PERBANDINGAN KONSEP MANUSIA ANTARA CARL (1)

PERBANDINGAN KONSEP MANUSIA ANTARA CARL ROGERS
DENGAN AL GHAZALI MENURUT PERSPEKTIF KAUNSELING**

ROSLEE AHMAD & MOHAMED SHARIF MUSTAFFA, Ph.D
Jabatan Pendidikan Sosial, Fakulti Pendidikan,
Universiti Teknologi Malaysia, Skudai

SULAIMAN SHAKIB MOHD NOOR
Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial
Universiti Teknologi Malaysia, Skudai

ABSTRAK

Artikel ini akan membincangkan mengenai konsep manusia, perkembangan
personaliti manusia, faktor-faktor yang mempengaruhi tingkahlaku manusia, latar
belakang teori kaunseling berbanding konsep hisbah Al Ghazali,, pendekatan
kaunseling yang digunakan dan pandangan kedua-dua tokoh tentang manusia
yang sihat mental. daripada segi konsep manusia dapatlah dilihat bahawa
kedua-duanya melihat manusia sebagai insan yang sempurna Dari segi
perkembangan personaliti manusia itu pula bergantung pengalaman lepas,
kendiri dan organisma menurut Rogers manakala Al Ghazali menyatakan

perkembangan personaliti manusia itu melalui hidayah Allah, pendidikan dan
ibadah. Dari segi faktor-faktor yang mempengaruhi tingkah laku manusia keduaduanya mempunyai pandangan yang hampir sama cuma Al Ghazali menambah
tentang peranan syaitan, hidayah dan faktor iman. Matlamat kaunseling juga ada

*

Kertas kerja Peringkat Kebangsaan dibentangkan di Konvensyen PERKAMA ke XI
pada 26 Jun 2003 di Hotel Eden, Johor Bahru. Anjuran Unit Perkhidmatan Sokongan
Pelajar (UPSP), Universiti Teknologi Malaysia dan PERKAMA.

Konvensyen PERKAMA ke XI pada 26 Jun 2003
banyak persamaan iaitu bertujuan untuk membantu individu berinteraksi dengan
orang lain dan bersyukur dalam hidup yang sederhana.
PENGENALAN

Seorang kaunselor profesional mestilah mendapat latihan secara formal yang
diiktiraf oleh masyarakat dan undang-undang negaranya. Kaunselor pula adalah
seorang yang membantu kliennya

dengan nasihat, tunjukajar dan teguran-


teguran tentang sikap, nilai dan tingkahlaku kliennya terhadap dirinya sendiri
atau masyarakat disekitarnya.

Kesedaran dan keinsafan kliennya akan

menyebabkan kliennya segera berubah dan menjadi rasional semula Muhd
Mansur (1986). Dalam menangani masalah yang melanda kliennya, seseorang
kaunselor harus mempunyai kepakaran untuk melihat ke dalam diri kliennya
tentang siapakah dirinya yang sebenar. Oleh itu artikel ini bertujuan untuk
melihat konsep manusia itu sendiri dari pandangan Rogers dan Al Ghazali.

DEFINISI KONSEP MANUSIA
Menurut pandangan Teori evolusi yang dipelopori oleh Darwin (1809)
menyatakan yang manusia itu berasal daripada haiwan yang terjadi akibat
daripada evolusi alat tubuh yang mana dengan perkembangan yang bersahaja
sampai kepada tingkat haiwan dan akhirnya wujudlah rupabentuk manusia itu
sendiri. Manusia daripada sudut Islam pula berbeza daripada pandangan barat.
Manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang paling sempurna dan mempunyai
kebesaran dan keistimewaannya sendiri Abduh (1969). Allah menjadikan

manusia dengan memberikan kepadanya akal, naluri dan pancaindera supaya ia
dapat menjadi khalifah untuk menghidup dan memakmurkan muka bumi.
“Sesungguhnya kami menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian”
(Surah Al Tin, ayat 4)

2

Konvensyen PERKAMA ke XI pada 26 Jun 2003
Carl Rogers merupakan seorang psikoterapi daripada barat yang terkenal
dengan teorinya Terapi Pusatan Klien dan telahpun menerbitkan bukunya yang
pertama pada tahun 1952 berjudul

“Client Centered Theraphy” manakala Al

Ghazali pula adalah seorang tokoh falsafah Islam yang terkenal selepas
kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Dalam kitabnya yang terkenal ‘Ihya
ulumuddin’ ada disebutkan ‘konsep hisbah’ yang menghampiri kaunseling. Jadi
dalam artikel ini kita ingin melihat pandangan kedua-dua tokoh ini terhadap
konsep manusia, faktor-faktor yang mempengaruhi tingkah laku manusia, latar
belakang teori, pendekatan yang digunakan dan manusia yang sihat mentalnya.

