Aplikasi al Intiqal dalam Produk Berasas

Aplikasi al-Intiqal dalam Produk Berasaskan Makanan
Mohammad Aizat Jamaludin*, Mohd Anuar Ramli**, Shuhaimi Mustafa* dan
Mahmood Zuhdi Ab Majid***
*Laboratori Polisi dan Pengurusan Halal, Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra
Malaysia
**Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
***Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh, Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia

Abstrak. Isu halal haram merupakan polemik yang sering diperdebatkan. Antara isu
tersebut adalah melibatkan yogurt yang dihasilkan dari aktiviti fermentasi oleh
bakteria yang dipencilkan dari najis bayi. Selain itu, timbul juga isu produk
makanan dan minuman yang dihasilkan secara alami seperti kopi luwak, iaitu
daripada proses pencernaan musang. Kedua-dua bahan ini dikategorikan sebagai
mutanajjis (dicemari najis) dan menimbulkan keraguan dalam kalangan pengguna
Muslim. Bagi menangani isu tersebut, pengkaji akan menawarkan satu sumber
verifikasi alternatif hukum Islam iaitu al-Intiqal. Ia boleh dihuraikan sebagai
pemindahan bahan daripada satu keadaan kepada keadaan lain, yang mana ia
memberi implikasi hukum sama ada halal ataupun haram. Pada dasarnya, kaedah
ini tidak dibincangkan secara sistematik dalam perbendaharaan hukum Islam.
Namun, dalam kajian ini pengkaji akan menjelaskan konsep, kategori dan kerangka

al-Intiqal serta aplikasinya dalam penentuan status halal haram produk makanan
dan minuman.
Kata kunci: al-Intiqal, makanan dan minuman, pengguna, fermentasi, halal haram

Pengenalan
Kajian berkaitan penentuan halal haram dalam produk makanan dan minuman
masih berada pada tahap yang minimum. Sedangkan persoalannya kini telah berada
pada tahap yang mendesak apabila memerlukan kajian baharu supaya selari dengan
perkembangan sains dan teknologi. Keperluan kepada penentuan hukum Islam
yang bersifat alternatif dan komprehensif perlu dibangunkan supaya setiap
persoalan baharu yang timbul dapat diselesaikan dengan berkesan.
Dewasa ini, sains dan teknologi telah berupaya menghasilkan sumber bahan
alternatif bagi produk makanan dan minuman yang mana ia bukan lagi diperolehi

secara alami tetapi dilakukan secara sintetik atau bahan tiruan. Salah satu isu
tersebut adalah menggunakan kaedah bioteknologi. Biasanya, antara perbincangan
dalam bioteknologi adalah penggunaan teknologi dalam penghasilan makanan,
kejuruteraan genetik yang mana ia melibatkan penghasilan organisma terubahsuai
genetik (GMO) dan makanan terubahsuai genetik (GMF). Menerusi kaedah ini,
produk baharu dapat dihasilkan dengan lebih berkualiti dan tinggi nilai nutrisi,

mampu meningkatkan kesihatan haiwan dan manusia serta memelihara alam
semulajadi (Holder, 2006; WHO 2005). Dengan nilai positif ini, ia boleh
dikategorikan sebagai halal dan harus dimanfaatkan. Walaupun begitu, sumber
bahan produk akhir tersebut juga boleh jadi haram sekiranya ia mendatangkan
mudarat kepada manusia dan alam sekitar.
Selain produk akhir tersebut, proses pemindahan juga wajar diperhatikan. Ini
kerana ia boleh memberi implikasi terhadap produk akhir sama ada bersifat halal
ataupun haram. Sekiranya proses tersebut melibatkan elemen yang haram seperti
khinzir atau bahan najis, ia boleh memberi kesan negatif terhadap produk akhir dan
dihukum sebagai haram.
Dalam perundangan Islam, proses pemindahan ini boleh dikaitkan dengan
kaedah al-Intiqal. Ia merupakan di antara kaedah alternatif verifikasi dalam
penentuan produk halal haram selain al-Istihalah, al-Istihlak dan al-Istibra’
(Mohammad Aizat dan Mohd Anuar, 2011). Namun begitu, perbahasan berkaitan
kaedah ini masih kurang dibincangkan dalam kalangan sarjana hukum Islam.
Justeru itu, pengkaji akan mengupas kaedah al-Intiqal dari segi konsep,
struktur dan pembahagiannya menurut perspektif hukum Islam. Selain itu, kaedah
al-Intiqal juga akan diaplikasikan terhadap penetuan status produk makanan seperti
yogurt dan kopi luwak.


