Kesan Pendidikan Kolonial Terhadap Sosio

1.0

PENGENALAN
Tujuan penulisan esei ini adalah untuk membincangkan bagaimana pendidikan

kolonial telah mendatangkan kesan terhadap sosioekonomi di Tanah Melayu. Skop
penulisan esei ini pula adalah bertumpu sebelum tahun 1969. Seperti yang diketahui,
sistem pendidikan di Tanah Melayu mempunyai sejarah yang panjang untuk dilakar.
Tambahan pula, perkembangan ilmu dan pendidikan Islam di Malaysia telah bertapak
sejak zaman kemahsyuran kerajaan Melaka lagi. Sejarah pendidikan di Tanah Melayu
pada waktu itu mempunyai kaitan dengan sosiobudaya penduduk daripada pelbagai
kaum. Kewujudan sistem pendidikan itu pula menggambarkan pemikiran sesebuah
masyarakat itu sendiri. Orang Melayu misalnya, telah mengalami sistem pendidikan
yang berasaskan agama kemudian berubah kepada keperluan zaman dan akhirnya
turut mengalami pendidikan sekular.

Di samping itu, esei ini turut mengupas tentang pendidikan vernakular yang
wujud di Tanah Melayu sejak zaman pemerintahan British. Sistem pendidikan yang
dilaksanakan oleh pihak kolonial dilihat telah mendatangkan pelbagai kesan terhadap
aspek sosial dan ekonomi di Tanah Melayu. Malah, kedatangan mereka turut dilihat
memberi kesan terhadap bidang pendidikan, secara tidak langsung telah mewarnai

perkembangan sistem pendidikan di Tanah Melayu. Pihak penjajah British juga
menggunakan sistem pendidikan sebagai suatu mekanisme dan pemangkin untuk
mengukuhkan lagi dasar imperialisme dan kolonialisme di negara ini sehingga
meninggalkan pelbagai kesan yang mendalam terutamanya dalam aspek sosioekonomi
penduduk Tanah Melayu. Antara kesan yang paling ketara semasa dasar tersebut
dilaksanakan ialah wujudnya pembentukan sekolah vernakular. Pembentukan sekolah
vernakular yang diwujudkan adalah rentetan daripada dasar ‘pecah dan perintah’ yang
dilaksanakan oleh pihak British yang mana dasar ini dilaksanakan atas alasan untuk
mengukuhkan kemajmukan masyarakat di Tanah Melayu.

1

2.0

EPISTEMOLOGI IMPERIALISME DAN EPISTEMOLOGI
KOLONIALISME

2.1

Epistemologi Imperialisme

Terdapat pelbagai teori dan penjelasan umum mengenai imperialisme barat,

namun terdapat juga takrifan penting yang diberikan oleh George Nudel dan Perry
Curtis. Mereka berpendapat bahawa imperialisme membawa maksud perkembangan
kuasa ataupun kawalan samaada secara langsung ataupun secara tidak langsung dari
segi politik, ekonomi dan sosial oleh sesuatu kerajaan, bangsa atau masyarakat keatas
kerajaan, bangsa dan masyarakat yang lain.

Menurut Prof. D.K Fieldhouse pula, penjelasan dan kenyataan yang diberikan
hampir sama; imperialisme secara amnya merupakan satu kecenderungan sesebuah
masyarakat ataupun pemerintahan untuk mengawal masyarakat lain. Beliau turut
menjelaskan bahawa sesebuah masyarakat itu sanggup melakukan pelbagai cara dan
tindakan untuk mendapatkan sesuatu tujuan tersebut. Selain daripada itu, kegiatan
imperialisme akan menonjolkan atau menyerlahkan sifat hegemoni (keunggulan) yang
dimiliki oleh negara yang ingin meluaskan wilayah atau melaksanakan imperialisme
tersebut. Empayar-empayar ini turut cuba untuk mengembangkan satu budaya dan
membentuk satu rupa bangsa yang sama dalam kalangan penduduk yang berada
dibawah kawalannya.

2.2


Epistemologi Kolonialisme
Kolonialisme berasal dari perkataan colunus (colonia) yang membawa maksud

suatu usaha untuk mengembangkan kekuasaan sesuatu negara di luar wilayah negara
tersebut. Pada umumnya, kolonialisme bertujuan untuk mencapai dominasi ekonomi
atas sumber daya, manusia, dan perdagangan di suatu wilayah. Wilayah koloni
umumnya ialah daerah-daerah yang kaya dengan bahan mentah untuk memenuhi
keperluan negara yang melaksanakan kolonialisme.

2

Namun begitu, perbincangan tentang imperialisme Barat setakat ini boleh juga
dikaitkan dengan kolonialisme. Hal ini demikian kerana, dasar-dasar imperialisme
Barat yang dilaksanakan di tanah-tanah jajahan. Oleh itu, istilah imperialisme dan
kolonialisme kadang-kadang ditukar ganti seolah-olah kedua-duanya mempunyai
maksud yang sama. Walau bagaimanapun, terdapat juga sarjana-sarjana Barat yang
memberi pengtakrifan yang berlainan daripada kedua-dua istilah tersebut.

Nodel dan Curtis telah memberikan pengtakrifan dan juga maksud yang cukup

jelas dan luas iaitu bagi sebahagian orang, kolonial bermaksud imperialisme seperti
yang dilihat daripada kaca mata penting penjajah, malahan semua kolonialisme
dimengertikan

sebagai

perkembangan

imperialisme

tetapi

bukan

semua

perkembangan imperialisme bererti kolonialisme dan perkara ini jelas tidak mampu
dinafikan. Namun demikian, kolonialisme kini secara amnya digunakan sebagai seerti
dengan penindasan, penghinaan atau eksploitasi ke atas orang-orang peribumi.


Di samping itu, Prof. Fieldhouse pula memberikan takrifan dan juga maksud
yang sangat terhad kepada imperialisme Barat sahaja iaitu kolonialisme kini hanya
bererti keadaan orang-orang yang dijajah dan digunakan khususnya kepada
masyarakat apabila berada di bawah kawalan politik sesebuah negara Eropah atau
negara Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, kolonialisme berlaku atas sebab-sebab yang tertentu.
Antaranya ialah orang-orang Barat melakukan kolonialisme kerana mereka membawa
slogan 3G iaitu “god, gold and glory”. Mereka sebenarnya berminat dengan bahan
mentah yang terdapat di Tanah Melayu. Hal ini kerana Asia Tenggara dan Tanah
Melayu itu sendiri mempunyai bahan mentah dan hasil bumi yang banyak. Mereka
juga berminat dengan Tanah Melayu. Selain daripada itu, mereka menjalankan
kolonialisme kerana keadaan politik Tanah Melayu yang tidak menentu pada waktu
itu, secara tidak langsung menarik minat orang Eropah yang kebetulan sangat ingin
melakukan kolonialisme.
3

3.0

PERUBAHAN EKONOMI DI TANAH MELAYU SEBELUM

TAHUN 1969
Semasa zaman penjajahan British, pihak kolonial telah melaksanakan pelbagai

dasar dan perundangan dalam sistem pentadbiran yang mana ianya dilihat sebagai
agenda tersendiri untuk melakukan penjajahan secara halus umumnya terhadap rakyat
di Tanah Melayu dan khususnya terhadap kaum Melayu sendiri.

