TUNTUTAN BERTINDIH YANG DIHADAPI NEGARA

NAMA PROGRAM
SAINS POLITIK

KOD & NAMA KURSUS
SKSJ 3113 POLITIK ASIA TENGGARA

TAJUK TUGASAN
BINCANGKAN TUNTUTAN BERTINDIH YANG DIHADAPI NEGARA-NEGARA
ASIA TENGGARA DAN IMPLIKASI KRISIS TERSEBUT KE ATAS KESTABILAN
POLITIK SERANTAU

NAMA PENSYARAH
PROF. MADYA DATO` DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF

NAMA
AHMAD DANIAL BIN AHMAD

NO MATRIK
A154847

SEMESTER & SESI

SEMESTER 2 SESI 2017/2018

1.0

PENGENALAN

Dalam konteks geografi, Asia Tenggara terletak di benua Asia yang dibataskan dengan
sempadan utara Asia Timur dan barat Selatan Asia. Rantau Asia Tenggara berkeluasan 4.5 juta
kilometer per segi dengan populasi penduduk hampir 641 juta orang penduduk yang
membuatkan rantau ini sebagai rantau ketiga terpadat dengan penduduk di dunia selepas Asia
Timur dan Asia Barat. Indonesia merupakan negara yang mempunyai jumlah penduduk
tertinggi dengan mencapai 230 juta orang penduduk dan Brunei mempunyai jumlah populasi
yang rendah yang tidak melebihi 500 ribu orang penduduk (Phillips 2006:6). Kini, Asia
Tenggara terdiri daripada 11 buah negara berdaulat iaitu Brunei Darulssalam, Thailand,
Malaysia, Indonesia, Singapura, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Vietnam dan Timor
Leste. Faktor sejarah kolonialism ini telah menyebabkan landskap politik Asia Tenggara
khasnya di Kepulauan Melayu atau “Malay Archipelago” telah berubah dan pada hari ini
terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei dan Timor Leste. Malay
Archipelago terdiri daripada 25 ribu buah pulau dan merupakan laluan maritim yang terpenting
untuk menghubungkan Timur dan Barat. Laut China Selatan, Selat Johor, Selat Melaka dan

Laut Sulawesi berkongsi sempadan maritim dalam kalangan negara Asia Tenggara dan serta
mempunyai banyak pulau yang dijadikan sebagai sempadan kedaulatan negara-negara ini.
Sempadan negara merupakan salah satu elemen penting dalam kedaulatan negara
“political sovereignty” di mana kerajaan mempunyai kuasa untuk melakukan apa jua tindakan
ke atas wilayahnya tanpa campur tangan kuasa asing. Sempadan negara sering ditentukan
dengan tembok atau pos imigresen di antara dua negara. Namun, dalam konteks maritim,
sempadan negara sukar dijelaskan kerana tidak wujud sebarang bentuk halangan dan hal ini
menambahkan kerumitan bagi negara-negara yang berkongsi sempadan maritim yang sama.
Pada masa yang sama, Laut China Selatan merupakan kawasan laut yang masih tidak
mempunyai batasan sempadan “demarcated” bagi kawasan yang berlakunya tuntutan
bertindih seperti Kepulauan Spratly dan telah menimbulkan konflik dalam kalangan negara
Asia Tenggara (Gerstl & Strašáková 2016: 1). Tuntutan bertidih sering berlaku di negara yang
berkongsi sempadan maritim yang sama seperti Laut China Selatan di mana Malaysia, Filipina,
Vietnam, Taiwan dan kuasa besar seperti China juga meletakkan tuntutan bagi mendapatan
sempadan maritim yang lebih luas untuk meningkatkan kedaulatan negara. Tuntutan bertindih
di Asia Tenggara merupakan krisis antarabangsa yang sukar diselesaikan kerana melibatkan
banyak diplomasi serta rundingan dan campur tangan kuasa asing merumitkan lagi

penyelesaian krisis ini. Pada masa yang sama, tuntutan bertindih juga memberi impak kepada
kestabilan politik serantau kerana melibatkan wilayah kedaulatan negara dan sebarang

pencerobohan akan menjejaskan kestabilan politik Asia Tenggara.
Wilayah menjadi elemen utama dalam menentukan kedaulatan sesebuah negara.
Negara yang berdaulat mempunyai kuasa untuk mentadbir, mengawal serta mempertahankan
wilayah kekuasaannya daripada ancaman persekitaran luar yang mampu mengancam
kestabilan politik serta kedaulatan negara. Pada masa yang sama, wilayah yang berdaulat di
mana kerajaan mempunyai kuasa untuk mentadbir amat penting sebagai pengiktirafan kepada
sebuah sistem negara yang berdaulat (Gilbert 1998). Selain itu, wilayah kekuasaan yang jelas
dan tidak berlaku sebarang tuntutan bertindih memberi kelebihan kepada negara untuk
menetapkan garis sempadan negara dengan lebih jelas supaya fungsi negara dapat
dipertingkatkan lagi. Secara asasnya, wilayah kekuasaan memberi banyak kelebihan kepada
negara yang dapat mengawalnya serta meningkatkan kedaulatan dan keabsahan negara. Oleh
itu, sesetangah kawasan atau wilayah yang terletak berdekatan dengan dua atau lebih negara
sering berlaku tuntutan bertindih untuk merebut wilayah tersebut.
Tuntutan bertindih, pertikaian wilayah atau “territorial disputes” adalah perselisihan
atau pertikaian yang berlaku di antara dua atau lebih negara mengenai pemilikan dan kawalan
sesebuah wilayah. Selain itu, tuntutan yang diletakkan keatas sesebuah kawasan adalah untuk
mengawal kawasan tersebut dengan lebih efektif dengan menggunakan faktor sejarah, faktor
geografi, undang-undang antarabangsa, “uti possidetis” iaitu pemilikan wilayah selepas
berakhirnya konflik atau perang, perjanjian dan keseragaman budaya (Sumner 2004: 1780). Di
rantau Asia Tenggara, tuntutan bertindih berlaku terutamanya di Laut China Selatan yang

merupakan laluan utama kapal perdagangan dengan anggaran USD 5 trilion perdagangan
antarabangsa dilalukan setiap tahun (The National Interest 16 July 2016). Hal ini menyebabkan
Laut China Selatan menjadi antara laluan maritim yang sibuk dan pesat dengan perdagangan
antarabangsa. Negara yang mempunyai kawalan Laut China Selatan yang lebih luas dengan
memperluaskan wilayah kedaulatannya secara tidak langsung dapat meningkatkan kepentingan
ekonomi negara. Pada masa yang sama, Laut China Selatan juga mempunyai beberapa buah
gugusan pulau seperti Kepulauan Spratly yang terletak di antara sempadan maritim Malaysia,
Vietnam, Taiwan dan Filipina. Kesannya, Kepulauan Spratly telah menjadi krisis serantau di
mana berlakunya tuntutan bertindih untuk mengawal dan mentadbir kawasan tersebut kerana
kaya dengan pelbagai sumber alam seperti petroleum dan gas asli.

