HURAIKAN PERJUANGAN POLITIK DR. BURHANUD

PENDAHULUAN
LATAR BELAKANG DR. BURHANUDDIN AL-HELMY
“Di atas runtuhan kota Melaka, kita bangunkan jiwa merdeka. Bersatu padulah
segenap baka, membela hak keadilan pusaka.” Itulah kata-kata keramat yang sering
diungkapkan oleh sosok tubuh seorang tokoh yang dikenali ramai dengan nama Dr.
Burhanuddin Al-Helmy. Nama Dr. Burhanuddin bukan lagi satu nama asing dalam lipatan
sejarah perjuangan kebangsaan dan politik di Malaysia. Anak jati Kampung Changkat
Tualang yang terletak di mukim Kota Bharu, daerah Taiping, Perak ini lahir pada 29
November 1911. Nama sebenar beliau ialah Burhanuddin bin Mohamad Noor dan beliau
dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana serta berlatarkan kehidupan di
kampung. Dr. Burhanuddin mempunyai keturunan darah campuran Minangkabau-Arab
yang mana bapanya iaitu Haji Mohamad Noor adalah merupakan perantau dari Batu
Sangkar, daerah Tanah Datar, Minangkabau, Sumatera.1
Gelaran Al-Helmy diperolehi beliau daripada bapanya yang digelar sebagai ‘Abi
Halim’. Bapa beliau disifatkan sebagai seorang yang tidak mementingkan kebendaan,
kesenangan dunia, sentiasa tersenyum dan tidak mudah marah sehinggakan bapanya ‘Abi
Halim’ oleh sesetengah rakan bapanya.2 Dengan itu, Dr. Burhanuddin menggunakan
gelaran ‘Al Hulaimi’ dan kemudiannya dipopularkan menjadi ‘Al-Helmy’ iaitu membawa
maksud orang yang tidak pemarah. Ibu Dr. Burhanuddin bernama Sharifah Zaharah
Habib Othman pula merupakan golongan atasan masyarakat Melayu yang berketurunan
Arab dan telah berhijrah ke Perak dari Melaka. Dr. Burhanuddin merupakan anak sulung


1 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 1.
2 Abdullah Zakaria Ghazali dan Adnan Haji Nawang (editor), Biografi Tokoh Pilihan Malaysia, Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1997, hlm. 20.

1

daripada lapan orang adik beradik dan beliau lebih mesra dipanggil ‘Ayub’ dalam
kalangan ahli keluarganya.3
Sejak dari kecil beliau telah mendapat asuhan dan bimbingan daripada ibu
bapanya dari segi pendidikan agama. Beliau sudah bersembahyang fardu semenjak
usianya tiga tahun, khatam al-Quran ketika berumur sepuluh tahun dan mampu
menghafal lebih separuh dari isi kitab suci itu. 4 Dari segi pendidikan pula, beliau
mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah Melayu seperti di Behrang Ulu, Bakap
dan Kota Bharu, Perak.5 Kemudian, beliau dan adiknya dihantar belajar di Sekolah
Agama Sungai Jambu di Sumatera oleh bapanya yang mahukan Dr. Burhanuddin
mempelajari bidang agama secara sepenuh masa. Di sana, beliau telah banyak menerima
pendedahan tentang gerakan menentang Belanda seperti gerakan yang dipimpin oleh
seorang agamawan bernama Haji Nordin dan secara tidak langsung telah menyemai

kesedaran beliau terhadap penjajahan Barat. Sekembalinya dari Sumatera, beliau telah
menyambung pengajiannya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. 6 Selepas itu beliau
melanjutkan lagi pelajarannya di Madrasah al-Masyhor di Pulau Pinang dari tahun 1927
hingga 1933 dan di sinilah beliau menerima pendedahan berkaitan dengan majalahmajalah dari Timur Tengah serta gerakan Islam yang progresif.
Pendidikannya di peringkat tinggi pula bermula apabila beliau telah menerima
biasiswa yang dikeluarkan oleh sekumpulan saudagar India Islam di Pulau Pinang.
Menerusi biasiswa tersebut beliau telah melanjutkan pelajaran ke India pada tahun 1934

3 Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999, hlm. 124.
4 Mohd Syakir Mohd Rosdi, ‘Dr. Burhanuddin Al-Helmi Dan Pembangunan Ekonomi Politik Islam Di
Malaysia,’ Disertasi Sarjana, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Pulau
Pinang, 2010, hlm. 80.
5 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 2.
6 Muhd. Yusof Ibrahim, Sejarawan dan Persejarahan Melayu : Tradisi dan Transformasi, Kuala Lumpur:
Tinta Publishers, 2011, hlm. 160.

2

iaitu di Universiti Aligarh, New Delhi dalam bidang falsafah dan sastera. 7 Selepas dari

itu, beliau mendapat ijazah keduanya pada tahun 1939 dari Ismaeliah Medical College
pada tahun 1939 dalam bidang perubatan homeopati. Selain itu, beliau juga menerima
ijazah Doctor of Naturopathy (N.D) daripada School of Naturopathy, London dan Doctor
of Divinity daripada International Academy Canada serta beliau merupakan ahli
International Federation of Naturopath (I.F.N) dan Homoeopathic Physician Association
(H.P.A., London).8
Semasa di India beliau banyak menerima pendedahan berkaitan dengan gerakangerakan menentang British yang dipimpin oleh tokoh seperti Mahatma Gandhi. Beliau
juga berkesempatan melawat Palestin yang ketika itu berada di bawah penjajahan British
sebelum beliau pulang ke kampung halamannya setelah tamat pengajian. Tidak lama
selepas itu, Dr Burhanuddin telah berhijrah ke Singapura yang terkenal dengan jolokan
syurga cerdik pandai Melayu berkumpul dan menerbitkan pelbagai akhbar bagi membina
kesedaran kebangsaan Melayu. Di sana, beliau telah bekerja di Madrasah al-Junid yang
dimiliki oleh keluarga al-Junid iaitu salah sebuah keluarga Arab yang kaya di Singapura.
Beliau bukan sahaja menjadi guru agama di sana akan tetapi beliau juga turut
berkecimpung dalam bidang penerbitan majalahnya yang diberi nama Taman Bahagia.
Majalah ini berkisarkan masalah hak orang Palestin yang telah digugat oleh British.
Penerbitan majalah ini telah membawa Dr. Burhanuddin kemudiannya ditangkap oleh
British kerana penulisannya didakwa mengancam kedudukan politik British.9
Tidak hanya bidang penerbitan, beliau juga terlibat dalam sebuah Persatuan Islam
di Singapura yang dikenali sebagai Jama’atul Islamiah dengan menjadi setiausaha

7 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 9.
8 Mohd Syakir Mohd Rosdi, ‘Dr. Burhanuddin Al-Helmi Dan Pembangunan Ekonomi Politik Islam Di
Malaysia,’ Disertasi Sarjana, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Pulau
Pinang, 2010, hlm. 86.
9 Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999, hlm. 126.