Sebelum tahun 1945, perkembangan sosioekonomi dilihat telah mendatangkan
perubahan dalam sistem sosioekonomi tradisional. Situasi sosioekonomi orang
Melayu pada ketika ini yang menggambarkan keadaan serba kekurangan adalah
disebabkan oleh dua faktor utama. Faktor pertama ialah sistem sosioekonomi
tradisional yang diwarisi orang Melayu sejak zaman kolonial yang mana sebelum
kedatangan Inggeris, negara ini mempunyai sistem ekonomi campuran cukup untuk
makan yang berasaskan agraria luar bandar dengan sedikit kegiatan perlombongan di
pekan utama di sepanjang pantai Barat (Chamil 1987, 6). Negeri Melayu yang
menjalankan sistem beraja melaksanakan sistem pembesar daerah yang dilantik sultan
untuk mengutip cukai atau membuka sesebuah petempatan agraria (Gullick 1978, 11).
Cara yang diamalkan ialah golongan yang diperintah mengeluarkan hasil untuk
pemerintahan dalam bentuk persembahan dan cukai yang dibayar kepada raja melalui
pembesar daerah yang bertanggungjawab sebagai pelindung (Roff 1975, 1-2).

Implikasi polisi ini ialah rakyat hanya bekerja untuk pemerintah sedangkan
pemerintah tidak melakukan sebarang perubahan baru untuk kepentingan rakyat. Ini
menggambarkan sebuah budaya selesa dengan apa yang ada tanpa sebarang usaha ke
arah memperbaiki keadaan sosioekonomi. Kedua, kedatangan Inggeris ke Tanah
Melayu dengan membawa sistem ekonomi kapitalis. Institusi raja tidak dihapuskan
tetapi dimanipulasi dengan tujuan mengambil kira kepentingan dan keadaan
sosioekonomi Melayu (Jamaie 2005, 52).

4

Antara dasar dan perundangan yang dilaksanakan oleh pihak kolonial dalam
sistem pentadbiran ialah pelaksanaan Sistem Residen. Sistem Residen yang
diperkenalkan oleh penjajah British di negeri-negeri Melayu menjelang akhir abad ke19 bukan sahaja menandakan titik permulaan perubahan dari aspek politik, malah
turut melibatkan bidang ekonomi dan sosial. Walau bagaimanapun, langkah yang
dilaksanakan oleh pihak British dilihat telah berjaya memulihkan kekacauan yang
tercetus akibat daripada perebutan kuasa yang berlaku dalam kalangan pembesar
Melayu dan pergaduhan antara kongsi gelap Cina.

Perubahan tersebut juga telah mewujudkan suatu suasana yang membolehkan
ekonomi Tanah Melayu terus berkembang dengan pesat sekaligus memberikan

peluang kepada British untuk mengubah bentuk ekonomi dualisme Tanah Melayu
iaitu daripada kegiatan pertanian sara diri kepada kegiatan ekonomi yang bercorak
komersil secara beransur-ansur. Selain mendapat modal tempatan daripada golongan
saudagar di Negeri-negeri Selat, pihak British juga membawa masuk pelaburan asing
untuk dilaburkan dalam sektor ekonomi yang sedang berkembang seperti
perlombongan dan perladangan bagi tujuan eksport (Zaid Ahmad 2010, 84). Di
samping itu, perkembangan yang berlaku di peringkat antarabangsa seperti keperluan
untuk memperoleh bahan mentah oleh negara perindustrian di Barat, penggunaan
kapal wap yang dapat mengurangkan masa pelayaran serta pembukaan Terusan Suez
(1869) yang dapat memendekkan jarak dan masa pelayaran turut dilihat
mempengaruhi perubahan ekonomi di Tanah Melayu.

Namun begitu, kedudukan negeri-negeri Melayu yang kaya dengan sumber
bahan mentah juga menarik minat kuasa Barat, khususnya pihak British yang sangat
ingin menjalankan proses perluasan jajahan bagi mengukuhkan pengaruh mereka di
negeri-negeri Melayu. Walau bagaimanapun, usaha ini hanya dapat diperkukuh
dengan kesediaan sultan atau raja dan para pembesar untuk menerima pengaruh dan
teknologi dari luar. Rentetan daripada perkembangan ini, lebih banyak lombong bijih
timah dan ladang getah dibuka sekaligus membawa kepada penemuan beberapa
sumber galian yang lain seperti emas, arang batu, bauksit, dan bijih besi. Pada masa

5

yang sama, berlaku kemasukan tenaga buruh secara besar-besaran, terutamanya dari
negara China dan India sebagai imigran. Imigran ini masuk ke Tanah Melayu untuk
bekerja dalam sektor perlombongan dan perladangan.

Walau bagaimanapun, kemajuan yang berlaku dalam sistem pengangkutan dan
perhubungan seperti jalan raya, jalan kereta api, dan penggunaan kapal wap dilihat
telah menggalakkan perkembangan dalam bidang ekonomi di Tanah Melayu. Lantaran
itu, jalan raya dan jalan kereta api telah dibina untuk menghubungkan ladang getah
dan lombong bijih timah dengan kawasan pelabuhan supaya bahan-bahan tersebut
mudah diangkut keluar bagi tujuan eksport. Selain daripada itu, kemudahan bekalan
air dan elektrik turut disediakan. Namun, kemudahan ini lebih tertumpu di kawasan
yang berhampiran dengan pusat perusahaan tersebut. Justeru, pembangunan
infrastruktur yang dibangunkan ternyata lebih terbatas di kawasan yang kaya dengan
kedua-dua bahan komoditi berkenaan.

4.0

PENDIDIKAN VERNAKULAR

Sebelum kedatangan penjajah, masyarakat tempatan telah mempunyai sistem

pendidikan yang tersendiri. Pada peringkat awal, sistem pendidikan tersebut lebih
bersifat tidak formal dan berkembang seiring dengan kedatangan agama Islam di alam
Melayu. Antara contoh pendidikan tidak formal tersebut ialah pengajian al-Quran dan
ilmu pengetahuan agama. Pendidikan tidak formal ini merupakan satu perkara yang
wajib dipelajari oleh orang Melayu. Pendidikan agama Islam diajar di surau atau
masjid di kampung-kampung pada waktu malam. Pendidikan yang ditekankan adalah
membaca al-Quran dan tajwid, mempelajari abjad-abjad Arab, tafsir al-Quran, hadis,
fiqah, tauhid, mengingat dan menghafal doa, serta mempelajari prinsip-prinsip asas
agama Islam. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakan pula adalah
dengan menghafal kitab-kitab dan ajaran guru. Kemudiannya, terdapat sistem
pendidikan pondok sebagai pusat pembelajaran dan tempat tinggal pelajar (Awang
Had Salleh 1980). Penubuhan sekolah-sekolah pondok ini lebih tertumpu di negeri
Kedah, Kelantan, dan Terengganu. Sukatan pelajaran sistem pengajian pondok pula
6

meliputi aspek membaca serta memahami kandungan kitab suci al-Quran dan bahasa
Arab. Kemahiran membaca, menulis, dan mengira juga merupakan salah satu aspek
yang diberi tumpuan dalam sukatan pelajaran sistem pengajian pondok.


