur bertepi emas, puan
kerajaan, keris kerajaan, pedang kerajaan dan perisai kerajaan. Di sebutkan juga penggunaan
penastan perak, kabuk perak, persigupan emas, lembing bersampak emas dan lain-lain.
Permintaan terhadap barangan logam tidak hanya terhad di kalangan masyarakat Melayu Brunei
malah di kalangan masyarakat Melayu yang lain. Laporan Tahunan Brunei 1908 mencatatkan
barangan logam seperti gong, gulingtangan, tawak-tawak dan barangan tembaga yang lain juga
dibekalkan kepada puak Dusun, Iban dan Belait dan barangan ini dipertukarkan dengan barangbarang hutan yang dibawa oleh puak tersebut. Di zaman tradisi, barangan logam diperlukan oleh
puak-puak ini untuk menunjukkan status kekayaan mereka. Di samping itu, barangan logam
juga mempunyai peranan dalam adat sebagai hantaran perkahwinan dan pembayar denda jika
melakukan kesalahan yang tertentu.
Kain tenunan Brunei juga mempunyai peranan yang penting dalam budaya masyarakat
Melayu Brunei. Ianya digunakan sebagai pakaian dan juga hantaran perkahwinan. Dalam
keadaan ini, kain tenunan mempunyai peranan yang penting dalam mewujud dan mengeratkan
hubungan sosial, serta melambangkan status sosial. Bagi masyarakat Melayu Brunei, kain
tenunan Brunei jenis jong sarat dijadikan sebagai salah satu hantaran perkahwinan yang mesti
diberikan oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Sebuah perkahwinan tersebut
dianggap tidak sempurna, malah boleh menimbulkan aib jika pengantin lelaki tidak mampu
memberikan kain tenunan Brunei kepada bakal isterinya. Di samping melambangkan kasih
sayang, pemberian kain tenunan juga menunjukkan kestabilan kedudukan kewangan pengantin
lelaki (Siti Norkhalbi 2007).

8

Sumbangan dan Potensi Kraf Tangan Kepada Sosio-Ekonomi.
Satu masalah yang dihadapi ialah kesukaran untuk memperolehi laporan terperinci tentang
pendapatan dan penghasilan kraf tangan tradisi. Ini bukanlah suatu perkara yang luar biasa
kerana pertukaran zaman tradisi adalah berdasarkan sistem barter atau pertukaran barangan.
Walaubagaimana pun terdapat bukti yang menunjukkan bahawa penghasilan kraf tangan dan
sistem pertukaran barangan telah menjadi sumber mata pencarian yang penting kepada
pengusahanya. Aktiviti yang bersifat perusahaan kecil dan sederhana atau disebut juga sebagai
cottage industry tidak dapat dinafikan telah menjadikan Kampong Ayer terkenal dengan aktiviti

ekonomi yang berorientasikan kraf tangan2. Sebagai contoh kegiatan aktiviti ekonomi tradisi
seperti bertenun kain telah menghasilkan pendapatan di kalangan penduduk kampung seperti di
Kampung Lurong Sikuna dan Kampung Bukit Salat, perusahaan tembaga di kampung Ujong
Bukit dan perak di Kampung Sungai Kedayan. Informan dari puak Kedayan menjelaskan
bahawa di zaman tradisi harga kain tenunan sangat mahal dan pada ketika itu harga sebidang
kain jong sarat adalah sebanding dengan seekor kerbau. Dari itu, kemampuan seseorang untuk
memiliki kain tenunan itu menggambarkan status ekonominya.
Di samping itu, laporan yang ditemui telah membuktikan bahawa perusahaan kraf tangan
mempunyai peranan dalam meningkatkan dan menyumbang kepada ekonomi pengusaha dan
juga negara. Peter Blundell menjelaskan bahawa di antara perusahaan kraf tangan yang
mendatangkan keuntungan dan menjamin kehidupan ialah perusahaan perak berbanding dengan
perusahaan kraf tangan yang lain (Haji Takong 1996: 205). Ini diperkukuh lagi di mana menurut
2

Terdapat kampung yang dikenal dengan nama kraf tangan yang dihasilkan oleh penduduk kampung
seperti Kampung Pemeriuk yang kemudiannya dikenal sebagai Kampung Pandai Besi.