Tuntutan bertindih yang berlaku di Asia Tenggara merupakan konflik yang panjang dan
sukar untuk diselesaikan kerana melibatkan pelbagai negara yang mempunyai kepentingan
nasional tersendiri. Secara umumnya, tuntutan bertindih sering diselesaikan melalui rundingan
di antara negara dan rundingan ini memakan masa yang lama. Menurut Carleton & Schofield
(2002: 43) dalam Developments in the Technical Determination of Maritime Space, “…by far
the preferred method of handling disputes among states, including those related to maritime

boundaries, is through bilateral negotiations…”. Rundingan merupakan pilihan utama negara
dalam menangani kes tuntutan bertindih dan pertikaian wilayah maritim seleras dengan

matlamat penubuhan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) iaitu menyelesaikan
konflik dengan rundingan dan mengekalkan kestabilan politik serantau. ASEAN merupakan
salah satu medium untuk menyelesaikan tuntutan bertindih melalui rundingan dalam kalangan
negara anggota seperti termetrainya Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkaitan Dengan Laut
China Selatan di antara ASEAN dan China pada 2002 (Sinar Harian 1 Ogos 2013).
Selain itu, tuntutan bertindih juga dapat diselesaikan dengan membawa kes pertikaian
ke International Court of Justice (ICJ) atau Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague,
Belanda. Antara contoh kes tuntutan bertindih yang berlaku di Asia Tenggara dan telah
diselesaikan di ICJ ialah berkenaan tuntutan bertindih di antara Indonesia dan Malaysia
mengenai Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan. Kes ini telah dibawa ke ICJ pada 2 November 1998
apabila kedua-dua buah negara bersetuju untuk membawa kes ini ke Court of a Special
Agreement di mana Indonesia dan Malaysia perlu mengemukan bukti pemilikan pulau tersebut
dari sudut geografi, faktor sejarah, perjanjian dan sebagainya. Pada 17 Disember 2002, ICJ
telah mengiktiraf Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan adalah milik mutlak Malaysia berdasarkan
bukti dan hujahan yang diberikan oleh panel dari Malaysia. Terdapat pelbagai tuntutan
bertindih lain yang diselesaikan di ICJ seperti pertikaian Pulau Batu Puteh di antara Malaysia
dan Singapura dan akhirnya ICJ menetapkan bahawa pulau tersebut adalah milik Singapura.
Tuntutan bertindih perlu diselesaikan melalui rundingan mahupun campur tangan institusi
kehakiman antarabangsa kerana krisis ini mampu menjejaskan dan memberi implikasi kepada
kestabilan politik serantau.


2.0

PENYATAAN MASALAH

Tuntutan bertindih merupakan krisis antarabangsa yang sukar diselesaikan kerana melibatkan
banyak rundingan dan dipengaruhi oleh kepentingan ekonomi serta politik yang menyebabkan
krisis ini sukar untuk diselesaikan. Penulisan ini akan membincangkan tuntutan bertindih yang
dihadapi negara di Asia Tenggara khususnya di Kepulauan Spratly dan Laut Sulawesi yang
memberi impak kepada kestabilan politik serantau. Seterusnya, krisis tuntutan bertindih perlu
dinilai dari aspek yang lebih luas iaitu dengan melihat dari sudut kepentingan ekonomi dan
politik. Permasalahan utama kajian ini adalah untuk mengenalpasti faktor yang menyebabkan
berlakunya tuntutan bertindih. Selain itu, kajian ini akan menganalisis impak tuntutan bertindih
terhadap kestabilan politik di rantau Asia Tenggara ini.

3.0

KONSEP KAJIAN

Penulisan ini akan menggunakan konsep kestabilan politik untuk menilai sejauh manakah

tuntutan bertindih memberi kesan serta implikasi kepada kestabilan politik rantau Asia
Tenggara. Addis Ababa Othow Akongdit (2013) dalam bukunya Impact of Political Stability
on Economic Development: Case of South Sudan, mendefinasikan kestabilan politik ialah

keadaan negara yang aman dan kepatuhan undang-undang oleh masyarakat di mana proses
pembuatan keputusan adalah berdasarkan institusi kerajaan yang berdaulat dan fungsi yang
telah ditetap di dalam perlembagaan. Pada masa yang sama, kestabilan politik dapat dinilai
melalui beberapa aspek utama iaitu kerajaan yang stabil, sistem perundangan yang berfungsi
dan kestabilan persekitaran luaran (Borner, Kaser & Paldam 1998). Kerajaan yang stabil
merujuk kepada satu set institusi tertentu dan orang yang ditugaskan oleh dokumen formal
seperti perlembagaan bagi tujuan meluluskan undang-undang, mentadbir, menggubal dasar
awam dan menguatkuaskan peraturan terutamanya dalam mengekalkan kedaulatan negara.
Seterusnya, sistem perundangan yang berfungsi merupakan salah satu petunjuk dalam
mengukur kestabilan politik sesebuah negara. Dalam konteks serantau dan sempadan maritim,
sistem perundangan yang berkesan dapat dilihat apabila kerajaan mengambil tindakan kepada
mana-mana entiti yang menceroboh wilayah kedaulatannya sama ada secara langsung atau
tidak langsung. Perundangan kerajaan Indonesia dilihat begitu tegas dan agresif dalam

menangani isu pencerobohan wilayan maritim di mana pihak berkuasa Indonesia membakar
dan menenggelamkan bot nelayan asing yang memasuki perairannya (Sinar Harian 8 Januari

2016). Tindakan agresif Indonesia dengan memperuntukan undang-undang untuk membakar
bot yang memasuki perairannya adalah untuk mempertahankan wilayah kedaulatannya dari
mana-mana penceroboh. Pada masa yang sama, Borner, Kaser & Paldam (1998) dalam The
Political Dimension of Economic Growth, kestabilan politik dapat dilihat melalui kestabilan

persekitaran luaran. Kestabilan persekitaran luaran merujuk kepada adakah wilayah dan
sempadan negara tersebut sering diancam atau diceroboh oleh kuasa lain. Wilayah dan
sempadan negara merujuk kepada kedaulatan luaran negara dimana negara tersebut mendapat
pengiktirafan oleh negara-negara lain akan kemerdekaannya, intergriti wilayah dan hak yang
tidak boleh diceroboh oleh mana-mana kuasa. Ancaman persekitaran luar seperti tuntutan
bertindih dan perebutan wilayah maritim mampu menjejaskan kestabilan politik negara dan
rantau Asia Tenggara jika tidak ditangani dengan cekap. Selain itu, negara yang berkongsi
sempadan perairan antarabangsa seperti di Laut China Selatan sering disusupi oleh kuasa yang
lebih besar seperti China yang dilihat cuba untuk mendominasi Kepulauan Spratly untuk
kegunaan ketenteraan.
Oleh hal yang demikian, konsep kestabilan politik merupakan konsep yang sesuai
dalam membincangkan tuntutan bertindih yang dihadapi negara di Asia Tenggara dan
bagaimana krisis ini memberi impak kepada kestabilan politik serantau.

4.0


METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini secara keseluruhannya menggunakan kaedah kualitatif. Kaedah kualitatif ini
meliputi kajian perpustakaan bagi mendapatkan bahan-bahan berkaitan. Dalam memperolehi
maklumat berkenaan kajian, beberapa maklumat perlu didapatkan terlebih dahulu seperti
konsep kajian dan juga sorotan kajian lepas yang juga merupakan sumber sekunder. Sumber
sekunder ini diperolehi daripada buku-buku akademik, jurnal, dokumentasi, laporan tahunan,
makalah, akhbar, laman sesawang, akhbar atas talian dan beberapa bahan lain yang berkaitan.