Konsep al-Intiqal
Secara asasnya, sumber verifikasi halal haram perlu merujuk kepada sumber primer
dan sekunder. Sumber primer termasuklah al-Quran, al-Sunnah, al-Ijma’ dan alQiyas. Manakala sumber sekunder pula adalah Masalih al-Mursalah, al-‘Urf wa al‘Adat, Sadd al-Dhara’i` dan al-Istihsan. Selain sumber yang dibangunkan oleh ulama

Usul al-Fiqh, terdapat juga sumber verifikasi alternatif yang diaplikasikan oleh ulama
fiqh seperti al-Istihalah, al-Istihlak, al-Intiqal, al-Istisbah, al-Tab`iyyat, al-Ihraq dan alIstibra’. Setiap kaedah ini boleh digunakan bagi menyelesaikan persoalan hukum
yang timbul sesuai dengan keadaan, masa dan tempat. Dalam kajian ini, pengkaji
hanya memfokuskan kepada kaedah al-Intiqal sahaja.
Dari segi bahasa, perkataan al-Intiqal berasal dari akar kata na-qa-la (

), yang

bererti memindahkan dan mengalihkan. Manakala al-Intiqal bermakna mengalihkan
dari satu tempat ke tempat yang lain (al-Mu`jam al-Wasit, 2004). Ia juga sinonim
dengan al-tahawwul (

).

Dari segi istilah, pengarang Mu`jam Lughah al-Fuqaha’ menghuraikan al-Intiqal
sebagai perubahan dari satu tempat ke tempat yang lain, atau pemindahan daripada

satu keadaan kepada keadaan yang lain (Qal`ahji, 1996). Penjelasan yang sama turut
disokong oleh pengarang Mu`jam al-Mustalahat wa al-Alfaz al-Fiqhiyyah (Mahmud,
1999).
Berdasarkan pentakrifan tersebut, konsep al-Intiqal adalah satu proses
pemindahan daripada satu keadaan kepada keadaan yang laian, atau dari satu
tempat ke satu tempat yang lain. Kesan pemindahan ini menghasilkan implikasi
terhadap bahan akhir sama ada halal ataupun haram.

Asas Pengambilkiraan al-Intiqal Sebagai Sumber Verifikasi Alternatif
Secara asasnya, perkataan al-Intiqal tidak terdapat di dalam al-Quran dan
dibincangkan di dalam al-Sunnah, mahupun perbincangan ulama Usul al-Fiqh.
Keadaan ini sesuai dengan kedudukannya sebagai sumber alternatif dalam
penetapan hukum Islam.
Walau bagaimana pun, berdasarkan penelitian secara induktif atau al-istiqra’i,
kaedah al-Intiqal ini dapat dibangunkan secara sistematik. Penelitian berbentuk
induktif dapat dihuraikan sebagai menggunakan sekumpulan maklumat yang telah
dikumpulkan dan mencari hubungan dengan data lain yang ada. Dengan kata lain,
penggunaan metode ini adalah bagi menghuraikan data-data yang bersifat khusus
kepada kesimpulan yang bersifat umum (Mohd Michael, 1995). Proses ini


menghasilkan kesimpulan yang umum berdasarkan hukum yang sama pada datadata yang khusus (

) (Saliba, 1982).

Kesimpulan yang dibuat ini dapat memberikan idea dan penemuan baharu secara
lebih menyeluruh khususnya dalam membangunkan al-Intiqal sebagai satu sumber
verifikasi alternatif dalam penentuan halal haram.
Berdasarkan pendekatan tersebut, al-Intiqal relevan untuk dijadikan sebagai
satu sumber verifikasi alternatif hukum dalam menangani permasalahan baharu
dalam masyarakat Islam. Kaedah ini tidak asing dalam khazanah perbendaharaan
hukum Islam. Ini kerana, walaupun ia tidak dibangunkan secara sistematik dalam
kalangan ulama Usul al-Fiqh, namun dari segi aplikasinya, ia telah diterapkan dalam
kalangan ulama fiqh (fuqaha) bagi menangani beberapa isu tertentu. Mahmud
(1999) membahagikan pemindahan ini sama ada ia bersifat haqiqi/hissi ataupun
ma`nawi. Al-Intiqal al-Haqiqi adalah pemindahan dari satu keadaan kepada satu
keadaan lain dalam bentuk fizikal (pemindahan fizikal). Manakala, al-Intiqal alMa’nawi pula adalah pemindahan daripada satu keadaan kepada keadaan lain
dalam bentuk pemindahan tidak fizikal (pemindahan abstrak).
Pengkaji

