ROCK OO ARAHAN MAMAT KHALID SEJARAH KE

ROCK OO ARAHAN MAMAT KHALID:
SEJARAH, KENANGAN DAN KEJUJURAN
oleh Hassan Abd Muthalib
Rimba Bara, kemampuanmu terlalu besar…
- Amy Mat Piah di dalam Rock Oo.
Siapa dan apakah itu manusia yang bergelar rocker? Inilah dua perkara yang cuba diterokai oleh Mamat
Khalid di dalam filem terbaru arahannya, Rock Oo (2012). Rock Oo adalah sekuel kepada filemnya
sebelum ini, ia itu, Rock (2005) tetapi Rock Oo mampu berdiri dengan sendirinya dari sudut naratif.
Kedua-dua filem ini menggunakan subjek, milieu dan hampir kesemua pelakonnya adalah yang sama.
Mamat pernah bertanya: “Apakah filem rock semata-mata untuk rockers?” Dia sendiri menjawab:
“Tidak. Ia adalah untuk semua orang. Kerana setiap orang itu adalah rocker. Rock itu bukan pada pakaian
tetapi sesuatu yang tersemat di dalam hati.” Inilah yang menjadi asas untuk Mamat menyampaikan
sebuah kisah penuh pathos melalui Rock Oo. Dan Mamat merupakan karyawan yang paling sesuai untuk
menceritakannya kerana dia sendiri pernah terlibat di dalam era rock sebagai salah seorang anggota
kumpulan rock bernama Drop Out yang terdiri dari pemuda-pemuda yang sememangnya drop out dalam
segala hal di masa itu.
Rock Oo Amat Signifikan
Mamat bertindak sebagai ‘perakam sejarah’ untuk memaparkan ‘tragedi’ yang berlaku ke atas
musik rock dan pemuda-pemuda yang meminatinya di era 1980-an. Tanpa rakaman ini, satu detik penting
dalam sejarah hiburan tanahair akan hilang begitu saja sebagaimana disebut oleh Amir Muhammad di
dalam mokumentarinya, The Big Durian: “Masa silam kita sedang lenyap di hadapan mata kita. Kerana

itu setiap kenangan menjadi semakin penting.”
Rock Oo berada dalam golongan segelintir filem-filem arus perdana yang mengambil pendekatan
alternatif pada struktur naratif, teknik dan estetikanya, sekaligus menjadikannya sesuatu yang signifikan
dari sudut sejarah, budaya dan seni filem tanahair. Elemen komedi di dalam Rock Oo adalah
kesinambungan gaya komedi yang bersahaja yang menjadi trademark Mamat dalam kesemua filemfilemnya. Parodi sekali lagi menjadi pendekatan Mamat, tetapi kali ini, Mamat dilihat mula bereksperimentasi dan bermain dengan rupa dan bentuk filem (playing with film form). Elemen surealisme yang
digunakannya di babak-babak tertentu tidak kabur malah diadun dengan plot dengan teratur untuk
melahirkan subteks yang tajam dan mendalam.
Anda tidak perlu menonton filem Rock yang awal untuk memahami kisah selanjutnya di dalam
filem Rock Oo. Namun, adegan di akhir filem Rock Oo itu akan mengingatkan kita (yang sudah menonton
Rock) tentang jalan yang berliku dan segala pahit maung yang pernah dialami kumpulan Rimba Bara
semasa mula berghairah dengan musik rock.
Semangat persaudaraan begitu kental di hati pemuda-pemuda ini. Amy Mat Piah (Que Haidar),
walaupun gagal menjadi vokalis Rimba Bara tetapi dia masih diterima oleh rakan-rakannya. Di akhir
cerita melalui syot yang dekat, Amy, dengan senyuman yang manis, mengenang masa silam Rimba Bara.
Suara latarnya penuh sayu: “Rimba Bara, kemampuanmu terlalu besar…” Saya percaya, setiap kali

Mamat Khalid menonton adegan ini, pasti air matanya bergenang, terkenang masa silam kumpulan Drop
Out yang sudah lenyap dari sejarah rock tanahair tanpa pembelaan.
Kisah di Dalam Rock Oo
Rock Oo adalah tentang empat pemuda yang berasal dari sebuah kampung berdekatan dengan