Apabila Inggeris campur tangan dalam pemerintahan negeri-negeri Melayu,
bidang pendidikan tidak diberi perhatian. Hal ini kerana pihak British hanya memberi
tumpuan kepada kekayaan hasil bumi seperti bijih timah, getah, kelapa sawit, dan
lain-lain yang terdapat di Tanah Melayu. Di samping itu, agenda dan matlamat British
yang ingin menggunakan dasar pelajaran hanyalah semata-mata untuk kepentingan
mereka sendiri. Pelaksanaan dasar pelajaran oleh pihak British juga dilihat untuk
menjaga keseimbangan masyarakat Tanah Melayu. Melalui pelaksanaan dasar ini
juga, kedudukan Inggeris di Tanah Melayu akan lebih terjamin dan bertambah kukuh.

Ketika zaman penjajahan British di Tanah Melayu (1511-1957), sistem
pendidikan Islam telah mengalami pelbagai perubahan dan menjejaskan kepentingan
pendidikan Islam. Keyakinan terhadap pendidikan Islam pula mula diubah kepada
sistem pendidikan Inggeris oleh pihak penjajah. Orientalis Barat juga telah
melaksanakan sistem pendidikan yang berteraskan pendidikan Inggeris dan
meletakkan asas mata pelajaran dalam bahasa Inggeris. Pada waktu itu, pendidikan
Islam mula tergugat dengan halangan dan cabaran terhadap bangsa Melayu. Hal ini
kerana pihak pentadbir British cuba mengawal kemasukan orang-orang Melayu untuk
belajar di sekolah Inggeris. Mereka hanya diberi peluang pendidikan yang hanya
terbatas kepada ilmu mentadbir bagi menyokong struktur pentadbiran Inggeris. Hal ini
disebabkan oleh timbulnya kebimbangan pihak Inggeris terhadap kebangkitan orang
Melayu sekiranya lahir orang-orang Melayu yang bijak pandai yang mana
kemungkinan untuk mereka bangkit menentang pihak British adalah tinggi. Sekiranya
orang-orang Melayu belajar dengan pandai, ia akan membuat kedudukan Inggeris
tergugat (Sufean Hussin 2002, 129).

7

Semasa penjajahan British, pihak Inggeris telah membangunkan sekolah
vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina, dan sekolah vernakular Tamil. (Shahril
@ Charil Marzuki & Habib Mat Som 1993, 3-7). Dasar ‘pecah dan perintah’ yang
dilaksanakan oleh pihak British dengan mewujudkan sekolah vernakular telah
menyebabkan masyarakat Melayu, Cina, dan India dipisahkan mengikut sistem
persekolahan yang berbeza. Hal ini secara tidak langsung telah menyebabkan
hubungan antara kaum disempadani dengan dengan sistem pendidikan yang berlainan
sehingga hubungan mereka semakin renggang. Di samping itu, sekolah vernakular
Melayu, Cina, dan India mempunyai kepentingan dan peranan yang tersendiri,
terutamanya bagi kaum tertentu, iaitu sekolah Melayu hanya untuk kepentingan orang
Melayu, sekolah Cina untuk kepentingan orang Cina, dan sekolah Tamil untuk
kepentingan orang India.

Kolonialisme Inggeris dilihat tidak menghiraukan soal pendidikan yang baik
untuk diberikan kepada rakyat Tanah Melayu. Bagi mereka, pendidikan yang
diberikan kepada rakyat jajahan, terutama orang Melayu, adalah untuk membina
pengaruh politik Inggeris tanpa mengambil kira keperluan masyarakat tempatan yang
kebanyakannya petani (Shamsul 1982, 339). Matlamat mereka adalah untuk
menyediakan pendidikan asas kepada orang Melayu bagi melengkapkan tenaga kerja
buruh, petani dan kemudiannya pulang ke kampung untuk menjadi guru dan petani
atau menjadi lebih baik daripada ibu bapa mereka dalam aspek pertanian (Jamaie
Hamil 2005, 81).

Pada tahap awal sistem pendidikan kolonial, mereka tidak menggalakkan anak
Melayu belajar di peringkat lebih tinggi kerana bimbang mereka akan menentang
penjajah melalui pendedahan dan kepintaran yang diperoleh (Abdullah 1996). Inggeris
hanya bertujuan menghapuskan buta huruf di kalangan orang Melayu dan dengan
tujuan itu memadai pendidikan hanya diberikan sehingga darjah enam atau peringkat
sekolah dasar (Cheeseman 1948). Inggeris juga telah menanamkan minat terhadap
pekerjaan sebagai petani atau buruh dan semangat untuk terus tinggal di kampung.
Sistem persekolahan cara ini sangat menekankan aspek disiplin, kepatuhan dan
8

peraturan yang adalah sebahagian besar daripada usaha penjajah untuk melahirkan
golongan petani yang lemah tetapi setia (Jomo 1991, 84). Sistem pendidikan
berkenaan mengekalkan taat setia rakyat pendatang kepada negara asal mereka dan
menyekat kebangkitan semangat untuk maju di kalangan orang Melayu (Yusof &
Khayati 1993, 120). Sistem pendidikan penjajah seperti itu dilihat tidak bertujuan
untuk membentuk sikap jati diri dan simbol nasional dalam diri rakyat Malaysia.
Sekolah vernakular Melayu, Cina, dan India dibiarkan berkembang berasingan dengan
bahasa pengantar yang berbeza-beza (Atory 1996, 242-43). Aliran persekolahan yang
berdasarkan garis etnik ini dilaksanakan demi memenuhi keperluan sektor tertentu
dalam ekonomi Malaya ketika itu, terutama untuk pentadbiran penjajah dan sektor
ekonomi kapitalis yang dikuasai pemodal Inggeris (Jomo 1991, 84).