mendapati


wujud

beberapa

contoh

aplikasinya

dalam

perbendaharaan hukum Islam. Misalnya, dalam bahagian al-Intiqal al-Haqiqi,
biasanya merujuk kepada pemindahan secara fizikal seperti seekor nyamuk
menghisap darah manusia lalu ia terbang ke tempat yang lain. Dalam hal ini,
terdapat jarak masa seterusnya untuk nyamuk tersebut menghisap darah manusia
yang lain. Darah baru yang dihisap oleh nyamuk tersebut kini bukan lagi
dinamakan darah manusia sebaliknya dinamakan sebagai darah nyamuk. Oleh itu,
darah nyamuk adalah suci dan dimaafkan dalam kuantiti yang sedikit (al-Zuhayli,
1997).
Selain itu juga al-intiqal al-hissi dapat dikenalpasti dalam menilai status

pemindahan organ daripada orang kafir sama ada organ tersebut masih lagi bersifat
najis hukmi atau telah suci. Ini kerana dalam Islam, status orang kafir adalah najis
hukmi. Walaupun demikian, apabila berlaku pemindahan organ daripada badan
orang kafir kepada orang Muslim, organ tersebut dihukum sebagai suci dan bukan

lagi dinamakan sebagai organ orang kafir. Begitu juga status yang sama dalam isu
pemindahan darah dan anggota orang kafir. Justeru, ia kini merupakan sebahagian
daripada anggota badan orang Muslim. Sejajar dengan itu, pemindahan yang
berlaku dalam misal yang pertama dan kedua menunjukkan adanya proses
pemindahan secara fizikal.
Dalam bahagian al-Intiqal al-Ma`nawi, iaitu pemindahan secara abstrak, ia
dapat dilihat dalam perbincangan fuqaha misalnya dalam peralihan tempoh ‘iddah
bagi seorang wanita daripada beriddah talak kepada `iddah kematian suami
(Zaydan, 1993). Dalam situasi ini, pemindahan tidak berlaku secara fizikal tetapi
secara abstrak.
Berdasarkan contoh-contoh tersebut, dapat dirumuskan al-Intiqal sebagai satu
kaedah yang melibatkan proses pemindahan daripada satu keadaan kepada
keadaan lain sama ada berbentuk fizikal atau abstrak, yang mana ia memberi kesan
terhadap bahan akhir sama ada bersifat halal ataupun haram. Justeru, kaedah alIntiqal bukanlah suatu yang asing dalam perbendaharaan hukum Islam, namun ia
tidak menjadi perhatian ulama Usul al-Fiqh berbanding ulama fiqh.


Struktur al-Intiqal
Struktur al-Intiqal tidak dibincangkan secara terperinci dalam kalangan sarjana
hukum Islam klasik. Walaupun begitu, ia boleh dibangunkan melalui penelitian dan
penganalisisan supaya terhasil kerangka dan struktur yang komprehensif. Ia dapat
dilihat dalam ilustrasi rajah 1.
Rajah 1: Struktur al-Intiqal
Semula jadi

Bahan Asal

Proses
Pemindahan

Agen
Pemindahan

Tidak Semula Jadi

Bahan Akhir

Proses
Perubahan

Berdasarkan rajah 1, struktur ini melibatkan tiga elemen utama iaitu bahan
asal, agen pemindahan dan bahan akhir. Bahan asal akan mengalami proses
pemindahan kepada bahan akhir melalui agen pemindahan sama ada yang semula
jadi mahupun campur tangan manusia (sintetik). Proses pemindahan berlaku
apabila bahan asal berpindah kepada bahan akhir yang berbeza dari segi fizikal
ataupun kandungan daripada bahan asal. Secara terperincinya, struktur ini adalah
seperti berikut:

Bahan Asal
Bahan asal merupakan elemen asas dalam struktur al-Intiqal. Terdapat beberapa
sumber bahan asal dalam penghasilan bahan makanan dan minuman. Ia dapat
diperolehi sama ada melalui sumber yang berasaskan haiwan atau tumbuhan
(Lokman, 1999).
Haiwan merupakan di antara sumber utama terhadap penghasilan bahan
makanan. Ia digunakan sebagai sumber daging, lemak, agen pembaikan makanan,
penambahan hormon serta enzim dan sebagainya (Nickerson & Ronsivalli, 1989).
Hampir sebahagian besar daripada kandungan badan haiwan dimanfaatkan untuk

