Kebebasan Bersuara Hak Dan Adab Dalam Kr

KEBEBASAN BERSUARA: HAK DAN ADAB DALAM KRITIKAN
Oleh: Ahmad Muziru Idham Bin Adnan

PENDAHULUAN
Perkara 19 (1) dalam Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil Dan Politikal (ICCPR)
menyatakan bahawa, “Everyone shall have the right to hold opinions without interference.”[ i ]
(Semua orang harus mempunyai hak untuk berpegang kepada mana-mana pendapat tanpa
gangguan)
Tulisan ini ingin menyentuh tentang hak kebebasan untuk membuat kritikan terhadap
sesiapa sahaja kerana pada hari ini masyarakat sangat suka berada dalam zon selesa
sehingga akhirnya mereka menolak bukan sahaja untuk menjadi orang yang dikritik,
malahan pengkritik. Pembudayaan seperti ini akan menonjolkan sikap masyarakat yang
mengamalkan ketertutupan minda dengan menyekat daripada kebebasan untuk berbeza
pendapat mahupun menerima dengan baik pembukaan kelemahan-kelemahan diri daripada
orang lain sebagai salah satu cara untuk penambahbaikan terhadap sesuatu perkara.
Situasi menjadi lebih lesu apabila sesuatu individu dihinggapi dengan ketakutanketakutan untuk meluahkan pandangan yang kontra ataupun membuat kritikan terhadap
sesuatu perkara lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan pihak tertentu yang berkedudukan
ataupun menjaga kepentingan peribadi.
Namun begitu, tidak harus dilupakan mengenai pihak ketiga iaitu masyarakat yang
tidak mengetahui hak-hak mereka untuk bersuara dalam menyampaikan pandangan
ataupun kritikan. Ketidakjelasan mereka terhadap perkara ini menyebabkan mereka

mengambil langkah waspada dengan meletakkan diri dalam zon selesa lalu akhirnya
terbentuklah masyarakat yang tidak cakna terhadap persekitaran mereka. Natijahnya,
sesuatu kemungkaran akan terus berluasa kerana sedikitnya pihak yang berani untuk
bersuara untuk kebaikan bersama.
KEBEBASAN UNTUK DIKRITIK
Mohammad Hashim Kamali dalam bukunya Freedom Of Expression In Islam menyatakan
bahawa rakyat diberi kebebasan untuk mengkritik dan memantau aktiviti kerajaan (hurriyyat
al-mu'aradah, juga dikenali sebagai hurriyyat al-naqd al-hakim) dengan memberikan nasihat

1

secara ikhlas, kritikan yang membina atau akhirnya terpaksa untuk enggan taat kepada
kerajaan sekiranya kerajaan bersalah melanggar undang-undang.
Menurutnya lagi, kritikan (mu'aradah) adalah prinsip yang fundamental dalam sistem
kerajaan Islam, di mana melayakkan individu untuk menerangkan kebenaran dan
mendedahkan penderhakaan walaupun ketika itu melibatkan penentangan terhadap pihak
pemerintah.[ ii ]
Hal ini selari dengan prinsip hisbah di mana menurut Abu al-Hasan Ali Ibn
Muhammad Ibn Habib al-Mawardi dalam tulisan beliau yang terkenal, The Laws Of Islamic
Governance (Al-Ahkam Al-Sultaniyyah) bahawa hisbah adalah menyeru kepada yang

kebaikan dan menolak kemungkaran (al-amr bi'l-ma'ruf wa'l-nahy 'an al-munkar) jika
ternyata kebaikan ditinggalkan dan kemungkaran dilakukan.[ iii ]
Maka sebab itulah, andai kata kebebasan untuk dikritik ini disekat dan rakyat dipaksa
untuk patuh kepada apa-apa sahaja keputusan atau pandangan pemerintah dan tidak
dibenarkan untuk mencabar, lama-kelamaan masyarakat akan bangkit memberontak dan
menderhaka

