PRODUK MAKANAN ORGANIK MENSEJAH TERAKAN

“PRODUK MAKANAN ORGANIK MENSEJAHTERAKAN KEHIDUPAN
MANUSIA”
PENGENALAN
Setiap manusia di muka bumi ini memerlukan makanan untuk meneruskan kehidupan. Namun
dalam arus pemodenan pada masa kini, syarikat-syarikat pengeluar produk makanan semakin
alpa tentang kandungan yang terdapat dalam produk makanan tersebut. Misalnya, Racun
perosak yang digunakan dalam industri pertanian mampu menyumbang kepada peningkatan
bahan kimia di dalam tubuh badan manusia. Lantaran dari kesedaran peri pentingnya nilai
kehidupan dalam diri manusia dan juga alam sekitar, telah timbul satu industri yang
dipercayai mampu memberikan hidup yang lebih harmoni dan sejahtera kepada manusia.
Industri yang mampu memberikan gaya hidup sihat kepada pengguna diperkenalkan sebagai
produk organik. Menurut Kamus Dewan Edisi empat (2007), organik ditakrifkan sebagai
bahan bukan kimia yang mengandungi unsur karbon dan juga tanaman yang tidak
menggunakan baja daripada sumber haiwan atau tumbuhan iaitu bukan daripada bahan kimia
buatan. Jadi tidak menghairankan sekiranya produk organik kian mendapat tempat di hati
pengguna pada masa kini. Eisha Dunn – Georgion (2002) menyatakan trend untuk
mendapatkan makanan dan produk yang diyakini selamat kepada diri dan alam sekitar
semakin meluas. Faktor gaya hidup dan kesedaran tentang kesan bahan kimia terhadap produk
yang digunakan menjadikan produk organik pilihan ramai pengguna di Malaysia.
Menurut Ong Kung Wai (2006), kerajaan Malaysia amat yakin bahawa prospek masa depan
produk organik di dalam pasaran akan meningkat. Dalam Rancangan Malaysia ke-9 (20062010), kerajaan telah menjangkakan permintaan terhadap produk organik akan meningkat

sebanyak 20 peratus setiap tahun dan mampu memberikan keuntungan kepada industri

organik sebanyak 210 juta USD dalam tempoh 5 tahun. Menteri pertanian juga telah
merancang pelbagai strategi untuk menambah keluasan tanah bagi perusahaan produk
organik. Perancangan bagi memperluaskan kawasan perusahaan organik ini haruslah
mendapat sokongan pengguna yang ingin menikmati hasil produk yang terbaik. Seterusnya,
kerajaan mengharapkan agar perusahaan organik yang semakin berkembang ini turut
mendapat kejasama daripada masyarakat.
Bahan Kimia menjadi Penyebab Kanser
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Kanser Kebangsaan menyatakan
bahawa hampir 70, 000 kes baru bagi penyakit kanser di diagnosis dikalangan rakyat
Malaysia antara tahun 2003 dan 2005 (MAKNA, 2013). World Health Organization (WHO)
juga menyatakan kanser menjadi penyebab utama kematian di dunia kerana dianggarkan kirakira 13 pertaus kematian pada tahun 2008 adalah disebabkan kanser (Globocan 2008, IARC
2010). Punca sebenar penyakit kanser masih belum dikenalpasti, namun beberapa penyebab
yang boleh dikenalpasti ialah melalui pendedahan terhadap sinaran ultra ungu yang
berlebihan, jangkitan melalui virus-virus tertentu serta pendedahan terhadap bahan kimia yang
boleh melibatkan pencemaran makanan dan air minuman.
Oleh hal yang demikian, World Health Organization (November 2011) dalam artikel
‘Persistent Organic Pollutants’ menyatakan bahan pencemar organik secara berterusan telah
menjadi kebimbangan global kerana bahan ini memberi kesan negatif yang amat ketara ke

atas kesihatan manusia dan alam sekitar. Kini, manusia sangat terdedah kepada bahan kimia
yang dapat diserap melalui makanan yang dimakan, malahan juga melalui udara yang dihidu
di dalam rumah, di luar rumah serta di tempat kerja. David c.Dugdale (2012) menyatakan,
pendedahan bahan kimia terhadap manusia menyumbang kepada peningkatan risiko kanser,
gangguan pembiakan, perubahan sistem imun dan kecatatan kelahiran yang meningkat.