kepentingan tersebut. Sebagai contoh, pengambilan daging dan hasil-hasilnya
termasuklah tisu otot serta organ-organ. Antara sumber haiwan yang digunakan
dalam penghasilan bahan makanan ialah haiwan di daratan dan di dalam air
(akuatik). Dalam Islam, semua haiwan adalah dibenarkan untuk dimakan dan
dimanfaatkan melainkan beberapa spesis dan kriteria tertentu. Misalnya, khinzir
dan anjing, haiwan yang tidak disembelih mengikut prosedur yang ditetapkan,
haiwan yang bertaring, burung yang mempunyai kuku pencakar atau memakan
secara menyambar, haiwan yang dipandang jijik oleh `uruf dan sebagainya (alQaradawi, 1978).
Selain haiwan, tumbuhan juga merupakan di antara sumber penghasilan
bahan makanan. Penggunaan sumber tumbuhan termasuklah bijirin seperti
gandum, oat dan barli, sayur-sayuran, buah-buahan, daun, akar dan sebagainya.
Walaupun demikian, penggunaan sumber tumbuhan untuk dijadikan bahan
makanan yang diiktiraf di sisi Syarak hanya tertakluk kepada unsur-unsur yang

membawa faedah kepada tubuh badan dan tidak membahayakan kesihatan
(MS1500:2011).
Walaupun demikian, penentuan kepada bahan asal yang bersumberkan
tumbuhan tidak sukar dan rumit untuk dikenal pasti kandungannya sebagai bahan
asal berbanding sumber-sumber bahan asal yang berasaskan haiwan.
Dalam


perkembangan

teknologi

masa

kini,

bukan

setakat

sumber

konvensional tersebut menjadi asas kepada makanan dan minuman, malah rekayasa
kejuruteraan mampu untuk menggembleng sumber baharu yang diperolehi
daripada mikroorganisma seperti mikrob, bakteria, virus dan seumpamanya bagi
menghasilkan produk makanan yang bermutu tinggi. Dengan kata lain,
kejuruteraan makanan yang berkembang kini dapat menyumbang kepada
terhasilnya produk yang lebih baik dan bermutu.

Agen Pemindahan
Agen pemindahan merupakan elemen asas yang kedua dalam struktur al-Intiqal.
Agen ini bertindak sebagai faktor pemindah kepada bahan asal. Antara agen
pemindahan tersebut sama ada semula jadi atau tidak semula jadi (sintetik).
Pada dasarnya, agen pemindahan secara semula jadi melibatkan beberapa
elemen yang menyebabkan pemindahan tersebut berlaku. Sebagai contoh suhu,
cuaca, keadaan dan persekitaran. Semua agen pemindahan ini akan mempengaruhi
keadaan sesuatu bahan tersebut. Manakala, agen pemindahan tidak semula jadi pula
boleh berlaku campur tangan manusia atau makhluk lain dan juga teknologi
semasa.

Bahan Akhir
Bahan akhir adalah elemen asas yang terakhir dalam struktur al-Intiqal. Ia adalah
bahan yang terhasil setelah melalui proses pemindahan daripada bahan asal.
Penentuan kepada ciri-ciri bahan akhir dapat dikenal pasti melalui pemerhatian
daripada bahan asal serta proses pemindahan yang berlaku.

Justeru, keadaan bahan akhir merupakan penentuan kepada struktur alIntiqal. Pengenalpastian yang mendalam serta terperinci terhadap bahan asal serta
proses pemindahan memberi kesan terhadap bahan akhir yang terhasil sama ada
diterima (halal) atau tidak ditolak (haram) daripada perspektif hukum Islam.

Pembahagian al-Intiqal
Dalam perbincangan fiqh klasik, tiada satu pembahagian yang jelas dilakukan
terhadap kaedah al-Intiqal selain pembahagian kepada hissi dan ma`nawi. Meskipun
begitu, al-Intiqal sebagai kaedah verifikasi alternatif terhadap produk halal haram
wajar dilakukan pembahagian yang sistematik. Ini berdasarkan proses pemindahan
dan bahan akhir yang terhasil. Pembahagian ini juga sesuai dengan prinsip asas
dalam ilmu Usul al-Fiqh seperti maslahah, `uruf dan seumpamanya (al-Zuhayli, 1998).
Sehubungan dengan itu, ia dapat diklasifikasikan kepada dua pembahagian yang
utama iaitu, al-Intiqal al-Sahih dan al-Intiqal al-Fasid.