seperti

yang

dikemukakan

oleh

Mohammad

Hashim

Kamali


untuk

melaksanakan hisbah yang tertahan dengan paksaan. Analoginya, dalam sesebuah
organisasi yang melibatkan hierarki kepimpinan, sekiranya pimpinan teratas menyekat
pandangan ataupun kritikan daripada pimpinan bawahan, kelak akan hilang rasa hormat
dalam diri pimpinan bawahan lalu mengakibatkan kepada ketidakpatuhan kepada arahanarahan daripada pimpinan teratas dan natijahnya gerak kerja tidak akan berjalan dan
organisasi tersebut akan kehilangan fungsinya.
Memetik tulisan V.I Lenin (1870 – 1924) dalam Freedom To Criticise And Unity Of
Action, “Of course, the application of this principle in practice will sometimes give rise to
disputes and misunderstandings; but only on the basis of this principle can all disputes and
all misunderstandings be settled honourably for the Party.” [ iv ]
(Sudah tentu, pengaplikasian prinsip ini secara praktikal kadangkala akan menimbulkan
pertikaian dan salah faham; tetapi melalui asas kepada prinsip (bahawa pertikaian dan salah
faham akan timbul) ini sajalah yang akan menyelesaikan segala pertikaian dan segala salah
faham secara hormat untuk parti.)
Sekalipun tulisan V.I Lenin itu lebih merujuk kepada situasi politikal, tetapi apa yang
penting untuk diambil kira adalah kepentingan sebuah kritikan dalam menyelesaikan
sesuatu permasalahan secara berhikmah sekalipun pendekatan ini akan menimbulkan
pertikaian pada awalnya. Pertikaian yang mungkin timbul tidaklah akan menjadi satu


2

permasalahan yang rumit pun sebenarnya sekiranya situasi itu diuruskan secara matang
oleh kedua-dua pihak dengan memberi hak kepada pengkritik untuk meluahkan sebarang
pandangan yang kontra dan penerima kritikan bertoleransi dengannya dan memahami
bahawa sebagai manusia yang bebas bermakna dirinya juga adalah bebas untuk dikritik
oleh sesiapa sahaja.
Menyekat sesuatu kritikan ataupun pandangan berbeza daripada orang lain
merupakan suatu pencabulan yang ketara terhadap hak asasi manusia. Membuat kritikan
juga adalah hak seorang manusia yang bebas untuk meluahkan apa yang ada di dalam hati
dan pemikirannya tidak mahu menerima kritikan sebenarnya menunjukkan ketidakmahuan
untuk menerima sesuatu yang berbeza yang mungkin saja adalah suatu pandangan yang
lebih baik untuk menambahbaik sesuatu perkara. Menyekat kebebasannya menunjukkan
bahawa seseorang itu lebih suka hidup dalam bayang-bayangnya sendiri atau dalam erti
kata lain, selesa hidup dalam pujian-pujian dan merasakan dirinya sentiasa betul dan tepat.
Perkara inilah yang ditempelak oleh John Stuart Mill dalam On Liberty, “But the
peculiar evil of silencing the expression of an opinion is that it is robbing the human race,
posterity as well as the existing generation – those who dissent from the opinion, still more
than those who hold it.” [ v ]

(Tetapi perbuatan yang aneh dengan mendiamkan luahan bagi sesuatu pandangan
merupakan rompakan terhadap keturunan manusia, generasi akan datang serta generasi
yang sedia ada – orang-orang yang memegang pendirian yang berbeza, masih banyak
daripada orang yang memegangnya.)
Menurutnya lagi, "We can never be sure that the opinion we are endeavoring to stifle
is a false opinion; and if we were sure, stifling it would be an evil still."

[ vi ]

(Kita tidak akan pernah tahu bahawa sesuatu pandangan yang kita usahakan untuk
menyekatnya adalah pandangan yang salah; dan jika kita pasti sekalipun, menyekatnya
masih suatu perbuatan yang jahat.)

