BAHASA DALAM FILEM: ANTARA DUA ZAMAN

BAHASA DALAM FILEM MELAYU: ANTARA DUA ZAMAN
OLEH
NUR FATIHA FADILA
FILEM selain daripada berfungsi sebagai alat hiburan, juga menjadi wadah
penterjemahan suatu gagasan yang dibawa oleh pengkarya. Dalam masa yang
sama, filem menjadi cermin bagi identiti sesebuah bangsa dan negara. Robert P.
Polker dalam Film Studies (2000) menyatakan bahawa kedudukan filem di Amerika
Syarikat merujuk sesuatu dengan nilai dalaman yang tinggi. Nilai yang dimaksudkan
ialah gagasan pemikiran, tema, plot, mis-en-scene dan unsur semiotik yang
terkandung di dalamnya.
Sejak awal kemunculan filem, medium layar perak ini sentiasa dilihat mampu
memberi pengaruh yang besar terhadap khalayak masyarakat. Ketika revolusi
melanda negara Rusia, V.I Levin melihat filem sebagai medium paling penting
berbanding kewujudan seni yang lain. Hal ini disebabkan oleh keberkesanan media
filem dalam menjayakan sesuatu propaganda dan mempengaruhi budaya sesebuah
masyarakat.
Seperti lagu dan irama yang tidak dapat dipisahkan maka begitulah juga filem
dan bahasa. Pendita Za’ba menyatakan bahawa sebuah skrip itu mempunyai hak
yang sama seperti dalam pembinaan sebuah rumah (Mana Sikana, 1988). Jika
perkara asas dalam mendirikan sebuah rumah ialah tiang, dinding, atap dan paku
maka antara elemen utama bagi pembikinan sebuah skrip dan filem pula ialah

bahasa. Dalam konteks perfileman, bahasa yang dimaksudkan ialah dialog yang
diujarkan pelakon. Aspek pemilihan dan penggunaan perkataan bagi sebuah lakon

1

layar amat penting dalam memperlihatkan imej-imej juga idea yang cuba
disampaikan karyawan filem.
Bahasa sebagai medium komunikasi utama dalam seni perfileman juga amat
penting bagi mempengaruhi minda dan tindakan masyarakat selain unsur visual
yang dibawa. Penggunaan bahasa yang baik mampu menjadikan bahasa yang
digunakan dalam filem dipandang tinggi oleh masyarakat. Sebaliknya, penggunaan
bahasa yang tidak menepati tatacara penggunaan yang betul boleh mengundang
implikasi negatif. Filem yang gagal menggunakan bahasa dengan baik boleh
menjatuhkan reputasi bahasa terbabit di mata masyarakat, walaupun bahasa yang
digunakan itu telah diangkat sebagai bahasa rasmi negara.
Melihat susur galur perkembangan seni filem tempatan, bahasa Melayu yang
telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa kebangsaan
dikesan turut mengalami perubahan mendadak dalam dunia perfileman. Apabila
dibandingkan antara bahasa Melayu dalam fiem-filem P. Ramlee dengan bahasa
Melayu dalam filem-filem Melayu hasil karyawan kini, kelihatan amat jelas jurang

perbezaannya. Bahasa Melayu dalam filem-filem P. Ramlee jelas melontarkan
penggunaan struktur dan diksi yang menepati ciri bahasa dan bangsa Melayu itu
sendiri. Meskipun negara pernah dijajah oleh Inggeris dalam jangka masa yang agak
panjang, bahasa Melayu dalam filem-filem P. Ramlee tidak dibiarkan terjajah.
Amat sukar untuk menemui bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris
digunakan secara meluas dan melebihi keutamaan bahasa Melayu dalam filem-filem
Melayu dahulu. Lakon layar ‘Antara Dua Darjat’ yang ditulis dan diarahkan oleh P.
Ramlee boleh dianggap sebagai batu tanda kegemilangan bahasa Melayu dalam
dunia perfileman tempatan. Filem yang diterbitkan oleh Malay Film Production
2

