Islam Kontemporari di Asia Tenggara

Islam Kontemporari Di Asia Tenggara (Ulasan Diskusi) – Mohd Izzuddin Ramli
Diskusi mingguan yang telah dianjurkan pada kali ini telah memilih topik “Islam Kontemporari di Asia
Tenggara” sebagai tajuk yang dikupas secara bersama. Berbeza dengan diskusi-diskusi yang pernah
dijalankan sebelum ini, beberapa orang ahli akademik yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan
yang baik berkenaan dengan topik yang ingin dibincangkan telah dijemput. Antara pembicara yang
dijemput untuk mengetuai diskusi ialah Dr. Sri Yunanto yang merupakan seorang pengarah di
Institute for Defence Security and Peace Studies (Indonesia), dan Dr. Ahmad Sahidah Fellow PostDoctoral Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan. Diskusi yang telah dijalankan di bilik interaktif Pusat
Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) secara amnya telah mendapat sambutan yang baik
daripada para pelajar dan staf. Antara yang hadir ialah para pelajar Sains Politik, pelajar Pusat
Pengajian Komunikasi, pelajar Pusat Pengajian Biologi, Fizik dan juga beberapa orang staf USM.
Diskusi tentang Islam Kontemporari ini secara asasnya telah memberi penjelasan secara lebih
mendalam tentang dinamika perkembangan Islam di seluruh negara. Idea-idea tentang
Fundamentalism, Radikalisme, Konservatisme, Liberal, Puritanisme dan Moderate dikupas secara
perbandingan untuk melihat apakah perbezaan-perbezaan yang wujud antara fahaman-fahaman
Islam ini. Hal ini demikian kerana, dalam kebanyakan wacana yang berkait dengan isu pemikiran
Islam (Islamic Thought) terutama di Asia Tenggara, konsep-konsep inilah yang seringkali menjadi
bahan perdebatan yang utama, namun sayangnya seringkali menemui kekeliruan serta “overlapping”
dalam penggunaannya.
Selain daripada perbincangan tentang konsep-konsep utama ini, isu berkenaan dengan terrorisme
juga turut mengambil tempat dalam diskusi Islam Kontemporari. Terrorisme secara definisinya
bermaksud, suatu keadaan ketakutan yang dicipta secara sengaja untuk membawa perubahan

politik. Ketakutan-ketakutan ini dicipta melalui pelbagai keadaan dan tindakan seperti kekerasan yang
secara umumnya dilakukan untuk mendapatkan perhatian pihak-pihak yang berpengaruh terutama
sekali pihak kerajaan. Aksi terrorisme ini jika tidak dicegah ataupun dikawal, maka nyawa masyarakat
awam akan menjadi pertaruhan. Dalam satu sisi lain, isu terrorisme ini kadang-kala dilihat telah
digunakan oleh ahli politik untuk menutupi isu-isu yang lebih besar dan utama dalam Negara. Hal ini
demikian kerana, jika isu keselamatan nyawa orang awam menjadi hujah utama dalam memerangi
terrorisme, ternyata kes-kes yang membawa banyak korban jiwa adalah bukan disebabkan oleh
terrorisme, malah ia sebenarnya disebabkan oleh perkara-perkara lain seperti kemalangan jalan raya.
Namun, kes ini tidak pula cuba digembar-gemburkan oleh media dan juga pihak pemerintah.
Topik perbincangan berkenaan konsep Negara Agama dan Negara Sekular juga menjadi topik yang
hangat diperdebatkan pada malam diskusi ini. Menurut Ahmad Sahidah, secara amnya garis pemisah
yang ada untuk membezakan antara Negara Agama dan Sekular itu adalah dalam sistem
pemerintahannya. Jika Negara itu telah memisahkan agama dalam pemerintahan ataupun negara,
maka sekularisasi akan mula berlaku. Jika dilihat kembali kepada konsep Negara yang wujud dalam
dunia hari ini, sebenarnya tidak ada satupun negara yang wujud ini boleh dikatakan sekular
sepenuhnya (total secular) ataupun Islamik sepenuhnya (total Islamic). Bagi Sri Yunanto, apa yang
penting dalam sesebuah Negara ialah bukan pada ideologi yang cuba dibawa, akan tetapi beliau
melihat kepada matlamat akhir yang akan dicapai oleh sesebuah Negara itu. Jika kesejahteraan yang
boleh dibawa kepada rakyat, maka apa pendekatan ataupun ideologi yang ada sekalipun boleh
diamalkan.

