pengajaran dan pembelajaran di sekolah l

PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI SEKOLAH-SEKOLAH
LUAR BANDAR: SATU KAJIAN DI KUBANG PASU, KEDAH.
Alis Bin Puteh
(Universiti Utara Malaysia)
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk melihat proses P&P di dalam bilik darjah di 4 buah sekolah di
luar bandar khususnya di Kedah. Fokus diberi kepada usaha para guru memberi
pengajaran yang berkesan. Kajian ingin melihat apakah mereka menggunakan pelbagai
kaedah pengajaran dalam proses P&P mereka. Untuk mencapai objektif tersebut para
penyelidik telah membuat kajian tindakan selama satu bulan di 4 buah sekolah yang
dipilih. Dapatan kajian menunjukkan terdapat 80% guru menjalankan proses P&P mereka
secara tidak berkesan. Beberapa cadangan telah dikemukakan untuk mengatasi masalah
tersebut.

Pendahuluan
Pengajaran ialah satu proses yang komplek yang memerlukan kepelbagaian aktiviti jika
sesuatu proses pembelajaran itu ingin berjaya. Proses-proses ini memerlukan gabungan
aktiviti di antara guru dan pelajar. Pengajaran akan gagal sekiranya hanya satu pihak
sahaja yang terlibat. Pengajaran yang berjaya akan menghasilkan suatu perubahan
tingkahlaku pelajar. Proses perubahan tingkahlaku ini dikenali sebagai pembelajaran
(JPPG, 2006). Menurut Joyce (2000), istilah pengajaran sebenarnya berkait dengan

pembelajaran kerana pengajaran sebenarnya bermaksud mengajar pelajar untuk belajar.
Proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan memerlukan para guru
memahami peranannya, pelajarnya dan persekitarannya. Ini disebabkan para guru dan
pelajar kerap kali membawa pengalaman mereka dalam pengajaran dan pembelajaran.
Oleh itu, guru perlu benar-benar mengetahui pelbagai model, kaedah dan strategi
pengajaran dan pembelajaran, dan berusaha menggunakannya mengikut keadaan dan
kesesuaian (Reece, 1997; Norasmah, 2000; Zamri, 2004).
Pengajaran bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana dalam usaha melaksanakan
pengajaran, guru berperanan untuk menyampaikan segala maklumat yang mereka miliki
oleh mereka kepada pelajar. Sebagai seorang guru yang baik, ia perlu menentukan
samada sesaorang pelajar itu mempelajari sesuatu atau sebaliknya. Kesan sesuatu
pembelajaran itu boleh dinilai apabila pelajar menunjukkan perubahan pada tingkah laku
(Zaidatol & Habibah, 2000). Untuk berjaya, ia perlu penglibatan kedua-dua pihak secara
aktif dimana para pelajar perlu memiliki kesanggupan untuk menerima semua maklumat

1

yang disampaikan oleh guru manakala guru pula perlu memiliki pelbagai startegi P&P
agar strategi yang digunakan bersesuaian dengan kepelbagaian pelajar.
Pernyataan Masalah

Kegagalan melahirkan proses P&P yang berkesan boleh menyebabkan berlakunya
pelbagai masalah di sekolah. Faktor P&P yang tidak berkesan adalah salah satu faktor
yang dikenal pasti menyebabkan berlakunya masalah disiplin di sekolah seperti ponteng,
bising, tidak memberi tumpuan di dalam kelas, tidak berminat dengan mata pelajaran dan
guru, dan keruntuhan akhlak para pelajar. Contohnya, kajian Ishak (2008) mendapati 60%
dari 1300 pelajar yang dikaji menyatakan mereka tidak berminat dengan matapelajaran
sains dan matematik kerana P&P yang tidak berkesan selain dari masalah bahasa. Meor
(2003) mendapati para pelajar kurang berminat belajar disebabkan gaya pengajaran guru
yang tidak memenuhi gaya pembelajaran mereka. Para pelajar tidak memahami pelajaran
sains kerana strategi pengajaran guru tidak sesuai. Guru hanya tertumpu kepada
menyiapkan buku kerja sains sahaja.
Manakala kajian Abu Hassan (2003) mendapati guru tidak memberi peluang pelajar
terlibat secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru kurang memberi
peluang pelajar mengembangkan pemikiran kritis dan kreatif dalam matapelajaran yang
diajar. Guru mengikut prosedur yang terdapat dalam buku teks tanpa mengambil kira
keadaan pelajar. Kajian Tan (1991) juga mendapati guru cenderung menggunakan
pendekatan dan strategi pengajaran secara tradisi. Isu pedagogi turut memberi kesan
negatif terhadap pelaksanaan kurikulum sains di sekolah. Menurut Syed Jalaludin (2001),
pengajaran sains dan teknologi hendaklah menarik dan tidak membosankan agar dapat
ditanam di dalam minda pelajar bahawa sains dan teknologi mudah dipelajari dan sekali

