Tanggapan Pimpinan Persatuan Bukan Islam

TANGGAPAN PIMPINAN PERSATUAN BUKAN ISLAM
TERHADAP NGO-NGO ISLAM DI MALAYSIA

MUHAMMAD HAIKAL BIN MOHD HEDZIR*
P85248
___________________________________________________________
ABSTRAK
NGO-NGO Islam di Malaysia bergerak di tengah-tengah masyarakat majmuk yang
berbilang kaum dan agama. Mereka menyebarkan agama Islam berdasarkan ideologi,
pendekatan dan strategi yang berbeza, menyebabkan berlakunya konflik dan salah
faham dalam kalangan masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam. Kajian ini
bertujuan untuk meninjau sejauh mana tanggapan masyarakat bukan Islam terhadap
NGO-NGO Islam di Malaysia dan adakah mereka merasakan bahawa pergerakan
NGO-NGO Islam ini mengancam keharmonian masyarakat berbilang agama di
Malaysia. Metode yang digunakan oleh pengkaji ialah dengan menggunakan kaedah
temubual bagi meninjau tanggapan masyarakat bukan Islam terhadap NGO Islam di
Malaysia. Pengkhususan responden yang ditemubual ialah pimpinan-pimpinan
daripada persatuan-persatuan bukan Islam di UKM. Secara keseluruhannya, dapatan
kajian menunjukkan tanggapan positif dalam kalangan masyarakat bukan Islam
terhadap NGO Islam di Malaysia. Terdapat juga responden yang tidak mengetahui
langsung berkenaan NGO Islam di Malaysia. Tanggapan-tanggapan tersebut lahir

berdasarkan pemerhatian mereka terhadap pendekatan dan pergerakan NGO-NGO
Islam di Malaysia.
Kata Kunci: NGO Islam di Malaysia ,Tanggapan pimpinan persatuan bukan Islam

*email: haikalhedzir@gmail.com

2

PENGENALAN
Di tengah suasana masyarakat majmuk di Malaysia yang berbilang bangsa dan
berbilang agama, wujudnya gerakan-gerakan atau NGO-NGO Islam yang bergerak
menyebarkan dakwah untuk memberi kefahaman Islam kepada masyarakat Islam serta
berdakwah kepada golongan bukan Islam untuk memperkenalkan agama Islam kepada
mereka.
Adapun namanya sebuah gerakan, apabila bergerak sudah menjadi sunnatullah
untuk sentiasa berlaku pergeselan atau perselisihan. Dengan kewujudan NGO-NGO
Islam yang pelbagai, dengan cara pendekatan yang berbeza, dengan ideologi yang
berlainan dan strategi dakwah yang tersendiri, menyebabkan wujudnya kekeliruan
dan perselisihan dalam kalangan masyakarat Islam dan tidak terkecuali juga
masyarakat bukan Islam yang terkena tempiasnya. Jadi, dengan cara pembawaan

NGO-NGO Islam yang pelbagai, satu kajian telah dibuat untuk meninjau dan melihat
pandangan masyarakat bukan Islam terhadap pergerakan NGO-NGO Islam di
Malaysia.
Selain daripada dakwah kepada masyarakat muslim untuk memberi kefahaman
Islam, kebanyakan NGO-NGO Islam juga turun ke medan bagi menyebarluaskan
dakwah dan memperkenalkan keindahan Islam kepada masyarakat bukan muslim.
Namun, adakah seruan atau dakwah yang disampaikan oleh NGO-NGO Islam ini
sampai kepada golongan bukan Islam? Dengan pendekatan dan strategi dakwah serta
pelbagai aktiviti yang telah dilakukan oleh NGO-NGO Islam, adakah dakwah mereka
berjaya disebarluaskan kepada golongan bukan Islam sehingga golongan bukan Islam
sekurang-kurangnya mengetahui kewujudan dan keberadaan NGO-NGO Islam di
Malaysia? Ataupun NGO-NGO Islam ini hanya bertepuk sebelah tangan semata-mata
dengan merasakan bahawa dakwah yang mereka lakukan sudah sampai kepada
masyarakat bukan Islam, namun hakikatnya bagaimana? Adakah berlaku seperti yang
diinginkan ataupun sebaliknya?

