Asal usul Kampung Terian uka

Kampung Terian indah desanya,
Hinggakan hatiku terpaut disini,
Di dalam hati tidak akan ku lupa,
Bagaikan tali tersimpul mati.

Di sebuah kampung yang terletak di tengah-tengah hutan rimba ada
sekumpulan masyarakat yang hidup dengan aman dan damai. Kampung ini dalam
Daerah Penampang dan terletak di sempadan Taman-Taman Sabah. Pekan
Donggongon merupakan bandar yang terdekat iaitu kira-kira 35 Kilometer melalui
jalan darat. Kampung ini tidak mempunyai kemudahan jalan raya dan penduduk
hanya berjalan kaki melalui jalan lorong yang biasa digunakan oleh penduduk
kampung ketika zaman British. Menurut cerita daripada seorang nenek yang
berumur 76 tahun iaitu Puan Kipan Ruminsing, British telah membuat jalan ke
bandar tetapi tidak menembusi kampung Terian maka penduduk kampung sendiri
telah berusaha untuk membuat jalan ke pekan untuk menembusi jalan yang dibuat
oleh British.
Kampung ini masih kaya dengan pelbagai khazanah alam semula jadinya,
masih dikelilingi oleh bukit bukau dan hutan rimba yang masih belum dinodai.
Keadaan muka bumi pula kawasannya bertanah tinggi dan hanya sedikit sahaja
yang bertanah rendah atau bertanah pamah. Penduduknya ramah, keindahan hati
budi mereka serta kekayaan nilai-nilai murni, menjadi sebahagian daripada ciri-ciri

kehidupan penduduk di sini.
Kampung ini mempunyai keistimewaan tersendiri. Kedudukannya yang jauh
di tengah-tengah hutan tebal mejadikannya sungguh istimewa. Keindahan alam
semula jadinya yang masih belum tercemar, udara yang segar dan nyaman serta
kejernihan air sungainya yang dingin.
Kehijauan hutan rimbanya menyimpan pelbagai jenis flora dan fauna.
Pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan juga hidup dengan sumbur dan sebahagiannya
menjadi ubat – ubatan tradisional. Selain itu terdapat juga tumbuhan jenis kayu rotan
dan buluh yang boleh dibuat kraftangan seperti bakul, barait, senanging dan bubu

serta bermacam lagi untuk dijadikan hiasan rumah atau tempat menyimpan
barangan.
Memetik sejarah asal usul nama Kampung Terian ini, pada suatu masa
dahulu kampung ini dinamakan Solimbang. Nama ini di ambil sempena nama sungai
yang jernih yang terdapat di kampung ini. Kampung Solimbang ini adalah sebuah
kampung yang indah permai dan dikelilingi oleh hutan yang tebal. Penduduknya pula
tidak ramai dan hanya melakukan kegiatan bercucuk tanam, memburu dan
memelihara haiwan peliharaan sebagai aktiviti harian di samping sebagai sumber
makanan. Pada masa ini, tidak ada seorang pun penduduk yang mendapat
pendidikan yang sempurna dan mereka juga kurang pengetahuan tentang dunia

luar.
Pada suatu masa, maka berlaku kemarau yang panjang dan menyebabkan
penduduk kampung dilanda kesusahan. Tanaman mereka kering, dan manakala
Sungai Solimbang pula semakin lama semakin cetek dan sehinggalah hanya
takungan air sahaja yang tinggal. Banyak haiwan peliharaan mereka telah mati
kelaparan dan kehausan kerana mereka kehilangan sumber makanan dan juga
minuman.
Bagi mencari sumber air, Ketua Kampung telah mengumpul kesemua
penduduk dan melakukan mesyuarat untuk menyelesaikan masalah tersebut.
setelah bermesyuarat, mereka bersepakat untuk mencari sumber air dengan
menyusuri Sungai Solimbang. Mereka percaya bahawa Sungai ini memberikan
rezeki kepada mereka.
Bagi menyelesaikan masalah tersebut, seorang penduduk kampung yang
gagah berani telah menyusuri Sungai Solimbang. Dalam perjalanan, beliau dapat
melihat haiwan-haiwan yang mati. Oleh itu, beliau walaupun berasa haus dan lapar
menguatkan semangat yang untuk mencari sumber air.
Setelah seharian berjalan menyusuri Sungai Solimbang, akhirnya pencarian
beliau mendatangkan hasil. Beliau bertemu dengan air yang menitis dari celah-celah
batu. Oleh itu, dengan terjumpanya titisan-titisan air tersebut, penduduk kampung
dapat meneruskan kehidupan mereka.


Penduduk-penduduk di Kampung Solimbang ini kesemuanya berbangsa
Dusun. Sebenarnya perkataan “titisan” dalam Bahasa Dusun bermaksud “miri - tiri”
ataupun disebut “tirian”. Penduduk kampung menganggap bahawa dengan titisan air
yang ditemui mereka telah diberkati kerana dengannya, mereka dapat meneruskan
kehidupan mereka.
Nama sungai Solimbang telah ditukarkan kepada Sungai Terian dan nama
Kampung Solimbang juga telah ditukarkan kepada Kampung Terian, sempena
peristiwa tersebut. Kini Sungai Terian tersebut tidak pernah kering dan kini menjadi
salah satu sumber makanan kepada penduduk kampung. Musibah yang berlaku di
kampung ini suatu masa dahulu sehunggalah nama kampung Terian wujud adalah
kisah benar.