Agama Islam Perlembagaaan Persekutuan da

Agama Islam, Perlembagaaan Persekutuan dan Negara Malaysia:
Suatu Analisis Dalam Mempertahankan Kedudukan
Agama Islam dan Umat Islam di Malaysia
Oleh: Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
( Panel Jawatankuasa Pemikir Isu Islam Semasa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan1)

Sesuatu yang perlu difahami oleh rakyat Malaysia secara umum adalah tentang sejarah
Islam yang sekian lama bertapak di Tanah Melayu ini, seterusnya dibinanya sebuah
tamadun Islam di Nusantara melalui raja-raja Melayu-Islam dan rakyatnya. Sejarah ini
adalah suatu hakikat yang sangat besar pengaruhnya dalam membina masa hadapan
sehingga memberi pengaruh terhadap kerangka Perlembagaan Persekutuan Malaysia
yang telah dirangka, yang merupakan kesinambungan daripada sejarah tamadun Islam
di Tanah Melayu.
Justeru, kita sebagai Muslim-Melayu di Malaysia seharusnya bersyukur kerana tanah
air kita dibina dan dibangunkan di atas sebuah tapak sejarah keislaman yang kukuh
sehingga binaan kenegaraannya dipengaruhi oleh unsur keislaman tersebut. Persoalan
sama ada Malaysia adalah negara Islam ataupun bukan tidak timbul kerana secara
asasnya, berdasarkan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama
Persekutuan dan beberapa peruntukan yang lain di dalamnya, maka, negara Malaysia
dibentuk dengan asas-asas kenegaraan Islam.
Negara Malaysia “Beragama” Islam

Ini adalah suatu realiti yang perlu dikenal pasti oleh ramai orang. Kita sedia maklum
kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai yang tertinggi di Malaysia, namun
acuannya mempunyai unsur-unsur keislaman. Memang tidak disebutkan Al-Qur’an dan
As-Sunnah sebagai sumber hukum tertinggi di Malaysia, tetapi agama Islam sebagai
agama Persekutuan Malaysia juga sebenarnya sudah merangkumi hal yang demikian
atau sekurang-kurangnya memperuntukkan usaha ke arah yang demikian.
Disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan: Perkara 3. Agama bagi Persekutuan.
(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan
dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.
(2) Di dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja,
kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat
yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada
Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati

1

Jawatankuasa Pemikir Isu Islam Semasa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah ditubuhkan pada 20 Mac 2012.
Sila rujuk: http://www.muftiwp.gov.my/v1/ untuk mengetahui matlamat dan objektif penubuhan.

1


olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam apaapa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja
telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh
Persekutuan, setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua Agama Islam
membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.
(3) Perlembagaan-Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak
hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi Yang di-Pertuan Agong
kedudukan sebagai Ketua Agama Islam di Negeri itu.
(4) Tiada apa-apa jua dalam ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam
Perlembagaan ini.
(5) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong
hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undangundang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam
dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai
perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.2
Islam sebagai agama bagi persekutuan tidak sama makna dengan kalimah “Islam
sebagai sekadar agama rasmi”. Islam sebagai agama Persekutuan secara jelas
memberi peranan agama Islam secara menyeluruh kepada Persekutuan berbanding
ianya sekadar agama rasmi bagi Persekutuan yang lebih dilihat sebagai satu simbolik
kepada kerangka kenegaraan. Apa lagi, gambaran bahawa Malaysia ini sebuah negara

Sekular, maka ianya lebih bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Oleh sebab itulah, seorang pakar undang-undang iaitu Dr. Aziz Bari pernah berkata:
“Pada hakikatnya kita boleh mengatakan bahawa negara ini telah disyahadahkan
dengan kalimah Islam sebagaimana tertulis dalam Perkara 3(1) iaitu Islam adalah
agama Persekutuan Malaysia sekaligus telah membatalkan ciri-ciri sekularnya. Dan
kemudian terpulang kepada kita untuk mengisi kerangka itu dengan apa yang
dituntut oleh Islam. Mungkin dalam beberapa perkara syariat, negara kita
mengabaikan Islam tetapi itu tidak bermakna anda boleh sewenang-wenangnya
menuduh negara ini murtad dengan menjadi negara sekular”.3
Haji Zaid Kamaruddin (bekas Presiden JIM) juga dalam mengulas hal ini pernah
berkata:
“Jika kita lihat dalam Perlembagaan negara, tiada satu perkataan pun yang
menggunakan perkataan sekular sedangkan para penggubal dahulu boleh sahaja
meletakkannya sebagaimana yang berlaku pada negara Turki, Perancis dan India.

