Orang Asli Dan Persekitarannya Kajian Ke

Persidangan Penyelidikan dan Inovasi (PEPIN) 2013
ORANG ASLI DAN PERSEKITARANNYA : KAJIAN KES DI KAMPUNG PETA
Mohd Nur Syufaat Jamiran1, Seow Ta Wee1 & Maryati Mohamed2
1

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP)
2
Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS)
Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM)
86400 Parit Raja, Batu Pahat, Johor
j_king4at@yahoo.com, tawee@uthm.edu.my & maryati@uthm.edu.my

ABSTRAK
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah menyediakan Program Penempatan Tersusun
(PPT) bertujuan menempatkan semula masyarakat Orang Asli yang kebanyakannya masih
tinggal di kawasan pedalaman supaya memudahkan pengurusan dalam meningkatkan
sosioekonomi mereka. Justeru, kertas kerja ini merupakan kajian persekitaran Orang Asli di
Kampung Peta yang merupakan salah sebuah kampung Orang Asli yang terbina daripada
program penempatan tersebut. Kampung Peta yang kedudukannya di kawasan pedalaman dan
berhampiran Taman Negara Endau-Rompin mempunyai seramai lebih 200 orang penduduk
yang terdiri daripada Orang Asli suku kaum Jakun. Pemerhatian dan temubual tidak berstruktur

telah dijalankan bagi mendapatkan maklumat berkenaan dengan kajian. Hasil mendapati
persekitaran Orang Asli Jakun di Kampung Peta boleh dilihat dari lima aspek iaitu perumahan,
farsiliti, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan. Kajian mendapati keseluruhan aspek tersebut
mengalami perubahan kepada keadaan yang lebih moden walaupun masih terdapat sebilangan
dari mereka yang mengamalkan cara hidup asal mereka menerusi pembinaan rumah
berasaskan sumber hutan serta kegiatan ekonomi tradisional yang dijalankan. Keadaan ini
memperihalkan bahawa Orang Asli di Kampung Peta dilihat cuba untuk sebati dengan
pemodenan mengikut acuan mereka sendiri selain faktor kesebatian mereka dengan hutan
yang sememangnya tidak dapat dipisahkan.
Kata kunci : Orang Asli, Perumahan, Prasarana, Pendidikan, Kebudayaan, Ekonomi
____________________________________________________________________________
1. PENGENALAN
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah menyediakan Program Penempatan Tersusun
(PPT) yang membabitkan penempatan Orang Asli yang berselerak, terutama di kawasan
pedalaman. Perancangan projek ini meliputi kemudahan awam, projek tanaman secara
komersial dan penyediaan sistem perhubungan yang lebih sempurna. Rancangan
pembangunan bersepadu ini adalah bertujuan untuk memudahkan pengurusan dalam
meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli supaya melepasi garis kemiskinan
selain memoden dan meningkatkan mutu hidup mereka, menerusi perkhidmatan dan
kemudahan sempurna. Sehingga kini, terdapat lima pelan yang tersenarai di bawah PPT iaitu

Rancangan Pengumpulan Semula (RPS), Penyusunan Semula Kampung (PSK), Rancangan
Kampung Baru (RKB), Projek Bencana Alam dan Ukur Keliling Tanah penempatan Orang Asli
(kampung) atau Pengambilan Tanah.
Sehingga kini, RPS merupakan salah sebuah projek yang dilihat berjaya mencapai
objektif pelaksanaannya. Sebagai contoh, RPS di mukim Bekok yang merupakan projek
penswastaan yang pertama dengan melibatkan RPS di negara ini. Melalui program tersebut,
setiap keluarga Orang Jakun dijanjikan kebun kelapa sawit, rumah kediaman dan lain-lain
infrastruktur (Ali, 2006). Sebagaimana di Kampung Peta yang merupakan salah sebuah

