MASIHKAH ADA TAUBAT BAGI DOSA YANG BERUL

MASIHKAH ADA TAUBAT BAGI DOSA YANG BERULANG?
1. Secara umumnya taubat bermaksud kekesalan dan keinsafan terhadap
dosa yang dilakukan, lalu memohon keampunan Allah dan berazam untuk
tidak mengulanginya lagi. Ini berdasarkan firman Allah: maksudnya:
“Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya
diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa
mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa
melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk)
yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan
salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya
adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir
di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang
demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal” (Surah
Ali ‘Imran: 135-136).
Maka, asalnya taubat itu di samping keinsafan dan memohon keampunan,
ia juga adalah azam untuk tidak mengulanginya.
2. Keikhlasan atau kesungguhan seseorang yang bertaubat itu hanya
diketahui oleh Allah dan dirinya sendiri. Ketika dia bertaubat, jika ia lahir
dari keikhlasan maka perasaan khusyuk, duka, insaf, mengharapkan
keampunan Allah akan menyelinap masuk ke dalam setiap pelusuk
jiwanya. Airmata keinsafan antara bukti kejujuran insan yang menyesal

dan mengharapkan keampunan. Keinginan untuk berada dalam
keampunan itu akan membawanya kepada azam untuk tidak mengulangi
dosa. Jika taubat seperti itu berlaku, maka itu adalah taubat yang nasuha
atau yang ikhlas. Ia diterima Allah.
Sekalipun kemungkinan selepas itu, atas kelemahan diri dan kecuaian,
hamba yang bartaubat tadi tergelincir sekali lagi ke dalam dosa yang
sama. Jika, dia ikhlas pada taubatnya yang awal, Allah Maha
Mengetahuinya dan insyaAllah akan mengampuni dosanya yang awal,
juga dosa kemudian jika dia terus bertaubat lagi.

3. Taubat yang sebenar bukan satu perkara yang boleh dibuat-buat. Ia
bukan satu lakonan. Perasaan keinsafan yang hadir dalam jiwa seorang

hamba bukannya perkara yang diada-adakan. Ia adalah cahaya iman yang
lahir dari kekudusan jiwa yang mengakui kebesaran Allah dan takutkan
dosa. Apabila perasaan kerohanian itu wujud, maka seorang hamba pun
bertaubat dengan penuh insaf dan nekad untuk tidak mengulangi.
Siapakah yang mengetahui kewujudan perasaan itu dalam sesuatu jiwa?
Sudah pasti hanya Allah dan insan yang bertaubat itu sendiri. Jika keadaan
yang disebutkan itu berlaku, insan itu sebenarnya telah benar-benar

bertaubat.
4. Insan atau anak Adam itu ada kelemahannya. Kadang-kala dia terjatuh
lagi dalam kesalahan setelah bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Ini –
seperti yang dijelaskan- kegelinciran kedua atau ketiga dan seterusnya
tidaklah bererti dia tidak ikhlas dalam taubatnya yang sebelum itu.
Namun, kelemahannya menyebabkan dia berulang kali jatuh ke dalam
dosa, sekalipun telah benar-benar insaf sebelumnya. Maka, jika hal ini
berlaku dia hendaklah mengulangi taubat dan jangan berputus asa.
Syaitan akan membisikkan perasaan putus asa dalam jiwa, sedangkan
Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penerima taubat.
5. Hal ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda:
“Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku
ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: HambaKu
melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh
mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku
ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia
berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu
Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa
baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya–dalam
riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu dia melakukan

dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa
ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia
mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan
menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau
mahu aku ampunkan engkau”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
6. Dari hadis di atas menggambarkan, selagi seseorang hamba Allah
menyesal dan insaf, sekalipun telah berulang dosa, Allah Yang Maha
Pengampun tetap mengampuninya. Namun, hendaklah kita berhati-hati
kerana waktu kematian tidak pasti. Orang yang bertaubat dan berjaya
mengawal dirinya tentulah lebih baik dari yang gagal mengawal diri. Tidak
mustahil ketika dia gagal mengawal diri itu, kematian menjemputnya
pergi.

7. Apapun, pintu taubat dalam Islam ini sentiasa terbuka. Tidak kira besar
mana pun dosa, berapa kali ia mengulanginya. Insan jangan berputus asa
dari rahmat Allah. Firman Allah: (maksudnya):
“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas
terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat),
janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya
Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha

Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar: 53).
Putus asa dari rahmat Allah adalah bisikan syaitan yang enggan melihat
hamba-hamba Allah kembali kepada Allah.
8. Antara cara untuk memboleh kita istiqamah dengan taubat kita ialah
memohon pertolongan Allah agar kita tetap atas jalan hidayah. Al-Quran
mengajar kita doa: (maksudnya)
“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah
Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah
rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpahlimpah pemberianNya” (Surah Ali ‘Imran: 8).
Nabi s.a.w pula selalu membanyakkan doa:
“Wahai Yang Membolak-balikkan jantung hati (Allah)! Tetapkan daku atas
agamuMu” (Riwayat al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Abi ‘Asim- dinilai sahih).
9. Juga, antara langkah mengekalkan dalam kebaikan adalah dengan
mendampingi mereka yang baik dan soleh. Teman yang baik dan mahukan
kebaikan akan membawa kita berterusan dalam kebaikan. Begitulah
sebaliknya. Firman Allah: (maksudnya)
“dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang
yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang
mengharapkan keredaanNya semata-mata; dan janganlah engkau
memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau

mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi
orang yang Kami ketahui jantung hatinya lalai daripada mengingati dan
mematuhi pengajaran Kami, serta dia menurut hawa nafsunya, dan
tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran”. (Surah al-Kahfi: 28).
Hiduplah dalam lingkungan teman-teman yang selalu berpesan-pesan
kepada kebenaran dan kesabaran.
10. Maka, diingatkan jangan kita berputus asa dari rahmat Allah, dan
jangan kita jadikan orang lain berputus asa dari rahmat Allah. Insan

mempunyai peluang bertaubat sehingga nyawa ke halkumnya. Sabda
Nabi:
“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa
belum sampai ke halkumnya” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh alAlbani).
***************************************************************************
*******
MENCARI PENAWAR DUKA, PENGUBAT SENGSARA
Apabila insan terjatuh dalam ujian hidup; kesusahan, keperitan, kezaliman,
keresahan, kesedihan dan segala rupa paras penderitaan, insan akan
bertanya, apakah penawarnya? Di manakah jalan keluar dari segala
kegelapan ini? Bagaimana mungkin dapat aku buang derita yang