KEPENTINGAN PRODUK ORGANIK
Produk organik mengurangkan risiko terhadap pendedahan penyakit-penyakit kronik
Terdapat pelbagai jenis bahan dalam pembajaan dan penyuburan tanah serta bahan kawalan
perosak dan penyakit tumbuhan yang digunakan bagi menghasilkan sesuatu produk makanan.
Bahan-bahan seperti mineral kalium, magnesium sulfat, natrium klorida dan bahan
berunsurkan mikro seperti zink digunakan sebagai bahan dalam pembajaan dan penyuburan
tanah. Bagi menghasilkan tanaman yang berkualiti, pelbagai kaedah dilakukan oleh petani.
Petani yang berorientasikan keuntungan semata akan mengabaikan keharmonian alam dan
manusia. Bahan-bahan kimia digunakan sewenang-sewenangnya dalam pemprosesan tanaman
tersebut. (Winnie Lau,2008)
Justeru, dalam jangka masa yang panjang, bahan kimia tersebut bakal mengundang risiko
pelbagai penyakit kepada manusia dan seterusnya melemahkan sistem imunisasi manusia.
Dalam penghasilan produk makanan organik, petani hanya menggunakan baja kompus iaitu
baja yang dihasilkan menerusi sistem pereputan secara semulajadi. (Brian Halweil, 2001)

Produk organik mampu melindungi generasi masa hadapan
Secara umumnya, bayi dan kanak-kanak berisiko lebih tinggi dalam pendedahan kepada
produk berasaskan bahan kimia. Tahap antibodi badan orang dewasa lebih kuat berbanding
tahap antibodi badan kanak-kanak. Sekiranya kanak-kanak terus menerus didedahkan dengan
produk yang berasaskan bahan kimia yang banyak dalam makanan mereka, sudah tentu sistem
imunisasi badan tidak mampu untuk bertahan lebih lama. Seterusnya kesan kepada negara
sekiranya kanak-kanak menghadapi pelbagai penyakit serius yang boleh membawa kepada
kematian.(Winnie Lau, 2008).

Lantaran itu, kesan yang baik dari penggunaan produk organik ini tidak sewajarnya dilihat
sebagai hiasan di pasaran semata-mata. Kaedah penanaman organik ini mampu mengubah
kehidupan manusia menjadi lebih baik pada masa hadapan.
Rasa produk organik yang sangat hebat
Pentingnya produk makanan organik terhadap kehidupan manusia kerana rasa produk organik
yang sangat hebat yang telah diakui oleh pengguna produk organik. Kelebihan rasa dan kualiti
produk organik telah membawa kepada penambahan bilangan petani yang mengusahakan
produk organik khususnya dan seterusnya penambahan bilangan kedai yang berasaskan
produk organik.
Pembukaan kedai baru berasaskan produk organik seperti organic bistro dan organic shop
telah membuka mata segenap masyarakat yang dahagakan makanan sihat dan berkhasiat.

Organic bistro menawarkan makanan khususnya kepada individu vegetarian. Terdapat
pelbagai jenis menu sayur-sayuran organik yang boleh dijadikan pilihan kepada individu
vegetarian. Memandangkan kepelbagaian produk berasaskan organik telah berada di pasaran,
jadi tiada sebab untuk pengguna meragui keberkesanan produk organik terhadap kesihatan
mereka. (Winnie Lau, 2008)
Produk organik sangat berbaloi dan bukan kategori mahal
Tahap kesihatan manusia tiada tandingan nilainya. Jika kita membandingkan produk
kesihatan dengan nilai wang yang terpaksa dilaburkan, ianya amat tidak wajar. Begitu juga
halnya dengan produk makanan organik yang ada di pasaran. Sebagai seorang pengguna yang
bijak, mahal atau murah sesuatu produk itu bukanlah perkara yang harus dijadikan sebagai
satu isu yang besar. Keberkesanan produk terhadap kesihatan manusia amat dititikberatkan,
jika dinilai harga dengan kesihatan manusia, ianya sangat berbaloi untuk jangkamasa yang

panjang. Jika menjadi seorang jutawan sekalipun, seseorang itu masih tidak dapat menandingi
tahap kesihatan seseorang yang berada pada tahap baik tanpa sebarang penyakit kronik yang
merbahaya. Jika tubuh badan menderita sakit kronik, misalnya penyakit kanser, wang berjuta
akan lenyap begitu sahaja dalam usaha mengurangkan penderitaan kesakitan dan menyahkan
penyakit tersebut dalam tubuh badan seseorang. Hal ini berbeza bagi individu yang
melaburkan wang demi mendapatkan makanan yang berkhasiat bagi mencegah pelbagai
penyakit kronik yang tidak dapat disangka. Pencegahan awal harus dilakukan bagi

