Pendekatan Risale i Nur Terhadap Tasawuf

Pendekatan Risale-i Nur terhadap Tasawuf dan Tarekat
Pasca Keruntuhan Khilafah Uthmaniyyah Turki 1924M
Muhammad Faiz bin Khalid
Institut Islam Hadhari (HADHARI-UKM)
Ibnor Azli Ibrahim
Jabatan Syariah, FPI-UKM
Institut Islam Hadhari (HADHARI-UKM)
Abstrak
Pasca runtuhnya khilafah Uthmaniyyah di Turki pada 1924M, umat Islam mengalami banyak
cabaran, antaranya serangan negara-negara kolonial yang terus cuba memecah belah
kesatuan umat, pengaruh fahaman Barat serta cabaran perkembangan keilmuan dan sumber
manusia. Ketika itulah muncul Said Nursi sebagai sosok ulama yang peduli terhadap maruah
bangsa dan masalah umat cuba memberikan jalan keluar terhadap permasalahan tersebut
dengan mengembalikan paradigma umat ke landasan yang betul terutama dalam
permasalahan tasawuf dan tarekat. Para ulama tasawuf ketika itu terbahagi kepada dua
pemikiran yang berbeza, antara yang menentang tasawuf dan yang fanatik terhadapnya.
Kajian ini menjelaskan pendirian Said Nursi terhadap tasawuf dan tarekat serta bagaimana
Said Nursi memberikan jalan tengah terhadap dua pemikiran tasawuf yang ada dengan tetap
menjaga kesatuan umat. Metode kajian yang digunakan ialah kajian kepustakaan terhadap
Risale-i Nur kumpulan karya Said Nursi dan juga kajian perbandingan dengan karya ulama
salaf dan kontemporari yang membahas isu tasawuf dan tarekat. Kajian ini mendapati

bahawa Said Nursi melalui karya agungnya risale-i nur mempunyai pendekatan yang
moderat terhadap dua pemikiran tasawuf yang berbeza, beliau mampu mengembalikan titik
kesamaan pemikiran kepada landasan utama dalam Islam yakni Al-Quran dan Al-Hadis.
Said Nursi dalam banyak tulisannya menawarkan jalan keluar terhadap permasalahan umat
dengan mengajak mempertingkatkan keimanan dan menguatkan akidah serta pentingnya
menguasai keilmuan moden sebagai satu konsep tasawuf yang tidak hanya mengedepankan
amalan zikir dan kepercayaan terhadap maqam dan ahwal semata-mata.
Kata kunci : tasawuf, tarekat, risale-i nur, Said Nursi
1.PENDAHULUAN
Menjelang keruntuhan khilafah Uthmaniyyah pada 1924M berlaku kegaduhan politik di
Turki sebagai impak upaya reformasi kalangan liberalis muda yang mahu menjadikan Turki
sebagai negara republik dan menghapuskan sistem khalifah. Di lain pihak cabaran daripada
negara-negara kolonial yang menjajah dan menguasai negeri-negeri Islam serta pecahnya
Perang Dunia I kian menambah masalah umat Islam secara menyeluruh.

1

Dalam kondisi seperti itu Said Nursi muncul dengan membawa idea dan harapan
baharu bagi generasi Islam agar bangkit semula dari penjajahan, kemunduran ekonomi,
pergaduhan politik, kemerosotan intelektual serta kekeringan akidah dan ghairah Islam. Ia

