PEMIKIRAN SYEIKH MUHAMMAD ARSYAD AL BANJ

PEMIKIRAN SYEIKH MUHAMMAD ARSYAD AL-BANJARI
BERKAITAN ISU LOKALITI DAN PEMINDAHAN ZAKAT:
ANALISIS TERHADAP KITAB SABIL AL-MUHTADIN
Muhd Imran Abd Razak1
Prof. Dr. Rahimin Afandi Abd Rahim
Muhammad Yusri Yusof @ Salleh2
Paiz Hassan3
Mohd Zahirwan Halim Zainal Abidin4
ABSTRAK
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari adalah seorang sarjana Islam yang berasal daripada
Martapura, Banjarmasin. Antara karya beliau yang popular adalah kitab Sabil al-Muhtadin
yang menjadi rujukan utama kepada pengajian fiqh syafi‘i di Nusantara. Penulisan kertas kerja
ini memfokuskan kepada pemikiran Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam beberapa isu
zakat semasa terutamanya isu lokaliti dan pemindahan hasil zakat. Kajian ini menggunakan
metodologi kualitatif sepenuhnya dengan menggunakan kajian kepustakaan dan kajian teks
sebagai instrumen utama. Kajian kepustakaan menumpukan kepada kajian-kajian lepas yang
pernah dijalankan berkaitan tokoh ini samada dalam bentuk jurnal, buku dan kertas kerja
persidangan. Kajian kepustakaan juga turut digunakan bagi memperincikan perbincangan fiqh
terhadap isu yang dikaji. Pendekatan kajian teks (matan) juga dilakukan terhadap kitab Sabil
al-Muhtadin terutamanya ketika meneliti pemikiran Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari
dalam isu lokaliti dan pemindahan zakat dan membandingkannya dengan pandangan sarjana

Islam silam dan kontemporari. Kertas kerja ini akan memberi nilai tambah terhadap isu yang
dikaji dan mencadangkan penambaikan terhadap sistem sedia ada terutamanya dalam isu
pemindahan hasil zakat antara wilayah dan negeri di Malaysia.
Keywords: Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, lokaliti, zakat, Sabil al-Muhtadin
PENDAHULUAN
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari adalah seorang ulama tersohor di rantau Alam Melayu. Beliau bukan
sahaja seorang pakar rujuk dalam bidang keagamaan bahkan seorang penulis yang sangat prolifik dengan
karya-karyanya dalam pelbagai bidang. Antara karya beliau yang termasyhur adalah kitab Sabil al-Muhtadin
yang mengupas aspek-aspek fiqh yang bersifat praktikal dan semasa serta menjadi rujukan dan panduan bagi
pelajar dan sarjana Islam di Nusantara. Nama penuh kitab ini adalah Sabil al-Muhtadin li al-Tafaqquh fi Amr
al-Din, yang ertinya adalah “jalan bagi orang-orang yang mendapat petunjuk untuk mendalami urusan-urusan
agama”. Oleh kerana kitab ini telah dihasilkan di Banjar, penulisan di dalamnya mempunyai unsur dan
elemen tempatan kerana sasaran pembacanya adalah khalayak masyarakat Melayu Nusantara. Kertas kerja ini
memfokuskan pandangan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari berkaitan isu dalam fiqh al-zakah, khususnya
berkaitan lokaliti dan pemindahan hasil zakat disamping membandingkannya dengan pandangan-pandangan
sarjana hukum dalam isu berkenaan. Kajian yang mendalam terhadap pandangan-pandangan fiqh yang
pelbagai dalam isu lokaliti dan pemindahan zakat begitu signifikan khususnya dalam berhadapan masalah
11Pensyarah, Akademi Pengajian
imranrazak@perak.uitm.edu.my.
2Pensyarah, Akademi Pengajian

yusri613@perak.uitm.edu.my.
3Pensyarah, Akademi Pengajian
paiz4286@perak.uitm.edu.my.
4Pensyarah, Akademi Pengajian
mohdz560@perak.uitm.edu.my.

Islam

Kontemporari,

Universiti

Teknologi

MARA

Perak,

Islam


Kontemporari,

Universiti

Teknologi

MARA

Perak,

Islam

Kontemporari,

Universiti

Teknologi

MARA


Perak,

Islam

Kontemporari,

Universiti

Teknologi

MARA

Perak,

ketidakseimbangan jumlah kutipan dan pemindahan hasil zakat kepada golongan asnaf yang berhak untuk
memilikinya.
BIODATA SYEIKH MUHAMMAD ARSYAD AL-BANJARI
Menurut Wan Mohd Shaghir Abdullah (2004), Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari merupakan ulama yang
paling terkenal dari kalangan para ulama yang berasal dari Borneo atau Kalimantan. Nama penuh beliau ialah
Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah bin Abdur Rahman al-Banjari bin Saiyid Abu Bakar bin Saiyid

Abdullah al-Aidrus bin Saiyid Abu Bakar as-Sakran bin Saiyid Abdur Rahman as-Saqaf bin Saiyid
Muhammad Maula ad-Dawilah al-Aidrus dan nasabnya sampai kepada Saidina Ali bin Abi Thalib dan
Saidatina Fatimah bin Nabi Muhammad S.A.W. (Wan Mohd Shaghir Abdullah, 2005). Kedatangan datuk
nenek Syeikh Muhammad Arsyad ke Alam Melayu telah menjadi pertikaian. Ada riwayat mengatakan
bahawa Saiyid Abdullah bin Saiyid Abu Bakar as-Sakran adalah orang yang pertama datang ke Alam Melayu.
Beliau telah datang ke Filipina, dan berjaya mendirikan Kerajaan Mindanao. Saiyid Abu Bakar adalah datuk
kepada Syeikh Muhammad Arsyad yang merupakan Sultan Mindanao yang juga dikenali dengan Kesultanan
Islam Kebuntatalan Sulu (Husnul Yaqin, 2011; Wan Mohd Shaghir Abdullah, 2009).
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari telah dilahirkan pada malam Khamis, pukul 3.00 (waktu
sahur), 15 Safar 1122 H/17 Mac 1710 M (Wan Mohd Shaghir Abdullah, 2005). Beliau dilahirkan di Kampung
Lok Gabang, Martapura, Banjarmasin. Bapanya Abdullah merupakan seorang pemuda yang dikasihi sultan
pada masa itu, Sultan Hamidullah atau Tahmidullah bin Sultan Tahlilullah (1700-1734 M). Bapanya bukan
asal orang Banjar, tetapi datang dari India untuk menyebarkan dakwah dan merupakan seorang ahli seni
ukiran kayu. (Dewan Agama, Mei 2005).
Semasa kecil, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari seorang yang cerdas serta mempunyai akhlak
yang baik dan terpuji. Kehebatan beliau sejak kecil ialah dalam bidang seni lukis dan seni tulis. Pada suatu
ketika, sultan mengadakan kunjungan ke kampung-kampung. Apabila baginda sultan sampai ke kampung
Lok Gabang, baginda berkesempatan melihat hasil karya lukisan Muhammad Arsyad yang indah dan
memukau. Justeru itu, sultan berhajat untuk memelihara dan mendidik Syeikh Muhammad Arsyad yang
ketika itu baru berusia 7 tahun. Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari mendapat pendidikan penuh di istana