Pendidikan vernakular mempunyai ciri tersendiri sehingga ia menimbulkan
masalah yang rumit di Tanah Melayu. Pendidikan vernakular mempunyai empat ciri
perbezaan yang ketara. Pertama, setiap jenis sekolah dikhususkan hanya untuk sesuatu
kaum sahaja; kedua, tidak ada dasar berhubung bahasa yang tunggal; ketiga, sekolah
itu terpisah di kawasan geografi yang berbeza; dan keempat, kuruikulum sekolah
berkenaan juga tidak selari. Perkembangan sosiopolitik semakin sukar untuk diatasi
kerana selain pendidikan bertumpu pada garis etnik, pengajarannya juga tidak lari
daripada kelompok etnik (Othman 1987). Selepas merdeka, sistem pendidikan yang
diasaskan oleh pihak penjajah dilihat tidak lagi sesuai digunakan. Reformasi
pendidikan dilakukan agar fenomena cintakan negara asal dalam kalangan etnik Cina
dan India tidak berterusan, malah bahasa dalam sistem pendidikan berfungsi sebagai
alat untuk menyatukan bangsa. Bahasa dalam pendidikan dilihat sebagai alat
memecah kebuntuan untuk menyelesaikan persoalan etnik yang berbeza-beza dalam
negara (Chandra 1922, 22). Selain bahasa pengantar yang mengandungi bahasa etnik
masing-masing, semua asas mata pelajaran turut berlandaskan negara China dan India.
Mereka hanya tinggal di Tanah Melayu tetapi semua yang dipelajari adalah tentang
budaya, sejarah, politik, dan ekonomi berdasarkan negara asal. Ini menyebabkan tidak
berlaku sosialisasi budaya antara pelajar yang menjadi aspek penting dalam proses
pendidikan (Jonit & Rashid 1993, 110-11).

9

Sistem pendidikan yang dilaksanakan oleh pihak British ini seakan-akan ingin
mewujudkan keadilan kepada semua kaum dan memberi keuntungan kepada orang
Melayu. Pada hakikatnya, ia melemahkan status quo orang Melayu dari segi sosial dan
ekonomi (Abu Zahari, 1980). Secara jelasnya, pihak British tidak bertindak untuk
memberi kesaksamaan dalam pendidikan semua kaum yang mana terdapat bangsa
yang mendapat taraf pendidikan yang lebih tinggi. Kesedaran terhadap ketidakadilan
ini, maka Laporan Barnes 1950 telah menjadi pencetus kepada perubahan pendidikan
orang Melayu setelah kebangkitan semangat kesedaran nasionalisme selepas Perang
Dunia II pada tahun 1946 (Shahril @ Charil Marzuki & Habib Mat Som, 1999, 9).
Laporan Barnes 1950 telah mengusulkan pembentukan satu bangsa himpunan
daripada pelbagai bangsa. Oleh itu, sekolah kebangsaan yang mana pada dasarnya
dapat menyatukan semua kaum dapat diwujudkan. Sekolah ini menggunakan bahasa
Melayu atau bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan bahasa kedua. Di samping
itu, bahasa Tamil dan bahasa Cina dijadikan mata pelajaran di sekolah, manakala mata
pelajaran prinsip-prinsip Islam dalam al-Quran dan tulisan Jawi diajar selama
setengah jam pada setiap hari persekolahan kepada pelajar yang beragama Islam.

Perkembangan ini telah membuatkan masyarakat Cina merasa kedudukan
mereka tergugat. Oleh itu, mereka mendesak supaya perubahan dan penyemakan
semula dilakukan dalam sistem pendidikan sedia ada. Rentetan daripada desakan
kaum Cina, maka Laporan Fenn-Wuu 1951 telah terhasil. Laporan Fenn-Wuu 1951
dihasilkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan pendidikan bagi masyarakat Cina.
Landskap pendidikan negara yang sering berlaku pada waktu itu adalah untuk
mengimbangi kehendak rakyat dan harus dipertimbangkan bagi menjamin
keharmonian dan perpaduan negara. Seterusnya, Ordinan Pelajaran 1952 ditubuhkan
hasil daripada adunan Laporan Barnes 1950 dan Laporan Fenn-Wuu 1951. Oleh sebab
terdapatnya pandangan dan tuntutan yang berbeza, maka wujudlah kesan sistem
pendidikan yang diaturkan oleh pihak British yang mana wujudnya sekolah vernakular
Melayu, sekolah vernakular Cina, dan sekolah vernakular Tamil.

10

5.0

KESAN PENDIDIKAN KOLONIAL TERHADAP SOSIO
EKONOMI TANAH MELAYU SEBELUM 1969
Sememangnya, kesan daripada kolonialisme British telah meninggalkan

pelbagai kesan dan perubahan ke atas struktur sosioekonomi masyarakat tradisional
tempatan. Kedatangan British secara langsung atau tidak langsung dilihat telah
melemahkan kekuasaan sultan dan pembesar. Dasar-dasar yang diperkenalkan oleh
British seperti Sistem Residen dan Undang-undang Tanah turut memperlihatkan
kerakusan pihak British dalam mengeksploitasi ekonomi dan menguasai politik Tanah
Melayu sekaligus memberi kesan ke atas struktur masyarakat feudal.

Walau bagaimanapun, perkembangan infrastruktur seperti kemudahan
komunikasi dan perhubungan dilihat telah mengubah landskap penduduk tradisional
tempatan. Antara kesan lain yang berlaku akibat kolonialisme Barat ialah
pembentukan masyarakat majmuk yang disebabkan oleh kegiatan perlombongan dan
perladangan. Kewujudan masyarakat berbilang kaum juga adalah rentetan daripada
kedatangan golongan imigran ke Tanah Melayu. Di samping itu, aspek pendidikan
turut diambil berat oleh pihak British apabila mereka memperkenalkan sistem
pendidikan

vernakular

yang

menyebabkan

masyarakat

tradisional

tempatan

mengambil bahagian dalam tranformasi pendidikan yang dilaksanakan oleh British.

Tidak ketinggalan juga, pelbagai peristiwa dan insiden turut berlaku
disebabkan kolonialisme British. Antara peristiwa paling epik dan bersejarah ekoran
kolonialisme yang dijalankan oleh pihak British ialah Peristiwa 13 Mei 1969. Insiden
ketegangan kaum dalam sejarah hubungan etnik di Malaysia yang dikenali sebagai
Peristiwa 13 Mei 1969 adalah satu titik tolak penting yang terjadi dalam sejarah
pasang surut hubungan etnik di Malaysia. Tragedi berdarah ini telah meninggalkan
pelbagai kesan dari segi politik, ekonomi, sosial, malah dalam aspek psikologi
masyarakat Malaysia. Hal ini dapat dilihat daripada pelbagai reaksi dan langkah pihak
kerajaan yang telah memperkenalkan dan menggubal beberapa dasar negara termasuk
Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Sosial Negara, dan
11

sebagainya yang kesemuanya bertujuan memperbaiki dan merapatkan jurang
hubungan antara kaum di Malaysia dalam berbagai-bagai aspek kehidupan sosial,
politik, dan kemasyarakatan (Zaid Ahmad 2010, 197).

