kepentingan teknologi maklumat Dan Komunikasi Ict

Kepentingan Penggunaan Teknologi Maklumat ( TMK ) Dalam Pengajaran Dan
Pembelajaran Bahasa Melayu Pendahuluan Dasar Pembangunan Negara dalam
Rancangan Malaysia Kelapan (2001 – 2005) menegaskan kepentingan membangunkan
dan memperluaskan penggunaan teknologi maklumat dalam pembangunan pendidikan.
Langkah ini bertujuan merancakkan pertumbuhan, melatih profesional, meningkatkan
produktiviti, memodenkan pengurusan teknologi maklumat dan pengetahuan,
mengurangi jurang digital, dan mempastikan semua rakyat mendapat manfaat daripada
TMK . Sektor pendidikan menjadi agen perubahan bagi mempertingkatkan kemahiran
penggunaan TMK dalam kalangan generasi muda. Keperluan terhadap penggunaan
TMK dalam pendidikan amat dirasai kerana TMK telah menjadikan dunia pendidikan
sebagai hak milik pelbagai lapisan masyarakat di mana pelbagai maklumat dan sumber
pendidikan dapat dicapai walau di mana jua berada. Pengaruh dan kemajuan era TMK
mencetuskan inovasi dalam pengurusan pendidikan, penilaian, serta pengajaran dan
pembelajaran.Kewujudan masyarakat berpendidikan yang terbentuk melalui
pembudayaan komputer, internet, dan multimedia menzahirkan kewujudan masyarakat
yang cinta akan ilmu pengetahuan. Bangsa yang maju adalah bangsa yang
mementingkan perkembangan intelektual yang dirintis oleh kemajuan dunia pendidikan.
Dalam konteks ini teknologi maklumat berperanan untuk meluaskan penyebaran
pemikiran manusia sebagai agen revolusi sosial. Penguasaan TMK dapat membantu
guru menghadapi ranjau dan cabaran dalam dunia pendidikan dan bertindak tepat
dengan kehendak semasa .Fungsi guru sebagai egen perubahan sosial dapat memenuhi

permintaan masyarakat setempat melalui ilmu dan kemahiran yang dimiliki seterusnya
menjadi rujukan dan idola dalam masyarakat. Kemahiran guru dalam bidang TMK dapat
membantu pelajar-pelajar untuk menguasai kemahiran dan ilmu yang bersesuaian
dengan minat, bakat serta potensi pelajar sekaligus dapat menanam rasa cinta akan ilmu
pengetahuan. Hal ini secara tidak langsung dapat melahirkan modal insan cemerlang
berminda kelas pertama sebagaimana yang digarapkan dalam Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP). Tanggungjawab ini sememangnya terpikul atas bahu
para guru yang komited dengan tugas serta bersedia dan sanggup menerima perubahan
mengikut peredaran masa. Semua ini menuntut pengorbanan yang besar dari kalangan
guru-guru untuk terus menambah ilmu dan kemahiran, bertepatan dan bersesuaian
dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu
sekolah rendah merupakan pembelajaran yang memerlukan pelbagai kaedah dan Alat
Bantu Mengajar (ABM) agar pembelajaran lebih berkesan serta menyeronokkan. Kita
dapat bayangkan bagaimana mungkin seorang guru Bahasa Melayu menerangkan tajuk
pelajaran hanya dengan ‘chalk and talk’. Untuk itu penggunaan Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (TMK) khasnya penggunaan komputer dan laman Web dalam pengajaran
dan pembelajaran sememangnya amat penting dalam proses pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah. Namun beberapa kajian yang
dijalankan mendapati guru-guru Bahasa Melayu masih berada pada tahap yang rendah
menjadikan komputer sebagai budaya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini

disebabkan oleh kurangnya, kemahiran, saranan, serta nilai sikap dari guru tersebut.
Sebagai cadangan terdapat beberapa pihak yang menjadi tunjang dari kesuksesan
pelaksanaan program ini: pertama pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sebagai
sebuah sistem, pihak pentadbir, guru besar dan PIBG. serta bagaimana membangun
nilai sikap guru Bahasa Melayu itu sendiri agar selalu selari dengan kemajuan inovasi
pendidikan Definisi Pelaksanaan TMK dalam Pendidikan Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat mentakrifkan pelaksanaan sebagai perihal, perbuatan atau proses
melaksanakan sesuatu rancangan, manakala Teknologi membawa pengertian alat yang
digunakan oleh manusia dan alat yang ada pada manusia iaitu ilmu pengetahuan,
kemahiran, dan kepakaran dalam ilmu tertentu untuk menyelesaikan masalah hidup.
Maklumat merujuk kepada makluman, pemberitahuan, keterangan, butir-butir, dan
pengetahuan. Komunikasi bererti perhubungan secara langsung atau dengan perantara
surat, radio, telefon dan lain-lain komunikasi atau penghubung dengan atau yang sampai
kepada orang ramai amnya. Pendidikan membawa erti perihal mendidik, didikan, latihan,
atau ajaran. Jadi maksud pelaksanaan TMK dalam pendidikan membawa maksud
menggunakan TMK secara saintifik, terancang, dan bersesuaian demi meningkatkan
kecekapan proses dan keberkesanan pembelajaran dan pengajaran. Selain daripada itu
TMK juga boleh ditakrifkan sebagai pelbagai bentuk peralatan dan sistem yang
digunakan untuk memproses, mengurus, memanipulasi, memindah, menyimpan dan
menyebarkan maklumat melalui media elektronik. Pada hari ini, TMK digunakan dalam