3

persatuan tersebut. Beliau turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan
membuka klinik perubatan homeopati di Johor dan di Singapura bersama-sama dengan
seorang doktor India bernama Dr. Rajah.10 Selama beliau menetap di Singapura, Dr.
Burhanuddin banyak bergaul rapat dan terdedah dengan pergerakan-pergerakan pemuda
Melayu yang berusaha untuk membebaskan tanah air dari belenggu penjajah. Hal ini telah
mendatangkan minat dalam diri beliau dalam bidang politik dan pada tahun 1939 beliau
telah

menganggotai

Kesatuan


Melayu

Muda

(KMM)

sebagai

ahli. 11

Secara

keseluruhannya dapat dilihat bahawa perjuangan dan penglibatan Dr. Burhanuddin dalam
kepimpinan politik Melayu bermula di Singapura dan KMM merupakan platform
awalnya dalam bidang ini. Sepanjang tahun 1945-1957 dapat dilihat merupakan tempoh
masa perjuangannya yang penuh liku terutamanya dalam bidang politik. Perjuangannya
dapat dilihat melalui beberapa parti yang telah dianggotainya seperti Kesatuan Melayu
Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Hizbul Muslimin, Parti
Rakyat Malaysia dan juga Parti Islam Se-Malaysia.

PERJUANGAN DALAM KESATUAN MELAYU MUDA (KMM)
Individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Dr. Burhanuddin kepada
KMM ialah Naib Presiden KMM sendiri iaitu Mustapha Hussein semasa pertemuan
mereka di klinik Dr. Burhanuddin.12 KMM melihat bahawasanya Dr. Burhanuddin adalah
calon yang sesuai untuk diserapkan ke dalam KMM kerana perwatakan beliau yang
sememangnya anti-British dan anti-penjajahan. Di dalam KMM beliau tidak memegang
sebarang jawatan penting, hanya sekadar menjadi ahli biasa sahaja dan disebabkan itu
beliau tidak ditangkap oleh British pada tahun 1940 seperti ahli-ahli KMM yang lain iaitu
Ibrahim Haji Yaacob, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam serta Sultan Djenain.
10 Muhd. Yusof Ibrahim, Sejarawan dan Persejarahan Melayu : Tradisi dan Transformasi, Kuala Lumpur:
Tinta Publishers, 2011, hlm. 161.
11 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 17.
12 Ibid., hlm. 17.

4

Walaupun penglibatannya dalam KMM pada tahap awal tidak begitu menonjol seperti
mana tokoh-tokoh lain akan tetapi permulaan kehadiran beliau dalam arena politik Tanah
Melayu adalah sememangnya dikesan melalui KMM.

Kemunculan Dr. Burhanuddin sebagai pemimpin dalam KMM mula menonjol
apabila beliau berkenalan dengan Ibrahim Haji Yaacob yang merupakan ketua pengarang
Warta Malaya dan juga pemimpin utama KMM. Beliau telah diiktiraf oleh Ibrahim
sebagai pemimpin Melayu yang penting jika dibandingkan dengan tokoh-tokoh lain
seperti Ishak Haji Mohamad atau Ahmad Boestamam dan pengiktirafan ini menyebabkan
beliau bekerjasama dengan Jepun walaupun sebelumnya beliau menentang sebarang
bentuk penjajahan.13 Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, beliau telah dilantik ke
salah satu jawatan tertinggi bagi anak tempatan dalam pentadbiran Jepun iaitu sebagai
Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu yang beribu pejabat di Markas
Pentadbiran Tentera Jepun di Taiping.14 Kedudukan yang diperoleh Dr. Burhanuddin
memberikan kesempatan kepada beliau untuk meyakinkan pemerintah Jepun bagi
mengadakan kongres Islam di antara Tanah Melayu dan Sumatera pada tahun 1944.
Kongres ini bertujuan untuk mencari fatwa dan menyatukan perasaan kekitaan dalam
kalangan umat Islam di kedua-dua belah pihak.
Kedudukan beliau juga telah beliau gunakan sebaiknya untuk memberi
perlindungan kepada Madrasah Gunung Semanggol yang berada di bawah pimpinan
Ustaz Abu Bakar al-Baqir daripada kekejaman pentadbiran tentera Jepun. 15 Madrasah ini
juga dapat dilindungi daripada diceroboh dan dijadikan milik tentera Jepun. Beliau turut
menggunakan kedudukannya untuk melindungi penduduk di beberapa buah kampung di
Taiping daripada menjadi buruh paksa membina landasan kereta api maut di Burma. Pada

13 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 20.
14 Abdullah Zakaria Ghazali dan Adnan Haji Nawang (editor), Biografi Tokoh Pilihan Malaysia, Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1997, hlm. 26.
15 Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999, hlm. 127.

5

masa yang sama juga, pemimpin utama KMM iaitu Ibrahim Haji Yaacob telah merancang
kemerdekaan Tanah Melayu bersama-sama dengan Indonesia. Dr. Burhanuddin yang
sememangnya dipercayai oleh Ibrahim telah dibawa bersama dalam pertemuan antara
Ibrahim dengan Sukarno dan Dr. Hatta di Taiping pada 12 dan 13 Ogos 1945 bagi
membincangkan kemerdekaan Tanah Melayu bersama Indonesia di bawah Indonesia
Raya.
Kemudian, Dr. Burhanuddin telah diamanahkan oleh Ibrahim untuk mengadakan
satu persidangan bagi menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS).
Tujuan KRIS ditubuhkan adalah untuk membangkitkan kesedaran dalam kalangan orang
Melayu bahawa mereka adalah sebahagian daripada Indonesia Raya. 16 Mesyuarat pertama
KRIS dirancang diadakan pada 17 Ogos 1945 di Hotel Stesen, Kuala Lumpur dan akan
dihadiri oleh wakil-wakil pemuda Melayu dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan

Selatan Siam.17 Walaubagaimanapun, rancangan ini telah gagal dilaksanakan kerana pihak
Jepun telah menyerah kalah kepada pihak Berikat pada 14 Ogos 1945 berikutan
pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. KRIS juga terbubar begitu sahaja apabila Sukarno
telah mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945 tanpa Tanah Melayu. 18
Keadaan ini ditambah buruk lagi apabila Ibrahim telah meninggalkan Tanah Melayu dan
berangkat ke Indonesia sebagai pelarian politik kerana bimbang ditangkap oleh British
dengan meninggalkan Dr. Burhanuddin tanpa sebarang penjelasan. Dengan itu
berakhirlah perjuangan Dr. Burhanuddin dalam KMM yang telah dianggotainya sejak dari
tahun 1939 lagi.
PERJUANGAN DALAM PARTI KEBANGSAAN MELAYU MALAYA (PKMM)

16 Zainal Abidin Abdul Wahid, et al., Malaysia Warisan dan Perkembangan, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1992, hlm. 183.
17 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 27.
18 Abdullah Zakaria Ghazali dan Adnan Haji Nawang (editor), Biografi Tokoh Pilihan Malaysia, Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1997, hlm. 27.

6


Selepas perjuangan Dr. Burhanuddin dalam KMM tidak menemui kejayaan dan
matlamat yang diinginkan, beliau kemudiannya telah beralih kepada sebuah lagi parti
politik yang tidak kurang pentingnya di Tanah Melayu iaitu Parti Kebangsaan Melayu
Malaya (PKMM). PKMM ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 dan ditaja oleh Parti
Komunis Malaya (PKM) dengan tujuan untuk meluaskan pengaruh PKM dalam kalangan
orang Melayu.19 Dr. Burhanuddin pada asalnya telah dilantik menjadi Timbalan Yang
Dipertua PKMM walaupun beliau tidak hadir pada hari penubuhan PKMM kerana beliau
sedang berada di Singapura pada ketika itu. Kongres Pertama PKMM telah diadakan pada
30 November hingga 3 Disember 1945 dan selepas daripada kongres tersebut, Yang
Dipertua PKMM iaitu Mokhtaruddin Lasso telah menghilangkan diri. Rentetan dari itu,
Dr. Burhanuddin telah dilantik menggantikan Mokhtaruddin sebagai Yang Dipertua
PKMM manakala Ishak Haji Mohamad pula dilantik sebagai Naib Yang Dipertua
PKMM.20
Walaupun Dr. Burhanuddin berkesempatan menyandang jawatan selaku Yang
Dipertua PKMM, akan tetapi beliau bukanlah individu yang terlibat secara langsung
dalam pengasasan PKMM. Beliau sebaliknya telah dijemput untuk menjadi pemimpin
dan dengan itu beliau tidak dapat menentukan corak politik serta dasar PKMM sejak dari
peringkat awal lagi.21 Hal ini menyukarkan beliau untuk menolak pengaruh komunis
yang telah sedia ada menular dalam parti tersebut yang mana telah dibawa oleh
PKM sejak dari awal. Penguasaan dan campur tangan PKM dalam PKMM dapat dilihat

apabila ejen-ejen PKM melalui Mokhtaruddin Lasso dan Arshad Ashaari telah menyertai
akhbar Suara Rakyat yang baru sahaja diterbitkan. Akhbar ini dikatakan telah dirampas

19 Ramlah Adam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy : Kajian Mengenai Kegiatannya Dalam PKMM 1946-1948,
Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 1993, hlm. 2.
20 Kamarudin Jaafar, Dr. Burhanuddin Al-Helmy Pemikiran dan Perjuangan, Kuala Lumpur: Ikdas Sdn.
Bhd., 2000, hlm. 6.
21 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 31.

7

dari Ahmad Boestamam dan dijadikan suara rasmi PKM bagi orang Melayu. 22 Bukan itu
sahaja, campur tangan PKM dalam PKMM turut dapat dilihat apabila beberapa orang
tokoh komunis seperti Sultan Djenain, Rashid Maidin dan Abdullah C.D. telah dilantik
menjadi penasihat dan anggota PKMM.
Dr. Burhanuddin sedia maklum akan hal ini dan telah menyedarinya sejak dari
awal lagi. Namun begitu, beliau bukanlah seorang komunis atau telah dipengaruhi
oleh komunisme kerana latar belakang pendidikan Islam yang diterima oleh beliau
sebelum ini adalah sangat kuat. Kepimpinan Dr. Burhanuddin dalam PKMM pada
peringkat awal dapat dilihat melalui kongres-kongres PKMM yang diadakan di beberapa
buah tempat seperti di Ipoh, Kuala Lumpur dan Melaka. Beliau sering kali mengutarakan
resolusi utamanya iaitu “Malaya sebahagian dari Indonesia dan Sang Saka Merah Putih
adalah bendera kebangsaan”.23 Di bawah pimpinan beliau juga, PKMM telah turut serta
dalam perjuangan orang-orang Melayu menentang Malayan Union. Dr. Burhanuddin
telah mewakili PKMM dalam perhimpunan pertubuhan-pertubuhan Melayu pada 11 Mei
1946 di Kelab Sultan Sulaiman yang kemudiannya membawa kepada penubuhan UMNO
di bawah pimpinan Dato’ Onn Jaafar. 24 Dr. Burhanuddin dilihat jelas menerima UMNO
dan kepimpinan Dato’ Onn Jaafar sehinggakan beliau selaku ketua delegasi PKMM telah
menandatangani Piagam UMNO 1946. Akan tetapi tindakan beliau ini tidak disenangi
oleh PKM yang merupakan penaja utama PKMM.
PKM menyatakan ketidakadilan UMNO kerana memberi undi yang kecil kepada
PKMM dan bagi PKM, PKMM harus diberi suara undi yang lebih besar kerana pengaruh
PKMM adalah lebih besar jika dibandingkan dengan persatuan-persatuan lain. pada masa
yang sama Ahmad Boestamam juga mempersoalkan pendirian Dr. Burhanuddin yang
22 Ramlah Adam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy : Kajian Mengenai Kegiatannya Dalam PKMM 1946-1948,
Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 1993, hlm. 3.
23 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 37.
24 Talib Samat, Kenali Tokoh Berjasa, Kuala Lumpur: Pekan Ilmu Publications, 2010, hlm. 222.