3

Di samping itu, kajian ini juga bertujuan merungkai tanggapan golongan
masyarakat bukan Islam yang mengetahui dan menyedari akan wujudnya NGO-NGO

Islam di Malaysia, adakah mereka berasa selesa dengan kehadiran NGO-NGO Islam
dan adakah mereka merasakan bahawa dengan kehadiran NGO-NGO Islam ini dapat
mengganggu gugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
Hal ini kerana wujud banyak isu yang hangat diperkatakan di Malaysia berkenaan
pendekatan atau cara dakwah NGO-NGO Islam yang boleh dikatakan tegas dengan
golongan bukan Islam, dan ada yang bersikap lebih lembut dan rahmah kepada
golongan bukan Islam. Dengan adanya kajian ini, segala persoalan dan kemusykilan
akan terungkai dengan jelas, tidak lagi hanya bersangka-sangka dan meneka-neka
semata-mata.
Kajian ini dibuat dengan menggunakan kaedah kualitatif berbentuk kajian
lapangan. Melalui kajian lapangan yang buat, pengkaji menggunakan kaedah
temubual bagi memperolehi jawapan daripada responden-responden berkaitan dengan
kajian ini. Sebanyak 5 buah soalan yang telah dikemukakan kepada respondenresponden bagi tujuan kajian ini yang diletakkan di bahagian lampiran. Respondenresponden yang dipilih untuk ditemubual ialah pimpinan-pimpinan dalam kalangan
persatuan bukan Islam di UKM.
Antara justifikasi pemilihan responden dalam kajian ini ialah disebabkan mereka
iaitu pimpinan dalam persatuan-persatuan terlibat secara langsung dan tidak langsung
dalam aktivisme dan aktiviti kepersatuan yang melibatkan pelajar yang berbilang
kaum dan agama di UKM. Jadi kemungkinan untuk mereka bekerja dan mengenali
persatuan atau NGO Islam di Malaysia adalah besar. Jadi pengkaji melakukan kajian
dengan menemu bual mereka berkenaan tanggapan mereka terhadap NGO-NGO

Islam di Malaysia. Hal ini juga kerana kebanyakan NGO Islam di Malaysia sudah
mempunyai sayap mahasiswa mereka yang tersendiri dan diorganisasikan di dalam
IPT khususnya UKM untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah kepada masyarakat
Islam dan bukan Islam. Maka, bagi peringkat mahasiswa di IPTA dan IPTS, sudah
semestinya mereka tidak asing lagi dengan NGO-NGO Islam di Malaysia.

4

SEJARAH KEMUNCULAN NGO-NGO ISLAM
DI MALAYSIA
Bermula 1970-an, Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah diperkenalkan di Malaysia.
Ramai pelajar-pelajar Malaysia telah dihantar ke luar negara bagi menyambung
pelajaran yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Hal ini kerana pada waktu
tersebut institusi pendidikan di Malaysia masih lagi dalam proses perkembangan dan
pengukuhan. Secara purata Malaysia menghantar sekitar 5,000 pelajar ke luar negara
setiap tahun sejak 1970 hingga 1980-an. (Melati Mohd Ariff: 2012 ) Kebanyakan
pelajar yang dihantar adalah ke negara-negara eropah dan timur tengah.
Dalam pada masa yang sama, kebangkitan dakwah era 1970-an telah
menyonsong kesedaran kebangkitan Islam di negara ini sehingga ia dianggap menjadi
pemangkin proses islamisasi pada period seterusnya (Badlihisham Mohd Nasir: 2010).