1.

al-Intiqal al-Sahih

Al-Intiqal al-Sahih merupakan pemindahan yang diterima dalam kalangan sarjana
hukum Islam. Ia merujuk kepada pemindahan daripada satu bahan yang halal yang
mana bahan akhirnya juga adalah halal. Ia boleh dilihat dalam Rajah 2.
Rajah 2: Intiqal Sahih
Bahan Asal
(Halal)

Agen Pemindahan
(Halal)

Bahan Akhir
(Halal)

Berdasarkan rajah 2, al-Intiqal al-Sahih merujuk kepada pemindahan bahan
asal yang halal kepada bahan akhir yang juga halal dengan disokong oleh proses
pemindahan yang halal. Misalnya, buah transgenik. Lihat rajah 3.
Rajah 3: Proses pemindahan buah transgenik

Bahan Asal
(Buah-buahan)
(Halal)

Agen Pemindahan
(Genetik ikan kod)
(Halal)

Bahan Akhir
(Buah transgenik)
(Halal)

Rajah 3 menunjukkan proses pemindahan genetik ikan kod ke dalam buahbuahan transgenik atau disebut sebagai makanan terubahsuai genetik (Genetically
modified food). Ia bertujuan memastikan buah-buahan tersebut bersifat tahan rintang,
tahan lama, berkualiti dan segar. Dalam hal ini, genetik ikan tersebut adalah halal
yang dipindahkan ke dalam bahan asal yang mana menghasilkan bahan akhir yang
juga halal.
2.

al-Intiqal al-Fasid

Al-Intiqal al-Fasid pula merupakan pemindahan yang tidak diterima atau rosak.
Dalam hal ini, pemindahan yang berlaku daripada satu bahan asal kepada bahan
akhir yang mana bahan akhirnya dihukum sebagai haram. Ia boleh dilihat dalam
rajah 4.
Rajah 4: al-Intiqal al-Fasid

Bahan Asal
(Halal)

Agen Pemindahan
(Haram)

Bahan Akhir
(Haram)

Berdasarkan rajah 4, al-Intiqal al-Fasid merujuk kepada pemindahan bahan
asal yang halal kepada bahan akhir yang haram setelah tercemar dengan proses
pemindahan yang haram. Misalnya, haiwan transgenik. Lihat rajah 5.
Rajah 5: Proses pemindahan haiwan transgenik
Bahan Asal
(Haiwan)
(Halal)

Agen Pemindahan
(Genetik khinzir)
(Haram)

Bahan Akhir
(Haiwan transgenik)
(Haram)

Rajah 5 menunjukkan proses pemindahan genetik daripada khinzir ke dalam
bahan asal iaitu haiwan seperti lembu, kambing dan ayam yang kemudiannya
menghasilkan bahan akhir, iaitu haiwan transgenik yang dikategorikan sebagai
haram. Hal ini kerana penggunaan genetik daripada khinzir bertujuan penghasilan
daging yang lebih banyak dalam tempoh masa yang singkat. Walaupun tujuannya

mendatangkan manfaat kepada manusia, tetapi hukumnya tetap haram kerana
melibatkan proses pemindahan yang haram.
Aplikasi al-Intiqal dalam produk Yogurt
Yogurt merupakan produk tenusu yang dihasilkan daripada fermentasi bakteria
yang dipencilkan dari najis bayi. Bakteria ini digunakan bagi menghasilkan yogurt.
Susu yang terfermentasi daripada laktosa ini menghasilkan asid laktik, yang mana
bertindak sebagai bahan pemejal protein susu bagi memberikan tekstur dan sifat
yogurt. Di antara bakteria yang terlibat didalam proses fermentasi tersebut adalah
daripada jenis Lactobacillus bulgaricus dan Bifidobacterium.
Secara umumnya, sumber pemula yogurt adalah bakteria yang diperolehi
daripada najis bayi melalui proses asas mikrobiologi. Dalam proses penghasilan
tersebut, bakteria seperti Lactobacillus bulgaricus dipencilkan dan dibiakkan semula
dalam bentuk rekombinan supaya dapat menghasilkan bakteria yang tulen selepas
dikultur, diempar dan dibersihkan dengan air. Pemencilan dijalankan di mana
bakteria daripada najis bayi ini akan dibiak di atas medium solid pertumbuhan
bakteria (yang mempunyai nutrien untuk pertumbuhan dan pembiakan bakteria).
Bakteria yang membiak di atas medium pepejal ini akan dilihat sebagai koloni yang
berasingan antara satu sama lain. Proses pengayaan bakteria pula dijalankan apabila
koloni ini diambil secara steril untuk dibiak di dalam medium pertumbuhan
bakteria dalam bentuk cecair. Proses pembiakan bakteria di dalam medium
pertumbuhan pepejal dan cecair ini akan dijalankan secara berulang-ulang sehingga
diyakini koloni yang diambil merupakan bakteria yang boleh digunakan untuk
tujuan fermentasi.
Sepanjang proses ini, bakteria asal yang dipencil daripada najis bayi tadi telah
membiak dan hasil akhirnya adalah bakteria yang baharu. Medium pertumbuhan
bakteria sama ada dalam bentuk pepejal atau cecair juga tidak terdiri daripada
kandungan asal najis bayi. Akhirnya bakteria yang tulen terhasil dan digunakan
sebagai agen pemula dalam penghasilan yogurt. Hal ini dapat dilihat dalam Rajah 6.
Rajah 6: Proses Penghasilan Yogurt

