MODUL POTENSI CEMERLANG BAHASA MELAYU SPM KERTAS 2

1

Set 1

MODUL POTENSI CEMERLANG SPM 2017

BAHASA MELAYU
Kertas 2
2 jam 30 minit

JANGAN BUKA KERTAS SOALAN INI SEHINGGA DIBERITAHU

1. Kertas soalan ini mengandungi empat soalan.
2. Jawab semua soalan.
3. Jawapan bagi soalan 2(b), soalan 2(c), soalan (2d) dan soalan 4 berdasarkan teks
komponen Kesusasteraan Melayu Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.
4. Jawapan anda hendaklah ditulis dalam buku jawapan yang disediakan. Sekiranya
buku jawapan tidak mencukupi, sila dapatkan helaian tambahan daripada pengawas
peperiksaan.
5. Jawapan boleh ditulis dalam tulisan Rumi atau Jawi.


Modul Potensi Cemerlang Bahasa Melayu SPM Kertas 2 (1103/2)

Set 1

2

Soalan 1 : Rumusan
(30 markah)
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang perkara-perkara
yang perlu dilakukan ketika berlakunya jerebu dan punca-punca masyarakat kurang
prihatin akan kesan jerebu. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah
perkataan.

Jerebu merupakan satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan partikel-partikel
kecil yang terapung-apung di udara dan tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Partikel-partikel
ini terjadi sama ada secara semula jadi atau kesan daripada aktiviti manusia. Apabila partikel
ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompak akan terhasil jerebu yang
mengundang pelbagai masalah kesihatan. Sekiranya hal ini terjadi, masyarakat perlu sentiasa
berada di dalam bangunan atau rumah.
Punca utama berlakunya jerebu ialah akibat aktiviti pembakaran secara terbuka.

Misalnya, pembakaran hutan untuk tujuan pertanian atau kebakaran hutan yang berlaku
disebabkan kecuaian manusia dan pembakaran sampah secara terbuka. Tahap bahaya jerebu
ditentukan berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU), iaitu semakin tinggi IPU semakin
berbahaya kepada kesihatan manusia. Oleh itu, masyarakat diminta supaya memakai alat
penutup hidung ketika berlakunya jerebu. Sekiranya bacaan IPU meningkat ke tahap bahaya
masyarakat dicadangkan agar bercuti ke kawasan yang lebih selamat.
Pelepasan asap kenderaan di jalan raya juga menjadi penyumbang kepada masalah
jerebu. Kandungan asap yang terdiri daripada gas-gas seperti karbon monoksida, sulfur
monoksida dan nitrogen monoksida boleh menjejaskan kesihatan. Pengguna kenderaan
seharusnya menggunakan alat pendingin hawa ketika berada di jalan raya bagi
mengurangkan risiko terhidu udara yang tercemar. Selain itu, pelepasan asap tanpa kawalan
oleh kilang-kilang turut memburukkan lagi keadaan. Kandungan bahan kimia dalam jerebu
boleh menyebabkan penyakit paru-paru, sesak nafas, darah tinggi, sakit mata dan kegatalan
pada kulit. Untuk mengelakkan masalah kesihatan yang lebih serius, mereka perlu segera
mendapatkan rawatan di klinik atau di hospital. Bagi mereka yang beriskio tinggi, khususnya
penghidap lelah diharapkan agar sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan oleh
pakar perubatan.
Pendedahan awal tentang kesan jerebu kepada kesihatan manusia amat penting. Oleh
itu, masyarakat perlu sedar akan bahaya bahan kimia yang terkandung dalam jerebu yang
masuk ke dalam tubuh badan. Hal ini demikian kerana bahan tersebut boleh menjejaskan

kesihatan dalam jangka masa panjang. Sehubungan dengan itu, orang ramai hendaklah
sentiasa membersihkan anggota badan yang terdedah kepada jerebu dengan menggunakan
air bersih. Masyarakat juga disarankan agar banyak minum air dan mengelakkan diri daripada
melakukan aktiviti luar sekiranya kawasan mereka dilanda jerebu.