hampir semua aspek kehidupan dan pengaruhnya dijangkakan akan membawa impak
yang lebih besar terhadap dunia akan datang (Robertson, 1998) Manakala Holmes
(1999), pula memberikan pandangan bahawa integrasi teknologi dalam pengajaran dan
pembelajaran memerlukan guru yang bersedia dan fleksibel dalam menggunakan
teknologi dalam kaedah pengajaran harian dengan mata pelajaran yang diajar.
Mempelajari bagaimana menggunakan komputer belum mencukupi untuk membolehkan
guru menggabungkan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Elemen
yang penting dalam mengintegrasi teknologi ialah pemahaman guru terhadap isi
pengajaran dan implikasi berhubung dengan teknologi. British advisory council for
applied Research and Development mentakrifkan teknologi maklumat sebagai suatu
disiplin saintifik, teknologi dan kejuruteraan serta teknik pengurusan yang digunakan
dalam pengendalian dan pemprosesan maklumat serta penggunaannya; komputer dan
saling tindakan antara mesin (komputer dan manusia; dan hal yang berkaitan dengan
sosial, ekonomi dan kebudayaan. (British advisory council for applied Research dan
Development: Report on Information Technology; H.M. Stationery Office. 1980)
Pendapat Pisapa (1994), integrasi TMK dalam P&P bermaksud penggunaan teknologi
pembelajaran untuk memperkenal, mengukuh dan menambah kemahiran. Penggunaan
teknologi mesti digabungjalinkan bersama dengan kaedah pengajaran. Guru perlu
mengintegrasi TMK untuk memberi nilai tambah kepada aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Ringkasnya peranan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran akan

membawa kepada kaedah-kaedah yang baru dan inovatif dalam pembelajaran dan
penilaian. Berdasarkan kepada penjelasan yang diterangkan para pakar di atas, maka
jelas TMK mempunyai makna dan ruang lingkup yang luas, hal ini disebabkan oleh
penggunaan TMK tersebut tidak lagi diaplikasan setakat pada bidang pendidikan sahaja,
akan tetapi sudah masuk pada seluruh ranah aktifitas manusia. Oleh itu perlu ditegaskan
bahawa TMK yang dimaksud dalam huraian ini merujuk kepada penggunaan Alat Bantu
Mengajar (ABM) khasnya di bidang computer dan laman Web atau disingkat Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam pengajaran Bahasa Melayu. . STANDARD
KURIKULUM TMK UNTUK SEKOLAH RENDAH MATLAMAT Matlamat Standard
Kurikulum TMK adalah untuk menyediakan penanda aras pencapaian murid dari Tahun
1 hingga Tahun 6. Ini adalah bagi memastikan murid menguasai pengetahuan dan
kemahiran asas TMK yang perlu dipelajari, menggalakkan kreativiti dan menyediakan
pembelajaran yang menarik dari peringkat awal umur kanak-kanak dan akan kekal
sepanjang hayat. OBJEKTIF Pada akhir persekolahan di peringkat rendah, murid akan
dapat i. Menggunakan TMK secara bertanggungjawab dan beretika. ii. Memilih dan
mengaplikasikan sumber TMK yang bersesuaian. iii. Menggunakan TMK untuk mencari,
mengumpul,memproses dan menggunakan maklumat. iv. Menggunakan TMK untuk
mendapatkan dan berkongsi maklumat. v. Menggunakan TMK untuk menyelesaikan
masalah dan membuat keputusan. vi. Menggunakan TMK untuk meningkatkan
produktiviti dan pembelajaran. vii. Menggunakan TMK untuk melahirkan idea dan

maklumat secara kreatif dan inovatif. FOKUS TMK Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(TMK) adalah satu bidang pembelajaran yang melibatkan pelbagai bidang khususnya
sistem komputer dan komunikasi. Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) adalah
teknologi yang digunakan khasnya dalam penggunaan komputer, peralatan komunikasi
dan perisian aplikasi untuk memperoleh, memproses, menyimpan, menghantar,
mendapatkan semula, menukar dan melindungi maklumat di mana saja dan bila-bila
masa. Oleh itu, Standard ini memfokuskan kepada aplikasi perisian dan pengetahuan
perkakasan dalam menghadapi pelbagai bentuk maklumat pada tahap kebolehan murid.
Pada Tahap 1 (Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3), fokus adalah pada integrasi TMK
merentas kurikulum. Pada Tahap 2 (Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6), fokus adalah pada
pembelajaran mengenai TMK. PERANCANGAN KANDUNGAN Standard Kurikulum TMK
untuk Sekolah Rendah menekankan pengintegrasian pengetahuan, kemahiran dan nilai.
Pengetahuan Pengetahuan meliputi perkara di bawah: a. Konsep, fakta dan terminologi
TMK. b. Proses yang berturutan dalam membangunkan produk berasaskan TMK.
Kemahiran Kemahiran perisian dan perkakasan dalam TMK akan melahirkan perkara di
bawah: a. Kemahiran berkomunikasi yang melibatkan perkongsian dan penyebaran
maklumat; dan keselamatan penyebaran maklumat. b. Kemahiran menyelesaikan
masalah merangkumi pemikiran kritikal, kreatif dan reflektif. c. Penyiasatan, penerokaan
dan pencetusan idea. Nilai Murid akan memperoleh kebolehan untuk mengendalikan
sistem maklumat dengan yakin, tepat dan tekun. Kod Etika komunikasi dalam TMK akan

memupuk sikap dan rasabertanggungjawab, hormat, kerjasama dan akauntabiliti.
KANDUNGAN STANDARD KURIKULUM TMK Standard Kurikulum TMK terbahagi
kepada Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran. Terdapat tujuh Standard
Kandungan. Standard Kandungan ini memberikan petunjuk tahap kebolehan dalam
lingkungan Standard Pembelajaran TMK. Standard pembelajaran dalam lingkungan
Standard Kandungan akan diperkenalkan dan dikuasai oleh murid. Guru boleh
menggunakan standard ini dalam merancang aktiviti berasaskan TMK. 1.0 Menggunakan
TMK secara bertanggungjawab dan beretika Melalui Standard ini pelajar akan dapat: 1.1.

