Pandangan Awal terhadap Laporan Awal Pel

Pandangan Awal terhadap Laporan Awal Pelan
Pembangunan Pendidikan
Pendahuluan
Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) telah pun dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak. Menurut beliau,[1] PPP bersifatkan futuristik, berani, telus, menyeluruh dan
demokratik dan ianya dirangka untuk membantu setiap pelajar sekolah di Malaysia
merealisasikan bakat yang telah dikurniakan kepadanya. Beliau juga menyatakan bahawa hasil
daripada PPP ini akan memenuhi impian dan asiprasi rakyat negara.
Akan tetapi, sejauh mana kekukuhan pendapat beliau adalah terbuka untuk dibahaskan. Di antara
persoalan berkenaan kenyataan Najib ialah kewujudan lompong dalam kebenaran pelaksanaan
kuasa autonomi oleh pejabat daerah dan sekolah daripada apa-apa keputusan yang dibuat oleh
Kementerian Pelajaran. Kebebasan melaksanakan kuasa desentralisasi langsung tidak
dibincangkan dalam laporan awal PPP ini. Sepertimana pembaharuan yang diimpikan oleh Najib,
suatu pembaharuan terhadap cara sekolah mengendalikan pelaksanaan keputusan yang berbeza
dari keputusan pusat Kementerian seharusnya ditangani atau sekurang-kurangnya dirujuk untuk
laporan PPP yang sepenuhnya.
Pada masa yang sama, laporan awal PPP ini juga tidak menyentuh secara menyeluruh mengenai
para guru yang gagal mencapai prestasi cemerlang. Persoalan yang timbul adalah sama ada
memindahkan guru berprestasi rendah ke fungsi lain akan menyelesaikan masalah sistem
pendidikan dalam negara? Adakah tindakan ini bersifat proaktif terhadap cita-cita seseorang
untuk menjadi seorang guru yang berdedikasi akan tetapi gagal mencapai standard yang

ditentukan oleh Kementerian Pelajaran? Adakah tindakan ini adil kepada guru-guru yang
berdedikasi, guru yang disayangi oleh para pelajarnya tetapi gagal mencapai “standard” yang
ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran? Ketentuan mengenai standard Kementerian Pelajaran
adalah samar-samar lantas, berpotensi menjadi sebuah alat penyelewengan. Persoalan ini timbul
ekoran pengamatan berkenaan standard kementerian dalam beberapa aspek penting khususnya
keputusan pelajar. Keputusan murid sekolah saban tahun sering dilaporkan sebagai cemerlang
dari segi bilangan murid yang mendapat A, tetapi anehnya, pelajar Malaysia masih jauh
ketinggalan berbanding pelajar negara lain meskipun jumlah A begitu merangsangkan? Apakah
“Taburan Normal” yang pernah didakwa sebagai panduan dalam penilaian standard murid, kalau
wujud, akan dijadikan rujukan dalam penilaian standard guru?
Kelompangan laporan awal PPP ini tidak terhenti di situ. Penerbitan laporan ini juga melihatkan
terdapatnya kekurangan penekanan oleh Kementerian Pelajaran dalam pembangunan modal
insan negara ini berbanding dengan negara-negara maju seperti Korea Selatan dan Singapura.
Pembangunaan modal insan yang signifikan untuk pembangunan negara, untuk memastikan para
pelajar kita membesar menjadi individu yang lengkap bukan sahaja kemahiran menghafal, tetapi
lengkap dengan kemahiran-kemahiran lain yang membenarkan para pelajar kita bersaing dengan
para pelajar dari negara-negara maju seperti Korea Selatan, Singapura dan Finland.

Angka Tidak Tepat
Selepas Najib mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009, beliau telah

melaksanakan beberapa pelan peralihan yang menurut beliau berpotensi untuk mentransformasi
negara kepada sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Namun prestasi
sistem pendidikan negara yang gagal untuk mencapai keputusan yang memberangsangkan pentas
antarabangsa telah menjadi satu halangan dalam perjalanan Malaysia menjadi sebuah negara
maju mahupun sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Menurut laporan awal PPP ini, Malaysia menduduki tempat ketiga terbawah dalam Penilaian
Pelajar Antarabangsa (PISA) 2009 bagi ujian Matematik, Sains dan membaca. Dalam penilaian
yang terkini, hampir 60% pelajar sekolah Malaysia gagal mencapai paras minimum dalam
penilian subjek Matematik. Begitu juga peratusan rendah yang dicapai oleh para pelajar
Malaysia dalam kemahiran membaca dan subjek Sains iaitu sebanyak 44% dan 43%.
Jadual 1: Perbandingan Kedudukan Pisa 2009+ Malaysia dengan Negara Lain