5.0

ANALISIS PERBINCANGAN

Analisis perbincangan akan terbahagi kepada beberapa bahagian seperti faktor yang
menyebabkan berlakunya tuntutan bertindih, kawasan yang berlaku tuntutan bertindih dan
implikasi krisis ini kepada kestabilan politik serantau.

5.1


Isu Peta Baru Malaysia 1979

Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) merupakan pihak berkuasa dalam menentukan
sempadan maritim di antara Malaysia dan negara-negara jiran. Pada 21 Disember 1979, Peta
Baru Malaysia 1979 yang terdiri daripada Syit 1 (Semenanjung Malaysia) dan Syit 2 (Sabah &
Sarawak) dan menunjukkan kawasan Perairan Wilayah serta Pelantar Benua Malaysia telah
diisytiharkan menerusi Pemberitahuan No. 5745 (Tan Liat Choon 2015). Peta tersebut
menetapkan garis pangkal bagi perairan Malaysia adalah 12 batu nautika dan diiktiraf sebagai
“territorial sea” iaitu semua hak berkenaan dengan penjelajahan pelantar benua dan eksplotasi
sumber alamnya adalah dengan ini diletakkan “vested” pada Malaysia dan hendaklah
dijalankan “exercisable” oleh Kerajaan Persekutuan berdasarkan Seksyen 3 Akta Pelantar
Benua 1966 (Law of Malaysia).
Peta Baru Malaysia 1979 telah memasukkan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan ke dalam
“territorial sea” Malaysia dan peta ini telah ditentang oleh Indonesia. Peta Malaysia itu tidak
dipersetujui oleh negara-negara jiran kerana didakwa bertindih dengan banyak wilayah. Negara
yang tak bersetuju adalah Singapura, Brunei, Filipina, Thailand dan Vietnam. Pada masa yang
sama, peta ini juga telah menetapkan blok Ambalat yang terletak di Laut Sulawesi sebagai
perairan Malaysia dan bagi Republik Indonesia, Ambalat adalah maruah bangsa di mana
mereka tidak akan berkompromi lagi dengan Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan
wilayah Ambalat ini. Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa pengisytiharan Peta Baru yang

telah dibuat pada tahun 1979 dianggap sah dalam menentukan zon wilayah maritim dan
kedaulatannya (Muhamad Sayuti Hasan 2010: 184). Malaysia dan Indonesia telah melakukan
beberapa kali rundingan untuk menyelesaikan tuntutan bertindih terhadap blok Ambalat ini
“…the problem was discussed by the then Malaysian Prime Minister Hussein Onn and
Indonesian President Suharto in a meeting on March 26, 1980. Several meetings followed

thereafter. Mahathir, Malaysia’s new Prime Minister and President Suharto met three times
in three consecutive years of 1992, 1993 and 1994. Still, no solution was reached in any

of those meetings…” (Asri Salleh, Che Hamdan Che Mohd Razali & Kamaruzaman Jusoff
2009: 110). Sehingga pada hari ini, tuntutan bertindih terhadap blok Ambalat masih tidak
mencapai sebarang keputusan kerana rundingan yang dilakukan kedua-dua negara tidak
mencapai kata sepakat.
Implikasinya, Peta Baru Malaysia yang diterbitkan pada 1979 telah memberi impak
kepada perubahan wilayah maritim Malaysia dan negara jirannya kerana terdapat beberapa
tuntutan bertindih. Tuntutan bertindih yang tidak selesai seperti Blok Ambalat mempunyai
potensi untuk mengancam kestabilan politik serantau kerana tiada kata sepakat di antara keduadua negara dalam rundingan. Isu pencerobohan tentera merupakan perkara yang sering berlaku
keatas wilayah yang mempunyai tuntutan.

5.2

Kepulauan Spratly

Kepulauan Spratly merupakan tuntutan bertindih yang paling rumit dan sukar diselesaikan
negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia. Kepulauan ini terletak di Laut China Selatan
dan berdekatan dengan sempadan perairan Malaysia, Filipina, Vietnam, Taiwan dan China.
Spratly terdiri daripada pulau, terumbu karang dan batuan yang membentuk sebuah kepulauan
yang menjadi rebutan banyak negara kerana kaya dengan sumber alam seperti ikan, petroleum
dan gas asli. Pada masa yang sama, Kepulauan Spratly mempunyai keluasan tanah tidak
melebihi 490 ekar yang membentuk gugusan pulau, terumbu karang dan batuan yang
berkeluasan 425,000 km2. Kepulauan ini menjadi krisis di rantau Asia Tenggara kerana
berlakunya perebutan keatas wilayah maritim ini yang kaya dengan sumber minyak dan gas
asli dengan anggaran mempunyai rizab sebanyak 17.7 bilion tan (Caceres 2014: 110).
Kekayaan sumber alam ini menyebabkan Kepulauan Spratly menjadi rebutan negara di Asia
Tenggara dan penglibatan China sebagai kuasa ketenteraan yang besar dalam tuntutan bertindih
ini menambahkan lagi kerumitan terhadap krisis ini. Sehingga hari ini, Tentera Laut Di Raja
Malaysia (TLDM) telah menduduki 6 buah pulau dan terumbu di Spratly. Filipina telah
menduduki sebanyak 10 buah pulau dan terumbu, 8 terumbu dimiliki Vietnam, 2 terumbu oleh
Taiwan dan China menduduki 7 terumbu. Kebanyakkan terumbu yang diduduki negara-negara
ini adalah untuk kegunaan tentera dalam memelihara kedaulatan sempadan maritim.