Mengamalkan pengetahuan berkaitan etika dan tanggungjawab penggunaan TMK dan
maklumat. 1.2. Mempraktikkan etika penggunaan TMK dan maklumat. 1.3.
Mempraktikkan kebolehan untuk menyatakan implikasi pelbagai pilihan TMK dan
maklumat yang digunakan. 1.4. Menerima tanggungjawab atas tindakan yang dilakukan
berkaitan etika dan tanggungjawab penggunaan TMK. 2.0 Memilih dan mengaplikasikan
sumber TMK yang bersesuaian Melalui proses standard ini pelajar akan dapat: 2.1
Menunjukkan kebolehan untuk menggunakan kemudahan TMK. 2.2 Menggunakan
pelbagai fungsi TMK. 2.3 Menganalisis kesesuaian pelbagai kemudahan dan sumber
bagi memenuhi keperluan spesifik (tugasan atau cabaran). 2.4 Memilih sumber TMK
yang sesuai. 2.5 Mengeksploitasi sumber TMK yang sesuai bagi memenuhi keperluan
semasa. 3.0 Menggunakan TMK untuk mencari, mengumpul, memproses dan

menggunakan maklumat Melalui standard ini pelajar akan dapat: 3.1 Mengenal pasti bila
dan mengapa informasi diperlukan. 3.2 Menentukan maklumat yang diperlukan. 3.3
Menilai dan memilih maklumat yang sesuai. 3.4 Memahami, menganalisis, menggunakan
dan seterusnya menyalurkan maklumat yang dipilih. 4.0 Menggunakan TMK untuk
mendapatkan dan berkongsi maklumat Melalui standard ini pelajar akan dapat: 4.1
Menggunakan TMK untuk mengenal pasti dan memperoleh maklumat dan pengetahuan
pakar yang berkaitan dengan bidang yang diminati. 4.2 Menilai sumber maklumat atas
talian yang berkaitan dengan sumber pengetahuan untuk kesahihan dan
kebolehpercayaan. 4.3 Menggunakan kemahiran TMK untuk berkolaborasi dengan rakan
sebaya dan pakar bagi membina pengetahuan. 4.4 Menggunakan kemahiran TMK untuk
menerbitkan dan membentangkan pengetahuan. 5.0 Menggunakan TMK untuk
penyelesaian masalah dan membuat keputusan Melalui standard ini pelajar dapat: 5.1
Mengaplikasikan lingkaran penyelesaian masalah termasuk mengenal pasti dan
menganalisis masalah tersebut; membangunkan strategi penyelesaian; memilih strategi
yang sesuai dan mengimplementasikan; dan menilai penyelesaian. 5.2 Mengaplikasikan
strategi penyelesaian masalah untuk menyampaikan maklumat atau membentangkan
keputusan dengan menggunakan TMK. 5.3 Menghubungkaitkan proses penyelesaian
masalah dan membuat keputusan; dan nyatakan hasil keputusan atau cara
penyelesaian. 5.4 Mengumpul segala proses dan hasilan yang berjaya untuk kegunaan
masa depan. 6.0 Menggunakan TMK untuk meningkatkan produktiviti dan pembelajaran

Melalui standard ini pelajar dapat: 6.1 Menggunakan alat TMK untuk menghasilkan kerja
yang efektif dan kreatif; dan untuk menyelesaikan projek dan tugasan. 6.2 Menggunakan
TMK untuk mewujudkan kolaborasi dengan rakan sebaya, pakar dan orang lain untuk
meningkatkan produktiviti. 6.3 Menggunakan TMK untuk meningkatkan peluang
pembelajaran ke arah pembelajaran sepanjang hayat. 7.0 Menggunakan TMK untuk
melahirkan idea dan maklumat secara kreatif dan inovatif Melalui standard ini pelajar
dapat: 7.1 Menggunakan TMK untuk mengemukakan idea yang sedia ada melalui cara
yang unik dan baru. 7.2 Merancang strategi untuk mengemukakan pengetahuan dan
idea baru. 7.3 Membangunkan pelbagai produk media yang asli untuk mengemukakan
idea dan maklumat. 7.4 Menggunakan kemunculan teknologi baru (emerging technology)
untuk mengemukakan idea dan maklumat. 1 Teknologi Maklumat Dalam Dunia
Pendidikan. Sehubungan dengan usaha Merapatkan Jurang Digital dan Memperkasakan
Sekolah Kebangsaan yang terkandung dalam PIPP, Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) telah melaksanakan pelbagai projek, antaranya: Projek Rintis Sekolah Bestari ;
Projek Schoolnet dan MySchoolNet ; Makmal Pengkomputeran; TV Pendidikan (TVP); P
& P Matematik Dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ; Mata Pelajaran TMK
diperkenalkan ; Latihan TMK untuk Guru; Projek Pengkomputeran Pengurusan.
Kementerian Pelajaran (KPM) menyediakan infrastruktur, perkakasan dan perisian yang
lengkap dan mencukupi serta latihan dan bimbingan kepada guru-guru untuk
membolehkan TMK digunakan dalam proses pengajaran pembelajaran. . KPM telah