PANDANGAN TERHADAP KONSEP MANUSIA

Rogers berpendapat manusia adalah sejenis makhluk yang positif, rasional dan
realistik serta sentiasa bergerak maju menuju kearah kesempurnaan kendiri.
Selain daripada itu sungguhpun manusia sentiasa bergerak menuju kearah
kesempurnaan kendiri ada kalanya mereka tidak pasti tentang keupayaan dan
potensi diri mereka dan dikala ini mereka akan menggunakan helah bela diri jika
perlu dalam melindungi keperluan diri mereka. Helah bela diri yang keterlaluan
akan menyebabkan keadaan jadi nagetif dalam diri mereka.
Untuk perkembangan personaliti manusia pula, Rogers berpendapat tiga faktor
yang iaitu organisma, kendiri dan pengalaman lepas memainkan peranan yang
penting. Organisma bermaksud individu itu dilihat secara menyeluruh dan aspek
yang berfungsi seperti kognitif, afektif dan psikomotornya. Kendiri pula
bermaksud organisma dinamik yang didalamnya mengandungi nilai dan
matlamat yang mempengaruhi organisma tersebut bertingkahlaku. Nilai dan
matlamat ini akan bertindak kearah nirwana kendiri manakala pengalaman lepas
pula adalah himpunan pengalaman dan penghargaan yang diterima daripada
orang lain seperti penerimaan tanpa syarat. Bagi Rogers manusia itu tidak perlu
dikawal ataupun diuruskan hidupnya cukup sekadar disediakan uasana yang
tulen, penerimaan tanpa syarat dan kefahaman kendiri dengan cara yang bebas


3

Konvensyen PERKAMA ke XI pada 26 Jun 2003
daripada keadaan ataupun sifat bengis, menyakitkan dan keadaan yang tidak
matang.
Al Ghazali pula berpendapat manusia itu sebagai bersifat kompleks, kebendaan ,
sayangkan dunia dan sukakan kecantikan. Selain daripada itu manusia dilihat
daripada 3 sifat iaitu sifat kemalaikatan, kehaiwanan dan kesyaitanan. Sifat
kesyaitanan akan membawa atau menjuruskan manusia itu ke kancah maksiat.
Sifat kehaiwanan pula menunjukkan fungsi haiwan hidup untuk makan, tidur,
bergaduh minum dan sebagainyaa dan sifat kemalaikatan pula jika berjaya
menentang sifat kesyaitanan akan menyebabkan manusia itu tunduk dan sujud
kepada perintah Allah. Bagi perkembangan personaliti manusia pula Al Ghazali
berpendapat ianya akan diperolehi melalui hidayah Allah, pendidikan dan ibadah.
Keadaan ini juga bergantung kepada faktor luaran dan dalaman diri manusia itu
sendiri. Personaliti manusia pula hendaklah dirujuk kepada sifat-sifat kerohanian
dan kejiwaan iaitu hati, roh, akal, jasad dan nafsu.

FAKTOR-FAKTOR MEMPENGARUHI TINGKAH LAKU MANUSIA

Bagi Rogers, kadangkala faktor positif yang diterima daripada orang lain boleh
menimbulkan konflik dalam diri seseorang terutama apabila faktor baru tidak
kongruen dengan faktor yang sedia ada dalam dirinya. Kebebasan membuat
keputusan bertitik tolak daripada sikap terbuka pada diri mereka dan
pengalaman mereka memainkan peranan secara menyeluruh.
Bagi Al Ghazali pula tingkahlaku manusia adalah dipengaruhi oleh beberapa
faktor seperti penerimaan orang lain terhadap diri mereka, bentuk asuhan
daripada ibu bapa, syaitan yang mengajak manusia melakukan maksiat, ilmu
yang ada dalam dirinya, hidayah daripada Allah dan faktor iman yang ada dalam
diri manusia itu.

