BAB VI
SISTEM PENYELESAIAN PERTIKAIAN PENGGUNA PERBANKAN ISLAM DI MALAYSIA SEBAGAI RUJUKAN
6.1 PENGENALAN
Perkembangan perbankan Islam setakat ini menunjukkan perakuan masyarakat dunia terhadap konsep dan operasional kewangan Islam. Pelbagai keunggulan konsep
perbankan Islam berbanding perbankan konvensional telah menarik hasrat negara-negara bukan Islam bagi turut mengamalkan operasional perbankan Islam. Perkara ini seperti
mana telah berlaku di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan Singapura.
1
Bagi mendapatkan gambaran pelaksanaan penyelesaian pertikaian pengguna perbankan Islam, kajian terhadap negara luar, iaitu Malaysia telah diambil perhatian.
Dalam pengembangan perbankan Islam, Malaysia merupakan satu model rujukan bagi negara lainnya. Dalam konteks penyelesaian pertikaian pengguna perbankan Islam,
Malaysia menjadi rujukan memandangkan pengalamannya adalah lebih awal berbanding Indonesia. Dengan demikian Malaysia memiliki pengalaman lebih banyak dalam
membangunkan infra struktur, institusi dan perundangan yang seterusnya memberikan kesan kepada sistem penyelesaian pertikaian pengguna perbankan. Pilihan ini juga
disebabkan Malaysia memiliki peringkat yang menyamai Indonesia, terutamanya dalam aspek: i perlembagaan, kedua-dua negara boleh mengamalkan sebahagian undang-
undang Islam; ii penduduk Muslim di kedua-dua negara adalah majoriti; iii keadaan
1
Lihat Bab 1 dan IV.
sosial budaya, masyarakat kedua-dua negara adalah bersesuaian disebabkan sebahagian besarnya berasal daripada satu rumpun Melayu, termasuk dalamnya adalah bahasa; iv
dalam kawasan serantau, kedua-dua negara merupakan ahli Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara ASEAN yang telah mempunyai pelbagai program kerjasama; v secara
sejarah, kedua-dua negara mempunyai hubungan yang rapat dalam pelbagai bidang; dan vi secara antarabangsa, kedua-dua negara merupakan ahli beberapa organisasi yang
sama, antaranya Pertubuhan Persidangan Islam OIC, anggota Kerjasama Ekonomi Asia- Pasifik APEC, dan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB. Meskipun
antara Malaysia dan Indonesia mengguna pakai sistem undang-undang yang berbeza berasaskan warisan undang-undang kolonial masing-masing, namun memandangkan
fokus utama penyelidikan ini berkaitan dengan mekanisme penyelesaian pertikaian pengguna perbankan Islam, maka kesahihan kajian perbandingan ini masih boleh
dipertahankan.
Bagi tujuan kajian perbandingan dalam bab ini, huraian penyelesaian pertikaian perbankan Islam di Malaysia mengikut pola huraian pada Bab V dengan susunan iaitu:
perundangan, institusi dan mekanisme. Pembahasan perundangan ini akan dikaitkan pula dengan institusi dan mekanisme penyelesian pertikaian, sama ada melalui mahkamah
mahupun di luar mahkamah. Adapun mekanisme di luar mahkamah, hanya mengambil institusi yang melaksanakannya.
Bab ini mengguna pakai pendekatan sejarah, perbandingan dan analitis kritis. Hal ini disebabkan, daripada pendekatan sejarah dapat dikenali wujudnya perubahan pelbagai
aspek yang berlaku dalam sesebuah masyarakat. Dalam bab ini khususnya dihuraikan penyelesaian pertikaian perbankan Islam yang telah berlaku di Malaysia. Pendekatan
perbandingan diguna pakai bagi mendapatkan kefahaman terhadap persamaan dan berbezaan yang wujud antara Malaysia dengan Indonesia. Dengan merujuk perkara
sedemikian, dapat diambil aspek positif yang wujud di Malaysia bagi membuat penstrukturan semula sistem penyelesaian pertikaian pengguna perbankan Islam yang
berperspektif perlindungan pengguna di Indonesia. Sedangkan, aspek negatif yang ditemukan, dapat menjadi rujukan bagi mencadangkan penambahbaikan yang diperlukan.
Pendekatan analistis kritis diterapkan pula dalam perbincangan berkaitan dengan peruntukan perundangan serta kes-kes berkenaan. Keseluruhan huraian dalam Bab VI ini
adalah bagi menjawab objektif tesis yang keempat iaitu menganalisis bentuk-bentuk penyelesaian pertikaian pengguna daripada negara terpilih sebagai rujukan.
6.2 PERUNDANGAN