9

catatan yang terdapat dalam Laporan Tahunan Brunei tahun 1930 mencatatkan pendapatan dari
hasil pertukangan perak seperti kotak rokok, mangkuk dan kerongsang telah mencapai melebihi
$15,000.

Dari penjelasan di atas menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi tradisi kraf tangan
merupakan di antara sumber ekonomi masyakarat di Kampong Ayer pada tempoh tersebut.
Dengan galakan yang ada daripada pihak kerajaan yang menyedari bahawa kraf tangan
merupakan warisan budaya yang perlu dipelihara agar tidak pupus, menjadikan perusahaan ini
mempunyai potensi walaupun hanya diusahakan secara kecil-kecilan di kalangan mereka yang
memiliki kemahiran bertukang. Usaha kerajaan mengekalkan penggunaan hasil kraf tangan
dalam majlis beradat istiadat merupakan langkah yang sangat penting dalam memastikan
permintaan terhadap hasil kraf tangan berterusan.

Kemerosotan dan Langkah Pengekalan Perusahaan Kraf Tangan Tradisi.

Namun sehingga tahun 1960an, banyak kegiatan kraf tangan telah mula berkurangan
terutama dalam perusahaan emas, perak dan tembaga. Kekurangan bahan mentah adalah salah
satu penyebab kemerosotan ini. Brunei tidak menghasilkan bahan mentah dari bahan logam dan
bergantung kepada bahan mentah yang dimport. Saingan dari barangan logam yang datang dari
luar juga menyumbang kepada kemerosotan pengeluaran barangan logam tempatan.
Faktor lain yang menyumbang kepada berkurangnya perusahaan pertukangan logam
ialah kemahiran bertukang ini hanya dimiliki di kalangan keluarga tertentu dan diwariskan
kepada ahli keluarga yang paling dekat sahaja (Hj Takong 1996:209). Terbukanya peluang
10

pekerjaan dalam sektor kerajaan dan sektor minyak juga di antara faktor yang menyumbang
kepada kemerosotan penglibatan dalam perusahaan kraf tangan tradisi. Sektor kerajaan dan
sektor minyak merupakan dua sektor yang menawarkan peluang pekerjaan yang tinggi dan
kondisi yang lebih baik. Dengan pendapatan bulanan yang tetap serta kemudahan-kemudahan
yang ditawarkan telah menarik minat untuk bekerja dalam sektor-sektor tersebut. Fenomena ini
tidak hanya terjadi pada kemahiran pertukangan logam, tetapi berlaku juga pada kemahirankemahiran bertukang yang lain termasuk bertenun kain.
Menyedari akan hal kemerosotan perusahaan kraf tangan ini, pihak kerajaan telah
mengambil langkah agar kemahiran dan pengeluaran kraftangan dapat dipelihara dan
dipertahankan. Satu langkah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan ialah menubuhkan Pusat
Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei pada 1 September 1975. Di awal penubuhan,
Pusat ini ditempatkan di Kampung Perpindahan Berakas yang terletak kira-kira lapan kilometer
dari Bandar Seri Begawan. Pada 1 Januari 1984, Pusat ini telah berpindah ke bangunan baru
yang terletak di Bandar Seri Begawan, menghadap Kampong Ayer. Bangunan ini telah dibuka
rasmi oleh Al-Marhum Sultan Omar Ali Saifuddein Sa’adul Khairi Waddien sempena
kemerdekaan negara Brunei Darussalam.
Pusat ini menawarkan lima jenis kursus iaitu pertukangan perak, tembaga, ukiran kayu,
tenunan dan anyaman dan pembuatan songkok. Terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk
mengikuti kursus ditawarkan di Pusat ini. Kursus hanya dibukakan kepada rakyat dan penduduk
tetap negara Brunei Darussalam yang berumur di antara 17 hingga 35 tahun sahaja. Di samping
itu, para pemohon mestilah lulus sekurang-kurangnya tingkatan dua sekolah menengah atau
sebanding.