Dalam kes nation-building di Indonesia, Presiden Soekarno dalam aspek penerimaan Islam untuk
diaplikasikan dalam sistem Negara Indonesia telah memetik idea Mustaffa Kamal Atartuk (Turkey)
yang mana menegaskan bahawa, untuk Negara mencapai pemodenan, Islam dan sistem Negara itu
harus diasingkan. Soal pemerintahan dan pentadbiran Negara harus dibezakan dengan soal agama.
Soal agama adalah tanggungjawab pribadi rakyat, dan soal Negara adalah tanggungjawab

pemerintah. Hanya saja dalam konteks ini kes Indonesia tidak sepenuhnya 100% boleh dikatakan
sebagai negara sekular, kerana dalam Undang-Undang Dasar dan Pancasila (Rukun Negara),
ayatnya dimulakan dengan menyebut nama Tuhan. Meski dalam implementasinya negera Indonesia
tidak akan campur tangan dalam perkara agama rakyatnya, tetapi negara ini tidak mengijinkan
masayarakatnya menjadi Atheis.
Topik Islam dan Demokrasi juga telah menimbulkan satu perdebatan yang hebat dalam diskusi yang
dijalankan. Menurut Ahmad Sahidah, dalam mewujudkan sistem Negara yang baik, simbol agama
dalam sesebuah pemerintahan itu sebenarnya adalah penting. Hal ini demikian kerana, jikalau simbol
agama itu sudah membawa satu idea yang murni dan baik, maka substansi juga akan sama. Ahmad
Sahidah menegaskan bahawa, kita tidak seharusnya menjadikan barat 100% sebagai acuan untuk
membentuk sebuah Negara pilihan sendiri. Contohnya dalam menggunakan idea demokrasi. Jika
sesebuah parti politik yang membawa matlamat perjuangan Islam itu memiliki visi yang kukuh dan
masih mempunyai konsisten dengan idealisme parti, maka ia tidak menjadi masalah. Jadi dalam
menubuhkan Negara Islam, semaksima mungkin sebenarnya tidak harus mengambil idea daripada

barat.
Pendapat ini disangkal dengan satu persoalan ditimbulkan iaitu apakah Negara Islam total tanpa
menceduk idea demokrasi berjaya dilakukan? Bagi Suyatno, sejarah telah membuktikan bahawa
tidak pernah ada satupun Negara Islam dibina dengan menggunakan dengan tidak mengambil idea
demokrasi barat. Sebagai contoh ialah, Empayar Uthmaniah tidak berjaya dan telah hancur tanpa
meninggalkan warisan dalam aspek politik. Oleh kerana demokrasi mengizinkan kepelbagaian idea,
seharusnya pembentukan Negara Islam seratus peratus harus diuji.
Selanjutnya diskusi diakhiri oleh pentingnya kembali merumuskan pelbagai istilah yang melekat
dalam gerakan Islam. Bagai sebuah spektrum, yang paling kiri boleh diletakkan Konservatisme,
Puritanisme mahupun Fundamentalisme. Sedangkan yang paling kanan adalah Liberalisme. Adapun
yang ditengah-tengah boleh diletakkan Moderat. Apapun bentuk-bentuk perjuangan yang ingin
diamalkan sesuai asasnya (fundamental) tanpa mahu mencampur dengan idea-idea moden (bid’ah)
maka kita boleh meletakkan di sisi kiri tersebut. Sedangkan spektrum yang bertentangan di sisi kanan
boleh diterjemahkan bahawa perlunya menafsirkan Islam secara lebih bebas (liberal) sesuai tuntutan
zamannya. Adapun moderat boleh dikata sebagai jalan tengah (secara skeptik malah ada yang
mengatakan bagai “diatas pagar” atau opportunist), dimana memadukan pemahaman konservatif
dengan pahaman liberal.
Adapun radikalisme boleh masuk mana-mana tempat, manakala sebuah kepentingan diamalkan
dengan sebuah cara yang sangat radikal. Sama ada kumpulan orang fundamentalisme (ini yang
sering orang tuduhkan pada kumpulan terorisme) melakukan gerakan radikalisme sama ada dalam

wujud pemikiran (menolak fahaman luar secara kuat, sehingga menutup dirinya dengan
menggunakan simbol-simbol keagamaan secara konservatif) mahupun melalui gerakan keganasan
terorisme. Radikalisme juga boleh wujud dalam sisi liberal, manakala fahaman liberalisme Islam
diamalkan secara liberal, tetapi sering kali dilakukan dalam konteks pemikiran sahaja, misalkan
gerakan Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia.