Biografi Ibn al Arabi Dan Sumbangannya

BIOGRAFI IBN AL-‘ARABI DAN SUMBANGAN DALAM BIDANG
SEJARAH ISLAM

AZMUL FAHIMI KAMARUZAMAN
ROSLAN ABDUL RAHMAN

ABSTRAK
Ibn al-’Arabi (468-543H/1076-1148M) merupakan seorang ilmuan Andalus (Sepanyol) yang
muncul pada abad ke-5 hijrah. Beliau dikenali sebagai seorang tokoh ulama’ yang banyak
meninggalkan sumbangan dalam bidang keilmuan Islam. Pada hari ini, nama beliau selalu
dipetik dalam perbahasan ilmiah terutama perbahasan bidang fiqh, hadith dan tafsir. Kitab-kitab
beliau dalam bidang-bidang tersebut telah dijadikan rujukan oleh generasi masa kini. Selain
terkenal dalam bidang fiqh, hadith dan tafsir, ramai yang tidak mengetahui bahawa Ibn al-’Arabi
juga memiliki sumbangan dalam bidang sejarah Islam. Ini dibuktikan melalui kemunculan kitab
al-’Awasim Min al-Qawasim, iaitu antara karya beliau yang terakhir dihasilkan sebelum
kewafatan. Walaupun kitab al-’Awasim Min al-Qawasim bukanlah sebuah karya sejarah seperti
karya al-Tabari dan al-Mas’udi, namun di dalamnya, terdapat perbahasan mengenai isu-isu
kontroversi melibatkan para sahabat Nabi Muhammad SAW. Ini secara tidak langsung,
membuktikan wujudnya sumbangan Ibn al-’Arabi dalam bidang sejarah Islam. Justeru itu, tujuan
penulisan artikel ini ialah untuk meninjau penglibatan Ibn al-’Arabi dalam bidang sejarah
melalui penghasilan kitab al-’Awasim Min al-Qawasim. Bagi mencapai tujuan itu, data dan

maklumat berkaitan biografi Ibn al-’Arabi dan sumbangan beliau dalam bidang keilmuan
diperolehi melalui kajian kepustakaan iaitu rujukan ke atas sumber primer dan sekunder. Hasil
kajian mendapati bahawa, Ibn al-‘Arabi mempunyai sumbangan dalam bidang sejarah menerusi
penghasilan karyanya, al-’Awasim Min al-Qawasim dan ulasan beliau terhadap isu-isu
kontroversi para sahabat Nabi Muhammad SAW yang dimuatkan dalam kitab tersebut.

Kata Kunci; biografi Ibn al-’Arabi, al-’Awasim Min al-Qawasim, sejarah Islam.

PENGENALAN
Al-Qadhi Abu Bakr Ibn al-‘Arabi (468-543H/1076-1148M) adalah seorang tokoh yang tidak
asing dalam bidang keilmuan Islam. Nama beliau selalu dipetik oleh para pengkaji masa kini,
terutama dalam bidang kajian melibatkan tafsir, fiqh dan hadith. Karya-karya beliau dalam
bidang tersebut telah memberi impak yang besar dalam bidang keilmuan Islam dan sekaligus
telah dimanafaatkan oleh sebahagian besar umat Islam masa kini. Selain dari menabur jasa dalam
bidang-bidang tersebut, beliau juga mempunyai sumbangan dalam bidang sejarah Islam.
Walaupun, nama beliau tidak terkenal dalam bidang sejarah seperti nama al-Tabari, al-Mas’udi
dan para sejarawan yang lain, namun beliau tetap mempunyai sumbangan dalam bidang sejarah

Islam, melalui penghasilan karya beliau al-‘Awasim Min al-Qawasim1. Ironinya, al-‘Awasim
bukan sebuah karya yang memaparkan sejarah Islam secara keseluruhan. Perbahasan al-‘Awasim

menjurus kepada permasalahan akidah dan syariah. Di atas landasan inilah, perbahasan
mengenai isu-isu kontroversi para sahabat Nabi Muhammad SAW telah dikemukakan oleh Ibn
al-‘Arabi dalam al-‘Awasim, kerana persoalan isu-isu kontroversi para sahabat Nabi Muhammad
SAW melibatkan pegangan akidah seorang Muslim. Jawapan dan pandangan beliau terhadap isuisu tersebut telah mendapat perhatian kebanyakkan para ilmuan pada hari ini. Dalam konteks
inilah, para sarjana mengklasifikasikan Ibn al-‘Arabi sebagai seorang ulama’ yang mempunyai
sumbangan dalam bidang sejarah Islam. Namun, memandangkan tidak banyak penulisan yang
membincangkan tentang sumbangan Ibn al-‘Arabi dalam bidang sejarah Islam, justeru itu, artikel
ini akan memberikan gambaran mengenai aspek-aspek yang melatari kehidupan Ibn al-‘Arabi
seperti latar belakang diri, pendidikan dan bidang kerjaya yang mengjustifikasikan penglibatan
beliau dalam bidang sejarah Islam.

LATAR BELAKANG IBN AL-‘ARABI
Nama sebenar Ibn al-‘Arabi ialah Muhammad bin Abdullah bin Muhammad bin Abdullah bin
Ahmad bin al-‘Arabi al-Mua’firi. Dinisbahkan kepada Ma’afir bin Ya’fur bin Malik (al-Khatib,
1952: 9, al-Dhahabi, 2001: 198). Beliau dilahirkan di Isybiliah (Sevilla), Andalus (Sepanyol) 2
pada malam khamis, 22 Sya’ban tahun 468H/1075M (al-Khatib, 1952: 9).
Beliau dikenali dengan kuniyah Ibn al-’Arabi dengan bacaan ma’rifat. Ini membezakan
beliau dengan Ibnu ’Arabi3 dengan bacaan nakirah, iaitu ulama Tawasuf terkenal (al-Badwi,
2012: 8). Jika disebut Ibn al-’Arabi, maka ianya merujuk kepada al-Faqih al-Maliki, manakala
Ibn ’Arabi, merujuk kepada al-Sufi. Penulis berpendapat, perbezaan ini penting untuk diketahui,

bagi mengelak berlakunya kekeliruan dalam menukilkan pandangan serta menyandarkan fakta
yang berkaitan.
Diriwayatkan bahawa nasab keturunan Ibn al-‘Arabi berasal dari bahagian selatan
Semenanjung Tanah Arab, iaitu dari Yaman. Menurut cacatan Raghib, keturunan Ibn al-‘Arabi
berasal dari kabilah Mua’fir yang menetap di Yaman dan berhijrah ke Syam seterusnya
memasuki Andalus serta mendiami bahagian timur Andalus (Raghib, 2010: 323). Menurut Sa’id
A’rab, kabilah Mua’fir berasal dari keturunan Ma’afir bin Ya’fur bin Malik bin al-Harith bin
Murrah yang bersambung nasab keturunan dengan Bani Qahtan (Sa’id, 1987: 9). Manakala
Mubarafuri dalam ulasannya tentang asal usul bangsa Arab, menyatakan bahawa Bani Qahtan
adalah kabilah Arab yang mendiami Yaman. Menurutnya lagi, Bani Qahtan terdiri daripada dua
kabilah utama, iaitu kabilah Himyar dan kabilah Kahlan. Kabilah Kahlan terdiri daripada sukusuku kecil iaitu Hamdan, Lakhm, Juzam dan Ma’afir. Mereka telah meninggalkan Yaman dan
berhijrah ke kawasan-kawasan di bahagian utara Semenanjung Tanah Arab selepas berlakunya
peristiwa banjir besar yang memusnahkan harta benda mereka (Mubarakpuri, 2010: 22).
1 Selepas ini, disebut al-‘Awasim
2 Negara Sepanyol moden pada hari ini terletak di Semenanjung Iberia bersempadan dengan Portugal di timur dan
Perancis di utara (Maruwiah, 2003: ix).
3 Ibn ‘Arabi atau nama sebenar beliau Muhammad bin ‘Ali, berketurunan Hatim al-Ta’i, dilahirkan pada 17
Ramadhan, 560H bersamaan dengan 29 Julai, 1165M (S.A.Q. Husaini, 1990:9).

Kesan daripada banjir besar yang melanda bahagian selatan Semenanjung Tanah Arab,

menyebabkan kabilah Ma’afir, berhijrah ke serata tempat, termasuk Andalus. Menurut alSam’ani, kabilah Ma’afir kebanyakkan mereka, menetap di Mesir, dan berhijrah ke Andalus
setelah umat Islam berjaya menguasai wilayah tersebut (al-Sam’ani, 1999: 322). Hasil
penghijrahan tersebut, lahirnya Ibn al-’Arabi, tokoh ulama’ yang terkenal. Daripada rantaian
nasab keturunan Ibn al-’Arabi, dapat difahami, bahawa beliau sebenarnya berketurunan Arab
Yaman.
Ayahnya bernama Abdullah bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin al-’Arabi.
Beliau dikenali dengan kuniyah, Abu Muhammad (al-Zahabi, 2001: 198). Dilahirkan pada tahun
435H dan meninggal dunia pada tahun 493H (Sa’id, 1987: 10). Ayahnya merupakan seorang
ulama’ yang berkhidmat di bawah kerajaan Banu ’Abbad yang memerintah Isybiliah pada era
Muluk al-Tawa’if (403H/1012M).
Menurut al-Zahabi, Abu Muhammad merupakan seorang yang kuat berpegang kepada
mahzab Zahiri, setelah berguru dengan Ibn Hazm (w. 456H/1064M) , iaitu seorang ulama’ yang
terkenal di Cordova (al-Dhahabi, 2001:198). Ibn Hazm atau nama penuhnya ialah al-Hafiz Abu
Muhammad, Ali bin Ahmad bin Sa’id bin Hazm, dilahirkan di Cordova pada tahun 384H/994M.
Kehebatan Ibn al-Hazm dalam bidang ilmu sangat terserlah, terutama dalam bidang fiqh. Beliau
sangat kuat berpegang kepada mazhab Zahiri. Ibn al-Hazm meninggal dunia pada malam Isnin,
15 Julai 1064M/28 Sha’ban 456H ketika berusia 72 tahun (al-Amin, 1975:349).
Menurut M. Sulaymani, Abu Muhammad telah berguru dengan Ibn Hazm selama tujuh
tahun, sehingga beliau dikenali sebagai seorang yang kuat berpegang kepada mazhab Zahiri (M.
Sulaymani, 1986: 85). Manakala menurut Abd. al-Hamid pula, Abu Muhammad adalah seorang

ulama’ fiqh yang mempunyai kedudukan dalam pentadbiran kerajaan Banu ’Abbad (Abd. alHamid, 1926:215). Demikian juga, ulasan al-Khatib yang menyebut bahawa Abu Muhammad
sebagai seorang ulama’ al-Daulah, yang bermaksud, ulama’ yang terlibat dalam pertadbiran
kerajaan (al-Khatib, 1952: 9). Abu Muhammad adalah seorang ilmuan yang mendapat
kedudukan dalam pemerintahan kerajaan Banu ’Abbad, iaitu pada era pemerintahan al-Mu’tamid
(w.488H) dan dilantik oleh sebagai wazir di Isybiliah. Hubungan al-Mu’tamid dengan Abu
Muhammad disifatkan oleh al-Muqqari, seperti hubungan Khalifah al-Ma’mun dengan Ibn Abi
Duat di Baghdad (al-Muqqari, 1982: 56).
Keluarga Ibn al-’Arabi dari sebelah ibu pula, terdiri daripada datuknya yang bernama
Abu Hafs, ’Umar bin al-Hassan al-Huzani (w.460H). Beliau adalah seorang ulama’ yang
menetap di Isybiliah dan seorang yang lantang menentang dasar pemerintahan kerajaan Banu
’Abbad, lantaran tidak bersetuju dengan dasar pemerintahan kerajaan tersebut (Muhammad,
1992: 20). Dasar yang tidak dipersetujuinya ialah dasar luar kerajaan-kerajaan pada era Muluk
al-Tawa’if, termasuk kerajaan Banu ’Abbad yang memerintah Isybiliah. Sikap mementingkan
diri sendiri tanpa menumpukan kepada proses penyatuan dan pendamaian dalam kalangan
masyarakat Islam di Andalus merupakan dasar yang diamalkan oleh setiap kerajaan Islam dalam
mentadbir wilayah-wilayah di Andalus. Kelantangan beliau, telah menyebabkan beliau dibunuh
oleh al-Mu’tadid (w.461H), pemerintah kerajaan Banu ’Abbad yang ketiga.
Menurut Sa’id ’A’rab, pembunuhan tersebut sebagai salah satu faktor yang menyebabkan
kejatuhan kerajaan Banu ’Abbad (Sa’id, 1987: 11). Namun, proses kejatuhan itu berlaku secara
berperingkat, di mana anak kepada ’Umar bin al-Hassan al-Huzani, iaitu Abu al-Qassim al-


Huzani (w.512H) bertindak mengundang kerajaan Murabitun iaitu sebuah kerajaan Islam yang
memerintah utara Afrika, pimpinan Yusuf Tashifin (w.500H) untuk mengulingkan dan seterusnya
menamatkan pemerintahan kerajaan Banu ’Abbad di Isybiliah dan kerajaan-kerajaan lain pada
era Muluk al-Tawa’if (Sa’id, 1987: 11 & Muhammad, 1992: 20).
Kerajaan Banu ’Abbad berasal dari kabilah Lakhm yang memerintah Isybiliah dari tahun
414H/1023M sehingga tahun 484H/1091M. Kabilah Lakhm berasal dari Yaman (Mubarakpuri,
2010: 22). Menurut Raghib, kerajaan Banu ’Abbad diasaskan oleh Ismail bin ’Abbad (w.414H),
pada akhir kurun ke-4 hijrah dan awal kurun ke-5 hijrah, selepas kejatuhan kerajaan Bani
Umayyah di Sepanyol (Raghib, 2010: 329).
Menurut sejarah, pemerintahan dan penguasaan kerajaan Banu ’Abbad ke atas wilayah
Isybiliah, bermula pada tahun 414H, setelah berakhirnya pemerintahan ’Amir di Andalus (Abu
Nida’, 2006: 5). Kerajaan Banu ’Abbad dibarisi oleh empat orang pemerintah, iaitu Ismail bin
Abbad (w.414H), Muhammad bin Ismail bin Abbad (w.433H), Abbad bin Muhammad bin Ismail
yang memakai gelaran al-Mu’tadid (w.461H) dan Abu al-Qasim, Muhammad bin Abbad yang
memakai gelaran al-Mu’tamid (w.488H). Selepas berakhirnya pemerintahan al-Mu’tamid pada
tahun 484H, berakhirlah pemerintahan Banu ’Abbad di Isybiliah. Secara keseluruhannya, Banu
’Abbad menguasai Isybiliah selama 70 tahun (Raghib, 2010: 343-356). kejatuhan kerajaan Banu
’Abbad di Isybiliah pada tahun 484H, ekoran penguasaan kerajaan Murabitun terhadap wilayahwilayah Islam di Andalus, sekaligus menamatkan era pemerintahan Muluk al-Tawa’if
(Maruwiah Ahmat, 2003:81).

Dari sudut geografi, wilayah Isybiliah terletak berhampiran dengan wilayah Cordova di
tengah bahagian selatan Andalus. Manakala dari sudut pencapaian dalam bidang keilmuan,
Isybiliah muncul sebagai sebuah tempat paling maju di Eropah dari segi pencapaian bidang ilmu
pengetahuan, terutama pada abad ke-8 hingga 11M. Selain Isybiliah, antara bandar yang paling
maju di Andalus pada waktu itu ialah Cordova dan Granada. Bandar ini telah menyaksikan
berlakunya perkembangan pesat dari segi ilmu pengetahuan ketika Eropah berada dalam Zaman
Gelap (Dark Ages), setelah selatan Sepanyol didominasi oleh peradaban Islam (Kamal, 2009: 7).
Pada era Muluk al-Tawa’if, setiap kerajaan yang memerintah wilayah-wilayah di
Sepanyol mengamalkan dasar memperluaskan kuasa masing-masing dengan melakukan pelbagai
cara, tanpa mempedulikan cara apa sekalipun yang dilakukan agar hasrat mereka tercapai. Ini
dilakukan, sama ada dengan tipu helah mahupun terpaksa menggunakan pedang, walaupun cara
tersebut tidak mendatangkan faedah kepada mereka. Dalam konteks kerajaan Banu ’Abbad,
pendekatan al-Mu’tadid (w.488H), di Isybiliah, ketika menewaskan kuasa puak Barbar di selatan
dan barat Andalus, cukup membuktikan pendekatan yang digunakan pakai oleh kuasa Muluk alTawa’if dalam perluasan kuasa kerajaan masing-masing (Raghib, 2010:56).
Dalam suasana geo-politik yang meruncing inilah, lahirnya Ibn al-’Arabi iaitu pada era
pemerintahan al-Mu’tamid Ibn ’Abbad, pemerintah terakhir kerajaan Banu ’Abbad. Persekitaran
sosial budaya masyarakat Isybiliah yang meminati bidang ilmu dan lanskap politik Isybiliah
yang dikuasai oleh kerajaan Banu ’Abbad serta kedudukan ayahnya sebagai seorang pegawai
kerajaan telah melatari kehidupan Ibn al-’Arabi pada awal kelahirannya.


Rajah 1. Kelahiran Ibn al-’Arabi pada era pemerintahan al-Mu’tamid

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN IBN AL-’ARABI
Latar belakang pendidikan Ibn al-’Arabi, sudah dapat digambarkan secara umum, berdasarkan
latar belakang keluarga beliau. Oleh itu, Sa’id ’A’rab dalam ulasannya berkenaan latar belakang
pendidikan Ibn al-’Arabi telah menyatakan dengan jelas, bahawa Ibn al-’Arabi dibesarkan
dalam suasana mencintai ilmu pengetahuan. Menurut Sa’id lagi, Ibn al-’Arabi telah didedahkan
dengan tiga bidang ilmu pada usia kecilnya, iaitu ilmu al-Qur’an, ilmu bahasa Arab dan ilmu
mengenai pengetahuan am, seperti kaedah pengiraan, pembinaan dan ilmu-ilmu yang bersifat
semasa (Sa’id, 1987: 11).
Ulasan yang sama turut dinyatakan oleh al-Khatib dalam mukadimmah tahqiq kitab
al-’Awasim, di mana beliau menyatakan bahawa, tiga bidang ilmu yang diberikan tumpuan oleh
Ibn al-’Arabi pada peringkat awal, iaitu sebelum beliau memulakan pengembaraan ke timur
tengah. Bidang ilmu tersebut, ialah al-Qur’an, bahasa dan ilmu semasa (al-Khatib, 1952: 11).
Huraian secara terperinci terhadap penglibatan Ibn al-’Arabi dalam ketiga-tiga bidang
ilmu tersebut, dinyatakan oleh Sa’id ’A’rab. Menurutnya, bagi subjek al-Qur’an, Ibn al-’Arabi
mempelajari kaedah bacaan daripada ayahnya sendiri. Hasilnya, beliau bukan sahaja mampu
membaca bahkan menghafal keseluruhan al-Qur’an. Ini dapat dibuktikan melalui kenyataan Ibn
al-’Arabi yang terakam dalam salah satu karyanya yang berjudul Qanun al-Takwil,


‫رتب لي أبي معلما لكتاب الله حتى حذقت القران في العام التاسع‬
Bermaksud; Ayahku telah mengajarkan kitab Allah kepadaku sehingga aku menghafalnya pada
usia sembilan tahun (Ibn al-‘Arabi, 1986:76).
Selain dari mempelajari ilmu al-Qur’an secara langsung daripada ayahnya, beliau juga
mendalami ilmu Qiraat daripada bapa saudara sebelah ibunya, yang bernama Abu al-Qassim alHuzani (w.512) (Sa’id ‘A’rab, 1987: 11).

Manakala untuk subjek bahasa Arab, Ibn al-‘Arabi mempelajari ilmu Nahu dan Syair
Arab. Kitab Nahu yang dipelajari oleh beliau ialah kitab al-Muqtadib, karangan Abu al-Abbas,
al-Mubarrad (w.285H). Kitab al-Muqtadib, merupakan kitab Nahu yang dipelajari oleh
kebanyakan masyarakat Andalus, terutama dalam mempelajari ilmu bahasa Arab. Selain itu,
beliau juga mempelajari kitab al-Wadih, karangan Muhammad bin al-Hasan al-Zubaidi (w.379H)
(Sa’id ‘A’rab, 1987: 11). Menurut Mohd Bakhit, al-Zubaidi merupakan ulama’ yang mempunyai
kepakaran dalam ilmu Nahu di Andalus. Beliau menetap di Isybiliah dan merupakan salah
seorang generasi pertama Andalus yang mengembangkan ilmu Nahu (Mohd Bakhit & Jailani
Hamzah, 2011: 153).
Manakala pembelajaran Syair Arab oleh Ibn al-’Arabi, meliputi pembelajaran Syair
Sittah, iaitu himpunan Syair daripada enam orang cendiakawan iaitu Imra’ al-Qais, al-Nabighah,
’Alqamah, ’Antarah, Zuhair dan Tarafah (Sa’id ‘A’rab, 1987: 11). Himpunan Syair tersebut telah
dihuraikan maksudnya oleh al-’A’lam al-Shantamiriy (w.476H), iaitu seorang ulama’ Andalus
yang mempunyai kepakaran dalam bidang bahasa Arab (Mohd Bakhit & Jailani Hamzah, 2011:

153).
Selain daripada mendalami ilmu al-Qur’an dan bahasa Arab, tumpuan juga diberikan oleh
Ibn al-’Arabi dalam pembelajaran ilmu-ilmu semasa, seperti ilmu Matematik yang melibatkan
pengiraan harta pusaka dan ilmu mengenai pembinaan bangunan (Sa’id ‘A’rab, 1987: 11).
Berdasarkan kepada perkembangan ini, jelas menunjukkan bahawa, Ibn al-‘Arabi adalah
seorang yang meminati bidang ilmu dan mempunyai kesungguhan yang tinggi dalam menuntut
ilmu pengetahuan. Kesungguhan Ibn al-’Arabi telah dinyatakan oleh beliau sendiri, berdasarkan
kenyataan yang terakum dalam kitab Qanun al-Takwil;

‫ي هؤلءا المعلمون من صلةا الصبح إلى أذان العصر‬
‫يتعاقب عل ي‬
Bermaksud; Dalam proses pengajian, guru-guruku bersilih ganti dari waktu subuh hingga masuk
waktu solat Asar (Ibn al-‘Arabi, 1986:190).
Kenyataan Ibn al-’Arabi itu jelas mengambarkan komitmen beliau dalam menuntut ilmu pada
usia remaja. Hasil daripada usaha beliau yang bersungguh-sungguh dalam mendalami ilmu
pengetahuan, menjadi asas yang kukuh bagi dirinya untuk menerima dan memahami cabangcabang ilmu pengetahuan dengan mudah. Semua ini, dikukuhkan lagi dengan kenyataan Abd.
Hamid, bahawa Ibn al-‘Arabi sudah pun mantap dalam bidang ilmu sebelum beliau mengembara
ke timur tengah (Abd. Hamid, 1926: 216).

Pengembaraan ke timur tengah

Menurut al-Khatib, pengembaraan Ibn al-‘Arabi bermula pada bulan Rabi’ al-Awwal tahun 485H
(al-Khatib, 1952: 16), iaitu setahun selepas kejatuhan kerajaan Banu ’Abbad pada tahun 484H,
ekoran penguasaan kerajaan Murabitun terhadap wilayah-wilayah Islam di Andalus, sekaligus
menamatkan era pemerintahan Muluk al-Tawa’if (Maruwiah, 2003:81).
Politik Andalus telah mengalami perubahan dari sudut pemerintahan, iaitu peralihan
kuasa daripada kerajaan yang dikuasai oleh suku puak, kepada kerajaan yang bermatlamatkan

penyatuan, setelah Andalus berada dalam kancah politik yang begitu lama, ekoran perpecahan
dalam kalangan umat Islam. Dalam suasana ini, Ibn al-’Arabi bersama ayahnya meninggalkan
Andalus dan memulakan pengembaraan ke timur tengah
Menurut Abd. Hamid bin Badis, tujuan Ibn al-’Arabi bersama ayahnya ke timur tengah,
ialah untuk mengerjakan ibadat haji di Mekah (Abd. Hamid, 1926:234). Manakala Raghib pula
menyatakan pengembaraan Ibn al-’Arabi bersama ayahnya adalah atas arahan Yusuf Tashifin
iaitu pemimpin kerajaan Murabitun yang baru sahaja menguasai Andalus, supaya bertemu
dengan Khalifah Daulah ’Abbasiyyah di Baghdad untuk melaporkan perkembangan politik di
Andalus, selain itu juga, pertemuan dengan para ulama’ di timur tengah atas tujuan meminta
fatwa dan pandangan terhadap usaha Yusuf Tashifin menamatkan konflik politik di Andalus
(Raghib, 2010:513).
Berdasarkan cacatan Raghib dan Abd. al-Hamid di atas jelas menunjukkan bahawa
pengembaraan Ibn al-’Arabi dan ayahnya ke timur tengah bertujuan politik dan ibadat. Meskipun
demikian, Sa’id ’A’rab, dalam ulasannya berhubung dengan tujuan pengembaraan Ibn al-’Arabi
ke timur tengah, telah menyatakan bahawa meskipun Ibn al-’Arabi mengikuti ayahnya atas
tujuan politik dan ibadat, namun, niat beliau dalam pengembaraan tersebut adalah untuk
menuntut ilmu. Sa’id berhujah demikian, berdasarkan kepada usia Ibn al-’Arabi ketika
pengembaraan bermula iaitu tujuh belas tahun (Sa’id, 1987: 29).
Pengembaraan Ibn al-‘Arabi bermula pada hari Ahad, bulan Rabi’ al-Awwal tahun 485H.
Beliau pada ketika itu, berusia tujuh belas tahun, telah keluar meninggalkan Isybiliah bersama
ayahnya menuju ke wilayah Malaga dan seterusnya ke wilayah Granada.
Di Malaqa, Ibn al-’Arabi sempat menemui seorang ulama’ iaitu Abu Mutarrif, Abd. alRahman bin Qassim al-Sya’bi (w.497H). Kemudian beliau menuju ke Granada, selang beberapa
hari, beliau menuju pula ke al-Mariah (Almeria) dan tinggal beberapa hari di situ. Beliau sempat
menghadiri majlis ilmu Abu al-Hassan, Abd. al-Aziz bin Abd. al-Malik (w.514H) yang
merupakan Qadhi di al-Mariah (Sa’id, 1987: 14). Al-Mariah merupakan lokasi terakhir
pengembaraan Ibn al-’Arabi bersama ayahnya di Andalus, sebelum beliau menyeberangi lautan
meninggalkan Andalus dan menuju ke utara Afrika.
Pengembaraan Ibn al-’Arabi memasuki wilayah Afrika utara, beliau tiba di Bijayah.
Berdasarkan cacatan Yaqut Humawi, Bijayah merupakan sebuah bandar pinggir laut yang
terletak di benua Afrika iaitu di Maghribi (Yaqut, 1995: 339). Ibn al-’Arabi menduduki bandar
Bijayah dalam tempoh beberapa hari, sebelum bergerak menuju ke Tunisia, iaitu di Mahdiah dan
Qairawan, beliau telah bertemu dengan fuqaha’ Qairawan, antaranya ialah Abu Abdullah alMaziri (w.536H). Ibn al-’Arabi telah menyatakan bahawa Abu Abdullah al-Maziri merupakan
seorang ulama’ mazhab Maliki yang sampai ke tahap Mujtahid (Ibn al-’Arabi, 1986:190). Pada
ketika itu, beliau telah mengambil kesempatan untuk mempelajari ilmu Sastera, Qiraat dan ilmu
Kalam, semasa berada di Tunisia (Sa’id, 1987: 197).
Menurut al-Khatib, dari Tunisia, Ibn al-’Arabi dan ayahnya menuju ke Hijaz dengan
menaiki kapal. Dalam perjalanan tersebut, berlaku suatu peristiwa, di mana kapal yang dinaiki
oleh beliau, karam dalam perjalanan. Namun, Ibn al-’Arabi dan ayahnya terselamat dalam
kejadian itu. Mereka berdua terdampar di pantai di Tarablus dan dibawa mendiami

perkampungan Bani Kaab bin Sulaim. Bani Kaab bin Sulaim yang memberikan makanan,
minuman dan pakaian kepada Ibn al-’Arabi dan ayahnya (al-Khatib, 1952: 12).
Seterusnya, pengembaraan diteruskan, iaitu menuju ke Mesir, setibanya di Mesir, Ibn
al-’Arabi mengambil kesempatan untuk menemui ulama’ Mesir pada ketika itu, iaitu al-Qadhi
Abu Hassan, Ali bin al-Hassan (w.492H). Menurut al-Subki, al-Qadhi Abu Hassan merupakan
seorang ulama yang bermazhab Shafie, dilahirkan di Mesir pada tahun 405H. Beliau dikenali
sebagai seorang Musnid iaitu penghafal sanad hadith (al-Subki, 1967:253). Ibn al-’Arabi
menemui al-Qadhi Abu Hassan di makam Imam Shafie (al-Khatib, 1952:13). Menurut cacatan
Sa’id ’A’rab, semasa berada di Mesir, Ibn al-’Arabi telah berpeluang melihat kepelbagaian
mazhab yang terdapat di Mesir (Sa’id, 1987: 19).
Kemudian, beliau bersama ayahnya menuju ke Baitulmaqdis. Di sana, beliau bertemu
dengan Abu Bakar, Muhammad bin al-Walid al-Tartushi al-Fihri (w.520H) iaitu seorang ulama’
bermazhab Maliki, yang berasal dari Andalus. Ibn al-’Arabi telah mengambil manafaat daripada
ilmunya (al-Khatib, 1952:14). Menurut al-Muqqari, al-Tartushi adalah ulama’ Andalus yang
berasal dari Turtushi iaitu sebuah perkampungan di Andalus. Beliau dilahirkan pada tahun
451H/1059M, iaitu dalam tempoh pemerintahan Muluk al-Tawa’if. Beliau menuntut ilmu di
Andalus dengan kebanyakkan guru termasuk Ibn Hazm, kemudian berhijrah ke timur tengah
untuk meneruskan pengajiannya pada tahun 476H. Berdasarkan sumber al-Muqqari, beliau pergi
Baghdad, Basrah dan Syam. Pada akhirnya, beliau menetap di Baitulmaqdis. Al-Turtushi
meninggal dunia, di Iskandariah pada bulan Sha’ban tahun 520H dan dikebumikan di sana (alMuqqari, 1968:85).
Pengembaraan diteruskan lagi menuju ke Damsyik. Ibn al-’Arabi menetap di Damsyik
dan mengambil peluang mempelajari ilmu. Beliau telah menemui Nasir bin Ibrahim al-Maqdisi
(w.490H). Nasir bin Ibrahim, adalah seorang ulama’ bermazhab Shafie. Berdasarkan cacatan alSubki, Nasir bin Ibrahim al-Maqdisi, terkenal dengan kuniyah Abu al-Fath. Beliau seorang yang
memiliki kehebatan dalam ilmu fiqh dan ilmu kalam (al-Subki, 1967: 351).
Dari Damsyik, Ibn al-’Arabi bergerak menuju ke Baghdad, sebuah kota besar yang
menjadi pusat pemerintahan bagi Daulah Abbasiyyah. Pemerintah Daulah Abbasiyyah pada
ketika itu ialah Khalifah al-Mustazhir (487-512H/1094-1118H). Menurut Isa al-Hassan,
pemerintahan al-Mustazhir berlangsung selama dua puluh empat tahun. Dari sudut politik,
pemerintahan al-Mustazhir, mengalami pelbagai cabaran, di mana kekuasaan Daulah Abbasiyyah
semakin menurun selepas kewujudan kerajaan Islam yang lain yang memberi tekanan kepada
Daulah Abbasiyyah. Kerajaan tersebut seperti kerajaan Fatimiyyah yang memerintah Mesir pada
tahun 495H, kerajaan Murabitun yang memerintah Andalus dan kawasan barat Afrika pada tahun
484H (Isa, 2009:379).
Di Baghdad, Ibn al-’Arabi telah mengambil peluang menuntut ilmu dengan para ulama’
yang tinggal di kota itu. Menurut al-Khatib, Ibn al-’Arabi banyak mendalami ilmu Mustalah alHadith yang meliputi ilmu Rijal, ilmu Usul al-Din, Usul al-Fiqh, bahasa Arab dan ilmu sastera
(al-Khatib, 1952: 17). Antara guru Ibn al-’Arabi semasa beliau berada di Baghdad, iaitu Abu alHusain al-Mubarak (w. 500H), beliau merupakan seorang ulama’ yang luas pengetahuannya
dalam bidang hadith. Selain itu, beliau mempelajari fiqh Shafie dengan Abu Bakr Muhammad
bin Ahmad (w. 507H), iaitu seorang ulama’ mazhab Shafie dan seorang ahli tasawwuf yang

wara’. Beliau mempelajari mazhab al-Zahiri daripada Abu Amir, Muhammad bin Sa’dun
(w.524), iaitu seorang fuqaha’ mazhab al-Zahiri (Al-Khatib, 1952: 18).
Di kota Baghdad, Ibn al-’Arabi banyak menghabiskan masanya untuk menuntut ilmu
pengetahuan daripada tokoh-tokoh besar dalam pelbagai bidang. Beliau juga berkesempatan
menemui tokoh ulama’ besar, iaitu al-Imam al-Ghazali (w.505H). Nama penuh al-Ghazali ialah
Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Tusi. Dilahirkan pada tahun 450H
bersamaan 1058/1059M di sebuah kampung bernama Ghazalah di bandar Tus, Khurasan. Beliau
meninggal dunia pada tahun 505H bersamaan tahun 1111M di bandar Tus (al-Zahabi, 2001:187).
Pertemuan beliau dengan al-Ghazali berlaku ketika beliau sampai ke Baghdad, di mana alGhazali berkhidmat sebagai guru di Institut Nizamiyah di Baghdad. Institut Nizamiyah
merupakan sebuah pusat pengajian yang diasaskan oleh al-Hasan bin Ali bin Ishaq (w.485H) atau
lebih dikenali dengan gelaran Nizam al-Muluk, pada tahun 457H dan dibuka secara rasmi pada
tahun 459H/1067M (Ismail, 1999:167). Ibn al-’Arabi mengambil kesempatan menghadiri kuliah
al-Ghazali dan mendengar bicara ilmu yang sampaikan oleh al-Ghazali di Institut tersebut (Sa’id,
1987: 54).
Kemudian, pada tahun 489H, Ibn al-’Arabi dan ayahnya meninggalkan kota Baghdad
untuk seketika dan menuju ke kota Mekah dan Madinah untuk mengerjakan ibadat haji. Setelah
selesai, Ibn al-’Arabi bersama ayahnya kembali ke Baghdad atas tujuan menemui Khalifah alMustazhir sebelum mereka pulang semula ke Isbiliyyah. Menurut Sa’id ’A’rab, Ibn al-’Arabi dan
ayahnya telah mengadakan pertemuan dengan Khalifah al-Mustazhir dan memaklumkan tentang
perkembangan pemerintahan Murabitun di Andalus. Khalifah kemudiannya mengutuskan surat
kepada pemerintah kerajaan Murabitun melalui pengantaraan Ibn al-’Arabi dan ayahnya. Begitu
juga juga tindakan yang dilakukan oleh al-Ghazali yang turut mengutuskan surat kepada Yusuf
Tashifin, iaitu pemerintah kerajaan Murabitun dengan memberi nasihat supaya dijalankan prinsip
keadilan dalam pemerintahan (Sa’id, 1987: 63).
Setelah segala urusan selesai, Ibn al-’Arabi bersama ayahnya memulakan perjalanan
pulang ke tanah air iaitu di Isybiliah. Mereka keluar dari kota Baghdad menuju ke Syam dan
seterusnya ke Palestin dan ke Iskandariah. Semasa berada di Iskandariah, iaitu pada tahun 492H,
ayahnya meninggal dunia dan dikebumikan di Iskandariah. Keadaan itu menyebabkan, Ibn
al-’Arabi mengambil keputusan untuk pulang ke Isybiliah untuk menyerahkan surat Khalifah alMustazhir dan al-Ghazali kepada pemerintah kerajaan Murabitun (al-Khatib, 1952: 22).
Kepulangan beliau ke Isybiliah berlaku pada tahun 493H iaitu setahun selepas kewafatan
ayahnya di Iskandariah. Wilayah Isybiliah semasa kepulangan Ibn al-’Arabi masih berada di
bawah pemerintahan Yusuf Tashifin iaitu pemerintah kerajaan Murabitun. Pemerintahan Yusuf
Tashifin berakhir pada tahun 500H setelah beliau meninggal dunia (al-Khatib, 1952: 23).
Secara keseluruhan, pengembaraan Ibn al-’Arabi ke timur tengah berlangsung selama 10
tahun, iaitu dari tahun 485H/ 1092M dan pulang ke Isybiliah pada tahun 495H/ 1102M (Sa’id
1987: 32). Kebanyakkan pengkaji telah memberikan pelbagai ulasan mengenai pengembaraan
yang ditempuhi oleh Ibn al-’Arabi, antara pengkaji yang mengulas tentang pengembaraan ini,
ialah Kenneth Garden yang memberikan pandangan bahawa pengembaraan Ibn al-’Arabi telah
mengubah pemikirannya dan memantapkan penguasaan dalam bidang keilmuan (Kenneth, 2015:
1).

Rajah 2 menunjukkan peta lokasi perjalanan pengembaraan Ibn al-’Arabi ke Timur Tengah

Kerjaya Dan Kewafatan
Setelah pulang ke Isybiliah, Ibn al-’Arabi telah mendapat perhatian para pencinta ilmu di sekitar
wilayah Isybiliah untuk mengambil manafaat keilmuan Ibn al-’Arabi. Berdasarkan cacatan alKhatib, munculnya halaqah ilmu di Isybiliah yang dikelolai oleh Ibn al-’Arabi (al-Khatib, 1952:
23).
Selain berkhidmat menyebarkan ilmu pengetahuan di Isybiliah, Ibn al-’Arabi turut
terlibat dalam mempertahankan tanah air dari diceroboh oleh pihak Kristian. Ini dibuktikan
melalui cacatan Sa’id ’A’rab, yang menyatakan bahawa Ibn al-’Arabi terlibat menyeru umat
Islam mempertahankan tanah air mereka daripada terus diceroboh oleh pihak Kristian (Sa’id,
1987:81).
Oleh kerana Ibn al-’Arabi dilihat sebagai seorang ulama’ yang tegas, beliau telah dilantik
menjawat jawatan Qadhi di Isybiliah. Menurut Sa’id, perlantikan secara rasmi berlaku pada
bulan rejab tahun 528H (Sa’id, 1987:81). Perlantikan ini sekaligus memperlihatkan penerimaan
masyarakat dan pemerintah terhadap ilmu dan pendirian Ibn al-’Arabi. Syarat kelayakan bagi
jawatan Qadhi, terlalu ketat, iaitu menghafal sebanyak 12,000 hadith. Walaubagaimana pun Ibn
al-‘Arabi telah melepasi syarat tersebut (al-Khatib 1952: 17).
Sebagai seorang qadhi, Ibn al-’Arabi telah melaksanakan tugasnya dengan baik, beliau
sangat bertegas dalam perkara yang menyanggahi syara’. Sebagaimana yang telah dilapor oleh
Abd. al-Hamid, Ibn al-’Arabi adalah seorang Qadhi yang bersikap keras terhadap orang yang
melakukan kezaliman dan bersikap lemah lembut terhadap orang miskin (Abd. Hamid,
1926:566).

Lantaran ketegasan beliau, menyebabkan beliau tidak disukai oleh beberapa pihak,
terutama dalam isu melibatkan fatwa beliau yang mewajibkan umat Islam Isybiliah menjadikan
kulit binatang korban sebagai benteng untuk mempertahankan wilayah Isybiliah daripada
sebarang pencerobohan. Tindakan tersebut telah mengundang kemarahan umat Islam di Isybiliah
(Abd. Hamid, 1926: 567), (al-Muqqari, 1968:85).
Ekoran daripada kebencian sebahagian masyarakat Islam Isybiliah, menyebabkan Ibn
al-’Arabi dipecat daripada jawatan Qadhi. Beliau dikatakan menjawat jawatan tersebut dalam
tempoh satu tahun. Selepas dipecat, Ibn al-’Arabi membawa diri berpindah ke Cordova. Di
Cordova, beliau terus menyebarkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat umum.
Menurut Sa’id, Ibn al-’Arabi mendiami Cordova dalam tempoh yang singkat, kemudian
beliau pulang semula ke Isybiliah. Kepulangannya ke Isybiliah dengan pembawaan yang baharu,
di mana tumpuan beliau hanya untuk menyebarkan ilmu pengetahuan. Atas tujuan ini, beliau
telah membina Masjid di Isybiliah dan membuka halaqah-halaqah ilmu. Beliau mula
menumpukan pengajaran dalam bidang tafsir, hadith, fiqh, bahasa Arab, sastera dan sejarah
(Sa’id, 1986: 90).
Konflik politik Andalus sekali lagi bergolak, menyaksikan kerajaan Murabitun diguling
oleh kerajaan Muwahidun. Pada ketika itu, Ibn al-‘Arabi bersama ulama yang lain, menuju ke
utara Afrika untuk menemui pemimpin Muwahiddun bagi menyatakan baiah kepada mereka,
dalam perjalanan tersebut, beliau telah meninggal dunia semasa berada di utara Afrika, iaitu di
bandar Fez pada bulan Rabi’ al-Awwal tahun 543H dan dikebumikan jenazahnya di sana (Sa’id
1987: 67).
Ibn al-‘Arabi telah meninggalkan karya-karya yang banyak yang sampai kepada kita pada
hari ini selain kitab al-‘Awasim Min al-Qawasim, antara karyanya yang lain ialah (al-Khatib,
1952: 28-29).
1.
2.
3.
4.
5.
6.
7.
8.
9.

‘Aridhah al-Ahwazi fi Sharh al-Tarmizi.
Anwar al-Fajr fi Tafsir al-Qur’an.
Qanun al-Takwil fi Tafsir al-Qur’an.
Ahkam al-Qur’an.
al-Nasikh Wa al-Mansukh fi al-Qur’an.
al-Qabs: Fi Sharh al-Muwatta’ Malik bin Anas.
al-Mahsul fi ‘Ilm al-Usul.
Tartib al-Rihlah lil Tarqib fil Millah.
al-Masalik fi Sharh Muwatta Malik dan banyak lagi.
PENGLIBATAN IBN AL-’ARABI DALAM BIDANG SEJARAH

Penglibatan Ibn al-’Arabi dalam bidang sejarah boleh dilihat melalui penghasilan kitab
al-’Awasim. Berdasarkan cacatan al-Khatib, kitab al-’Awasim telah dihasilkan pada tahun 536H
iaitu tujuh tahun sebelum beliau meninggal dunia iaitu pada tahun 543H (al-Khatib, 1952: 26).
Keterlibatan Ibn al-’Arabi dalam bidang sejarah, berlaku di hujung usianya, berbeza dengan
penglibatan beliau dalam bidang-bidang yang lain seperti bidang fiqh, hadith dan tafsir,

Faktor-faktor yang mendorong Ibn al-’Arabi terlibat dalam bidang sejarah, sebagaimana
ulasan Muhammad Sulaymani, di mana Andalus pada akhir kurun ke 5H dan awal kurun ke 6H,
munculnya pelbagai aliran, iaitu aliran akidah dan tasawuf. Fenomena ini telah menyebabkan
timbulnya kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam berhubung kefahaman agama (M.
Sulaymani, 1986: 48).
Sebagai contoh, kemunculan individu bernama Ibn al-Musarrah al-Jabali, atau nama
sebenarnya Muhammad bin Abdullah (w.319H) di Andalus pada kurun ke 4H, dengan membawa
beberapa pandangan yang dilihat pro-muktazilah. Pemikiran dan Ideologi Ibn al-Musarrah mula
tersebar setelah kematian beliau (M.Sulaymani, 1986: 51).
Selain itu, kemunculan kitab-kitab yang ditulis oleh generasi sebelumnya, seperti kitab
Muruj al-Zahab oleh al-Mas’udi dan kitab al-Imamah Wa al-Siasah oleh Ibn Qutaybah, di mana
terdapat beberapa ulasan dalam kitab tersebut yang dilihat memberi gambaran buruk terhadap
pemerintahan Uthman bin ’Affan, menjadi satu faktor yang mendorong Ibn al-’Arabi bangkit
menjawab tuduhan yang terdapat dalam kitab-kitab tersebut. Ini dapat dibuktikan melalui
penyataan Ibn al-’Arabi di akhir kitab al-’Awasim, di mana beliau dengan jelas menolak kitabkitab tersebut dan menyarankan supaya umat Islam merujuk kepada sumber yang sahih dalam
isu melibatkan para sahabat Rasulullah SAW.
Dalam suasana inilah, Ibn al-’Arabi mula bertindak dengan membetulkan keadaan,
melalui penghasilan kitab al-’Awasim. Kitab al-‘Awasim bukan sebuah kitab sejarah seperti kitab
Tarikh al-Tabari tetapi ianya adalah sebuah kitab yang meliputi perbincangan mengenai bidang
falsafah, teologi, fiqh dan qiraat, hanya satu pertiga daripada keseluruhan kandungan kitab ini
membicarakan tentang sahabat Rasulullah SAW yang mempunyai nilai sejarah.
Perbahasan mengenai isu-isu kontoversi melibatkan para sahabat Rasulullah SAW telah
mendapat perhatian para pengkaji sejarah Islam, justeru itu, usaha mentahqiq perbahasan ini,
telah dijalankan oleh beberapa tokoh antaranya ialah Muhib al-Din al-Khatib, Muhammad alSayyid al-Shanawi dan Mustafa Abu al-Ma’ati. Mereka telah mengasingkan perbahasan ini
dengan menerbitkan kitab khusus yang berjudul al-‘Awasim Min al-Qawasim: Fi Tahqiq
Mawaqif al-Sahabat Ba’ad Wafat al-Nabi.
Karya Ibn al-‘Arabi ini, merupakan karya yang telah memperkenalkan nama beliau. Ini
kerana penulisan beliau mempunyai nilai yang tersendiri. Ia ditulis berkenaan satu topik yang
kontroversi yang sudah tentu menarik minat ramai pembaca. Kemunculan kitab ini, boleh
dikatakan sebagai perintis kepada karya-karya lain yang membicarakan isu konflik dan
kontroversi dalam sejarah Islam. Selepas kemunculan kitab ini, muncul pula kitab Minhaj alSunnah oleh Ibn Taimiyyah yang membahaskan isu-isu akidah dan ilmu kalam. Kemudian
disusuli oleh ramai penulis yang mengikuti cara ini dalam mengupas isu konflik dan kontroversi.

Skop perbahasan kitab al-’Awasim
Karya Ibn al-‘Arabi ini, walaupun ianya menceritakan peristiwa yang berlaku selepas kewafatan
Nabi Muhammad SAW sehingga zaman awal Bani Umayyah, tetapi hanya memilih isu-isu
kontroversi yang berlaku di antara tempoh dua zaman ini, yang berkaitan dengan konflik politik
atau isu-isu kontroversi yang disebut sebagai fitan (Sahrulazmi Sidek 2009).

Tajuk perbahasan yang disentuh oleh Ibn al-‘Arabi, adalah seperti berikut (Ibn al-‘Arabi 1998).

1.

Peristiwa selepas kewafatan Nabi, iaitu mengenai tindakan Ali, Uthman, Umar, keluarga
Abbas, kedudukan Ansar dan Muhajirin dan kedudukan tentera Usamah bin Zaid.

2.

Perhimpunan di Thaqifah Bani Saidah dan perlantikan Khalifah Abu Bakar serta
perlantikan Khalifah Umar secara ringkas.

3.

Khalifah Uthman bin Affan dan tohmahan yang dilemparkan kepadanya.

4.

Khalifah Ali bin Abi Talib.

5.

Konflik antara Ali dan Talhah, Zubair dan Aisyah sehingga terjadinya perang Jamal.

6.

Konflik antara Ali dan Muawiah.

7.

Perlantikan Hassan bin Ali dan pengundurannya.

8.

Isu Tahkim dan dakwaan ar-Rafidhah tentang kedudukan Ali.

9.

Khalifah Muawiah bin Abu Sufian.

10.

Perlantikan Yazid bin Muawiah.

11.

Isu pembunuhan Husin di Iraq.

12.

Kepimpinan Bani Umayyah.

Huraian beliau bergantung kepada berapa banyak isu kontroversi yang berlaku di zaman tersebut.
Ulasan Ibn al-‘Arabi mengenai Khalifah Uthman amat panjang kerana banyak isu dan konflik
yang berlaku pada zamannya dan tidak banyak huraian dan ulasan mengenai kepimpinan Umar
al-Khatab kerana tidak terdapat konflik dan kontroversi pada era pemerintah Umar al-Khattab.
Perbincangan mengenai Mu’awiyah, banyak diulas oleh Ibn al-‘Arabi kerana terdapat
banyak isu-isu kontroversi yang berlaku. Huraian topik Mu’awiyah, turut meliputi isu penarikan
diri Hasan bin Ali daripada jawatan khalifah, keistimewaan Mu’awiyah, tohmahan yang
dilontarkan kepadanya, perlantikan anaknya Yazid sebagai penggantinya, beberapa sungutan
mengenai Yazid, pemergian Husin bin Ali ke Kufah dan topik perlantikan atau perjawatan Bani
Umayyah.
Namun, Ibn al-‘Arabi tidak menyentuh isu-isu ekonomi, futuhat, perluasan empayar,
peperangan, pertahanan, sumbangan, ketenteraan, pembangunan, pendidikan atau isu-isu sejarah
yang biasa disebut oleh ahli sejarawan lain. Selain itu, beliau tidak menyatakan beberapa topik
kontroversi yang pada era kepimpinan Khalifah Harun ar-Rasyid atau lain-lainnya.
Dengan skop penulisan ini, menunjukkan bahawa Ibn al-‘Arabi antara yang terawal
menulis sejarah mengenai isu-isu kontroversi dan konflik politik sejarah Islam secara khusus
tanpa menyentuh mana-mana topik lain. Walaupun, sudah terdapat sejarawan Islam yang telah
menyentuh topik-topik ini, Tetapi penulisan Ibn al-‘Arabi secara khusus tentang topik

kontroversi dengan analisa dan kritikan ilmiah, adalah suatu revolusi dalam penghasilan karya
sejarah Islam. Kemudian, muncul penulis-penulis lain yang cuba mengupas isu-isu kontroversi
ini. Antara yang terkenal Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Minhaj al-Sunnah Li al-Rad Ala arRafidhah. Tetapi Ibn Taymiyah banyak membincangkan isu-isu akidah bukannya konflik politik.