Pemohon yang lulus mata pelajaran matematik dan lukisan akan diutamakan.
11

Pemohon yang berjaya akan menjalani latihan selama tiga tahun dan diberikan elaun sebanyak
B$350.00 sebulan dan pakaian seragam.
Penubuhan Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan adalah satu langkah
kerajaan untuk memberi latihan dan kemahiran kepada generasi muda dalam seni kraf tangan.
Dengan memberi elaun bulanan kepada pelatih-pelatih merupakan galakan untuk menarik minat
para belia untuk menceburi bidang ini.

Salah satu bidang yang pesat berkembang ialah

perusahaan tenunan. Mulai tahun 1980an perusahaan bertenun kain secara komersial telah mula
bertapak. Terdapat lepasan yang terlatih dari Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei
telah menubuhkan perusahaan sama ada secara bersendirian dan beroperasi di rumah mereka
sendiri, tetapi ada juga pengusaha yang lebih berani dengan menyewa tempat di kawasan pusat
perniagaan (central business district) (Siti Norkhalbi 2006).
Satu lagi usaha pelestarian yang dibuat bagi memastikan kesinambungan warisan tradisi
bertenun kain ini ialah dengan menubuhkan bengkel tenunan di kawasan perumahan Yayasan
Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Kampong Bolkiah A dan B yang terletak di kawasan Kampong
Ayer. Penubuhan bengkel tenunan di Kampong Ayer ini merupakan langkah untuk memberi
galakan kepada penduduk di kawasan ini untuk mempertingkatkan sumber ekonomi mereka, di
samping menghidupkan semula aktiviti

tradisi kraf tangan bagi menarik pelancong asing

(Muhammad Hadi 2006).

12

Kesimpulan.
Perusahaan kraf tangan tradisi memberikan sumbangan yang besar dalam sejarah
pembangunan negara. Sumbangannya bukan hanya terhad pada kegemilangan tamadun budaya,
tetapi juga dalam menjana pembangunan ekonomi negara. Walaupun tidak banyak catatan yang
terperinci tentang pendapatan dari hasil kraf tangan kerana sifat pertukaran tradisi yang
berasaskan sistem barter , namun bukti-bukti yang ada jelas menunjukkan sumbangannya kepada
pendapatan pengusahanya dan negara secara umum. Melihat kepada sumbangan ini maka pihak
kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mempertahankan dan memperkembangkan kemahiran
dan pengeluaran kraf tangan di negara ini.
Tidak dinafikan perusahaan kraf tangan tradisi ini menghadapi kemerosotan mulai tahun
1960an disebabkan oleh beberapa faktor seperti kekurangan bahan mentah, kemahiran yang
terhad dan terbukanya peluang pekerjaan baru di dalam sektor moden. Namun kerajaan telah
mengambil langkah bijak untuk mempertahankannya dari mengalami kepupusan. Buktinya
adalah penubuhan Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei. Pusat ini telah meletakkan
hasil kraf tangan sebagai barangan yang sangat bernilai dan bermutu tinggi.

Jika di zaman

tradisi nilai kraf tangan dibandingkan dengan komoditi lain, contohnya nilai sebidang kain
tenunan adalah sebanding dengan seekor kerbau. Kini, produk kraf tangan dinilai dengan
matawang. Ini jelas menunjukkan bahawa barangan kraftangan seperti tenunan, perak dan
tembaga adalah sangat berharga dan bermutu tinggi dan perusahaan kraf tangan tradisi yang
boleh menjana pertumbuhan ekonomi Brunei.

13

Bibiliografi:
Abdul Latif Haji Ibrahim (Haji). 1996. ‘Kampong Ayer: Warisan, Cabaran dan Masa Depan’.
Simposium Antarabangsa Kampong Ayer . Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei

Darussalam. 6-9 September 1996.
A. Rahman Haji Karim. (1976). ‘Barang-barang Perak Brunei’, Ikhtisar Budaya , ms 56-59.
Dewan Bahasa dan Pustaka, Bandar Seri Begawan.
Blundell, P. 1923. The City of Many Waters. London: Arrowsmith
Brown, D. 1970. 'Brunei: The Structure and History of A Bornean Malay Sultanate'. Monograph
of the Brunei Museums Journal 2:2.