Tuntutan bertindih Kepulauan Spratly adalah disebabkan kepentingan ekonomi dan
kepentingan nasional “national interest” negara. Hal ini demikian kerana negara yang
mempunyai pemilikan yang sah keatas kepulauan ini dapat memperluaskan “territorial sea”
seluas 12 batu nautika dan zon ekonomi eksklusif (ZEE) seluas 200 batu nautika untuk
eksplorasi sumber alam seperti minyak dan gas asli. Pada masa yang sama, pemilikan dan
kawalan keatas Spratly akan meluaskan lagi perairan maritim negara untuk tujuan ketenteraan.
Perebutan Kepulauan Spratly ini memberi impak kepada kestabilan politik serantau apabila
berlakunya berbalahan dan konfrontasi di antara tentera Vietnam dan China pada 1988.
Konfrontasi ini dikenali sebagai 1988 Spratly Battle apabila China menghantar 4 buah kapal
peronda ke barat laut Kepulauan Spratly dan Vietnam menuduh China melakukan provokasi
untuk menakluki Johnson South Reef. Pihak China pula menuduh tentera Vietnam telah
membina sebuah pos pemerhatian di Fiery Cross Reef secara haram dan apabila tentera China
menghalau, tentera Vietnam telah melepaskan tembakan (Dzurek 1996: 22). Pertempuran ini
telah mengakibatkan 2 buah kapal peronda Vietnam karam dan seramai 64 orang tentera
Vietnam terkorban. Konflik ini telah mengancam kestabilan politik serantau apabila tuntutan
bertindih tidak dapat diselesaikan melalui rundingan dan berlakunya pertempuran. Kestabilan
politik Vietnam dari sudut persekitaran luar terancam apabila kuasa besar seperti China
menggunakan kekuatan ketenteraan untuk menakluk wilayah maritim yang berlaku pertikaian.
Krisis Kepulauan Spratly ini dan kegagalan Vietnam mempertahankan wilayah yang berlaku
tuntutan bertindih telah menyebabkan China menawan Johnson South Reef dan 6 lagi terumbu
karang pada tahun 1988 (Min Gyo Koo 2009).
Selain itu, ketegangan di Kepulauan Spratly mampu mengancam kestabilan politik
serantau apabila China, Vietnam dan Taiwan meletakkan tuntutan keatas keseluruhan
kepulauan tersebut manakala Malaysia dan Filipina hanya meletakkan tuntutan keatas
sebahagian kepulauan Spratly terutamanya yang termasuk dalam garis ZEE (Asri Salleh, Che
Hamdan Che Mohd Razali & Kamaruzaman Jusoff 2009: 111). China menggunakan NineDash Line yang memasukkan keseluruhan wilayah Spratly ke dalam peta negara China sejak
tahun 1947. China mendakwa Kepulauan Spratly adalah milik mutlaknya berdasarkan hak
sejarah “historic right” dengan mengatakan kepulauan tersebut telah ditemui oleh pedagang
China sejak Dinasti Han pada 2 BC. Namun, tuntutan China telah ditolak oleh United Nations
Convention on the Law of the Sea atau Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS). Hal ini telah menyebabkan China bertindak
dengan agresif dengan menggunakan kekuatan ketenteraan untuk menuntut keseluruhan

Kepulauan Spratly yang secara tidak langsung memberi ancaman kepada kestabilan politik
serantau.
Perebutan Kepulauan Spratly menimbulkan ketegangan antara negara Asia Tenggara
apabila pada tahun 2013, China telah membina pangkalan tentera di Fiery Cross Reef yang
terletak di antara Vietnam dan Filipina. Kerajaan China telah melakukan pembinaan pangkalan
tentera dengan menambak pasir ke terumbu karang Fiery Cross sehingga berkeluasan 3,200
ekar. Pangkalan tentera di Laut China Selatan ini dilengkapi dengan lapangan terbang untuk
kegunaan tentera, senjata anti-pesawat, pos kawalan, menara peninjau dan peluru berpandu
(The Guardian 14 Disember 2014). Tindakan China membina fasiliti ketenteraan di kawasan
yang berlaku tuntutan bertindih menimbulkan ketegangan dalam kestabilan politik serantau
kerana China telah menjadi ancaman kepada kestabilan politik negara-negara jirannya.
ASEAN mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan China mampu menjejaskan kestabilan,
keselamatan dan kestabilan politik serantau. Tuntutan bertindih seharusnya diselesaikan
melalui rundingan dan diplomasi bukannya menggunakan kuasa ketenteraan untuk
mendominasi negara-negara lain (CNN 14 Mei 2015).
Sistem perundangan seperti UNCLOS yang mentakrif hak dan tanggungjawab negara
berkenaan dengan penggunaan lautan dunia dilihat gagal dalam mengekalkan kestabilan politik
serantau khasnya di Laut China Selatan. Pada masa yang sama, UNCLOS juga mentakrif
bahawa Kepulauan Spratly khususnya Fiery Cross Reef terletak di laluan utama perdagangan
antarabangsa dan tidak membenarkan kapal perang menggunakan laluan tersebut (United
Nations Convention on the Law of the Sea). Selain itu, kerajaan Malaysia, Filipina, Vietnam
dan lain-lain tidak dapat melakukan apa-apa tindakan melainkan membawa krisis ini
persidangan ASEAN untuk perbincangan antara negara anggota. Pada masa yang sama,
Malaysia dan negara-negara ASEAN tidak mengiktiraf tuntutan China terhadap Kepulauan
Spratly kerana tuntutan itu tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa UNCLOS dan
China telah melanggar Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan Laut China Selatan
(DOC) yang ditandatangani pada tahun 2002 (Utusan Malaysia 26 April 2016).
Tuntutan bertindih Kepulauan Spratly merupakan krisis antarabangsa yang mampu
menjejaskan kestabilan politik serantau. Spratly yang kaya dengan sumber alam dan
memainkan peranan dalam meluaskan ZEE menjadi rebutan negara-negara Asia Tenggara dan
kuasa besar China. Selain itu, China sebagai negara ketiga terkuat dalam ketenteraan
menggunakan kelebihan itu dalam meluaskan kedaulatannya di Spratly sehingga melanggar

perundangan antarabangsa dan berpotensi menjadi ancaman kepada kestabilan politik Asia
Tenggara. Kebanyakkan negara Asia Tenggara yang masih dalam fasa negara membangun
tidak dapat menghalang kemaraan China yang menguasi Kepulauan Spratly secara haram dan
bertentangan dengan undang-undang UNCLOS. Kependudukan China secara tidak sah
menambahkan lagi kerumitan dalam tuntutan bertindih Kepulauan Spratly dan mampu
mengancam kestabilan politik serantau apabila China semakin berani menceroboh perairan
maritim negara lain.

5.3

Blok Ambalat

Ambalat merupakan sebuah blok laut yang terletak di Laut Sulawesi lebih kurang 65 km
daripada barat ke arah timur dan 135 km daripada selatan ke arah utara. Blok ni hanya
mengambil masa lebih kurang dua jam jika bertolak daripada pengkalan Tarakan, Kalimantan
Timur dan sejauh 150 kilometer ke arah timur jika dikira dari Bandar Tawau, Sabah. Tuntutan
bertindih keatas blok ini bermula apabila Petronas memberi konsesi eksplorasi petroleum dan
gas asli kepada Shell pada 16 Februari 2005. Kerajaan Malaysia mendakwa blok lautan ini
adalah milik Malaysia berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979. Indonesia pula telah memberi
konsesi ekplorasi petroleum kepada syarikat minyak Itali ENI sejak 1999 di blok Ambat dan
hal ini telah mewujudkan ketegangan di antara dua negara (Eriyanto 2017: 251).
Tuntutan bertindih blok Ambalat juga berpunca daripada kepentingan ekonomi di mana
berpotensi untuk menghasilkan petroleum berjumlah 764 juta tong dan 1.4 trillion kaki gas per
kubik (Muhamad Sayuti Hassan 2010: 183). Hal ini menyebabkan blok minyak ini mempunyai
keistimewaan yang kuat jika dilihat dari perspektif ekonomi dan pendapatan negara. Oleh hal
yang demikian, Indonesia dan Malaysia tidak akan mengambil mudah dalam menuntut wilayah
Ambalat dalam mengekalkan kedaulatan wilayah masing-masing. Dalam konteks kestabilan
politik, tuntutan bertindih ini masih tidak menimbulkan konfrontasi atau ketegangan yang
mampu menjejaskan kestabilan politik serantau. Walaubagaimanapun, pada tahun 2005 krisis
pertikaian blok Ambalat hampir menjadi konflik bersenjata apabila kapal TLDM KD Rencong
telah berlanggar dengan kapal tentera Indonesia KRI Tedong Naga. Kedua-dua negara
mendakwa wilayah perairannya telah diceroboh oleh tentera Indonesia dan Malaysia yang
akhirnya mengakibatkan kemalangan ini. Indonesia telah mengarahkan 6 buah kapal perang

