Minoriti Muslim Rohingya di Myanmar Konf

BAB V

KESIMPULAN

Pembentukan Myanmar yang wujud pada alaf ke-21 kini merupakan gabungan dua
negara iaitu Burma dan Arakan. Pada tahun 1430, negara Arakan pernah ditadbir oleh
kerajaan Islam yang masyhur iaitu dinasti Mrauk-U. Kerajaan Islam ini mula bertapak
di sana bermula dengan pengaruh yang dibawa oleh Sultan Sulaiman Shah
sehinggalah berakhir pada zaman Sultan Shah Shuja pada tahun 1660-an. Apabila
Arakan mengalami masalah dan konflik politik dalaman, Raja Bodawpaya yang
merupakan pemerintah kerajaan Burma ketika itu telah mengambil peluang tersebut
untuk menjajah wilayah Islam Arakan. Arakan yang majoritinya dihuni oleh penduduk
Rohingya Islam terpaksa akur dan menerima penjajahan Burma ke atas wilayah
mereka pada tahun 1784.

Selain itu, Arakan juga pernah dijajah oleh British apabila kuasa kolonial ini
berjaya mengalahkan Burma dalam perang tahun 1822, 1824 dan diakhiri melalui
perjanjian Yandabo Burma-British 1826. Arakan sekali lagi turut menerima tempias
yang sama hasil daripada penjajahan tersebut yang mana British menyatukan wilayah
Burma dengan Arakan tanpa persetujuan penduduk Arakan pada tahun 1948 iaitu
tahun kemerdekaan negara Burma. Burma telah diperintah oleh parti AFPFL (AntiFacisct People’s Freedom League) dan Perdana Menteri Burma yang terpilih semasa

pilihanraya umum yang diadakan oleh British adalah U Nu.

Sewaktu pemerintahan U Nu, penduduk Arakan termasuk etnik Rohingya dan
etnik Rakhine sama-sama menuntut kuasa autonomi Arakan dari kerajaan Burma.
Ketika inilah wujudnya pelbagai persatuan Islam Arakan untuk menuntut hak di
wilayah tersebut. Undang-undang Kerakyatan 1947 yang dilaksanakan U Nu memberi
sedikit ruang kepada etnik Rohingya untuk bernafas bebas kerana etnik ini diiktiraf

118

dan tergolong sebagai rakyat Naturalized. Sehinggalah tahun 1960, janji hanya tinggal
janji apabila kemenangan U Nu untuk pilihanraya negara untuk kali kedua hanya
memberikan kawasan khas di Mayu yang mewakili daerah Rathedaung, Buthidaung
dan Maungdaw sebagai tempat perkumpulan etnik Rohingya.

Apabila Burma dikejutkan dengan rampasan kuasa oleh pimpinan junta tentera
pada tahun 1962 melalui parti BSPP, keadaan etnik Rohingya bertambah derita dan
pelbagai birokrasi undang-undang yang dilaksanakan oleh Ne Win jelas menunjukkan
sikap berat sebelah terhadap etnik tersebut. Jeneral Ne Win telah menjadikan kawasan
Mayu sebagai tempat isolasi atau pengasingan dari wilayah-wilayah Burma.

Pemerintah junta tentera ini melarang rakyat Burma daripada melakukan sebarang
bentuk bantuan atau kerjasama dengan penduduk etnik Rohingya di kawasan Mayu
tersebut.

Akibatnya,

masyarakat

etnik

Rohingya

terus

terpinggir

daripada

pembangunan, pendidikan dan perkhidmatan umum yang sepatutnya diterima sebagai
seorang rakyat Burma pada masa itu.


Tidak cukup dengan pengasingan wilayah tersebut, etnik Rohingya juga terus
ditindas dengan kewujudan undang-undang baru atau Citizenship Of Law pada tahun
1982 yang dilancarkan oleh Jeneral Ne Win. Pengenalan undang-undang ini secara
automatiknya menjadikan etnik Rohingya tidak termasuk sebagai sebahagian
penduduk Burma dan etnik mereka juga tidak diiktiraf. Alasan yang diberikan
kerajaan junta ini ialah etnik Rohingya tak pernah wujud dalam sejarah Burma dan
kehadiran mereka hanyalah selepas penjajahan British ke atas Burma tahun 1826 dari
Chittagong, Bangladesh. Hakikatnya masyarakat Rohingya merupakan penduduk asal
yang mendominasi populasi negeri Arakan sebelum penjajahan Burma dan British ke
atas wilayah tersebut.