Proses Pemindahan

Bahan Asal
(Adunan
Yogurt)
(Halal)

Agen Asal
(Bakteria
daripada Najis
Bayi)
(Laktobasillus)

Proses
Penulinan

Agen Akhir
(Lactobacillus
tulin)

Bahan Akhir
(Yogurt)
(Halal)

Proses Pemindahan

Berdasarkan rajah 6, bahan asal daripada adunan yogurt yang telah
mengalami proses pemindahan secara langsung daripada agen pemindahan iaitu
bakteria. Agen pemindah asal iaitu bakteria daripada najis bayi yang dikategorikan
sebagai najis telah melalui proses pemindahan untuk menghasilkan bakteria tulin
sebelum dipindahkan ke dalam susu untuk menghasilkan bahan akhir iaitu yogurt.
Bakteria pemula ini dianggap sebagai suci kerana ia tidak lagi tercemar dengan najis
bayi. Dalam proses ini, al-Intiqal yang terhasil adalah al-Intiqal al-Sahih yang mana
bahan asalnya halal tetapi telah melalui proses pemindahan dan pemencilan
bakteria baharu melalui kaedah mikrobiologi terlibat yang mana bahan akhirnya
juga dikategorikan sebagai halal.
Pandangan ini selaras dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-62 yang bersidang pada
16 Mac 2004. Muzakarah majlis telah membincangkan mengenai hukum
menggunakan bakteria yang diambil daripada najis bayi sebagai agen pemula dalam
yogurt dan telah memutuskan bahawa hukum menggunakan kultur bakteria yang
dipencilkan daripada sebarang najis sebagai agen pemula dalam yogurt adalah
harus dengan syarat telah melalui proses pengasingan dan penyucian yang sejajar
dengan hukum syarak kerana bakteria yang terdapat di dalam najis bayi adalah
mutanajjis.
Hujah muzakarah majlis adalah bahawa bakteria merupakan makhluk yang
dijadikan oleh Allah SWT dan tiada nas yang menyebut tentang pengharaman atau
statusnya sebagai najis. Walaupun bakteria selalu digambarkan menyebabkan
penyakit namun kajian sains menyingkap satu lagi rahsia bukti kebesaran Allah
SWT bahawa setiap sesuatu yang dijadikan di atas muka bumi ini tidak sia-sia.
Berdasarkan kepada prinsip "setiap sesuatu pada asalnya adalah halal" dan "setiap

sesuatu pada asalnya adalah harus" maka memanipulasi bakteria baik untuk manfaat
manusia adalah tidak bertentangan dengan syariat (www.e-fatwa.gov.my).

Aplikasi al-Intiqal dalam produk Kopi Luwak
Kopi luak adalah kopi yang bersumberkan najis daripada musang atau disebut
sebagai

luwak

(Paradoxurus

hermaphroditus).