8

menyokong UMNO. Ahmad Boestamam juga dilihat sama seperti PKM yang tidak begitu
bersetuju dengan pendirian Dr. Burhanuddin terhadap UMNO. Ahmad Boestamam
kemudiannya bertindak menarik PKMM keluar dari UMNO pada bulan Jun 1946 semasa
menghadiri persidangan UMNO di Ipoh dengan alasan PKMM kalah dalam undian
menentukan bendera rasmi UMNO.25 Namun begitu, PKMM di bawah pimpinan Dr.
Burhanuddin masih tidak dapat menyaingi pengaruh UMNO yang didukung oleh struktur
politik tradisional Melayu serta mendapat sokongan padu termasuklah dari golongan
bangsawan dan juga sultan-sultan Melayu.
Selepas sahaja keluar dari UMNO, PKMM dilihat telah memberikan sokongan
terhadap Malayan Union. Sokongan ini ternyata bertentangan dengan arus politik
sebilangan besar orang Melayu dan Raja-raja Melayu yang menentang Malayan Union.
Sokongan PKMM di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin terhadap Malayan Union dapat
dilihat apabila mereka menghantar wakil dalam upacara pelantikan Gabenor Malayan
Union yang mana upacara tersebut telah dipulaukan oleh UMNO dan Raja-raja Melayu.
Tujuan Dr. Burhanuddin dan PKMM menyokong Malayan Union adalah untuk meraih
sokongan dari pihak British dan sekiranya British memberikan kemerdekaan kepada
Tanah Melayu maka PKMM berharap ahli-ahli mereka akan diterima sebagai pemimpin
Melayu.26
Namun demikian, apa yang diharapkan oleh Dr. Burhanuddin dan PKMM tidak
kesampaian. Hal ini demikian kerana British lebih memilih untuk bekerjasama dengan
UMNO berbanding dengan PKMM. Sifat UMNO yang sederhana serta tidak dipengaruhi
oleh sebarang unsur radikal atau komunisme seperti PKMM adalah lebih sesuai dengan
British dan ditambah lagi dengan sokongan Raja-raja Melayu terhadap UMNO menjadi
25 Ramlah Adam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy : Kajian Mengenai Kegiatannya Dalam PKMM 1946-1948,
Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 1993, hlm. 14.
26 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 57.

9

daya penarik kepada British untuk bekerjasama dengan UMNO. Keadaan ini
membuatkan Dr. Burhanuddin dan PKMM tidak berpuas hati dan menentang British,
UMNO dan Raja-raja Melayu. Tentangan yang dibuat dapat dilihat melalui bantahan
pembentukan

Jawatankuasa

Kerja

yang

ditubuhkan

bertujuan

untuk

mendraf

perlembagaan baru bagi menggantikan Malayan Union. Bantahan ini dibuat kerana
PKMM tidak diajak berunding oleh British dan Raja-raja Melayu untuk mendraf
perlembagaan tersebut. Walaupun tentangan dilakukan, Dr. Burhanuddin dan PKMM
masih lagi tidak dapat mengatasi pengaruh UMNO yang didukungi oleh struktur politik
tradisional Melayu yang dipergunakan UMNO dengan sebaiknya. Dengan itu, Dr.
Burhanuddin dan PKMM telah mencari alternatif baru untuk menentang British dan
UMNO dan pada masa yang sama meraih sokongan masyarakat tempatan.
PERJUANGAN DALAM PUSAT TENAGA RAKYAT (PUTERA)
Kegagalan PKMM di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin dalam melakukan
penentangan terhadap British dan UMNO telah menyebabkan beliau mencari alternatif
baru untuk berpolitik. Rentetan itu, pada bulan Februari 1947 Pusat Tenaga Rakyat
(PUTERA) telah ditubuhkan oleh PKMM bersama-sama dengan Angkatan Pemuda Insaf
(API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan beberapa buah badan politik lain seperti
Barisan Tani Malaya (BATAS) dan Gerakan Angkatan Muda (GERAM). 27 Selain
menubuhkan PUTERA, strategi lain yang menjadi pilihan Dr. Burhanuddin dan PKMM
ialah bekerjasama dengan bangsa lain. hal ini dapat dilihat menerusi persidangan PKMM
di Dewan TPCA, Kampung Baru pada 18 Oktober 1946 di mana dasar bekerjasama
dengan bangsa lain untuk mendapatkan keamanan telah menjadi pendekatan
politiknya yang baru.28 Oleh itu, PUTERA yang baru sahaja ditubuhkan telah
27 Kamarudin Jaafar, Dr. Burhanuddin Al-Helmy Pemikiran dan Perjuangan, Kuala Lumpur: Ikdas Sdn.
Bhd., 2000, hlm. 6.
28 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 71.

10

bekerjasama dengan All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) bagi menentang
British dan UMNO.
Penggabungan antara PUTERA dengan AMCJA dibuat pada 2 Disember 1947
bukan sahaja merupakan gabungan pergerakan politik Melayu dan bukan Melayu yang
pertama di tanah air bahkan gabungan ini juga bersatu di bawah pimpinan Dr.
Burhanuddin dan menerima konsep serta idea “Kebangsaan Melayu” dan “Hak
Ketuanan Melayu”.29 Dr. Burhanuddin juga telah dilantik menjadi Penasihat Kehormat
PUTERA manakala Ishak Haji Mohamad dilantik sebagai Pengerusi PUTERA dan Naib
Pengerusi PUTERA pula disandang oleh Ahmad Boestamam serta Mahmud Idris. 30
Dengan jawatan sebagai Penasihat Kehormat PUTERA, ini bermakna kepimpinan Dr.
Burhanuddin tidak begitu menonjol jika dibandingkan dengan kepimpinan Ishak Haji
Mohamad yang memegang jawatan sebagai Pengerusi PUTERA. AMCJA pula telah
dipimpin oleh Tan Cheng Lock yang merupakan seorang tokoh perniagaan dan tokoh
politik Cina yang sangat penting. Kerjasama PUTERA yang disifatkan sebagai golongan
radikal Melayu dengan AMCJA kemudiannya telah membawa kepada lahirnya
“Perlembagaan Rakyat” pada 10 Oktober 1947.31
Perlembagaan ini mengandungi 10 prinsip perlembagaan rakyat yang tidak
memberikan tumpuan kepada taat setia Melayu terhadap Tanah Melayu dan turut tidak
mengiktiraf kuasa politik orang Melayu. Hal ini sangat bertentangan dengan hasrat
sebahagian besar orang Melayu dan menyebabkan Perlembagaan Rakyat ditolak sama
sekali. Sebagai satu tindak balas, Jawatankuasa Kempen Perlembagaan PUTERAAMCJA telah menganjurkan rapat-rapat umum dan hartal di seluruh negara yang

29 Abdullah Zakaria Ghazali dan Adnan Haji Nawang (editor), Biografi Tokoh Pilihan Malaysia, Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1997, hlm. 28.
30 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 72.
31 Ramlah Adam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy : Kajian Mengenai Kegiatannya Dalam PKMM 1946-1948,
Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 1993, hlm. 22.