Modul Potensi Cemerlang Bahasa Melayu SPM Kertas 2 (1103/2)

Set 1

3

Sesungguhnya, fenomena jerebu mengundang pelbagai masalah yang menjejaskan
kehidupan. Oleh itu, masalah jerebu ini perlu ditangani dan pada masa yang sama,
masyarakat perlu peka terhadap penjagaan kesihatan ketika berlakunya jerebu.
Dipetik dan diubah suai daripada
“Jerebu Oh Jerebu‟
Generasi Pengguna , Jun 2013

Soalan 2 : Pemahaman
[35 markah]

Soalan 2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan
ayat anda sendiri.

(i)

Berikan maksud rangkai kata mengurangkan risiko.

(ii)

Pengarang menyatakan bahawa terdapat beberapa faktor yang menyebabkan
berlakunya jerebu.
Nyatakan faktor-faktor tersebut.

[2 markah]

[3 markah]

(iii) Berdasarkan pengetahuan anda, jelaskan cara-cara yang berkesan untuk
menghebahkan bahaya jerebu.

[4 markah]

Modul Potensi Cemerlang Bahasa Melayu SPM Kertas 2 (1103/2)

Set 1

4

Soalan 2 (b) – Petikan Prosa Moden
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Minggu-minggu pertama saya berada di kota mewah ini, dapat saya saksikan
kerapuhan jiwa anak-anak muda sebangsa saya. Mereka dihanyutkan keseronokan hidup
dengan memperdagangkan maruah dan peribadi. Saya berasa jelik dan aib menyaksikan
adegan sumbang wajah-wajah anak muda peribumi tanah air ini yang tidak segan silu
menjual bahasa ibunda dan merosakkan agama yang murni. Anak-anak muda lelaki
perempuan berpelesiran dalam pergaulan bebas sambil bercakap dalam bahasa yang entah
apa-apa. Mereka bergelak tawa dalam loghat yang direka-reka konon untuk menunjukkan
kemodenan. Saya jadi keliru dengan setiap patah slanga dan klausa yang tidak saya faham.

Ada yang menggunakan pelbagai istilah rojak yang dicampuradukkan dengan bahasa asing
yang mengelirukan. Saya jadi buntu. Malah berasa malu dengan sikap dan gelagat anak-anak
muda sebangsa saya yang telah hilang identiti dan jati diri di negara mewah ini.
Hampir beberapa purnama, saya tidak bertemu Munsyi di perkampungan pinggir kota
ini. Suatu hari, saya terhidu perkhabaran tentang rancangan sebuah syarikat perumahan
dengan kebenaran pengusaha kota untuk mengambil alih kampung tradisi yang didiami oleh
Munsyi serta lebih dua puluh buah rumah yang semuanya diduduki keluarga Melayu.
Khabarnya kawasan itu akan dibangunkan dengan pelbagai bangunan mewah serta hotel
bertaraf lima bintang. Penduduk diberikan tempoh beberapa hari untuk mengosongkan
premis mereka sebelum dirobohkan. Oleh sebab kesibukan tugas, saya tidak sempat menemui
lelaki tua itu.
Dipetik daripada cerpen „Munsyi‟
oleh Husna Nazri
dalam antologi Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul,
Kementerian Pendidikan Malaysia

(i)

Berdasarkan petikan di atas, mengapakah saya (Mel) berasa malu dengan gelagat
anak-anak muda sebangsanya?