(1960) ini jelas menampilkan penggunaan bahasa Melayu tinggi oleh setiap watak
tanpa mengira darjat.
Gambaran penggunaan bahasa Melayu tinggi dalam filem P. Ramlee ini
terpancar apabila watak-watak berdarah bangsawan seperti Ungku Aziz, Tengku
Zaleha, Tengku Mukri dan Tengku Karim tidak menggunakan bahasa Inggeris
sebagai medium komunikasi utama. Meskipun digambarkan sebagai golongan
berdarah raja, P. Ramlee berusaha untuk tidak menjadikan golongan tersebut
dipengaruhi oleh Inggeris melalui bahasanya. Perhatikan contoh dialog 1, iaitu
babak antara Ungku Aziz bersama Tengku Mukri dan dialog 2 yang diujarkan

Ghazali, mewakili golongan marhaen :
Dialog 1
TENGKU MUKRI
Tadi, saya terlupa diri. Maafkanlah saya, Ungku.
UNGKU AZIZ
Tak apalah, Tengku Mukri. Tiada manusia yang tidak
berbuat salah.
Dialog 2
TENGKU ZALEHA
Kami datang ke Anggrek Villa dengan ditemani Ungku
Aziz, sahabat baik suamiku. Tujuanku datang ke Anggrek
Villa ialah semata-mata untuk berjumpa dengan kau, Ghazali.
GHAZALI
Rupanya penderitaanmu lebih hebat daripada aku Zaleha
dan aku rasa sungguh berdosa berjumpa denganmu di tengah
malam begini sebabnya kau sudah pun menjadi milik orang.

Dialog di atas jelas tidak memperlihatkan penggunaan bahasa Inggeris.
Walaupun kedua-dua watak dalam dialog pertama mewakili golongan bangsawan
yang sangat mementingkan darjat dan mendapat pendidikan di Barat, penulis dan

pengarah filem secara sedar tetap mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu
3

sebagai medium komunikasi utama. Sementara itu, petikan dialog 2 mencerminkan
kesantunan dan tatasusila masyarakat bawahan yang ditandai oleh Ghazali dalam
menggunakan bahasa Melayu ketika berhadapan dengan Tengku Zaleha. Dialog
yang diujarkan sangat terpelihara daripada pelanggaran kesantunan bahasa dan
sangat berhati-hati penggunaannya, namun tetap berjaya menyampaikan maksud.
Dewasa kini, kewajaran penggunaan bahasa Melayu tinggi sering menjadi
polemik sama ada dalam karya sastera atau seni layar. Bahasa Melayu tinggi ialah
bahasa Melayu yang digunakan dengan menepati nahu bahasa Melayu baik dari
aspek struktur, pemilihan diksi yang tepat dan penggayaan bahasa bertujuan
menyampaikan makna dengan berkesan. Dengan melangkaui batas zaman, filem
‘Antara Dua Darjat’ dapat dikatakan sebagai filem Melayu yang menggunakan
bahasa Melayu tinggi pada era 1960-an dan cemerlang dengan kutipan pecah
panggung.
Atas faktor sejarah penjajahan yang agak panjang oleh pihak Inggeris di
Tanah Melayu, sudah tentu pengaruh bahasa Inggeris tetap menjalar dalam urat
nadi karyawan seperti P. Ramlee dan yang sezaman dengannya. Namun demikian,
jumlah penggunaan bahasa atau perbendaharaan kata bahasa asing dalam filemfilem mereka adalah sangat sedikit dan terhad.

Penonton berupaya mengesan kehadiran bahasa asing iaitu bahasa Inggeris
oleh watak-watak golongan bangsawan dan telor bahasa Jawa melalui watak Wak
Karto. Walau bagaimanapun, kehadiran bahasa Inggeris yang digunakan boleh
dihitung dengan mudah oleh penonton. Hal ini kerana, tidak lebih daripada sepuluh
kosa kata bahasa Inggeris digunakan dalam filem berkenaan. Fungsi penggunaan
bahasa Inggeris dalam filemnya pula adalah untuk menimbulkan rasa humor.
4