melengkapkan lagi kemudahan saluran komunikasi di sekolah dengan akses jalur lebar
melalui kerjasama dengan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi serta merangkaikan
infrastruktur dan perkakasan TMK melalui rangkaian setempat atau teknologi tanpa
wayar. TMK dalam pendidikan merujuk kepada penggunaan perkakasan dan perisian
komputer yang diintegrasikan dengan multimedia dan internet yang diaplikasi dan
digunakan secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam institusi
pendidikan khususnya di sekolah. Multimedia merupakan pelbagai media yang
digunakan untuk menyalurkan maklumat kepada orang ramai yang merangkumi teks,
grafik, audio, video, dan animasi. 1.1 Bagaimana TMK Digunakan Dalam Dunia
Pendidikan Penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran dilihat dalam konteks
aspek pengajaran guru (guru menggunakan TMK) dan aspek pembelajaran (pelajar
menggunakan TMK). Dalam konteks pembelajaran, penggunaan TMK dalam pengajaran
dan pembelajaran boleh dikategorikan sebagai tutorial, penerokaan, aplikasi dan
komunikasi. Dalam konteks pengajaran pula TMK digunakan sebagai tutor dan alat
demonstrasi. Guru berperanan sebagai penyampai maklumat dan memastikan bahawa
pelajar telah mempunyai pengetahuan sedia ada. Oleh itu segala perancangan dibuat
mengikut turutan aktiviti supaya objektif pembelajaran tercapai. Guru boleh
menggunakan TMK untuk pengurusan proses pembelajaran, Pengurusan Rekod Pelajar,
dan Penjanaan Tabung Soalan. Guru dapat menyediakan persembahan pengajaran
yang menarik dengan menggunakan aplikasi multimedia seperti Authoware, Freehand,

Page Maker dan sebagainya kerana ia mengandungi grafik yang menarik yang boleh
diaudiokan, divideo, dan dianimasikan secara bijaksana. Pelaksanaan pendekatan baru
dalam pengajaran pembelajaran mengubah peranan daripada "tuan" kepada
"pembantu", daripada "pengarah" kepada "penyelia", daripada "diktator" kepada
"fasilitator". Pelajar menentukan dan merancang pembelajaran sementara guru pula
bertindak memastikan pelajar berjaya melaksanakan rancangan pembelajaran mereka
dan mencapai kriteria yang telah ditetapkan. Banyak juga kelebihan lain yang diperoleh
sekiranya guru menggunakan TMK dalam proses pengajaran pembelajaran harian
mereka. Antara-antara kelebihan tersebut ialah : 1.1.1 Memudahkan tugasan mengajar
guru Kemahiran TMK yang saya miliki dapat meningkatkan penguasaan pelajar dalam
mata pelajaran yang saya ajar. Kemahiran TMK yang saya perolehi melalui kursus yang
dianjurkan oleh KPM, yang dikendalikan oleh unit ICT JPN dan PPD serta Bahagian
Teknologi Pendidikan (BTP) dengan kerjasama Pusat Kegiatan Guru (PKG),
membolehkan saya melaksanakan tanggungjawab mendidik para pelajar saya dengan
lebih berkesan. Di sekolah saya diberi tanggungjawab mengajar mata pelajaran Sains
dan Pendidkan Moral serta Kemahiran Hidup. Untuk memperolehi manfaat mengguna
TMK dalam mata pelajaran Sains dan Pendidkan Moral, saya membuat perancangan
dan penyediaan bahan bantu mengajar menggunakan komputer. Aplikasi yang saya
gunakan adalah program Microsoft Word, Microsoft Power Point, dan Microsoft Excel,.
Perkakasan berupa cakera padat (CD), projektor LCD, kamera digital di samping

