Struktur Sistem Demokrasi di (1)

Struktur Sistem Demokrasi di Malaysia
Sistem pemerintahan demokrasi amat bermakna bagi sesebuah negara yang mendaulatkan
kebebasan rakyat. Ianya menggambarkan suatu sistem yang memberi keutamaan kepada suara dan
kehendak majoriti rakyat. Istilah popular demokrasi ialah “kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat”.
Unsur penting dalam demokrasi ialah “pemerintahan rakyat”. Dalam sistem demokrasi yang
berkuasa ialah rakyat. Malaysia ialah salah sebuah negara demokrasi berparlimen dan raja
berpelembagaan yang mengamalkan konsep pengasingan kuasa. Menurut konsep ini, kuasa
pemerintahan dibahagikan kepada tiga cabang, iaitu badan perundangan, badan pelaksana dan
badan kehakiman. Ketiga-tiga badan ini dipegang oleh pihak yang berasingan untuk mengelakkan
pembolotan kuasa.
Badan Perundangan (Legislatif)
Perundangan merujuk pada undang-undang yang digubal oleh badan perundangan yang
dipertanggungjawabkan oleh perlembagaan. Fungsi badan perundangan adalah menggubal undangundang bagi menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat. Parlimen ialah badan perundangan yang
bertanggungjawab menggubal undang-undang di negara kita. Parlimen terdiri daripada Yang diPertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Dewan Negara atau Senat merupakan dewan tertinggi dalam sistem pemerintahan negara.
Dewan Negara mengandungi 69 orang ahli. Ahli Dewan Negara yang digelar Senator i mewakili setiap
negeri dan mereka dilantik tanpa melalui pertandingan dalam pilihan raya.
Seseorang Senator memegang jawatan bagi tempoh tiga tahun. Senator mestilah berumur
sekurang-kurangnya 30 tahun. Taraf Senator sama dengan Ahli Parlimen. Mereka boleh dilantik
menjadi ahli Jemaah Menteri.
Keahlian Dewan Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Mereka terdiri daripada

individu yang telah memberikan sumbangan cemerlang dalam perkhidmatan awam, bidang
profesional, atau bidang tertentu seperti perniagaan, perusahaan, pertanian, kesenian dan kebajikan,
atau yang mewakili sesuatu kumpulan minoriti seperti Orang Asli.
Dewan Rakyat merupakan dewan terpenting kerana ahlinya dipilih oleh rakyat dalam pilihan
raya umum. Dewan Rakyat mengandungi 219 orang ahli yang mewakili semua kawasan pilihan raya di
seluruh negara. Tempoh jawatan bagi anggota ahli Dewan Rakyat ialah lima tahun.
Tugas utama
Dewan Rakyat adalah menggubal dan meluluskan undang-undang pada peringkat Dewan Rakyat.
Undang-undang yang dibuat oleh Parlimen dinamai Akta dan undang-undang yang dibuat oleh
Dewan Undangan Negeri dinamai Enakmen kecuali di Sarawak dan Sabah dinamai Ordinan.
Badan Pelaksana (Eksekutif)
Jemaah Menteri atau Kabinet merupakan badan pelaksana dasar-dasar kerajaan. Kabinet merupakan
pembuat dasar tertinggi negara. Tugas Jemaah Menteri atau Kabinet adalah menggubal dasar-dasar
kerajaan dalam semua perkara.
Perdana Menteri merupakan Ketua Jemaah Menteri. Biasanya, Perdana Menteri atau
Timbalan Perdana Menteri juga mengetuai sesebuah atau beberapa kementerian. Setiap kementerian

bertanggungjawab menggubal dasar-dasar kerajaan, merancang serta menyelaras program
pembangunan ekonomi dan sosial di negara kita. Setiap kementerian diketuai oleh seorang Menteri
dan dibantu oleh Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen dan Setiausaha Politik. Seseorang Menteri

yang tidak diberikan tugas dalam kementerian tertentu dikenali sebagai Menteri Tak Berportfolio.
Beliau akan diberikan tugas-tugas tertentu oleh Perdana Menteri.
Semua kakitangan awam bertanggungjawab melaksanakan dasar dan tugas yang ditetapkan
oleh kerajaan. Jabatan kerajaan yang diketuai oleh Ketua Jabatan yang dikenali dengan gelaran Ketua
Pengarah. Sesebuah kementerian biasanya mempunyai jabatan pada peringkat pusat, negeri dan
daerah.
Terdapat juga badan-badan kerajaan yang dikenali sebagai badan berkanun. Badan berkanun
merupakan badan separuh kerajaan yang mempunyai kuasa autonomi tertentu. Badan berkanun
mempunyai peruntukan kewangan tersendiri. Badan ini ditadbir oleh sebuah Lembaga Pengarah yang
bertanggungjawab kepada Menteri yang berkenaan. Badan berkanun ini mempunyai pelbagai tugas
dan tanggungjawab yang besar untuk mempercepat pentadbiran dan program pembangunan di
bawah rancangan lima tahun kerajaan.Beberapa contoh Badan Berkanun,Lembaga Kemajuan
Perindustrian Malaysia (MIDA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)Institut Penyelidikan
Perhutanan Malaysia (FRIM). Beberapa suruhanjaya telah ditubuhkan di negara kita untuk
mengendalikan urusan pelantikan, kenaikan pangkat dan pemantauan disiplin kakitangan
perkhidmatan awam. Antaranya termasuklah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya
Perkhidmatan Pendidikan,Suruhanjaya Perkhidmatan Undang-undang dan Kehakiman, Suruhanjaya
Pasukan Polis dan Majlis Angkatan Tentera.
Badan Kehakiman (Judisiari)
Badan Kehakiman mempunyai kuasa mendengar serta menentukan perkara sivil dan jenayah. Perkara

sivil berkaitan dengan saman biasanya memerlukan afidavit. Perkara jenayah pula melibatkan kanun
keseksaan.
Badan Kehakiman boleh menentukan kesahihan undang-undang yang dibuat oleh badan
perundangan dan pihak badan pelaksana. Badan kehakiman juga berkuasa mentafsir Perlembagaan
Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.
Sistem mahkamah telah diwujudkan oleh Perlembagaan Malaysia untuk melaksanakan tugas
kehakiman di negara ini. Mahkamah mempunyai kuasa mentafsirkan perlembagaan negara,
mentafsirkan undang-undang, mengisytiharkan undang-undang bertulis Kerajaan Persekutuan atau
Kerajaan Negeri dan mempunyai kuasa mengisytiharkan sesuatu tindakan kerajaan tidak sah di sisi
undang-undang. Mahkamah tidak boleh meminda undang-undang kerana perkara itu merupakan
kuasa badan perundangan atau Parlimen.
Sistem mahkamah di Malaysia disusun mengikut hierarki piramid. Melalui sistem ini individu
atau kumpulan yang tidak berpuas hati dengan keputusan perjalanan mahkamah boleh membuat
rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi. Semua hakim dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan
nasihat Perdana Menteri. Urusan pelantikan, kenaikan pangkat dan pelucutan jawatan terletak di
bawah kuasa Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Seseorang hakim tidak
boleh dipecat dengan sewenang-wenangnya tanpa sebarang sebab yang munasabah.

Hakim tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam politik. Tujuannya supaya hakim
dilindungi daripada pengaruh politik untuk menjamin keadilan dan kesaksamaan undang-undang.

Penasihat undang-undang kerajaan ialah Peguam Negara. Peguam Negara akan menjadi Pendakwa
Raya atau Peguam Bela bagi kerajaan. Peguam Negara dibantu oleh Pegawai Perkhidmatan UndangUndang dan Kehakiman.

Kepentingan Sistem Demokrasi Secara Umum
Sistem demokrasi secara teori dan falsafahnya mempunyai banyak kelebihan di era globalisasi
ini. Sistem ini bersifat prihatin dan peka terhadap kepentingan rakyat. Tidak seperti corak
pemerintahan seperti monarki, diktator dan autokrasi yang memberi keutamaan kepada golongan
minoriti yang memegang kuasa atau memerintah. Demokrasi tidak mengambil kira kepentingan
golongan tertentu kerana ia mengganggap semua lapisan masyarakat adalah sama dan layan sama
harus diberikan.
Demokrasi juga menolak pendapat bahawa terdapat manusia dilahirkan sebagai hamba dan
kaum elit memiliki hak kebebasan. Semua rakyat bebas bertindak dalam proses kerajaan. Penglibatan
dalam kerajaan demokrasi boleh membangunkan pemikiran seseorang dalam tindak-tanduknya dan
boleh mengelakkan rakyat merasa rendah diri. Kerajaan demokrasi mengambil kira kebajikan awam
serta dibenarkan untuk bertindak terhadap kerajaan seperti pemilihan dalam pengundian awam.
Demokrasi menjaminkan kebebasan sebagai hak asasi.
Demokrasi menggalakkan pembangunan diri rakyat. Tingkah laku individu bukan sahaja boleh
mempengaruhi bentuk kerajaan malahan juga pemerintahan rakyat dianggap lebih baik dalam
membangunkan sifat-sifat yang dikehendaki. Demokrasi bertindak ke atas individu supaya menjadikan
mereka berfikiran masyarakat dan berinisiatif untuk menyelesaikan masalah rakyat serta menjadikan

rakyat yang aktif menjadi pasif.
Selain itu, demokrasi juga mampu membaiki taraf hidup. Tuduhan yang mengatakan bahawa
demokrasi sebagai penghalang kemajuan sebuah negara telah menerima reaksi yang negatif, ini
kerana demokrasi berparlimen telah membuktikan bahawa banyak perubahan pembangunan dalam
sebuah negara dan kemajuan hidup masyarakat masa kini telah berubah melalui pembangunan yang
berterusan ternyata menguntungkan rakyat dan kini rakyat boleh berbangga dengan kemajuan yang
telah dicapai. Rakyat telah mendapat faedah yang besar kerana membuat pilihan yang bijak dalam
menentukan kerajaan yang memerintah dalam negara demokrasi. Kerajaan yang dibentuk oleh rakyat
boleh menjamin kehidupan dan impian mereka yang tercapai dalam pelbagai aspek, kemajuan
ekonomi, sosial, politik, pentadbiran, komunikasi, dan pendidikan merupakan asas yang penting
dalam landasan sebenar menuju kearah kejayaan dan kecemerlangan hidup dan terus menerus
menikmati kualiti hidup yang semakin tinggi.
Demokrasi merupakan corak pemerintahan yang cekap dan berkesan. Walaupun ada
beranggapan kemungkinan demokrasi tidak cekap dalam pentadbiran pemerintahan namun
demokrasi mensyaratkan sesiapa sahaja yang mempunyai keupayaan dan kecekapan boleh
melibatkan diri dalam politik. Persetujuan asas perlu ada dalam setiap peraturan yang dikeluarkan
oleh masyarakat dan kerajaan. Perhubungan politik dalam institusi kerajaan perlu adil dan rakyat
berhak untuk membantah cadangan kerajaan jika kerajaan tidak dapat memenuhi kehendak rakyat.
Demokrasi menggalakkan semangat berkerjasama Salah satu cara yang terbaik untuk
menyatupadukan rakyat melalui demokrasi dengan menghubungkaitkan individu dengan kumpulan

untuk tujuan sosial. Proses amalan serta yang dipratikkan seperti pungutan suara ramai serta bentuk
perundangan dibuat oleh perwakilan. Rakyat diberi kuasa untuk memiliki pertubuhan dan
pertubuhan boleh melibatkan diri dalam kerajaan melalui harapan rakyat bagi memastikan pendapat

rakyat diterima. Perubahan sosial, politik dan ekonomi melalui demokrasi yang ingin dilakukan
mestilah mendapat sokongan daripada rakyat.

Kontra Sistem Demokrasi
Sistem demokrasi adalah dianggap sangat penting dalam perlaksanaan sebuah negara
kapitalis seperti Malaysia. Tetapi bukanlah bermaksud sistem ini hanya ada kelebihan. Melalui
pandangan Islam, sistem demokrasi dilihat sebagai sistem pemerintahan yang bertuhankan majoriti.
Seperti mana dalam parlimen, calon yang bertanding dalam pilihanraya akan dianggap menang dan
terpilih berdasarkan kepada jumlah undi majoriti yang diperolehi. Dengan erti kata lain, jumlah undi
majoriti akan menjadi penentu sama ada sesebuah rang undang-undang atau calon pilihanraya itu
diterima atau ditolak. Kaedah ini bertentangan sama sekali dengan Syarak. Dalam Islam, seseorang itu
hanya dianggap layak untuk menjadi pemimpin sekiranya dia memenuhi syarat-syarat yang
ditetapkan Syarak. Sama ada dia disokong majoriti atau tidak bukan kayu ukurnya. Begitu juga dalam
menetapkan mana-mana undang-undang. Ia perlu dikembalikan kepada Syarak dan bukan undi
majoriti.
Sistem demokrasi juga dilihat sebagai sistem yang boleh memecah belahkan dan