Islam yang sebelum itu dilihat berkembang dalam kerangka tradisional dan
kenservatif, telah memasuki era baru yang didokong oleh kesedaran dakwah dalam
seluruh aspek kehidupan seperti yang dibawa oleh gerakan Islam (Ibid).
Pelajar-pelajar Malaysia yang dihantar ke luar negara merupakan aset yang
sangat penting dalam membawa pulang ke Malaysia pengaruh gelombang
kebangkitan Islam oleh gerakan Islam di luar negara seperti Ikhwanul Muslimin
pimpinan Iman Hassan Al-Banna dan juga Jama’at Islami yang dipimpin oleh Abu
A’la Al-Maududi. Mereka mendapat pendedahan dakwah dan tarbiah semasa belajar
di luar negara dan usaha-usaha tersebut telah mereka lanjutkan ke dalam negara
sesudah pulang bekerja dan berkeluarga.
Sejak pada itu, Lahirnya kebangkitan islam di Malaysia untuk menyebarkan
kefahaman Islam kepada masyarakat di Malaysia. Kebangkitan Islam atau Islamisme
ini dibawa oleh individu-individu yang kini menganggotai gerakan-gerakan dakwah
untuk menerapkan kembali kefahaman Islam yang syumul dan sebenar ke dalam
masyarakat. Gerakan Islam ini berkembang dan terus berkembang dan membentuk
NGO-NGO Islam yang pelbagai yang boleh dilihat pada masa kini.

5

Antara NGO Islam yang terawal bertapak di Malaysia dan berperanan dalam

menggerakkan dakwah di Malaysia ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Kemudian, muncul pelbagai lagi NGO Islam seperti Jemaah Islah Malaysia (JIM)
yang kini dikenali sebagai Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan sehingga kini,
terdapat banyak lagi gerakan dan NGO Islam seperti Ikatan Muslimin Malaysia
(ISMA), HALUAN, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Yayasan
Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM), World Assembly of Muslim Youth (WAMY)
dan banyak lagi.
NGO-NGO Islam seperti yang disenaraikan di atas mempunyai dasar
perjuangannya dan cara pendekatan yang tersendiri. Akan tetapi mereka masih
mempunyai matlamat yang sama iaitu menyebarkan agama Islam. Setelah berlaku
beberapa perkembangan, kebanyakan NGO-NGO Islam di Malaysia kini sudah
mempunyai sayap mahasiswa untuk mereka bertapak dan menjalankan aktiviti serta
dakwah dalam kalangan mahasiswa di IPTA dan IPTS. Contohnya, ABIM mempunyai
sayap mahasiswa di IPTA dan IPTS seperti PKPIM. Selain itu, IKRAM juga diwakili
oleh IKRAMSiswa, ISMA yang diwakili oleh PEMBINA serta HALUAN yang
diwakili oleh HALUANSiswa dan terdapat banyak lagi. NGO-NGO Islam yang
bertapak di dalam IPT menerusi wadah-wadah yang diterbitkan ini berperanan penting
dalam menyampaikan dakwah serta kefahaman Islam dalam kalangan mahasiswa di
IPT, tidak kira mahasiswa Islam mahupun yang bukan Islam.


HASIL KAJIAN DAN PERBINCANGAN
Kajian ini melibatkan 5 orang responden yang masing-masing merupakan pimpinan
dalam persatuan-persatuan bukan Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pengkaji
telah menemubual kelima-lima responden ini, iaitu Presiden Persaudaraan Kristian
UKM, Presiden Perwakilan Katholik UKM, Timbalan Presiden Perwakilan Hindu
UKM, Naib Setiausaha Persatuan Angpow UKM sesi 2014/2015 dan Ketua Pengarah
Sekretariat Pesta Tanglung UKM. Sebanyak 5 soalan yang telah ditanya kepada
mereka dan hasilnya telah direkodkan.