4

Konvensyen PERKAMA ke XI pada 26 Jun 2003
LATARBELAKANG TEORI

Dalam Bukunya ‘Client Centered Theraphy’ Rogers menyatakan kaunseling
memainkan peranan untuk membantu individu bersikap lebih terbuka terhadap
pengalaman mereka dan seterusnya akan dapat menerima orang lain.
Kaunseling akan menyorot ke dalam diri, memberi sokongan emosi dengan

menyediakan klien emosi yang sihat, menerima dan mendengar apa yang
diperkatakan oleh kliennya. Peranan kaunselor asdalah untuk menyedarkan
kliennya dan membantu kliennya untuk mencari kelegaan atau kembali normal
selepas sesi kaunseling. Rogers juga berpendapat manusia itu tidak boleh
berserah kerana manusia itu mampu untuk menentukan masa depannya.
Matlamat kaunseling Rogers adalah untuk menjadikan individu itu diterima oleh
orang lain dan menerima dirinya seadanya. Keadaan ini akan menyediakan diri
klien bukan setakat menyelesaikan masalahnya pada masa itu sahaja tetapi
pada masa yang akan datang juga. Klien boleh dipandukearah perasaan dan
pemikiran mereka sendiri dan disediakan suasana untuk berkembang.
Menurut Rogers, ciri-ciri kaunselor yang unggul adalah mereka perlu bertindak
sebagai pemudah cara melalui kebolehannya berempati dan mempunyai
kemahiran untuk mewujudkan suasana yang teraputik. Kaunselor juga
seharusnya mempunyai kebolehan untuk membantu klien menolak sifat defensif
dalam kepelbagaian tingkahlakunya yang ada dalam dirinya. Selain daripada
itukaunselor berkebolehan menyamatarafkan dirinya dengan kliennya dalam
membantu kliennya menyelesaikan masalahnya dan akhirnya kaunselor perlu
bertindak sebagai cermin dan bukan sebagai pendiagnosis masalah kliennya
serta tidak memandang rendah terhadap kliennya.
Bagi Al Ghazali dalam bukunya ‘Ihya Ulumuddin’ beliau ada menyatakan tentang

konsep hisbah yang menghampiri kaunseling dari sudut pandangan Islam

5

Konvensyen PERKAMA ke XI pada 26 Jun 2003
sebagai agamanya. Konsep hisbah padanya adalah satu proses untuk
membantu klien memahami dirinya agar bersikap lebih terbuka kepada
pengalaman mereka dan dapat menerima pandangan orang lain. Perubahan
pada diri klien akan menjadikan mereka manusia yang matang. Sementara itu
seorang kaunselor tidak boleh memaksakan pandangannya agar diikuti oleh
kliennya.
Matlamat kaunseling menurut Al Ghazali adalah untuk memperkembangkan
personaliti individu ke arah yang positif. Selain daripada itu juga ia bertujuan
untuk membantu individu berinteraksi dengan masyarakat disekelilingnya melalui
perkembangan konsep kendiri. Kaunselor juga perlu membekalkan pengalaman
baru agar dapat digunakan oleh klien agar dapat membezakan diri mereka
dengan orang lain. Kaunselor juga perlu membantu kliennya agar dapat
berinteraksi dengan orang lain dan hidup dalam kesederhanaan dan menjadikan
mereka sebagai khalifah Allah dimuka bumi ini.
Bagi ciri-ciri kaunselor yang unggul pula Al Ghazali berpendapat seseorang

kaunselor itu mestilah beriman dan beribadat kepada Allah. Kaunselor itu juga
mesti seorang yang berakhlak mulia, sedia bertolak ansur dan menerima
pendapat orang lain, suka bergaul dan menenangkan mereka yang dilanda
masalah, bersifat ikhlas, menepati janji dan berilmu dan boleh berkomunikasi
dengan baik dan selalu memohon pertunjuk daripada Allah.
PENDEKATAN YANG DIGUNAKAN

Rogers menetapkan prinsip penerimaan tanpa syarat, perhubungan yang baik,
kefahaman dan perkongsian dalam pembinaan perasaan klien, keperluan
membina hubungan yang erat antar kaunselor dengan kliennya, sabar dan
menunjukkan minat terhadap masalah yang dinyatakan oleh klien dan
mendengar masalah yang dinyatakan dengan aktif, ikhlas, tulin dan empati.