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kolonialisme British dari segi pendidikan
kolonial itu sendiri telah meninggalkan pelbagai kesan terutamanya dalam struktur
sosiekonomi masyarakat tradisional tempatan sekaligus memperlihatkan perubahan
drastik terhadap masyarakat Melayu di Tanah Melayu dan peribumi Sabah dan
Sarawak. Kesan yang jelas juga dapat dilihat dalam aspek politik, ekonomi dan sosial
yang telah diubah mengikut ramuan British demi kepentingan pihak kolonial tanpa
memikirkan tentang nasib masyarakat tradisional tempatan.

5.1

Wujud Pekerjaan Kelas Bawahan dan Rendah
Kolonialisme menjadikan orang Melayu sebagai masyarakat yang terus

mundur di negara sendiri. Terdapat jurang yang besar antara sistem ekonomi
tradisioanal dengan sistem ekonomi Barat yang melibatkan sektor perladangan,
industri dan perdagangan. Sistem ekonomi tradisional tidak dimajukan malah semakin
cuba untuk dihancurkan (Alfian 1992, 221). Orang Melayu turut mengalami kejutan
sehingga perkembangan kemajuan dalam semua aspek tergendala. Dasar ‘pecah dan
perintah’ Inggeris dilihat telah menghakis kekuatan institusi Melayu dan menyekat
pelbagai peluang orang Melayu untuk maju di negara sendiri. Orang Melayu
dikelaskan sebagai bangsa kedua di bawah bangsa penjajah dengan membiarkan orang
Melayu terus tinggal di kampung dan pinggir sungai. Peluang pendidikan pula hanya
diberi berdasarkan kelas sosial yang penuh diskriminasi (Jomo 1991). Orang yang
mempunyai kedudukan paling tinggi dalam kelas sosial biasanya mempunyai kuasa
dan wewenang sehingga dapat mempengaruhi pihak lain untuk melakukan hal-hal
yang disenangi dan dikehendaki pemegang kuasa (kolonial) (Soerjono 1989, 394).
Golongan bangsawan pula adalah golongan yang akan dijadikan kuli atau orang
suruhan supaya mereka dapat diterima masuk ke sekolah Inggeris. Pihak kolonial juga
sengaja mewujudkan sistem kelas dalam masyarakat Melayu supaya dasar ‘pecah dan
perintah’ dapat dilaksanakan. Golongan ini juga diberi status yang tinggi dan turut
12

dipisahkan daripada rakyat jelata. Kemudian mereka dilantik sebagai Majistret Kelas
III, Penolong Pegawai Kelas II dan III seperti Penolong Pegawai Daerah, Penolong
Pemungut Hasil Tanah dan Galian serta Penolong Pesuruhanjaya Daerah (Ramlah
1998, 112 & 132).

…It attempted to cultivate a hybrid which had no real social roots
beyond an embryonic English educated, urban middle class based on
the bureaucracy…
(Harper 1996, 239)

Rakyat biasa terus tinggal di kampung dan diberi pendidikan yang hanya
bertujuan mengenal huruf melalui sistem vernakularnya (Cheeseman 1948). Kesedaran
tentang penindasan ini juga datang terus daripada golongan bangsawan yang
dimanjakan tetapi dari Timur Tengah pada awal abad ke-20 (Hambali 1981).

Selepas merdeka, orang Melayu seolah-olah kehilangan arah untuk mencari
strategi yang sesuai untuk digunakan bagi menjamin perubahan, kemajuan dan
kejayaan. Hampir

keseluruhan tenaga

dicurahkan

dalam

usaha

menangani

pembangunan fizikal negara dan usaha mengawal kolonial. Tidak hairanlah orang
Melayu yang sedemikian rupa. Masyarakat Timur, termasuk orang Melayu, ketika itu
boleh dibahagikan kepada dua kelompok, iaitu masyarakat yang berada di luar
pembaratan westernization dan masyarakat yang sudah lama melalui pembaratan
(Benda 1983, 154). Jelas bahawa selepas merdeka, orang Melayu ketinggalan dalam
pelbagai bidang terutamanya ekonomi yang kebanyakannya dilihat dimonopoli oleh
etnik Cina dan Eropah. Namun, usaha untuk meningkatkan perekonomian orang
Melayu tidak semudah yang disangka kerana pada waktu itu, bangsa pendatang telah
berada jauh di hadapan berbanding dengan orang Melayu. Kedudukan sosioekonomi
orang Melayu ketika itu amat jauh ketinggalan sehinggakan orang Melayu
diidentitikan sebagai malas, suka membuang masa, tidak berpelajaran, tidak pandai
berniaga dan suka rendah diri (Zakry 1993, 57),
13

…the Malays is often employed as a motor car driver, in which
profession he proves more satisfactorythan most other races…
(Kamarul 1997,41)

5.2

Pekerjaan Mengikut Kaum
Antara kesan lain yang berlaku rentetan daripada pelbagai dasar kolonialisme

dalam sistem pendidikan kolonial yang dilaksanakan oleh pihak penjajah British
adalah wujudnya pekerjaan mengikut kaum. Dasar ‘pecah dan perintah’ yang
dijalankan oleh pihak British dilihat tidak membantu orang Melayu secara langsung
untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan ekonomi moden. Oleh itu, di sebalik
perkembangan ekonomi moden yang pesat membangun, orang Melayu dilihat tidak
banyak berubah dan mereka masih meneruskan kegiatan ekonomi secara tradisional
yang berbentuk sara diri.

Kegiatan

ekonomi

moden

seperti

perdagangan,

perlombongan,

dan

perladangan pula dilihat lebih bertumpu di kawasan pantai Barat Tanah Melayu. Hal
ini kerana terdapat sistem pengangkutan yang lebih baik dan canggih. Akibatnya,
jurang kemiskinan dalam kalangan masyarakat Tanah Melayu semakin meluas
terutamanya masyarakat di luar bandar yang masih mengamalkan ekonomi tradisional
yang bercorak sara diri. Walaupun sektor ekonomi di Tanah Melayu terus berkembang
dengan pesat dan membangun, namun penjajah British terus membiarkan orang
Melayu kekal dalam kegiatan pertanian yang bercorak tradisional tanpa memberi
peluang kepada mereka untuk diserapkan dalam kegiatan ekonomi moden seperti
sektor perlombongan atau perladangan.

Di samping itu, penjajah British dilihat lebih mengutamakan dan
mementingkan jaminan supaya jentera ekonomi dapat bergerak dengan lebih cekap
dan teratur. Pihak British juga berpendapat bahawa struktur masyarakat Melayu yang
sedia ada tidak perlu diganggu dan diubah. Rentetan daripada pelaksanaan pelbagai
14

dasar pihak kolonial, orang Melayu dilihat terus terpisah daripada arus kepesatan
ekonomi yang sedang berlaku. Oleh hal yang demikian, pola perbezaan ekonomi
mengikut kaum ini dilihat telah menimbulkan masalah ekonomi yang tidak seimbang
antara kaum Melayu dengan kaum bukan Melayu selepas merdeka.