6

Berdasarkan keseluruhan temubual yang telah dijalankan, tanggapan
responden dapat dikategorikan kepada dua bahagian, iaitu golongan yang tidak
mengetahui tentang kewujudan NGO Islam di Malaysia dan golongan yang tahu dan
cakna dengan kewujudan NGO Islam di Malaysia. Kedua-dua bahagian jawapan yang
telah dikategorikan ini mempunyai huraian dan sebab tersendiri yang telah
dikemukakan oleh responden kepada pengkaji.
Daripada 5 orang responden yang telah ditemubual, seramai 3 orang responden
yang tidak mengetahui tentang kewujudan NGO Islam di Malaysia. Berdasarkan
pemerhatian pengkaji melalui respons yang diberikan oleh 3 orang responden ini,

pengkaji mendapati bahawa masih terdapat masyarakat bukan Islam yang belum
terdedah dengan kewujudan NGO Islam di Malaysia. Hal ini besar kemungkinannya
adalah disebabkan mereka daripada golongan pelajar yang masih belum terdedah
dengan isu-isu berkaitan dengan NGO-NGO Islam di Malaysia.
Antara faktor utama lainnya ialah kurangnya publisiti yang dilakukan oleh
NGO Islam di Malaysia khusunya di kampus dan kurangnya aktiviti-aktiviti yang
melibatkan percampuran mahasiswa yang berlainan agama yang dinjurkan oleh NGO
Islam. Selain itu, terdapat responden yang memberi ulasan di antara punca mereka
tidak mengetahui kehadiran NGO Islam adalah disebabkan kurang tersebar aktivitiaktiviti dakwah umum yang melibatkan masyarakat ataupun mahasiswa bukan Islam
(Kogulan Ehambaram: 2016)
Manakala bagi 2 orang responden yang memberikan tindak balas bahawa
mereka mengetahui dan cakna akan kewujudan NGO Islam di Malaysia, tanggapan
mereka direkodkan dan dibuat pemerhatian berdasarkan soalan-soalan yang diberikan.
Untuk soalan pertama, mereka mengetahui wujudnya NGO-NGO Islam di Malaysia
dan memberikan contoh NGO yang diketahuinya seperti IKRAM, ISMA, PEKIDA,
PERKASA dan lain-lain. Apabila ditanya mengenai fungsi NGO Islam terhadap
masyarakat Islam, Presiden Perwakilan Katholik UKM berpendapat bahawa NGO
Islam berfungsi untuk berdakwah dan menjaga kepentingan serta menjaga kebajikan
orang Islam (Daniel David: 2016). Selain itu, berdasarkan pendapat Presiden
Persaudaraan Kristian UKM , NGO Islam berperanan menguatkuasakan prinsipprinsip Islam dalam aspek perundangan, politik, masyarakat dan sebagainya (Alakasia


7

Petrus: 2016). Berdasarkan pemerhatian pengkaji, mereka mempunyai tanggapan yang
positif mengenai peranan NGO-NGO Islam terhadap masyarakat Islam sendiri.
Berdasarkan soalan seterusnya, salah seorang dari responden beranggapan
bahawa NGO Islam yang diketahui dan dikenali adalah sangat terbuka dan bersifat
inclusive. Selain itu, NGO Islam juga merupakan satu badan yang sangat mesra
dengan bukan Islam (Daniel David: 2016). Manakala wujud juga satu lagi tanggapan
terhadap NGO Islam bahawa mereka sangat-sangat exclusive kerana hanya
menjalankan aktiviti-aktiviti sesama muslim sahaja (Alakasia Petrus: 2016) sehingga
menyebabkan responden tersebut tiada peluang untuk mempunyai pengalaman bekerja
bersama NGO-NGO Islam. Berdasarkan pemerhatian pengkaji, terdapat dua maklum
balas yang berbeza iaitu dari sudut positif dan dari sudut negatif. Wujudnya dua
maklum balas yang berbeza adalah disebabkan oleh cara pendekatan dan cara
pembawaan yang berbeza dalam kalangan NGO Islam. Terdapat NGO Islam yang
mana sangat mengalu-alukan hubungan baik dan beraktiviti bersama dengan golongan
bukan Islam. Selain itu terdapat juga NGO Islam yang menghadkan penglibatan dalam
aktiviti-aktiviti dakwahnya kepada golongan Islam sahaja. Jadi, dua pendekatan dan
pembawaan yang berbeza ini menghasilkan tanggapan yang berbeza dalam kalangan