6

Konvensyen PERKAMA ke XI pada 26 Jun 2003
Bagi teknik yang gunakan pula, bagi Rogers penerimaan tanpa syarat adalah
penting dalam membina perhubungan yang erat antara kaunselor dengan
kliennya. Ini kerana dari sini nantilah klien akan dapat rasakan yang dirinya
diterima dan akhirnya dengan mudah klien dapat menyatakan perasaan yang

sedang melandanya dengan tenang. Rogers juga

menyatakan keperluan

membina suasana yang tenang dan kefahaman kaunselor tentang masalah akan
memberikan hubungan yang erat.
Dari segi perlaksanaan sesi pula, Rogers menyatakan keperluan setting yang
baik, jarak duduk yang selesa antara kaunselor dengan kliennya maksudnya
tidak terlalu jauh atau terlalu hampir dengan kliennya, keadaan bilik yang kedap
bunyi, kontak mata, mencungkil rahsia dan sentuhan tubuh badan jika perlu.
Al Ghazali pula menggunakan pendekatan seperti nasihat dan pengajaran yang
baik, menerima kliennya dengan ikhlas dan tidak memandang rendah kepada
kliennya, ikhlas dan tidak buruk sangka terhadap kliennya, memberi simpati dan
mendengar dengan teliti tentang apa yang hendak disampaikan oleh kliennya
dan kaunseling individu yang halus dan kaunseling individu yang kasar terutama
dalam menangani golongan yang murtad.
Sementara itu teknik yang Al Ghazali gunakan adalah dengan menggunakan
pendekatan al Quran iaitu dengan menyeru manusia kepada 3 cara:a. cara berhikmah yang merangkumi keadilan, meolak kejahilan dengan
meletakkan sesuatu pada tempatnya, berkata benar dan menegakkan
kebenaran berpandukan hujah-hujah Al Quran.

b. Nasihat yang baik seperti dengan memberi ransangan yang baik untuk
meninggalkan perkara yang buruk dan memberikan nasihat dengan
cara yang meyakinkan.
c. Perbincangan iaitu dalam perbincangan tidak ada niat untuk
menjatuhkan air muka klien.

7

Konvensyen PERKAMA ke XI pada 26 Jun 2003
Dari segi perlaksanaan sesi pula, Al Ghazali juga menitikkan tentang pentingnya
setting yang baik, keperluan membina perhubungan awal yang dipanggil ‘taaruf’,
keadaan bilik yang tidak terlalu panas, jarak duduk yang tidak terlalu rapat. Al
Ghazali juga melarang mambuka rahsia atau mencungkil rahsia bagi pasangan
yang telah berpisah, pertentangan mata antara orang yang bukan muhrim,
keadaan bilik yang tidak bertutup rapat (boleh dilihat dna kalau boleh kaunselor
dan klien daripada jantina yang sama.

MANUSIA YANG SIHAT MENTAL

Menurut Rogers manusia yang sihat mental adalah mereka yang cenderung
kearah penyempurnaan kendiri dan dapat berkembang dengan baik dan dapat
menerima

sesuatu

yang

positif

untuk

diri

mereka

kearah

matlamat

penyempurnaan kendiri.
Manusia yang berfungsi sepenuhnya pula dalah organisma yang berubah ke
hadapan mengikut situasi baru dengan cara yang memuaskan untuk menuju
kearah penyempurnaan kendiri. Manusia seperti ini dapat dilihat apabila mereka
dalam suasana yang kongruen dan harmoni antara kendirinya dengan
pengalaman organismanya dan bukan orang yang sering mengherot-berotkan
kenyataannya atau mereka yang bersifat defensif. Rogers juga menyatakan agar
syaratkan penerimaan seseorang individu itu kerana ditakuti akan berlaku
kefungsian terhad terhadap individu itu tadi.
Bagi Al Ghazali pula manusia yang sihat mental adalah mereka yang seimbang
antara iman dengan nafsunya dan mereka yang beriman adalah mereka yang
menuju kejalan selamat dan diredhai Allah. Manusia yang sempurna adalah
mereka yang dapat mengawal 7 anggotanya iaitu tangan, kaki, lidah, perut,
kemaluan, mata dan telinga. Insan yang kamil pula adalah mereka yang sentiasa
berdukacita kerana Allah dan tidak bersedih atas kehilangan nikmat Allah.

8

Konvensyen PERKAMA ke XI pada 26 Jun 2003
Manusia yang berfungsi sepenuhnya pula adalahmereka yang memakmurkan
muka bumi Allah dan beribadat kepadaNya melalui 3 cara iaitu:a. akidah iaitu kepercayaan kepada Allah dengan keyakinan yang teguh
dan tauhid yang bersandarkan kepada Al Quran dan As Sunnah.
b. Syariah bermaksud menyatukan hubungan manusia dengan manusia
dan hubungan manusia dengan Allah penciptanya.
c. Akhlak pula membicarakan tentang hati nurani manusia dan
penghayatannya kepada ajaran agamanya.