Sumber: Laporan awal PPP
Merujuk kepada Jadual 1, Malaysia berada di tangga 55, 54 dan 52 bagi Bacaan, Matematik dan
Sains, masing-masing berada di belakang negara Thailand. Walaupun Malaysia berada di tangga
hadapan Indonesia, akan tetapi, pada masa yang sama Malaysia berada di tangga yang lagi
rendah berbanding negara Croatia, Republik Slovak juga Ireland. Ini menandakan kegagalan
pelajar Malaysia dalam menandingi kebolehan menguasai kemahiran mengira, membaca dan

menganalisis sesuatu perkara. Ianya juga menandakan kekurangan dalam budaya membaca yang

membawa kepada minat belajar dalam dan luar kelas.

Korea Selatan yang pada satu ketika mempunyai ekonomi yang lebih lemah daripada Malaysia,
kini menguasai dan mendahului Malaysia dalam ketiga-tiga bidang; Matemaik, Sains dan
membaca. Persoalan yang tidak dijawab oleh laporan awal PPP ini mahupun oleh Najib ialah di
mana silap kita sebagai ekonomi yang dikenali sebagai “salah satu tiger economy of South East
Asia”? Persoalan yang timbul ialah di mana silap kita dalam merancang sistem pendidikan
Malaysia? Malah negara jiran kita yang kecil, Singapura telah mendahului kita dari pencapaian
Matemaik, Sains dan membaca.
Najib berkata bahawa tiada keaiban dalam berasa malu mengakui bahawa Malaysia menduduki
tempat ketiga terbawah dalam PISA 2009 dalam ujian matematik, membaca dan sains. Beliau
menyifatkan tindakan ini oleh kerajaan Malaysia sebagai suatu tindakan berani dalam
menghadapi realiti dan ini menunjukkan keupayaan Malaysia untuk mengubah situasi tersebut.
Namun persoalan yang bebas untuk dibahaskan adalah sama ada ini mencukupi untuk
mengatakan bahawa kerajaan persekutuan ikhlas dalam menangani masalah sistem pendidikan
negara ini setelah 55 tahun memegang pentadbiran negara pasca laporan PPP? Kerajaan
persekutuan menunjukkan bahawa purata jumlah perbelanjaan bagi pendidikan negara ini adalah
sebanyak 16 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan Belanjawan Negara dari tahun 2008
hingga tahun 2012. Jumlah ini merupakan jumlah yang tinggi berbanding dengan negara lain.
Jadual kedua yang dipetik daripada Laporan awal PPP telah menunjukkan Malaysia berada di

kedudukan kedua selepas Thailand berkenaan perbelanjaan pendidikan asas jika berbanding
dengan Korea, Hong Kong dan Jepun atau negara-negara lain.

Jadual 2: Perbelanjaan Pendidikan Asas Sebagai Peratus Jumlah Perbelanjaan Kerajaan
bagi Malaysia dan Negara setara

Sumber: Laporan Awal PPP
Namun begitu, selepas diteliti oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), ianya didapati
bahawa angka yang diterbitkan oleh laporan awal PPP dalam Jadual 2 ini adalah kurang tepat
berbanding angka yang dikeluarkan oleh Laporan UNESCO mengenai perbelanjaan Korea ke
atas pendidikan negara mereka.[2] Menurut laporan tersebut, perbelanjaan kerajaan Korea
dalam pendidikan asas adalah sebanyak 20 peratus daripada perbelanjaan nasional dan jika ianya
digabung dengan pendidikan tinggi, peratus tersebut mencapai sebanyak 24 peratus dan bukan 11
peratus yang ditunjuk oleh laporan PPP. Lantas, ini merupakan salah satu daripada perkaraperkara yang mengelirukan dan menimbulkan pertanyaan. Seharusnya, laporan-laporan penting
seperti laporan awal PPP yang bertanggungjawab mengenai perancangan pendidikan negara
adalah tepat dan bebas daripada fakta-fakta yang mengelirukan rakyat.
2008

2009


2010

2011

2012

27,268,030,471

28,822,699,753

28,253,024,345

29,360,378,000

32,698,787,200

4,681,213,992

5,136,579,263


4,971,703,030

6,402,584,700

4,581,995,900

31,949,244,463

33,959,279,016

33,224,727,375

35,762,962,700

37,280,783,100

Tahun
Mengurus
Pembangunan
Jumlah

Jumlah besar
Belanjawan

202,640,721,366 208,154,659,798 191,498,805,000 213,987,217,000 232,832,900,000

Peratus daripada
Keseluruhan
Belanjawan (%)