gus memperkukuhkan minat dan sikap positif pelajar. Ghafar (2003) mencadangkan
seorang guru itu perlu menggunakan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran untuk
mengelakkan pelajar merasa jemu dan menjadikan pengajaran guru lebih berkesan.
Hasil daripada dapatan-dapatan kajian yang dijalankan menunjukkan terdapat masalah di
dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah masakini. Peningkatan masalah
disiplin di sekolah dan prestasi yang rendah di kalangan pelajar secara tidak langsung ada
hubungan dengan kelemahan yang wujud di dalam proses P&P.
Metodologi Kajian.
Kajian ini di jalankan di 4 buah sekolah di daerah Kubang Pasu, Kedah dengan
menggunakan kaedah kajian tindakan. Sekumpulan penyelidik telah menjalankan kajian
tindakan selama satu bulan secara berkumpulan. Mereka mendapat kerjasama yang cukup
baik dari pihak sekolah seperti menentukan isu yang hendak dikaji, penyediaan soalan
kajian dan sebagainya.

2

Kesemua kajian tindakan yang dijalankan mempunyai aspek-aspek berikut: tajuk kajian,
latar belakang kajian, pernyataan masalah, rasional kajian, objektif kajian,metodologi
kajian, signifikan kajian, dapatan kajian dan cadangan kajian. Kaedah mengutip data
yang digunakan di dalam semua kajian tindakan ini ialah pemerhatian di dalam bilik

darjah, temubual guru dan pelajar, soal-selidik, rakaman video dan analisa dokumen.
Dapatan Kajian
Dari 5 kajian tindakan yang dijalankan, isu-isu yang dikaji telah dikelaskan kepada 5
kategori seperti teknik penyoalan, interaksi guru, pengurusan bilik darjah, kaedah
pengajaran, dan penggunaan alat bantuan mengajar.

Isu 1: Kaedah Pengajaran Yang Tidak Berkesan
Kes A: Matematik
Kajian dibuat di sebuah kelas tahun dua yang paling tercorot dimana para pelajar dari
latarbelakang sosio-ekonomi yang rendah. Mereka lemah dalam matematik kerana tidak
boleh hafal sifir 3 dan tidak boleh berbahasa Inggeris. Guru berpendapat murid-murid
kelas ini tidak boleh dan malas. Guru juga kurang memberi bimbingan dan perhatian
yang sewajarnya semasa P&P. Justeru itu, guru juga kurang kreatif dalam
mempelbagaikan proses P&P.
Hasil dari aktiviti yang dibuat seperti menggunakan kaedah nyanyian didapati para
pelajar yang lemah ini berminat dan boleh menghafal sifir 3. Ia menyangkal pendapat
guru yang menyatakan mereka malas dan tidak boleh menghafal sifir. Malah guru mereka
terkejut dengan perubahan pelajarnya dan berbangga dengan mereka yang sebelum ini
dianggap mustahil kerana mereka terlalu lemah.
Dapatan dari kajian ini menunjukkan betapa pentingnya para guru mempelbagaikan

kaedah mengajar supaya para pelajar mudah faham dan berminat dengan mata pelajaran
yang diajar. Guru perlulah tidak terlalu cepat menyatakan para pelajarnya malas dan
sebagainya.
Kes B: Sebab-Sebab Ponteng
Kajian tentang ponteng dijalankan di dua buah sekolah menengah. Beberapa buah kelas
tingkatan tiga dipilih dan data ponteng diambil sepanjang bulan Mei, 2008. Purata
ponteng pada bulan tersebut ialah 10%. Pelajar tetap ponteng tanpa mengira adanya hari
peperiksaan. Selain dari itu, pelajar juga suka ponteng kelas. Pelajar suka ponteng pada
pukul 12 ke atas. Pelajar kerap ponteng pada hari-hari tertentu sahaja iaitu hari Ahad dan
Rabu. Pelajar suka ponteng pada hari Ahad kerana pada hari tersebut ada perhimpunan