kelas “corvette” untuk mengawal blok Ambalat dan Malaysia telah menghantar jet pejuang
Hawk dari Tawau sebagai langkah berjaga-jaga (Weiss 2014).
Bagi Indonesia, Ambalat adalah maruah bangsa di mana mereka tidak akan
berkompromi lagi dengan Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan wilayah Ambalat ini.
Manakala di pihak Malaysia, kemenangan ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan pada tahun
2002 secara langsung memberi kekuatan untuk menentukan kedaulatan yang penuh ke atas
blok minyak Ambalat. Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa pengisytiharan Peta Baru yang
telah dibuat pada tahun 1979 dianggap sah dalam menentukan zon wilayah maritim dan
kedaulatannya (Muhamad Sayuti Hassan 2010: 185). Perundangan antarabangsa seperti
UNCLOS yang diratifikasi pada 1982 untuk mentakrif kedaulatan wilayah maritim sesebuah
negara dan mengekalkan kestabilan politik serantau dilihat tidak dapat menyelesaikan tuntutan
bertindih ini. Sebaliknya, kedua-dua negara memiliki hak kedaulatan “sovereign right” seperti
yang diperuntukan di bawah fasal 77(1) UNCLOS 1982 iaitu hak untuk eksplorasi dan
menikmati segala sumber mineral yang ada di kawasan tersebut (United Nations Convention
on the Law of the Sea).
Tuntutan bertindih ini tidak selesai sehingga ke hari ini kerana kedua-dua negara
mempunyai justifikasi yang tersendiri dalam menuntut hak kedaulatan. Tuntutan bertindih
terhadap blok Ambalat bertambah rumit apabila undang-undang tidak boleh memaksa keduadua negara ini untuk menyelesaikan pertikaian ini dengan segera kerana wujudnya faktor
seperti perbatasan undang-undang, hambatan politik antara dua negara, kekangan isu teknikal
di Laut Sulawesi dan kegagalan untuk bertoleransi menyebabkan kemelut ini gagal
diselesaikan melalui undang-undang yang sedia ada dengan segera.

5.4

IMPLIKASI TUNTUTAN BERTINDIH

Tuntutan bertindih yang berlaku di rantau Asia Tenggara telah memberi kesan kepada
kestabilan politik negara-negara yang terlibat. Negara-negara Asia Tenggara yang
kebanyakkannya berkongsi sempadan maritim menghadapi kesukaran dalam menyelesaikan
isu tuntutan bertindih kerana dipengaruhi faktor kepentingan ekonomi, kedaulatan negara,
hambatan politik dan kegagalan rundingan. Hal ini menyebabkan negara-negara Asia Tenggara
perlu menyelesaikan tuntutan bertindih dengan segara melalui rundingan “multilateral” atau

“bilateral” melalui platform seperti ASEAN atau badan kehakiman antarabangsa ICJ untuk
menyelesaikan krisis yang mampu mengancam kestabilan politik Asia Tenggara.

5.5

Ketegangan sempadan maritim

Sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, isu sempadan maritim telah menjadi ancaman kepada
kestabilan politik di peringkat rantau mahupun antarabangsa. Peningkatan nilai ekonomi di
lautan dan penyebaran negara-negara berdaulat telah merancakkan persaingan dalam merebut
wilayah maritim untuk kepentingan ekonomi dan politik (Buzan 1978). Penemuan sumber
alam seperti rizab petroleum dan gas asli di Laut China Selatan telah menghasilkan suatu
geografi konflik yang baharu di mana kepentingan ekonomi menjadi punca utama ketegangan
bukannya pepecahan politik (Yee 2011). Hal ini telah menjadikan Laut China Selatan sebagai
medan perebutan negara-negara Asia Tenggara dan kuasa besar seperti China untuk merebut
wilayah maritim yang akan memperolehi manfaat dari sumber asli berkenaan seterusnya akan
membantu pertumbuhan ekonomi.
Wilayah maritim yang mempunyai tuntutan bertindih seperti Kepulauan Spratly dan
blok Ambalat sering diceroboh oleh negara-negara jiran kerana masing-masing mempunyai
justifikasi dalam menuntut kedaulatan. Kes ketengangan sempadan maritim apabila China
telah menjadi kuasa besar ekonomi dan kuasa kenteraan yang dominan di benua Asia (Yee
2011: 166). China menggunakan kekuatan tentera untuk mengawal kedaulatannya di
Kepulauan Spratly berdasarkan Nine-Dash line yang tidak diiktiraf UNCLOS 1982. Pada tanun
2014, kapal peronda China telah menembak “water canon” kearah kapal peronda Vietnam
yang cuba memintas kapal korek milik negara China yang melakukan ekplorasi carigali
petroleum di Kepulauan Spratly (The Guardian 7 Mei 2014). Pada masa yang sama, polis
maritim China juga menawan nelayan Vietnam dan Filipina yang menangkap ikan di kawasan
tersebut kerana dituduh menceroboh perairannya. Ketegangan sempadan ini sukar diselesaikan
kerana rundingan kerap gagal dan China menggunakan kekuataan tentera untuk membelakangi
perundangan antarbangsa. Valencia (2000) dalam Regional Maritime Regime Building:
Prospects in Northeast and Southeast Asia berhujah bahawa ketegangan sempadan maritim

dapat dikurangkan melalui kerjasama maritim di mana negara-negara bersetuju dalam
rundingan untuk memberi hak dalam “freedom navigation” pelayaran bebas tanpa wujud
kepentingan ketenteraan dan secara tidak langsung dapat memperbaiki hubungan diplomatik

dan mencapai kata sepakat dalam tuntutan bertindih. Ketegangan sempadan di Laut China
Selatan merupakan krisis antarabangsa yang memberi ancaman kepada kestabilan politik
rantau Asia Tenggara berikutan tuntutan bertindih ke atas Kepulauan Spratly.