2

Perlembagaan Persekutuan, Bahagian I: Negeri-Negeri, Agama dan Undang-Undang bagi Persekutuan, Perkara 3:
Agama Bagi Persekutuan (1-5)
3

Majalah Milenia bulan Disember 2010, m/s: 10

2

Saya tidak rasa ia adalah satu perkara yang tidak disengajakan atau terlepas pandang .
Ia memang dirancang, dipersetujui serta disepakati sebegitu rupa dalam membentuk
Perlembagaan negara. Malaysia memang tidak direka atau dirancang untuk
menjadi negara sekular.
“Justeru, status paling tepat yang boleh diberi kepada Malaysia jika ia seorang manusia
ialah, dia seorang Muslim. Ia (muslim) pula terbahagi kepada muslim yang taat atau
tidak. Tiada sesiapa berhak mengatakan seseorang Muslim itu bukan Muslim jika dia
berbuat sesuatu yang melanggar syariat Islam. Itulah gambaran paling tepat yang boleh
saya umpamakan untuk memberi status kepada Malaysia.”4
Ini menunjukkan kerangka keislaman itu sudah wujud dalam Perlembagaan
Persekutuan. Cuma yang tinggal adalah pelaksanaan dan pengisian yang sesuai
dengan semangat di sebalik kerangka keislaman tersebut. Maka, suasana politik
kepartian secara khusus tidak seharusnya mencetuskan ketegangan terutamanya
dalam masyarakat Islam di Malaysia mengenai kedudukan Islam di Malaysia mahupun
mengenai kedudukan Malaysia dalam neraca Fiqh al-Daulah (kefahaman mengenai
kenegaraan). Apa yang tinggal adalah usaha-usaha untuk menyempurnakan

pelaksanaan undang-undang agama Islam secara menyeluruh dalam pentadbiran di
Malaysia.
Peruntukan bagi Menjaga Orang-orang Islam daripada Dakyah Agama-agama
Lain
Di samping agama Islam sebagai agama Persekutuan, agama Islam juga perlu
dipertahankan dalam kalangan masyarakat Islam terutamanya daripada anasir-anasir
luar seperti dakyah ajaran agama lain ke dalam masyarakat Islam dan sebagainya. Ia
dijelaskan sendiri dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu:Perkara 11(4): Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh
mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama
di kalangan orang yang menganuti agama Islam. 5
Di bawah peruntukan ini, undang-undang persekutuan dan negeri boleh digubal dalam
rangka untuk mengawal sebarang usaha mengembangkan apa-apa doktrin atau
kepercayaan agama yang bertentangan dengan ajaran Islam dalam kalangan orangorang Islam. Peruntukan ini sedikit sebanyak memberi penjagaan secara bertulis
kepada umat Islam di Malaysia agar agama Islam mereka terjaga. Ini juga menolak
konsep Pluralisme Agama dan Liberalisme Agama yang cuba dipopularkan dalam
masyarakat Islam sejak akhir-akhir ini.

4
5


ibid
Perlembagaan Persekutuan, Bahagian II: Kebebasan Asasi, Perkara 11: Kebebasan beragama kurungan 2.

3

Bahkan, kebebasan beragama dan memilih agama hanyalah tertakluk kepada orangorang yang bukan beragama Islam, tidak kepada orang-orang Islam, berdasarkan
ajaran Islam sendiri yang menentang gejala murtad secara tegas, dan berdasarkan
semangat Perlembagaan Persekutuan secara tidak langsung, yang menghalang
penyebaran agama-agama lain kepada orang-orang Islam.
Kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu-Islam di Malaysia
Jika kita lihat juga, di sebalik semangat ketuanan Melayu (Siyadah al-Malayuwiyyah)
yang diamalkan dalam masyarakat di Malaysia melalui kontrak sosial, ianya juga
memberi kelebihan tersendiri kepada agama Islam untuk terus dipertahankan melalui
perlembagaan dan amalan dalam masyarakat setempat. Bahkan, ia juga melibatkan
kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama di negeri masing-masing dan Yang
di-Pertuan Agong sebagai yang tertinggi dalam negara, yang termaktub dalam
perlembagaan.
Hal ini jelas ketika mana disebutkan bahawa, ketua yang tertinggi dalam Persekutuan
adalah Yang di-Pertuan Agong yang dilantik oleh Majlis Raja-raja. Disebut dalam