KEBEBASAN UNTUK MENGKRITIK
Saya tertarik dengan filem pendek yang disiarkan di You Tube dengan tajuk 5 = 2 + 2 : ‫فيلم‬.[ vii
]

Filem pendek itu mengisahkan tentang seorang guru yang masuk ke dalam kelas dan

menulis di papan hitam bahawa, “2+2=5”. Selepas itu, guru tersebut memaksa semua

pelajarnya menerima tanpa banyak bicara dan persoalan terhadap premis falasi

3

[ viii ]

yang

diajarnya itu. Tiba-tiba, bangun seorang pelajar yang berani dan membetulkan kesilapan
yang (sengaja) diajar oleh gurunya itu kepada pelajar-pelajar lain dengan menunjukkan satu
persatu kaedah yang menjadikan argumen “2+2=4”. Dia secara tegas mengendahkan
amaran daripada gurunya yang mengugut untuk mengancam nyawanya jika tidak menarik
balik kata-katanya itu. Selepas itu, guru itu keluar kelas dan membawa masuk tiga orang
pelajar senior. Pelajar yang berani itu disuruh tampil ke hadapan dan diberi peluang terakhir
untuk menulis di papan hitam bahawa, “2+2=5”. Ketika pelajar itu memegang kapur, dalam
masa yang sama tiga orang senior itu berdiri di belakangnya sambil mengacukan senapang.
Sekalipun menyedari situasinya yang genting, dengan tegas pelajar itu tetap menulis di
papan hitam, “2+2=4”. Akhirnya, nyawa pelajar itu melayang ditembak tiga orang pelajar
senior di belakangnya itu.
Saya tidak berhasrat untuk menyentuh tentang aspek sebenar yang ingin diberi

penekanan melalui filem pendek itu. Tetapi, saya ingin melihat filem pendek itu dari sudut
kebebasan untuk mengkritik. Filem pendek tersebut menonjolkan bahawa nilai kebebasan
untuk mengkritik itu disekat sehingga menggunakan kuasa tirani ke atas seorang pelajar
yang masih muda dan tidak punya upaya yang besar untuk mempertahankan diri. Walhal
menurut Abdus Salam al-Sabouni dalam The Freedom Of Opinion In Islam, setiap individu
berhak untuk mempunyai pandangan yang berbeza daripada orang lain dan mempunyai
jaminan perlindungan ke atasnya terhadap suara luahannya itu.[

ix ]

Apatah lagi jika

pandangan yang kontra itu bertujuan untuk membetulkan sesuatu kesilapan, seharusnya
ianya diraikan dengan dada yang lapang dan minda yang terbuka sekalipun datang
daripada seorang budak kecil kerana kebenaran itu tertegak di mana-mana dan daripada
sesiapa sahaja.
Menurut Syed Abul A‟la Maududi dalam Human Rights In Islam, “The right to
freedom of expression for the sake of propagating virtue and righteousness is not only a
right in Islam but an obligation. One who tries to deny this right to his people is openly at war
with God, the All-Powerful.” [ x ]

(Hak untuk kebebasan bersuara demi menyebarkan kebaikan dan kebenaran bukan sahaja
merupakan hak dalam Islam tetapi merupakan satu kewajipan. Sesiapa cuba untuk
menafikan hak ini ke atas orang lain bermakna membuka peperangan dengan Tuhan yang
Maha Berkuasa)
Dalam hal ini, masyarakat harus berani untuk menentang arus dan meluahkan
pandangan-pandangan mereka secara kritikal kerana selain sebagai salah satu usaha
hisbah, budaya ini akan mewujudkan suatu percambahan idea yang lebih rencam dan
menyempurnakan hak-hak intelektualisme yang tidak sepatutnya disekat. Hal ini demikian
4

kerana budaya mengkritik seharusnya dilihat sebagai suatu bentuk intelektualisme dan
nilainya sangat besar dalam menjadi pemangkin kepada kesedaran masyarakat agar lebih
cakna terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka.
Jika dipersoal siapa yang berhak untuk membuat sesuatu kritikan, maka saya
letakkan hierarkinya begini:
i. Orang yang sedar, tahu dan faham (Intelektual)
ii. Orang yang sedar dan tahu. (Ilmuwan)
iii. Orang yang sedar. (Orang awwam)
i. Orang yang sedar, tahu dan faham (Intelektual)
Orang yang termasuk dalam golongan pertama ini merupakan orang yang sangat