Semasa zaman kegemilangan Islam, etnik Rohingya merupakan orang penting
pentadbiran negeri, bahkan memainkan peranan penting dalam hal ehwal ekonomi dan
sosial masyarakat Islam Arakan. Mereka menjadi minoriti apabila berlakunya banyak
keluar masuk penduduk Arakan ini dari Akyab ke Chittagong, kesan daripada
penjajahan dan peperangan British-Burma. Apabila mereka pulang semula ke tanah air
mereka iaitu Arakan semula selepas keadaan reda dari peperangan, kebanyakan harta

119


benda mereka dan rumah-rumah telah dimiliki oleh orang Arakan Buddha. Orang
Arakan Buddha ini juga dikenali sebagai puak Magh dan merupakan puak minoriti di
selatan Arakan. Asalnya mereka adalah etnik yang sama tetapi agama yang
memisahkan kedua-dua etnik ini. Kini puak Magh menggelarkan diri mereka sebagai
etnik Rakhine. Etnik Rakhine juga telah berkomplot dengan kerajaan dalam operasi
pengosongan bumi Arakan daripada masyarakat Islam.

Pengusiran golongan etnik Rohingya sedikit sebanyak berjaya dilakukan oleh
junta tentera apabila setiap operasi kejam yang dilakukan terhadap etnik tersebut
seperti Naga Min tahun 1978, Phi Thaya tahun 1991 dan Na-Sa-Ka tahun 1992
sehingga kini telah menyebabkan golongan ini meninggalkan halaman rumah dan
mencari tempat yang lebih selamat. Justeru, kerajaan junta mengambil kesempatan
tersebut dengan memenuhi wilayah ini dengan penduduk Rakhine dan Burma yang
beragama Buddha. Jumlah etnik Rohingya semakin lama semakin berkurangan dan
akhirnya menjadi gologan minoriti di negeri sendiri.

Pilihanraya umum tahun 1990 menyaksikan pemerintah junta tentera iaitu
Parti SLORC merobek dasar demokrasi negara tersebut apabila suara majoriti yang
dimenangi parti ALD, NDPHR dari parti etnik Rohingya dan NLD tidak diakui oleh

pihak pemerintah. Pentadbiran Burma kekal kepada parti SLORC, pimpinan Saw
Maung sehinggalah parti SPDC yang kini dipegang oleh Thein Sein. Thein Sein
menang melalui Pilihanraya Umum 2010 yang pertama kalinya dipilih oleh suara
majoriti rakyat Myanmar tanpa sebarang bentuk diskriminasi yang dilakukan
sepertimana pemerintahan junta terdahulunya.

Namun, isu status etnik Rohingya masih kekal sebegitu tanpa ada tindakan
segera dan efisyen yang dilakukan pihak kerajaan. Bertitik tolak daripada konflik
status kerakyatan etnik Rohingya ini, kerajaan menjadikan ia sebagai medium
penghapusan etnik ke atas etnik Rohingya.dengan mengenakan pelbagai operasi dan
tindakan tanpa sebab-sebab yang kukuh. Hukuman yang dikenakan pula agak
berlebih-lebihan dan tidak berpatutan dengan tindakan yang dilakukan oleh penduduk
etnik Rohingya. Kerajaan baru Myanmar di bawah kepimpinan Perdana Menteri Thein

120

Sein kini menggalas tugas berat untuk mencari jalan menyelesaikan segera krisis itu
terutama bagi melindungi keselamatan penduduk Rohingya.