11

berlangsung pada 19 Oktober 1947.32 Hartal atau tindakan mogok perdagangan dan
perniagaan di seluruh negara ini dijalankan bertujuan untuk membantah cadangan
Perlembagaan British-UMNO dan juga sebagai tindakan susulan akibat kegagalan
Perlembagaan Rakyat. Namun demikian, hartal yang dijalankan tidak berjaya kerana
tidak mendapat sambutan serta sokongan masyarakat tempatan ketika itu. Kemudian,
dengan termeterainya Perjanjian Persekutuan pada 21 Januari 1948 oleh Raja-raja Melayu
dan British di King’s House, Kuala Lumpur maka berakhirlah harapan dan impian Dr.
Burhanuddin dan kumpulannya untuk menjatuhkan UMNO dan Perjanjian 1948.33
PERJUANGAN DALAM HIZBUL MUSLIMIN (HM)
Selepas pimpinan Dr. Burhanuddin dalam PKMM dan PUTERA pada tahun 1947
tidak membawa sinar kejayaan, beliau telah mengambil keputusan dengan memilih untuk
bergerak dalam menegakkan idealisme Islam sebagai satu ideologi politiknya.
Keadaan ini juga dapat dilihat sebagai satu strategi Dr. Burhanuddin untuk mencari tapak
baru dalam bidang politik. Oleh yang demikian, beliau lebih fokus untuk menyertai
gerakan politik yang lebih bersifat Islam dari segi ideologinya. Bibit-bibit sebelum Dr.
Burhanuddin beralih arah kepada gerakan yang bercorak Islam dapat dilihat semasa
beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PKMM lagi. Hal ini kerana semasa beliau
menjadi Yang Dipertua PKMM, beliau telah mendapatkan kawan-kawannya di Maahad
Il-Ihya Assyarif untuk menganjurkan Persidangan Ekonomi-Agama se-Malaya pada 2224 Mac 1947.34 Melalui persidangan ini telah tercetusnya penubuhan Pusat Perekonomian
Melayu se-Malaya (PEPERMAS) dan Majlis Agama Tertinggi se-Malaya (MATA).

32 Abdullah Zakaria Ghazali dan Adnan Haji Nawang (editor), Biografi Tokoh Pilihan Malaysia, Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1997, hlm. 29.
33 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 90.
34 Kamarudin Jaafar, Dr. Burhanuddin Al-Helmy Pemikiran dan Perjuangan, Kuala Lumpur: Ikdas Sdn.
Bhd., 2000, hlm. 6.

12

Hizbul Muslimin (HM) pula ditubuhkan pada 14 Mac 1948 pada hari kedua
persidangan MATA yang diadakan di Madrasah Il Ihya Assyarif, Gunung Semanggol
dengan tujuan untuk mengawasi dan memajukan politik orang Islam, tegasnya orang
Melayu.35 Hal ini demikian kerana Dr. Burhanuddin merasakan bahawa UMNO tidak
memainkan peranan yang sewajarnya dalam menjaga kepentingan agama Islam manakala
PKMM pula dilihat telah diresapi unsur komunis yang dibawa oleh penajanya iaitu PKM.
Oleh kerana itu, sebuah parti baru yang berjuang menggunakan landasan Islam baik dari
segi falsafah mahupun dari segi pendekatan wajar ditubuhkan. Penubuhan HM yang
membawa dasar perjuangan “Islam semata-mata bagi mencapai kemerdekaan bangsa
Melayu yang berdaulat, menciptakan masyarakat berdasarkan Islam dan mencapai Tanah
Melayu Darul Islam”36 dilihat sesuai dalam keadaan politik di Tanah Melayu yang masih
lagi tidak mempunyai sebuah parti memperjuangkan kepentingan Islam.
Namun begitu, pengaruh radikal PKMM melalui penglibatan pemimpinpemimpinnya seperti Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Mohamad tidak dapat
membersihkan nama HM sebagai sebuah parrti yang benar-benar bersifat Islam. Hal ini
telah menyebabkan golongan Melayu konservatif tidak memberikan sokongan terhadap
HM. Bagi British pula, HM adalah satu kesinambungan kegiatan PKMM dan PKM
dalam politik orang Melayu Semenanjung. Undang-Undang Darurat yang diisytiharkan
oleh British pada bulan Julai 1948 telah membawa pengakhiran kepada penglibatan Dr.
Burhanuddin dalam HM. Hal ini demikian kerana pemerintahan British telah menangkap
pemimpin-pemimpin politik yang disifatkan sebagai radikal termasuklah pemimpinpemimpin HM.37 Namun demikian, Dr. Burhanuddin terlepas daripada penangkapan

35 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 93.
36 Zainal Abidin Abdul Wahid, et al., Malaysia Warisan dan Perkembangan, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1992, hlm. 204.
37 Kamarudin Jaafar, Dr. Burhanuddin Al-Helmy Pemikiran dan Perjuangan, Kuala Lumpur: Ikdas Sdn.
Bhd., 2000, hlm. 7.