sehingga usianya mencapai 30 tahun. Kemudian, beliau dikahwinkan dengan seorang perempuan yang
solehah bernama Tuan Bajut. Hasil perkahwinan, beliau memperoleh seorang puteri yang diberi nama
Syarifah (Dewan Agama, Mei 2005). Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari berkahwin sebanyak 11 kali.
Daripada enam orang isterinya beliau mendapat zuriat yang sangat ramai. Antara yang pernah menjadi mufti
ialah Haji Jamaluddin bin Syeikh Muhd. Arsyad al Banjari dan Haji Ahmad bin Syeikh Muhd. Arsyad al
Banjari (Wan Mohd Shaghir Abdullah, 2008).
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari telah meneruskan pengajiannya di Mekah dan Madinah.
Semua perbelanjaannya ditanggung oleh Sultan Tamjidillah (1745-1778M) dan pengganti baginda Sultan
Tahmidillah (1778-1808M) (Dewan Agama, Mei 2005). Beliau belajar di kota Mekah sekitar tiga puluh tahun
dan di Madinah sekitar lima tahun. Sahabatnya yang paling rapat dan penting ialah Syeikh Abdul Samad alFalimbani, Syeikh Abdur Rahman al-Mashri al-Batawi, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Syeikh Abdul
Wahab Sadengreng (Bugis), Syeikh Muhammad Salih bin Umar al-Samarani atau 'Semarang' dan Syeikh
Abdul Wahab Bugis yang akhirnya menjadi menantu beliau. Guru-gurunya pula ialah Syeikh Muhammad bin
Sulaiman al-Kurdi, Syeikh Athaullah atau Ataillah bin Ahmad al-Misriy, Syeikh Muhammad bin Abd Karim
al-Qadiri, Syeikh Ahmad bin Abd Mun‘im al-Damanhuri, Syeikh Hasan bin Ahmad Akisy al-Yamani, Sheikh
Salim bin Abdullah al-Basri dan Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani al-Madani. Ketika belajar
di Mekah beliau tinggal di sebuah rumah yang dibeli oleh Sultan Banjar. Rumah tersebut terletak di kampung
Samiyah yang disebut juga dengan Barhat Banjar. Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan kawankawannya selain belajar kepada ulama-ulama bangsa Arab, juga belajar kepada ulama-ulama yang berasal
dari dunia Melayu. Di antara guru mereka yang berasal dari dunia Melayu ialah Syeikh Abdur Rahman bin
Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani, Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh dan Syeikh
Muhammad ‘Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani (Wan Mohd Shaghir Abdullah, 2009).

Setelah berada selama tiga puluh tahun di Makkah dan lima tahun di Madinah, Syeikh Muhammad
Arsyad al-Banjari pulang ke tanah air untuk menyebarkan Islam. Setibanya beliau ke kampung halamannya,
beliau membuka pusat pengajian untuk memudahkan masyarakat Islam menimba ilmu pengetahuan (Dewan
Agama, Mei 2005). Pusat pengajiannya dinamakan ” Dalam Pagar ” dan beliau mengajar di situ selama 20
tahun. Para muridnya datang dari seluruh pelusuk kerajaan Banjar dan apabila tamat pengajian mereka
menyebarkan ilmu yang diperolehi di daerah masing-masing sehingga Islam berkembang dengan pesat di

jajahan kerajaan Banjar. (H. M. Asywadie Syukur, 1987). Selain itu, Syeikh Muhammad Arsyad turut
membiasakan diri bersama orang kampung berkebun, bersawah, dan bertani. Di samping aktif mengajar dan
mendidik masyarakat Islam yang datang dari pelbagai pelosok daerah, beliau turut turun berdakwah ke
segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada rakyat biasa hinggalah kepada golongan pembesar dan
bangsawan. Dalam menyampaikan dakwah, Syeikh Muhammad Arsyad menggunakan pelbagai kaedah
pendekatan iaitu Dakwah bil Hal (dakwah yang menggunakan pendekatan contoh dan akhlak yang
dipamerkan oleh beliau), Dakwah bil Lisan (dakwah dengan menggunakan pendekatan lidah iaitu mengajak
dan menyeru) dan Dakwah bil Kitabah (dakwah dengan menggunakan pendekatan penulisan buku dan
risalah) (Dewan Agama, Mei 2005).
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari akhirnya menjadi seorang ulama besar tanah Jawi atau dunia
Melayu kerana banyak ilmu keislaman telah dipelajarinya semasa belajar di kota Mekah dan Madinah
daripada para guru dan ulama yang diiktiraf kepakarannya.. Kealiman beliau diakui oleh ulama-ulama yang
datang kemudian daripada beliau kerana banyak bukti-bukti keilmuannya berupa karya-karyanya terutama