Pelbagai

lapisan

masyarakat

menggemari kopi sebagai minuman penyegar, sumber kekuatan serta tenaga dalam
tubuh badan. Namun dalam keghairahan menikmati minuman tersebut, masyarakat
juga tidak sedar tentang sumber pemerolehan kopi juga boleh menimbulkan
pertanyaan (Schoenholf, 1999).
Asasnya, kopi adalah halal dimakan kerana ia bersumberkan tumbuhan yang
tidak beracun dan memudaratkan kesihatan. Walaupun begitu, kopi luwak adalah
sejenis kopi yang diperolehi melalui kutipan yang dilakukan oleh petani-petani di
ladang dengan menjadikan musang atau luwak sebagai agen pencari kopi terbaik.
Kopi luwak terkenal di Indonesia semenjak penjajah Belanda membuka ladang kopi
di Nusantara (sekitar 200 tahun yang lalu) sebelum Indonesia menyatakan
kemerdekaannya pada 1945. Manualnya, kopi luwak dihasilkan bermula dengan
pekerja ladang mengambil dan memisahkan biji kopi dari kotoran Luwak (Marcone,
2004).
Kopi Luwak dihasilkan daripada proses fermentasi buah kopi di dalam
saluran pencernaan haiwan luwak dengan menggunakan enzim yang khas sehingga
menghasilkan rasa dan aroma istimewa bagi peminat kopi (Hayes & Laudan, 2009).
Luwak mampu memilih buah kopi terbaik dan masak dengan matang untuk
dimakan. Seterusnya, biji kopi tersebut mengalami proses pencernaan di saluran
penghadaman luwak sehinggalah ia keluar kembali sebagai tinja atau najis dengan
mengekalkan struktur asas fizikal biji kopi tersebut yang keras. Kemudian, petani
mengutip dan mengambil biji kopi yang dijumpai di ladang bersama najis luwak
yang keluar bersamanya. Biji kopi tersebut dibasuh, dikeringkan, ditumbuk
sehingga hancur dan melalui proses biasa seperti penghasilan kopi.
Dalam kitab ulama Melayu klasik yang berorientasikan mazhab Syafie,
musang atau al-tha‘lab (al-Marbawi,1350H) adalah sejenis haiwan yang halal

dimakan apabila disembelih (al-Banjari, 1343H). Namun begitu, dalam isu ini
persoalannya bukan musang akan tetapi sumber pemerolehan biji kopi tersebut
sama ada ia dikategorikan sebagai suci atau sebaliknya. Para ulama mazhab Syafie
berpendapat, sekiranya sumber pemerolehan bahan itu najis, ia adalah haram
dimakan. Biji kopi luwak kini bukan lagi diperolehi terus dari pokok malah dari
hasil tinja haiwan luwak. Oleh kerana itu, berasaskan tersebut ia tetap dipandang
menjijikkan kerana biji kopi luwak tersebut telah tercemar dan kini disebut sebagai
najis dari musang.
Namun

terdapat

juga

sebilangan

para

ulama

berpandangan

yang

menyatakan ia adalah halal. Ini kerana jika ada haiwan memakan biji tumbuhan
kemudian dikeluarkan dari perut, jika kekerasannya tetap dalam keadaan asal, yang
sekiranya jika ditanam dapat tumbuh, maka tetap suci tetapi harus disucikan
bahagian luarnya kerana terkena najis. Ini kerana apabila musang memakannya ia
tetap tidak mempengaruhi struktur asas biji kopi. Kemudiannya, ia dibersihkan dan
melalui proses biasa menghasilkan serbuk kopi untuk diminum. Dalam kata lain,
para ulama Melayu klasik berpandangan ia adalah halal (al-Banjari, 1343H).
Dalam mengaplikasikan kaedah al-Intiqal terhadap isu kopi luwak, biji kopi
tersebut telah dipindahkan oleh musang yang mana akhirnya ia melalui proses
pencernaan dalam bentuk tinja. Pemindahan atau Intiqal yang berlaku ini telah
menghasilkan kopi yang terbaik. Ini kerana musang hanya memilih kopi yang
terbaik sebagai bahan makanan. Bahan akhir yang dihasilkan ini adalah halal. Lihat
Rajah 7.
Rajah 7 Proses Penghasilan Kopi Luwak

Proses pemindahan

Bahan Asal
(Biji Kopi)

Agen
Pemindahan
(Musang/Luwak)

Proses Perkumuhan

Bahan Akhir
(Tinja Musang)

Proses Penyucian

Biji Kopi

Berdasarkan rajah 7 tersebut, bahan asal iaitu biji kopi telah melalui proses
pemindahan yang dilakukan oleh musang atau luwak sehingga haiwan tersebut
menjalankan proses perkumuhan untuk menghasilkan bahan akhir iaitu tinja
musang. Dalam hal ini, tinja tersebut dihukumkan sebagai haram. Walau bagaimana
pun, biji kopi luwak tersebut boleh berubah menjadi halal setelah melalui proses
penyucian.
Pandangan ini turut disokong dengan fatwa yang telah diputuskan oleh
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam
Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan
Hukum Meminum Kopi Luwak (Musang). Muzakarah telah membuat keputusan
bahawa biji Kopi Luwak (musang) adalah bersifat mutanajjis dan ia harus dijadikan
bahan minuman dengan syarat:
1. biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah
dan dapat tumbuh jika ditanam; dan
2. biji kopi tersebut hendaklah disucikan terlebih dahulu daripada najis.