bukan Islam.
Bagi soalan yang seterusnya, kedua-dua responden mengemukakan pendapat
yang sama, iaitu NGO Islam akan mengancam keharmonian masyarakat majmuk dan
berbilang agama di Malaysia jika NGO Islam tersebut melakukankan perkara yang
berikut. Yang pertama ialah jika NGO Islam bertindak secara radikal dan bergerak
dengan ekstrim. Selain itu, NGO Islam juga boleh membawa ancaman jika mereka
melaksanakan agenda tersendiri hanya untuk sesuatu agama atau kaum yang di dalam
agenda tersebut membawa kepada rasa tidak puas hati terhadap kaum-kaum lain di
Malaysia (Alakasia Petrus: 2016).
Seterusnya, NGO Islam boleh memberi ancaman kepada keharmonian
masyarakat majmuk di Malaysia jika NGO Islam tersebut membawa sentimen
perkauman & agama yang melampau dan boleh menjerumuskan kepada pergaduhan
di antara kaum-kaum di Malaysia. Selain itu, cara pendekatan dan pembawaan NGO
Islam yang ‘tidak mesra dengan bukan Islam’ akan mengganggu keharmonian

8

masyarakat majmuk di Malaysia. Hal ini kerana NGO Islam yang tidak mesra dengan
bukan Islam seolah-olah hidup di dalam dunianya yang tersendiri tanpa melihat
kepada kepelbagaian yang wujud di sekeliling mereka. Keharmonian dan kedamaian

hanya akan dapat dicapai jika berlakunya persefahaman dan toleransi antara
masyarakat terutamanya masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Malaysia.
Yang terakhir berdasarkan tanggapan responden ialah, NGO Islam yang mengancam
keharmonian masyarakat majmuk ialah NGO Islam yang exclusive. Kenyataan salah
seorang responden ialah jika NGO Islam tersilap langkah, tidak mustahil berlakunya
semula peristiwa hitam 13 mei 1969 (Alakasia Petrus: 2016).
Untuk soalan yang terakhir iaitu berkaitan dengan saranan yang ingin
diberikan kepada NGO Islam, secara keseluruhannya responden-responden
menyatakan bahawa tiada masalah untuk NGO Islam ini berdakwah, namun mestilah
bersama mereka cara dan niat yang betul. Mereka berpendapat amatlah tidak patut
bagi sesebuah NGO Islam berdakwah dengan sentuhan pertama sahaja kemudian
ditinggalkan tanpa diikuti perkembangannya terutamanya yang berlaku di Sabah.
Kebanyakan kes berlaku di Sabah ialah NGO Islam mengislamkan penduduk Sabah,
tetapi setelah itu, mereka ditinggalkan begitu sahaja tanpa diikuti perkembangannya
dalam mempelajari ilmu agama dan ilmu al-Quran.
Selain itu, Saranan mereka terhadap NGO Islam mestilah menggunakan cara
dan pembawaan yang harmoni serta tidak bermain dengan sentimen perkauman dan
agama (Daniel David: 2016). NGO Islam perlu memperbanyakkan aktiviti dialog
dengan agama lain secara adil dan saksama. Hal ini sebagai langkah pencegahan jika
tidak tahu tentang sesuatu perkara dalam agama lain, tidak menggunakan langkah
andaian semata-mata tanpa mengetahui jawapan sebenar daripada agama tersebut.
Oleh kerana itu, dialog di antara agama sangat penting untuk diadakan secara ilmiah.
Seterusnya, NGO Islam disarankan untuk bertindak secara adil dalam
melaksanakan sebarang agenda terutamanya terhadap bukan Islam iaitu tidak terlalu
mementingkan kepentingan sesuatu badan dan organisasi di samping perlu mengambil
kira pandangan-pandangan dari masyarakat bukan Islam bagi memastikan tahap
penerimaan mereka terhadap dakwah NGO Islam. Hal ini disebut oleh responden
kerana responden mengetahui dan menyatakan bahawa antara ciri-ciri yang ada pada