melalui karangannya yang paling terkenal Sabil al-Muhtadin. Selain itu keturunan beliau sangat ramai yang
menjadi ulama. Ini sebagai bukti bahawa Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari telah berhasil menyebarkan
ilmu selain untuk dirinya, keturunannya dan masyarakat Banjar malah pengaruhnya juga dirasakan di seluruh
dunia Melayu. Hal ini dikeranakan memang hampir tidak ada ulama dunia Melayu yang tidak kenal dengan
karyanya Sabil al-Muhtadin. (Wan Mohd Shaghir Abdullah, 2005)
Walaupun Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dipercayai pernah mengajar di Mekah, namun
karya yang dihasilkannya ditulis di Banjar. Beliau banyak mencurahkan khidmatnya di tempat kelahirannya
sendiri. Ketika pulang ke Banjar, beliau sangat sibuk mengajar dan menyusun perkara yang bersangkut-paut
dengan dakwah, pendidikan dan pentadbiran Islam. Walaupun begitu beliau masih sempat menghasilkan
beberapa buah karangan. Antaranya ialah Tuhfah ar-Raghibin fi Bayani Haqiqah Iman al-Mu’minin wa ma
Yufsiduhu Riddah ar-Murtaddin,(1188H/1774M), Luqtah al-‘Ajlan fi al-Haidhi wa al-Istihadhah wa an-Nifas
an-Nis-yan,(1192H/1778M), Sabil al-Muhtadin li at-Tafaqquhi fi Amri ad-Din, (1195H/1780M), Risalah
Qaul al-Mukhtashar,(1196H/1781M), Kitab Bab an-Nikah, Bidayah al-Mubtadi wa ‘Umdah al-Auladi,
Kanzu al-Ma‘rifah, Kitab al-Faraid, Bulugh al-Maram, Fat-h ar-Rahman, Arkanu Ta‘lim as-Shibyan,
Hasyiyah Fat-h al-Wahhab dan Mushhaf al-Quran al-Karim. (Mujiburrahman, 2014; Wan Mohd Shaghir
Abdullah, 2005). Karyanya yang paling terkenal di alam Melayu ialah Sabil al-Muhtadin yang membicarakan
fiqh ibadah mazhab Syafie.
Beliau meninggal dunia pada malam Selasa iaitu di antara waktu Maghrib dan Isyak, pada 6 Syawal
1227 Hijrah bersamaan 13 Oktober 1812 Masihi (Wan Mohd Shaghir Abdullah, 2005). Beliau meninggal
dunia pada usia 105 tahun dengan meninggalkan sumbangan yang besar terhadap masyarakat Islam di

Nusantara.
KEARIFAN TEMPATAN DALAM PEMBINAAN PEMIKIRAN FIQH SYEIKH MUHAMMAD
ARSHAD AL-BANJARI
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari seorang ulama yang sangat tajam pengamatannya terhadap masyarakat.
Ini dapat dilihat daripada perbincangan-perbincangan beliau terhadap persoalan-persoalan fiqh terutamanya
dalam Kitab Sabil al-Muhtadin. Beberapa keadaan masyarakat diambil kira seperti yang digambarkan oleh
Ahmad Dekhoir (2010) dalam Islamica:
” Masyarakat banjar memiliki budaya-budaya yang tradisional. Budaya tersebut
umumnya berasimilasi dengan budaya warga asli kalimantan yang beragama animisme,
dinamisme dan Hindu Kaharingan. Itu sebabnya mereka masih ada pengaruh budaya
luar Islam seperti upacara adat Menyanggar Banua dan Membuang Pasilih. Tingkat
perekonomian dan mata pencharian warga banjar saat itu beragam. Pekerjaan seharian
bagi para suami biasanya bertani, berkebun dan mencari ikan di sungai-sungai.
Sedangkan sebahagian besar para wanita (isteri), bekerja sebagai pengrajin dan
berdagang”
Refleksi kepada antara amalan masyarakat yang agak terpesong daripada ajaran Islam; Syeikh Muhammad
Arsyad al-Banjari sangat berhati-hati dalam penulisannya terutamanya ketika membincangkan fiqh jenazah.
Beliau dilihat menghukumkan makruh dan bida’ah terhadap amalan masyarakat pada ketika itu yang

menyediakan makanan bagi orang yang menziarahi jenazah sama ada sebelum atau selepas jenazah itu

dikuburkan. Beberapa persoalan masyarakat berkaitan jenazah ini dapat dilihat seperti:
”Dan makruh lagi bidaah bagi segala mereka yang diserunya memperkenankan serunya
dan haram menyediakan makanan akan yang menangis dengan menyerak (menangis
dengan suara nyaring) kerana yang demikian itu menolong atas berbuat maksiat. (Dan
demikian lagi) makruh lagi bidaah menyembelih di atas kubur dan tiada sah wasiat
dengan dia. Kata setengah ulama yang demikian itu pekerjaan kafir pada masa
jahiliyyah jua. (Dan demikian lagi), makruh lagi bidaah saiyyiahmenyembah atau
mengucup atau mencium suatu daripada kubur atau mengucup dan mencium anak
tangga tempat ziarah bagi segala kubur auliya dan ulama” (Syeikh Muhammad Arsyad
al-Banjari, t.th).
Refleksi kedua adalah dalam isu-isu ekonomi masyarakat. Antara sumbangan besar Syeikh Muhammad
Arsyad al-Banjari pengasasan konsep harta sepencarian dalam masyarakat banjar. Harta sepencarian dalam
masyarakat banjar dikenali dengan Harta Perpantangan. Penulisan beliau tentang harta perpantangan terdapat
dalam Kitab Faraid yang membincangkan tentang harta pusaka. Namun naskah asal tidak dapat di temui.
Kitab ini dikatakan disimpan oleh Kiyai Haji Abd al-Rahman Siddiq, Mufti Kesultanan Siak, Inderagiri, Riau
(Ahmad Dekhoir, 2010). Pemikiran berasaskan realiti semasa dan setempat juga dapat dilihat ketika beliau
membincangkan isu0isu berkaiatan asnaf zakat dan lokaliti zakat.
Refleksi ketiga adalah berkaitan usaha Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari menulis kitab-kitab melayu-arab
hasil daripada penelitian beliau terhadap kesukaran masyarakat setempat dalam memahami bahasa arab. Pada
asalnya beliau membawa pulang kitab- kitab arab dari Mekah dan menggunakannya dalam pengajarannya di