Sumber Historiografi
Sumber adalah sesuatu perkara yang penting dalam pengkajian sejarah, dalam hal ini, menurut
Sayyidah Ismail Khasif dalam bukunya Masadir al-Tarikh al-Islamiy menyatakan, bahawa
sumber sebagai maklumat yang dipegangi atau dirujuk dalam menjelaskan persoalan mengenai
sejarah yang ditulis (Sayyidah, 1976: 12). Berhubungan dengan sumber penulisan Ibn al-‘Arabi
dalam kitab al-‘Awasim, didapati beliau banyak mengambil sumber-sumber hadith.
Pentahqiq kitab ini, seperti Muhammad Shanawi dalam tahqiqnya banyak menyandarkan
hadith-hadith yang dikemukakan oleh Ibn al-‘Arabi kepada sahih al-Bukhari, sahih Muslim dan
al-Darqutni (Shanawi, 1998: 43). Selain itu, Athar atau kata-kata sahabat yang dikemuka oleh
Ibn al-‘Arabi juga turut dikemukakan Ibn al-Khatir dalam kitab Bidayah wa al-Nihayah
(Shanawi 1998). Ini dibuktikan lagi dengan penjelasan Ibn al-‘Arabi sendiri pada akhir kitabnya,
di mana, beliau telah menyarankan supaya jangan menerima mana-mana sumber dalam
memahami isu kontroversi melainkan daripada ulama hadith yang thiqah (Ibn al-‘Arabi, 1998:
76).

KESIMPULAN
Berdasarkan kepada penelitian terhadap biografi Ibn al-’Arabi dan kitab al-’Awasim,
menunjukkan bahawa Ibn al-’Arabi mempunyai sumbangan dalam bidang sejarah. Latar
belakang keluarga dan pendidikan membuktikan kemantapan ilmu pengetahuan dan pengalaman
yang dimiliki oleh Ibn al-’Arabi sehingga membentuk keperibadian dirinya. Keterlibatan dalam
sejarah Islam jelas menunjukkan tanggungjawab beliau sebagai seorang ulama’ yang berperanan
sebagai benteng ummah dalam mempertahankan akidah mereka. Pendekatan dalam penulisan
sejarah yang dikemukakan oleh Ibn al-’Arabi, berbeza dengan pendekatan yang dipratikkan oleh
kebanyakkan para sejarawan yang lain. Oleh itu, kitab ini menjadi benteng bagi umat Islam
dalam mempertahankan akidah mereka. Sesungguhnya musuh-musuh Islam mencari segenap
ruang untuk memecah belahkan umat ini, setelah mereka gagal dalam memecah belahkan dalam
perkara yang besar, mereka mencari pula jalan lain, sehingga sahabat Rasulullah dituduh sebagai
pembunuhan, pengkhianat dan bahkan lebih teruk daripada itu, sedangkan Nabi SAW
menyatakan bahawa para sahabat seperti bintang dilangit, jika kamu mengikuti mereka, nescaya
kamu beroleh hidayah. Usaha Ibn al-‘Arabi mempertahankan sahabat, adalah suatu sumbangan
besar beliau kepada umat Islam.

Rujukan

A’rab, ‘Sa‘id. 1987. Ma’a al-Qadi Abi Bakr al-‘Arabi. Bayrut: Dar al-Gharab al-Islami.
al-Dhahabi, Shamsuddin, Muhammad bin Ahmad bin ‘Uthman. 1990, Siyar A’lam al-Nubala’.
Tahqiq Husayn al-Asad. Bayrut: Dar al-Kutub al-‘Imiyyah.
al-Muqqarri, Ahmad bin Muhammad. 1968. Nafh al-Tib Fil Gasn al-Andalus al-Ratib. Bayrut:
Dar al-Sadir.
al-Subki, ’Abd. al-Wahhab bin ’Ali. 1967. Tabaqat al-Shafieyyah al-Kubra. Tahqiq Mahmud
Muhammad & ’Abd. al-Fattah Muhammad. Bayrut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah.
al-Humawi, Yaqut bin ’Abdullah. 1995. Mu’jam al-Buldan. Bayrut: Dar al-Sadir.
Ibn al-‘Arabi, Abu Bakar. 1952. al-Awasim Min al-Qawasim Fil Tahqiq Mawaqif al-Sahabat
Ba’d Wafat al-Nabi. Tahqiq, Muhib al-Din al-Khatib. Bayrut, al-Maktabah al-’Ilmiyyah.
Ibn al-‘Arabi, Abu Bakar. 1998. al-Awasim Min al-Qawasim Fil Tahqiq Mawaqif al-Sahabat
Ba’d Wafat al-Nabi. Tahqiq, Muhammad al-Sayyid al-Shanawi. Qaherah, Dar al-Qalam
lil al-Turath.
Ibn al-‘Arabi, Abu Bakar. 2008. al-Awasim Min al-Qawasim Fi Tahqiq Mawaqif al-Sahabat
Ba’d Wafat al-Nabi. Tahqiq, Mustafa Abu al-Ma’thi. al-Qahirah: Dar al-Gad al-Jadid.
Ibn al-‘Arabi, Abu Bakar. t.th. al-Nass al-Kamil Lil al-Kitab al-Awasim Min al-Qawasim.
Tahqiq, Abd. al-Hamid Badis. al-Qahirah: Maktabah Dar al-Turath.
Khasif, Sayyidah Isma‘il. 1986. Masadir al-Tarikh al-Islami wa Manahij al-Bahth fih. alQahirah: Maktabah al-Khanaji.
M. Bakhit Hj. ’Ali & M. Jailani Hamzah. 2011. Perkembangan Ilmu Nahu di Andalus: Biografi
Dan Sumbangan Pemikiran Tokoh Ulama. Jurnal al-Basirah, Vol. 1, No. 1. Kuala
Lumpur: Universiti Malaya.
Mubarakfuri, Safiyurrahman. 2010, al-Rahiq al-Makhtum. Kaherah: Dar al-Wafa’.
Maruwiat Ahmat. 2003. Sejarah Bani Umayyah di Andalus. Shah Alam: Karisma Publications
Sdn. Bhd.
M. Sulaymani, 1986. Tahqiq Qanun al-Takwil Lil Ibn al-’Arabi. Jeddah: Dar al-Thaqafah.
Raghib al-Sirjani. 2010. Qissah al-Andalus Min al-Fath Ila al-Suqut. Kaherah. Muassasah Iqra’
lil Nasr wa al-Tauzi’ wa al-Turjumah.
SAQ Husaini. 1990. Prinsip Ketuhanan Ibn ‘Arabi. Tej: Abdul Majid bin Haji Khatib. Kota
Bharu. Pustaka Aman Press. Sdn. Bhd.

Sahrulazmi Sidek & Noorsafuan Che Noh. 2009. Metodologi Penulisan Ibn al-‘Arabi dalam
Kitab al-‘Awasim min al-Qawasim: Fi Tahqiq Mawaqif al-Sahabat Ba’da Wafat al-Nabi.

Proceedings of The Malaysia Conference on Arabic Studies And Islamic Civilization.
2009. Bangi. Universiti Kebangsaan Malaysia.