Perlembagaan Persekutuan:Perkara 32(1): Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan,
digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala
orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding
di dalam mana-mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di
bawah Bahagian XV.
Perkara 32(3): Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja bagi
tempoh lima tahun, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui
surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Majlis Raja-Raja atau
boleh dipecat daripada jawatannya oleh Majlis Raja-Raja, dan hendaklah berhenti
memegang jawatan apabila terhenti menjadi Raja.6
Berdasarkan Fiqh al-Siyasah dan Fiqh al-Daulah, kedudukan Yang di-Pertuan Agong
sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan [Perkara 32(1)] dan kedudukan
baginda dalam masa yang sama sebagai ketua agama bagi Persekutuan, menunjukkan
baginda adalah al-Imam atau al-Amir (pempimpin tertinggi) dalam sesebuah negara
Islam (al-Daulah al-Islamiyyah). Ini menunjukkan secara asasnya, kepimpinan politik
(qiyadah siasiyyah) dan kepimpinan agama di peringkat tertinggi adalah bersepadu iaitu
merujuk kepada kedudukan Yang di-Pertuan Agong. Ia adalah konsep Ulil Amri yang
jelas sebagaimana dibahaskan dalam kitab-kitab ulama’ Islam tentang kenegaraan
dalam Islam.


6

Perlembagaan Persekutuan, Bahagian IV, Bab 1: Ketua Utama Negara, Perkara 32: Ketua Utama Negara dan
Persekutuan, dan Isterinya.

4

Dari sudut sejarah sendiri, Majlis Raja-raja mempunyai kedudukannya yang tersendiri
dalam tamadun Islam yang lebih luas. Kedaulatan sultan-sultan di Malaysia yang
merupakan anggota-anggota kepada Majlis Raja-raja pada masa sekarang berkait
rapat dengan kedaulatan Khilafah Islamiyyah iaitu pada zaman Kerajaan Uthmaniyyah
di Turki. Berdasarkan sejarah, kesultanan Melayu secara jelas merupakan cabang
daripada Khilafah Uthmaniyyah sebelum kejatuhannya, yang mana kerajaan-kerajaan
Islam di tanah Melayu duduk bernaung di bawah kerajaan Islam terbesar pada ketika
itu. Justeru, kedudukan institusi Beraja di Malaysia adalah identiti kedaulatan empayar
Islam tanah Melayu di sisi tamadun Islam secara umum dan di sisi khilafah Islamiyyah
pada zaman Uthmaniyyah.
Mungkin dalam keadaan sekarang, di mana Malaysia mengamalkan dasar Demokrasi
Berparlimen (atau Raja Berpelembagaan) yang membataskan raja-raja atau Yang diPertuan Agong dari sudut politik dan pemerintahan, namun tidak dinafikan kedudukan
tertinggi mereka dari sudut kepimpinan keagamaan (iaitu Islam). Mungkin, agenda

sekularisasi terhadap negara-negara Islam yang dilancarkan oleh dunia Barat turut
memberi kesan kepada politik di Malaysia sehingga membenihkan dasar Raja
Berpelembagaan ini, namun dalam konteks politik Islam yang sebenar dan peruntukan
Perlembagaan Persekutuan yang asas, Yang di-Pertuan Agong tetap mempunyai
kedudukan sebagai Ulil Amri yang tertinggi di negara ini.
Oleh sebab itu juga, sewajarnya bagi para penentang Sekular di kalangan aktivis Islam
secara khusus, perlu terus setia kepada Ulil Amri yang asal ini (institusi beraja)
berbanding `kesetiaan’ yang keterlaluan terhadap politik kepartian yang sekadar
menentukan pemilihan wizarah al-tafwidh (kementerian yang menerima tugas
memerintah negara) yang dipimpin oleh Perdana Menteri. Disebabkan ini jugalah,
politik kepartian tidak wajar mempengaruhi atau mengatasi kedudukan institusi raja-raja
dan Yang di-Pertuan Agong, berdasarkan semangat Daulah Islamiyyah sendiri, dan
semangat Perlembagaan Persekutuan [Perkara 159 dan 161 E].
Kedudukan ini bukan sekadar memberi keistimewaan kepada institusi beraja di
Malaysia, tetapi di sebalik itu semua, terletaknya tanggungjawab untuk
mempertahankan kesucian agama Islam di Malaysia. Bahkan, kedudukan institusi
beraja sebagai yang tertinggi terutamanya dari sudut kepimpinan agama Islam yang
merupakan agama Persekutuan, menjadikan ianya sebuah benteng terutama dan
terakhir terhadap agama Islam, terutamanya jika suasana politik kepartian sudah tidak
memihak kepada Islam lagi.