masjid dan rumahnya. Hasil daripada usaha beliau lahir kitab-kitab melayu-arab yang digunakan sehingga
kini terutamanya Sabil al-Muhtadin (Ahmad Dekhoir, 2010).
Refleksi keempat, beliau terkenal dengan ulama yang mempunyai bentuk penulisan yang sistematik dan tidak
menyalin dan menterjemah secara harfiah. Ketika membincangkan isu-isu makanan halal, penulisan beliau
dengan jelas membincangkan isu-isu tempatan dengan mengetengahkan contoh-contoh setempat seperti yang
diungkapkan oleh Mohd Anuar Ramli (2012) dalam Jurnal Tamaddun:
“Menurut Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari, haiwan akuatik atau lautan adalah haiwan
yang tidak hidup di darat atau hidup di darat hanya untuk beberapa ketika kemudian masuk
kembali ke dalam air sama ada daripada jenis ikan atau mempunyai bentuk bagaimana pun
seperti menyerupai haiwan darat iaitu babi dan anjing dan tidak mempunyai racun serta
berbisa. Oleh itu, bagi haiwan seperti babi dan anjing laut tersebut ia adalah halal untuk
dimakan. Begitu juga, dihalalkan untuk memakan haiwan krustasia seperti kerangkerangan, udang dan ketam nipah. Ini kerana haiwan-haiwan ini bernafas menggunakan
insang bukan paru-paru.19 Namun begitu, haiwan yang hidupnya dua alam adalah
diharamkan kerana ia boleh memberi kemudaratan. Di antara haiwan tersebut seperti
ketam batu, katak, ular air, nas-nas, 20 buaya, belangkas, penyu dan memerang. Begitu juga
diharamkan memakan haiwan beracun seperti ikan buntal. Akan tetapi, apabila racun
tersebut dapat dibuang hukumnya berubah kembali menjadi halal. Berasaskan pemikiran
Syeikh Muhammad tersebut, haiwan akuatik atau laut adalah halal dimakan selagi ia tidak
dipandang keji, memudaratkan dan beracun. Ini termasuklah haiwan yang ditegah dibunuh
seperti katak dan seumpamanya.”

KITAB SABIL AL- MUHTADIN
Pelbagai karya ilmiah telah dikarang oleh para ulama nusantara sebagai sebuah media penting untuk
menyampaikan pengetahuan terutamanya berhubung hal ehwal agama Islam. Karya-karya tersebut telah
muncul sebagai khazanah warisan yang bernilai tinggi pada abad ini. Ia tetap dipelajari dan dijadikan panduan
masyarakat bukan sahaja di Nusantara malah turut dijadikan panduan dan kajian di peringkat antarabangsa.

Ini jelas membuktikan bahawa karya-karya tersebut tetap mempunyai pengaruh yang luas dalam bidang
intelektual.
Kitab Sabil al-Muhtadin merupakan kitab Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang paling
masyhur. Kemasyhuran kitab ini akhirnya menjadi khazanah di beberapa perpustakaan besar iaitu di Makkah,
Mesir, Turki, dan Beirut. Kitab ini amat popular di Nusantara yang merangkumi Indonesia, Malaysia,
Singapura, Thailand, Kemboja, dan Brunei.
Karya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang paling terkenal ini merupakan kitab fiqh Melayu
yang tersebar luas di seluruh alam Melayu. Terdapat di dalam dua jilid, jilid pertama mempunyai 252
halaman dan jilid kedua 272 halaman. Perbincangan dalam kitab ini meliputi persoalan ibadah yang
menyentuh thaharah, solat, puasa, zakat, haji, akikah, korban, makanan yang halal dan haram serta
sembelihan.
Kitab ini ditulis atas permintaan Sultan Tahmidillah Bin Sultan Tamjidillah. Penulisannya
mengambil masa selama dua tahun iaitu dimulai pada 1193H/1779M dan selesai pada 27 Rabiul Akhir
1195H/1780 M. Kitab ini pertama kali dicetak di Istanbul pada tahun 1300H/1882M kemudian diulang cetak
di Kaherah dan Makkah (H. M. Asywadie Syukur, 1987).
PERBINCANGAN FIQH BERKAITAN ISU LOKALITI DAN PEMINDAHAN ZAKAT
Para fuqaha sepakat mengatakan zakat ternakan, bijian dan buah-buahan hendaklah diagihkan kepada
asnaf zakat di tempat harta itu berada. Panduan asas yang perlu dipatuhi oleh para amil dalam pengurusan
harta zakat adalah berdasarkan kaedah (al-Qaradawi, 1973):

‫ان توزع فى القاليم الذى تجبى منه‬
“Harta zakat hendaklah diagihkan di tempat mana ia dikutip”
Bagi zakat wang pula secara umumnya digariskan panduan bagi para amil iaitu (al-Qaradawi, 1973):

‫انها تتبع المال ل المالك‬
“Pengagihan zakat mengikut di mana harta itu berada dan bukan mengikut pemilik”
Hukum pemindahan zakat ke negeri lain perlu dilihat berdasarkan keadaan penduduk setempat. Pertama,
situasi di mana penduduk setempat tidak memerlukan wang zakat dan menyebabkan harta zakat diagihkan
ke negeri lain. Kedua, penduduk setempat amat memerlukan harta zakat tetapi harta tersebut diagihkan ke
negeri lain.
Pertama: Penduduk Setempat Tidak Memerlukan Agihan Zakat
Para fuqaha bersepakat mengharuskan harta zakat diagihkan keluar ke negeri lain apabila didapati
penduduk setempat tidak memerlukannya seperti penduduk di situ tiada langsung yang termasuk dalam
asnaf zakat atau terdapat lebihan harta zakat sesudah diberikan kepada mereka. Menurut Ibn Qudamah
harus untuk memindahkan zakat ke tempat lain sekiranya sudah tiada orang yang berhak untuk
menerimanya atau berlaku lebihan zakat di tempat tersebut (al-Qaradawi, 1973). Abu ‘Ubaid
meriwayatkan daripada ‘Amru Ibn Syu‘aib:
“Muaz bin Jabal terus berada di al-Jund sejak dari mula dia dihantar ke situ oleh
Rasulullah SAW sehinggalah Rasulullah SAW dan diikuti dengan kematian khalifah Abu
Bakar. Beliau kemudian pergi menemui khalifah Umar tetapi dihantar balik untuk
meneruskan tugasannya sebelum itu. Muaz selepas itu menghantar kepada khalifah
Umar sejumlah 1/3 dari zakat yang dibayar oleh penduduk Yaman. Saidina Umar
membantah tindakan beliau dengan berkata: Aku tidak menghantar kamu untuk menjadi
pemungut atau pengambil jizyah, tetapi untuk memungut dari orang kaya untuk
diberikan kepada orang miskin di kalangan mereka. Muaz berkata: Aku tidak akan
menghantar apa-apa kepada kamu kalau aku dapati ada orang di sini yang akan
menerima bahagian itu dari aku. Pada tahun kedua muaz menghantar separuh daripada
zakat yang dipungut. Saidina Umar dan beliau berbicara seperti tadi. Pada tahun ketiga
beliau menghantar kepada Saidina Umar semua sekali hasil pungutan zakat. Saidina
Umar bertanya soalan yang sama kepada Muaz. Muaz menjawab: Tiada seorang pun
penduduk di sana yang mahu mengambil apa-apa daripada aku”.