Kebanyakan kosa kata yang digunakan adalah pendek misalnya birthday party,
report, meeting, double bass (sejenis alat muzik) dan sharp shooter. Keterbatasan
penggunaan diksi dan bahasa asing dalam filem Melayu ini tidak dilihat sebagai satu
kekurangan atau kemunduran bahasa dan bangsa Melayu sebaliknya menjadi
model dalam menampilkan keunggulan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi
yang diterima lapisan masyarakat majmuk.
Dalam masa yang sama, nilai bahasa dalam pelbagai genre seni tidak
seharusnya diketepikan. P. Ramlee pernah mengatakan betapa irama dan lagu tidak
dapat dipisahkan. Memisahkan kedua-dua unsur itu hanya membuatkan sesuatu
seni itu pincang sama sekali. Maka, begitu jugalah hubungannya antara bahasa
dengan filem. Setiap filem pada hakikatnya memiliki bahasa (dialog) sebagai
penggerak utama kepada perkembangan plot dan wataknya. Sekiranya dialog yang

diujarkan watak tidak menepati struktur dan penggayaan bahasa yang betul, proses
enkod dan dekod penonton akan terganggu sekali gus menjarakkan daya faham
penonton dengan pemikiran yang ada dalam filem.
Di samping penggunaan bahasa yang baik, karyawan filem juga tidak
seharusnya melupakan nilai estetika bahasa untuk dihayati pelbagai golongan
penonton. Perihal mempertahankan estetika bahasa adalah sangat penting dalam
melestarikan penggunaan dan kesedaran mengenai keindahan bahasa terhadap
khalayak. Dalam seni penulisan lakon layar, penekanan terhadap aspek keindahan
bahasa ini merangkumi unsur dramatik bahasa seperti perbandingan, kiasan,
aforisme, epigram, stikometri dan sebagainya. Pengkarya terutamanya penulis skrip
seharusnya menyedari bahawa bahasa Melayu sangat kaya dengan nilai estetika
yang boleh diangkat melalui ujaran dialog watak. Unsur estetika dalam bahasa

5

Melayu seperti yang disebutkan tadi mampu merangsang deria fikir khalayak untuk
menterjemahkan elemen bahasa yang berkait rapat dengan alam hidup manusia.
Secara tidak langsung, penerapan unsur estetik ini mampu menambah ilmu stilistik
khalayak penonton terutamanya bagi golongan remaja dan pelajar.
Filem-filem


P.

Ramlee

sangat

menekankan

unsur

estetika

bahasa

terutamanya unsur aforisme selain epigram. Mana Sikana dalam bukunya
Mendekati Drama (1985) menyebut epigram sebagai kata-kata yang disusun indah
dengan menyimpan makna yang mendalam. Elemen-elemen dramatik bahasa ini
muncul melalui lirik lagu yang dinyanyikan pelakon dan dalam pengucapan harian
watak. Setiap unsur berkenaan dikaitkan dengan keindahan alam yang sangat rapat

dengan kehidupan manusia. Antara unsur aforisme yang digunakan P. Ramlee
dalam filem ‘Antara Dua Darjat’ adalah :
a. Irama dan lagu tidak dapat dipisahkan. Kalau dipisahkan pincanglah lagu dan
rosaklah seni (dialog antara Ghazali dengan Tengku Zaleha)

b. Tak mungkin hilang irama dan lagu
bagaikan kembang sentiasa bermadu
andai dipisah lagu dan irama
lemah tiada berjiwa
hampa.
(petikan lirik lagu ‘Getaran Jiwa’)

Keunggulan bahasa Melayu sebagai wadah utama dalam filem-filem Melayu
kini semakin diancam oleh krisis ketidakyakinan karyawan tempatan bagi
mengangkat martabat bahasa Melayu di layar perak. Realitinya, jumlah tayangan
filem Melayu di pawagan semakin rancak. Namun, untuk melihat sebuah filem
tempatan yang memelihara tatacara penggunaan bahasa yang baik seperti yang
dilakukan oleh filem-filem Melayu pada zaman P. Ramlee amat sukar. Walaupun
6