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama dan negara di Malaysia, yang
mempunyai kuasa untuk memanggil dan membubarkan parlimen, dewan rakyat dan
sebagainya, Ketua Panglima Angkatan Tentera dan sebagainya, menjelaskan peranan
terbesar yang dimainkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam mempertahankan agama
Islam dan negara. Oleh sebab itu juga, kedudukan kedaulatan Majlis Raja-raja secara
tidak langsung mencerminkan kedaulatan agama Islam di Malaysia.
5

Ketuanan Bangsa dan Fitrah
Walaupun ajaran Islam mengajar tentang keluasan ajarannya yang menjangkau
perbezaan bangsa dan sempadan daerah, namun dalam masa yang sama tidak
menafikan hikmah di sebalik perbezaan bangsa yang menghuni di sesuatu tempat
tersebut. Ketika Allah s.w.t. menyebut tiada beza di sisi Allah s.w.t. antara mana-mana
kaum melainkan dengan takwa, dalam masa yang sama, Allah s.w.t. juga menjelaskan
wujudnya fungsi perbezaan kaum tersebut yang perlu dihayati. Dalam firman Allah
s.w.t. yang bermaksud:
“Wahai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan kami
jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal-mengenal.
Sesungguhnya sebaik-baik kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara
kamu." (Al-Hujurat: 13)

Ayat ini menjelaskan sebahagian fungsi perbezaan antara jantina dan bangsa adalah
untuk saling mengenali dengan ciri-ciri keistimewaan mereka yang tersendiri. Antara
ciri-ciri keistimewaan masing-masing adalah tanah asal mereka itu sendiri yang
akhirnya akan disentuh secara lebih terperinci selepas ini. Jadi, seseorang tidak dapat
menolak kepentingan ciri-ciri keistimewaan dalam kelainan antara sesama bangsa yang
berbeza dalam pada menetapkan keluasan ajaran Islam. Ia adalah dua perbahasan
yang berbeza tetapi tidak terpisah.
Mempertahankan ketuanan sesuatu bangsa di tempat mereka adalah fitrah manusia itu
sendiri yang lahir dari mencintai bangsa sendiri secara tabi'e. Rasulullah s.a.w. sendiri
pernah ditanya:
‫يا رسو اه امن العصبية أن يحب الرجل قومه؟‬
Maksudnya:
”Wahai! Rasulullah, adakah dari kalangan Asabiyyah, seseorang itu sayang kaumnya
sendiri?"
Rasulullah s.a.w. menjawab:
‫ا ول ن من العصبية أن ينصر الرجل قومه على الظلم‬
Maksudnya:

6

"Tidak... Akan tetapi Asabiyyah adalah seseorang itu membela kaumnya ke atas
kezaliman..."7
Dari hadis ini, ianya menjadi panduan kepada kita bahasawanya, asal kecintaan
kepada bangsa dan tanah air adalah suatu perkara yang diraikan di dalam syarak,
kerana ianya adalah fitrah manusia. Cinta kepada tanah air dan bangsa inilah yang
mendasari konsep ketuanan Melayu, jika ianya difahami secara adil.
Rasulullah s.a.w. sendiri menzahirkan rasa kecintaan terhadap tanah air baginda s.a.w.
yang tercinta, iaitu bumi Makkah, sebagaimana dalam sabda baginda s.a.w. ketika
keluar berhijrah meninggalkan bumi Makkah tersebut:
‫ ولوا أن قومّ أخرجونّ منك ما س نت غيرك‬، َّ‫ وأحبَك إل‬، ‫ما أطيبك من بلد‬
Maksudnya:
”Alangkah indahnya engkau (wahai Makkah) selaku tempat kediaman dan engkaulah
yang paling ku cintai. Andai bukan kerana kaumku mengeluarkanku daripadamu,
nescaya aku tidak akan mendiami di mana-mana tempat selainmu".8

Konsep "ketuanan Melayu" tidak wajar dilihat secara terasing (daripada konsep Islam)
kerana sejak sekian lama, para ulama' Nusantara tidak memisahkan perjuangan
bangsa dan agama kerana kepentingan bangsa Melayu untuk mempertahankan agama
Islam dan tanah air mereka yang asal. Kepincangan dalam mempertahankan
"ketuanan Melayu" oleh sesetengah pihak tidak boleh dijadikan satu-satunya
hujah untuk menolak "ketuanan Melayu" tanpa memahami sejarah dan
falsafahnya.

Kita dapat lihat betapa ramai para ulama' Nusantara mempertahankan "kecintaan
bangsa Melayu" dalam semangat mengembangkan ilmu agama, sehingga mereka
menetap di negara Arab sekalipun, namun masih mempertahankan "nisbah bangsa dan
tanah air" mereka. Siapa tidak kenal dengan tokoh ulama’ Nusantara seperti Sheikh
Nawawi Al-Bantani (dari Banten, Indonesia), Sheikh Mahfuz At-Tarmasi (dari Termas,
Indonesia), Sheikh Muhammad Yasiin Al-Fadani (dari Padang, Indonesia), Sheikh
Abdul Karim Al-Banjari (dari Banjar, Indonesia), Sheikh Wan Ismail Al-Fathani (dari
Pattani), Sheikh Shaleh Al-Kalantani (dari Kelantan, Malaysia), Sheikh Shaleh AlFilfilani (dari Pulau Pinang, Malaysia), dan sebagainya yang masyhur di negara-negara