Malah kerajaan pro-demokrasi yang baru dibentuk (pimpinan Thien Sien) dan

Pemenang Anugerah Nobel, Aung San Su Kyi juga tidak berani mengecam tindakan
pelampau penganut Buddhist. Mereka takut untuk memberi keadilan kepada
masyarakat Rohingya kerana secara realitinya mereka adalah pemimpin kepada rakyat
Myanmar yang majoriti beragama Buddhist. Mereka turut mengesahkan dasar-dasar
yang diwujudkan oleh pemerintah terdahulu atas kepentingan politik dan keselamatan
nasional.

Jika diselusuri satu persatu penindasan dan penganiayaan terhadap etnik
Rohingya, kita dapat mengenalpasti punca sebenar berlakunya konflik etnik Rohingya
di Myanmar. Faktor agama adalah punca utama berlakunya penindasan berterusan
pihak kerajaan terhadap etnik tersebut. Seperti yang kita maklum bahawa suatu ketika
dahulu Arakan pernah masyhur dengan pemerintahan Islam yang ditadbir oleh Sultan
Sulaiman Shah di bawah dinasti Mrauk-U. Kemahiran dan kehebatan etnik Rohingya
dalam sistem pemerintahan, ekonomi dan sosial yang dipamerkan sepanjang pengaruh
dinasti Mrauk-U itu sehinggalah zaman penjajahan British telah melahirkan satu sifat
kebimbangan dan kerisauan penganut agama Buddha terhadap kewujudan etnik ini di
bumi Myanmar selepas kemerdekaan.

Kerisauan inilah yang akhirnya melahirkan sikap caunisim dan operasi genosid
dengan dikuatkan lagi pengaruh agama Buddha melalui sami-sami mereka. Pengaruh

golongan sami Buddha ini amat kuat dalam kalangan masyarakat Burma Buddha. Kita
dapat lihat sewaktu perarakan besar Buddha tahun 2012 berkaitan isu rusuhan Rakhine
dan Rohingya yang mana beribu sami berarak menyokong Perdana Menteri Thein
Sein untuk menghalau etnik Rohingya yang kononnya digelar sebagai pendatang asing
dan pengganas negara. Kemungkinan sokongan jitu yang diterima oleh parti politik
SPDC adalah kerana pengaruh agama tersebut. Ini kerana kerajaan melihat, isu
Rohingya mampu meraih sokongan rakyat melalui pengaruh keagamaan dan
menyatupadukan rakyat Myanmar untuk menyokong agenda kerajaan Junta kerana
kononnya mereka menghadapi musuh yang sama. Maka, dengan sebab itu parti politik

121

yang dipimpin oleh SPDC tidak mampu berbuat apa-apa terhadap undang-undang
kewarganegaraan 1982 kerana ia adalah warisan perlembagaan dan alat yang boleh
dijadikan sebagai bahan politik.

Pemerintah Myanmar turut merahsiakan jumlah korban sebenar dan maklumat
tentang keadaan diskriminasi diputarbelitkan serta dikawal rapi oleh media
pemerintah. Lazimnya, pihak media dan kerajaan melaporkan bahawa masyarakat
Rakhine ramai yang menjadi mangsa dan melabel Rohingya sebagai pengganas yang

melakukan provokasi. Walhal keadaan sebenar adalah sebaliknya. Rusuhan yang
bermula pada 3 Jun 2012 bukanlah kali pertama. Sebelum itu berlaku beberapa
rusuhan yang besar terhadap orang Islam iaitu pada tahun 1942, 1962, 1978, 1988,
1994, 2000 dan yang terakhir awal Jun 2012. Sejak 1942 hingga sekarang beratus-ribu
Rohingya telah dibunuh dengan kejam. Setiap rusuhan dirancang begitu sistematik
dengan tujuan untuk menghapuskan etnik Rohingya dari wilayah Rakhine dan juga
mendiskriminasi agama Islam.

Bila berlakunya rusuhan, ramai penduduk Rohingya yang dibunuh dan disiksa.
Untuk menyelamatkan nyawa mereka rela menjadi pelarian. Kesan daripada konflik
yang berlaku ini juga, banyak mengakibatkan kehilangan nyawa orang Islam dan
kerosakan harta benda termasuklah institusi keagamaan. Secara keseluruhannya,
Rohingya adalah masyarakat yang paling miskin dan daif bukan sahaja tidak berilmu
malah disekat dari menjalankan aktiviti ekonomi. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) melaporkan bahawa etnik Rohingya adalah golongan minoriti yang
paling teruk ditindas di dunia berbanding dengan kaum minoriti di negara-negara lain.