lahir di Anatolia Timur pada 1877M dan tumbuh sebagai seorang pelajar yang cemerlang,
cerdas dan haus akan ilmu pengetahuan sehingga kelak akan menuliskan banyak karangan
yang di himpun dalam Risalah-Risalah Cahaya (Risale-i Nur).
Risale-i nur ialah karya yang menghimpun tulisan-tulisan Said Nursi yang ditulis
antara tahun 1927M sehingga 1950M yang berjumlah tidak kurang daripada 130 risalah
dalam bahasa Turki dan 3 risalah dalam bahasa Arab (Ihsan 2010: 132). Said Nursi
merupakan ulama yang berani dalam membantah kebijakan sekular kerajaan Republik Turki
yang menggantikan sistem kekhalifahan Uthmaniyyah. Said Nursi berpandangan kukuh
terhadap kemurnian ajaran Islam serta mahu Islam di kembalikan ke jalan yang sebenar,
bukan Islam sekular yang berkiblat pada pandangan Barat.
Risale-i nur sebetulnya bukanlah karangan yang memfokuskan perbahasan tentang
tasawuf dan tarekat sahaja justeru terdapat banyak tema lain yang di bahas dalam karangan
Said Nursi tersebut, antaranya perbahasan tafsir al-Quran, konsep keimanan dan akidah,
akhlak, sejarah, sosiologi, pendidikan dan lain sebagainya. Bagaimanapun Said Nursi juga
memberikan perhatian cukup serius terhadap tasawuf dan tarekat sehingga dapat dijumpai
dalam banyak jilid dalam risale-i nur, seperti dalam al-Kalimat, al-Maktubat dan al-Lama’at
perbahasan mengenai isu tasawuf dan tarekat.
1.1

Pernyataan Masalah


Semenjak sebelum runtuhnya empayar Uthmaniyyah para ulama sudah berbeza sikap dan
pandangan terhadap tasawuf dan tarekat. Sebahagian ulama melarang dan mengharamkan
segala aktiviti yang terkait dengan ajaran tasawuf dan tarekat, sedangkan sebahagian lagi
fanatik terhadapnya sehingga menganggap remeh kelompok yang mengamalkan syariat
sahaja tanpa turut mengamalkan tarekat.
Dalam suasana yang lain pun terdapat khilaf atau perselisihan di antara kumpulan
yang fanatik terhadap tasawuf, yakni sebahagian menganggap bahawa tarekat kumpulan nya
sajalah yang paling selamat dan paling benar sedangkan golongan yang lain adalah sesat.
Melihat perkembangan seperti ini dikhuatirkan akan menjadikan umat Islam terpecah
kepada dua kelompok yang bertentangan dan saling menyalahkan bahkan mengkafirkan, oleh
itu diperlukan satu pendekatan yang dapat mengembalikan paradigma umat yang salah
kembali kepada paradigma asas yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.
1.2

Persoalan Kajian

Terdapat beberapa soalan yang diajukan dalam kajian ini, antaranya:
a. Apa pandangan Said Nursi terhadap tasawuf dan tarekat?
b. Bagaimana pendirian Said Nursi terhadap dua pemikiran tasawuf yang bertentangan?


2

c. Bagaimana penjelasan Said Nursi terhadap manfaat atau kebaikan tarekat dan tasawuf
serta bahaya dan cabarannya?
1.3

Objektif Kajian

Kajian ini menjawab beberapa persoalan di atas, sebagai berikut :
a. Menjelaskan pandangan Said Nursi terhadap tasawuf dan tarekat menerusi karyanya
risale-i nur.
b. Membahas pendirian Said Nursi yang penuh kesederhanaan dalam menengahi dua
pemikiran tasawuf yang berbeza dengan tidak menghakimi dan mudah mendakwa.
c. Memaparkan manfaat atau kebaikan tasawuf dan tarekat serta cabaran dan bahayanya
dalam pandangan Said Nursi menerusi karangannya risale-i nur.
1.4