Persidangan Penyelidikan dan Inovasi (PEPIN) 2013
kampung di bawah PPT, penyusunan dan pembangunan yang dilaksanakan telah berjaya
mengubah lanskap persekitaran penduduknya kepada yang lebih moden. Tambahan pula,
penggazetan hutan berhampiran sebagai Taman Negara Johor Endau-Rompin pada tahun
1993 juga banyak memberi kesan kepada pembangunan terhadap persekitaran penduduk di
Kampung Peta. Justeru, kertas kerja ini berobjektifkan untuk menjelaskan tentang keadaan
persekitaran Kampung Peta impak daripada pembangunan yang telah dilaksanakan.
2. KAWASAN KAJIAN
Kampung Peta merupakan salah sebuah kampung Orang Asli yang dibina di bawah PPT yang
terletak di daerah Mersing, Johor. Kedudukannya yang berhampiran kawasan Taman Negara
Johor Endau-Rompin dan di pinggir Sungai Endau memastikan perjalanan selama hampir dua

jam untuk sampai dari pekan Kahang.

Rajah 2.1 : Kedudukan Kampung Peta

Penduduk Orang Asli Jakun di Kampung Peta dianggarkan lebih 200 orang. Namun
begitu jumlah tersebut tidak termasuk mereka yang berhijrah keluar sama ada disebabkan oleh
belajar, berkahwin mahupun bekerja. Kampung Peta mempunyai sejarahnya yang tersendiri.
Pada Perang Dunia ke-2, pihak British dan masyarakat Orang Asli telah meredah kawasan
hutan yang sekarang ini dikenali sebagai Hutan Endau-Rompin dan telah digazetkan sebagai
Taman Negara pada tahun 1993. Sewaktu meredah, mereka menjumpai sekeping peta yang
dikatakan menunjukkan lokasi terletaknya harta karun tinggalan Jepun. Bersempena peristiwa
tersebut, kampung Orang Asli yang dibina pada waktu itu diberi nama Kampung Peta (JAKOA
Mersing, 2011).
3. ISU DAN PERMASALAHAN
Pelaksanaan Program Penempatan Tersusun (PPT) sebenarnya memberi tumpuan terhadap
pengelompokan pengurusan supaya lebih mudah dan tersusun. Walaupun program PPT dilihat
mampu membangun dan meningkatkan sosioekonomi masyarakat Orang Asli, namun masih
wujud pelbagai masalah. Kajian Ma’Rof Redzuan dan Zahid Emby yang berkaitan
pembangunan Orang Asli dan Ekologi Hutan menunjukkan bahawa 65 peratus responden yang
terdiri daripada masyarakat Orang Asli yang tinggal di RPS Banun dan Kemar di Perak

menghadapi masalah pada peringkat awal mereka di RPS iaitu pada tahun 1979. Masalah
tersebut dikategorikan kepada meninggalkan kampung dan menyesuaikan diri di tempat baru,
masalah infrastruktur, masalah ekonomi dan masalah kesempitan hidup. Walaupun setelah dua
dekad iaitu 1995, lebih 90 peratus daripada mereka masih menghadapi masalah yang boleh

Persidangan Penyelidikan dan Inovasi (PEPIN) 2013
dibahagikan kepada dua kategori iaitu masalah kemudahan asas dan masalah ekonomi. Hal ini
menunjukkan bahawa RPS di bawah PPT masih belum mampu memberi sepenuhnya impak
positif kepada masyarakat Orang Asli.
Di Kampung Peta, PPT dilihat mampu memberi impak yang besar kepada penduduknya
dengan pemberian rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Skim Bencana
Alam, fasiliti dan kelengkapan, institusi pendidikan seperti sekolah dan tadika, serta kemudahan
yang lain sebenarnya mampu mengubah persekitaran masyarakat Orang Asli Jakun di
kampung tersebut. Namun begitu, masalah berkenaan impak negatif dilihat lebih besar
berbanding impak positif yang diterima oleh mereka (M. N. Syufaat, 2013). Walaupun penduduk
Kampung Peta menerima segala bentuk kemudahan dari aspek sosial dan ekonomi, namun
pembangunan tersebut dilihat mengikut acuan mereka sendiri tanpa mereka sedari. Faktor
kesebatian mereka dengan hutan yang sememangnya tidak dapat dipisahkan. Hal ini jelas
kelihatan dari aspek persekitaran mereka. Akibatnya, beberapa masalah lain wujud seperti
masalah kebersihan, kesihatan dan kegiatan ekonomi mereka.