Menurut sebilangan ulama Maliki pengagihan zakat ke negeri lain adalah wajib sekiranya tidak terdapat
langsung asnaf zakat tempatan sedangkan harta zakat masih banyak. Ini ditegaskan oleh al-Dasuqi (alDasuqi, t.t.):
“Sekiranya tidak terdapat penduduk tempatan yang layak untuk menerima zakat di
tempat zakat itu dipungut maka kesemua zakat tersebut wajib diagihkan ke tempat lain
walaupun tempat itu berada pada jarak had qasar solat”
Yusuf al-Qaradawi berpendapat dibolehkan untuk memindahkan dana zakat dari kawasan agihan
sekiranya tiada penduduk setempat yang memerlukan dan keharusan ini merupakan suatu perkara yang
diijmakkan oleh semua fuqaha. Pentadbir harta zakat atau individu perseorangan boleh memindahkan
dana zakat ke negeri lain jika terdapat kemaslahatan yang patut diutamakan di tempat tersebut (alQaradawi, 1973). Al-Bukhari lebih terbuka dalam permasalahan ini dengan mengharuskan secara mutlak
perpindahan dana zakat ke negeri lain berdasarkan keumuman ayat 60 surah al-Taubah yang hanya
menyebut asnaf yang layak untuk menerima zakat tanpa dikhususkan tempat (Ibn Hajar al-Asqalani,
1986). Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan
orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang
dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan
orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orangorang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan ….”
(al-Taubah: 60)
Kedua: Penduduk Setempat Amat Memerlukan Harta Zakat Tetapi Harta Tersebut Diagihkan Ke
Negeri Lain
Para fuqaha berbeza pandangan dalam permasalahan ini. Secara umumnya terdapat 3 pandangan iaitu:
Pandangan pertama: Golongan yang tidak mengharuskan.
Sebahagian mazhab amat ketat pandangannya dalam isu ini di mana bagi mereka tidak harus untuk
memindahkan zakat daripada satu negeri ke negeri lain atau memindahkan zakat ke tempat yang jaraknya
2 marhalah walaupun perpindahan harta zakat tersebut kerana ada keperluan (al-Qaradawi, 1973).
Ulama Mazhab Syafie berpandangan zakat tidak boleh dipindahkan dari satu negeri ke negeri
yang lain dan wajib diagihkan kepada penduduk setempat sahaja. Pandangan ini turut dipersetujui oleh
ulama mazhab Hanbali bahkan menurut mereka sekiranya diagihkan juga kepada penduduk luar
sedangkan di kawasan mereka masih terdapat asnaf yang memerlukannya, perbuatan tersebut dianggap
berdosa. Walau bagaimanapun pemberian tersebut sah kerana menyerahkan harta zakat kepada golongan
yang berhak untuk menerimanya. Terdapat sebilangan ulama mengatakan tidak sah pemberian tersebut
kerana perbuatan tersebut dianggap menyalahi nas syarak (al-Qaradawi, 1973). Asas pandangan ini adalah
berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud:
“Bahawasanya Rasulullah SAW ketika mengutuskan Muaz ke Yaman, Baginda bersabda
kepadanya, sesungguhnya engkau akan pergi pada satu kaum daripada ahli kitab maka
hendaklah perkara pertama yang engkau seru mereka ialah mengucap bahawa tiada
tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, dan jika mereka mentaatimu
mengenai perkara tersebut maka beritahulah kepada mereka bahawa Allah
memfardhukan ke atas mereka sembahyang lima waktu sehari semalam, dan jika mereka
mentaati mu mengenai perkara tersebut maka khabarkanlah mereka bahawa Allah telah
memfardhukan ke atas mereka zakat yang diambil daripada orang-orang kaya di
kalangan mereka dan diberikan kepada golongan fakir di kalangan mereka”.
(Riwayat al-Bukhari)
Hadis di atas jelas menunjukkan Rasulullah SAW meminta kepada Muaz memungut zakat daripada
penduduk Yaman dan diagihkan kepada asnaf fakir di kalangan mereka. Bahkan Muaz sendiri membuat
ketetapan bahawa zakat harta perlu dibayar di tempat di mana harta itu berada sekalipun tuan punya harta
berada di negeri lain (Mahmood Zuhdi, 2003).