bertanggungjawab untuk membuat kritikan kerana dia sudah mempunyai pengetahuan dan
kefahaman yang jelas terhadap sesuatu perkara yang memerlukannya untuk bersuara demi
membetulkan keadaan yang salah ataupun memperbaiki kecacatan yang berlaku dalam
sesuatu perkara. Dia harus memanfaatkan setiap medium yang ada yang termampu
olehnya untuk capai seperti maksud hadis Nabi SAW:
“Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran hendaklah ia mencegah
kemungkaran itu dengan tangannya. jika tidak mampu, hendaklah mencegahnya
dengan lisan, jika tidak mampu juga, hendaklah ia mencegahnya dengan hatinya.
Itulah selemah-lemah iman." (HR Muslim)[ xi ]
Dalam hal ini, amatlah rugi sekali sekiranya dia yang sudah sampai ke tahap faham
sesuatu permasalahan tidak cuba untuk mengubahnya sekurang-kurangnya melalui
suaranya atau dalam bentuk tulisan kerana hal yang demikian bermakna dia terus
membiarkan kepincangan terus timbul dan tidak diperbetulkan. Dan apabila dia terus
membiarkannya berlaku, maka terjadilah seperti yang diungkapkan oleh sebuah hadis Nabi
SAW yang bermaksud:
“Dari Adi bin Umairah dituturkan, bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah
bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengazab orang-orang secara keseluruhan
akibat perbuatan mungkar yang dilakukan oleh seseorang, kecuali mereka melihat
kemungkaran itu di depannya, dan mereka sanggup menolaknya, akan tetapi mereka tidak
menolaknya. Apabila mereka melakukannya, nescaya Allah akan mengazab orang yang

melakukan kemungkaran tadi dan semua orang secara menyeluruh.” [HR. Imam Ahmad].

5

Golongan dalam kategori inilah yang terdiri daripada para intelektual yang dapat
mencerap permasalahan yang berlaku dengan baik dan menurut Syed Hussein al-Attas
dalam Intelektual Masyarakat Membangun, bahawa intelektual yang berfungsi adalah
mereka yang dapat:
i)

Mengutarakan masalah.

ii)

Mentakrifkan masalah.

iii)

Menganalisis masalah.


iv)

Menyelesaikan masalah.[ xii ]
Menurutnya lagi, masyarakat tanpa kelompok intelektual yang berfungsi akan

kehilangan tingkat kesedaran dan wawasan tertentu atas masalah pokok.[

xiii ]

Begitulah

seharusnya para intelektual yang dapat memahami sesuatu permasalahan dan tidak gentar
untuk menyuarakan pandangan dan kritikan serta menawarkan penyelesaian demi membaik
pulih masalah yang berlaku. Dan begitulah yang seharusnya berlaku iaitu para intelektual
tidak bersikap menyembunyikan kebenaran dan lantang bersuara untuk membetulkan
keadaan.
Perkara inilah yang ditegaskan oleh Muhammad Asad dalam The Principles of State
And Government In Islam, “In other words, the intellectual leaders of the community are
morally bound to bring forward whatever new ideas they may have relating to communal
progress, and to advocate such ideas in public; and for this reason the right to a free
expression of one's opinions in speech and in writing is one of the fundamental rights of the
citizen of an Islamic state.” [ xiv ]
(Dalam erti kata lain, pemimpin intelektual dalam sesebuah komuniti adalah terikat secara
moral untuk membawa ke hadapan apa-apa sahaja idea baru mereka yang mungkin berkait
dengan kemajuan bersama, dan menganjurkan idea-idea tersebut dilaksanakan secara
awam; dan bagi alasan ini sebagai hak untuk sebuah kebebasan berekspresi bagi pendapat
seseorang dalam ucapan atau tulisan adalah merupakan salah satu hak-hak asasi rakyat
bagi sebuah negara Islam.)
ii. Orang yang sedar dan tahu (Ilmuwan)
Orang yang termasuk dalam golongan kedua ini mempunyai pengetahuan tentang
kepincangan yang berlaku namun belum benar-benar memahami tentang perkara tersebut.
Ilmuwan dengan kearifan ilmunya dapat mencerap permasalahan sesuatu perkara tetapi