mendapatkan hidup yang lebih sempurna pada masa akan datang. Sempurnanya hidup
seseorang manusia adalah apabila dapat hidup bahagia dan harmoni disamping dapat
meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Bukanlah produk organik dapat memberi
jaminan bahawa pengguna tidak akan diserang penyakit kronik yang mengancam nyawa,
tetapi penggunaan produk ini sekurang-kurangnya telah mengurangkan risiko pelbagai
penyakit. Laburkan wang yang ada demi kesihatan yang sempurna pada masa akan datang.
Pelaburan ini akan berbaloi dan anda akan mengakuinya apabila tiba saatnya nanti.
Produk Organik mampu melindungi kesihatan pekerja di ladang
World Health Organization (WHO) menganggarkan racun perosak sintetik akan meracun tiga
juta orang setiap tahun. Angka tersebut amat menakutkan dan membimbangkan banyak pihak.
WHO juga menjangkakan 20,000 kematian dikalangan pekerja pertanian. Pekerja pertanian
berisiko tinggi kerana mereka ialah individu yang hampir dengan bahan-bahan kimia tersebut
semasa proses penanaman dan pengeluaran produk tanaman. Mahu atau tidak, pekerja
tersebut harus berhadapan dengan proses yang memerlukan mereka memegang dan menghidu
pelbagai jenis bahan racun perosak sintetik saban hari.(Brian Halweil, 2001)
Beberapa kajian dan tinjauan juga telah dibuat, (Manuel Handlechner, 2008) bagi
membandingkan sistem pertanian organik dan sistem pertanian konvensional. Penemuan

umum kajian ini menegaskan bahawa pertanian organik adalah kurang merosakkan alam
sekitar kerana beberapa faktor;

1) Ladang organik adalah lebih baik daripada ladang konvensional untuk mengekalkan
pelbagai ekosistem (haiwan serta populasi serangga dan tumbuh-tumbuhan).
2) Ladang organik tidak menggunakan racun perosak sintetik.oleh itu, racun tersebut
tidak dilepaskan terhadap alam sekitar. Sesetengah racun perosak sintetik boleh
merosakkan air, tanah dan hidupan liar daratan dan akuatik tempatan.
3) Pertanian organik menghasilkan sisa dan tenaga yang kurang.
Justeru itu, pengharmonian sumber alam dan kesihatan pekerja akan memberi kesan kepada
pengurangan angka kematian yang dijangkakan oleh WHO. Perubahan ini akan membantu
pekerja ladang pertanian untuk mendapatkan tahap kesihatan yang lebih baik.
Cadangan memperkembangkan produk organik
Kehebatan produk organik yang memberi impak positif terhadap tahap kesihatan manusia
tidak harus dipandang remeh. Kesihatan manusia diibaratkan sebagai batu permata yang tiada
tandingan nilainya.
Oleh yang demikian, pihak kerajaan Malaysia haruslah memainkan peranan yang penting
dalam memperkembangkan lagi produk organik di kalangan pengguna di Malaysia.
Perkembangan produk organik harus dimulakan dengan mengadakan kempen-kempen
kesedaran dan strategi penyampaian maklumat secara berkesan kepada masyarakat. Pengguna
di Malaysia adalah pengguna yang amat prihatin terhadap kesihatan individu dan kelompok
masyarakat setempat. Namun, masyarakat ataupun pengguna secara amnya tidak peka kepada
penemuan ilmu baru yang memberi faedah kepada kesihatan mereka. Pengguna yang cakna


kepada taraf kesihatan yang baik dan alam sekitar yang selamat untuk dihuni ialah pengguna
yang bijak dan sangat menyayangi kehidupan mereka. Justeru, dalam proses penyampaian
maklumat dan kempen kesedaran di kalangan pengguna, banyak pihak harus mengambil
bahagian. Pihak sekolah mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menyampaikan ilmu
gaya hidup sihat kepada golongan pengguna muda yang masih belum terdedah kepada dunia
luar yang penuh cabaran. Media massa seperti media cetak dan media elektronik, harus
menghebahkan kebenaran mengenai produk organik kepada semua pengguna.
Minou Yussefi (2006) menyatakan, berdasarkan statistik yang diperoleh pada tahun 2006 oleh
‘The World of Organic Agriculture’, menyatakan Malaysia berada di tangga ke 97 daripada
119 negara yang tersenarai dalam aspek penyediaan kawasan tanah untuk tanaman organik
iaitu menawarkan keluasan tanah hanya sebanyak 600 hektar. Keluasan tanah yang
disumbangkan dilihat amat sedikit jika dibandingkan dengan negara-negara eropah, negaranegara amerika selatan, negara-negara afrika dan negara-negara lain. Namun statistik itu
diperoleh pada tahun 2006, kini pada tahun 2013, pelbagai jenis ladang tanaman organik telah
dibuka sama ada sumbangan kerajaan mahupun usaha petani-petani sendiri dalam mengaut
keuntungan hasil daripada tanaman produk organik.
Malahan dari sudut pandangan ekonomi, kerajaan negeri sabah misalnya telah menjalankan
kolaborasi dalam pengeluaran baja yang berasaskan pembuangan sisa bahan organik. Melalui
proses penggunaan baja organic dikatakan mampu menggantikan 50 peratus baja kimia
dengan pengurangan kos operasi serta baik untuk kesihatan manusia. Semoga kerjasama