15.8

16.3

17.3

16.7

16.0

Jadual 3: Anggaran Perbelanjaan Kementerian Pelajaran Tahun 2008 – 2012

Sumber: Laporan Belanjawan Persekutuan
Jadual 3 yang dikemaskini oleh KPRU menunjukkan bahawa selama 5 tahun peruntukan
kerajaan kepada Kementerian Pelajaran dikekalkan pada 16-17 peratus daripada jumlah
keseluruhan Belanjawan Negara. Penemuan ini membuktikan kekurangan kajian terperinci oleh
kerajaan persekutuan dalam penentuan keadaan sebenar sistem pendidikan negara, terutamanya
dalam menentukan penyelesaian kepada kos mentadbir yang semakin meningkat, jumlah pelajar
yang semakin meningkat dan penyelesaian kepada bilangan guru yang tidak mencukupi dalam
sekolah-sekolah.
Manakala, walaupun Kementerian Pelajaran mendapat peruntukan sebanyak RM36 bilion pada
tahun 2011. Namun (Sila lihat Jadual 4) didapati 61 peratus daripada peruntukan tersebut
digunakan untuk operasi pendidikan, 18 peratus digunakan untuk perbelanjaan pembangunan,
hanya 3 peratus diperuntukkan untuk pembangunan profesionalisme keguruan, dan sebanyak 11
peratus diperuntukkan untuk pembayaran berbentuk “ONE-OFF”.
Jadual 4: Pecahan Peruntukan Belanjawan 2011 di Kementerian Pelajaran

Sumber: Laporan Belanjawan Persekutuan
Jadual 4 menjelaskan pecahan penggunaan peruntukan kerajaan BN dalam perkara sistem
pendidikan negara. Sebahagian besar (60 peratus) daripada peruntukan di bawah Kementerian
Pelajaran digunakan untuk operasi pendidikan; iaitu pentadbiran di sekolah-sekolah. Manakala
hanya 1 peratus diperuntukan untuk melaksanakan dasar dan pembangunan pendidikan

Kementerian Pelajaran dalam sekolah-sekolah berbanding dengan peratusan sebanyak 18 peratus
yang digunakan untuk perbelanjaan pembangunan di bawah Kementerian Pelajaran. Manakala
11 peratus peruntukan digunakan untuk membayar program-program “One-Off” seperti Program
Susu 1Malaysia dan penyelenggaraan sekolah dan asrama.
Ketidaksamaan pengagihan peruntukan di bawah Kementerian Pelajaran ini menunjukkan
bahawa hanya peratusan yang kecil iaitu 1 peratus yang digunakan untuk penambahbaikan
pelajar menurut dasar-dasar pendidikan yang dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran. Ini juga
menunjukkan ketirisan di pihak Kementerian kerana sebahagian besar peruntukan digunapakai
untuk kegunaan pejabat-pejabat berbanding kegunaan ke atas penambahbaikan pembelajaran
para pelajar di sekolah-sekolah. Persoalan yang timbul adalah di bawah pentadbiran kerajaan
BN, adakah peruntukan untuk kegunaan pejabat-pejabat lebih penting daripada memastikan para
pelajar dapat belajar dalam keadaan kondusif dan efektif berteraskan dasar-dasar pendidikan?

Jadual 5: Sasaran Program Untuk Semakan Semula pada 2015

Sumber: Laporan Awal PPP
Jadual 6: Sasaran Program Untuk Semakan Semula pada 2015 (Bahasa Inggeris)

Sumber: Laporan Awal PPP
Seperti yang dapat dilihat dalam Jadual 5 dan 6 di atas, Ekshibit 6-10 bagi penerbitan bahasa