Masalah pelarian etnik Rohingya yang semakin melarat dan meningkat di
negara-negara jiran seperti Bangladesh, India, Malaysia dan lain-lain menimbulkan
kerisauan negara-negara tersebut. Lantas beberapa langkah segera diambil antaranya

melalui pertubuhan UNHCR di bawah PBB dan usaha-usaha lain yang dilakukan oleh
OIC, ASEAN, NGO Islam ASEAN dan NGO Malaysia serta beberapa Negara Arab
bagi menyelesaikan kemelut tersebut. Kesemua pelarian ini diberikan status ‘stateless’
oleh badan UNHCR dan mereka ditempatkan di kem-kem pelarian di negara jiran buat
sementara waktu. Negara Malaysia di antara negara asia yang prihatin dengan

122

menyediakan pelbagai perkhidmatan asas seperti pendidikan, keperluan hidup dan
kesihatan terhadap mereka.

Meskipun proses penghantaran pulang dilaksanakan oleh UNHCR tetapi tidak
semua penduduk Islam Myanmar dapat kembali ke tanah air mereka. Sebaliknya,
mereka yang kembali ke tanah air terus sengsara ditindas dan diperlakukan sewenangwenangnya oleh pemerintah Myanmar. Penghantaran pulang pelarian Islam bukanlah
penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh mereka kerana ia hanya bersifat
sementara. Malah tindakan tidak berperikemanusiaan dan pencabulan hak asasi
manusia yang dilakukan oleh pemerintah Myanmar dikutuk oleh masyarakat
antarabangsa dan walaupun nasib etnik Rohingya mendapat simpati serta bantuan
daripada badan antarabangsa dan Asia, namun kedudukan dan hak minoriti muslim
etnik Rohingya sebagai warganegara tetap tidak berjaya diperbaiki.


Kerajaan Myanmar sejak dari dahulu tidak adil, tidak ikhlas dan tidak
bersungguh mahu menyelesaikan konflik ini. Krisis di Rakhine ini memerlukan
keikhlasan, komitmen dan kesungguhan daripada kerajaan baru Myanmar bagi
mencari punca sebenar, seterusnya menyelesaikannya segera dan untuk selamalamanya. Isu utama yang perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan baru Myanmar
ialah mengkaji semula status penduduk Rohingya yang tidak diiktiraf sebagai rakyat
Myanmar atau memansuhkan Citizenship of Law 1982. Muslim Rohingya tidak akan
selamat daripada penindasan dan kekejaman selagi mana tuntutan mereka tidak
diletakkan secara sah dalam Perlembagaan Negara dan kontroversi mengenai taraf
kewarganegaraan mereka tidak diselesaikan dengan segera.

Melihat situasi yang berlaku baru-baru ini membabitkan penduduk Rohingya
yang beragama Islam dan penduduk negeri Rakhine yang majoriti beragama Buddha
menyebabkan Myanmar kini tidak mempunyai pilihan selain menyelesaikan segera isu
tersebut. Mengambil pandangan daripada Doktor Zakir Naik, seorang aktivis Islam
yang terkenal bahawa kemungkinan rusuhan yang berlaku di negara Myanmar kerana
faktor inginkan kekuasaan dan pengaruh yang kebanyakannya berpunca daripada ahliahli politik yang di negara itu sendiri. Kegagalan Myanmar menyelesaikan isu status
kerakyatan penduduk Rohingya bukan sahaja akan mengugat dasar transformasi dan

123


pembaharuan demokrasi oleh kerajaan baru Myanmar tetapi juga boleh menggugat
perpaduan dan keselamatan Myanmar. Dasar-dasar penindasan perlu digantikan
dengan dasar-dasar keadilan dengan memberi peluang kepada penduduk Rohingya
untuk menjalani kehidupan biasa sama seperti penduduk Myanmar yang lain.