bandar Taiping. Selepas gagal diterima sebagai kumpulan musik rock (sebagaimana ditunjuk di akhir
filem Rock), mereka membawa diri masing-masing. Ketua kumpulan, Zack (Hasnul Rahmat), sudah
mengambil keputusan untuk berhenti menjadi ahli kumpulan Rimba Bara. Kini Jijoe (Khir Rahman)
menjadi teraju tetapi mereka memerlukan seorang pemain gitar utama. Pencarian berakhir apabila mereka
bertemu dengan seorang legenda musik rock, ia itu, Slash Haji Tapah (Pekin Ibrahim), yang kian lama
telah mengasingkan diri dari masyarakat dan hidup berseorangan di sebuah pondok di pinggir kampung.
Jiwa Amy Mat Piah membara untuk menjadi vokalis Rimba Bara. Apakan daya, dia tidak mampu
untuk melakukan yang sebaiknya. Tetapi jiwanya begitu dekat dengan musik rock dan ini difahami oleh
Jijoe. Dengan tiba-tiba, muncullah Zul Kapan (Soffi Jikan) yang kembali ke kampong dari Kuala Lumpur.
Kumpulannya, Malaikat Maut, sudah diharamkan oleh kerajaan kerana salah seorang anggota sudah
mentokak leher seekor itek semasa satu gig! “Kesiannya!” menjerit rocker-rocker yang melihat kejadian
itu.
Muncul pula Che Man (Kamarul Hj Yusof), seorang promoter yang flamboyant yang pernah
menjadi pergurus mereka sebelum itu. Walaupun dia pernah mengecewakan mereka, anggota Rimba Bara
menerimanya semula, dan di atas desakkannya, mereka berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib
sekali lagi. Malangnya, nasib tidak menyebelahi mereka. Che Man terlalu banyak berhutang dengan dua
kumpulan rock. Akhirnya dia diberkas polis dan dibawa ke penjara. Rimba Bara bertemu pula dengan
Che Wan (Saiful Apek) dan dia menjadi pengurus baru mereka. Malangnya sekali lagi, tragedi menimpa
dan mereka berpisah dengan Che Wan.
Dengan itu, kumpulan Rimba Bara mengambil keputusan untuk kembali ke kampong. Beberapa

tahun kemudian, mereka dilihat berjaya dan beraksi di program televisyen. Tetapi ianya berlaku hanya
selepas mereka menjalani upacara di mana rambut mereka dipotong oleh bapak menteri (menteri
penerangan semasa itu). Mereka dilihat ‘berjaya’ hanya selepas tunduk kepada pihak berkuasa dan
menjadi konformis. Tetapi maruah mereka sudah hilang untuk selama-lamanya. Apakah rockers tanpa
berambut panjang? Bala! Bala!
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikuli
Kenangan Amy Mat Piah adalah sesuatu yang manis tetapi ia sebenarnya sesuatu yang amat
pahit. Itulah yang dituntut oleh sejarah, masyarakat dan pemimpin. Selepas insiden memotong rambut,
media memberikan laporan negatif tentang penglibat musik rock sehingga demam rock di era itu semakin
lenyap. Inilah yang dikatakan kezaliman manusia terhadap manusia. Benarkah rock membawa
kemusnahan kepada negara? Dengan sinis, Mamat memberikan dialog yang sarat dengan makna kepada
Jijoe yang melihat rakan rocker yang menderita: “Gout tu! Gout boleh jatuhkan negara, tau!” Rocker juga
mampu berfalsafah. Kata Jijoe lagi: “Macam kapal selam. Kalau tak boleh selam, naik ke darat. Jadi
reban!”

Sejarah sudah membuktikan bahawa orang-orang yang tidak memahami sesuatu akan bertindak
menghukumnya. Masyarakat dan pemimpin tidak tahu tentang keinginan dan pengorbanan orang-orang
muda di era rock yang mengejar cita-cita. Mereka diperlihatkan sebagai manusia-manusia yang songsang.
Sebaliknya Mamat Khalid memperlihatkan pemuda-pemuda rock sebagai manusia-manusia waras yang
bersopan santun, berbudi bahasa, memberi salam, beristighafar, berfalsafah, tolong menolong dan tahu

hukum hakam. Rupa dan aksi rock menggila mereka hanyalah di atas pentas. Apakah ini sukar difahami?
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikuli”, mengeluh rocker yang mentokak leher itek.
Apa dah jadi dengan Malaysia!
Syot terawal memberi penanda tentang kisah sebenar di dalam Rock Oo. Seorang kanak-kanak
perempuan berlari dan menyampaikan sesuatu kepada Amy yang menjual ais kacang di gerai. Ini
menandakan innocence pemuda-pemuda di zaman itu yang tidak ada pendidikan tinggi dan mudah terikut
sesuatu yang menghairahkan mereka. Tetapi bukankah kesalahan itu terletak kepada media yang
memaparkan segala-galanya untuk mengaut keuntungan? Ia juga merupakan kerja pemimpin yang
membenarkan semua itu berlaku. Siapakah yang sebenarnya yang patut disalahkan? Apakah rock akan
memusnahkan negara? Kata Jijoe dengan serius kepada Slash: “Tiga perkara boleh meruntuhkan negara –
rasuah, tidak menepati masa dan cinggay!”
Sejarah berulang lagi. Keadaan hari ini masih seperti yang dulu, malah mungkin lebih buruk lagi
dengan program-program hiburan yang melimpah ruah tanpa kawalan mutu. Realiti diabaikan, alam
fantasi pula diperbesarkan. ‘Lawak’ kini sudah menjadi ‘maha lawak’ dan ‘maha buruk’ dan ‘maha
meloyakan’. Kritikan tajam Mamat tentang perkara-perkara ini dapat dilihat dalam beberapa adegan di
dalam Rock Oo. Di awal filem, antara lirik nyanyian kumpulan rock SYJ dalam lagu Orang Timur
berbunyi: “Apa dah jadi dengan Malaysia!” Klip-klip video musik arahan Mamat seakan menyamai apa
yang dibuat di luar negara tetapi dibuat dengan penuh sopan dan artistik yang adakalanya amat
melucukan. Ini dibandingkan dengan lagu Kuala Lumpur nyanyian (Dato’) Malik Redzuan yang sering
berkumandang di radio sehingga sekarang. Ianya diparodikan oleh Mamat, dan diperlihatkan dengan gaya