Tinjauan Literatur


Terdapat beberapa buku dan tesis ilmiah yang membincangkan pemikiran Said Nursi dalam
bidang tasawuf dan tarekat, antaranya:
Seperti dipaparkan Muhammad Taufik Ramaḍān Al-Būthy (2006) dalam tajuk altasawwuf wa atsaruhu fi shakhṣiyyah Al-ustādz Badiuz Zaman Said Al-Nursi (Tasawuf dan
Pengaruhnya Terhadap Keperibadian Bediuz Zaman Said Nursi) yang menjelaskan
pandangan Said Nursi terhadap tasawuf menerusi kajian al-talwīhat al-tisʿah (Sembilan
Risalah) dari risale-i nur. Kemudian dijelaskan pula bahawa tasawuf banyak memberikan
pengaruh sekali gus menjadi faktor yang membangun karakter peribadi Nursi. Oleh itu kajian
akan menyempurnakan tulisan tersebut dengan mengukuhkan hujah menerusi pandangan
ulama tasawuf lainnya dan menambahkan perbahasan mengenai jasa-jasa dan kebaikan
tarekat serta cabaran dan bahayanya.
Dalam satu tulisan yang bertajuk “Jaulah ma’a al-imām al-Nursi wa nazratuhu li altasawwuf” (Perjalanan Bersama Imam Nursi dan Pandangannya Terhadap Tasawuf) Khadijah
Al-Nabrawy (2006) mengungkapkan asas-asas pemikiran Said Nursi seperti perpaduan antara
akal dan kalbu serta konsep kesederhanaan yang akan membawa pada kesatuan umat. Tulisan
tersebut di ambil daripada koleksi risale-i nur al-matsnawy al-araby al-nūri dan ṣayqal alIslām, dengan memberikan penjelasan secara umum. Oleh itu kajian ini akan memperdalam
penjelasan dengan menyertakan pandangan ulama lain yang terkait dengan pemikiran tasawuf
yang moderat.
Sedangkan hasil kajian dalam bentuk tesis ilmiah yang membahas tasawuf dan tarekat
Said Nursi iaitu tesis Dr.Zaprolkhan (2007) yang bertajuk “Komparasi Pembaharuan Tasawuf
Hamka dan Said Nursi” yang berjaya dipertahankan dalam sidang tesis di UIN Sunan
Kalijaga Jogjakarta. Dalam tesis tersebut penulis memperbandingkan pembaharuan tasawuf

yang dilakukan oleh Hamka di Indonesia dengan Said Nursi di Turki yang memiliki
kesamaan konsep tasawuf yang moden, moderat dan terbuka. Penulis menjelaskan kritik dan
apresiasi Said Nursi terhadap tasawuf serta mengungkapkan asas konsep tasawuf nya
3

menerusi karya risale-i nur. Oleh itu kajian akan memperdalam bahasan mengenai pandangan
Said Nursi terhadap tasawuf dan tarekat disertai hujah dan perbandingan dengan pandangan
ulama tasawuf lainnya.
2. METODOLOGI
2.1

Reka Bentuk kajian

Kajian ini menggunakan metode kualitatif kerana menyangkut sejarah pemikiran (intelektual)
(Sartono 1993: 176).Kajian tidak mengolah data dengan analisa kuantitatif, sebaliknya kajian
hanya berfokus pada kajian kepustakaan terhadap risale-i nur yang merupakan objek kajian
dalam aspek pemikiran dan konsep Said Nursi terhadap tasawuf dan tarekat.
Tahapan kajian bermula dengan proses pemilihan, pemikiran dan kemudian tafsiran
(Muhd. Yusof 1986: 91). Pemilihan dilakukan dengan memilih kawasan Turki (mewakili
dunia Islam) sebagai negara tempat tinggal Said Nursi dengan latar waktu menjelang hingga

masa selepas runtuhnya empayar Uthmaniyyah Turki pada 1924M. Kemudian tahap
pemilihan berikutnya adalah menentukan tajuk tasawuf dan tarekat sebagai salah satu tema
yang terdapat dalam risale-i nur berserta pemilihan sumber-sumber kajian yang terkait
dengan tajuk tersebut.
Langkah kajian seterusnya adalah analisis pemikiran Said Nursi yang tertuang di
dalam risale-i nur yang terkait dengan isu tasawuf dan tarekat serta dengan melakukan kajian
perbandingan dengan pemikiran ulama tasawuf lainnya baik ulama salaf (terdahulu)
mahupun ulama kontemporari.
2.2