7
8

Hadith riwayat Imam Ahmad dan Imam Ibn Majah
Hadis riwayat Imam At-Tirmizi, no: 3926

7

Arab namun masih menisbahkan diri kepada tanah air masing-masing tanda kecintaan
kepada tanah asal mereka (iaitu Nusantara).
Begitu juga para ulama' Nusantara yang menisbahkan diri mereka kepada tanah air
masing-masing yang giat mengembangkan Islam di Nusantara seperti Sheikh Daud AlFattani (dari Pattani), Sheikh Abdul Shamad Al-Falambani (dari Palembang), Sheikh
Arsyad Al-Banjari (dari Banjar), Sheikh Idris Al-Marbawi (dari Merbau, Perak) dan lainlain.
Berdasarkan gambaran umum "minda" para ulama' Nusantara ini (termasuk Malaysia),
kita dapati mereka sangat mencintai bangsa, tanah air dan ketuanan bangsa mereka di
tanah air mereka, sehingga masih menisbahkan diri mereka kepada tempat-negara
mereka. Setiap orang mempunyai kecintaan tersendiri terhadap tanah asal
mereka. Perjuangan bangsa dan agama tidak terpisah terutamanya apabila Islam
sudah menjadi sebahagian daripada “takrif” bagi bangsa Melayu itu sendiri.
Kita perlu faham juga, desakan untuk menolak "ketuanan Melayu" daripada orangorang kafir adalah daripada minda mereka yang "Liberal" dan ingin menyamakan
semua agama (setelah berjaya menyamakan semua bangsa) di Malaysia. Kita perlu
berhati-hati dengan kelicikan orang-orang kafir ini dan berhati-hati juga dengan mereka
yang dipergunakan oleh orang-orang kafir untuk menjatuhkan keutuhan Islam melalui
kejatuhan bangsa utama yang menjaganya di Tanah Melayu ini.
Sebenarnya, mempertahankan ketuanan Melayu di "Tanah Melayu" bukanlah suatu
agenda politik parti-parti "kebangsaan" tertentu kerana para ulama' Nusantara yang
menyimpan semangat "ketuanan Melayu" (ketuanan Nusantara) tidak pernah mewakili
mana-mana parti politik. Bahkan, semangat "Ketuanan Melayu" hanyalah suatu fitrah
murni yang memahami asal-usul, sejarah dan kedudukan asal sesuatu bangsa di tanah
air mereka. Ketuanan Melayu yang ditolak oleh Islam adalah yang terpisah daripada
Islam itu sendiri. Kalau mempertahankan ketuanan Melayu di Tanah Melayu
berteraskan semangat "mempertahankan agama dan sejarah tanah air" tidak salah
kerana dalam banyak catatan hadith, Rasulullah s.a.w. sendiri mempertahankan
ketuanan Quraisy (kepimpinan Quraisy) dalam urusan khilafah islamiyyah secara
umum.

Islam Menjaga Konsep Ketuanan
Islam itu adalah agama yang mengajar cara hidup yang sempurna. Islam adalah
pedoman, sedangkan "tuan" terhadap sesuatu tanah asal itu berkait rapat dengan sifat
manusia. Islam mengajar seseorang untuk menjaga hak manusia sama ada secara
individu atau berkelompok. Ketuanan "rumah" seseorang pun dijaga oleh Islam, apatah
lagi ketuanan sesuatu bangsa bagi sesuatu tanah air. Ketika Pembukaan Kota Mekah
(Fath Makkah), Rasulullah s.a.w. sendiri mengisytiharkan sesiapa yang duduk dalam
rumah "masing-masing" tidak akan diapa-apakan. Itulah Islam, meraikan tanah asal
8

sesuatu bangsa, walaupun bangsa tersebut pernah mengusir Saidina Rasulullah s.a.w.
Bahkan, setelah itu, Rasulullah s.a.w. pulang ke Madinah dan menyerahkan urusan
politik tempatan kepada bangsa Quraisy semula di samping Baginda s.a.w. memimpin
umat Islam sebagai suatu daulah islamiyyah yang lebih menyeluruh dalam segenap
aspek kehidupan.

Inilah ajaran Rasulullah s.a.w. yang sangat lapang dan tidak menyalahi fitrah. Dalam
mana-mana negara Islam sejak zaman khilafah Islam pun ada konsep meraikan hak
bangsa yang membangunkan ketamadunan di sesuatu tempat, untuk terus
menguruskan tanah air sendiri. Kita janganlah bicara soal “syariah Islam” sehingga
terlupa sudut maqasid syar'iyyah (tujuan pensyariatan)nya. Antaranya adalah menjaga
"hak pemilikan", dan sebagainya. "Kita boleh lihat di sekitar khilafah Islamiyyah yang
pernah wujud, mempunyai kerajaan-kerajaan tempatan yang menjadi cabang yang
bernaung kepada khilafah Islamiyyah yang terbesar dalam zaman tersebut.