Inggeris dan bahasa Melayu merupakan dua perkara yang berbeza lantas mengelirukan para
pembaca mengenai apa yang ingin dicapaikan oleh kementerian dalam pembentangan laporan
awal PPP ini. Ekshibit 6-10 penerbitan laporan awal PPP dalam bahasa Melayu menyatakan
program-program yang disasarkan oleh kementerian untuk mengalami pemotongan peruntukan
dan di antara program-program sekolah yang disasarkan ialah program Bantuan Makanan
Asrama, program Skim Pinjaman Buku Teks (SBPT) dan program Susu 1Malaysia. Manakala
bagi Ekshibit yang sama dalam penerbitan bahasa Inggeris pula, pemotongan peruntukan
disasarkan kepada beberapa kategori. Di antara kategori yang akan mengalami pemotongan
peruntukan ialah peruntukan untuk elaun perjalanan dan penginapan, menambahkan jumlah
sekolah bagi satu kontrak untuk perkhidmatan profesional, layanan mesra (hospitality) dan
mengurangkan peruntukan bagi pembekalan bahan.
Persoalan yang timbul ialah mengapa kementerian menerbitkan dua Ekshibit yang berbeza bagi
perkara pengurangan peruntukan program-program? Jumlah penjimatan yang disasarkan juga
mempunyai perbezaan. Dalam penerbitan bahasa Melayu, jumlah yang disasarkan adalah
sebanyak RM579-813 juta manakala dalam penerbitan bahasa Inggeris pula jumlah yang
disasarkan adalah sebanyak RM190 juta. Kalau perbezaan ini bukan masalah teknikal, maka
Pperbezaan dalam pembentangan maklumat memberikan gambaran ketirisan kewangan yang
serius berlaku dan penerbitan maklumat yang berbeza ini juga mencerminkan kekurangan
ketelusan kementerian dalam memperbaharuai sistem pendidikan melalui pembaharuan
pentadbiran kementerian.

Keperluan Desentralisasi Kuasa Pentadbiran dalam Pembaharuan
Ini membuka kepada persoalan kekurangan ketelusan Kementerian dalam melaksanakan
desentralisasi yang akan memberi kuasa autonomi kepada pejabat daerah dan para pengetua
untuk menentukan program kurikulum dan ko-kurikulum yang sesuai untuk sekolah dalam
daerah yang ditadbir. Najib mahupun laporan ini gagal untuk menjelaskan sama ada
desentralisasi atau pemusatan kuasa autonomi yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dalam
usaha pembaharuan sistem pendidikan pasca laporan awal PPP ini.
Gambar Rajah 1: Cadangan Laluan Bagi Guru yang Secara Konsisten Berprestasi Rendah

Sumber: Laporan Awal PPP
Laporan awal PPP ini juga gagal untuk menyiarkan cara kementerian menentukan minat dan
kekuatan para pelatih guru sebelum mereka ditugaskan. Sebagaimana juga laporan ini juga gagal
untuk menyiarkan bagaimana guru-guru yang didapati yang tidak dapat ditugaskan mengikut
kekuatan mahupun minatnya akan ditugaskan di sekolah berbeza. Laporan awal PPP ini gagal
untuk menyatakan kaedah yang digunakan untuk tentukan faktor yang menentukan sekolah mana
yang akan ditugaskan kepada guru yang mana.
Sepertimana Gambar Rajah 1 di atas, guru yang berprestasi tinggi akan dikembalikan kepada
laluan normal manakala guru yang mencapai hasil yang dipindahkan ke fungsi lain. Di samping
kekaburan penjelasan mengenai sistem sokongan yang akan diberikan kepada para guru yang
berprestasi rendah, gambar rajah di atas gagal menjelaskan cara dan tempoh masa guru tersebut
akan dinilai. Tiada ukuran mengenai apa yang dimaksudkan dengan ukuran prestasi berdasarkan
kompetensi. Terdapat kekaburan mengenai apa yang dimaksudkan dengan kompetensi. Juga
terdapat kekaburan mengenai apa yang dimaksudkan dengan ‘hasil yang mungkin dicapai’.
Laporan ini gagal untuk menyatakan mengenai kayu ukur yang digunakan untuk menentukan apa
yang dimaksudkan dengan ‘hasil yang mungkin dicapai’.
Keengganan kerajaan untuk menerbitkan empat laporan[3] oleh UNESCO, World Bank, laporan
panel yang diketuai oleh bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri
Dzulkiflee Abdul Razaq dan sebuah lagi laporan sebuah panel yang diketuai oleh Tan Sri Wan
Zahid Wan Noordin hanya akan menyebabkan spekulasi orang awam mengenai ketelusan
kerajaan untuk membawa sebarang perubahan bermakna kepada sistem pendidikan dalam
negara.
Pegawai Cekap Digalakkan, Ketidakcekapan Dibiarkan?
Gambar Rajah 2: Cadangan Transformasi Struktur Kementerian

Sumber: Laporan Awal PPP
Sama seperti keengganan kerajaan untuk menerbitkan empat laporan ini, begitu juga keengganan
kementerian untuk membersihkan senarai pegawai yang tidak cekap. Ianya akan membawa
kepada bubble yang akan menjejaskan usaha kerajaan untuk merevolusikan sistem pendidikan
dalam negara. Memindahkan pegawai yang tidak cekap ke bahagian atau tempat lain tidak akan
membantu usaha pembaharuan kerajaan ini. Lambat laun, bubble ini akan pecah dan dalam
konteks usaha pembaharuan sistem pendidikan ini, pecahnya bubble ini akan memberi kesan
negtaif kepada aliran ke bawah sistem pendidkan negara. Mana-mana pegawai atau staf atau para
guru dan pengetua yang tidak cekap akan menjejaskan prestasi dan keupayaan para pelajar untuk
memajukan diri mereka lantas, mengalahkan tujuan pembaharuan sistem pendidikan negara ini
melalui kenderaan PPP.