6

belum tentu mempunyai daya tahap fikir yang mendalam untuk menawarkan penyelesaian
yang terbaik mengikut situasi masyarakat di tempat tersebut.
Dalam hal ini, ilmuwan yang sedar dan tahu harus juga berani untuk meluahkan
pandangan-pandangannya secara kritikal terhadap sesuatu perkara kerana sekiranya tidak
ada pihak yang mengetuk kesedaran masyarakat terhadap sesuatu permasalahan, tidak
akan ada sesiapa yang akan membincangkannya dan secara tidak langsung akan menutup
pintu kebenaran kepada masyarakat kerana tidak semua orang punya kematangan berfikir
untuk mencerap sesuatu permasalahan yang berlaku sekiranya tidak disedarkan
mengenainya.
Inilah peranan orang yang sedar dan tahu terhadap permasalahan yang berlaku
lantas harus berani untuk membuat kritikan mengenainya dalam konteks yang sesuai.
iii. Orang yang sedar (Orang awwam)
Apa yang sangat penting adalah kesedaran. Kesedaran itu akan memupuk kepada
tindakan-tindakan yang menuju kepada jalan penyelesaian. Tinggal sahaja sama ada
tindakan yang diambil itu rasional ataupun tidak. Namun begitu, menjadi seorang yang
berkesadaran itu adalah lebih baik daripada hidup dalam kelekaan sehingga mengabaikan
masalah-masalah yang berlaku, apatah lagi sekiranya masalah tersebut jelas berlaku di
hadapan mata.
Sebagai orang awwam, kesedaran yang timbul itu sudah cukup penting agar mereka
sedar bahawa masalah yang berlaku adalah satu permasalahan yang tidak sepatutnya
berlaku. Maka, bertindak sebagai orang awwam, kesedaran yang wujud dalam diri tidak
harus didiamkan. Ianya harus diluahkan. Hal ini demikian kerana orang lain belum tentu
mempunyai kesedaran seperti dirinya yang sedar. Dan andai kata ianya tidak diluahkan,
akan menyebabkan lebih ramai orang terbiar hidup dalam kelekaan dan kesenangan dan
tertipu dalam masalah-masalah yang cuba disorokkan daripada pandangan masyarakat.
Mungkin sebagai orang awwam, ilmu mengenai permasalahan yang berlaku belum
benar-benar cukup dan matang tidak seperti mana golongan ilmuwan dan intelektual.
Tetapi, hak-hak sebagai manusia untuk bersuara itu harus ditegakkan. Misalnya, kritikan
terhadap masalah rasuah yang berlaku harus diluahkan. Jika perkara-perkara sebegini
didiamkan, akibatnya masalah keruntuhan moral menjadi semakin membesar dan
ketidakadilan terus berleluasa serta itulah petanda bagi keruntuhan sesebuah tamadun
seperti yang disebut oleh Ibn Khaldun di dalam Muqaddimah (Mukaddimah). [ xv ]