bersarang dalam jiwa dan peristiwa? Dapatkah aku keluar dari kemelut ini?
Sebahagian ujian itu, jika diukur dengan akal insani, seakan tiada lagi
baginya jalan keluar. Warna kegelapan kadang-kala merangkumi segala
penjuru, hanya Allah sahaja yang mampu mengeluarkan insan dari
keadaan yang sedemikian. Kadang-kala pula insan terpaksa berhadapan
dengan realiti yang amat pahit, tidak mampu ditolak oleh dirinya yang
kerdil. Namun, insan yang beriman yakin bahawa Allah Yang Maha
Berkuasa boleh menukar segala keadaan. Menggantikannya dengan lebih
baik yang tidak disangka. Memindahkan duka kepada bahagia dalam
pelbagai rupa dan warna.
Persoalannya, bagaimanakah caranya agar Allah Yang Agung
melimpahkan rahmatNya lalu menurunkan pertolonganNya. Ya, memang
insan disuruh berdoa dan merintih kepadaNya. Namun apakah caranya
agar mustajab lalu Allah membawanya keluar dari daerah duka kepada
daerah sejahtera atau bahagia? Apakah ungkapan yang meredhakan
Tuhan al-Rahman yang menjadikanNya dengan pantas mendengar rintihan
insan?
Insan perlu sedar, antara penghalang rahmat Tuhan kepadanya adalah
dosa dan kesalahannya. Dan, setiap insan pula tidak terlepas dari salah
dan dosa. Sehebat mana pun, sealim mana pun dia, insan tetap insan,

terdedah kepada dosa. Jika tidak anggotanya, mungkin dosa jiwa atau hati
nurani yang sombong dan bongkak, atau hasad atau sangka buruk dan
pelbagai lagi. Percikan dosa sentiasa ada. Ia penghalang cahaya indah
syahdu antara nurani insan mendampingi Allah untuk menjadi kekasihNya.
Maka, doa sentiasa diganggu oleh dosa. Apakah penawar yang menerangi
jalan agar doa itu sampai kepada insan dengan pantas dan mustajab?

Jawapannya ialah taubat dan ‘istighfar’ iaitu kembalikan kepada Allah dan
memohon ampun kepadaNya. Dengan jujur, dengan luhur, dengan kusyuk.
Itulah penawar yang akan membuka kebahagian hidup.
Itulah janjiNya: (maksudnya)
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian
bertaubat kepadaNya supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan
hidup yang baik (di dunia)…” (Surah Hud: 3)
Janji Yang Pasti
Setiap kita pernah melalui duka dan sengsara. Kita mencuba perbagai
ungkapan dan doa agar Allah mendengar rintihan kita. Ya, doa itu senjata.
Namun, di sana ada satu pemohonan yang jika dibuat oleh insan dengan
keikhlasan jiwa, pengharapan dari lubuk jantung hatinya maka Allah akan
mendatang pelbagai kebaikan lain kepadanya. Dikeluarkan dari

kesempitan hidup, diberi kurnia rezeki dan anak, kebahagiaan jiwa dan
ditambah kekuatan dan pertolongan.
Inilah janjiNya dalam al-Quran. Bukan janji yang diadakan oleh sesetengah
buku doa, atau bicara tokoh-tokoh agama yang kadang-kala mengadaadakan pelbagai doa ‘sendirian berhad’ mereka yang entah dari mana
dikutipnya. Tidak! Ini adalah jaminan langsung dari Allah dalam kitabNya.
Apakah pemohonan itu? Pemohonan ialah doa agar Allah S.W.T
mengampuni dosa. Apabila ia dilafazkan dengan ikhlas dan jujur.
Sebanyak-banyaknya. Dengan kekerdilan diri, tunduk dan insaf, maka
keajaiban pertolongan Allah pun akan datang dalam pelbagai rupa dan
cara. Inilah janji dalam banyak ayat dalam al-Quran.
Firman Allah menceritakan nasihat Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya:
(maksudnya)
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada
Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (sekiranya kamu
berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah
(hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya
harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu
kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai”
(Surah Nuh: 9-12).


Pelbagai Kurnia

Inilah janji Allah kepada yang berikan kepada sesiapa yang beristighfar
dengan ikhlas. Atas lisan Nabi Nuh a.s. Allah berjanji untuk menurunkan
hujan rahmatNya, dibanyak rezeki dan anak, diberikan harta yang
berharga dan subur. Maka, yang beristighfar dengan penuh ikhlas
sebanyaknya, akan menikmati peruntukan ini. Kekurangan hujan, harta,
anak, kesuburan dan segalanya penawarnya ialah ‘istighfar’.
Dalam Miskat al-Masabih ketika membahaskan hadis istighfar,
diriwayatkan seseorang datang kepada al-Imam Hasan al-Basri r.a
mengadu tanahnya tidak subur, lalu jawab Hasan al-Basri: Beristighfarlah.
Datang yang lain mengadu kemiskinan, jawab beliau: Beristighfarlah.
Datang yang lain minta doa agar direzekikan seorang anak, jawab beliau:
Beristighfarlah. Datang pula yang lain mengadu kebunnya kekeringan,
jawab beliau: Beristighfarlah. Lalu ditanya Hasan al-Basri mengapa
jawapannya semua sama bagi soalan yang berbeza. Katanya “Ini bukan
pendapatku, inilah yang Nabi Nuh a.s sebut” –lalu beliau membaca ayat di
atas.
Mengelakkan Bala
Allah juga menjamin bahawa Dia tidak akan mengazabkan insan di dunia

ataupun di akhirat kita insan itu benar-benar beristighfar kepadaNya.
Hambatan dan ketakutan terhadap dosa dapat dibentengi oleh istighfar
yang ikhlas. Inilah janji Allah. Dia Maha Benar janiNya. Firman Allah:
(maksudnya)
“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau (wahai
Muhammad) ada antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka
sedang mereka beristighfar” (Surah al-Anfal: 33).
Inilah janji Allah. Dalam ayat ini; kewujudan Nabi s.a.w dan kewujudan
istighfar menghalang azab Allah. Adapun Nabi s.a.w baginda sudah tiada
dalam kalangan kita, namun istighfar terus ada jika kita mengamalkannya.
Wahai jiwa yang dihambat dosa! Beristighfarlah sebanyak-banyaknya
nescaya diselamat dari bala dosa. Wahai yang takut ditimpa bala!
beristighfarlah.
Ditambah Kekuatan
Gelora hidup kadang-kala amat menakutkan. Ia memukul insan dari sudut
yang diduga dan tidak diduga. Jika hanya bergantung kepada kekuatan diri
semata, insan akan terkorban dan tidak akan berdaya. Ganasnya lautan
hidup hanya dapat dihadapi dengan kekuatan kurniaan Allah. Firman Allah:
(maksudnya)