3

dan mereka dapat bercuti selama 3 hari. Hampir semua pelajar-pelajar ini, ponteng mata
pelajaran matematik dan sains yang menggunakan bahasa Inggeris.
Berdasarkan soal selidik, temubual dan pemerhatian didapati terdapat tiga faktor
berlakunya ponteng. Faktor-faktor itu ialah faktor guru, diri sendiri dan keluarga. Kajian
ini hanya melihat faktor guru sahaja. Hasil dari temubual didapati hampir 75% pelajarpelajar yang ponteng ini suka kepada guru-guru yang menggunakan pelbagai kaedah dan
mempunyai gaya pengajaran yang menarik dan mudah faham. Selain dari itu, sikap guru
juga menyebabkan mereka ponteng. Guru dikatakan suka membebel dan marah secara

tidak menentu, garang dan tidak pandai mengajar. Ini menyebabkan mereka tidak suka
kepada mata pelajaran yang diajar.
Dapatan kajian jelas menunjukkan perkaitan di antara ponteng dengan proses P&P.
Pelbagaikan kaedah dan sentiasa mencuba idea-idea baru dalam P&P dapat menarik
minat dan merangsang pelajar untuk belajar. Guru perlu kreatif dalam mengajar supaya
pelajar tidak jemu dengan pengajaran guru dan tidak ponteng matapelajaran yang diajar.
Mengikut pekeliling KPM bil. 6/1995, terdapat dua faktor berlakunya ponteng iaitu
faktor sekolah dan faktor luar sekolah. Pihak sekolah perlulah merealisasikan sekolah
penyayang. Para pelajar berhak disayangi, dikasihi dan dibimbing. Salah satu cara ialah
dengan mempelbagaikan kaedah mengajar.
Kes C: Sejarah
Kajian dijalankan di 2 buah kelas Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 dalam mata pelajaran
sejarah. Kajian bertujuan untuk mengenalpasti sebab dan punca para pelajar gagal
menguasai subjek sejarah. Temubual dijalankan terhadap guru dan pelajar. Pemerhatian
juga dijalankan semasa guru mengajar.
Hasil dari pemerhatian semasa pengajaran dijalankan didapati terdapat sebahagian pelajar
tidak memberi tumpuan. Ada yang berbual, tidur dalam kelas dan masuk lewat. Pelajar
tidak faham soalan yang ditanya dan hanya mengharap jawapan guru. Pengajaran lebih
berpusatkan kepada guru dan pelajar jarang bertanyakan soalan.
Dapatan kajian menunjukkan keadaan sebenar yang berlaku semasa proses P&P. Untuk

menjadikan pengajaran lebih menarik, guru perlulah menggunakan pengajaran
berpusatkan pelajar. Beberapa kaedah yang melibatkan para pelajar seperti syarahan,
bercerita, kajian kes, main peranan dan sebagainya boleh dijalankan untuk menarik minat
pelajar terhadap mata pelajaran sejarah.

4

Isu 2: Penyoalan
Kajian ini dijalankan di dua buah sekolah menengah, di Tingkatan 1 dan Tingkatan 3
dalam subjek Bahasa Melayu dan Sains. Tujuan kajian ialah untuk melihat teknik
penyoalan dalam proses P&P. Kaedah kajian ialah melalui pemerhatian di dalam bilik
darjah.
Sepanjang pemerhatian yang dilakukan didapati soalan-soalan guru adalah jenis aras
rendah yang tidak memerlukan pelajar untuk berfikir. Guru hanya menyoal pelajar lelaki
yang aktif dari pelajar perempuan. Selain dari itu, soalan kerap diajukan kepada pelajarpelajar di hadapan yang aktif sahaja manakala pelajar-pelajar di bahagian belakang tidak
memberi perhatian kepada soalan guru. Guru ada memberi masa untuk berfikir semasa
menyoal tetapi masa tersebut digunakan untuk bersembang dan berdiam diri. Mereka
mengharapkan guru akan memberi jawapan. Pujian yang diberikan oleh guru kepada
pelajar-pelajar yang berjaya menjawab juga tidak dihiraukan oleh para pelajar. Guru juga
menggalakkan para pelajar menjawab secara beramai-ramai.