Pandangan kedua: Golongan yang mengatakan makruh.
Ulama Hanafi berpandangan makruh memindahkan dana zakat ke tempat lain. Pengecualian hanya
diberikan dalam hal-hal di bawah (Syukri Salleh, 2002):
i.
Pemberian zakat kepada kaum kerabat yang memerlukannya kerana pemberian tersebut boleh
mengeratkan silaturrahim di antara mereka.
ii.
Pemberian zakat kepada seseorang atau sekelompok masyarakat yang amat memerlukan
berbanding penduduk tempatan.
iii.
Pengagihan zakat daripada negara yang memusuhi Islam ke negara Islam. Ini kerana pemberian
zakat kepada golongan fakir yang menetap di negara Islam lebih utama untuk diberi bantuan
berbanding penduduk tempatan yang tinggal di negara yang memusuhi Islam.
iv.
Pemberian zakat kepada orang yang terkenal dengan kewarakkan dan kesolehan.
Pandangan ketiga : Golongan yang mengharuskannya.
Terdapat juga pandangan yang mengharuskan pemindahan harta zakat ke tempat lain. Mereka berpegang
kepada keumuman ayat 60 dalam surah al-Taubah yang hanya menyebut asnaf zakat tanpa dikhususkan
tempat pengagihan zakat. Fuqaha mengharuskan pengagihan zakat di negeri lain namun keharusannya
tidak secara mutlak. Keharusan ini hanya dibolehkan sekiranya terdapat kemaslahatan dan keperluan yang
mendesak oleh penduduk di negeri tersebut. Imam Malik berkata (al-Qurtubi, 2006) :
“Zakat tidak boleh dipindahkan kecuali dengan ijtihad pemerintah demi memenuhi
keperluan penduduk mana-mana negeri.”
Sahnun menambah lagi sekiranya pemerintah mendapat perkhabaran terdapat tempat atau negeri
lain yang lebih memerlukan harta zakat atau kawasan tersebut ditimpa musibah maka harus bagi
pemerintah memindahkan sebahagian harta zakat untuk diagihkan ke tempat tersebut. Menurut Ibn alQasim diharuskan memindahkan harta zakat ke negeri lain kerana darurat (al-Qurtubi, 2006).
Abu Ubaid meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda kepada Qabisah ibn al-Mukhariq berkaitan dengan
pembayaran diyat:
“Tunggu sehingga sampai kepada kita sedekah (zakat). Sama ada kami akan menolong
kamu membayarnya atau kami akan menanggung diyat itu bagi pihak kamu.”
(Riwayat Abu Ubaid)
Hadis ini menunjukkan zakat boleh dipindahkan ke tempat lain kerana zakat di atas dipungut di Hijaz
sedangkan Qabisah berada di Najd (Mahmud Zuhdi, 2003).
Dalam satu riwayat, Muaz bin Jabal meminta kepada penduduk Yaman untuk menyerahkan
kepadanya pakaian atau panah sebagai ganti gandum dan jagung untuk diagihkan kepada orang Muhajirin
di Madinah (al-Qurtubi, 2006). Khalifah Umar al-Khattab juga telah mengagihkan zakat kepada penduduk
Madinah yang ditimpa musim kemarau.
Ibn Arabi pula mengkategorikan bahagian asnaf zakat kepada dua kategori iaitu bahagian untuk
fakir dan miskin serta bahagian untuk baki asnaf lain. Peruntukan untuk asnaf fakir dan miskin hendaklah
diagihkan di dalam kawasan pungutan sementara yang lain terserah kepada kebijaksanaan pemerintah
(Ibn Arabi, 1984).
Al-Qaradawi ketika mengulas isu ini berpendapat tidak menjadi kesalahan bagi pemerintah untuk
memberikan zakat kepada penduduk luar sekiranya pada pandangan pemerintah setelah membuat kajian
yang mendalam mendapati adanya keperluan dan kemaslahatan umum bagi masyarakat di kawasan
tersebut. Walau bagaimanapun pengagihan hanya merangkumi sebahagian sahaja daripada dana zakat dan
bukannya keseluruhannya (al-Qaradawi, 1973).
ANALISIS PEMIKIRAN SYEIKH MUHAMMAD ARSYAD AL-BANJARI BERKAITAN ISU
LOKALITI DAN PEMINDAHAN ZAKAT DALAM SABIL Al-MUHTADIN
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari melalui penulisannya di dalam kitab Sabil al-Muhtadin telah
menghuraikan bab berkaitan zakat dengan kupasan yang terperinci berasaskan pandangan mazhab Shafie.
Ianya meliputi perbincangan berkaitan zakat binatang ternak, zakat tumbuh-tumbuhan, zakat emas dan perak,
zakat ma‘din, rikaz dan perdagangan dan juga zakat fitrah. Selain perbincangan berkaitan jenis-jenis zakat
tersebut, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari turut menyertakan perbincangan berkaitan pembahagian,
lokaliti dan pemindahan zakat yang menjadi fokus kertas kerja ini.

Sebelum menjelaskan dengan lebih lanjut, berikut adalah beberapa istilah penting yang digunakan
oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam perbincangan berkaitan pemindahan zakat yang berbeza
maknanya daripada apa yang difahami dalam bahasa Melayu:
Istilah dalam Sabil al-Muhtadin
Mustahak
Imam / Sultan
Sa‘i
Qadi
Malik

Maksudnya
Asnaf (orang yang berhak menerima zakat)
Pemerintah
Amil
Hakim
Pemilik harta / orang yang wajib zakat