“(Kata Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan
kamu, kemudian taubatlah kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada
kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping
kekuatan kamu (yang sedia ada)”. (Surah Hud: 52).
Dengan tambahan kekuatan dari Allah dan bantuanNya insan merasai
kekuatan dalam menelusuri permusafiran di dunia yang fana ini.
Maka membanyakkan istighfar adalah penawar hidup. Betapa banyak
kisah insan-insan yang Allah berikan pelbagai kurnia disebabkan mereka
membanyakkan istighfar. Betapa banyak hamba-hamba Allah yang
diselamatkan dari pelbagai kesusahan, diberikan ketenteraman jiwa dan
pelbagai pertolongan berkat keikhlasan istighfar mereka. Setiap insan
yang beristighfar dengan ikhlas sebanyak-banyaknya pada sesuatu hari
akan merasai kesyahduan ruhnya. Allah akan membuka ufuk akalnya. Dia
akan alami kekudusan jiwa, kesegaran minda dan merasai perdampingan
dengan Allah.
Tapi syaratnya, hendaklah istighfar yang ikhlas. Bukan yang hanya
‘berlagu’ dimulut tapi kontang jiwanya dalam mengharapkan keampunan
Allah. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (w. 728H) menceritakan bahawa
bagaimana beliau apabila menghadapi masalah, beliau akan beristighfar
sehingga seribu kali atau lebih, di mana sahaja beliau berada; di masjid, di
pasar, di pusat pengajian sehinggalah beliau dapati Allah lapangkan
dadanya dan tunaikan hajatnya. (lihat: Ibn ‘Abd al-Hadi, al-‘Uqud alDurriyah, 21. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).
Marilah kita banyakkan istighfar, ia adalah penawar. Istighfar adalah
penyembuh derita jiwa seorang hamba. Ia membawa kurnia Allah yang
disangka dan tidak disangka. Maka datanglah rezeki, kebahagiaan dan
pertolongan. Hiasilah kepahitan hidup dengan istighfar, nescaya kita akan
merasai kemanisan dan kelazatan berada di persada alam yang
sementara ini.
Hidup ini adalah kembara merentasi benua yang mencabar. Ketakutan dan
cabaran menghambat kita di mana-mana. Namun Allah menyediakan
berbagai bekalan kekuatan yang jika dihayati, diselami dan dihirup ke
dalam urat nadi akan menjadikan insan sabar dan yakin dalam
meneruskan kembara ini.
Antara bekalan yang disediakan ialah solat, terutama di qiyamullail.
Esakan dan tangisan rintihan di malam yang sunyi adalah nikmat yang
tidak gambarkan. Airmata rintihan dan pengakuan diri di hadapan Allah
atas kelemahan dan dosa, juga pemohonan atau doa agar diberikan

limpah kurnia, itu semua adalah kenikmatan yang tidak dapat difahami
melainkan sesiapa yang merasainya
. Dalam sebak tangisan itulah insan merasai nikmat menghambakan diri
kepada Tuhan Yang Maha Agung. Itulah bekalan dalam merempuh cabaran
dan dugaan hidup.
Demikian juga Ramadan, kedatangannya selalu memberikan kekuatan
baru dalam hidup ini. Tangisan dan esakan di kesunyian malam ketika
sendirian, maka tanpa riyak dan ujub, membawa kekuatan kepada diri
insan dalam menerusi agenda perjalanan hidup. Begitulah juga, haji dan
umrah. Segalanya apabila ditunaikan dengan jiwa yang merendah kepada
Allah, lidah yang memohon ampun dan kurnia, ia adalah bekalan kekuatan
yang maha ajaib.
Hidup ini jika Allah bantu keajaiban akan berlaku. Percayalah kepada doa
dan tawakal, di samping berusaha menurut prinsip-prinsip agama. Apabila
Allah menolong kita tiada siapa lagi yang dapat melakukan apapun.
Pertolongan dan kurnia Allah itu boleh menjelma dalam berbagai rupa dan
bentuk, cuma kita yang selalu jahil untuk memahami kemakbulan doa
yang pernah diminta.
Banyak ungkapan doa yang mengandungi erti yang hebat yang diajar oleh
Rasulullah s.a.w. Tidak perlu ajaran tarekat yang sebahagiannya mencipta
wirid dan zikir rekaan, sehingga melupai keindahan wirid dan doa yang
sahih yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Antara ungkapan doa yang amat
menarik jiwa saya ialah doa yang baginda s.a.w ajar:
“Ya Haiyyu, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan.
Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini
kepadaku walaupun sekelip mata” (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh alAlbani).
Setiap kali ada kesempatan yang baik, di tempat yang baik dan di waktu
yang baik, saya sering mengulangnya, walaupun entah kali ke berapa
ratus atau ribu sekalipun. Ya! Jika Allah yang menguruskan urusan kita,
tentu aturan yang ditentukan itu akan begitu hebat merentasi andaian
mana-mana insan. Namun jika hidup ini hanya bergantung kepada orang
lain, kita sering menjadi mangsa. Jika bergantung kepada diri semata,
banyak perkara yang kita akan gagal mengendalikannya. Namun, apabila
kita serahkan agar Allah membantu, tanpa ditinggalkan kita walaupun
sekelip mata, keajaiban hidup akan berlaku.
Usaha adalah tuntutan kehidupan, namun tawakal yang sebenar adalah
jaminan kekuatan dan kesejahteraan. Allah boleh mengatur perjalanan ini
apa yang disangka tewas oleh manusia, tetapi kejayaan yang berlaku, apa