13

tersebut berikutan beberapa sebab. Antaranya termasuklah penglibatan beliau dalam HM
bukan suatu penglibatan yang tegas kerana beliau hanya menjadi ahli jawatankuasa
mendraf perlembagaan dan memungut derma untuk membantu rakyat Islam Palestin
sahaja.
PERJUANGAN DALAM GERAKAN NATRAH
Dengan berlakunya penangkapan terhadap pemimpin-pemimpin utama Hizbul
Muslimin, maka dapat dilihat perjuangan Dr. Burhanuddin dalam parti tersebut adalah
tidak kesampaian. Selepas daripada kejadian tersebut, Dr. Burhanuddin telah berhijrah ke
Singapura dan membuka klinik homeopati di Jalan Sultan, Geylang, Singapura. 38 Semasa
keberadaan beliau di Singapura, Dr. Burhanuddin telah ditangkap pada bulan Disember
1950 kerana terlibat dalam tunjuk perasaan menentang keputusan Mahkamah Tinggi
Singapura yang menolak kesahihan perkahwinan Natrah iaitu seorang wanita
berketurunan Belanda yang telah berkahwin dengan seorang pemuda Melayu. 39 Menurut
keputusan Mahkamah Tinggi Singapura, Natrah perlu kembali semula kepada keluarga
asalnya iaitu Adrianus Petus Hertogh dan kembali memeluk agama Kristian.
Natrah yang telah dibesarkan oleh ibu angkatnya Aminah telah dikahwinkan
dengan Mansor Adabi semasa berusia 14 tahun dan kemudian ibu bapa kandungnya telah
menuntut semula Natrah dengan menggunakan perundangan Barat.40 Keputusan
Mahkamah Tinggi Singapura yang menyatakan bahawa Natrah perlu kembali semula
kepada keluarga asalnya serta kembali memeluk Kristian dilihat oleh Dr. Burhanuddin
sebagai satu penghinaan dan pencabulan kepada agama Islam dan maruah orang Islam.
Dr. Burhanuddin telah menggunakan akhbar Melayu Raya untuk membantah keputusan
Mahkamah Tinggi Singapura bersama dengan rakan-rakanya dari PKMM. Bantahan Dr.
38 Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999, hlm. 137.
39 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 103.
40 Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999, hlm. 136.

14

Burhanuddin dan rakan-rakannya telah menjadi sebuah gerakan politik Melayu yang
penting pada tahun 1950.
Satu Jawatankuasa Tindakan Perkara Natrah juga telah ditubuhkan pada 14
Disember 1950 dengan Dr. Burhanuddin dan Abdul Muhamad sebagai tokoh-tokoh
utamanya.41 Antara tindakan yang diambil oleh jawatankuasa ini termasuklah
mengadakan tunjuk perasaan yang membawa kepada pertempuran di antara anggota polis
dan orang ramai serta penangkapan Dr. Burhanuddin sendiri. Rentetan daripada
penangkapan itu, Dr. Burhanuddin telah dipenjarakan di Pulau Sekijang iaitu berhampiran
dengan Singapura dan beliau dibebaskan pada awal tahun 1952 dengan syarat beliau tidak
lagi boleh melibatkan diri dalam sebarang kegiatan politik. 42 Berikutan itu, sebaik sahaja
dibebaskan Dr. Burhanuddin telah memberikan tumpuan kepada kedoktoran homeopati
yang dijalankan oleh beliau sebelum ini.
PERJUANGAN

DALAM

KONGRES

PEMUDA

MELAYU

SE-MALAYA

(KPMSM)
Selepas dibebaskan dari tahanan, Dr. Burhanuddin telah dijemput menghadiri
Kongres Pemuda Melayu Se-Malaya (KPMSM) yang diadakan pada 8 April 1955 dengan
tujuannya melahirkan satu barisan depan menentang UMNO dan Perikatan dalam Pilihan
Raya Persekutuan pada tahun 1955.43 Melalui kongres tersebut, lahir sebuah persatuan
politik iaitu Barisan Kebangsaan Melayu (BKM) yang dibentuk pada 10 April 1955 dan
Dr. Burhanuddin telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Kongres
manakala Ishak Haji Mohamad dilantik sebagai naibnya, Dato’ Onn dilantik sebagai
bendahari, Abdul Wahab Majid dilantik sebagai setiausaha serta Zulkifli Mohamad

41 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 105.
42 Abdullah Zakaria Ghazali dan Adnan Haji Nawang (editor), Biografi Tokoh Pilihan Malaysia, Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1997, hlm. 30-31.
43 Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999, hlm. 137.

15

sebagai ketua jawatankuasa politik.44 Kongres ini telah menggunakan ikrar ‘satu bangsa,
satu negara dan satu agama’ untuk mencapai tujuan iaitu menyatukan seluruh tenaga
pemuda Melayu bagi membentuk kebangsaan Melayu.
Pada bulan yang sama, kongres ini juga telah melantik Dr. Burhanuddin sebagai
wakil mereka ke Persidangan Afro-Asia yang diadakan di Bandung. 45 Persidangan ini
merupakan satu persidangan negara-negara Asia yang memilih dasar berkecuali dalam
hubungannya dengan negara-negara luar. Tujuan persidangan ini juga adalah untuk
menganjurkan forum antarabangsa bagi negeri-negeri yang masih terjajah supaya dapat
berbincang dan mencari langkah yang wajar bagi tindakan politik mereka. Semasa beliau
berada di Bandung, beliau telah bertemu dengan Ibrahim Haji Yaacob iaitu sahabat
lamanya. Pertemuan ini mengeratkan semula perhubungan politik yang telah terputus dan
juga dapat menghasilkan satu ikatan serta persefahaman politik yang baru. Kehadiran Dr.
Burhanuddin dalam persidangan tersebut telah membangkitkan perasaan berpolitik yang
begitu menggalakkan orang Melayu di luar UMNO dan beliau dilihat sebagai seorang
pemimpin yang berusaha untuk memerdekakan Tanah Melayu dengan kemampuannya
yang ada iaitu mencari simpati masyarakat antarabangsa.46 Dalam KPMSM juga, Dr.
Burhanuddin dilihat telah berjaya merapatkan dan menguatkan lagi sokongan Indonesia
terhadap kegiatan politiknya di Tanah Melayu. Beliau juga diiktiraf oleh parti-parti politik
Indonesia sebagai seorang tokoh politik di Tanah Melayu yang bersifat dinamik.
PERJUANGAN DALAM PARTI RAKYAT MALAYA (PRM)
Disebabkan oleh kredibiliti kepimpinan Dr. Burhanuddin yang ramai sedia
maklum, beliau telah didesak oleh beberapa orang pemimpin radikal seperti Ishak Haji
Mohamad, Harun Mohamad Amin dan A. M. Azahari untuk menubuhkan sebuah parti
44 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 117-119.
45 Talib Samat, Kenali Tokoh Berjasa, Kuala Lumpur: Pekan Ilmu Publications, 2010, hlm. 223.
46 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 130.