4. METODOLOGI
Maklumat kajian dan informasi yang diperolehi dari JAKOA Mersing banyak membantu dalam
kajian ini bagi mendapatkan gambaran awal persekitaran Kampung Peta sebelum turun ke
lapangan. Data tersebut adalah berkenaan dengan latar belakang Kampung Peta termasuklah
populasi dan peta kawasan kajian serta sosioekonomi mereka. Seterusnya, pengkaji turun ke
lapangan iaitu di Kampung Peta. Pemerhatian dilakukan bagi mendapatkan gambaran fizikal
tentang keadaan kampung tersebut dari segi perumahan, farsiliti, ekonomi, kebudayaan dan
pendidikan. Bagi mengetahui lebih lanjut, temubual secara tidak langsung juga dilakukan bagi
mendapatkan lebih data berkenaan keadaan mereka yang sebenar. Temubual dilakukan
kepada informan yang dipilih secara rawak supaya ketelusan data tidak diragui. Semasa
temubual berlangsung, penyelidik menunjukkan minat kepada setiap apa yang diperkatakan
oleh informan dan sentiasa dalam keadaan sifat yang berkecuali disepanjang sesi temubual.
Data yang diperolehi daripada catatan ringkas yang dibuat berdasarkan pemerhatian dan
temubual tidak berstruktur tersebut akhirnya dikumpul dan disusun bagi memudahkan
penyelidik untuk menganalisis data.
5. HASIL DAN PERBINCANGAN
Secara keseluruhan, persekitaran Kampung Peta didapati mempunyai potensi yang tinggi untuk
dibangunkan sebagai salah sebuah kawasan ekopelancongan yang kaya dengan nilai tradisi
masyarakat Jakun. Dengan sumber kekayaan alam semula jadi dan nilai tradisi mereka,
mereka seharusnya mampu mengeksploitasi sumber tersebut dalam meningkatkan taraf hidup

mereka. Bencana banjir besar yang berlaku pada tahun 2006 juga banyak mengubah lanskap
persekitaran mereka. Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) merupakan NGO yang
telah menjadikan Kampung Peta sebagai kampung angkat kontrak selama setahun. Pelbagai
bantuan dan kemudahan yang dibina. Namun begitu, setelah tamat kontak tersebut, pelbagai
masalah pula berlaku termasuklah pengurusan persekitaran yang masih lemah.

Persidangan Penyelidikan dan Inovasi (PEPIN) 2013
5.1 Perumahan
Pembangunan yang dijalankan di Kampung Peta lebih kepada pembangunan bersifat ‘In-Situ’.
Penduduk Orang Asli Jakun di situ ditempatkan semula secara teratur di satu tapak yang sesuai
di dalam Kampung Peta tersebut. Penempatan ini merangkumi penyediaan petempatan baru
moden yang turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam dan utiliti asas untuk
kemudahan penduduknya. Kawasan petempatan baru yang berkonsepkan desa yang lebih
tersusun diwujudkan bagi menggantikan perkampungan asal mereka yang berselerak di
sepanjang Sungai Endau.