terdapat filem Melayu tempatan yang berjaya merangkul anugerah dan pengiktirafan
di luar negara, hakikatnya filem-filem itu berjaya lantaran daripada kecenderungan
pihak juri yang lebih menjurus kepada penilaian dari aspek sinematografi, cerita dan
pemikiran yang dihasilkan.
Tidak ada kecenderungan penilai untuk melihat kejituan karya dalam
membawa wajah bangsa dan negara melalui penggunaan bahasa kebangsaan
dengan cara yang betul dan bermaruah. Karyawan dan masyarakat tempatan
kebanyakannya sudah diperkenalkan oleh kerajaan dengan slogan ‘Bahasa Jiwa
Bangsa’ sejak dekad enam puluhan lagi. Meskipun begitu, karyawan filem Melayu
kini seakan-akan memandang enteng terhadap slogan dan kenyataan akan
keunggulan bahasa Melayu yang telah terbukti sejak zaman-berzaman.
Filem ‘Cinta’ (2006) yang ditulis oleh Mira Mustafa telah memenangi banyak
anugerah dan pengiktirafan dalam festival-festival filem tempatan. Hakikat bahawa
filem tersebut cemerlang dalam keindahan seni sinematografi tidak perlu
dibincangkan di sini. Walau bagaimanapun, keindahan aspek teknikal semata-mata
tidak cukup untuk menjadikan filem ‘Cinta’ sebagai sebuah filem yang ditulis oleh
karyawan tempatan, berjaya menterjemahkan nilai bangsa dan masyarakat di
Malaysia melalui wadah bahasa rasmi negara.
Terdapat perbezaan yang amat besar antara filem ‘Cinta’ dengan filem ‘Antara
Dua Darjat’ dalam aspek penggunaan dan estetika bahasa Melayu. Sekiranya filem

‘Antara Dua Darjat’ memperlihatkan penggunaan bahasa Melayu tinggi yang baik
dalam kalangan bangsawan dan marhaen, filem ‘Cinta’ memaparkan perbezaan
status pengguna bahasa Melayu. Bahasa Melayu yang terpelihara hanya digunakan
oleh watak-watak bukan daripada golongan profesional seperti Rubiah (pemilik kedai
makan), Amin (pemandu teksi), Cikgu Elyas (guru) dan Sivagi (tukang gunting
rambut). Sementelahan itu, watak-watak yang menyandang kerjaya profesional
seperti Dian (arkitek), Haris (arkitek) dan Azlan (editor) lebih mengutamakan bahasa
7

Inggeris sebagai medium komunikasi, baik dalam hal yang berkaitan kerjaya atau
kehidupan peribadi.
Jurang perbezaan penggunaan bahasa Melayu antara dua kelompok watak
ini menandakan pemikiran karyawan yang meletakkan bahasa Inggeris sebagai
lambang intelektual dan profesionalisme bangsa Melayu. Hal ini sudah tentu
merupakan satu pandangan yang salah. Hakikatnya, bahasa Melayu sudah pun
dikenali dan terbukti sebagai bahasa yang anjal dan mampu menterjemahkan
pelbagai ruang lingkup ilmu kritikal.
Lebih menyedihkan apabila ‘bahasa rojak’ dalam filem ‘Cinta’ wujud secara
berleluasa dalam kebanyakan babak. Dialog sedemikian bukan sahaja diucapkan
oleh watak yang berusia sebaliknya turut diujarkan oleh watak Allisa yang berumur

lapan tahun. Perhatikan petikan dialog antara Allisa dengan Haris seperti berikut:
“Lis nak apa-apa?”
“Tak nak”
“Nak Milo?”
“Tak nak.”
“What about juice?”
“Tak nak.”
“Papa, I’m working.”
“Okay. I can see it.”

Kata yang dicondongkan ialah jumlah kata bahasa Inggeris yang sama banyak
dengan jumlah kata bahasa Melayu. Hal ini tidak seharusnya berlaku dalam sebuah
lakon layar tempatan. Manakala kata yang ditebalkan ialah kata yang disebut
dengan

gaya

bahasa

Inggeris.