Hasil dari dapatan kajian menunjukkan guru gagal menggunakan teknik penyoalan yang
betul dan berkesan. Guru juga harus kreatif dalam menggalakkan para pelajar untuk
bertanya. Penggunaan teknik penyoalan yang berkesan mendorong kepada proses P&P
yang efektif.
Isu 3: Pengurusan Bilik Darjah
Kajian dijalankan di 2 buah sekolah menengah. Keadah yang digunakan ialah kaedah
pemerhatian.
Dari pemerhatian di dalam kelas didapati peralatan di dalam kelas tidak disusun dengan
kemas dan ini menyebabkan kelas tidak kondusif sebagai tempat untuk belajar. Terdapat
OHP yang berkunci tidak digunakan langsung dibiarkan tersadai sehingga berhabuk di
penjuru hadapan kelas. Ini disebabkan guru lebih selesa menggunakan kaedah chalk and
talk. Penggunaan papan kenyataan tidak sepenuhnya dan bahan-bahan yang diletakkan
tidak dikemaskini. Selain dari itu, terdapat tingkap-tingkat yang tidak bercermin dan
kipas yang tidak berfungsi.
Didapati di kedua-dua buah kelas yang dikaji tidak begitu ceria dan agak suram. Terdapat
guru yang menutup pintu semasa proses P&P dijalankan. Ini menyebabkan bilik darjah
agak gelap. Guru berbuat demikian untuk mengelak para pelajarnya tertarik dengan
persekitaran di luar dan untuk menghalang bunyi bising dari luar. Bilik darjah yang agak
gelap menyebabkan bilik darjah menjadi panas, pelajar mengantuk dan gelisah.
Kedudukan dalam kelas juga mempengaruhi keselesaan pelajar dan tumpuan mereka

terhadap pelajaran. Kelas yang mempunyai susunatur meja yang tidak efektif didapati
para pelajarnya mudah bersembang, mengganggu kawan dan bermain.

5

Keadaan bilik darjah yang tidak kondusif ini menyebabkan berlakunya masalah ponteng
dan bosan dalam belajar. Oleh pihak sekolah perlulah berusaha menjadikan bilik darjah
ceria dan menarik supaya para pelajar minat untuk belajar.
Isu 4: Alat Bantuan Mengajar (ABM)
Kajian ini melibatkan 5 buah kelas di 2 buah sekolah menengah. Pengkaji menggunakan
kaedah pemerhatian di dalam bilik darjah semasa guru mengajar. Ianya melibatkan
berbagai mata pelajaran dalam pelbagai tingkatan yang mempunyai pelajar berbagai
bangsa.
Dapatan kajian mendapati ada guru yang menggunakan ABM dalam proses P&P mereka
dan ada guru yang tidak menggunakannya. Bagi proses P&P yang menggunakan ABM
didapati pengajaran guru adalah berkesan dan menarik minat pelajar. Sebaliknya, guru
yang tidak menggunakan ABM menyebabkan proses P&P hambar dan membosankan.
Para pelajar kurang memberi tumpuan, mengantuk, membaca majalah, mengganggu
kawan dan menconteng meja.
Kajian juga mendapati kegagalan menggunakan ABM ini disebabkan oleh beberapa

faktor. Di antaranya ialah ABM yang tidak mencukupi, tempat menyimpannya yang tidak
strategi dan tersusun, guru kekurangan masa untuk menyediakannya, guru tidak kreatif
dalam mengajar, dan sebagainya. Ada keadaan dimana terdapatnya ABM tetapi guru pula
tidak mahir menggunakannya. Ini berlaku kepada guru-guru sains dan matematik.
Isu 5: Interaksi Guru - Pelajar
Kajian bertujuan untuk melihat sejauhmanakah berlakunya interaksi di antara guru
dengan pelajar dan sebaliknya. Ianya dilakukan di dua buah sekolah menengah dan di
dalam dua buah kelas.
Hasil dari pemerhatian di dalam bilik darjah didapati ada guru yang menyentuh
pelajarnya dengan pembaris, berinteraksi dengan suara yang perlahan dan tidak langsung
berinteraksi dengan pelajarnya. Didapati kebanyakan interaksi guru – pelajar tidak
berkesan kerana beberapa perkara. Di antaranya ialah penggunaan bahasa yang berbeza.
Guru sains berinteraksi dengan menggunakan bahasa Inggeris tetapi para pelajar yang
lemah bahasa Inggeris kurang memahaminya dan menyebabkan mereka tidak memberi
tumpuan kepada pengajaran guru. Ada pelajar yang bermain, menyanyi, bergendang,
membuat belon dengan gula-gula getah, membalas sms dan melihat keluar tingkap
semasa proses P&P berlaku. Apa yang menariknya ialah guru tidak membuat apa-apa
tindakan untuk memberhentikan kelakuan pelajar-pelajar tersebut.
Oleh itu, penggunaan bahasa yang mudah difahami oleh pelajar semasa berinteraksi
adalah penting bagi menarik minat pelajar untuk belajar. Interaksi secara dua hala akan

menyebabkan proses P&P berkesan.