meruntuhkan semangat persaudaraan umat Islam. Tidak ada demokrasi tanpa kepartian dan tidak
ada demokrasi tanpa kerajaan dan pembangkang. Hal ini jelas bercanggah dengan tuntutan Syarak
supaya Umat Islam mengekalkan kesatuan mereka.
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan jangan kamu berpecah”
( Al-Imraan, 3: 103).
Bagaimana perkara yang sebegini jelas boleh dipandang mudah oleh parti-parti yang
mengajak kepada Islam. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak ikhlas memperjuangkan Islam. Kalau
bukan kerana kejahilan ia adalah kerana sifat taksub yang telah menguasai mereka. Apabila sifat
taksub kepada parti sudah menguasai diri, tentu sahaja semangat persaudara Islam sudah tidak lagi
diambil kira. Sebaliknya apa yang penting adalah parti. Saudara seIslam yang tidak bersetuju dengan
parti akan dimusuhi dan dianggap sebagai lawan. Akhirnya hanya kerana politik kepartian, hak-hak
persaudaraan Islam seperti memberi/menjawab salam, melawat orang yang sakit, mengikuti jenazah
dan menghadiri undangan dinafikan. Bahkan sehingga tidak mahu solat bersama, bercerai suami
isteri dan tidak mengaku anak semata-mata kerana kepartian.
Walaupun sistem demokrasi melaungkan konsep ‘hak kesamarataan’, tetapi adakah konsep
ini mampu direalisasikan jika suara dari golongan minoriti tidak diendahkan oleh suara golongan
majoriti? Hasilnya, minoriti sesebuah negara akan berdepan kesusahan dalam memperjuangkan ‘hak
kesamarataan’ mereka. Jelas kita mengetahui bahawa demokrasi merupakan sistem pilihan rakyat
dan membuat keputusan atas suara majoriti tetapi kita mesti ingat bahawa di dalam suasana dunia
yang penuh dengan tipu daya, korupsi, kawalan media dan sebagainya, adakah semua manusia boleh

membuat satu pilihan yang bijak dalam memilih pemerintah mereka?
Sistem demokrasi juga berdepan masalah dengan isu perkauman kerana sebahagian besar
dari kita memiliki sikap ethnocentrism yang menganggap bangsa sendiri adalah lebih baik dari
bangsa-bangsa lain. Rakyat akan lebih tertumpu untuk memilih perwakilan yang datang dari bangsa
mereka walaupun perwakilan itu bukanlah seorang pemimpin yang baik kerana bagi mereka,
perwakilan yang dating dari bangsa mereka boleh membuatkan mereka lebih maju dan hidup senang
di masa akan datang.

Analisa Aplikasi Demokrasi di Malaysia.
Secara asasnya, sebuah negara untuk digelar negara yang demokrasi harus menonjolkan tujuh ciri-ciri
utama iaitu; pertama, wujudnya kebebasan bersuara, media massa yang bebas dan berkecuali,
pilihan raya diadakan secara konsisten, bebas dan adil, ada kebebasan berorganisasi dan
berpersatuan, pemerintahan berasaskan majoriti, hak golongan minoriti dihormati dan akhir sekali
wujud badan kehakiman yang senantiasa bebas dan berkecuali. Secara umumnya Malaysia ialah
sebuah negara yang demokrasi kerana semua elemen yang disebut telah wujud secara teori dan
falsafah.
Ini berbeza dari segi amalannya. Sekiranya diteliti, demokrasi di Malaysia hanya bersifat penyamaran
sahaja (camouflage). Asasnya kerana, praktik demokrasi di Malaysia berlainan daripada teorinya yang
asal. Justeru itu tidak hairan beberapa sarjana telah mengelar amalan demokrasi di Malaysia dengan
beberapa gelaran antaranya demokrasi tanpa konsensus (Von Vorys, 1975), demokrasi palsu dan