Gambar Rajah 2 menggambarkan harapan kementerian untuk menyelesaikan masalah
pentadbiran bertindih di antara pihak sekolah, daerah dan kementerian. Akan tetapi, seperti yang
sudah dijelaskan dalam perenggan di atas, dengan hanya memindahkan pegawai yang tidak
cekap, masalah kaedah pelaksanaan dasar oleh pentadbiran kementerian dan sekolah tidak akan
selesai. Lambat-laun, susunan organisasi pentadbiran yang berbentuk piramid ini akan
mengembang dan ianya akan kembali pada bentuk asal. Untuk menjayakan kaedah piramid ini,
seharusnya kementerian pelajaran menguruskan jumlah staf yang kembung iaitu sebanyak
32,200 orang kepada bilangan yang lebih strategik untuk menjayakan susunan organisasi piramid
tersebut.

Masalah Teknikal atau Ketirisan?
Dalam usaha memperbaharui infrastruktur, kerajaan telah membelanjakan lebih daripada RM20
bilion untuk perkara ini sahaja. Namun, keadaannya masih kekal di mana infrastruktur elektrikal
bagi 57 peratus sekolah menengah iaitu 1,293 daripada 2,285 buah sekolah berada dalam
keadaan yang teruk manakala 30 peratus daripada sekolah menengah mengalami situasi
infrastruktur fizikal berada dalam keadaan getir.
Gambar Rajah 3: Mengenal Pasti Jurang Infrastruktur di Sekolah-Sekolah

Sumber: Laporan Awal PPP
Gambar Rajah 3 menunjukkan bahawa walaupun dengan peruntukan sebanyak RM20 bilion dari
tahun 2006 hingga 2010, kerajaan masih tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah yang
membelenggu sekolah-sekolah di Malaysia. Rancangan Malaysia Ke-9 membelanjakan sebanyak
80 peratus daripada peruntukan RM19,771 juta pada penambahbaikan insfrastruktur fizikal,
namun, 27 peratus sekoah masih tidak mempunyai makmal komputer untuk kegunaan para
pelajar dan guru sekolah. Begitu juga bagi makmal sains di mana 20 peratus sekolah masih tidak
mempunyai makmal sains bagi pembelajaran para pelajarnya.

Penutup Kata
Laporan yang telah dibanggakan sebgai laporan awal revolusi dalam pembaharuan dalam sistem
pendidikan ini merupakan suatu kesamaran yang menyeluruh. Ianya merupakan suatu aksi
publisiti pra-pilihan raya umum yang akan datang. Walaupun ianya hanya merupakan sebuah
laporan awal, akan tetapi, suatu laporan yang kononnya bakal membawa pembaharuan kepada
sistem pendidikan di Malaysia seharusnya lengkap dan tidak mengelirukan rakyat Malaysia.
Seharusnya kerajaan bersikap telus dengan menerbitkan sekali empat laporan bersama-sama
dengan pelancaran laporan awal PPP ini bagi menampilkan keikhlasan kerajaan dalam
memperbaharui sistem pendidikan negara.

Pembaharuan yang efektif dan proaktif tidak memerlukan perbelanjaan berbilion-bilion ataupun
jutaan. Ia memerlukan sekumpulan individu yang bersemangat untuk membantu memajukan
pembelajaran para pelajar supaya mereka dapat membesar menjadi seorang warga yang proaktif
dalam masyarakat. Sumbangan kumpulan individu tersebut secara profesional sewajarnya
dipandangan berat tanpa campur tangan politik dan kesemua laporan yang menyokong dan tidak
menyokong laporan PPP didedahkan untuk tatapan dan penilaian. Perubahan kosmetik tidak
akan memberi manfaat kepada para pelajar. Tidak menerbitkan laporan-laporan lain berkenaan
serentak dengan pelancaran awal laporan awal PPP ini juga tidak membantu keadaan.
Dengan itu, ia dapat disimpulkan pada peringkat awal bahawa pelancaran awal laporan awal PPP
ini hanyalah sebuah retorik Najib untuk mendapat keyakinan rakyat terhadap “keikhlasan”
kerajaan BN dalam menerajui pembaharuan dalam negara.