7

ADAB DALAM MENGKRITIK
Abdullahi Ahmed An-Na'im menyatakan di dalam bukunya Islam And The Secular State:
Negotiating The Future Of Shari'a bahawa, "For instance, it is obviously reasonable to limit
freedom of speech to protect the right of other - for instance, freedom of speech does not
mean that one can shout "fire" in a crowded theater - or to defame the reputation of other
people." [ xvi ]
(Sebagai contoh, ianya adalah jelas munasabah untuk mengehadkan kebebasan bersuara
bagi melindungi hak orang lain - misalnya, kebebasan bersuara tidak bermakna seseorang
boleh menjerit "API" di sebuah teater yang sesak (menimbulkan situasi yang cemas di
tempat awam) - atau membuat fitnah terhadap reputasi orang lain.)
Saya kira adab inilah yang tidak dijaga oleh kebanyakan manusia pada masa ini
yang kononnya menjadi pejuang hak asasi manusia dalam aspek kebebasan bersuara
(freedom of speech). Kebanyakan orang memahamkan makna kebebasan sebagai
kebolehan untuk berbuat apa-apa sahaja tanpa ada apa-apa sekatan ataupun larangan.
Dalam soal kebebasan bersuara, kebanyakan orang mengambil tiket tersebut untuk
meluahkan apa-apa sahaja tanpa menjaga nilai akhlak sebagai manusia sehingga
meluahkan sesuatu secara makian atau cacian.
Sama ada sedar atau tidak sedar, apa yang mereka perjuangkan sebenarnya adalah
kebebasan untuk mencaci (freedom of cursing). Kebebasan jenis ini sebenarnya bukan
menunjukkan tahap intelektualiti seseorang, tetapi hanya merendahkan lagi nilai moralitinya
dan mendedahkan betapa dungunya dia dalam menghadapi sesuatu perkara.
Dalam soal kebebasan mengkritik, setiap orang harus mempunyai justifikasi yang
kukuh terhadap setiap perkara yang hendak dikritik. Setiap kritikan harus diperkukuh dengan
alasan-alasan yang munasabah dan rasional. Elemen inilah yang paling penting untuk
wujud dalam nilai sebuah kebebasan mengkritik secara khasnya, dan kebebasan bersuara
(freedom of speech) secara amnya. Ketidakwujudan elemen justifikasi dalam sesebuah
kritikan akan hanya mengakibatkan ianya menjadi suatu luahan yang sia-sia ibarat tin
kosong yang berbunyi.
Namun begitu, perkara yang paling penting harus ditekankan apabila menyentuh
soal adab dalam mengkritik adalah pengawalan emosi. Aspek ini sangat penting untuk
ditekankan kerana kelemahan dalam aspek pengawalan emosi akan menjuruskan kepada
luahan-luahan kritikan yang tidak matang dan berkemungkinan besar untuk melibatkan
sama kata-kata yang tidak elok. Hilang kawalan emosi akan menyebabkan susun atur kata-

8

kata tidak terjaga sama ada melalui percakapan mahupun tulisan. Keadaan inilah yang akan
menyekat ketersampaian mesej sebenar yang hendak dibawa dan natijahnya kesan
daripada kelemahan emosi yang akan menggantikan mesej tersebut sampai kepada
masyarakat.
Perkara inilah yang sering berlaku terhadap kebanyakan gerakan mahasiswa yang
memperjuangkan sesuatu isu yang murni namun dengan cara yang tidak sistematik dan
matang menyebabkan isu murni yang hendak mereka sampaikan tersekat oleh kekacauan
yang berlaku di antara mereka dengan pihak berkuasa. Dan perkara ini ditambah pula
dengan sikap “golongan tua” yang bersikap prejudis dan paranoid dengan menganggap
“golongan muda” sebagai masih mentah dan cetek ilmu dan begitulah sikap “golongan tua”
yang larut dalam pemikiran ketuaannya.

KESIMPULAN
Ahmad Wahib (1942 – 1973), seorang pemikir Indonesia yang lantang bersuara ketika
hidupnya pernah menulis di dalam catatannya, “Saya kira yang penting kita harus
mengemukakan fikiran kita dengan terus terang, tidak perlu berdiplomasi sekadar
menghindari pertentangan. Dalam dialog, untuk pencarian kebenaran, harus dikemukakan
apa yang terpendam di hati tanpa ragu-ragu” [ xvii ]
Keberanian untuk bersuara harus wujud dalam diri setiap manusia. Sekiranya tidak
ada seorang pun yang berani untuk meluahkan pendapatnya atau mengkritik kemungkaran
yang disedarinya, maka masyarakat akan terus kekal dalam kejahilan dan tertutup daripada
pintu kebenaran. Masyarakat harus sedar bahawa kebebasan untuk bersuara merupakan
hak asasi bagi setiap manusia dan tidak ada sesiapa berhak untuk menyekatnya selagi
ianya tidak mengganggu hak-hak sivil seperti kata Prof. Tariq Ramadan, “There are no legal
limits to free speech, but there are civic limits.” [ xviii ]
(Tidak terdapat had-had yang sah di sisi undang-undang untuk kebebasan bersuara, namun
wujud had-had sivik dalam perkara ini.)
Adakala kritikan harus dibuat dengan lantang agar perkara yang hendak disuarakan
benar-benar memberi kesan yang tajam dan mengetuk pintu kesedaran sekiranya kaedah
berlemah-lembut umpama mencurah air ke daun keladi. Tetapi tindakan seperti ini haruslah
berlandaskan kepada pengetahuan yang terperinci agar hujah-hujah yang dikemukakan
benar-benar berfakta dan tidak falasi kerana hal yang tersebut akhirnya akan merumitkan
lagi proses menegakkan kebenaran.