kemudahan internet,dan penggunaan papan interaktif (smart board). Kemahiran
menggunakan perisian biasa yang sedia ada dalam komputer seperti Microsoft
Powerpoint , Words dan Excell serta bantuan kamera digital menjadikan kerja-kerja saya
lebih mudah. Internet juga banyak membantu saya dalam menyediakan bahan bantuan
mengajar serta komunikasi dengan pelajar secara terus dapat dilaksanakan menerusi emel dan laman blog serta facebook. Hasil daripada proses pengajaran dan pembelajaran
menggunakan TMK dan multimedia bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan
Moral saya dapati telah berlaku peningkatkan penguasaan para pelajar dalam mata
pelajaran yang saya ajar. Hal ini dapat dilihat melalui perubahan sikap, tingkah laku,
minat dan prestasi pelajar sebelum, semasa dan selepas sesi pembelajaran berjalan.
Peningkatan penguasaan dalam mata pelajaran para pelajar tersebut dapat saya
rumuskan seperti berikut : A) Mengubah Stail Pembelajaran Murid-Murid: Berlaku
pembelajaran kendiri dan menggalakkan pembelajaran eksploratori (Penerokaan).
Penggunaan TMK untuk pembelajaran menggalakkan pembelajaran kendiri dan
penerokaan. Ianya berlaku apabila TMK digunakan sebagai medium untuk mencari dan
mengakses maklumat daripada CD-ROM, internet, portal maklumat dan sumber-sumber
maklumat yang lain.TMK juga dapat memberikan pengalaman, mempelajari dan
mengkaji sesuatu fenomena secara simulasi serta melihat demonstrasi sesuatu kejadian.
Melalui cara ini para pelajar boleh mengawal dan menentukan maklumat yang diterima
melalui TMK. Para pelajar jga mempunyai kebebasan dalam menggunakan kemudahan
TMK berdasarkan kehendak mereka. Berdasarkan tajuk-tajuk yang dipelajari dalam
kelas ketika sesi pengajaran dan pembelajaran, saya memberikan beberapa alamat yang
berkaitan yang boleh dilayari oleh pelajar melalui intenet. Dengan cara ini membolehkan
setiap pelajar mencari dan mengakses sendiri maklumat daripada ensaiklopedia
multimedia atau bahan-bahan daripada internet. Para pelajar akan mengumpul bahanbahan ini, dan maklumat ini akan digunakan untuk menjana dan menguji hipotesis dalam
penyelesaian masalah. Bagi mata pelajaran Sains sekolah rendah, saya membimbing
dan menggalakkan para pelajar melayari laman web yang tersedia, antaranya Portal
Pendidikan Utusan, dan Enkabang.Net serta Tutor Astro yang mana di dalamnya banyak
memuatkan koleksi soalan dan nota panduan . Para pelajar yang melayari laman web ini
dapat menjawab terus soalan-soalan yang tersedia, mereka diminta untuk menjawab
soalan yang dikemukakan oleh komputer dan komputer akan menilai serta memberi
maklum balas yang sesuai berdasarkan kepada jawapan yang diberikan. Mereka akan
memperoleh maklum balas terhadap jawapan secara serta merta. Hal ini menimbulkan
keseronokan sekaligus boleh memotivasikan pelajar dengan peneguhan positif yang
diberi apabila pelajar memberikan jawapan. Aktiviti ini boleh dilakukan sendiri oleh
pelajar sama ada di rumah atau di Pusat Akses sekolah. Pembelajaran kendiri ini
membolehkan para pelajar mempunyai latihan yang secukupnya sebagai persediaan