yang disangka kecewa oleh manusia, tetapi kebahagiaan yang memenuhi
jiwa.
Ajaibnya cinta, ajaibnya tawakkal. Semoga Allah tidak meninggal kita
semua dalam merentasi kehidupan ini!
Banyak ujian hidup ini sebenarnya amat bermakna jika kita mahu
menghayatinya. Betapa ramai orang yang menemui iman dan amalan
soleh dek kerana ujian yang menimpanya. Berapa ramai manusia yang
bersarang bongkak dan takabur dalam jiwa, tidak dapat ditegur dan
dididik, tetapi akhirnya menjadi insan yang tawaduk kepada Allah dan
menghargai orang lain setelah melalui ujian hidup yang getir. Betapa
ramai pula insan yang soleh dan disayangi Allah dinaikkan darjat dan
nilainya di sisi Allah disebabkan ujian yang menimpanya.
Firman Allah: (maksudnya)
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan
takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil
tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan,
mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada
Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang dilimpahi dengan pujian
dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang
dapat petunjuk hidayahNya.(Surah al-Baqarah 155-157).
Kita tidak meminta ujian, tetapi kita sentiasa perlu tahu bahawa ujian itu
adalah rukun hidup. Ujian bagaikan bicara atau ‘sapaan’ Allah kepada kita
agar kita ingat apa yang lupa, ubah apa yang salah, atau untuk kita
tambahkan pahala dan padamkan dosa. Sabda Nabi s.a.w:
“Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang
mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan
padam dari kejahatan (dosa)” (Riwayat Muslim).
Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Mungkin
dia yang dilihat oleh orang lain sedang dalam ketenatan cabaran tetapi
sebenarnya sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan.
Melihat orang yang susah, mereka yang dizalimi, mereka yang kesempitan
atau menderita kesakitan menyebabkan kita terlintas segera dalam
perasaan “dia di sisi Allah mungkin lebih baik daripada diriku ini”.

Kita semua akan melalui ‘bicara dan didikan Tuhan’ melalui pentas ujian.
Kita mengharapkan ujian akan membawa kita kepada sesuatu yang lebih
baik. Ujianlah yang telah membawa Musa a.s. kepada berbagi kurniaan.
Untuk itu kita wajar selalu merintih kepada Allah seperti Musa a.s.: “Rabbi
inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir” (“Wahai Tuhanku, Sesungguhnya
aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir”).
***************************************************************************
****
Jalan Pulang Ke Pangkuan Tuhan Terlalu Luas
ANTARA keistimewaan Islam yang agung ini adalah jalan pulang ke
pangkuan agama ini amat luas terbuka dan tidak membebankan. Peluang
seorang insan kembali ke pangkuan keampunan dan keredaan Allah tidak
pernah disekat oleh sebarang jarak waktu, latar diri, keturunan, atau
harta.
Sesiapa yang ingin pulang ke pangkuan Allah tidak pernah dihalang oleh
agama ini disebabkan jenis dosanya atau keturunan, usianya yang lanjut,
atau apa sahaja.
Seseorang yang ingin kembali kepada Allah diterima oleh kerahmatan-Nya
dengan syarat insan tersebut menyesali kesilapannya, benar-benar
memohon keampunan dan berazam tidak mengulangi kesalahan lalu.
Jika kesalahan itu sesama insan lain, dia memohon maaf dari yang
dizalimi. Jika tidak mampu, bimbang mudarat yang lebih besar jika
permohonan maaf dibuat, serahkan sahaja urusannya itu kepada Allah dan
Allah Maha Mengetahui kadar kemampuan hamba-hamba-Nya.
Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran 135-136:
(maksudnya) Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau
menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun
dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan
dosa-dosa melainkan Allah – dan mereka juga tidak meneruskan
(perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka
mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang- orang yang demikian
sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurgasyurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di
dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orangorang yang beramal.

Islam bukan seperti sesetengah ajaran yang menyuruh seseorang yang
berdosa membuat pengakuan di hadapan orang agama, atau melakukan
upacara yang menyeksa diri demi penghapusan dosa seperti melukakan
diri atau berjalan atas bara api atau membuat bayaran penebusan.
Demikian perbuatan sesetengah pihak mencari rezeki dengan mengambil
upah untuk pelupusan dosa solat atau puasa atau ibadah yang lain, bukan
dari ajaran Islam. Islam tidak pernah mengenal itu semua. Seperti Islam
tidak pernah menerima sama sekalipun perbuatan sesetengah agama lain
yang mengeluarkan surat berbayar untuk penghapusan dosa, demikian
Islam tidak dapat menerima perbuatan penganutnya jika melakukan hal
yang sama dengan mengeluarkan borang pahala yang dijual sempena
Ramadan atau selainnya.
Keampunan dan rahmat Allah bukan dijual di jalanan. Ia sangat berkaitan
dengan keluhuran jiwa yang ikhlas ingin kembali kepada Allah Yang Maha
Pengampun. Jika keampunan hanyalah bayaran yang dibayar kepada
pihak tertentu, tentulah semua orang kaya tempatnya di syurga.
Sementara si miskin yang tidak mampu membayar kepada golongan
agama tiadalah habuan keampunan untuknya. Maka tidaklah perlu lagi
seseorang berpegang dengan agama, cukuplah dengan membanyakkan
ongkos, maka selamatlah dia di sisi Tuhan. Aduhai, tentu tidak demikian.
Firman Allah (maksudnya) Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak
tidak dapat memberikan manfaat sesuatu apapun. Kecuali orang yang
datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera. Dan (pada hari itu)
didekatkan syurga bagi orang- orang yang bertakwa. Dan diperlihatkan
neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat. (surah al-Syu’ara 8891).
Seseorang yang berdosa pula, tidak disuruh mendedahkan dosanya
kepada orang lain sekalipun di hadapan ulama atau siapapun di kalangan
manusia. Bahkan dia disuruh bertaubat antara dia dengan Allah dan
menutup keburukan dirinya daripada orang lain.
Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang Muslim,
Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat. (Riwayat Muslim).
Termasuk dalam perkataan Muslim itu diri insan yang berdosa itu sendiri,
dia juga tentu seorang Muslim. Maka dia wajib menutup keaiban dirinya.
Maka dalam Islam tidak ada ‘pengakuan dosa di hadapan paderi’. Sesiapa
sahaja yang berasa berdosa dan ingin kembali kepada Allah, maka dia
bertaubat di mana sahaja dia berada.