5.6

Campur tangan kuasa asing

Wilayah yang sering berlaku konflik akan menjadi tumpuan kuasa asing seperti Amerika
Syarikat untuk meluaskan hegemoni kuasa. Pada Januari 2018, kapal perang Amerika Syarikat
jenis pemusnah “destroyer” USS Hopper yang dilengkapi dengan peluru berpandu pemusnah
telah melakukan pelayaran bebas di Scarborough Shoal, Kepulauan Spratly yang merupakan
kawasan yang dituntut oleh China dan Filipina. Tentera Laut Filipina dan Tentera Laut
Amerika Syarikat melakukan pelayaran bebas sebagai latihan kerjasama ketenteraan dalam
memastikan kestabilan politik di Laut China Selatan terus terpelihara. Walaubagaimanapun,
tindakan Amerika Syarikat telah diancam oleh China dengan mendakwa perairannya telah
diceroboh kuasa asing dan akan mengambil segala tindakan untuk mempertahankan
kedaulatannya (The Guardian 21 Januari 2018). Namun, tiada sebarang ketegangan yang
berlaku di antara China dan Amerika Syarikat berhubung isu ini. Kedatangan kapal perang
Amerika Syarikat di Laut China Selatan dilihat sebagai campur tangan kuasa asing dalam
konflik serantau di mana Amerika Syarikat menggunakan krisis ini sebagai peluang untuk
memasuki perairan ini dalam meluaskan hegemoninya.
Seterusnya, Bill Hayton (2014) dalam The South China Sea: The Struggle for Power in
Asia , mengatakan kegagalan Amerika Syarikat dalam menundukkan pengaruh dan kebangkitan

China di Laut China Selatan akan menyebabkan reputasinya sebagai kuasa paling besar di
dunia musnah. Dalam konteks antarabangsa, Amerika Syarikat akan dilihat lemah kerana tidak
dapat menghalang kemaraan China yang mendominasi Laut China Selatan untuk kepentingan
ekonomi sehingga melanggar undang-undang antarbangsa. Pada Februaru 2018, Amerika
Syarikat telah mengarahkan kapal pengangkut “aircraft carrier” USS Carl Vinson untuk
belayar di Laut China Selatan dan berlabuh di Manila, Filipina sebagai langkah berjaga-jaga
untuk menghalang kemaraan China. USS Carl Vison yang mampu mengangkut sebanyak 90
buah jet pejuang FA-18 Super Hornets dan digunakan sebagai kumpulan pemunsah utama
“strike group” jika berlakunya konfrontasi dengan China di Kepulauan Spratly (ABC News 26

Februari 2018). Kapal pemusnah tersebut juga berlayar ke perairan Vietnam untuk melindungi
kawasan tersebut yang sering di ceroboh China.
Campur tangan Amerika Syarikat dalam konflik Laut China Selatan adalah releven
kerana Amerika Syarikat merupakan satu-satunya negara yang mampu menghalang kemaraan
China dalam membina pangkalan tentera di Kepulauan Spratly serta menceroboh perairan
maritim negara-negara lain. Pembinaan pangkalan tentera China di Fiery Cross Reef
merupakan tindakan China menggunakan kekuatan tentera dalam menduduki Kepulauan
Spratly secara haram dan bercanggah dengan UNCLOS 1982 serta menggunakan kekesaran
dalam menangani pencerobohan perairan. Hal ini menyebabkan campur tangan Amerika
Syarikat adalah relevan dalam memastikan China tidak melakukan langkah yang lebih agresif
dalam tuntutan bertindih di Spratly.

5.7

Konflik persenjataan

Tuntutan bertindih telah mewujudkan konflik persenjataan di Kepulauan Spratly apabila
negara-negara Asia Tenggara telah mula menempatkan tentera di terumbu karang dan pulau
untuk melindungi kedaulatan wilayah negara. Konflik persenjataan yang telah bermula pada
awal 1970an di mana Vietnam menempatkan tentera di 8 buah pulau untuk
mempertahankannya daripada China. Pasca Spratly Battle 1988 telah memperlihatkan konflik
persenjataan semakin rancak ketika China berjaya menawan Johnson South Reef dan beberapa
terumbu karang lalu menempatkan tentera laut (The Diplomat 20 Mac 2018). Malaysia juga
tidak terkecuali daripada konflik ini apabila menempatkan tentera di 6 buah pulau dan terumbu
lalu meningkatkan kapasiti ketenteraan di Markas Briged Kelima Infantri di Kota Kinabalu,
Sabah untuk tujuan pertahanan. Pada masa yang sama, Filipina pula telah menggabungkan
beberapa pulau dan terumbu di Kepulauan Spratly ke dalam provinsi Palawan (Djelantik
2015:124).
Konflik persenjataan dalam kalangan negara Asia Tenggara khususnya anggota
ASEAN tidak menimbulkan sebarang ketegangan kerana kebanyakkan tuntutan bertindih
dapat selesaikan melalui semangat ASEAN iaitu melalui rundingan bukannya kekerasan.
Tindakan China membina fasiliti ketenteraan di Fiery Cross Reef yang dilengkapi dengan
peluru berpandu anti-pesawat dan lapangan terbang yang mampu menampung pesawat

pengebom telah menimbulkan ketegangan dalam konflik persenjataan di Laut China Selatan.
China juga menggunakan kapal perang untuk memintas kapal peronda Vietnam dan Filipina
yang melakukan rondaan di Kepulauan Spratly. Tindakan agresif China dalam menuntut
kedaulatan di keseluruhan Kepulauan Spratly sentiasa mencetuskan ketegangan di antara
negara-negara lain apabila tentera China sering menceroboh perairan negara dan memintas
kapal peronda negara lain. Amerika Syarikat mengutuk tindakan China menggunakan
Kepulauan Spratly sebagai medan ketenteraan akan menjejaskan laluan perdagangan
terpenting di dunia (Reuters 30 Jun 2017).
Kerjasama ketenteraan juga terhasil daripada konflik persenjataan iaitu latihan
ketenteraan “Exercise Bersama Lima” yang dianggotai Malaysia, Singapura, Australia dan
United Kingdom untuk memastikan Laut China Selatan bebas daripada mana-mana kuasa
ketenteraan (ABC News 5 Oktober 2016). Selain itu, Filipina juga melakukan kerjasama
kenteraan sehala dengan Amerika Syarikat yang melibatkan US Navy Seal dan Armed Forces
of the Philippines di Laut China Selatan sebagai langkah berjaga-jaga untuk menghalang
penguasaan ketenteraan China di Kepulauan Spratly (The Diplomat 19 September 2017).
Filipina juga menjadi lokasi utama bagi kapal perang Amerika Syarikat berlabuh dalam
melakukan pelayaran bebas di Laut China Selatan. Konflik persenjataan di Laut China Selatan
berpunca daripada tuntutan bertindih negara-negara Asia Tenggara dan penguasaan tentera
China di Kepulauan Spratly menambahkan lagi kepada ketegangan dalam hubungan
diplomatik rantau ini.

5.8

Diplomasi

Melakukan diplomasi atau rundingan merupakan langkah utama yang sering dilakukan negaranegara dalam menangani isu tuntutan bertindih. Tuntutan bertindih di Asia Tenggara telah
memperlihatkan banyak rundingan dilakukan oleh negara-negara yang terlibat bagi
menyelesaikan isu ini. Rundingan merupakan langkah menyelesaikan masalah tanpa kekerasan
seperti mana yang ditekankan dalam matlamat penubuhan ASEAN.
Rundingan ke atas wilayah Kepulauan Spratly merupakan rundingan pelbagai hala
yang paling sukar untuk mencapai keputusan kerana melibatkan kepentingan ekonomi, politik
dan kedaulatan negara di mana negara-negara yang terlibat tidak akan mengambil mudah