[ xix ]

Ahmad Wahib sekali lagi menyatakan di dalam
9

catatannya, “Pertentangan keras akan membolehkan kita menggali kebenaran-kebenaran
baru yang lebih tinggi, dan kita semua akan dengan sukarela bersama-sama meninggalkan
pendapat-pendapat lama dan memeluk kebenaran-kebenaran baru yang lebih tinggi, baik
yang bersumber dari pendapat sendiri mahupun yang bersumber dari pendapat lawan.”
Namun begitu, apa yang paling penting, masing-masing harus bersuara dengan cara
yang paling berhikmah dan bijaksana. Dalam hal ini, setiap inci perkataan yang dikeluarkan
harus terjaga dan masing-masing bertanggungjawab dengan apa yang diperkatakan. Maka,
berkatalah dengan cara yang terbaik dan berhemah namun sarat dengan ilmu dan hikmah.
Dalam mengkritik, kritikan harus dibuat kepada pihak yang tepat, waktu yang tepat dan di
tempat yang tepat. Perkara-perkara inilah yang sekiranya tidak dijaga, maka kesannya tidak
seberapa malah menimbulkan salah faham pula lalu akhirnya menyebabkan apa yang
diperkatakan menjadi sia-sia.
Apa yang penting, ketegasan bersuara harus sentiasa ada dan kebebasan bersuara
adalah hak asasi bagi setiap manusia di muka bumi ini serta masing-masing harus
mengetahui bahawa masing-masing berhak diberi kebebasan untuk itu tanpa boleh
diganggu gugat oleh sesiapa. Menyekat kebebasan bersuara, maka Prof. Dr. Yusof alQardhawi menyatakan di dalam bukunya Islamic Awakening Between Rejection And
Extremism (Al-Sahwah al-Islamiyah bayna al-Juhud wa al-Tatarruf), bahawa ianya
merupakan sebuah ekstremisme! [ xx ]

Nota Kaki:
i

International Covenant on Civil and Political Rights (Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil Dan

Politikal) Sila rujuk di sini: http://www2.ohchr.org/english/law/ccpr.htm
ii

Mohammad Hashim Kamali. Freedom Of Expression In Islam. Ilmiah Publishers Sdn. Bhd. 1998. (hlm. 49)

iii

Abu al-Hasan Ali Ibn Muhammad Ibn Habib al-Mawardi. The Laws Of Islamic Governance (Al-Ahkam Al-

Sultaniyyah). ibid. (hlm. 337)
iv

V.I Lenin. Freedom To Criticise And Unity Of Action.

http://www.marxists.org/archive/lenin/works/1906/may/20c.htm
v

John Stuart Mill. On Liberty. The Library of Liberal Arts. 1956. (hlm. 21)

vi

ibid. (hlm. 21)

vii

5 = 2 + 2 : ‫فيلم‬. Sila rujuk di sini: http://www.youtube.com/watch?v=kaBFtz9yuPY&feature=share

viii

Ahmad Wahib. Ibid. (hlm. 37)

„Abdus-Salam al-Basuni. The Freedom Of Opinion In Islam. International Islamic Publishing House. 2007. (hlm.