Sabda Nabi: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi
nyawa belum sampai ke halkumnya. (Riwayat al- Tirmizi, dinilai hasan oleh
al-Albani).
Aduhai luasnya rahmat Allah dalam agama ini. Bahkan dalam sebuah
hadis kudsi,
Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon
dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu,
Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak
langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku
tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku
dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku
tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu
dengan penuh keampunan. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh alAlbani).
Bahkan kita dilarang kecewa dengan hidup disebabkan dosa yang lalu.
Sebaliknya, disuruh agar sentiasa memohon keampunan daripada Allah
dan jangan kecewa dari rahmat-Nya.
Firman Allah dengan penuh syahdu dalam surah al-Zumar ayat 53:
(maksudnya), Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui
batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah
kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah
mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika mentafsirkan ayat ini
menyebut: “Ayat yang mulia ini adalah panggilan untuk semua pembuat
dosa dari kalangan yang kufur dan selain mereka agar bertaubat dan
kembali kepada Allah. Ayat ini juga adalah pemberitahuan Allah Yang Maha
Berkat Lagi Maha Tinggi bahawa Dia mengampunkan segala dosa untuk
sesiapa yang bertaubat dan meninggalkannya, walau bagaimana besar
dan banyak sekalipun dosa tersebut. Sekalipun bagaikan buih di lautan”.
(Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/74, Beirut: Mussasah al-Rayyan).
Maka tidak ada kecewa bagi insan yang berdosa. Sekalipun kadangkala
ada dosa yang tidak dapat dimaafkan oleh perasaan insan lain, namun
Allah tidak pernah menutup pintunya selagi insan yang berdosa itu insaf,
benar-benar kembali kepada-Nya.
Saya bicarakan tajuk ini, sesuai dengan suasana puasa. Juga agar
perbincangan agama, janganlah menyebabkan manusia ini kecewa
dengan diri mereka dalam mencari jalan pulang ke pangkuan Tuhan.

Agama ini begitu lunak. Pintu untuk mendekati Tuhan tidak pernah hanya
dikhususkan untuk orang tertentu semata. Bahkan sesiapa sahaja yang
menerima Islam ini dan berusaha mendekatkan diri dengan jalan
Rasulullah maka dia akan sampai ke dalam rahmat Allah.

Tiada perbezaan antara mufti, ustaz, imam dan orang biasa. Tuhan tidak
pernah menilai insan dengan gelaran-gelaran yang diberikan oleh sesama
manusia. Dia melihat keluhuran jiwa dan kesahihan amalan. Entah berapa
ramai orang biasa lebih mulia di sisi Tuhan dibandingkan mereka yang
bersandar dengan berbagai-bagai gelaran dan pangkat. Jalan pulang ke
pangkuan Tuhan tidak pernah mendiskriminasikan manusia.
Kadangkala amat menakutkan kita mendengar ucapan sesetengah orang.
Saya pernah mendengar seseorang menyebut “dosa- dosa si polan tidak
akan diampunkan Allah.” Ringan perkataan itu di lidah kita, amat berat
kesalahannya di sisi Allah.
Sejak bilakah pula kita menjadikan wakil Tuhan dalam memutuskan
rahmat atau kelaknatan di kalangan hamba-hamba-Nya. Kita menolak
manusia ingin kembali dataran keampunan Allah hanya kerana emosi kita,
sedangkan Allah sendiri mengisytiharkan keluasan rahmat-Nya untuk
semua.
Marilah kita berkempen untuk manusia mendapatkan rahmat keampunan
Allah ini. Bukan untuk orang masjid dan surau sahaja, tetapi juga semua
muda-mudi di jalanan, artis di pentas, pemimpin di gelanggang politik dan
seterusnya. Jangan menghukum seseorang itu sebagai tidak berpeluang
menerima rahmat Allah sedangkan roh masih di jasadnya dan hukuman
Allah belum pun kita tahu.
Nabi bersabda: Jika seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah
yang paling binasa. (Riwayat Muslim).
Hadis ini bermaksud apabila seseorang berkata dengan tujuan
merendahkan orang lain dan membanggakan dirinya seakan orang lain
tidak mendapat kerahmatan, maka dialah akan dibinasakan Allah. Dakwah
agama hendaklah merentasi sempadan-sempadan yang dibikin oleh kita.
Rahmat Allah mestilah disebarkan ke semua daerah hidup yang pelbagai.
Sama ada yang berada di gelanggang sukan, di pentas filem, di medan
politik atau apa sahaja.
Janganlah perbincangan agama hanya menggambarkan seakan semua
manusia akan memasuki neraka semata, lalu kita lupa Allah ialah Tuhan

Yang Maha Rahmat. Ungkapan-ungkapan agama ini adalah ungkapan
memberikan harapan, bukan menimbulkan kekecewaan.
Sehingga dalam hadis Nabi bersabda: Seorang telah melakukan satu dosa,
lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla
berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa
baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam
riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia
kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah
melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku
melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh
mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku
ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata:
Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah
berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya
tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan
hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini bukanlah menggalakkan manusia melakukan dosa, tetapi
menceritakan hal seorang hamba yang bertaubat bersungguh-sungguh
namun gagal mengawal dirinya lalu tetap terjatuh ke dalam dosa. Setiap
kali berdosa, dia ikhlas memohon keampunan dan dia tetap diampun oleh
Allah s.w.t.
Hadis ini memberikan semangat kepada mereka yang telah bersalah
berulang kali untuk terus bertaubat bukan berputus asa dan terus
mengikut jejak langkah syaitan. Walaupun barangkali orang lain akan
menyebut kepadanya “tidak guna kau bertaubat, sudah berapa kali kau
tetap gagal kekal atas taubatmu”, namun Allah tidak berkata demikian.
Dia Yang Maha Pengampun tetap membuka pintu selagi hamba-Nya itu
jujur dan ikhlas merintih kepada-Nya.
Jika Allah menutup pintu, maka kekecewaan akan meliputi jiwa hamba
yang seperti ini dan akhirnya dia akan terus tenggelam dalam kejahatan.
Namun dengan dibuka seperti ini, insan akan terus berusaha kembali
kepada Allah setiap kali tergelincir.
Saya amat hairan, ada agama tertentu yang dikatakan mempengaruhi
emosi sesetengah anak-anak muda kita disebabkan unsur kasih sayang
dan rahmat berkenaan yang ditonjolkan dalam agama. Seakan anak-anak
muda kita tidak pernah mendengar tentang keluasan rahmat dan