9

syariah adalah fleksibel , tidak membebankan , bersifat universal dan tidak memaksa
penganut lain menganut agama Islam (Alakasia Petrus: 2016).
Maka, berdasarkan saranan-saranan yang diberikan oleh responden kepada
NGO-NGO Islam di Malaysia, pengkaji dapat simpulkan bahawa masyarakat bukan
Islam boleh menerima sentuhan dan kerjasama daripada NGO Islam jika NGO Islam
tersebut boleh memberikan kerjasama dan lebih bersifat rahmah serta berlembut
dengan masyarakat bukan Islam tanpa merendahkan dan menggadaikan prinsipprinsip sebagai umat Islam.

KESIMPULAN
Berdasarkan kajian dan temubual yang telah dibuat oleh pengkaji, dapatlah
dikonklusikan ke dalam beberapa perkara. Setiap NGO Islam perlu melihat dakwah
dari sudut yang lebih luas, bukan terhad kepada golongan Islam dan melayu sahaja.
Hal ini disebabkan kita tidak hidup hanya dalam kalangan orang Islam dan melayu
sahaja, bahkan kita hidup di dalam suasana yang penuh kepelbagaian dan mempunyai
latarbelakang dan agama yang berbeza. Jadi semuanya perlu diraikan dalam konteks
menyampaikan dakwah Islamiyah. Selain itu, setiap NGO Islam perlu merasakan
pentingnya peranan mereka dalam menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat
bukan Islam. Jika bukan NGO Islam yang berperanan untuk menyebarkan Islam
kepada masyarakat bukan Islam, mahu diharapkan kepada siapa lagi?
Di samping itu, setiap gerakan dakwah perlu berusaha sedaya-upaya untuk
mengelakkan diri daripada dipandang negatif oleh masyarakat bukan Islam kerana
tanggapan atau pandangan yang negatif oleh masyarakat bukan Islam boleh membawa
kerugian kepada dakwah itu sendiri. Hal ini kerana apabila imej sesuatu NGO Islam
telah tercalar, maka semakin sukar untuk mereka menyebarkan Islam kerana sudah
mempunyai satu halangan atau benteng di antara mereka dan tanggapan masyarakat
bukan Islam. Jadi, NGO Islam perlu mengelakkan diri daripada dipandang negatif
dengan cara tidak terlalu radikal atau ekstrim, tidak membawa isu-isu sensitif seperti
isu perkauman yang mengganggu gugat keharmonian masyarakat majmuk di

10

Malaysia, dan NGO Islam perlu sentiasa bersikap rahmah, harmoni dan adil serta
berlemah lembut terhadap masyarakat bukan Islam, supaya hati mereka menjadi lebih
lembut untuk menerima seruan dakwah yang diberikan.
Isu-isu di UKM khususnya serta di Malaysia amnya masih tidak banyak
melibatkan dialog antara agama yang menyebabkan kewujudan NGO ni tidak
diketahui. Jadi, penekanan bahawa pentingnya dialog antara agama untuk membuka
lebih besar ruang perbincangan secara ilmiah & perkongsian secara harmoni dalam
kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam. Hal ini juga boleh membuka kesempatan
kepada NGO Islam untuk memperkenalkan keindahan agama Islam kepada
masyarakat bukan Islam seterusnya menunjukkan qudwah atau contoh tauladan yang
baik kepada mereka supaya mereka akan lebih tertarik dengan Islam itu sendiri. Akhir
sekali, NGO Islam perlu memperbanyakkan lagi publisiti ataupun hebahan kepada
golongan bukan Islam dengan aktiviti-aktiviti yang melibatkan penglibatan
masyarakat bukan Islam terutamanya daripada golongan mahasiswa.