Gambar 5.1 : Peta Lakaran Penempatan Penduduk Kampung Peta

Kampung Peta terdiri daripada 60 buah rumah yang terdapat sebilangan besar
daripadanya merupakan rumah kos rendah di bawah skim Bencana Alam dan Projek

Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dilengkapi dengan kemudahan rumah seperti ruang
tamu, bilik tidur, dapur dan tandas. Rumah bagi skim bantuan Bencana Alam tersebut diberikan
oleh JAKOA semasa berlakunya banjir besar pada tahun 2006. Akibat bencana tersebut, NGO
seperti PBSMM menyalurkan bantuan berupa bekalan makanan, air bersih, dan juga tandas
untuk setiap rumah di kampung tersebut.

Gambar 5.2 : Rumah Skim Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)

Kesukaran masyarakat Orang Asli untuk menerima perubahan secara mendadak telah
menyebabkan ketidakserasian mereka dengan pembangunan yang dijalankan (M. N. Syufaat,
2013). Hal ini merujuk kepada rumah yang mereka bina daripada sumber hutan. Walaupun
mereka mempunyai rumah PPRT, namun ada antara mereka yang membina rumah lain sama
ada bersebelahan rumah PPRT mereka, mahupun di kawasan hutan atau di kebun mereka.
Keadaan ini berlaku akibat daripada penerimaan mereka terhadap budaya moden belum
sepenuhnya selain ingin mengekalkan budaya mereka. Menurut salah seorang penduduk
kampung tersebut, mereka membina rumah lain kerana mengikut kehendak mereka sendiri.

Persidangan Penyelidikan dan Inovasi (PEPIN) 2013
Menurut mereka lagi rumah yang mereka bina sendiri lebih selesa dan menepati kehendak
mereka.

5.2 Fasiliti
Sekolah rendah dua tingkat, tadika, balai raya, balai polis, surau dan perpustakaan turut
disediakan. Penyediaan segala fasiliti ini adalah untuk memberi kemudahan kepada
masyarakat Orang Asli di kampung tersebut terutamanya dari aspek ekonomi, pendidikan,
kesihatan dan keselamatan. PBSMM turut membina fasiliti seperti dewan kebudayaan, pusat
rawatan dan juga perpustakaan bagi membangunkan kampung tersebut setelah banjir besar
yang berlaku pada tahun 2006.

Gambar 5.3 : Balai Polis Kampung Peta

Namun begitu, kemudahan yang disediakan tidak diselenggara dan tidak diurus dengan
baik. Rumput dan semak-samun kelihatan mula menjalar dan memenuhi bangunan-bangunan
tersebut kecuali bangunan sekolah dan tadika yang masih digunakan sehingga kini. Walau
bagaimanapun, bagi pondok polis, pengkaji difahamkan pihak polis Endau akan datang sekali
pada setiap bulan bagi membersihkannya.
5.3 Ekonomi
Aktiviti ekonomi Orang Asli dapat dilihat telah banyak berubah dari keadaan asal yang lebih
tradisional (M. N. Syufaat, 2013). Mereka telah mulai berubah dari kegiatan ekonomi tradisonal
iaitu dari hanya mencari sumber hutan seperti akar kayu, katak, rotan dan sebagainya kepada
kegiatan yang lebih moden seperti pemandu bot, peniaga, penoreh getah, pemandu pelancong,

pengusaha kraf tangan serta bekerja di Taman Negara Johor Endau-Rompin. Malah, terdapat
dalam kalangan mereka juga telah terserap dalam sektor perindustrian. Walau bagaimanapun,
mereka yang bekerja di luar kampung didapati tidak menetap di kampung tersebut. Mereka
akan pulang ke kampung pada setiap hujung minggu. Hal ini disebabkan oleh jarak yang jauh
antara Kampung Peta dari jalan utama Kluang-Mersing iaitu sejauh lebih 65 kilometer dan
mengambil masa hampir dua jam untuk sampai.
Terdapat segelintir dari mereka yang masih mengekalkan kegiatan ekonomi tradisional.
Mereka menangkap katak, memancing dan menjerat haiwan untuk dijual kepada orang luar.
Sejak pewartaan hutan Endau-Rompin sebagai kawasan Taman Negara, hasil hutan yang
sekian lama menjadi sumber makanan dan pendapatan mereka didapati semakin berkurangan.
Hal ini kerana, kawasan rayau atau kawasan hutan yang menjadi sumber kepada Orang Asli