KESIMPULAN

Jika dibandingkan pandangan kedua-dua tokoh ini daripada segi konsep
manusia dapatlah dilihat bahawa kedua-duanya melihat manusia sebagai insan
yang sempurna Dari segi perkembangan personaliti manusia itu pula bergantung
pengalaman lepas, kendiri dan organisma menurut Rogers manakala Al Ghazali
menyatakan perkembangan personaliti manusia itu melalui hidayah Allah,
pendidikan dan ibadah.
Dari segi faktor-faktor yang mempengaruhi tingkah laku manusia kedua-duanya
mempunyai pandangan yang hampir sama cuma Al Ghazali menambah tentang
peranan syaitan, hidayah dan faktor iman.
Dari segi latar belakang teori masing-masing bersetuju dengan pendapat
membantu individu mencari kelegaan atau kembali normal selepas menghadapi
krisis. Matlamat kaunseling juga ada banyak persamaan iaitu bertujuan untuk
membantu

individu

berinteraksi

dengan

orang

lain

dan

hidup

dalam

kesederhanaan. Begitu juga dengan ciri-ciri kaunselor yang unggul cuma Al
Ghazali lebih menekankan aspek keagamaan seperti memohon pertunjuk
daripada Allah.

9

Konvensyen PERKAMA ke XI pada 26 Jun 2003
Pendekatan yang digunakan juga hampir sama seperti mementingkan
perhubungan awal dan penerimaan tanpa syarat cuma Al Ghazali berpendapat
pendekatan yang kasar perlu digunakan bagi menangani mereka yang murtad.
Dari segi perlaksanaan sesi Al Ghazali tidak membenarkan sentuhan tubuh
badan, bilik yang bertutup rapat, pertentangan mata, mencungkil rahsia
pasangan yang berpisah dan menggalakkan kaunseling dari jantina yang sama.
Dari segi manusia yang sihat mental dan mereka yang berfungsi sepenuhnya
keduanya bersetuju dengan pendapat manusia yang dapat menerima sesuatu
dengan positif akan memperolehi penyempurnaan kendiri. Cuma Al Ghazali
konsep hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan
penciptanya.
Kesimpulannya pandangan kedua-dua tokoh adalah hampir sama cuma Al
Ghazali mengajak mereka yang dilanda masalah untuk kembali kepada
agamanya kerana disitu nanti mereka akan mendapat ketenangan.

RUJUKAN
Abduh, Sheikh Muhammad. 1969. Risalah Tauhid (Terjemahan). Jakarta: Bulan
Bintang.
Al Ghazali. 1979. Akhlak dalam Islam. Terj. Abu Bakar Atjeh, Kota Bharu:
Jabatan Agama Islam Kelantan.
Al Ghazali. 1979. Keajaiban Hati. Terj. Edisi Ke 2, Nurhikmah, Singapura:
Pustaka Nasional Pte Ltd.
Al Ghazali. 1979. Kimia Kebahagiaan. Terj. Abdul Majid Khatib, Kota Bharu:
Pustaka Aman Press Sdn Bhd.
Al Ghazali. 1988. Ihya Ulumuddin. Terj. Ismail Yaakub, Singapura: Pustaka
Nasional Pte Ltd.
Darwin C. 1888. Life and Letter af Charles Darwin. Vol 3. London: John Murphy.

10

Konvensyen PERKAMA ke XI pada 26 Jun 2003
Muhd Mansur Abdullah. 1986. Kaunseling. Teori, Proses dan Kaedah. Kuala
Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sd. Bhd.
Rogers, C.R. 1942. Counselling and Phychotheraphy, Boston: Houghton
Mifflin.
Rogers, C.R 1951. Client Centered Theraphy, Boston: Houghton Mifflin.
Rogers, C.R 1961. On Becoming A Person. Boston: Houghton Mifflin.
Mohamed Sharif Mustaffa dan Roslee Ahmad. 2002. Peranan Kaunselor
dalam Penerapan dan Pemupukan Nilai-Nilai Murni Melalui Program
Kaunseling Remaja di Sekolah. Satu Wadah Bersepadu. dlm. Wacana
Pendidikan dan Pembangunan Manusia. Fakulti Pendidikan UKM. Bangi,
Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohamed Sharif Mustaffa, Roslee Ahmad dan Jamaluddin Ramli. 2002.
Bimbingan dan kaunseling Asas. Monograf. Edisi Pertama. Fakulti Pendidikan
UTM. Skudai. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.
Mohamed Sharif Mustafffa dan Roslee Ahmad. (2002) Kaunseling Kerjaya dari
Perspektif Islam.(8).
Rogers, C.R 1972. Becoming Partners, A Marriiage and Its Altervatives, New
York: Delacorte.
Rogers, C.R (1980). A Way of Being. Boston: Houghton Mifflin.

11