6

Perbincangan
Berbagai teori, konsep dan kajian telah diperkenalkan untuk menjadikan proses P&P
berkesan. Kesemuanya diajar dan diberikan kepada semua bakal guru samada di IPT dan
di maktab-maktab perguruan, namun di dapati masih ramai yang tidak menggunakannya
semasa proses P&P di dalam bilik darjah. Sebagai contohnya konsep guru penyayang.
Menurut Grasha (1996), guru-guru yang penyayang menjadi fasilitator yang bukan sahaja
pakar dalam bidang masing-masing tetapi juga menjadi pendorong kepada kejayaan
pelajar. Terdapat juga kajian yang menunjukkan hasil dorongan guru akan melahirkan
sikap pelajar yang positif terhadap sekolah dan subjek, dan seterusnya meningkatkan
pencapaian akademik mereka (Brodie, 1964). Selain dari itu, terdapat kajian-kajian yang
menunjukkan guru perlu menggunakan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran untuk
mengelakkan pelajar merasa jemu dan menjadikan pengajaran guru berkesan (Abd.
Ghafar, 2003).
Sebenarnya P&P yang berkesan bergantung kepada tiga faktor utama iaitu faktor guru,
faktor pelajar dan faktor fizikal bilik darjah. Walaubagaimanapun, kajian-kajian ini hanya
memberi perhatian kepada faktor guru sahaja. Dapatan kajian menunjukkan ada 20%
guru yang menjalankan proses P&P secara berkesan dan ada 80% guru sebaliknya. Guruguru yang dikaji terdiri dari guru-guru yang sudah lama mengajar dan mempunyai
banyak pengalaman bukan lah guru yang baru mengajar.
Terdapat beberapa aspek yang mempengaruhi keberkesanan proses P&P dalam bilik
darjah. Di antaranya ialah pencapaian objektif pengajaran, penyampaian isi pengajaran
yang tersusun dan lancar, komunikasi yang berkesan, penggunaan ABM, kaedah
pengajaran berpusatkan pelajar dan penilaian proses P&P. Kesemuanya memerlukan
sesaorang guru yang bestari untuk melahirkan pelajar yang jauhari (Zainal, 2006).
Persoalannya bagaimana hendak melahirkan ramai guru yang bestari khususnya di
sekolah-sekolah luar bandar?
Saban tahun kerajaan memperuntukan bajet yang besar bagi memajukan bidang
pendidikan. Pelbagai pihak melakukan berbagai ikhtiar, berbagai pendekatan dan modus
operandi bagi merealisasikan matlamat pendidikan namum semua masih gagal
menghasilkan kejayaaan yang diharapkan. Sebenarnya kejujuran dan kesungguhan semua
pihak adalah diharapkan bagi menangani kemelut ini. Sebagai sesorang guru, mereka
perlulah terlebih dulu melihat kelemahan mereka sebelum menyalahkan orang lain atau
menyuruh orang lain.
Siapakah guru bestari itu? Pakar-pakar pendidikan telah sepakat merumuskan bahawa
seorang guru bestari itu adalah individu mulia yang melibatkan dirinya secara total
terhadap profesyen keguruannya. Ia memiliki sifat prihatin dancakna yang tulus ikhlas
terhadap tugas dan tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik. Ia juga memiliki
wibawa, maruah dan jati diri yang kental dan mantab dalam usahanya mendidik,
membimbing dan mendorong anak muridnya menjadi manusia yang seimbang di dunia
dan di akhirat.