Justeru, dalam isu meminum kopi luwak, para ulama Melayu klasik telah
mendepani masa dengan berpandangan statusnya yang halal. Ini kerana sifat kopi
tersebut adalah mutanajjis dan ia boleh melalui proses penyucian semula disebabkan
struktur fizikal kopi tersebut tidak mengalami perubahan bentuk asalnya,
sebaliknya ia hanya dipindahkan oleh luwak melalui proses perkumuhan.
Sehubungan dengan itu, dalam konteks ini kopi luwak adalah halal untuk diminum.

Kesimpulan
Sumber verifikasi alternatif dapat membantu menguatkan lagi sumber yang sedia
ada. Walaupun tidak dibincangkan secara sistematik, sumber ini telah diaplikasi
dalam kalangan fuqaha klasik. Dalam aplikasi al-Intiqal terhadap produk yogurt
dan kopi luwak, telah berlaku proses pemindahan, yang mana produk akhirnya
adalah halal. Justeru, kaedah al-Intiqal relevan dalam menangani perkembangan
semasa khususnya dalam era kemajuan sains dan teknologi.

Rujukan
al-Banjari, Syeikh Muhammad Arshad (1343H), Sabil al-Muhtadin, Pulau
Pinang: Dar al-Mu‘arif.
Hayes, D. & Laudan, R. (eds.) (2009), Food and Nutrition. New York: Marshall
Cavendish.
Holder, B. 2006. Defining genetically engineered organisms. In Genetically
engineered organisms and the Environment. Report of the ENVS 4800
Critical Thinking 2006 Class.
Lokman Ab. Rahman (1999), Halal dan Kepenggunaan, Melaka: Jabatan Agama Islam
Melaka (JAIM).
Mahmud `Abd al-Rahman, Mu`jam al-Mustalahat wa al-Alfaz al-Fiqhiyyah.
Kaherah: Dar al-Fadilah.
Malaysian Standard 2011, MS1500:20011, Cyberjaya: Department Standard of
Malaysia.
al-Marbawi, Muhammad Idris Abdul Rauf (1350H), Qamus al-Marbawi. cet. 4,
Mesir: Mustafa al-Babi al-Halabi.
Marcone, M.F. (2004), “Composition and Properties of Indonesian Palm
Civet Coffee (Kopi Luwak) and Ethiopian Civet Coffee”, Food Research
International (2004). pp. 901-912.
Mohammad Aizat Jamaludin & Mohd Anuar Ramli (2012), “Kaedah
Alternatif Terhadap Penentuan Halal Haram Produk Makanan Dan
Bukan Makanan” dalam Suhaimi Ab Rahman & Mohammad Aizat
Jamaludin (eds.), Halal Haram Dalam Kepenggunaan Islam Semasa.
Serdang: Penerbit UPM.
Mohd Michael Abdullah (1995), Pemikiran Kritis, Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.
al-Mu‘jam al-Wasit (2004), cet. 4, Mesir: Maktabah al-Syuruq al-Dauliyyah.
Nikerson, T.R. & Ronsivalli, J. (1989), Pengenalan Sains Makanan, (terj.) Mohd Khan
Ayob et al. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Qal‘ahji, Muhammad Rawwas (1996), Mu’jam Lughah al-Fuqaha’, Beirut: Dar alNafa‘is.
al-Qaradawi, Yusuf (1978), al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, Arab Saudi: al-Ittihad alIslami al-‘Alami.
Saliba, Jamil (1982), al-Mu‘jam al-Falsafi bi-al-Alfāẓ al-‘Arabiyyah wa-al-Faransiyyah waal-Inkiliziyyah wa-al-Laṭīniyyah, Beirut: Dār al-Kitāb al-Lubnāniyyah.
Schoenholf, D.N., (1999), “Kopi Luwak: The Stercoaceous Coffee of
Indonesia”, Tea and Coffee Trade Journal, pp. 142-146.
WHO. 2005. Modern food biotechnology, human health and development an
evidence based study. Food Safety Department, World Health Organization.
Geneva, Switzerland.

www.e-fatwa.gov.my, “Hukum Menggunakan Bakteria Yang Diambil Daripada
Najis Bayi Sebagai Agen Pemangkin Dalam Yogurt”.
Zaydan, `Ab al-Karim (1993), al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bayt al-Muslim.
Beirut: Mu’assasah al-Risalah.
al-Zuhayli, Wahbah (1997), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, cet. 4, Dimasyq: Dar al-Fikr.
al-Zuhayli, Wahbah (1998), Usul al-Fiqh al-Islami, juz. 2, Damsyik: Dar al-Fikr.