Secara umumnya, pandangan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam isu lokaliti dan
pemindahan boleh dibahagikan kepada kepada dua bahagian, iaitu:
Pemindahan Lokaliti Oleh Pemilik Harta (Orang Yang Wajib Zakat)
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari (Arsyad, t.t.) menyatakan tidak boleh bagi seseorang pemilik harta
ingin memindahkan zakat harta atau zakat fitrah ke negeri lain sedangkan dalam masa yang sama terdapat
mustahak atau asnaf di negeri yang sepatutnya zakat itu dikeluarkan. Beliau membawakan hadis:
“Diambil zakat itu daripada orang kaya dan diberikan kepada semua orang yang fakir di
kalangan mereka”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis tersebut, beliau menyatakan semua asnaf berhajat untuk mendapatkan zakat daripada
negeri yang didiaminya. Jika pemindahan tempat berzakat terjadi, ia akan menimbulkan bukan sahaja
masalah fizikal, malah masalah rohani di kalangan asnaf. Kata Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari:
“Dan memindahkan zakat daripada tempat membawa kepada melebarkan dan
memutuskan pengharapan hati mereka itu”
Mengulas lanjut berkaitan masalah pemindahan tempat berzakat kepada negeri yang terdekat, Syeikh
Muhammad Arsyad al-Banjari menyatakan:
“tempat tertegah memindahkan zakat kepada negeri yang lain jika tiada ia hampir
adapun jika ada negeri yang lain itu hampir dengan negeri zakat seperti bahawa
dibangsakan ia kepada negeri zakat pada uruf sekira-kira negeri yang dibilangkan itu
negeri yang satu maka harus dipindahkan zakat kepadanya”
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari berpandangan adalah diharuskan untuk memindahkan lokasi berzakat
jika lokasi pemindahan tersebut berdekatan dengan negeri zakat yang lain. Pemilik harta boleh memilih sama
ada ingin berzakat di negeri beliau berada atau kepada negeri lain yang lokasinya begitu hampir dengan
kawasan tersebut. Bagi menguatkan pendapat yang dipegang, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari telah
menyatakan pandangannya turut dipegang oleh Ibnu Hajar al-Haytami dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj.
Walaubagaimanapun, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari turut menyatakan pendapat Khatib al-Syarbini
dalam Mughni al-Muhtaj yang berpandangan sebaliknya iaitu tidak harus bagi pemilik harta memindahkan
lokasi berzakat ke negeri yang walaupun jarak antara dua negeri tersebut begitu hampir.
Selain daripada itu, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari turut membawakan beberapa pandangan
fuqaha mazhab Syafie dalam isu yang berkaitan, iaitu:
i.
Abu Syakil: “bahawa tempat tertegah memindahkan zakat itu pada yang lain daripada
suatu negeri dan dusunnya adapaun pada suatu negeri dan dusunnya maka tiada tertegah
memindahkan zakat kepadanya”.
ii.
Abu Hamid: “tiada harus bagi orang yang di dalam negeri yang berkota memberikan
zakatnya kepada orang yang di luar kota kerana yang demikian itu memindahkan zakat”.
iii.
Zarkasyi menaqalkan daripada Abu Hamid dan Ibnu Sabag: “bahawasanya Syeikh Abi
Hamid dan Ibnu Sabag menghubungkan keduanya akan suatu negeri yang kurang
daripada dua marhalah dengan segala mereka yang hadir di dalam satu negeri jua yakni
mereka yang pada suatu negeri yang kurang daripada dua marhalah seperti hokum yang
dalam satu negeri jua pada pihak harus memindahkan zakat kepada mereka itu”.

Walaubagaimanapun, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari menyatakan semua pendapat tersebut telah
didhaifkan oleh Ibnu Hajar al-Haytami dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj. Kesimpulannya, dalam isu
pemindahan lokasi berzakat oleh pemilik harta ke negeri yang lain, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari
telah memilih pandangan yang mengharuskan pemindahan tersebut dengan syarat lokasi negeri tersebut
adalah berhampiran.
Pemindahan Lokaliti Harta Zakat Oleh Pemerintah
Berkenaan dengan isu lokaliti dan pemindahan zakat oleh pemerintah, pandangan Syeikh Muhammad Arsyad
al-Banjari dalam masalah ini boleh dilihat dengan jelas dalam penulisannya di halaman 123, jil. 2, kitab Sabil
al-Muhtadin:
“Adapun imam yakni sultan maka harus baginya memindahkan zakat mutlaqan dari
kerana sekalian zakat orang yang di dalam tangannya seperti hukum satu zakat jua”
.
Kebenaran kepada pemerintah secara mutlak dalam aspek pemindahan harta zakat memperlihatkan bahawa
beliau tidak hanya melihat keperluan ekonomi dalam skop yang kecil tetapi lebih mengambil keperluankeperluan ekonomi semasa sebagai asas kepada pemilihan antara pendapat fuqaha khususnya antara khilaf
yang berlaku (Yusri Salleh et. al., 2006).
Mengulas lanjut, Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari turut menyatakan Sa‘i atau Amil juga berhak
untuk memindahkan harta zakat. Namun, jika pemerintah tidak mengizinkannya, urusan pemindahan
diserahkan semula kepada pemerintah. Qadi atau Hakim pula mempunyai hak untuk memindahkan harta
zakat jika pemerintah tidak memberikan arahan kepada pihak lain untuk urusan tersebut. Uniknya,
pemerintah, Amil atau Hakim masing-masing mempunyai hak untuk memberikan kebenaran kepada pemilik
harta untuk memindahkan zakat hartanya ke wilayah-wilayah lain yang berada dalam kekuasaan pemerintah.
Walaubagaimanapun, menurut Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari, pemilik harta boleh juga
memindahkan zakatnya tanpa keizinan daripada pemerintah jika:
i.
Terdapat sebahagian harta yang banyak di negeri-negeri lain.
Contohnya: jika terdapat 20 ekor kambing di satu negeri dan 20 ekor kambing lagi di negeri
yang lain, hukumnya harus untuk memilih pengeluaran zakat di mana-mana negeri.
ii.
Haul sudah sampai sedangkan tiada asnaf yang berada di sekitar.
Contohnya: jika haul sudah sampai sedangkan harta masih di hutan atau desa yang tiada asnaf
zakat sebagai penghuni, hukumnya boleh memindahkan zakat ke tempat terdekat lain yang
mempunyai asnaf.
iii.
Tinggal di penempatan tidak tetap.
Contohnya: jika mereka tinggal di khemah-khemah yang berpindah-pindah, hukumnya boleh
memindahkan zakat kepada asnaf yang berada di sekitar perkhemahan.
iv.
Jarak harta zakat di antara dua buah negeri adalah sama.
Hukum kedua-dua negeri itu adalah seperti satu negeri. Ini bermaksud zakat boleh diberikan
kepada para asnaf salah satu daripada kedua-dua negeri atau kedua-duanya sekali.
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam penulisan yang seteruskan turut menyatakan adalah
wajib untuk memindahkan lokaliti harta zakat jika tiada keperluan harta zakat di kawasan tersebut. Kata
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari:
“jika tiada maujud sekalian bagi mustahak dalam negeri zakat atau ada lebih daripada
kifayah mereka itu suatu daripadanya nescaya wajiblah memindahkan sekalian zakat
atau yang lebih itu kepada mustahak yang berhampir kepadanya yang seumpama negeri
zakat”
Walaubagaimanapun, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari menyatakan kewajipan untuk memindahkan
zakat tersebut mestilah mengutamakan negeri yang paling hampir terlebih dahulu. Beliau berpendapat haram
hukumnya memindahkan zakat ke negeri yang jauh jika masih terdapat keperluan asnaf yang belum dipenuhi
di negeri yang terhampir.
Berdasarkan pandangan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam kitab Sabil al-Muhtadin
berkaitan isu lokaliti dan pemindahan zakat oleh pemerintah, penulis mendapati ianya adalah selari dengan