seorang penyanyi yang jelas sudah ketinggalan zaman.
Kuala Lumpur didendangkan sebagai kotaraya “penyeri hidup” tetapi bagi kumpulan Rimba
Bara, ia hanya membawa pembohongan, kesengsaraan – dan kelaparan. Apakah yang lebih sedih daripada
gambaran empat orang pemuda memandang dengan sayu pada ubi kentang sebiji yang sedang direbus!
Mamat merujuk kepada kosmologi Melayu untuk menunjukkan adegan Zul Kappan melompat dan
membuka langkah silat. Rupa-rupanya ada manusia Melayu yang boleh ‘naik sheh’ dan beraksi silat
apabila terlalu lapar! Dalam satu adegan lagi yang digambarkan secara surealistik, kita melihat beberapa
remaja di atas jembatan merentasi jalan raya. Kamera bergerak dengan perlahan dan melalui long take
berdurasi dua minit, seorang demi seorang dilihat bermain bermacam alat musik. Ada yang bermain gitar,
cello, biola, seruling dan gambus. Terdapat juga set televisyen yang menunjukkan permainan sitar, sebuah
alat rakaman audio dan seorang remaja wanita berdeklamasi puisi. Inilah gambaran sebahagian remaja
yang berbakat yang berhijrah ke kotaraya tetapi tidak memperolehi kejayaan.
Lagu dan video musik Kuala Lumpur bersifat fantasi dan memberi gambaran yang palsu. Tetapi
itulah yang menjadi kegemaran dan permintaan stesen-stesen televisyen. Visual-visual yang ikonik seperti
Tugu Negara dan bangunan Dayabumi adalah satu kemestian. Klip video musik dengan lagu Suci Dalam
Debu pula menampakkan kesedihan Slash yang terpaksa tinggalkan pacarnya apabila mahu ke Kuala

Lumpur. Penyampaian lagu dan visual kelihatan lebih serasi, yang memberikan gambaran sebenar emosi
watak utama (Slash) di dalam video musik itu. Inilah namanya kejujuran dalam berkarya yang
bersandarkan realiti! Dalam filem cereka Karaoke arahan Chris Chong, perkara yang sama diperkatakan.

Begitu juga di akhir telemovie Senandung Malam arahan Dain Said. Kesemua filem ini mempersoalkan
masa depan generasi muda yang berbakat tetapi tidak memperolehi peluang.
Nawaitu Mamat Khalid
Mamat menyampaikan secebis kisah mengenai kumpulan rock Rimba Bara yang mengalami
pelbagai liku hidup. Mereka hanya sebahagian dari ramai pemuda yang cuba mencapai kejayaan dengan
mengikuti cita-cita masing-masing. Sebagai seorang karyawan filem, tentunya Mamat melihat lebih jauh
lagi dan bukan hanya mahu menyampaikan kisah remaja. Sejarah menjadi guru kepada kita semua.
Apakah kejujuran, persaudaraan dan keakrabaan yang terdapat pada anggota kumpulan Rimba Bara dapat
dicontohi oleh penglibat industri hiburan tempatan? Apakah itu nawaitu sebenar Mamat Khalid di dalam
naskah Rock Oo?
Rupa-rupanya, kisah, dunia dan manusia rock bukan sembarangan. Kisah empat remaja di dalam
filem Rock Oo mampu menyampaikan kepada kita bahawa hidup ini tidak seindah apa yang disogok
kepada kita melalui dendangan lagu dan cerita-cerita filem dan drama televisyen arus perdana.
Artikel ini disiar di blog hiburan www.myikram.com pada 1 Mac 2013 bertajuk ROCK OO: ANTARA
PARODI, SEJARAH & KEJUJURAN