Bahkan, ketika zaman Khilafah Uthmaniyyah, Kesultanan Melayu dianggap sebagai
cabang kepada khilafah Islamiyyah pada ketika itu bahkan "politik tempatan" yang
diamalkan di Tanah Melayu tidak pernah ditolak oleh Khilafah Islamiyyah yang terbesar
pada ketika itu. Ini menunjukkan kedudukan konsep "ketuanan" sesuatu bangsa di
tanah asal mereka tidak pernah bercanggah dengan Islam. Apa yang salah adalah
Asabiyyah, iaitu membela individu dalam bangsa sendiri yang melakukan kezaliman
atas dasar sama bangsa. Hal ini jelas bagi sesiapa yang menguasai ajaran Islam yang
menyeluruh dan konsep hadarah Islamiyyah yang luas.
Istilah ketuanan dan tuan itu sendiri perlu difahami melalui konteks ayat, bukan secara
bebas, demi mengelakkan salah faham. Tuan dalam kalimah ketuanan Melayu bukan
lawan bagi kalimah hamba, iaitu selain bangsa Melayu, mereka adalah hamba. Dalam
Kamus Dewan Edisi Kedua, perkataan “tuan” mempunyai 5 pengertian. Sudah tentulah
tuan yang dimaksudkan dalam ketuanan Melayu adalah dengan pengertian yang
keempat iaitu: “yang empunya; pemilik.” Seperti contoh: Siapa tuan kedai ini? Dan
sebagainya.
Keistimewaan Melayu-Islam di Malaysia
Konsep ketuanan Melayu bukanlah tiada mengandungi makna yang tersendiri dan
peranan yang penting terutamanya terhadap agama Islam secara khusus. Apabila
seseorang menyeru ke arah menolak konsep ketuanan Melayu dan semangatnya
seumpama seseorang yang mengingkari konsep pemilikan kepada sesuatu ataupun
jahil terhadap sejarah.

9

Definisi Ketuanan Melayu selalunya sekitar "Bangsa Melayu sebagai bangsa asal
Tanah Melayu (Malaysia) selain bangsa pribumi yang lain".
Dr. Mohd Ridhuan Tee berkata:
"Ketuanan Melayu hanya satu istilah untuk menunjukkan bahawa orang Melayu adalah
bangsa asal negara ini, selain orang asli. Atas kefahaman ini, maka saya dapat
menerima istilah ini tanpa prejudis..."9
Sepertimana di India, bangsa India mempertahankan ketuanan bangsanya, begitu juga
di China, bangsa Cina mempertahankan ketuanan bangsanya, di Arab juga, bangsa
Arab mempertahankan ketuanan Arabnya, selagimana bukan atas dasar membela
bangsa sendiri dalam kezaliman, maka ianya tidak termasuk dalam asabiyyah yang
ditolak oleh Islam. Selagimana ianya tidak ditolak oleh Islam, maka Islam meraikannya
kerana ia adalah suatu fitrah manusia yang mencintakan tanah airnya sendiri.
Di Malaysia, konsep ketuanan Melayu seharusnya tidak dijadikan isu politik untuk
dibahaskan demi meraih undi kerana ianya merupakan isu yang lebih luas dalam
konteks negara Malaysia ini, iaitu melibatkan institusi beraja di Tanah Melayu (atau
Malaysia) yang bertanggungjawab menjaga agama dan keistimewaan bangsa Melayu
dan Bumiputera yang merupakan penduduk asal di Malaysia, yang membina
ketamadunan di Tanah Melayu ini sebelum menjadi Persekutuan Malaysia.
Kedudukan bangsa Melayu sebagai bangsa yang menetap di Tanah Melayu sejak
sekian lama (beserta golongan pribumi yang lain) bahkan suatu bangsa yang
mempertahankan Islam sejak sekian lama di Tanah Melayu ini, serta kesultanan
Melayunya secara jelas merupakan cabang daripada Khilafah Uthmaniyyah sebelum
kejatuhannya, menunjukkan betapa ketuanan Melayu perlu dipertahankan atas dasar
sejarah dan kepentingannya dalam menjadi bangsa utama yang mempertahankan
Islam di samping sebagai bangsa yang menduduki tanah Melayu ini. Ketuanan Melayu
adalah identiti Tanah Melayu di sisi tamadun Islam secara umum dan di sisi khilafah
Islamiyyah pada zaman Uthmaniyyah.
Nama asalnya iaitu "Tanah Melayu" sendiri sudah menunjukkan kedudukan bangsa
Melayu sebagai penduduk asal yang membangunkan tamadun di Malaysia. Konsep
ketuanan sesuatu bangsa tidak pernah bercanggah dengan Islam malah diraikan dalam
Islam selama ia dipertahankan atas kerangka agama Islam itu sendiri.
Maka, semangat kecintaan kepada tanah air adalah digalakkan dalam Islam, selagi ia
tidak membawa kepada asabiyyah atau taksub kepada bangsa sehingga membela
kezaliman yang dilakukan oleh bangsa sendiri.