[2 markah]

(ii)

Pada
pandangan anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk
memastikan kampung tradisi yang sedia ada di perkampungan pinggir kota dapat
dikekalkan?
[3 markah]

(iii) Jelaskan satu persoalan yang terdapat dalam petikan di atas dan satu persoalan yang
lain daripada cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.
[4 markah]

Modul Potensi Cemerlang Bahasa Melayu SPM Kertas 2 (1103/2)

Set 1

5


Soalan 2 (c) – Petikan Prosa Tradisional
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Hatta maka hari pun malamlah. Maka Kertala Sari pun masuk mencuri pula sebuah
rumah saudagar yang lain. Setelah sudah banyaklah ia beroleh harta, maka ia pun kembali
pada tempatnya pula. Dengan demikian habislah segala harta,saudagar yang kaya-kaya itu
dicurinya. Maka kata segala saudagar dan orang kaya-kaya itu pun masuk menghadap raja
berdatang sembah, “Ya tuanku, patik mohonkan ampun, adapun patik sekalian ini habis
kecurian tinggal sehelai sepinggang.”
Setelah baginda mendengar sembah orang itu, maka baginda pun terkejut seraya
menampar-nampar pahanya. Maka titah baginda, “Wah, datanglah pula bala atas negeriku!
Baiknya ada Laksamana; jikalau Laksamana kuutuskan ke negeri orang, binasalah negeri
ini.”
Maka baginda pun bertitah kepada Temenggung, “Hai Temenggung, suruh orang
berkawal dan segala saudagar berkawal pada kampungnya!” Maka Temenggung pun
menyuruhkan orang berkisah orang kaya-kaya dan saudagar berkawal pada kampungnya.
Setelah hari malam, maka Temenggung pun menyuruh orangnya berkawal, terlalu banyak
dengan lembing perisai dan segala saudagar pun masing-masing berkawal pada kampungnya.
Dipetik daripada „Kepimpinan Melalui Teladan‟

dalam antologi Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul,
Dewan Bahasa dan Pustaka.

(i) Berikan maksud rangkai kata datanglah pula bala .

[2 markah]

(ii) Berdasarkan petikan di atas, nyatakan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh
Temenggung selepas mendapat titah daripada baginda.
[3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, mengapakah baginda menitahkan kegiatan kecurian itu perlu
dibanteras dengan segera?
[3 markah]

Modul Potensi Cemerlang Bahasa Melayu SPM Kertas 2 (1103/2)

Set 1

6


Soalan 2 (d) – Sajak
Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.

ERTI HIDUP BERERTI
Aku selalu didatangi
malam sepi
bagai kalung
yang melingkari leherku
tidak berubah keesokan hari
siapa yang akan datang menjengukku
keluhan seorang tua sunyi
Keheningan tasik
kehijauan rumput
hanya menjadi bayangan
di penjuru ruang zaman
cinta dalam rahim dilupai
dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik
kucari erti hidup

menderita mengerang sakit
berdiri tanpa ruang.
Aku bagi mereka
tiada makna
anakku bakaku
baik setia mahupun derhaka
semoga disirami benih keinsafan
menjadi penawar dalam hati
embun cinta atasi angin dingin
jangan terpegun
ada yang mati
ada yang hidup
tiada yang kekal lecuali Tuhan.
TEO WEI SING
Antologi Sejadah Rindu
Dewan Bahasa dan Pustaka
(i)

Berdasarkan rangkap pertama, bagaimanakah keadaan hidup seorang tua dalam
sajak di atas?
[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, sebagai seorang jiran, apakah tanggungjawab anda terhadap jiran
anda yang telah tua dan tinggal keseorangan
[3 markah]
(iii)

Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam sajak di atas.

Modul Potensi Cemerlang Bahasa Melayu SPM Kertas 2 (1103/2)

[4 markah]
Set 1

7

Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
[30 markah]
Jawab semua soalan.
(a)

Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda
faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan
atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i)

budi bicara

(ii)

garis panduan

(iii)

hak cipta

(iv)

lut sinar

(v)

tingkah laku

(vi)

usaha sama
[6 markah]

(b) Nyatakan pola bagi ayat-ayat di bawah sama ada Frasa Nama + Frasa Nama (FN +
FN), Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK), Frasa Nama + Farasa Adjektif (FN +
FA) atau Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (FN + FS).

( i)

Kakak ipar saya pelukis terkenal di bandar itu

(ii)

Bunga Mawar Merah itu untuk Cikgu Siti sempena hari jadinya.