Pemilihan Setting

Kajian ini berfokus pada perbahasan tentang perkembangan tasawuf dan tarekat pasca
keruntuhan empayar Turki Uthmaniyyah pada 1924M, yakni ketika Said Nursi mula menulis
dan menyebarkan risale-i nur secara sembunyi-sembunyi di Turki yang bermula pada tahun
1927M sehingga tahun 1950M. Tema kajian terhad kepada bidang tasawuf dan tarekat sahaja
dan tidak menyertakan bidang lain yang turut Said Nursi jelaskan di dalam risale-i nur seperti
bidang pendidikan, sejarah, akhlak, sosial dan lain sebagainya.
3. HASIL KAJIAN DAN PERBINCANGAN
Di dalam risale-i nur Said Nursi memaparkan takrif tasawuf dan tarekat sebagai jalan untuk

mengenal hakikat keimanan dan hakikat al-Quran melalui jalan rohani di bawah panduan
sunnah Rasulullah s.a.w. bermula dari langkah hati sehingga mencapai rasa atau zauq
menyerupai tingkatan penyaksian atau syuhud (Said 2011: 563). Takrifan tersebut
mendedahkan pandangan Said Nursi bahawa matlamat dalam tasawuf dan tarekat adalah
mencapai hakikat keimanan dan al-Quran bukan untuk mencapai tingkatan wali ataupun
untuk mendapatkan karamah semata-mata.
Bagi Said Nursi penggerak rohani adalah zikir kepada Allah dan tafakkur yang tiada
henti sehingga dapat melenyapkan kemurungan, ketakutan dan rasa keterasingan manusia
4

(Said 2011: 564). Zikir ialah amalan lisan sedangkan tafakur merupakan amalan fikiran,
namun begitu zikir tidak hanya dapat dilantunkan oleh lisan akan tetapi hati pun juga
mempunyai amalan zikir tersendiri (Abd Bari 1963: 55), yakni dengan selalu merasai
kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T.
Peraturan tarekat seperti zikir atau wirid yang menghasilkan zauq di dalam hati
sewajarnya menjadi pembuka jalan kepada suatu perasaan yang lebih tinggi dan mulia iaitu
dapat melaksanakan perkara fardu dan sunnah yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. dan
bukan perkara sebaliknya dengan beranggapan bahawa zikir dan wirid tarekat lebih utama.
Tarekat dan tasawuf merupakan wasilah atau perantara sahaja, ia tidak boleh bertukar
menjadi matlamat (Abd Bari 1963: 50). Melaksanakan satu kefarduan sebagai kepatuhan

kepada syariat adalah lebih hebat dan agung. Bahkan ia tidak sama sekali menyamai wiridwirid tarekat yang diamalkan, apatah lagi untuk menggantikan tempat fardu ataupun sunnah
(Said 2011: 576).
Hakikat keimanan adalah inti risalah yang dibawa Rasulullah s.a.w. dan dapat
diterima secara ainul yaqin (keyakinan penuh) oleh tingkatan kewalian. Oleh itu, menurut
Said Nursi kewalian ialah hujah syariah yang membenarkan kerasulan dan ajaran nabi,
sedangkan tarekat adalah hujah kebenaran hukum syarak yang ditetapkan Allah S.W.T.
kedua-duanya merupakan rahsia kesempurnaan Islam, punca ketinggian insani dan sumber
limpahan cahaya kemanusiaan sejagat (Said 2011: 565).
Dalam isu kewalian terdapat perkara khilaf atau perselisihan di antara umat Islam,
yakni apakah kewalian hanya dapat muncul dari golongan Ahlu Sunnah sahaja atau tidak?
Perkara ini menurut Said Nursi (2011: 426) telah memecah pandangan umat kepada tiga
kumpulan: Pertama, pendapat yang menyatakan bahawa kewalian hanya dapat muncul dari
golongan Ahlus Sunnah sahaja. Penyokong utama kelompok ini adalah dari kalangan ahli
zahir kebanyakannya.
Kumpulan kedua beranggapan bahawa kebenaran bukan terhad untuk Ahlus Sunnah
sahaja. Dengan pendapat seumpama ini, mereka telah membentuk aliran bid'ah ( amalan yang
mengada-ada) yang terus mengheret ke alam kesesatan. Mereka terlupa bahawa orang yang
memberi petunjuk kepada dirinya sendiri tidak semestinya mampu memberi petunjuk kepada
orang lain. Meskipun tuan gurunya mungkin dimaafkan atas kesilapan yang dilakukan tanpa
sedar, namun murid tidak akan dimaafkan jika mengikuti kesilapan guru dengan sengaja.