Dasar ‘pecah dan perintah’ yang dilaksanakan oleh pihak penjajah juga dilihat
telah membentuk kawasan petempatan yang berasingan antara ketiga-tiga kaum
utama, iaitu kaum Melayu, Cina, dan India. Kesan paling ketara yang dapat dilihat
adalah apabila sebahagian besar orang Melayu terus kekal dengan kegiatan ekonomi
di luar bandar sebagai petani dan nelayan. Orang Cina tertumpu di kawasan bandar
yang mana mereka bekerja sebagai peniaga dan pelombong, manakala orang India
pula menetap di ladang-ladang getah dan kawasan estet, dan kebanyakannya bekerja
sebagai penoreh getah di kawasan ladang dan estet tersebut.

Walau bagaimanapun, dasar British yang memisahkan kaum Melayu dan
bukan Melayu telah melahirkan satu masyarakat majmuk dan memperlihatkan
kepelbagaian budaya dalam kalangan penduduk berbilang kaum di Tanah Melayu
seiring dengan dasar British yang ingin melihat setiap kaum supaya terus kekal
dengan identiti kaum dan etnik masing-masing.

5.3

Pekerjaan Mengikut Sektor
Kesan seterusnya yang berlaku dalam sosioekonomi Tanah Melayu akibat

pengenalan pendidikan kolonial adalah wujudnya pembahagian pekerjaan mengikut
sektor. Hal ini dapat dilihat apabila orang Melayu masih mewakili pekerjaan yang
tidak popular dan tidak profesional khususnya dalam sektor perkebunan dan pertanian.
Seperti yang diketahui, ramai orang Melayu yang terlibat dalam sektor pertanian
khususnya dalam kegiatan penanaman padi. Buruh Melayu juga tidak terkecuali
bekerja dalam sektor perlombongan dan perladangan. Di samping itu, sektor pekebun
kecil iaitu aktiviti pertanian tradisional yang sebahagian besarnya diwakili oleh orang
Melayu didapati kurang diberi perhatian dan tumpuan oleh penjajah British. Orang
15

Melayu juga tidak diberikan peluang untuk menerima pelbagai jenis kemudahan dan
informasi bagi tujuan memajukan aktiviti pertanian.

Di bandar pula, kaum Melayu dilihat lebih bertumpu dalam bidang-bidang
perkhidmatan kerajaan, menjadi budak pejabat (peon), tukang kebun, polis, dan askar,
malah terdapat juga yang bekerja sebagai buruh-buruh kilang. Walau bagaimanapun,
orang Cina yang terlibat dalam sektor pertanian di kampung dan orang India yang
bekerja sebagai penoreh di ladang getah tidak seramai orang Melayu. Dalam sektor
perlombongan, pembinaan, dan perkilangan, jumlah buruh Cina dilihat mengatasi
kaum-kaum lain. Orang-orang India pula merupakan buruh teramai sekali terlibat
dalam ladang-ladang; dan ramai juga di antara mereka yang menjadi buruh dalam
setengah-setengah jabatan kerajaan, seperti kerjaya dan keretapi (S. Husin Ali 1979,
134).

Rentetan daripada perkembangan sektor tradisional yang majoritinya diwakili
oleh orang Melayu, sektor ini dilihat tidak berkembang maju, mengalami kelembapan
produktiviti, dan kadar pendapatan orang Melayu adalah lebih rendah berbanding
kadar pendapatan kaum lain terutamanya Cina dan India. Selain daripada itu,
kelembapan ekonomi pertanian ini turut memberi implikasi terhadap perkembangan
peluang-peluang pekerjaan., Peluang pekerjaan juga gagal diwujudkan berbanding
dengan pertambahan penduduk di Tanah Melayu. Hal ini kerana pertambahan
penduduk di Tanah Melayu dilihat lebih banyak berbanding dengan pertambahan
peluang pekerjaan.

5.4

Orang Melayu Terus Terpinggir
Selain daripada itu, orang Melayu juga didapati terus terpinggir dan

ditinggalkan arus pemodenan akibat daripada sistem pendidikan yang diperkenalkan
oleh pihak British semasa era kolonial. Dari segi pendidikan, orang-orang Melayu
yang tinggal di desa lebih miskin dan tidak banyak diberi peluang untuk mendapatkan
pelajaran sekolah rendah dan menengah jika dibandingkan dengan orang-orang bukan
16

Melayu yang lebih kaya dan tinggal di bandar. Setiap tahun keputusan-keputusan
peperiksaan menunjukkan perbezaan yang ketara antara kedua-dua kaum. Walaupun
pelbagai usaha telah dijalankan, kesan daripada pengalaman dan latar belakang
beberapa generasi sama sekali tidak dapat dihapuskan untuk menghasilkan persamaan
peluang bagi semua kaum. Menurut Mahathir dalam bukunya The Malay Dilemma,
untuk beberapa tahun akan datang kelayakan pelajaran tinggi orang-orang Melayu
secara puratanya adalah akan tertinggal di belakang kaum-kaum yang lain. Dengan
keadaan sebegini, persaingan antara pemohon-pemohon untuk memasuki universiti
dan kolej, sama ada dalam negeri ataupun luar negeri, sudah tentu tidak
menguntungkan orang Melayu. Dalam setiap kursus pengajian, jika tempat kosong
kurang daripada bilangan pemohon, maka orang Melayu tidak akan diterima masuk.
Jika bernasib baik, hanya sebilangan kecil sahaja yang akan diterima. Jika perbezaan
antara tempat-tempat kosong dan bilangan pemohon adalah besar, maka peluang
orang Melayu menjadi semakin kecil untuk mendapat tempat di universiti. Apabila
peluang untuk memperbaiki kedudukan mereka terhad, maka peluang mereka untuk
mengalami proses urbanisasi juga terhad. Seperti yang telah dijelaskan tadi, jika
terdapat sedikit orang Melayu tinggal di bandar, maka semakin besarlah perbezaan
kaum.

Sebagai contoh yang dapat dilihat adalah berdasarkan Fakulti Perubatan di
Universiti Malaya. Hal ini kerana Fakulti Perubatan mempunyai tempat yang terhad
bagi pelajar-pelajar yang ingin mengambil ijazah perubatan di universiti tersebut.
Setiap tahun, pelajar-pelajar terbaik dalam negara memohon untuk mengikuti kursus
perubatan. Walau bagaimanapun, setiap pelajar perlu mempunyai kelayakan asas
untuk menjadi seorang doktor. Pengalaman di pelbagai tempat juga telah
menunjukkan bahawa pelajar-pelajar yang mempunyai kelayakan minimum yang
mana apabila diterima masuk dalam Fakulti Perubatan dan diberi latihan yang
sempurna, akhirnya mereka akan lulus untuk menjadi seorang doktor. Namun begitu,
disebabkan terdapatnya tempat yang terhad, maka hanya yang terbaik sahaja dapat
diterima. Secara purata, pelajar-pelajar Melayu yang datang dari kampung atau
sekolah-sekolah inferior di bandar selalunya mempunyai keputusan yang lebih lemah.
Oleh itu, hanya segelintir sahaja yang mendapat tempat dan mempunyai keputusan
17

yang baik akan dipilih untuk mengikuti latihan perubatan. Persaingan untuk mendapat
latihan perubatan selalunya tidak mendatangkan keuntungan terhadap orang Melayu.
Sekiranya tiada persaingan daripada orang bukan Melayu, sudah pasti semua
pemohon adalah daripada kalangan orang Melayu itu sendiri.