9

http:www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.ht
m

10

Konsep ketuanan Melayu selain berkaitan dengan kedudukan raja-raja Melayu, ianya
juga merupakan suatu konsep yang boleh digunakan untuk mempertahankan
kemurnian Islam. Ini kerana, bangsa Melayu sendiri sudah diberi takrifan melalui
Perlembagaan sebagai orang yang menganuti ajaran Islam.
Perkara 160: Tafsiran:“Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap
bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan:(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir
sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di
Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura;
atau
(b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian;”10
Kedudukan yang istimewa bagi orang-orang Melayu-Islam ini selain bumiputera yang
lain menjadikan agama Islam turut istimewa dalam amalan masyarakat kerana ianya
adalah agama bagi sebahagian besar penduduk asal Tanah Melayu yang
bertanggungjawab mempertahankan negaranya. Bahkan, keistimewaan itu juga
dipelihara oleh Ketua Negara iaitu Yang di-Pertuan Agong di bawah peruntukan
perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan menyebut:Perkara 153(1): Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi
kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah
dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.11
Selain daripada ianya merupakan salah satu daripada nikmat Allah s.w.t. yang
dikurniakan kepada orang-orang Melayu-Islam di Malaysia yang perlu disyukuri, ianya
juga mempunyai peranannya yang tersendiri terutamanya dalam menjaga bangsa
Melayu-Islam bukan sekadar berasaskan cinta kepada bangsa semata-mata, tetapi
asas cinta kepada agama. Maksudnya, hubungan kepada sesama bangsa bukan
setakat didasari oleh asas darah dan warna kulit, tetapi didasari oleh agama itu sendiri.
Dalam erti kata yang lain, cinta seorang Melayu-Islam kepada bangsanya tidak lagi
dibatasi oleh dasar hubungan darah seperti bangsa-bangsa lain, tetapi cintanya kepada
bangsanya juga di atas dasar kesatuan aqidah dan agama. Oleh sebab itulah, ketika
ada suara yang mengetengahkan idea “orang Melayu juga wajar diberi kebebasan

Perlembagaan Persekutuan, Bahagian XII: Am dan Pelbagai, Perkara 160: Tafsiran, “Orang Melayu”.
Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Persekutuan, BahagianXII: Am dan Pelbagai, Perkara 153: Perizaban
kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri
Sabah dan Sarawak, kurungan 1.

10

11

11

beragama” dan sebagainya, tindak balas spontan daripada orang-orang Melayu-Islam
di Malaysia adalah bersifat menolak kenyataan berikut. Ini kerana, asas kecintaan
kepada bangsa Melayu-Islam bukan pada bangsanya, tetapi kepada agamanya.
Sehinggakan, dalam suasana di Malaysia secara praktikalnya, siapa sahaja yang
memeluk agama Islam, dianggap seperti bangsa Melayu oleh orang-orang MelayuIslam di Malaysia, walaupun pada hakikatnya berbangsa lain.
Tidak dapat dinafikan bahawa, banyak pihak melihat perkara ini dari sudut negatif iaitu
seolah-olah masuk Islam adalah masuk Melayu, padahal sudut positifnya adalah lebih
banyak iaitu semangat kecintaan kepada bangsa di sisi orang-orang Melayu sudah
berkembang menjadi semangat cinta atas dasar agama. Bahkan, ia juga menyuntik
semangat ingin membangunkan bangsa Melayu melalui agama kerana bangsa Melayu
turut mewakili agama Islam di Malaysia, sebagaimana bangsa Arab mewakili agama
Islam di peringkat Tanah Arab dan antarabangsa.
Konsep ketuanan Melayu-Islam ini secara tidak langsung mempunyai kepentingan
dalam membantu usaha membendung gejala murtad dalam masyarakat kerana
sensitifnya agama Islam yang sudah menjadi darah daging kepada bangsa Melayu itu
sendiri. Usaha ke arah memisahkan bangsa Melayu daripada agama Islamnya adalah
suatu usaha Liberalisasi yang bertujuan untuk menghalalkan gejala murtad atas dasar
“kebebasan beragama”. Jika bangsa Melayu sudah tidak lagi dikaitkan dengan Islam,
maka, diharapkan agar masyarakat Melayu di Malaysia tidak sensitif lagi terhadap
orang Melayu yang murtad dan meninggalkan agama Islam sebagaimana yang berlaku
di negara Indonesia yang mengamalkan Pluralisme Agama.
Konsep Melayu-Islam yang menjadi kesinambungan daripada tamadun Melayu-Islam
silam merupakan antara nikmat Allah s.w.t. yang terbesar dalam masyarakat Islam di
Malaysia. Segala doktrinisasi berteraskan Pluralisme dan Liberalisme yang cuba
diketengahkan dalam masyarakat Islam di Malaysia wajar dibendung. Mereka yang
terlibat dalam politik kepartian tidak wajar dipergunakan oleh pihak-pihak Liberalis yang
cuba menjauhkan masyarakat Melayu-Islam daripada ciri-ciri keislaman mereka dengan
memberi pelbagai gambaran negatif terhadap semangat cinta kebangsaan (Melayu)
yang mana sasaran sebenar usaha ini adalah terhadap agama Islam yang menjadikan
bangsa Melayu itu istimewa. Maka, sewajarnya isu melibatkan kecintaan kepada
bangsa Melayu di Malaysia ini, isu kedudukan raja-raja Melayu, isu ketuanan Melayu
dan sebagainya, tidak dipolitikkan kerana mempertahankannya lebih utama daripada
mepertikaikannya.