pandangan para ulama syafi‘iyyah dan hanabilah yang membenarkannya (al-Qaradawi, 1973) malah lebih
hampir kepada pandangan sebahagian ulama malikiyyah yang menghukumnya wajib dalam keadaan
ketiadaan asnaf dan lebihan kifayah (al-Dasuqi, t.t.). Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab pemerintah
untuk membuat penelitian dan kajian mendalam sebelum memindahkan lokaliti zakat agar keperluan asnaf di
negeri tersebut benar-benar dipenuhi sebelum melaksanakan tanggungjawab membantu asnaf di negeri-negeri
yang lain.

KESIMPULAN
Berdasarkan perbahasan fiqh dan pemilihan pendapat berkaitan isu lokaliti dan pemidahan zakat oleh
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam kitab Sabil al-Muhtadin, dapat dilihat keterbukaan beliau
dalam menangani masalah ekonomi khususnya berkaitan zakat yang timbul pada zamannya. Daripada
tinjauan umum yang dibuat beliau juga masih bersikap terbuka terhadap penerimaan pandangan fuqaha
daripada mazhab lain walaupun kita sedari bahawa Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari telah
menggunakan metodologi dan epistemologi syafi‘iyyah ketika menulis kitabnya yang masyhur ini. Selain
itu, pandangan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang mengharuskan pemindahan hasil zakat oleh
pemerintah secara mutlak dan pemilik harta dengan keizinan pemerintah dan lain-lain dilihat futuristic
dan begitu praktikal untuk diamalkan pada masa kini. Ianya bakal membantu badan-badan berkuasa
berkaitan mengurangkan masalah lebihan hasil kutipan zakat setiap tahun. Semoga kajian ini akan
memberi nilai tambah terhadap isu yang dikaji dan mencadangkan penambaikan terhadap undang-undang
dan sistem sedia ada terutamanya dalam isu pemindahan hasil zakat antara wilayah dan negeri di
Malaysia.

BIBLIOGRAFI
Ahmad Dakhoir (2010). Pemikiran Fiqih Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari dalam ISLAMICA Bil. 4
(2), 230-247.
Al-Asqalani, Ahmad Ali (1986). Fath al-Bari. Dar al-Rayyan.
Al-Dusuqi, Ibrahim Abdul Aziz (t.t.), Hashiyah al-Dusuqi, vol. 1, Kahirah: Dar Ihya’ al-Kutub alArabiyyah.
Al-Qaradawi, Muhammad Yusuf (1973), Fiqh al-Zakat, Beirut: Muassasah al-Risalah
Al-Qurtubi, Muhammad Ahmad Abu Bakar (2006), Al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, jil 10, Beirut:
Muassasah al-Risalah.
Dewan Agama dan Falsafah ( Mei 2005 ), Kuala Lumpur: Karangkraf Sdn. Bhd.
H. M. Asywadie Syukur (alih bahasa)(1987), Kitab Sabil Muhtadin II. Surabaya: PT Bina Ilmu.
Husnul Yaqin (2011). Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari Thought on Education dalam Journal of
Indonesian Islam Bil. 5 (2), 335-352.
Ibn al-Arabi, Abu Bakar Muhammad bin Abdullah (1984), Ahkam al-Quran, Beirut: Dar al-Fikr.
Mahmood Zuhdi Abdul Majid (2003), Pengurusan Zakat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohamed Naser Katib (2004), Economy, Thomson Asia Pte Ltd: Australia.
Mohammad Taha Hassan (2015), 3 Permata Ulama dari Tanah Banjar, Kuala Lumpur: Green Dome
Publication.
Mohd Anuar Ramli & Aizat Jamaludin (2012). Sumbangan Syeikh Muhammad Arshad b. Abdullah alBanjari dalam Fiqh al-At‘imah (Makanan) di dalam kitab Sabil al-Muhtadin dalam Jurnal AlTamaddun Bil. 7 (2), 61-76.
Muhammad Yusri Yusof @ Salleh, Paiz bin Hassan, Mohd Zahirwan Halim bin Zainal Abidin, Hamdi
Rahman Mohd Yaacob (2010) “Beberapa Aspek Pemikiran Ekonomi Syeikh Muhammad Arsyad

Al-Banjari Berkaitan Zakat: Analisis Terhadap Kitab Sabil Al-Muhtadin”. Kertas Kerja Konferensi
Antarabangsa Islam Borneo ke III, Pontianak, Kalimantan Barat pada 8-10 Oktober 2010.
Mujiburrahman (2014). Islamic Theological texts and contexts in Banjarese Society: an Overview of
Existing Studies dalam Research Report South East Asian Studies Bil. 4(2), 611-637.
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari (t.t), Sabil al-Muhtadin li al-Tafaqquh fi Amr al-Din, t.tp.:
Percetakan al-Ma’arif Sdn. Bhd.
Syukri Salleh (2002), Lokalisasi Zakat: Satu Cadangan Teoritis, Kertas Kerja Persidangan Muzakarah Pakar
Zakat anjuran Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia di Universiti Kebangsaan
Malaysia pada 21-22 Disember 2002.
Wan Mohd Shaghir Abdullah ( 2004 ), Wawasan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara, jil. 6, Kuala
Lumpur: Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara & Khazanah Fathaniyah
Wan Mohd Shaghir Abdullah ( 2008 ), “Ulama Hasil Perkahwinan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari
“.Utusan Malaysia 3 Februari 2008.
Wan Mohd Shaghir Abdullah (2005), “Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari pengarang Sabil alMuhtadin”. Utusan Malaysia 25 September 2005.
Wan Mohd Shaghir Abdullah (2009), Koleksi Ulama Nusantara, jil. 2, Kuala Lumpur: Persatuan
Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara & Khazanah Fathaniyah.