Kumpulan ketiga mengambil jalan tengah. Mereka tidak menolak berlakunya
kewalian dari golongan di luar Ahlu Sunah akan tetapi tidak juga menolak sifat soleh mereka,
namun demikian mereka tidak bertolak ansur dengan kesesatan mazhab dan tarekat yang
mereka ikuti. Hujah mereka tentang kesesatan itu bahawa apa yang disebut dengan ucapan
yang bertentangan dengan syarak mungkin disebabkan mereka tenggelam dalam ahwal
(keadaan) sehingga menjadikan mereka tersilap. Atau mungkin juga kerana syatahat
(perilaku di luar kawalan), yakni seumpama perkara mutasyabihat yang tidak difahami
makna dan hakikatnya.

5

Melihat perbezaan pandangan tersebut Said Nursi (2011: 428) mempunyai pendirian
bahawa sebahagian para wali meskipun kelihatan seperti waras dan betul serta mereka
mempunyai kemampuan akal yang memahami logika, namun mereka terkadang juga mudah
ditarik ke alam yang mereka tidak mampu mengawal diri (majzubin).
Di kalangan mereka ini ada yang mudah terkeliru dan tidak mampu membezakan
antara dua perkara yang serupa tetapi tidak sama. Apa yang dilihatnya ketika mabuk makrifat
(fana’) diguna pakai ketika mereka dalam keadaan sedar sehingga kadang lupa tentang
dirinya dan orang atau keadaan di sekelilingnya (Yusri 2011: 101).
Ketika itu mereka tersilap namun mereka tidak tahu bahawa itu adalah satu kesilapan.

Oleh sebab itu golongan majzubin ini terpelihara di sisi Allah S.W.T., sebab mereka bukanlah
dari golongan sesat seperti sesatnya golongan lain. Mereka itu adalah sama seperti orang gila
yang baik-baik bahkan diberkati. Hukum gila itu dikenakan kepada mereka sehingga
bebaslah melakukan apa yang dianggap sebagai di luar batas manusia yang waras kerana
sebenarnya mereka tidak lagi mukallaf (dibebani menjalankan syariat) (Said 2011: 428).
Oleh kerana status mukallaf tiada lagi pada diri mereka, maka mereka tidak boleh
dijadikan ukuran hukum atau dihukum (Yusri 2011: 102). Oleh kerana kewalian mereka
adalah kewalian yang tidak normal seperti menyokong golongan ahli bid'ah bahkan
melakukan perbuatan bid'ah itu sendiri. Inilah yang menjadi sebab mengapa ramai
penyokong kebenaran dan orang yang beriman terkeliru lantas terlibat dengan jalan yang
salah ini (Said 2011: 428).
Tarekat dan tasawuf yang bertepatan dengan sunnah akan membuahkan kebaikan
yang mampu menghapuskan kesilapan para pengamal nya sehingga mampu mempertahankan
keimanan dari kesesatan dan penyimpangan akidah (Said 2011: 566). Sebaliknya seseorang
yang tidak melalui jalan tarekat atau hatinya tidak bergerak ke arah jalan Allah S.W.T. adalah
amat payah baginya untuk mempertahankan diri di hadapan pengaruh dan serangan
kekufuran dan kefasiqan bahkan sebahagian ulama berkata bermulalah kiamat jika sudah
tiada seorang Muslim yang bergerak menuju Allah S.W.T. (Hj Ali 2006: 132).
Antara faedah duniawi tasawuf dan tarekat yang tidak boleh dinafikan adalah semakin
melebar sayap ukhuwah (persaudaraan) di antara kaum Muslimin di seluruh dunia sehingga
mampu mempertahankan khilafah Islamiah selama lebih dari 550 tahun pada zaman
kekuasaan empayar Uthmaniyyah di Turki (Said 2011: 567).
Di samping faedah tersebut Said Nursi (2011: 582) juga memaparkan manfaat dan
kebaikan amalan tarekat lainnya, sebagai berikut:
a. Melalui tarekat akan mampu menzahirkan hakikat keimanan dan membebaskan dari
sebarang kekeliruan dan syubhah. Ini akan membawa ke tahap ain al yaqin (keyakinan inti),
tetapi mestilah melalui tarekat yang benar dan tidak menyimpang.
b. Seseorang insan akan mampu mengenali hakikat kewujudannya yang sebenar dengan cara
mengerahkan setiap inci tubuh dan derianya untuk melaksanakan tugas yang kerananya ia
dicipta, yakni beribadah kepada Allah S.W.T. semata-mata.
6

