UMNO Tidak Diperlukan Di Sarawak PBB Mas

UMNO TIDAK DIPERLUKAN DI SARAWAK, PBB MASIH RELEVAN
Oleh: Khairul Anwar Bin Junus

Persoalan mengenai perlukah UMNO mengembangkan sayapnya di bumi kenyalang dianggap
sebagai isu paling sensitif kepada penduduk Sarawak dari dulu (terutamanya pada awal hingga
pertengahan tahun 90-an) sehinggalah sekarang. Persoalan ini dibangkitkan semula apabila
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga merupakan Pengerusi
Jawatankuasa Perhubungan UMNO Johor dalam ucapan perasmian Majlis Pra-Gawai 2015 di
Johor pada 10 Mei 2015 berkata bahawa UMNO Johor bercadang untuk menubuhkan satu
cawangan UMNO khusus untuk orang Sarawak dalam kawasan P159 Pasir Gudang. Dengan
adanya perwakilan sedemikian, beliau berkata masyarakat Sarawak di negeri Johor akan lebih
terpelihara dari segi kebajikan dan mereka juga ada tempat untuk bersuara malah tambah beliau,
terdapat kira-kira 40,000 penduduk Sarawak di Johor dan mereka layak diberi keistimewaan itu
kerana mereka sudah lama bermastautin di negeri berkenaan dan sentiasa memberi sokongan
kepada kerajaan serta menyumbang kepada ekonomi.
Hasrat Menteri Besar Johor ini sememangnya di bantah oleh beberapa Pemimpin Politik
di negeri Sarawak. Salah seorangnya adalah Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu
(PBB) Cawangan Kuala Sibuti, Ahmad Zaini Ramli dimana beliau berkata terdapat banyak parti
politik di negeri Sarawak yang boleh dijadikan landasan untuk mereka bersuara dan seterusnya
menyampaikan masalah, keperluan dan pelbagai perkara berkaitan tanpa perlu menyertai
UMNO. Selain itu, Ketua Parti Keadilan Rakyat Cawangan Miri yang juga Ahli Parlimen Miri

Dr. Michael Teo berkata tidak perlu dan tidak wajar bagi UMNO menarik rakyat Sarawak yang
bekerja dan tinggal di Johor menyertai UMNO dimana menurut beliau, adalah lebih wajar bagi
rakyat Sarawak yang berada di Johor menyertai parti politik ditubuhkan di Sarawak sendiri,
lebih-lebih lagi yang memperjuangkan isu dan tanah Hak Adat Bumi-putera (NCR) mereka dan
isu-isu kebajikan lain.

Bantahan juga dinyatakan oleh Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP),
Dato’ Seri Toing King Si dimana beliau berpendapat terdapat banyak aspek yang perlu diteliti
dengan salah satu daripadanya ialah perbezaan budaya kaum yang kemungkinan akan
menimbulkan kekeliruan dan perselisihan faham di kalangan rakyat Sarawak sendiri. Disamping
itu, menurut beliau, wujud kebimbangan sekiranya golongan terlibat apabila pulang ke kampung
halaman atau kawasan masing-masing kelak akan cenderung untuk mengembangkan sayap
UMNO.
Sememangnya diakui banyak pihak sebelum ini menyuarakan agar UMNO dapat
mengembangkan sayapnya di bumi Sarawak. Salah seorangnya adalah Tun Dr. Mahathir
Mohamad sendiri yang merupakan bekas Presiden UMNO. Perkara ini disuarakan sewaktu Dr.
Mahathir yang merupakan Presiden UMNO merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka
Bumiputera Bersatu (PBB) pada tahun 1998. Beliau mengumumkan bahawa UMNO
sememangnya berminat untuk mengembangkankan sayapnya ke bumi kenyalang dengan
jaminan bahawa kedatangan UMNO ke Sarawak tidak akan memecahbelahkan perpaduan

Bumiputera dan komponen Barisan di Sarawak. Namun beliau mengatakan bahawa segala
keputusan terpulang kepada rakyat Sarawak, bukan terpulang kepada UMNO di Semenanjung.
Selain itu, isu kemasukan UMNO ke Sarawak juga pernah disuarakan oleh UMNO Johor
yang menyarankan parti itu mengembangkan sayapnya ke Sarawak di Perhimpunan Agung
UMNO ke-39 pada tahun 1995 dimana Ketua Bahagian Gelang Patah, Baharom Abdul Ghani
yang mewakili UMNO Johor pada ketika itu berkata, wajar untuk parti itu mengembangkan
sayapnya ke Sarawak berikutan kejayaannya memasuki Sabah. Namun apa yang perlu diketahui
oleh Baharom, kemasukan UMNO ke Sabah adalah kerana keadaan memaksa ia berbuat
demikian apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) keluar dari BN menjelang PRU pada tahun 1990.
Pada ketika itu UMNO tidak ada pilihan lain dan terpaksa memasuki Sabah setelah parti
pemerintah PBS keluar dari BN. UMNO berjaya melebarkan sayapnya di bumi di bawah bayu
apabila Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) bergabung dengan BERJAYA dan Tun
Mustapha menjadi Pengerusi Pertama UMNO Sabah setelah USNO dibubarkan untuk bergabung
dengan UMNO pada tahun 1991.

Percubaan untuk melebarkan sayap UMNO juga dilihat pada Pilihan Raya Umum ke-13
apabila Affendi Jeman yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penaja UMNO Sarawak
(JPUNS) bertanding sebagai calon bebas di P193 Santubong menentang Datuk Wan Junaidi
Tuanku Jaafar (BN), Zulrusdi Hol (PKR) dan Mura Kadir (STAR). Namun beliau kalah teruk
dengan hanya mendapat 233 undi sahaja.

Apa yang pasti adalah kemenangan Barisan Nasional (BN) Sarawak pada Pilihan Raya
Umum Ke-13 jelas menunjukkan bahawa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) masih relevan
di Sarawak. Barisan yang memenangi 25 daripada 31 kerusi parlimen dimana PBB menjadi
tunggak utama dengan memenangi 14 kerusi menunjukkan bahawa parti tersebut masih
mendapat sokongan padu daripada rakyat Sarawak terutamanya di kawasan kerusi Bumiputera
luar bandar. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang ditubuhkan pada 30 April 1973 hasil
daripada penggabungan tiga buah parti politik di Sarawak, iaitu Parti Negara Sarawak (PANAS),
Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA), dan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) ini
merupakan parti yang berlandaskan perjuangan untuk meningkatkan kehidupan dan membela
nasib kaum Bumiputera dalam pelbagai bidang, termasuk politik, ekonomi, dan sosial. Oleh itu,
UMNO yang merupakan parti tunggak utama Barisan di peringkat kebangsaan seharusnya tahu
bahawa perjuangan PBB tidak boleh dipandang enteng kerana perjuangan mereka adalah untuk
kaum bumiputera khasnya dan rakyat Sarawak amnya. Pelebaran sayap UMNO di bumi
kenyalang dalam menguatkan lagi Barisan untuk memenangi kerusi pada pilihan raya yang akan
datang sememangnya tidak diperlukan kerana PBB merupakan sebuah parti yang kuat di
Sarawak.

*Khairul Anwar Junus ialah mahasiswa tahun akhir di Fakulti Sains Sosial, Universiti
Malaysia Sarawak dalam kursus Kajian Politik & Pemerintahan.