(iii)

Pihak bomba telah memadam kebakaran yang berlaku di taman itu.

(iv)

Menara Berkembar Petronas sangat indah reka bentuknya.

(v)

Pasukan bola sepak kampung kami menjalani latihan untuk menyertai
pertandingan peringkat daerah.

vi) Tudung saji di atas meja itu daripada daun mengkuang.
[6 markah]

Modul Potensi Cemerlang Bahasa Melayu SPM Kertas 2 (1103/2)

Set 1

8

(c) Dalam petikan di bawah, terdapat tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan
penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda
tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan
penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.

Aktiviti sukan dapat mempupuk perpaduan antara kaum. Semasa bersukan,
kanak-kanak dan remaja yang berbilang bangsa dapat berinteraksi dan saling
memahami antara satu sama lain. Aktiviti sukan juga dapat menenang fikiran setelah
penat bekerja disamping dapat mengurangkan tekanan dan dapat mengisi masa
lapang. Dengan ini, remaja dapat menghindari diri daripada gejala negetif seperti
merokok dan vandalism.
[6 markah]
(d) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau
istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahankesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu
kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin
ayat itu semula.
i)

Pihak sekolah akan menerima semula pelajar yang telah dibuang sekolah
bertujuan memberikan ketakutan kepada pelajar lain.

(ii)

Encik Naqib menerangkan tentang faedah aktiviti kitar semula yang dapat
mengatasi masalah kekurangan tapak penghapusan sampah.

(iii)

Peserta yang paling hebat sekali dalam persembahan itu telah dipilih sebagai
pemenang dalam pertandingan yang menyediakan peruntukan yang lumayan.
[6 markah]

Modul Potensi Cemerlang Bahasa Melayu SPM Kertas 2 (1103/2)

Set 1

9

(e) Isi tempat-tempat kosong dalam petikan di bawah dengan peribahasa yang sesuai.

(i) Sebagai pekerja baharu di sebuah syarikat korporat, Azim tidak malu bertanya
kepada ketuanya tentang apa-apa perkara yang tidak diketahuinya. Tindakan Azim itu
adalah untuk mengelakkannya daripada melakukan kesilapan semasa melaksanakan
tugas. Azim berpegang pada konsep peribahasa ………………………….
(ii) Kita sedia maklumn bahawa tenaga fizikal kaum wanita tidak sekuat kaum lelaki.
Namun begitu wanita juga mempunyai kelebihan yang tersendiri. Mereka berupaya
mendidik anak-anak menjadi insan yang hebat. Keadaan ini bertepatan dengan
peribahasa………
(iii) Riduan merupakan seorang profesor di sebuah universiti terkemuka di dalam negara.
Dia begitu mementingkan pendidikan anak-anaknya agar memiliki pengetahuan dan
pemikiran yang moden. Walaupun begitu, Hamid juga akan memastikan anakanaknya tidak lupa mengamalkan adat dan nilai tradisoanal masyarakat Melayu.
Tindakan Riduan ini menepati peribahasa …..
[6 markah]

Modul Potensi Cemerlang Bahasa Melayu SPM Kertas 2 (1103/2)

Set 1

10

Soalan 4 : Novel
[15 markah]
Jawab soalan- soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

(i)

Pantai Kasih karya Azmah Nordin

(ii)

Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor

(iii)

Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib

(iv)

Jendela Menghadap Jalan karya Rohani Matdarin

(v)

Tirani karya Beb Sabariah

(vi)

Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop

(vii)

Silir Daksina karya Nizar Parman

(viii)

Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip

(a) Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang
dapat dijadikan teladan dalam novel tersebut.
[7 markah]

(b) Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, huraikan satu persoalan tentang
kegigihan yang terdapat dalam novel tersebut.
[8 markah]

KERTAS SOALAN TAMAT

Modul Potensi Cemerlang Bahasa Melayu SPM Kertas 2 (1103/2)

Set 1