terhadap tuntutan bertindih yang berlaku. Pada masa yang sama, penglibatan China sebagai
kuasa besar ekonomi dan ketenteraan dalam krisis ini menyukarkan lagi proses rundingan. Pada
Ogos 1995, kerajaan Filipina telah melakukan rundingan dengan China berhubung tuntutan
bertindih untuk mempersetujui beberapa perkara seperti mengelakkan konfrontasi ketenteraan
dalam mewujudkan sebuah kod etika di antara kedua negara tersebut. Namun, rundingan ini
tidak mencapai kata sepakat (Abocejo 2012). Pada tahun 2002, ASEAN dan China telah
melakukan beberapa siri rundingan untuk menyelesaikan tuntutan bertindih ini dan berjaya
menandatangani Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan
(DOC) yang menjamin kebebasan pelayaran bebas “freedom navigation”, menghormati
kedaulatan negara-negara berkepentingan dan menyelesaikan segala tuntutan melalui
rundingan (asean.org). Namun, tindakan China membina pangkalan tentera di Fiery Cross Reef
dan menceroboh perairan negara lain adalah bertentangan dengan DOC, secara tidak langsung
menunjukkan deklarasi ini gagal mengekalkan kestabilan politik serantau. Pada masa ini,
ASEAN dan China sedang berusaha untuk mewujudkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan
(COC) untuk menggantikan DOC 2002. Selain itu, bagi pihak China, COC diharapkan dapat
mengurangkan campur tangan Amerika Syarikat di rantau ini dalam menyelesaikan tuntutan
bertindih (The Diplomat 18 November 2017).
Seterusnya, tuntutan bertindih di blok Ambalat, Laut Sulawesi juga diselesaikan
melalui rundingan antara Indonesia dan Malaysia. Kedua-dua negara yakin isu berkaitan
persempadanan wilayah antara republik itu dengan Malaysia dapat diselesaikan menerusi
rundingan untuk mengelakkan sebarang konflik dan tuntutan ke ICJ adalah pilihan terakhir
(Sinar Harian 30 Oktober 2015). Sehingga kini, Malaysia dan Indonesia masih di dalam proses
rundingan di mana Malaysia telah menghantar delegasi ke Indonesia untuk membincangkan
isu pertindihan tuntutan ini. Walaupun rundingan tidak semestinya mencapai kejayaan dalam
menyelesaikan pertikaian sempadan, namun rundingan merupakan langkah utama yang perlu
dilakukan negara-negara untuk mengelakkan berlakunya sebarang konflik yang akan
mengancam kestabilan politik serantau.

6.0

KESIMPULAN

Tuntutan bertindih merupakan sebuah krisis antarabangsa yang mampu menjejaskan kestabilan
politik di Asia Tenggara. Lautan pada hari ini telah menjadi medan pertembungan kuasa-kuasa
besar untuk meluaskan hegemoni dalam mengukuhkan kepentingan ekonomi dan nasional.
Laut China Selatan yang kaya dengan sumber alam dan berperanan sebagai laluan utama
perdagangan antarabangsa telah menjadi rebutan negara-negara Asia Tenggara dan kuasa besar
seperti China. Tuntutan bertindih yang kebanyakkannya berlaku kerana kepentingan ekonomi
telah mencetuskan ketegangan di antara negara-negara yang terlibat. Hal ini demikian kerana
semua negara mempunyai justifikasi tersendiri dalam meletakkan tuntutan berhubung
Kepulauan Spratly yang menjadi krisis tuntutan bertindih paling sukar untuk diselesaikan.
Dalam mencari penyelesaian terhadap tuntutan bertindih, diplomasi atau rundingan
menjadi pilihan utama negara-negara Asia Tenggara untuk mengelakkan berlakunya sebarang
konflik persenjataan yang akan menjejaskan kestabilan politik serantau. DOC 2002 merupakan
antara rundingan yang berjaya mencapai kata sepakat dalam usaha menyelesaikan tuntutan
bertindih di Laut China Selatan. Walaubagaimanapun, deklarasi ini tidak mampu mengawal
tindakan negara-negara berkepentingan terutamanya China yang telah membina pangkalan
tentera di Kepulauan Spratly dan merupakan tindakan yang menimbulkan ketegangan serta
konflik persenjataan. Tuntutan bertindih yang melibatkan lebih daripada dua negara sangat
sukar untuk diselesaikan kerana masing-masing mempunyai kepentingan dari sudut ekonomi,
politik, strategi dan kedaulatan. Dalam konteks ASEAN pula, pertubuhan ini menjadi platform
utama dalam melakukan rundingan terhadap tuntutan bertindih dan negara anggota ASEAN
mementingkan penyelesaian secara rundingan seperti yang berlaku diantara Malaysia dan
Indonesia dalam menyelesaikan isu tuntutan blok Ambalat. Semangat ASEAN yang
menekankan kerjasama dan kestabilan politik serantau menyebabkan Indonesia dan Malaysia
yakin tuntutan bertindih blok Ambalat dapat diselesaikan melalui rundingan.
Pada masa yang sama, tuntutan bertindih bukan sahaja melibatkan ketegangan
sempadan maritim, malah menyebabkan campur tangan kuasa asing seperti Amerika Syarikat
di Laut China Selatan. Konflik serantau yang semakin serius menyebabkan Amerika Syarikat
sebagai kuasa besar dunia memainkan peranan dalam mencampuri urusan di Kepulauan
Spratly. Campur tangan Amerika Syarikat tidak dinafikan dapat menghalang penguasaan
China mendominasi Kepulauan Spratly, namun berupaya mencetuskan konflik persenjataan di

antara China dan Amerika Syarikat di rantau Asia Tenggara lalu menjejaskan kestabilan politik
rantau ini.
Negara-negara Asia Tenggara perlu mencari jalan penyelesaian terhadap krisis tuntutan
bertindih yang berlaku supaya krisis ini dapat diselesaikan tanpa konflik. Jika rundingan tidak
mencapai kata sepakat, negara-negara Asia Tenggara perlu membawa tuntutan ke badan
kehakiman antarabangsa ICJ untuk menyelesaikannya tanpa sebarang konflik. Hal ini
demikian kerana tuntutan bertindih adalah krisis antarabangsa yang serius di mana berupaya
menjejaskan kestabilan politik serantau.

7.0

SUMBANGAN AKADEMIK

Secara dasarnya, penulisan ini adalah untuk mengkaji tuntutan bertindih yang berlaku di Asia
Tenggara dan sejauh manakah memberi implikasi kepada kestabilan politik serantau.
Berdasarkan analisis perbincangan yang dikemukankan, tuntutan bertindih berlaku disebabkan
faktor kepentingan nasional negara serta kepentingan ekonomi yang menyebabkan negaranegara meletakkan tuntutan terhadap sesebuah kawasan yang mempunyai sumber ekonomi
yang tinggi. Pada masa yang sama, faktor ekonomi mempengaruhi tindakan sesetengah negara
untuk meluaskan kawasan ZEE untuk meningkatkan jarak ekplorasi sumber alam. Dalam kes
Malaysia, Peta Baru 1979 merupakan tindakan Malaysia untuk meningkatkan jarak ZEE untuk
melakukan ekplorasi petroleum dan sumber alam. Manakala, China menggunakan Nine-Dash
Line sebagai justifikasi dalam meluaskan wilayah maritimnya.