keampunan Allah dalam Islam ini. Lalu mereka pun kagum dengan agama
lain dan melupai agama sendiri yang diturunkan Allah ini.
Adakah kerana mereka tidak mempelajari ajaran Islam yang betul?
Ataupun kempen kita kepada Islam kurang menonjolkan unsur-unsur
kerahmatan agama ini?
Hendaklah kita sedar, dalam dakwah baginda Nabi bukan hanya
diceritakan balasan neraka, namun diceritakan juga kenikmatan syurga.
Bukan hanya tentang kemurkaan Allah kepada yang menderhakai-Nya
tetapi juga rahmat-Nya bagi yang kembali kepada kepada-Nya.
Firman Allah dalam surah al-Hijr 49-50: (maksudnya) Khabarkanlah kepada
hamba-hamba-Ku (Wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha
Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan
beramal soleh). Dan bahawa azab-Ku, adalah azab yang tidak terperi
sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaan).
semoga taubat mempunyai ruang yang besar dalam hidup kita. Manusia
disuruh takut melakukan dosa. Namun jangan kecewa jika tersilap. Di
samping insan juga hendaklah selalu beringat, bahawa dosa yang
terlampau setelah diberi peringatan, boleh menghilangkan ingatan insan
untuk kembali kepada Tuhan.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 6-7: (maksudnya)
Sesungguhnya orang-orang yang ingkar itu, sama sahaja kepada mereka:
Sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran,
mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah
mematerikan atas hati mereka, pendengaran mereka, dan pada
penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan
azab seksa yang amat besar.
***************************************************************************
*******
Allah berfirman (maksudnya): Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya
kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya
Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan
permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka
hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku),
dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat
petunjuk (surah al-Baqarah: 186).
Demikian, Allah itu sentiasa hampir dengan kita, mendengar dan
memperkenankan doa kita. Sesiapapun boleh sampai kepada-Nya. Tiada
pengawal atau orang tengah yang menghalang seorang hamba untuk

merintih dan merayu kepada Tuhannya. Siapapun hamba itu. Apa pun
bangsanya dan apa pun bahasa doanya. Apa pun sejarah buruk dan
baiknya. Tuhan sentiasa sudi mendengar lalu memustajabkan pemohonan
mereka dengan cara yang dikehendaki-Nya.
Bertambah banyak hajat dan permohonan seorang hamba, bertambah
kasih dan dekat Allah kepadanya. Amat berbeza dengan tabiat makhluk
yang lemah ini. Walau bagaimana baik pun seseorang dengan kita, namun
jika kita terlalu meminta, perasaan jemu dan bosan akan timbul dalam
jiwanya. Allah Maha Suci dari demikian. Dia menyuruh kita berdoa dan
membanyakkan doa. Ini kerana doa adalah lambang kehambaan diri
kepada zat yang Maha Agung. Firman Allah (maksudnya): Dan Tuhan kamu
berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa
permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur
daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam
dalam keadaan hina (surah Ghafir: 60). Seseorang kadangkala tidak
perasan bahawa apabila dia berdoa kepada Allah sebenarnya dia sedang
melakukan ibadah yang besar. Walaupun pada zahirnya kelihatan dia
sedang memohon untuk kepentingan diri sendiri, namun hakikatnya dia
sedang membuktikan keikhlasan tauhidnya kepada Allah dan ketundukan
kepada Tuhan Yang Sebenar. Maka dengan itu Nabi menyatakan: Doa itu
adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud dan al- Tirmizi, sahih). Jika sepanjang
malam seorang hamba berdoa kepada Allah, bererti sepanjang malam dia
melakukan ibadah yang besar.
Doa sentiasa diterima oleh Allah. Jika ada yang kelihatan tidak diterima,
mungkin ada beberapa faktor yang mengganggu. Mungkin pemohonan itu
tidak membawa kebaikan jika dimustajabkan. Allah Maha Mengetahui.
Seperti hasrat kita ingin mengahwini seseorang yang kita suka, lalu kita
berdoa agar Allah menjadikan dia pasangan kita. Allah lebih mengetahui
jika itu tidak baik untuk kita lalu Allah memilih untuk kita pasangan yang
lain. Atau Allah memustajabkan doa orang lain yang lebih dikehendakiNya. Atau Allah memustajabkan doa calon berkenaan yang inginkan orang
lain. Segalanya mungkin. Namun doa tidak sia-sia. Pahala tetap diberikan,
kebaikan yang lain pula akan diganti di dunia dan di akhirat. Sabda Nabi:
Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada
dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan
memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada
disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat,
ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan dengannya. (Riwayat
Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih). Maka, ada doa
kita kepada Allah diterima olehnya di dunia. Ada yang tidak diberi
disebabkan hikmat yang Allah lebih mengetahuinya, lalu disimpan doa itu
di sisi-Nya untuk diberikan pada hari akhirat dengan yang lebih baik dan