Persidangan Penyelidikan dan Inovasi (PEPIN) 2013
semakin mengecil akibat daripada program pemuliharaan yang dilaksanakan oleh Taman
Negara.
5.4 Kebudayaan
Mereka juga tidak ketinggalan daripada mengkomersialkan nilai estetika kebudayaan mereka
dari sudut pembangunan ekonomi. Hal ini dapat dibuktikan apabila terdapatnya beberapa
penduduk jati kampung tersebut menjadi seorang pengusaha kraftangan. Antara pengusaha
kraf yang masih bergiat aktif di perkampungan tersebut ialah Kamelok B. Tekeso yang

mengusahakan pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu pokok terap. Kulit kayu terap
menjadi bahan utama pembuatan. Sepasang pakaian dijual pada harga RM300 di mana baju
berharga RM150 dan seluar juga pada harga RM150.
Awang Kudi sangat popular dengan permainan Kercang yang merupakan salah satu
permainan tradisional Jakun yang bersifat menguji minda. Ketika ini, boleh dikatakan hampir
seluruh penduduk kampung tahu memainkan Kercang (Berita Harian, 4 April 2010). Awang
Kudi bermula dengan Kercang 3 Steps yang berasaskan kepercayaan tradisional yang
diilhamkan ketika mereka sesat di hutan. Kini, Awang sudah menghasilkan tujuh Kercang
pelbagai jenis termasuk Kercang Kahwin serta terdapat juga yang menggunakan nama
komersial Kercang Tipah Tertipu.

Gambar 5.4 : Kercang 3 Steps

Terdapat juga warisan lain yang turut dikomersialkan. Jerat merupakan satu kaedah
tradisional untuk menangkap haiwan sama ada untuk dijadikan makanan, ataupun sebagai
mengawal tanaman dan perkampungan daripada dimusnahkan. Terdapat sembilan jenis jerat
atau perangkap binatang warisan keturunan kampung tersebut iaitu Jerat Gau, Jerat Penjara,
Jerat Leher, Jerat Kaki, Jerat Pelantik, Jerat Cenangong Jerat Pentu, Jerat Pelanduk dan Jerat
Kumbang Berayun yang sehingga kini kekal dipulihara. Setiap perangkap dipasang mengikut
musim atau keperluan, misalnya Jerat Gau dipasang khas untuk menangkap monyet terutama

ketika buah-buahan sedang masak. Ia diletakkan di atas pokok yang sering menjadi laluan
kumpulan monyet.
5.5 Pendidikan
Penglibatan pendidikan secara formal dalam kalangan penduduk Kampung Peta dilihat
memberangsangkan. Kesedaran yang wujud dalam kalangan ibu bapa akan kepentingan
pendidikan sudah lama tertanam dalam jiwa mereka. Mereka akan memastikan anak-anak
mereka mendapat pendidikan sekurang-kurangnya mahir menguasai kemahiran 3M (Membaca,
Menulis, dan Mengira). Sebelum pelajar belajar di Sekolah Kebangsaan Peta, mereka