Perkara yang sama turut berlaku dalam kursus profesional lain. Malah, jumlah
orang bukan Melayu dalam Fakulti Sastera adalah lebih ramai berbanding dengan
jumlah orang Melayu. Oleh itu, jelaslah bahawa pendidikan tidak boleh menjadi alat
untuk mencapai persamaan kaum, sebaliknya memperlihatkan jurang dan perbezaan
kaum. Selain itu, kemiskinan dan kekurangan pekerjaan di kawasan bandar telah
menyebabkan orang Melayu tinggal di kampung sekaligus membawa kepada
keterbelakangan dan ketinggalan orang Melayu dalam bidang pelajaran menengah dan
rendah jika dibandingkan dengan orang bukan Melayu. Pelajaran pada peringkat
sekolah menengah yang lemah juga telah menyekat orang Melayu untuk mendapatkan
pekerjaan yang lebih baik atau menjadi ahli-ahli profesional. Oleh itu, kekurangan
pekerjaan dalam bidang profesional telah menyebabkan orang Melayu tersisih ke
kawasan kampung dengan kemiskinan.

Perubahan struktur sosial Melayu juga berlaku apabila sistem pendidikan
Inggeris dan sistem vernakular dibentuk. Malah struktur sosial berkenaan semakin
pelbagai apabila imigran Cina dan India dimanipulasi oleh Inggeris untuk menguasai
potensi ekonomi Tanah Melayu. Oleh sebab mereka dibawa oleh Inggeris, golongan
ini mendapat perhatian yang lebih, malah mereka dibantu pula oleh Inggeris (Shamsul
1982, 337-38). Pendidikan vernakular Melayu yang diperkenalkan British adalah
semata-mata untuk memenuhi dasar politik penjajah (Intan 1991, 74). Anak Melayu
lepasan sekolah Melayu pulang ke kampung halaman masing-masing untuk bekerja
sebagai petani, buruh, guru, polis atau peon (Intan 1991, 775-76). Ini menyebabkan
orang Melayu kekal di kawasan desa sebagai pewaris tugas bertani yang 70 peratus
orang Melayu bekerja sebagai petani dengan mengusahakan tanah yang tidak
menguntungkan serta jahil kaedah moden (Shaw 1977, 305) atau sebagai penoreh
getah (Shamsul 1982, 338).
18

Desakan ekonomi menyebabkan ramai pula di kalangan mereka yang menjual
tanah, bergadai, meminjam wang daripada tuan tanah, orang tengah atau ceti untuk
keperluan asas dan persekolahan anak hingga suatu peringkat apabila hutang tidak
boleh dibayar, hutang berkenaan akan diwarisi oleh anak-anak dan jika masih belum
luput maka tanah orang Melayu akan dirampas oleh golongan pemodal berkenaan
(Mahathir 1982).

Walau bagaimanapun, dasar ‘pecah dan perintah’ yang dilaksanakan oleh pihak
British bukan sahaja memisahkan orang Melayu daripada orang Cina tetapi juga telah
memecahbelahkan orang Melayu di bandar dengan mereka yang berada di luar bandar.
Walaupun pemisahan ini memang telah sedia wujud, tetapi dasar Britishlah yang telah
memisahkan hubungan sederhana antara orang Melayu bandar dengan orang Melayu
luar bandar. Proses pemisahan ini juga dijalankan secara halus. Mereka juga telah
menggunakan semua kesempatan yang ada dan menguatkan lagi keadaan melalui
rancangan mereka sendiri. Pemisahan orang Melayu daripada orang-orang Cina dan
pemisahan di antara orang Melayu bandar dengan orang Melayu luar bandar telah
menyebabkan mereka semakin kurang kuasa ekonomi dan politik (Ibrahim Saad 1981,
31-32).

5.5

Bukan Melayu Kuasai Sektor Ekonomi Komersial
Semasa penjajahan British di Tanah Melayu, pihak kolonial telah menjalankan

dasar ‘pecah dan perintah’. Lantaran itu, kedudukan ekonomi dipecahkan dan
dipisahkan mengikut kaum yang terdapat di Tanah Melayu pada ketika itu. Melalui
dasar ini, orang Melayu ditempatkan di kawasan luar bandar dan menjalankan
kegiatan pertanian, manakala imigran Cina telah ditempatkan di kawasan bandar dan
menjalankan kegiatan perdagangan dan perlombongan. Bagi imigran India pula,
mereka ditempatkan di kawasan ladang getah.

19

Pengenalan kaum yang berasaskan sektor ekonomi dan lokasi dilihat langsung
tidak membantu integrasi, malah meluaskan jurang polarisasi. Hal ini dapat dilihat
apabila orang-orang Melayu kebanyakannya hanya tinggal di luar bandar dan
perkampungan tradisional serta bekerja sebagai petani atau nelayan kecil sahaja. Etnik
Cina umpamanya, menetap di kawasan yang pesat membangun dan bandar-bandar
serta menjalankan aktiviti perniagaan dan perusahaan. Mereka juga memiliki ekuiti
yang besar dalam ekonomi, manakala kaum India pula kebanyakannya tinggal di
ladang-ladang sebagai buruh kasar kerajaan dan pekerja di ladang. Secara umumnya,
orang-orang Melayu dan India dilihat lebih banyak terlibat dalam sektor ekonomi
yang bercorak sara diri sekaligus menyebabkan jurang sosioekonomi semakin
melebar. Ketidakseimbangan ini secara langsung menyebabkan perhubungan antara
kaum menjadi lebih terbatas.

Keadaan ekonomi dan demografi penduduk di Tanah Melayu juga telah
memperlihatkan

bahawa

majoriti

penduduk

kaum

Melayu

kebanyakannya

berpendapatan rendah dan miskin. Keadaan ini seterusnya membangkitkan rasa tidak
puas hati dalam kalangan orang Melayu kerana mereka merasakan bahawa ekonomi
Tanah Melayu telah dikuasai oleh imigran asing sekaligus ketinggalan di belakang
sama ada dalam bidang ekonomi mahupun dalam proses pembangunan yang berlaku
di tanah air sendiri.