lebih utama untuk kita. Atau doa itu ditukar dengan kebaikan-kebaikan
yang lain seperti diselamatkan kita dari pelbagai bahaya yang sebahagian
besarnya tidak pernah diduga. Betapa banyak keberbahayaan yang
menimpa orang lain, tetapi kita diselamatkan oleh Allah.
Tidak juga kerana permohonan kita dalam perkara tersebut atau
kebijaksanaan kita, namun barangkali doa kita dalam perkara yang lain,
lalu diberikan gantian keselamatan untuk kita dalam perkara yang tidak
diduga. Kadangkala Dia tidak memberikan kepada kita sesuatu
permohonan disebabkan rahmat-Nya kepada kita.
Barangkali ingin menyelamatkan kita. Dia Maha Mengetahui, jika
diberikan, mungkin kita hanyut atau menempuh sesuatu yang merugikan
kehidupan di dunia atau akhirat. Kita pun demikian. Bukan bererti apabila
seorang bapa tidak tunaikan kehendak anaknya tanda kebencian
terhadapnya. Bahkan sebahagian besarnya kerana kasih sayang dek
bimbang jika diberikan akan mendatangkan kemudaratan. Maha Suci Allah
untuk dibandingkan dengan kita semua, namun yang pasti rahmat-Nya
sentiasa melimpah. Jika Dia menangguhkan doa kita, tentu ada hikmahNya.
Di samping itu hendaklah kita faham, doa itu bermaksud permohonan.
Seorang yang berdoa mestilah bersungguh-sungguh dalam doanya. Maka
tidaklah dinamakan berdoa jika tidak faham apa yang kita doa. Sebab itu
saya amat hairan dengan sesetengah orang yang berdoa tanpa
memahami maksud. Sesetengah mereka menghafal teks Arab kerana
hendak menjadi ‘tekong’ doa dalam pelbagai majlis. Malangnya, ada yang
tidak faham apa yang dibaca dan yang mengaminkan pun sama. Ada
orang merungut, kata mereka, umat Arab di Masjidilharam dan Masjid
Nabawi tidak baca doa selepas solat beramai-ramai. Itu menunjukkan
mereka tidak kuat pegangan Islam mereka. Saya katakan: Islam tidak
diturun di kampung halaman kita, ia diturunkan di Mekah dan Madinah.
Mereka melakukan apa yang menjadi amalan Rasulullah. Lagipun
seseorang yang bersolat disuruh berdoa ketika dalam solat dan berwirid
selepasnya. Dalam hadis, kita diajar agar berdoa ketika sujud dan selepas
membaca tasyahud sebelum salam. Di situlah antara waktu mustajabnya
doa. Sabda Nabi: Paling dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika
sujud, maka banyakkan doa ketika sujud. (Riwayat Muslim). Nabi
memberitahu tentang doa selepas tasyahud sebelum memberi salam
dalam solat: Berdoalah pasti mustajab, mintalah pasti akan diberikan.
(Riwayat al-Nasai, sanadnya sahih). Bukan bererti orang yang kita tengok
tidak mengangkat tangan berdoa kuat beramai-ramai selepas solat itu
tidak berdoa. Kita yang barangkali kurang faham sedangkan mungkin
mereka berdoa dalam solat melebihi kita. Jika seseorang berdoa selepas

memberi salam, tentulah dalam banyak hal, hajat makmum dan imam
tidak sama. Maka jangan marah jika kita lihat orang berdoa bersendirian.

Nasihatilah mereka yang membaca doa tanpa faham maksudnya, atau
mengaminkan tanpa mengetahui isinya. Lebih menyedihkan, kadangkala
doa dibaca dengan nada dan irama yang tidak menggambarkan seorang
hamba yang sedang merintih memohon kepada Allah. Sebahagian nada
itu, jika seseorang bercakap kepada kita dengan menggunakannya pun
kita akan pertikaikan. Layakkah nada seperti itu sebagai doa kepada Allah
yang Maha Agung? Benarlah sabda Rasulullah: Berdoalah kamu kepada
Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah
sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa.
(Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani). Pelajari kita nas-nas agama
tentang doa kerana ianya amat penting bagi kehidupan dunia dan akhirat
kita.
***************************************************************************
*****
Di Mana Hendak Diperolehi Teman Yang Sejati
Antara kemanisan hidup ini apabila seseorang memiliki sahabat yang setia
tanpa sebarang kepentingan.
Namun hal yang seperti ini amat sukar untuk diperolehi di dunia ini,
sekalipun ramai yang selalu mendakwa dia adalah sahabat setia kita. Kita
tidak tahu sejauh manakah dakwaan itu sebelum adanya ujian yang
sebenar. Ramai yang pernah mendakwa sedemikian tetapi terbukti
berbohong apabila ujian datang melanda.
Bahkan banyak persahabatan dalam dunia ini pun terjadi di atas
kepentingan tertentu. Maka tidak hairan jika ia akan berakhir disebabkan
kepentingan tertentu jua. Bahkan ada persahabatan yang diasaskan di
atas kejujuran namun berakhir disebabkan kepentingan.
Memiliki persahabatan yang jujur dalam ertikata yang sebenar adalah
nikmat kehidupan. Namun ia sebenarnya sukar untuk diperolehi secara
meluas di alam maya ini melainkan dalam sejarah kehidupan golongan
yang beriman dalam makna yang sebenar. Bahkan baginda Nabi s.a.w.
menjamin bahawa sesiapa yang mempunyai sahabat tanpa kepentingan
melainkan kerana Allah semata, maka dia akan mengecapi kemanisan
iman.

Sabda baginda: “Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia
mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasulNya lebih
dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai
seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia
benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk
dicampakkan ke dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Manisnya tebu tidak dapat digambarkan oleh perkataan buat sesiapa yang
tidak pernah merasanya. Manisnya iman, hanya pemiliknya sahaja yang
dapat mengecapi kenikmatan dan kekusyukannya. Dalam tiga ciri
tersebut, baginda s.a.w nyatakan bahawa dengan mencintai seseorang
hanya kerana Allah, akan terasalah manisnya iman. Indahnya kemanisan
iman hanya pemiliknya yang faham.
Bagaimana mungkin kita dapat membina rasa cinta kepada seseorang
kerana Allah semata? Pastilah dek kita tahu hubungan dan kasih sayang
kita kepadanya mendapat keredhaan Allah. Mungkin kerana dia orang
yang dekat kepada Allah, atau dia boleh menjadi faktor kita dapat
mendekatkan diri kepada Allah. Apabila perasaan yang seperti itu terbina,
kita akan dapat merasa nikmatnya perasaan cintakan seseorang kerana
Allah. Hanya hubungan yang seperti itulah yang membuahkan kesetiaan
dan kejujuran yang tidak mampu dibeli oleh pangkat, kedudukan dan
harta.
Hubungan persahabatan seperti itu tidak ada di alam gelora manusia yang
yang berkawan dengan seseorang kerana kepentingan atau kedudukan
atau harta. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya) “Kalaulah
engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, tidaklah
engkau dapat menyatu-padukan di antara jantung hati mereka, akan
tetapi Allah telah menyatu-padukan antara mereka. Sesungguhnya Dia
Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana” (Surah al-Anfal: 63).
Ia hanya wujud dalam alam persahabatan yang dibina atas nama Iman
dan Islam. Maka kita akan lihat kesetiaan antara para pejuang Islam yang
ikhlas sepanjang sejarah penuh dengan keajaiban. Mereka hapuskan
dalam dairi hidup mereka perkataan khianat, kebencian dan permusuhan
dari belakang, lalu digantikan dengan “aku kasihkan engkau kerana Allah”.
Kasih itu berkekalan semasa sahabatnya di puncak atau berada di bawah.
Samada sahabatnya masih hidup, atau setelah meninggalkan dunia ini. Ini
kerana tempat rujuk kasih mereka Maha Tinggi Lagi Tiada Kesudahan
bagiNya, iaitu Allah s.w.t. Lihatlah sahabah Nabi s.a.w. Zaid bin alDathinah apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraish yang menentang
Nabi s.a.w. lalu dibawa untuk dibunuh dan Abu Sufyan –ketika itu belum
menganut Islam- bertanya kepadanya: “Wahai Zaid, aku bertanya engkau

dengan nama Allah, tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat
engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di
samping keluargamu”.