semua pihak disamping kesedaran terhadap nilai yang amat tinggi terhadap kesihatan manusia
mampu mencorakkan gaya pemakanan yang sihat di kalangan manusia. (The Report- Sabah
2011)

KESIMPULAN
Pengenalan dan pendedahan khasiat produk organik mampu mengubah pengguna kepada
amalan gaya hidup sihat. Terdapat pelbagai rasional dan alasan kepada pemilihan penggunaan
produk makanan organik. Terpulanglah kepada setiap pengguna untuk mentafsirkan faedah
dan kepentingan produk makanan organik terhadap kehidupan manusia. Walaupun pemilihan
produk makanan organik pada masa kini lebih kepada mengikut trend semasa, namun masih
terdapat beberapa sebab pemilihan produk ini. Alasan untuk perlindungan fizikal diri
pengguna, alasan kemanusiaan, alasan kerana pengguna sangat peduli tentang ekologi
persekitaran dan tentunya alasan yang sangat kuat digunakan untuk memilih produk organik
kerana ingin mengelakkan diri daripada bahan kimia.
Akhirnya, setelah segala kelemahan pemasaran produk makanan organik dikaji, pelbagai
pihak harus menggembleng tenaga dan usaha dalam peningkatan dan pertumbuhan ekonomi
negara. Pengguna yang mempunyai kemahiran pemikiran kreatif amat dialu-alukan dalam
memberikan sumbangan menghasilkan alat yang berteknologi selari dengan perkembangan
teknologi semasa. Kehidupan semulajadi amat diperlukan bagi mendapatkan hidup yang lebih
sihat dan harmoni. Jadi, bagi mendapatkan persekitaran yang harmoni, setiap pengguna harus

peduli tentang kehidupan lain dan saling menyayangi antara satu dengan yang lain. Pengguna
harus mendapatkan tanah yang sihat, sayuran yang sihat, buah-buahan yang sihat bagi
mendapatkan badan yang sihat, seterusnya dapat mensejahterakan kehidupan manusia.

RUJUKAN
Brian Halweil (2001). World Watch - Working for a sustainable future - Organic Gold Rush
David C.Dugdale(2012) . Cancer. Penerbit: The New York Times.
Eisha Dunn – Georgion (2002). Everything you need to know about organic foods.
Penerbit:The Rosen Publishing Group, Inc.
Globocan (2008), IARC (2010). World Health Organization (WHO) – Cancer. Dicapai
daripada laman sesawang WHO pada Januari 2013.
Helba Willer, Minou Yussefi-Menzler & Neil Sorensen (2008).The World of Organic
Agriculture – Statistics and emerging trends 2008. Penerbit: Earthscan, London, UK.
Majlis Kanser Negara (MAKNA). The latest cancer statistics. Dicapai daripada laman
sesawang MAKNA pada 27/05/2013.
Manuel Handlechner (2008). Organic Food – Essay. Penerbit: Druck and Bindung: Books on
Demand GmbH, Norderstedt Germany. ISBN 978-3-640-14678-9.
Maurizio Canavari (2007). Organic Food – Consumer’s choices and farmer’s opportunities.
Penerbit: Springer
Minou Yussefi (2006). The World of Organic Agriculture – Statistics and Emerging Trends

2006. Penerbit: Earthscan,London, UK.
Ong Kung Wai (2006). Organic Farming in Asia – Statistics and Emerging Trends 2006.
Penerbit: Earthscan,London, UK.
Kamus Dewan Edisi ke 4 (2007). Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Winnie Lau (2008). Produce Green Foundation, Hong Kong Organic Living Directory
World Health Organization (November 2011). Persistent Organic Pollutants (POPs)
______(2011). The Report – Sabah 2011. Penerbit: Oxford Business Group

Nor Mazlina binti Mohamad Amin
Bachelor in Hospitality Management (hons)
Pensyarah Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti
Politeknik Ibrahim Sultan