Hala Tuju Negara Berkenaan Agama Islam
Sebagaimana telah disebutkan bahawa, secara asasnya, Perlembagaan Persekutuan
memberikan ruang seluas-luasnya untuk negara Malaysia dibentuk sebagai sebuah
negara Islam yang sempurna. Bahkan, kedudukan Yang Di-Pertuan Agong sebagai
Ketua Negara dan Agama di peringkat Persekutuan juga menunjukkan betapa negara
12

Malaysia berada di atas landasan yang mudah untuk merealisasikan pembentukan
negara Islam yang sempurna. Mungkin, dalam beberapa aspek sahaja, agama Islam
belum dijadikan perundangan utama untuk digunakan.
Namun, jika dilihat semula, sehingga hari ini Perlembagaan Persekutuan telah memberi
kebenaran khusus kepada kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk membantu
perkembangan ajaran Islam di Malaysia dengan perbelanjaan negara atau negeri.
Walaupun ia tidak menafikan kepentingan menjaga agama lain, tetapi agama Islam
disebut secara khusus dalam perlembagaan.
Perkara 12 (2): Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan
institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan
tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana
undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran
mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu
Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan
atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu
dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa
perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.12
Ia merupakan suatu peruntukan istimewa kepada perkembangan agama Islam di
Malaysia dan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat Islam dalam menjalani
kehidupan beragama mereka. Negara Malaysia secara perlembagaannya sudah
bersedia ke arah Negara Islam yang sempurna dan lebih baik.
Bahkan Mahkamah Syariah juga mempunyai kedudukan tertentu yang istimewa dalam
Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 121(1A): Mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) tidaklah mempunyai bidang
kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.13
Dalam banyak perkara-perkara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kita
dapati struktur dan kerangka keislaman tanah air Malaysia ini sudah tersedia. Ia
hanya perlu diperkuatkan lagi dengan pelaksanaan yang lebih menyeluruh, penjagaan
terhadap peruntukan yang baik yang sedia ada dan menambah baik sudut kekurangan
yang masih ada.

12

Perlembagaan Persekutuan, Bahagian II: Kebebasan Asasi, Perkara 12: Hak Berkenaan dengan pendidikan,
kurungan 2.
13
Perlembagaan Persekutuan, Bahagian IX: Badan Kehakiman, Perkara 121: Kuasa Kehakiman Persekutuan,
kurungan 1A.

13

Jika kerangka keislaman sudah ada dalam Perlembagaan Persekutuan dari sudut
sejarahnya, bahkan banyak institusi-institusi dan badan yang menjaga agama Islam
diwujudkan seperti JAKIM, Lembaga Tabung Haji, Jabatan Agama Islam setiap negeri
dan sebagainya, maka hampir tidak banyak lagi yang perlu dilakukan untuk
menyempurnakan keislaman negara Malaysia ini.
Penubuhan negara Malaysia justeru berkait rapat sejarahnya dan kesinambungannya
sehinggalah hari ini. Sebahagian ilmuwan pernah menyebut bahawa, untuk kita
membangunkan masa hadapan, sejarah sangat penting agar kita tidak mengulangi
kesalahan yang pernah dilakukan oleh mereka yang pernah melakukannya suatu ketika
dahulu.

14