separuh (Case, 1993), demokrasi statis ( Jesudason, 1995) dan demokrasi terhad (Crouch, 1996).
Bermula dari zaman pasca penjajah, demokrasi di Malaysia bermula dengan sistem yang dikenali
sebagai ‘demokrasi permuafakatan’ yang diperkenalkan dan dibentangkan pertama kali oleh Arendt
Lijphart (1968) dalam menerangkan kejayaan beberapa negara bermasyarakat majmuk di Eropah
seperti Belanda, Austria dan Switzerland yang berjaya membentuk sebuah negara demokrasi
berasaskan kerjasama elit setiap kaum dengan berkongsi kuasa dalam pemerintahan negara-negara
tersebut. Asasnya, negara-negara tersebut mempunyai struktur masyarakat majmuk yang bersifat
bersegmen (terpisah) hingga amat sukar membentuk kerajaan dan keputusan kerana setiap kaum itu
memiliki kekuatan yang sama, pendapat yang berbeza, terlalu mempertahankan nilai kelompok atau
kaum masing-masing dan memperolehi peratus undi yang sama banyak ketika pilihan raya.
Dalam kes Malaysia, kemajmukan ini memperlahankan pendemokrasian. Justeru itu, aplikasi politik
permuafakatan dilihat sebagai pilihan terbaik dalam konteks tiada pilihan. Ini kerana pengaruh
perkauman yang kuat menyebabkan perkembangan nilai demokrasi turut dipengaruhi aspek ini.
Perkauman warisan penjajah ini telah mencipta sebuah masyarakat majmuk tanpa sebarang usaha
mengintegrasi secara serius. Malah, ini dijadikan teras pembentukan negara dan diterima pakai
sebagai sesuatu yang sepatutnya dan mana-mana pihak yang mempersoalkannya secara terbuka
dianggap sebagai pesalah perkauman.
Pembentukan Barisan Nasional (sebelumnya dikenali sebagai Parti Perikatan) menerusi gabungan
parti-parti politik yang mewakili kaum di Malaysia memperlihatkan kebenaran asas Lijphart. Kesan
dari segmentasi ini maka tidak ada kaum yang benar-benar mendominasi. Dalam konteks demokrasi

berperwakilan, tiada satu kaum pun yang benar-benar membentuk majoriti untuk membentuk
kerajaan. Kemajmukan masyarakat di Malaysia ini memaksa gabungan dibentuk. Ini kerana setiap
kaum tidak berupaya membentuk majoriti disebabkan sokongan yang tidak mencukupi sekiranya
tidak mendapat sokongan dari kaum yang lain. Walaupun terdapat percubaan untuk membentuk
gabungan yang bersifat berbilang kaum, selalunya gabungan ini tidak mendapat sambutan mahupun
bertahan lama. Malah kadang-kadang, ianya kembali semula kepada asas perkauman.
Demokrasi permuafakatan ini dikatakan runtuh apabila Tun Abdul Razak mengambil alih
pemerintahan negara. Tragedi 13 Mei 1969 yang berlaku akibat “high expectation, high frustration”
yang timbul daripada orang Melayu dan Cina memaksa Tun Abdul Razak menukar hala tuju demokrasi

permuafakatan. Ramai sarjana mencirikan pemerintahan Tun Abdul Razak sebagai hegemoni Melayu.
Ini dilihat bagaimana UMNO muncul sebagai parti yang dominan dalam gagasan BN. Sungguhpun
elemen perkongsian masih dikekalkan terutamanya dalam konteks politik, ianya lebih bergantung
kepada apa yang diputuskan oleh Presiden UMNO sebagai ketua BN. Sebagi contoh, permuafakatan
dalam BN pasca 13 Mei 1969 lebih dikawal dan ditentukan oleh UMNO berbanding sebelumnya. Ini
berkait rapat dengan strategi Tun Abdul Razak yang berjaya mencipta parti saingan kepada kaum lain
dalam BN apabila menyerap parti Gerakan untuk mengimbangi parti MCA yang mewakili kaum Cina.
Begitu juga yang berlaku kepada MIC malah mengembangkan konsep permuafakatan BN ke Sabah
dan Sarawak menjadikan BN satu-satunya parti yang menggabungkan hampir kesemua kaum dalam
satu parti.