RUJUKAN
Alakasia Petrus. 2016. Tanggapan pimpinan persatuan bukan Islam terhadap NGO
Islam di Malaysia, Bangi. Temu bual, 11 Mei.
Daniel David. 2016. Tanggapan pimpinan persatuan bukan Islam terhadap NGO Islam
di Malaysia, Bangi. Temu bual, 11 Mei.
Kogulan a/l Ehambaram. 2016. Tanggapan pimpinan persatuan bukan Islam terhadap
NGO Islam di Malaysia, Bangi. Temu bual, 10 Mei.
Phoo Kho Jing. 2016. Tanggapan pimpinan persatuan bukan Islam terhadap NGO
Islam di Malaysia, Bangi. Temu bual, 10 Mei.
Yong Chee. 2016. . Tanggapan pimpinan persatuan bukan Islam terhadap NGO Islam
di Malaysia, Bangi. Temu bual, 24 Mei.

11

Melati Mohd Arif. 2012. http://www.sinarharian.com.my/rencana/ptptn-talian-hayatuntuk-menimba-ilmu-1.61317?localLinksEnabled=false. (10/5/2016).
Asyraf. 2014. http://sbu342institusiislamdimalaysia.blogspot.my/2014/05/persatuanpersatuan-islam.html (24/5/2016).
Muhammad Arif Bin Yahya, al-Manhaj al-Haraki dalam penulisan Sayyid Muhammad
Nuh menurut perspektif hadith: aplikasi dalam isu-isu semasa gerakan
dakwah di Malaysia, Tesis PhD, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya,
Kuala Lumpur, 2015.

12

LAMPIRAN 1
Soalan Temu Bual
S1. Adakah anda tahu tentang kewujudan NGO Islam di Malaysia?

S2. Adakah anda tahu apa fungsi dan peranan NGO-NGO ini terhadap masyarakat
Islam?

S3. Adakah anda merasakan mereka ini mesra dengan Non Muslim? boleh anda
menjelaskan dengan lebih lanjut? (pengalaman berhadapan / berurusan dengan
mereka)

S4. Adakah anda merasakan bahawa kewujudan NGO-NGO Islam ini mengancam
kesejahteraaan dan keharmonian masyarakat berbilang agama di Malaysia?

S5. Apakah saranan yg boleh anda berikan atau harapan anda kepada NGO-NGO
Islam bagi memelihara toleransi antara agama di Malaysia.

13

LAMPIRAN 2

Senarai Responden

1)
Nama: Daniel David
Jawatan: Presiden Perwakilan Katholik UKM
Waktu temubual: 11 Mei 2016 pada 9.00 am

2)
Nama: Alakasia Petrus
Jawatan: Presiden Persaudaraan Kristian UKM
Waktu temubual: 11 Mei 2016 pada 9.30 am

3)
Nama: Kogulan a/l Ehambaram
Jawatan: Timb. Presiden Perwakilan Hindu UKM
Waktu temubual: 10 Mei 2016 pada 3.50pm

4)
Nama: Phoo Kho Jing
Jawatan: Naib Setiausaha Persatuan Angpow UKM (2014/2015)
Waktu temubual: 10 Mei 2016 pada 10.36 am

14

5)
Nama: Yong Chee
Jawatan: Ketua Pengarah Sekretariat Tanglung UKM
Waktu temubual: 24 Mei 2016