menghadapai peperiksaan. Manakala pembelajaran penerokaan menjadikan murid yang
l pintar lebih berminat dengan isi kandungan yang lebih tinggi dan mencabar. Mereka
mencari sendiri hasil-hasil penyelidikan supaya mereka boleh maju ke hadapan tanpa
mengikuti dengan jemu rakan mereka yang kurang pintar. Hal ini memberikan
keseronokan kepada pelajar-pelajar saya. Kesimpulannya, TMK memudahkan pelajar
meneroka ilmu-ilmu baru yang menjadikan proses pengajaran pembelajaran menjadi
lebih menarik dan berkesan. Para pelajar dapat berfiki secara kritis, penyelesaian
masalah, pengalaman belajar yang autentik, pengetahuan yang dibina adalah melalui
interaksi sosial. Para pelajar telah bertukar sikapnya daripada seorang yang pasif
menjadi aktif semasa dan selepas proses pembelajaran dan pembelajaran berjalan. B )
Memudah Dan Mempercepatkan Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Penggunaan
teks sama ada dalam bentuk perkataan atau nombor menimbulkan masalah bagaimana
untuk menerangkan bahagian-bahagian yang sukar untuk diterangkan atau difahami
melalui penggunaan teks. Maka penggunaan multimedia dapat memudahkan pelajar
memahami konsep yang abstrak dengan bantuan adunan elemen-elemen teks,
audio,video, animasi, dan grafik. Ini membolehkan sesuatu proses penerangan dilakukan
dengan lebih mudah dan pantas. Contohnya dalam menghuraikan kesan pencemaran
alam kepada hidupan dan manusia. Saya menayangkan rakaman video tentang puncapunca pencemaran dan gambar-gambar yang dirakam menggunakan kamera digital
akibat daripada tindakan manusia yang tidak bertanggungjawab. Pada akhir sesi
pembelajaran saya dapati murid-murid saya dapat menguasai isi pelajaran dengan lebih
cepat. Ini terbukti apabila pelajar saya menulis jawapan tentang kesan-kesan
pencemaran alam terhadap manusia dan hidupan air. Bahan-bahan multimedia interaktif
dibangunkan dengan dengan menggunakan bahan visual grafik, teks, muzik, video serta
animasi yang membantu mengukuhkan lagi kefahaman pelajar terhadap sesuatu
konsep. Penggunaan muzik dan video sebagai alat bantu membolehkan para pelajar
lebih memberikan perhatian terhadap apa yang guru ajar. Para pelajar dapat menghayati
isi pelajaran dengan lebih jelas. Guru juga boleh menggunakan Microsoft Excel untuk
merekod serta menggred markah setiap kali diadakan ujian dan peperiksaan. Markah ini
dianalisis untuk melihat aspek kelemahan dan kekuatan pelajar. Aplikasi ini
membolehkan guru membuat head count untuk setiap orang pelajar di dalam sesuatu
kelas yang diajar. Hasil daripada analisis yang guru perolehi membolehkan guru
menyediakan bahan atau soalan dengan memberikan perisian berbentuk latih tubi
kepada pelajar yang lemah untuk tujuan pemulihan, memberikan perisian yang
berbentuk tutorial kepada pelajar yang sederhana untuk tujuan pengukuhan dan
memberikan perisian berbentuk exploratory kepada pelajar pintar untuk tujuan
pengayaan. Pengajaran yang guru sampaikan lebih berkesan melalui media elektronik
kerana pelajar dapat melihat sendiri apa yang diterangkan oleh guru dengan bantuan
komputer. Kaedah ini membolehkan murid memahami dan menghayati situasi
pembelajaran yang sebenar. Dengan kemahiran TMK yang guru miliki, guru boleh
memuat turun maklumat, gambar dan rakaman video dari internet. Guru juga
menggunakan perisian Microsoft Powerpoint dengan bantuan kamera digital masukkan
gambar-gambar dan guru boleh tayangkan kepada para pelajar menerusi projektor LCD.
Para pelajar mungkin mendapat idea dan pengetahuan untuk bertutur dan menceritakan
apa yang disaksinya dari awal hingga akhir dengan penuh keyakinan , ini menunjukkan
proses pembelajaran yang berkesan telah berlaku. Penggunaan papan interaktif semasa
mengajar membolehkan guru membuat pembetulan setiap kesalahan yang dilakukan
oleh para pelajar dengan serta-merta. Pelajar membuat tugasan menggunakan papan
interaktif, hasil tugasan mereka dipancarkan menerusi projektor LCD. Guru boleh
membuat penilaian terhadap hasil tugasan pelajar dan membetulkan kesalahan mereka
pada masa itu juga. Para pelajar dapat mengetahui di mana kekuatan dan kelemahan
tugasan mereka. Hal ini dapat meningkatkan pemahaman pelajar, dalam masa yang
sama saya dapat membetulkan kesalahan yang dilakukan dengan serta merta.
Kesimpulannya jelaslah di sini, dengan menggunakan TMK telah dapat meningkatkan
pemahaman dan penguasaan para pelajar terhadap mata pelajaran yang diajar. Proses
pengajaran dan pengajaran menjadi lebih mudah dan lebih menarik. Hasilnya para
pelajar dapat menghasilkan tugasan yang sempurna. Hal ini dapat membantu memudah
dan mempercepatkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah kerana
penggunaan TMK dalam pengajaran pembelajaran telah memudahkan tugas guru dan
pelajar dalam menguasai kemahiran yang di ajar. C.) Membentuk Jaringan Komunikasi
Yang Efektif, Cepat Dan Mudah Melalui TMK pelbagai bentuk maklumat dapat
disampaikan dengan berkesan dan menarik. Penggunaan grafik, ilustrasi, dan apa
bentuk gambar rajah yang digunakan dapat meningkatkan keberkesanan dalam
pembelajaran. Tambahan pula penggunaan pelbagai media seperti audio, video dan
animasi yang dinamik dapat meyampaikan maklumat dengan lebih efektif lagi bila