Jawab Zaid: “Aku tidak suka Muhammad berada di mana dia berada
sekarang, terkena duri sedangkan aku berada di samping keluargaku”.
Kata Abu Sufyan: “Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi
seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada
Muhammad” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/75 Beirut: Dar alKutub al-’Ilmiyyah). Ya! Kasih yang mengharapkan hanya ganjaran Allah.
Inilah kasih para pejuang yang sebenar antara mereka.
Persahabatan kerana Allah, memberi tanpa minta diganti, menyokong
tanpa minta disanjung, memuji tidak kerana budi, berkorban tanpa
menuntut ganjaran. Namun semuanya hanya mengharapkan kurniaan
Allah jua yang menjadi punca kecintaan dan kasih sayang itu mekar antara
satu sama lain. Sudah pastilah persahabatan itu dibina atas kebenaran
yang sentiasa tunduk dan patuh kepada titah Allah dan RasulNya.
Alangkah indahnya suasana ini.
Justeru itu Allah memuji golongan Muhajirin dan Ansar lalu dirakam kasih
sayang antara mereka dalam al-Quran: (maksudnya) ”Bagi golongan fakir
yang berhijrah, yang mereka diusir dari kampung halaman dan harta
benda mereka (kerana) mencari kurnia daripada Allah dan keredhaanNya.
Mereka menolong (agama) Allah dan RasulNya. Mereka itulah orang-orang
yang benar. Orang-orang yang telah mendiami kota (Madinah) dan telah
beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka itu (Muhajirin), mereka
mencintai orang berhijrah kepada mereka. Mereka tiada menaruh
sebarang keinginan (balasan) dalam dada mereka terhadap apa-apa yang
diberikan kepada Muhajirin. Mereka mengutamakan (orang-orang
Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka juga memerlukan
(apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran
dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung. Adapun orang-orang
yang datang selepas mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya
Tuhan kami, berilah keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami
yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau
membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang
beriman. Ya Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi
Maha Penyayang” (Surah al-Hasyar 8-10).

Hanya insan-insan yang seperti ini sahaja yang akan merasa manisnya
perjuangan yang mereka bawa. Ini kerana mereka jelas matlamat yang
hendak dituju dan jalan yang hendaklah dilalui. Bebas dari kepentingan
diri, yang tinggal hanya kepentingan cita-cita yang suci. Maka tidak ada
cerita jatuh-menjatuh antara mereka kerana jawatan dan pangkat.

Sebaliknya, sering ingin memberi kerana matlamat mereka adalah
keredhaan Allah. Ia tidak dicapai dengan tumpas menumpas sesama
pejuang yang betul niat dan tujuannya. Sebaliknya keredhaan itu dicapai
dengan sering tolong menolong kerana Allah. Jika itu tidak ada,
perjuangan itu untuk dunia semata dan pasti dalamnya penuh kepahitan
walaupun pada zahir ada harta dan kemewahan.
Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya dari kalangan hambahamba Allah adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para
syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada
Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah”. Para sahabat
bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”.
Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan ruh Allah,
tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang
diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah
cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat
manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia
berdukacita”.
Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) “Ketahuilah
sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula
mereka berdukacita” (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).
Inilah golongan yang dilindungi Allah pada hari kiamat. Di dunia mereka
mendapat kenikmatan persahabatan yang jujur dan ikhlas, di akhirat
mereka dilindungi Allah.
Nilai persahabatan bukan pada wang atau peluang yang diberi. Atau
kedudukan dan kerusi yang disogokkan. Semua itu tiada erti, jika ‘ada
udang di sebalik mee’. Sesungguhnya senyuman ikhlas seorang sahabat
sejati, lebih bererti dari dunia dan segala isinya, sehingga Nabi s.a.w
menyebut: “Senyumanmu buat wajah saudaramu itu adalah sedekah”
(Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Kita selalu dengar cerita pengkhianatan sesama sahabat dalam
perniagaan, pekerjaan dan politik. Mendengarnya sahaja amat
memeritkan, apatah lagi jiwa yang mengalaminya. Amat rapuhnya
persahabatan jika dibina di atas kepentingan diri masing-masing. Ditikam

oleh musuh, tidak seperit pedihnya seperti ditikam oleh sahabat yang
rapat. Dirompak oleh perompak tidak sekecewa ditipu oleh rakan yang
dipercaya. Dijatuh oleh lawan tidak sedahsyat direbahkan oleh teman
seperjuangan.

Namun itu realiti dalam maya pada ini bagi hubungan sesama insan yang
tidak dibina atas nama tuhan. Jika ada pihak yang jujur dalam
persahabatan, tetapi pengkhianatan berlaku bererti samada dia silap
memilih teman, atau prinsip perjuangan. Maka dalam memilih sahabat,
lihatlah hubungannya dengan tuhan dan atas apa kita membina
persahabatan dengannya.
dalam dunia perniagaan dan politik, persahabatan sejati amat sukar untuk
dicari. Bukan perniagaan, atau politik itu kotor; kedua-duanya termasuk
dalam ajaran Islam. Namun kedua bidang itu apabila tidak berpandukan
ajaran Allah dan RasulNya maka akan menjadi sangat rakus, biadap,
penuh dengan kepura-puraan, tidak berprinsip, tidak menghargai rakan
dan taulan, bicara dan bahasanya penuh dengan kemunafikan.
Kepentingan diri masing-masing kadang kala bagai tuhan yang disembah.
Sanggup lakukan apa sahaja demi kepentingan diri, apa yang dia tidak
akan lakukan jika perintah oleh tuhan yang sebenar pun. Banyak perintah
agama dia kata tidak mampu, namun jika ada kepentingan politik atau
urus niaga lebih daripada itu dia sanggup lakukan.
Firman Allah dalam Surah al-Jathiah, ayat 23: (maksudnya): “Bagaimana
fikiranmu (Wahai Mu