16

baru bagi kegiatan politik mereka. Oleh yang demikian, sebaik sahaja British bertindak
membebaskan tahanan-tahanan politik termasuk Ahmad Boestamam pada tahun 1955, Dr.
Burhanuddin telah merancang untuk menubuhkan Parti Rakyat Malaya (PRM) bersamasama dengan Ahmad Boestamam pada 11 November 1955. 47 Dalam PRM, Dr.
Burhanuddin boleh dianggap sebagai individu utama yang mencetuskan idea penubuhan
PRM. Walaupun Dr. Burhanuddin tidak menjadi anggota parti, beliau telah menerima
jawatan sebagai Penasihat PRM dan pengaruhnya dalam kalangan anggota PRM adalah
besar sehingga kebanyakan isu dan keputusan parti dirujuk kepada beliau sebelum
dirumus.48
Jawatan Presiden PRM pula disandang oleh Ahmad Boestamam setelah mendapat
persetujuan bersama dengan Dr. Burhanuddin. Dr. Burhanuddin tidak mahu menyandang
jawatan pemimpin tertinggi dalam PRM kerana beliau ingin mengumpulkan golongan
nasionalis dan agama, supaya golongon-golongan ini akan menyokong PRM dengan
kepimpinan yang telah ditetapkan. Namun begitu terdapat juga penulisan yang
menyatakan bahawa tindakan Dr. Burhanuddin untuk tidak terlibat sebagai pemimpin
tertinggi PRM adalah kerana beliau takut pisang berbuah dua kali. 49 Hal ini bermaksud
bahawa Dr. Burhanuddin bimbang sekiranya beliau menyandang jawatan tertinggi dalam
PRM, pimpinan beliau akan dicemari dengan campur tangan pemimpin radikal Melayu
lain seperti yang berlaku semasa beliau memegang jawatan sebagai Yang Di Pertua
PKMM.

47 Talib Samat, Kenali Tokoh Berjasa, Kuala Lumpur: Pekan Ilmu Publications, 2010, hlm. 223.
48 Abdullah Zakaria Ghazali dan Adnan Haji Nawang (editor), Biografi Tokoh Pilihan Malaysia, Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1997, hlm. 32.
49 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 136.

17

PERJUANGAN DALAM PARTI ISLAM SE-MALAYA (PAS)
Walaupun Dr. Burhanuddin merupakan antara tulang belakang yang melahirkan
PRM akan tetapi beliau dilihat masih lagi tidak bertemu dengan sebuah parti yang boleh
dikatakan secocok dengan jiwa serta perjuangan beliau. Kesempatan inilah yang diambil
oleh PAS dengan membawa Dr. Burhanuddin menjadi pemimpin parti mereka.
Sebenarnya, kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23
Ogos 1951 apabila para ulama yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan
sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulama Se-Malaya yang kemudiannya
diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu
persidangan ulama Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. 50 PAS
sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan orang Islam di Tanah Melayu
pada ketika itu tidak berkembang dengan begitu cemerlang kerana faktor kelemahan
kepimpinannya.
Oleh yang demikian, tindakan membawa masuk Dr. Burhanuddin untuk dijadikan
sebagai pemimpin PAS adalah langkah yang disifatkan sebagai terbaik bagi mengatasi
masalah tersebut. Semasa persidangan PRM di Ipoh pada 10 November 1956, Dr.
Burhanuddin telah dilamar oleh pucuk pimpinan PAS secara rasmi iaitu melalui Haji
Wahab Nur yang telah mengemukakan hal ini kepada Dr. Burhanuddin sendiri. 51 PAS
juga dilihat begitu bersungguh untuk mendapatkan khidmat Dr. Burhanuddin sebagai
pemimpin mereka. Hal ini dapat dilihat apabila beberapa orang delegasi PAS telah
menemui Dr. Burhanuddin yang ketika itu berada di Kampung Pacitan, Singapura dan
hasilnya Dr. Burhanuddin telah bersetuju menjadi anggota PAS pada 14 Disember 1956

50 http://www.tarbawi.my/p/sejarah-perjuangan-parti-islam-se.html (tarikh diakses 6 Nov. 2016).
51 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 138-139.

18

sebelum dilantik menjadi Yang Di Pertua Agung PAS dalam Mesyuarat Agung Tahunan
PAS Kelima pada 25 Disember 1956.52
PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin banyak mengkritik kerajaan Parti
Perikatan dalam usahanya menuntut kemerdekaan. Sebagai contoh PAS telah
menganjurkan Kongres Melayu Yang Kedua pada Mac 1957 yang bertujuan untuk
membahas serta menolak dasar kerakyatan jus soli, menuntut supaya Bahasa Melayu
didaulatkan sebagai bahasa rasmi negara dan menegaskan dasar persamaan hak politik
bagi semua warganegara.53 Namun begitu apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan
pada 31 Ogos 1957, Dr. Burhanuddin dan PAS terpaksa akur dan tunduk dengan
kehendak serta sokongan rakyat Tanah Melayu yang berbilang bangsa terhadap Parti
Perikatan. Walaubagaimanapun, Kehadiran Dr. Burhanuddin dalam PAS sememangnya
tidak dapat dinafikan telah membawa kecemerlangan kepada parti tersebut.
Hal ini dapat dibuktikan apabila PAS cemerlang dalam pilihan raya umum tahun
1959 kerana dapat menawan Kelantan dan Terengganu.54 Pada masa yang sama juga, Dr.
Burhanuddin sendiri telah memenangi kawasan Parlimen Besut dan berjaya menjadi salah
seorang daripada 13 orang wakil PAS bagi mengisi kerusi parlimen. Beliau diberi
kepercayaan untuk menjadi Ahli Parlimen sehingga tahun 1964 dan sepanjang tempoh
masa tersebut, beliau dilihat begitu lantang menentang kerajaan terutamanya apabila idea
Malaysia dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman. Beliau masih lagi mendukung ideologi
Melayu Raya yang sering diperjuangkannya sejak sekian lama akan tetapi cita-citanya
yang besar itu tidak terlaksana dan dilihat telah gagal apabila Malaysia ditubuhkan pada
16 September 1963 dengan menggabungkan negeri-negeri jajahan takluk British di

52 Abdullah Zakaria Ghazali dan Adnan Haji Nawang (editor), Biografi Tokoh Pilihan Malaysia, Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1997, hlm. 33.
53 Abdullah Zakaria Ghazali dan Adnan Haji Nawang (editor), Biografi Tokoh Pilihan Malaysia, Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1997, hlm. 34.
54 Talib Samat, Kenali Tokoh Berjasa, Kuala Lumpur: Pekan Ilmu Publications, 2010, hlm. 224.