Persidangan Penyelidikan dan Inovasi (PEPIN) 2013
bersekolah di tadika KEMAS-JAKOA. Setelah tamat sekolah rendah, mereka mempunyai
pilihan sama ada bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Nitar atau Sekolah Menengah
Kebangsaan Kahang. Hasil kajian mendapati mereka lebih gemar memilih Sekolah Menengah
Kebangsaan Nitar kerana sekolah tersebut dikatakan lebih menonjol dan cemerlang.
Secara keseluruhannya, anak-anak Orang Asli penduduk Kampung Peta bersekolah
walaupun hanya bersekolah rendah. Namun begitu, hasil kajian mendapati sehingga kini masih
terdapat segelintir daripada murid masih tidak mampu menguasai kemahiran 3M (Membaca,
Menulis & Mengira) walaupun sudah berada dalam darjah lima. Mereka juga didapati jarang
melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan oleh sekolah-sekolah di daerah khususnya
Mersing. Hal ini berkemungkinan disebabkan kedudukan Kampung Peta yang jauh di kawasan
pedalaman dan menyukarkan perhubungan antara mereka dengan masyarakat luar.
6. CADANGAN PENAMBAHBAIKAN
Pelbagai usaha mempromosi Taman Negara Johor Endau-Rompin termasuklah Kampung Peta
yang telah dilakukan masih banyak yang perlu diperbaiki. Hal ini termasuklah meningkatkan
kemudahan prasarana, terutamanya kemudahan jalan raya, penginapan dan telekomunikasi.
Sangat menyedihkan dalam keadaan Endau-Rompin mempunyai pelbagai sumber asli dan
keunikan alam sekitar terbaik serta keunikan budaya yang dimiliki Orang Asli Jakun, hanya
dapat menarik beberapa orang pelancong sahaja. Keadaan ini berkemungkinan besar
disebabkan oleh kesukaran untuk mengharungi perjalanan dari jalan raya Kahang ke Kampung
Peta yang memakan masa hampir dua jam perjalanan iaitu sepanjang lebih 65 kilometer. Walau
bagaimanapun, pembinaan jalan berturap yang diangarkan sejauh lebih 30 kilometer dari jalan
masuk ke hutan sehingga Kampung Peta telah pun dilaksanakan dan dijangka siap pada Julai
2013. Namun begitu, separuh perjalanan lagi iaitu dari jalan utama Kluang-Mersing sehingga
jalan masuk ke hutan masih belum diturap.
Selain itu, aktiviti ekopelancongan di Kampung Peta perlu disokong oleh pihak swasta.
Kebiasaannya, sektor swasta mempunyai kewangan yang kukuh serta memiliki kepelbagaian
sumber dan inisiatif bagi memberi kemudahan dan perkhidmatan yang terbaik. Hal ini begitu
penting dalam memastikan kepuasan pelancong. Usaha yang perlu dilakukan pihak tersebut
bagi meningkatkan lagi jumlah pengunjung dari dalam dan luar negara adalah termasuk
mengadakan promosi, menyediakan kemudahan hotel serta melaksanakan aktiviti dan
program pelestarian. Pihak swasta juga perlu memberi tajaan khususnya sebagai inisiatif bagi
mencapai kelestarian seperti penyediaan tapak pelupusan kompos untuk pengunjung dan
penduduk tempatan, menyediakan papan petunjuk laluan, dan sebagainya.
Pengurusan industri ekopelancongan di Jepun dan Switzerland wajar dijadikan contoh.
Di Jepun, hampir setiap daerah mempunyai keunikan tersendiri yang dipromosi dan dimajukan
menerusi kerjasama yang melibatkan agensi awam dan swasta (Berita Harian, 11 Julai 2008).
Agensi awam menyediakan kemudahan prasarana dan dana khas untuk program pelestarian,
sementara agensi swasta menyediakan promosi, pengangkutan, kemudahan hotel dan program
lawatan. Di Switzerland pula pelbagai prasarana dibangunkan dengan mengambil kira impak
yang berlaku terhadap alam sekitar. Sebagai contoh, kawasan peranginan di pergunungan Alps
dihubungkan menerusi kemudahan kereta kabel. Hal ini perlu untuk membolehkan pelancong
sampai ke puncak gunung untuk menikmati keindahan alam, atau memulakan peluncuran
bermain ski. Oleh itu, langkah penyelesaian perlu dilakukan oleh pihak yang berkaitan agar,
kebudayaan Orang Asli yang unik ini dapat dihargai dan dilestarikan. Dalam konteks Kampung
Peta, pihak bertanggungjawab juga perlu lebih proaktif melaksanakan pelbagai pelan untuk