diadunkan dengan teks dan grafik. Penggunaan TMK sebagai alat komunikasi
merupakan serampang dua mata dalam perkongsian maklumat dan komunikasi. TMK
membolehkan pelajar dan guru daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima
dan berkongsi maklumat dalam pelbagai bentuk elemen multimedia. Hal ini akan
mewujudkan hubungan kerja berpasukan dalam kalangan pelajar di samping
memantapkan kemahiran berkomunikasi. Penilaian boleh dijalankan oleh guru secara
individu dan kumpulan, perbincangan akan dibuat selepas hasil tugasan dibentangkan di
dalam kelas. Hal ini akan menggalakkan percambahan pemikiran dan memantapkan
kemahiran berfikir serta komunikasi para pelajar. Selain itu Interaksi guru dan pelajar
dapat dipertingkatkan melalui TMK di mana guru dan murid berhubung terus melalui
internet, e-mail atau berkunjung ke laman blog. Melalui internet pelajar dapat berhubung
dengan sesiapa sahaja walau di mana berada kerana kadar caj yang dikenakan jauh
lebih rendah dalam masa yang pantas.. Teknologi multimedia membolehkan guru
melihat wajah pelajar yang menghubungi guru pada paparan skrin komputer. Pelajar
dapat berbual secara terus dengan guru menerusi skrin komputer. Para pelajar akan
merujuk kepada guru apabila ada masalah yang berkaitan dengan pembelajaran dan
pada masa mereka memerlukan nota dan bahan rujukan. Interaksi dan komunikasi
sebegini juga memudahkan guru untuk memantau hasil kerja pelajar apabila mereka
menge-melkan tugasa atau latihan kepada guru. Pelajar boleh bertanya secara terus dan
guru pula akan menjawab dengan cepat Jelaslah di sini melalui TMK jalinan komunikasi
yang mantap dapat dilakukan secara berkesan. Guru dapat membantu meningkatkan
jalinan komunikasi antara guru dengan pelajar dan pelajar sesama pelajar. Pelajar juga
dapat berkomunikasi dengan ramai orang di seluruh dunia hanya menerusi skrin
komputer menggunakan hujung jari sahaja. Ini menggambarkan kemahiran TMK yang
guru miliki telah dapat menumbuhkan inspirasi kepada para pelajar dan dapat
meningkatkan komunikasi yang efektif, cepat dan mudah. D). Pengekalan Informasi
Yang Berkesan Multimedia digunakan sebagai perantara dalam sesebuah penyampaian
atau pesembahan maklumat kepada para pelajar. Ia digunakan oleh individu yang
mahukan kemudahan serta impak yang berkesan dalam persembahan maklumat mereka
dengan sesebuah komputer peribadi yang lengkap dengan elemen multimedia dapat
memberikan kesan bunyi, paparan grafik yang berwarna warni, animasi serta video. Set
komputer yang dilengkapkan dengan multimedia telah diadaptasikan untuk memberi
maklumat-maklumat tambahan dalam bentuk yang menarik kepada pengguna. Terdapat
fakta telah membuktikan bahawa orang ramai telah menggunakan 75 peratus keupayaan
untuk mengingat berdasarkan kepada apa yang mereka dengar, lihat dan lakukan, 40
peratus daripada apa yang mereka lihat serta dengar manakala 20 peratus daripada apa
yang mereka dengar sahaja. Oleh sebab itu, ciri interaktif dalam persembahan
multimedia merupakan komponen penting yang tidak seharusnya diabaikan kerana ia
boleh menyokong keupayaan ingatan manusia Itu sendiri. Memandangkan keupayaan
multimedia banyak memberi kesan yang positif terhadap proses penyampaian maklumat,
maka guru seharusnya tidak teragak-agak menggunakan TMK untuk membantu
meningkatkan keberkesanan pengurusan pengajaran pembelajaran dalam bilik darjah.
Saya boleh menggunakan pelbagai jenis perisian untuk menyediakan set-set soalan
pelbagai aras secara interaktif. Soalan-soalan yang melibatkan konsep dan isi pelajaran
itu boleh juga disediakan dengan jawapan yang membolehkan para pelajar saya
membuat penilaian secara sendiri. Bila pelajar dapat menjawab soalan dengan betul
mereka akan berasa seronok dan ingin mencuba lagi. Cara ini membolehkan pelajar
merasai pengalaman pembelajaran yang berbeza berdasarkan prestasinya di dalam
sesuatu konsep atau isi pelajaran. Sebelum aktiviti tersebut dilakukan guru harus
memastikan yang pelajar telah menguasai terlebih dahulu konsep atau isi pelajaran yang
hendak diuji sebelum pelajar dibenarkan mempelajari konsep atau isi pelajaran pada
tahap yang lebih tinggi. Para pelajar boleh mengulang belajar sesuatu konsep atau isi
pelajaran itu pada bila-bila masa atau seberapa banyak yang dia mahu. Ditambah pula
dengan penggunaan multimedia yang menarik menyebabkan pelajar tidak merasa bosan
untuk mengulangi mempelajarinya. Keadah ini telah memperkuatkan lagi ingatan dan
meningkatkan pemahaman serta minat pelajar terhadap apa yang dipelajari. Guru boleh
melayari laman-laman web yang berkaitan subjek yang diajar, kemudian maklumat
tersebut saya simpan dalam CD-ROM seperti ensaikopedia, pangkalan data dan lain-lain
maklumat yang boleh diperolehi di pasaran. Bahan-bahan ini boleh digunakan dalam bilik
darjah dan pelajar boleh tayangkannya berulang kali. Hal ini dapat meningkatkan
pemahaman pelajar terhadap apa yang guru sampaikan. Ini menggambarkan TMK dapat
meningkatkan pemahaman dan menguatkan ingatan murid-murid terhadap isi pelajaran.
Ternyata di sini bahawa, TMK telah dapat membantu meningkatkan pemahaman dan
mengekalkan maklumat yang diperolehi pelajar melalui kaedah ulangan dan