Apa yang penting pada masa ini ialah jaminan keselamatan kerajaan terhadap
penduduk Rohingya untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dan tindakan segera
kerajaan dalam menamatkan konflik berdarah di wilayah itu. Selain itu, isu kedua
yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan baru Myanmar ialah isu berbangkit daripada
krisis penduduk Rohingya ini yang sebahagian besarnya menjadi orang pelarian di
banyak negara jiran termasuk di Bangladesh, Thailand dan Malaysia. Kerajaan baru
Myanmar perlu menimbang membenarkan pelarian Rohingya untuk pulang ke tanah
air mereka dan menerima kerakyatan Myanmar serta diberi jaminan keselamatan
tinggal di negara mereka.

Jaminan keselamatan merupakan syarat utama bagi penyelesaian kepada isu
pelarian Rohingya ini, memandangkan sebahagian besar daripada kira-kira tiga juta
penduduk Rohingya yang lari meninggalkan Myanmar dan memilih menjadi orang
pelarian adalah kerana mereka merasakan keselamatan mereka tidak dijamin oleh
kerajaan junta tentera sebelum ini. Kerajaan Myanmar juga perlu bersedia mengiktiraf
pertubuhan-pertubuhan yang mewakili penduduk Rohingya untuk mengadakan
perbincangan mengenai nasib dan masa depan penduduk Rohingya.

Antara langkah kesedaran yang mungkin boleh dilaksanakan ialah NGO-NGO
Islam kena mengatur banyak persidangan di peringkat serantau dan antarabangsa
untuk membincangkan isu masyarakat pelarian dan pencabulan hak asasi manusia di
Myanmar serta mencari resolusi konflik. NGO-NGO Muslim terkemuka di Malaysia
disarankan menganjurkan dialog peradaban (Civilizational Dialogue) antara tokohtokoh agamawan dan ilmuan tersohor kedua agama (Islam dan Buddhist) dengan
mengundang sama tokoh-tokoh terkemuka agama Buddhist di Myanmar) yang
bertujuan untuk mendidik masyarakat Buddhist dan Islam di Myanmar khususnya
supaya menghormati satu sama lain serta menghentikan kezaliman seperti mana yang
didokong dalam ajaran agama masing-masing. NGO-NGO Muslim di seluruh dunia

124

perlu menggerakkan kempen serta melobi di peringkat ASEAN, European Union
(EU) dan PBB supaya menekan junta Myanmar menghormati Human Rights serta
mengiktiraf Rohingya sebagai rakyat Myanmar yang sah.

Lanjutan daripada kajian ini, pengkaji mencadangkan supaya kajian ini
diteruskan dalam membuat kajian berterusan tentang faktor utama berlakunya konflik
di negara Myanmar sama ada dipengaruhi oleh faktor agama, politik atau
kewarganegaraan. Ini berikutan juga wujudnya kumpulan Geng 969 di negara
Myanmar pada abad ke-21 ini, di mana ia merupakan sebuah gerakan militan yang
diasaskan oleh golongan sami-sami Buddha radikal hasil daripada satu resolusi dalam
persidangan sami-sami Buddha seluruh Indochina yang diadakan di Yangon pada
penghujung tahun 2012. Di samping itu, penulis juga ingin mencadangkan supaya
kajian mendalam dilakukan terhadap persatuan-persatuan Islam yang masih wujud di
Myanmar untuk mengetahui sejauhmanakah perjuangan masyarakat minoriti Muslim
di sana dalam menyelamatkan dan meneruskan survival kehidupan mereka.

Dengan penghasilan kajian ini, penulis berharap dapat memberikan sedikit
penjelasan kepada para pembaca yang berminat dalam mendalami sejarah penubuhan
negara Myanmar dan konflik sebenar yang dialami oleh etnik Rohingya. Kajian ini
yang merungkai permasalahan etnik yang berlaku di negara Myanmar sedikit
sebanyak menjawab dan memberi pencerahan maklumat kepada pembaca terhadap isu
etnik Rohingya yang menjadi isu pasang surut dunia bermula sejak sebelum tahun
1948 sehingga kembali hangat pada alaf abad ke-21 kini.