Kesannya, tuntutan bertindih serta konflik telah berlaku kerana sesetengah negara juga
mendakwa wilayah tersebut terletak dalam kedaulatannya. Hal ini menyebabkan Laut China
Selatan menjadi perebutan dalam kalangan negara Asia Tenggara dalam melindungi
kepentingan ekonomi dan meluaskan kedaulatan negara. Tuntutan bertindih merupakan krisis
antarabangsa yang kritikal kerana mampu menjejaskan kestabilan politik serantau apabila
berlakunya konflik persenjataan, ketegangan sempadan maritim, campur tangan kuasa asing
dan kegagalan diplomasi. Oleh hal yang demikian, isu tuntutan bertindih perlu menjadi skop
utama dalam mengkaji kestabilan politik serantau kerana isu ini mampu menjejaskan serta
mengubah landskap politik antarabangsa khususnya di Asia Tenggara. Selain itu, perundangan
antarabangsa seperti UNCLOS 1982 perlu diperkukuhkan lagi dengan mengambil tindakan

kepada negara yang menceroboh wilayah maritim negara lain. Pertubuhan antarabangsa seperti
United Nation dan ASEAN perlu meningkatkan penglibatan sebagai medium utama dalam
menyelesaikan tuntutan bertindih melalui rundingan dan diplomasi untuk mengekalkan
kestabilan politik.

8.0

RUJUKAN

Asri Salleh & Kamaruzaman Jusoff. 2009. Malaysia's policy towards its 1963 - 2008 territorial
disputes. Journal of Law and Conflict Resolution Vol. 1(5), pp. 107-11.
Buzan, B. 1978. A Sea of Troubles? Sources of Dispute in the New Ocean Regime, Adelphi
Paper 143, London: International Institute for Strategic Studies.
Carleton, C & Schofield, C. 2002. Developments in the Technical Determination of Maritime
Space: Delimitation, Dispute Resolution, Geographical Information System & the Role
of Technical Expert. Volume 3 Number 4. Durham: University of Durham.
Dzurek, D.J. 1996. The Spratly Islands Dispute: Who's on First?. Durham: IBRU Centre for
Borders Research.
Eriyanto. 2017. Analisis Naratif: Dasar-dasar dan Penerapannya dalam Analisis Teks Berita
Media. Jakarta: Kencana.
Ferdinand Tesado Abocejo. 2012. The Spratly Islands Conflict: Implications to China and the
Philippines. Fifth Taiwan-Philippines Academic Conference: Digital Humanities and
Cultural StudiesAt: Aletheia Univeristy.
Gerstl, A. & Strašáková, M. 2016. Unresolved Border, Land and Maritime Disputes in
Southeast Asia: Bi- and Multilateral Conflict Resolution Approaches and ASEAN`s
Centrality. Leiden: Brill.
Hayton, B. 2014. The South China Sea: The Struggle for Power in Asia. Connecticut: Yale
University Press.
Kratoska, P.H. 2001. South East Asia, Colonial History: Imperialism before 1800. New York:
Routledge.
Law of Malaysia. Act 137. Fisheries Act 1985
Min Gyo Koo. 2009. Island Disputes and Maritime Regime Building in East Asia: Between a
Rock and a Hard Place. New York: Springer Publishing.
Phillips. D.A. 2006. Southeast Asia. New York: Infobase Publishing.
Sukawarsini Djelantik. 2015. Asia-Pasifik: Konflik, Kerja Sama, dan Relasi dan
Antarkawasan. Bandung: Universitas Katolik Parahyangan.

Valencia, Mark J. (2000), Regional Maritime Regime Building: Prospects in Northeast and
Southeast Asia, in: Ocean Development and International Law, 31, 223-247.
Weiss, M.L. 2014. Routledge Handbook of Contemporary Malaysia. London: Routledge.
Yee, A. 2011. Maritime Territorial Disputes in East Asia: A Comparative Analysis of the
South China Sea and the East China Sea, in: Journal of Current Chinese Affairs, 40, 2,
165-193.
Sinar Harian. 1 Ogos 2013. Tuntutan bertindih: Asean dicadang runding dahulu.
Sinar Harian. 8 Januari 2016. Bot nelayan Malaysia dibakar pihak berkuasa Indonesia.
Sinar Harian. 30 Oktober 2015. Yakin isu sempadan selesai dengan rundingan.
Utusan Malaysia. 26 April 2016. Isu tuntutan bertindih: Malaysia tidak iktiraf China.
$5 Trillion Meltdown: What If China Shuts Down the South China Sea?
http://nationalinterest.org/blog/5-trillion-meltdown-what-if-china-shuts-down-thesouth-china-16996 (atas talian 23 April 2018)
Photos show Beijing’s militarisation of South China Sea in new detail
https://www.theguardian.com/world/2018/feb/06/photos-beijings-militarisation-southchina-sea-philippines (atas talian 23 April 2018)
Tensions rise in South China Sea as Vietnamese boats come under attack
https://www.theguardian.com/world/2014/may/07/chinese-vietnamese-vessels-clashsouth-china-sea (atas talian 23 April 2018)
United Nations Convention on the Law of the Sea
http://www.un.org/depts/los/convention_agreements/texts/unclos/unclos_e.pdf
talian 23 April 2018)

(atas

Why the world is wary of China's 'great wall of sand' in the sea
https://edition.cnn.com/2015/05/14/opinions/china-great-wall-sand-spratly/index.html
(atas talian 23 April 2018)
South China Sea: Chinese military tells US ship 10 times to turn around
https://www.theguardian.com/world/2017/aug/11/south-china-sea-chinese-militarytells-us-ship-to-turn-around-10-times (atas talian 23 April 2018)
Land Law and Regulation Survey: Marine Cadastre and Maritime Boundary
http://fght.utm.my/tlchoon/files/2015/08/13-Marine-Cadastre-and-MaritimeBoundary-1.pdf (atas talian 23 April 2018)

China vows action after US warship sails near South China Sea island
https://www.theguardian.com/world/2018/jan/21/china-vows-action-after-us-warshipsails-near-south-china-sea-island (atas talian 24 April 2018)
USS Carl Vinson aircraft carrier sails through South China Sea in defiance of China
http://www.abc.net.au/news/2018-02-26/us-navy-pushes-through-the-south-china-seain-defiance-of-china/9483828 (atas talian 24 april 2018)
Learning From the Battle of the Spratly Islands
https://thediplomat.com/2018/03/learning-from-the-battle-of-the-spratly-islands/ (atas
talian 24 April 2018)
China builds new military facilities on South China Sea islands: think tank
https://www.reuters.com/article/us-southchinasea-china-islands/china-builds-newmilitary-facilities-on-south-china-sea-islands-think-tank-idUSKBN19L02J (atas talian
24 April 2018)
Australian Defence Force says military exercises in South China Sea region not aimed at
Beijing
http://www.abc.net.au/news/2016-10-05/australia-defence-begins-joint-militaryexercises-in-singapore/7906794 (atas talian 24 April 2018)
What’s in the New US-Philippines Military Exercise?
https://thediplomat.com/2017/09/whats-in-the-new-us-philippines-military-exercise/
(atas talian 24 April 2018)
DECLARATION ON THE CONDUCT OF PARTIES IN THE SOUTH CHINA SEA
http://asean.org/?static_post=declaration-on-the-conduct-of-parties-in-the-southchina-sea-2 (atas talian 24 April 2018)
A South China Sea Code of Conduct: Is Real Progress Possible?
https://thediplomat.com/2017/11/a-south-china-sea-code-of-conduct-is-real-progresspossible/ (atas talian 24 April 2018)