Chi S.C, Cleary M.C and Ka T.S. 1996. 'The Changing Socio-Economic Profile of Kampong
Ayer and Environmental Implications' dalam Kampong Ayer: Warisan, Cabaran dan Masa
Depan. Edited by Haji Abdul Latif Haji Ibrahim, ms. 117-160. Gadong: Akademi Pengajian

Brunei, Universiti Brunei Darussalam.
Hughes-Hallett. H.R. 1998 [1968]. ‘A Sketch of the history of Brunei’. Papers Relating to
Brunei. ms 28-45. Kuala Lumpur: The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society.

Ishak Shaari. (1991). ‘Keadaan Ekonomi dan Struktur Masyarakat Melayu Kelantan pada Abad
ke-19’. Masyarakat Melayu Abad ke-19. ms18-55. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Jiram Jamit. (2008). ‘Perkembangan Pentadbiran Kewangan Brunei Antara Tahun 1906-1931’.
Janang. ms 41-56. Bandar Seri Begawan: Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei

Darussalam.
Lamat Jaafar. (1989). ‘Pertukangan Tembaga di Brunei’, Budaya Bangsa , ms 46-57. Bandar Seri
Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Md. Zain bin Haji Serudin (Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr Haji). 1996.
Ucapan Rasmi Majlis Pembukaan Rasmi Simposium Antarabangsa Kampong Ayer.
14

Simposium Antarabangsa Kampong Ayer Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei

Darussalam. 6 September 1996.
Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong. 2006. 'Kampong Ayer (Aying): Cabaran dan Masa
Depan'. Konferensi Antaruniversiti di Borneo-Kalimantan ke 2: Transformasi Sosial
Masyarakat Perkotaan/ Bandar di Borneo-Kalimantan, Pontianak, Kalimantan Barat

Indonesia, 13-15 Ogos 2006.
Mustafa Ahmad, (Haji). (1988). ‘Kraftangan Brunei: Masa Depannya’, Intisari Kebudayaan
Brunei, ms.92-110. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

M. Shahree P.O.K.J.L.A.I.D Hj Hussin. (1976). ‘Pertukangan Perak dan Emas di Brunei’,
Ikhtisar Budaya , ms. 45-54., Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Nicholl, R. (Peny.). 1975. European Sources for the History of the Sultanate of Brunei in the
Sixteenth Century. Bandar Seri Begawan.: Muzium-Muzium Brunei.

Pengiran Khairul Rijal Pg Hj Abd.Rahim. (2008). ‘Perusahaan Perikanan dan Teknologi
Penangkapan Ikan Yang Digunakan di Negara Brunei Darussalam Semasa Zaman
Pentadbiran Residen British (1906-1941)’. Janang. ms. 76-107. Bandar Seri Begawan:
Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam.
Siti Norkhalbi Haji Wahsalfelah. 2006. 'Transformasi Lokasi Pengeluar Kain Tenunan:
Kesinambungan Warisan Budaya Brunei Darussalam'. Konferensi Antaruniversiti di BorneoKalimantan ke 2: Transformasi Sosial Masyarakat Perkotaan/ Bandar di BorneoKalimantan, Pontianak, Kalimantan Barat Indonesia, 13-15 Ogos 2006.

Siti Norkhalbi Haji Wahsalfelah. (2007). Textiles and Identity in Brunei Darussalam. Bangkok:
White Lotus Press.
St.John, S.( 1962). Life in the Forests of the Far East. London: Smith, Elder and Co.
Sweeney, A. (1998). 'Silsilah Raja-Raja Brunei' in Papers Relating to Brunei. m.s 46-127. Kuala
Lumpur: The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society.
Syed Hashim bin Abdullah Al-Habsyi. 1983/1984. The Traditional Economics Activities in the
15

Kampong Ayer . B.A. Thesis, University of Singapore.

Takong Amit (Haji). (1996). ‘Ekonomi Tradisional Kampong Ayer- Satu Identiti Budaya Kerja
Masyarakat Melayu Brunei’, Kampong Ayer: Warisan, Cabaran dan Masa Depan. ms 194215. Bandar Seri Begawan: Akademi Pengajian Brunei.
Uchino, M. 2005. ‘Socio-Cultural History of Palembang Songket’ dalam Indonesia and the
Malay World. 33(96). m.s. 205-223

Wan Abdul Kadir Wan Yusoff et al. 2004. Teknologi Melayu: Konsep dan Bibliografi. Kuala
Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

16