Persidangan Penyelidikan dan Inovasi (PEPIN) 2013
membolehkan keunikannya dikenali dan kesegarannya dinikmati. Harapan agar Kampung Peta
termuat dalam peta pelancongan budaya di peringkat antarabangsa selain sebagai pusat utama
ekspedisi flora dan fauna hutan tropika setanding negara Swistzerland, Hawaii, Jepun dan
sebagainya.
7. KESIMPULAN
Persekitaran Kampung Peta menggambarkan keadaan sosioekonomi mereka. Dengan
hubungan erat antara Orang Asli dengan hutan kini bukanlah satu budaya tradisi, tetapi suatu
keperluan dalam menjadikannya sumber makanan dan pendapatan bagi mereka. Konflik antara
Orang Asli dan pembangunan akan berlaku apabila sumber ekonomi mereka terjejas dan
menggugat kesejahteraan mereka. Untuk menjadikan sebuah kawasan penempatan baru yang
lebih dinamik, efisien dan komprehensif maka perancangan pembangunan yang dijalankan
harus menekankan kepada aspek alam sekitar dan perancangan pembangunan sosial
masyarakat atau kelompok sasaran berkenaan. Secara keseluruhannya, Program Penempatan
Tersusun (PPT) masih belum mampu sepenuhnya dalam meningkatkan taraf hidup Orang Asli
Jakun di Kampung Peta. Hal ini kerana pelaksanaan PPT tidak masih tidak memenuhi
keperluan ekonomi, sosial dan budaya mereka. Kedudukan Kampung Peta yang dekat dengan
hutan dan jauh di pedalaman memastikan penduduknya terpaksa mengeksploitasi persekitaran
mereka demi kelangsungan hidup.
RUJUKAN
Ali@Zainalabidin Syed Mohamed. 2006. Impak Perwartaan Taman Negara Endau Rompin Dan
Penswastaan Rancangan Pengumpulan Semula Terhadap Masyarakat Jakun Di Bekok, Johor.
Projek Penyelidikan. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.
Berita Harian. 11 Julai 2008.
Berita Harian. 4 April 2010.
Hassan Mat Nor (2000). Pembangunan dan Peminggiran : Kes Orang Asli. Dlm. Negara Pasaran dan
Pemodenan Malaysia, disunting oleh Abdul Rahman Embong. Bangi : Penerbit Univerisiti
Kebangsaan Malaysia.
JAKOA (2013). Program Pembangunan Penempatan Tersusun. Atas talian : http://www.jakoa.
gov.my/web/guest/program-pembangunan-penempatan-tersusun [9 Mac 2013].
JAKOA Mersing (2011). Profil Kampung Orang Asli Peta.
Mohd Azis Ngah (2010). 9 jerat warisan Jakun. Atas talian : http://w1.bharian.com.my/bharian/articles/
9jeratwarisanJakun/Article/index [8 Mac 2013]
Mohd Nur Syufaat Jamiran & Seow Ta Wee (2013). Kelestarian Transformasi Pembangunan
Sosioekonomi Orang Asli. Persidangan Kebangsaan Geografi dan Alam Sekitar Kali Ke-4, 5-6
Mac 2013, Dewan Persidangan E-Learning UPSI, Tanjong Malim.
Mustaffa Omar (2008). Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Masyarakat Orang Asli : Pencapaian
dan Cabaran. Dlm. Orang Asli Isu, Transformasi dan Cabaran, disunting oleh Ma’Rof Redzuan &
Sajit S. Gill. Serdang : Penerbit Universiti Putra Malaysia.