ix

48)
x

Syed Abul A‟la Maududi, Human Rights In Islam, pdf

xi

HR Muslim, no. 70; daripada Abu Sa’iid al-Khudri ra

xii

Syed Hussein Al-Attas. Intelektual Masyarakat Membangun. Dewan Bahasa Dan Pustaka. 1992. (hlm. 20)

10

xiii

ibid. (hlm. 13)

xiv

Muhammad Asad. The Principles of State And Government In Islam. Islamic Book Trust. 2007. (hlm. 83)

xv

Ibn Khaldun berkata, “Maka kota itu pun dipenuhi dengan orang-orang yang berakhlak rendah. Mereka

menghadapi tentangan daripada kalangan generasi muda yang ada di dalam dinasti itu yang mana
pendidikan mereka telah diabaikan dan yang gagal diakui oleh dinasti. Mereka dengan demikian, menerapkan
nilai daripada persekitaran dan pandangan, meskipun mereka daripada keturunan terhormat dan mulia.
Manusia adalah insan-insan dan saling serupa-menyerupai antara satu sama lain. Mereka adalah berbeza
dalam hal kebaikan, dan dibezakan oleh sikap mereka, melalui penyerapan nilai-nilai dan menghindar segala
yang kejahatan. Orang yang memiliki warna apa juga kejahatan dan peribadinya yang telah tercemar, tidak
akan dapat dibantu oleh keturunannya yang baik-baik dan asal-usul yang suci bersih. Maka, boleh dilihat
betapa pandainya orang-orang daripada yang mulia, atau mereka daripada asal-usul yang disanjung tinggi,
kerabat-kerabat diraja yang tercebur ke lembah maksiat dan terpaksa melakukan pekerjaan yang rendah
darjahnya demi mencari nafkah hidup mereka, sebab perilaku mereka adalah sangat keji dan mereka
cenderung berbuat kejahatan dan tidak jujur.
Sekiranya keadaan-keadaan semacam ini berlaku berleluasa di sesuatu bandar atau bangsa, Allah
mengizinkan supaya ianya mengalami kehancuran dan kepupusannya.
Inilah yang dimaksudkan dengan firman-Nya:
“Dan jika Kami hendak membinasakan sesuatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang
yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri
itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan
negeri itu sehancur-hancurnya.” (Surah al-Isra: Ayat 16)
Sila rujuk dalam Mukaddimmah (terjemahan yang sah daripada buku Arab Muqaddimah oleh Dewan Bahasa
dan Pustaka. 1993) (hlm. 431 – 432)
xvi

Abdullahi Ahmed An-Na’im. Islam And The Secular State: Negotiating The Future Of Shari’a. Harvard

University Press. 2009. (hlm. 38)
xvii

Ahmad Wahib. Pergolakan Pemikiran Islam: Catatan Harian Ahmad Wahib. Middle-Eastern Graduates

Centre Sdn. Bhd. (MEGC) dengan kerjasama Konrad Adenauer Foundation. 2007 (hlm. 37)
xviii

Artikel Prof. Tariq Ramadan yang bertajuk, “Free Speech And Civic Responsibility.” Sila rujuk di sini:

http://www.nytimes.com/2006/02/05/opinion/05iht-edramadan.html?_r=0
xix

Falasi bermaksud kesilapan dalam berfikir dengan mengemukakan kesimpulan sesuatu hujah dengan

merujuk kepada premis hujah yang tidak tepat.
xx

“An extremist seems to address people in this way: “I have the right to speak, your duty is to listen. I have the

right to lead, your duty is to follow. My opinion is right, it cannot be wrong. Your opinion is wrong, it can never
be right.” (Seorang ekstremis nampaknya menanggani orang dengan cara ini: “Saya mempunyai hak untuk
bercakap, tugas kamu ialah diam. Saya mempunyai hak untuk memimpin, tugas kamu ialah ikut. Pendapat saya
adalah benar, ianya tidak boleh menjadi salah. Pendapat kamu adalah salah, ianya tidak akan menjadi betul.)

11

Sila rujuk Yusuf al-Qaradawi. Islamic Awakening Between Rejection And Extremism. The International Institute
Of Islamic Thought. 1991. (hlm. 33)

12