Demokrasi di era Tun Dr. Mahathir lebih menonjolkan sifat hegemoni itu. Demokrasi di Malaysia
ketika itu banyak dicorakkan mengikut gaya dan acuan Tun Dr. Mahathir yang sangat kritis terhadap
demokrasi acuan Barat. Tun Dr. Mahathir lebih melihat demokrasi sebagai alat berbanding yang
sepatutnya. Ini berbeza dengan pemimpin sebelumnya yang lebih berkompromi dan demokrasi.
Agaknya latar belakang Tun Dr. Mahathir dari masyarakat kelas menengah dan yang bukan peguam
(beliau adalah seorang doktor) menyebabkan Tun Dr. Mahathir kurang faham tentang demokrasi dan
doktrin pengasingan kuasa. Hampir keseluruhan landskap politik Malaysia di dominasi oleh Tun Dr.
Mahathir sehinggakan era beliau di kenali sebagai Mahathirism. Beberapa tindakan Tun Dr. Mahathir
yang dianggap anti-demokrasi dan autoritarian seperti Operasi Lalang 1987, pemecatan Datuk Seri
Anwar Ibrahim 1998, penahanan aktivis-aktivis reformasi 1998-99, pengawalan penerbitan Harakah
2000 memperihatkan ciri-ciri Mahathirism yang mengawal sistem politik Malaysia menerusi
penggunaan alat dan jentera pentadbiran negara.
Demokrasi permuafakatan di Malaysia lebih bersifat quasi-democracy (quasi: separuh) kerana
walaupun wujud elemen-elemen demokrasi seperti pilihan raya, parti pembangkang, parlimen dan
sebagainya, terdapat kekangan dan kawalan dalam sistem-sistem itu bagi mengekalkan keharmonian
kaum. Ianya dapat dilihat menerusi pengenalan tempoh berkempen yang pendek, kewujudan aktaakta yang menyekat dan mengawal seperti penggubalan Akta Hasutan yang melarang mana-mana
pihak membangkitkan isu-isu yang sensitif seperti hak istimewa dan Raja-Raja Melayu, isu
kewarganegaraan kaum lain dan bahasa kebangsaan. Ini juga termasuk Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta
Keselamatan Dalam Negeri seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Internal Security Act
(ISA) dan sebagainya. Akta-akta ini bukan sahaja dikenakan kepada parti pembangkang malah
terhadap parti-parti gabungan dalam BN sendiri di mana selepas 1969, pengukuhan kuasa UMNO
dalam BN itulah yang menyebabkan pengenalan akta-akta yang bersifat mengawal ini selepas
pengalaman dari krisis kaum itu sendiri.

Kesimpulan
Demokrasi di Malaysia jelas akan sentiasa dihambat dengan masalah perkauman. Pengekalan
demokrasi di Malaysia banyak berkait rapat dengan kebolehan kartel elit-elit kaum menguruskan
kaum masing-masing menerusi permuafakatan dan perkongsian kuasa. Justeru itu, demokrasi lebih
dilihat sebagai alat untuk mencapai kestabilan politik berbanding matlamat politik. Disebabkan itu,
demokrasi di Malaysia sering datang dengan instrumen kawalan yang selari dengan konsep pemecah
dan penyatu dalam mengkonstruksikan demokrasi.

Rujukan
Case, W. (1993). Malaysia: The Semi Democratic Paradigm. Asian Studies Review. Vol. 17, No. 1, 7582.
Jesudason, J. V. (1995). Statis democracy and the Limits to Civil Society in Malaysia. Journal
Commonwealth & Comparative Politics. Vol. 33, No. 3, 335-356.
Von Vorys, K. (1975). Democracy Without Consensus: Communalism and Political Stability in
Malaysia. Princeton: Princeton University Press.
Crouch, H. (1996). Government and Society in Malaysia. Singapore: Talisman Publishing.
Lijphart, A. (1968). The Politics of Accomodation: Pluralism and Democracy in the Netherlands.
Berkeley: University of California Press.
Mohd Zulhairie. (2013). Sistem Demokrasi di Malaysia. Diambil pada 27 April 2014 dari:
http://mindaaktif.net/2013/06/amalan-demokrasi-di-malaysia/