Ditinjau dari segi taburan penduduk, kemasukan imigran luar telah membentuk
petempatan berdasarkan corak kegiatan ekonomi mengikut bangsa. Kaum Cina
bertumpu di bandar-bandar dan kawasan lombong. Mereka juga menceburi bidang
kewangan. Namun begitu, kaum Melayu hanya menceburi bidang pertanian dan
mereka dilihat bertumpu di kawasan pedalaman bahagian Barat, Timur dan Utara,
manakala kaum India pula bertumpu di kawasan perladangan getah sepanjang
bahagian tengah Pantai Barat. Oleh sebab kaum imigran dianggap sebagai nadi dan
penggerak ekonomi eksport, maka pelbagai kemudahan seperti hospital, bekalan air,
elektrik, sekolah, dan sebagainya disediakan. Walau bagaimanapun, penduduk
bumiputra yang tinggal di luar bandar kurang mendapat perhatian kerana terdapat
20

anggapan yang menyatakan bahawa orang Melayu dilihat sebagai tenaga kerja yang
tidak penting dalam sektor ekonomi.

Seperti yang diperhatikan oleh kebanyakan ahli ekonomi dan ahli sains politik
yang memahami keadaan ekonomi di Malaysia, orang bukan Melayu yang terdiri
daripada orang Cina dan orang Eropah yang mewakili kepentingan orang asing ialah
golongan terbesar yang menguasai bidang ekonomi. Di samping sistem pembahagian
tenaga buruh, satu lagi petunjuk yang membayangkan ketidaksamaan ekonomi antara
kelompok ras etnik di Semenanjung Malaysia ialah pola pemilikan harta dalam sektor
pertanian dan perindustrian. Menurut Purcal (1975), pemilikan harta orang Melayu
dalam sektor pertanian berjumlah 14% daripada jumlah keseluruhan keluasan tanah
dan kebanyakannya terdiri daripada pekebun kecil dalam sektor bukan korporat.
Dalam sektor korporat pertanian yang mempunyai teknologi tinggi dan maju serta
meliputi 70% jumlah keluasan tanah, pemilikan orang Melayu hanya berjumlah 0.3%
berbanding dengan 71% bagi orang asing, 62% bagi orang Cina, dan 5% orang India.

Dalam sektor korporat perindustrian pula, berlaku ketidaksamaan dalam dalam
pemilikan harta antara orang Melayu dengan orang bukan Melayu. Mengikut Purcal
(1975),

“… The corporate sector of industry control over 87% of the total
essets of all industries Malay own only 0.9% the essets, while foreign
and Chinese ownership predominate with 57% and over 26%,
respectively. In the non-corporate sector of small industries, Chinese
ownership dominates as it controls over 90% of the total assets of the
sector…”

21

Justeru, perbezaan dalam pola pekerjaan dan pemilikan harta telah
menyebabkan wujudnya perbezaan dari aspek perkapita antara kaum di Tanah Melayu.
Rentetan daripada ketidakseimbangan pola pekerjaan dan pemilikan harta, orang
Melayu tidak mendapat banyak peluang untuk memperbaiki dan memajukan bidang
ekonomi seterusnya dipinggirkan di tanah air sendiri.

22

KESIMPULAN
Konklusinya, kolonialisme di Tanah Melayu telah membentuk dasar
diskriminasi terhadap peribumi, iaitu orang Melayu. Diskriminasi ini secara jelas
bertujuan untuk memelihara kepentingan ekonomi penjajah agar tidak timbul
persaingan modal antara Barat dengan penduduk tanah jajahannya. Diskriminasi pihak
kolonial turut diteruskan dengan memperkenalkan pendekatan ekonomi dualisme yang
memisahkan peranan kolonial terhadap pembangunan sosioekonomi penduduk
peribumi. Oleh itu, pihak kolonial mengambil kesempatan dengan mengaut sebanyak
mungkin semua potensi ekonomi yang terdapat di Tanah Melayu untuk dibawa pulang
ke negara mereka. Potensi ekonomi yang ada dibangunkan untuk kepentingan kapitalis
Barat dan orang Cina yang tinggal di Tanah Melayu sedangkan orang Melayu
dibiarkan terus ketinggalan dengan galakan untuk terus bergiat dalam sektor ekonomi
tradisi.

Dasar yang dibentuk dengan tujuan membantu orang Melayu pada waktu itu
dilihat sekadar alasan semata-mata yang mana ia hanyalah untuk mengukuhkan
cengkaman ekonomi penjajah, misalnya dasar pendidikan yang diperkenalkan melalui
sistem vernakular yang memisahkan aliran Inggeris, Melayu, Cina, dan India. Walau
bagaimanapun, sistem ini dilihat lebih menguntungkan mereka yang belajar dalam
aliran Inggeris dan Cina sahaja. Orang Melayu yang mendapat pendidikan Inggeris
pula adalah daripada golongan bangsawan yang tidak mengalami masalah kemunduran
sosioekonomi seperti orang Melayu yang lain. Di samping itu, sistem pendidikan
vernakular yang diperkenalkan oleh pihak kolonial dilihat hanya meluaskan jurang
pemisahan yang telah lama wujud. Bagi pihak kolonial, selain mewujudkan jurang
seperti itu, sistem berkenaan hanyalah untuk membantu peribumi dalam mengatasi
masalah buta huruf. Oleh itu, dasar yang dilaksanakan oleh pihak kolonial ini dilihat
tidak adil bagi orang Melayu dan hal ini secara tidak langsung telah membangkitkan
rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu terhadap orang bukan Melayu
seterusnya mencetuskan bibit-bibit permulaan peristiwa ketegangan yang dikenali
sebagai Peristiwa 13 Mei 1969.

23

Sesungguhnya, peristiwa malang 13 Mei 1969 yang berlaku bukanlah secara
kebetulan, namun peristiwa tersebut tercetus daripada sikap dan saling tidak
mempercayai antara kaum berserta dengan polarisasi dan jurang sosial yang diwarisi
sejak sebelum merdeka lagi. Dasar-dasar yang diperkenalkan oleh pihak penjajah juga
dilihat telah banyak membawa kepada keadaan yang sedemikian. Pendekatan ‘pecah
dan perintah’ yang dilaksanakan oleh pihak colonial juga telah memperlihatkan
kewujudan jurang antara etnik dan ini menyebabkan polarisasi kaum di Malaysia
semakin hari semakin melebar.

Kaum bukan Bumiputera secara lantang menyuarakan rasa tidak puas hati
terhadap apa yang disebut sebagai hak istimewa yang diberikan orang Melayu
Bumiputera dalam perlembagaan dan mendakwa hak kaum-kaum lain telah
diketepikan dan tidak dilayan secara adil. Lantaran itu, terdapat sarjana yang melihat
faktor sebenar yang mencetuskan peristiwa 13 Mei ialah perasaan tidak puas hati
terhadap hak istimewa orang Melayu (Jomo 1988). Berikutan peristiwa pahit 13 Mei
1969, pihak kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun
1971 dan dilancarkan seiring dengan Rancangan Malysia Kedua. Terdapat dua
matlamat utama dalam pelancaran DEB, iaitu pembasmian kemiskinan tanpa mengira
kaum dan penyusunan semula masyarakat Malaysia yang mana tujuannya adalah
untuk menghapuskan pengenalan kaum berdasarkan sektor ekonomi yang diceburi.

24