penerokaan.Teknologi maklumat telah memudahkan tugasan guru dan pelajar serta
dapat membantu pelajar mempertingkatkan daya ingatan. Apa yang didengar, dilihat dan
dialami oleh pelajar lebih lama kekal dalam memori ditambah dengan penggunaan
teknologi yang menarik dan interaktif. E) Menghasilkan Kerja Yang Berkualiti, Lengkap
Dan Mantap TMK dikatakan sebagai alat aplikasi apabila membantu pelajar
melaksanakan tugasan pembelajaran, di samping sebagai mekanisma penyaluran
maklumat pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan perisian aplikasi umum seperti
pemerosesan perkataan oleh pelajar dalam penghasilan karangan atau penggunaan
perisian hamparan elektronik akan menghasilkan plot graf. Pelbagai perisian aplikasi
yang boleh dimanfaatkan dalam melaksanakan tugasan pembelajaran seperti Microsoft
Word, Microsoft Excell, Microsoft Access, Microsoft Power Point, Paintshop, dan
sebagainya. Pelajar boleh memilih mana-mana perisian yang sesuai dengan kehendak
dan kemampuan mereka. Penggunaan perisian aplikasi ini dapat membantu pelajar
melaksanakan aktiviti pembelajaran. Perisian aplikasi Microsoft Excell yang sesuai boleh
digunakan untuk membantu murid membina graf-graf yang diperlukan. Manakala
perisian Microsoft Powerpoint membolehkan murid membuat pembentangan hasil
tugasan yang guru berikan sama ada secara kumpulan atau individu. Menggunakan
komputer semasa mengajar dan belajar dapat meningkatkan semangat atau motivasi
pelajar untuk terus belajar dan mencuba sesuatu yang baru dalam hidup mereka.
Aplikasi multimedia yang melibatkan pelbagai jenis media yang menarik dan dinamik
dapat meningkatkan minat seseorang pelajar terhadap bahan pembelajaran yang
disediakan. Selain itu penggunaan TMK dan multimedia daapt mewujudkan persekitaran
pembelajaran yang merangsang pelajar untuk terus belajar. Apa yang penting sebagai
guru, saya mestilah terus belajar dan memahirkan diri dengan pelbagai kemahiran TMK
supaya menjadi lebih inovatif, efektif dan berinformasi dalam mendidik anak bangsa.
Kelainan dalam paparan maklumat dapat membangkitkan minat dan motivasi murid
untuk terus mendalami ilmu pengetahuan atau maklumat tentang mata pelajaran yang
diminati. Apabila minat dan motivasi pelajar sudah dirangsang, proses pembelajaran
seterusnya lebih mudah dilaksanakan. Pengajaran pembelajaran menggunakan TMK
dan multimedia dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan
mencabar. Saya juga mendapati penggunaan TMK membolehkan murid-murid
menghasilkan segala penciptaan dan menyelesaikan kerja yang rumit. Melalui
penggunaan TMK murid dapat menguasai pelbagai kemahiran manipulatif seperti
kemahiran pemprosesan perkataan, pangkalan data dan pembentangan dengan
menggunakan alat-alat teknologi. Kemahiran dan penguasaan dalam teknologi akan
melahirkan murid yang lebih bersedia dan yakin untuk memasuki alam pekerjaan.
Penutup / Rumusan Penggunaan TMK dalam pendidikan selaras dengan hasrat
Malaysia untuk meningkatkan kualiti pendidikan bertaraf dunia. Pembangunan
pendidikan pada abad ke-21 di negara kita menjadi lebih kompetitif di mana Malaysia
perlu melangkah ke hadapan bagi mengantarabangsakan kualiti pendidikan. TMK
menjadi pemangkin kepada perkembangan pendidikan bertaraf dunia yang menjadi
impian Malaysia. Guru bukan sahaja merupakan sumber inspirasi kepada para pelajar,
malah guru-guru menjadi pendorong kepada kejayaan dan kemajuan pelajar. Teknologi
perlu dilihat sebagai satu alat dan bukan segala-galanya yang boleh mengambil peranan
penting seseorang guru. Guru diperlukan untuk mencorakkan perkembangan pelajar
kerana tugas ini tidak boleh dilakukan oleh teknologi walau secanggih mana sekalipun
teknologi boleh mencorakkan pembelajaran. Pembelajaran memerlukan hubungan
manusia dengan manusia dan sentuhan guru terhadap Pelajar. Peranan guru yang
berterusan sebagai seorang pakar untuk membimbing, mendorong, membina keyakinan,
menunjuk ajar, menangani masalah pembelajaran, mengembang kemahiran diri, dan
sebagainya tidak boleh diambil alih oleh teknologi. Dalam menangani arus ledakan
teknologi ini guru harus mempertingkatkan kecekapan dalam pengurusan pendidikan,
meluaskan peranan guru dalam membantu dan membimbing para pelajar serta
membantu guru meningkatkan usaha bagi meningkatkan kualiti pendidikan yang diberi
kepada pelajar dan seterusnya berjaya membangunkan modal insan cemerlang,
gemilang dan terbilang. Konsep pembelajaran sepanjang hayat menjadikan TMK
sebagai medium paling berkesan ke arah merealisasaikan impian tersebut. Apa lagi
dalam usaha kerajaan untuk memperkasakan pendidikan di Malaysia dalam usaha
melahirkan bangsa Malaysia glokal berminda kelas pertama dalam menyahut Sembilan
Cabaran Wawasan 2020. Sumber rujukan / Bibliografi Abdul Rahim Bin Abdul Razak.
(2005): Profesionalisme Keguruan Prospek Dan Cabaran: Kuala Lumpur . Dewan
Bahasa Dan Pustakaan. Holmes.W. (199): The Transforming Power of Information
Technology , Community College Journal , 70(2) : ms 10-15 Jamalludin Harun, Dr.
Zaidatun Tasir.(2003): Multimedia Dalam Pendidikan, Kuala Lumpur, PTS Publication &
Distrubator Sdn. Bhd. Jamalludin Harun, Dr. Zaidatun Tasir.(2005): Multimedia Konsep
dan Praktis, Kuala Lumpur, Venton Publishing. Kamus Dewan Edisi Ke-4.(2007): Kuala
Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pelajaran Malaysia.(2010):
Kurikulum Standard Sekolah Rendah, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Tahun Satu.
Putrajaya. Kementerian Pelajaran Malaysia.(2010): Kurikulum Standard Sekolah
Rendah, Modul Pengajaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Teras Dunia
Sains Teknologi, Tahun Satu. Putrajaya. Modul OUM.(2006): HBEF2303- Teknologi
Maklumat Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur. Meteor Doc. Sdn. Bhd Pusat
Perkembangan Kurikulum.(2001) Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(ICT) dalam Pengajaran dan Pembelajaran Malaysia. SUMBER INTERNET
http://cgdahpm.blogspot.com/2010/01/kepentingan-ict-dalam-meningkatkan.html
http://engkizarquran.wordpress.com/2010/04/15/pentingnya-integrasi-ict-dalam- prosespengajaran-dan-pembelajaran.
Dimuat
turun
pada
22/08/2012
http://iab-academia.edu/RusminiKuAhmad/papers/524734/Integrasi Teknologi Maklumat
dan Komunikasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Dimuat turun pada 20/08/2012
http://www.slideshare.net/norhisham/teknologi-maklumat-untuk-pp. dimuat turun pada
06/08/2012
http://www.slideshare.net./shahwaran/penggunaan-ict-dalam-pppresentation. dimuat turun pada 06/08/2012