7

Kesimpulan dan Cadangan
Pihak sekolah sepatutnya mempunyai cita-cita untuk menjadikan semua para gurunya
seorang guru yang bestari. Untuk melahirkan guru bestari yang mempunyai ciri-ciri di
atas, pihak sekolah dicadangkan melakukan beberapa perkara berikut:
a). Memberi latihan semula (retraining) kepada semua guru-gurunya terutamanya mereka
yang sederhana dan lemah prestasi mereka. Golongan ini adalah golongan majoriti di
sekolah-sekolah.
b). Mengadakan program motivasi kepada para gurunya dari masa kesemasa supaya
tahap motivasi mereka berada di paras yang tinggi selalu.
c). Menyediakan ABM yang mencukupi, terkini dan disimpan secara tersusun.
d). Pihak pentadbir khususnya pengetua atau guru besar perlulah mewujudkan satu
budaya sekolah yang menarik minat pelajar untuk belajar. Di samping itu, pihak sekolah
perlu menyediakan bilik darjah yang ceria dan kondusif untuk belajar.
e). Kurikulum latihan perguruan perlulah di semak semula supaya latihan perguruan
dapat melahirkan guru-guru bestari.
f). Melahirkan kepimpinan sekolah yang cemerlang. Mereka diharapkan dapat membantu
melahirkan para guru bestari.
Rujukan
Abu Hassan. 2003. P&P kimia di sekolah menengah: kemana arahnya, Seminar
memperkasakan sistem pendidikan,UKM.
Grasha . A.F. 1996. Teaching with styles, Allience Pub, USA
Ishak. H. 2008. Study reveals policy flaws, NST, 7 sept. 2008
JPPG. 2006. Kesediaan profesional guru novis, UKM, Bangi
Joyce. B. 2000. Model of teaching, Allyn &Bacon, Boston
Meor Rahman. 2003. Gaya pembelajaran dan hubungannya dengan pencapaian pelajar,
seminar memperkasakan sistem pendidikan, UKM.
Norasmah.O. 2000. Keberkesanan program keusahawanan remaja, tesis PhD, UPM

8

Reece. I. 1997.Teaching training and learning, BE Pubs., London.
Tan. L.T. 1991. Menyiasat tahap kemahiran sains bersepadu, tesis sarjana muda, UTM
Zaidah, H. 2000. P&P perdagangan, keusahawanan dan ekonomi asas, Serdang, UPM
Zamri.M. 2004. Strategi pembelajaran BM pelajar Melayu, tesis PhD, UKM
Zainal, B. 2006. Guru bestari pelajar jauhari, pustaka al hikmah, alhidayan Pubs. KL.

9

Dokumen yang terkait

ANALISIS KOMPARATIF PENDAPATAN DAN EFISIENSI ANTARA BERAS POLES MEDIUM DENGAN BERAS POLES SUPER DI UD. PUTRA TEMU REJEKI (Studi Kasus di Desa Belung Kecamatan Poncokusumo Kabupaten Malang)

23 307 16

FREKUENSI KEMUNCULAN TOKOH KARAKTER ANTAGONIS DAN PROTAGONIS PADA SINETRON (Analisis Isi Pada Sinetron Munajah Cinta di RCTI dan Sinetron Cinta Fitri di SCTV)

27 310 2

DEKONSTRUKSI HOST DALAM TALK SHOW DI TELEVISI (Analisis Semiotik Talk Show Empat Mata di Trans 7)

21 290 1

MANAJEMEN PEMROGRAMAN PADA STASIUN RADIO SWASTA (Studi Deskriptif Program Acara Garus di Radio VIS FM Banyuwangi)

29 282 2

MOTIF MAHASISWA BANYUMASAN MENYAKSIKAN TAYANGAN POJOK KAMPUNG DI JAWA POS TELEVISI (JTV)Studi Pada Anggota Paguyuban Mahasiswa Banyumasan di Malang

20 244 2

PERANAN ELIT INFORMAL DALAM PENGEMBANGAN HOME INDUSTRI TAPE (Studi di Desa Sumber Kalong Kecamatan Wonosari Kabupaten Bondowoso)

38 240 2

Analisis Sistem Pengendalian Mutu dan Perencanaan Penugasan Audit pada Kantor Akuntan Publik. (Suatu Studi Kasus pada Kantor Akuntan Publik Jamaludin, Aria, Sukimto dan Rekan)

136 695 18

DOMESTIFIKASI PEREMPUAN DALAM IKLAN Studi Semiotika pada Iklan "Mama Suka", "Mama Lemon", dan "BuKrim"

133 700 21

KONSTRUKSI MEDIA TENTANG KETERLIBATAN POLITISI PARTAI DEMOKRAT ANAS URBANINGRUM PADA KASUS KORUPSI PROYEK PEMBANGUNAN KOMPLEK OLAHRAGA DI BUKIT HAMBALANG (Analisis Wacana Koran Harian Pagi Surya edisi 9-12, 16, 18 dan 23 Februari 2013 )

64 565 20

PENERAPAN MEDIA LITERASI DI KALANGAN JURNALIS KAMPUS (Studi pada Jurnalis Unit Aktivitas Pers Kampus Mahasiswa (UKPM) Kavling 10, Koran Bestari, dan Unit Kegitan Pers Mahasiswa (UKPM) Civitas)

105 442 24