Petikan

yang

sedikit

ini

memperlihatkan

kecenderungan pengkarya menggunakan bahasa Inggeris dalam filem sekali gus
meminggirkan hak bahasa Melayu sebagai alat komunikasi utama. Petikan ini juga
menunjukkan kecenderungan penggunaan unsur sinkof tanpa melibatkan fungsinya
sebagai unsur estetik bahasa.
Selain penggunaan ‘bahasa rojak’, wujud juga ‘bahasa slanga’ yang sangat
rendah tarafnya daripada bahasa Melayu tinggi, malahan terpinggir daripada nilai
estetika bahasa Melayu. Perhatikan petikan lagu yang dinyanyikan oleh Joe
8

(penyanyi jalanan) di sekitar kawasan Pasar Seni yang menjadi tumpuan pelancong
luar :
ketika keringatku jatuh
dari hujung bulu ketiakku
dan bersatu dengan debu yang mampir
lewat kakiku.

Perhatikan juga dialog antara Joe dengan Dhani dalam adegan yang sama :
JOE
Bro, dia syok dekat lu bro. Iye.
DHANI
Diamlah!
JOE
Bro, kenapa kau tak nak ajak dia keluar makan-makan,
minum-minum. Pergi dating.
DHANI
Sebab aku tak nak. Kau blah boleh tak. Aku tengah
kerja ni.

Kata yang ditebalkan dalam petikan dialog di atas ialah kata yang tidak wujud dalam
kosa kata bahasa Melayu manakala kata yang dicondongkan ialah perkataan
daripada bahasa Inggeris. Contoh petikan lagu dan dialog di atas adalah satu
pemerkosaan terhadap bahasa Melayu oleh karyawan tempatan. Diksi seperti itu
bukan sahaja tidak mencerminkan ketinggian bahasa dan bangsa Melayu malahan
tidak membantu dalam meningkatkan kemahiran berbahasa khalayak penonton
dengan baik. Apakah tanggapan penonton dari negara luar yang membaca sari kata
dialog dan lagu sebegitu? Di manakah “Melayunya” bahasa Melayu? Sebagai
medium seni yang mempunyai pengaruh besar terhadap masyarakat, penggunaan
bahasa dalam filem seperti yang disebutkan tadi adalah mencemarkan dan
memudaratkan bahasa kebangsaan negara.
Menyentuh mengenai estetika bahasa, unsur bahasa dramatik seperti
aforisme tetap kelihatan dalam filem Melayu kini. Namun demikian, perbandingan
kiasan dan kata-kata yang mengandungi nilai falsafah dalam filem Melayu kini
nampak seolah-olah meminggirkan perkaitan alam dengan seni estetika bahasa
9

Melayu. Kebanyakan unsur perlambangan diujarkan watak secara langsung tanpa
sebarang kiasan. Sesuai dengan tajuk filemnya iaitu ‘Cinta’, aforisme dalam filem ini
kebanyakannya merujuk soal cinta secara langsung seperti yang berikut:
a. Kadang-kadang orang yang paling kita sayanglah yang paling susah
untuk disayangi (dialog Rubiah kepada Dian).

b. Ya, bukan senang nak dapat teman hidup yang sanggup terima buruk
baik kita. Sanggup berkorban untuk kita. Sanggup hidup bersama
hingga akhir hayat. Isteri bukanlah hak milik, tapi anugerah (dialog Cikgu
Elyas kepada Rubiah).

Sebagai medium yang begitu berpengaruh terhadap minda dan kehidupan
masyarakat, kepentingan penggunaan bahasa Melayu dengan baik dalam filem
sangat perlu diperhatikan secara serius. Penggiat filem tempatan harus menyedari
tanggungjawab yang digalas dalam melestarikan bahasa Melayu sebagai nadi
sebuah

filem.

Sebagai

penggiat

seni

layar,

karyawan

bukan

sahaja

bertanggungjawab membawa alam fikir masyarakat bertambah matang dengan
dasar pemikiran dan pengalaman melalui naratif semata-mata. Dengan medium dan
ruang yang ada, karyawan filem turut bertanggungjawab untuk memelihara dan
mengangkat martabat bahasa Melayu ke puncak tertinggi. Memetik kata-kata Ramli
dalam filem ‘Seniman Bujang Lapok’, “bahasa menunjukkan bangsa, tahu!”

10