19

Borneo, Singapura serta Persekutuan Tanah Melayu.55 Pada bulan Mac 1964 perkara tidak
baik berlaku terhadap PAS dan Dr. Burhanuddin apabila beliau telah dituduh pecah
amanah oleh mahkamah dan didapati bersalah serta didenda sebanyak $25 000.00 kerana
menjalankan tugas sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Malay-German Shipping
Company secara haram.56 Rentetan itu, beliau tidak lagi boleh menjadi Ahli Parlimen PAS
dan secara tidak langsung imej beliau sebagai pejuang rakyat turut tercemar.
KESIMPULAN
Keadaan Dr. Burhanuddin boleh diibaratkan seperti jatuh ditimpa tangga apabila
pada bulan Januari 1965 beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
kerana dituduh terlibat dalam satu plot untuk menentang Malaysia. 57 Beliau dituduh
terlibat dalam usaha menubuhkan National Front bagi membantu Indonesia serta terlibat
dalam pembentukan kerajaan buangan di Indonesia. Segala tuduhan terhadap Dr.
Burhanuddin telah dimuatkan dalam Kertas Putih Kerajaan yang bertajuk A Plot Is
Exposed.58 Menurut laporan tersebut, beliau dikatakan bersama dengan beberapa anggota
pembangkang lain seperti Dato’ Raja Abu Hanifah, Aziz Ishak, Ishak Haji Mohamad dan
Nazar Nong telah bekerjasama dengan ejen-ejen serta kerajaan Indonesia untuk
membantutkan Malaysia yang baru ditubuhkan. Beliau berada dalam tahanan kira-kira
setahun dan dibebaskan pada 14 Mac 1966.
Kesihatan Dr. Burhanuddin selepas peristiwa itu semakin memburuk dan kerajaan
Malaysia di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman telah memberikan jasa baiknya untuk
mendapatkan rawatan perubatan di Australia sebelum Dr. Burhanuddin meninggal dunia
pada tanggal 10 Oktober 1969 di rumah isterinya iaitu Puan Cik Suri Bt. Yahaya di

55 Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999, hlm. 141.
56 Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1996, hlm. 225.
57 Kamarudin Jaafar, Dr. Burhanuddin Al-Helmy Pemikiran dan Perjuangan, Kuala Lumpur: Ikdas Sdn.
Bhd., 2000, hlm. 8.
58 Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999, hlm. 141.

20

Taiping, Perak.59 Dengan itu, berakhirlah tirai perjuangan seorang Burhanuddin yang
lebih mesra disapa dengan gelaran ‘Pak Doktor’. Sememangnya perjuangan politik
seorang Burhanuddin Al-Helmy adalah panjang dan penuh liku untuk disimpulkan.
Penglibatan Dr. Burhanuddin sejak dari awal melalui KMM sehinggalah membawa
kepada PAS bukanlah memakan satu jangka masa yang pendek dan sudah tentu
perjuangan beliau tidak boleh dipandang sebelah mata.
Walaupun perdebatan mengenai status beliau sama ada wajar digelar sebagai
seorang nasionalis ataupun tidak masih tidak mendapat kesepakatan, namun ianya bukan
suatu yang perlu dijadikan fokus utama. Apa yang lebih penting ialah ketokohan politik
dan kredebiliti dalam kepimpinan yang ditonjolkan oleh beliau dalam setiap persatuan
serta parti yang disertainya. PKMM dan PAS merupakan dua buah parti yang menyerlah
semasa di bawah pimpinannya. PKMM di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin walaupun
pada dasarnya tidak berjaya mendapat sokongan penduduk Tanah Melayu seperti UMNO
namun kewujudannya sedikit sebanyak dapat membuka mata pelbagai pihak terutamanya
British tentang wujudnya golongan radikal Melayu yang sentiasa bersemangat dalam
usaha memerdekakan tanah air mereka. PAS pula merupakan parti politik yang paling
menyerlah semasa berada di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin dan kenyataan ini diakui
oleh banyak pihak.
Kehadiran beliau di dalam PAS dilihat membawa sinar dan pengharapan untuk
PAS terus berdiri dan menjadi pengkritik utama setiap tindakan kerajaan Persekutuan.
Tidak kira apa sahaja parti politik yang dianggotai oleh Dr. Burhanuddin, ideologi
kebangsaan Melayunya tetap dibawa dan diperjuangkan. Beliau merupakan putera tanah
air yang menghabiskan sebahagian dari usianya untuk memperjuangkan ideologi
kebangsaan Melayu bersama dengan aspirasi bangsa dan cita-citanya untuk melihat
59 Abdullah Zakaria Ghazali dan Adnan Haji Nawang (editor), Biografi Tokoh Pilihan Malaysia, Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1997, hlm. 37.

21

bangsa Melayu muncul sebagai bangsa terbesar di dunia ini. Kenyataan ini sangat cocok
dengan gelaran ‘Bapa Kebangsaan Melayu’ yang diberikan kepadanya oleh sahabat beliau
Ahmad Boestamam. Walaupun ada sesetengah pendapat menyatakan bahawa Dr.
Burhanuddin kecundang dalam perjuangannya akibat memilih ideologi politik radikal
namun perjuangan beliau selaku tokoh politik yang bersifat pragmatik telah membawa
kesan yang sangat mendalam kepada masyarakat dan agama serta wajar diberi
penghormatan dan penghargaan.

RUJUKAN

22

Abdullah Zakaria Ghazali dan Adnan Haji Nawang (editor), Biografi Tokoh Pilihan
Malaysia, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1997.
Kamarudin Jaafar, Dr. Burhanuddin Al-Helmy Pemikiran dan Perjuangan, Kuala
Lumpur: Ikdas Sdn. Bhd., 2000.
Mohd Syakir Mohd Rosdi, ‘Dr. Burhanuddin Al-Helmi Dan Pembangunan Ekonomi
Politik Islam Di Malaysia,’ Disertasi Sarjana, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan,
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2010.
Muhd. Yusof Ibrahim, Sejarawan dan Persejarahan Melayu : Tradisi dan Transformasi,
Kuala Lumpur: Tinta Publishers, 2011.
Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1996.
Ramlah Adam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy : Kajian Mengenai Kegiatannya Dalam
PKMM 1946-1948, Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 1993.
Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
1999.
Talib Samat, Kenali Tokoh Berjasa, Kuala Lumpur: Pekan Ilmu Publications, 2010.
Zainal Abidin Abdul Wahid, et al., Malaysia Warisan dan Perkembangan, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992.
http://www.tarbawi.my/p/sejarah-perjuangan-parti-islam-se.html (tarikh diakses 6 Nov. 2016).

23