c. Seorang insan dapat membebaskan dirinya dari keterasingan yang membosankan atau
keseorangan dalam menuju Allah S.W.T. serta dapat merasai pertautan hatinya dengan rakanrakan satu kafilah dengan persahabatan hakiki dan kasih sayang yang telus ketika menuju
alam yang kekal abadi (alam akhirat).
d. Tarekat dapat membebaskan jiwa manusia dari belenggu keduniaan dan dapat menyelinap
keluar dari alam keasingan yang menyakitkan yang dirasakannya terhadap alam semesta ini.
e. Seseorang akan dapat merasakan hakikat taklif (kewajipan) syariat yang dipikulnya. Dia
akan memberi nilaian yang tepat terhadap hukum syarak melalui hatinya yang hidup dan
berdenyut dengan zikir kepada Allah S.W.T.
f. Melalui didikan tarekat yang benar, tingkatan tawakkal (menyerahkan diri kepada Allah
sepenuhnya) dan reda mudah dicapai. Tingkatan-tingkatan ini adalah jalan penyampai kepada
kelazatan dan kebahagiaan yang hakiki dan hiburan yang kekal di akhirat.
g. Ia boleh menyelamatkan manusia dari syirik khafiy (tersembunyi) atau pun riya' (sifat
pamer), kepura-puraan dan sifat-sifat yang tercela lainnya. Oleh itu, keikhlasan adalah syarat
dan juga merupakan hasil terpenting amalan tarekat. Ia juga dapat membimbing serta
membebaskan diri dari belenggu dan bahaya nafsu amarah yang sentiasa mengajak kepada
kejahatan dan juga membersihkan jiwa dari segala sikap mementingkan diri yang amat hina.
h. Seorang insan dapat selalu berwaspada dan sentiasa berusaha menjadikan setiap kebiasaan
hariannya sebagai ibadah dan setiap urusan dunianya menjadi urusan akhirat.
i. Tarekat adalah amalan yang dapat membentuk insan kamil (sempurna) dengan cara
tawajjuh (menghadapkan hati) kepada Allah S.W.T. sepanjang perjalanan ibadahnya dalam
usaha meningkatkan kehidupan yang maknawi. Ia juga adalah jalan dalam mencapai tahap
mukmin yang hak dan Muslim yang sebenar.
Di samping memaparkan manfaat atau kebaikan tarekat dan tasawuf, Said Nursi
(2011: 579) juga mengingatkan akan cabaran dan bahayanya seperti berikut :
a. Jika tidak berpandukan Sunnah Nabi s.a.w. dalam jalan kerohanian maka akan menyangka
bahawa kewalian adalah lebih hebat dari kenabian. Padahal telah tercapai kesepakatan di
kalangan para ulama tentang keutamaan tingkatan nubuwwah atau kenabian daripada
kewalian (Zahir 1993: 128).
b. Apabila ahli tarekat dan tasawuf ini memuliakan para wali lebih dari para sahabat
Rasulullah s.a.w., bahkan terhadap kedudukan para nabi itu sendiri.
c. Apabila ada di kalangan ahli tarekat yang ta’asub (fanatik) mengutamakan wirid-wirid
tarekat dan disiplin tarekat dengan lebih mengutamakan nya daripada sunnah Nabi s.a.w.
d. Memahami secara salah mengenai ilham (petunjuk Allah) yang diperoleh lalu menyangka
ia adalah sejenis wahyu lalu mereka terjatuh ke lembah yang berbahaya. Sebab wahyu hanya
diperuntukkan bagi nabi, ia teramat suci dan mulia daripada ilham.

7

e. Tarekat bukanlah matlamat sebenar dalam jalan tasawuf. Bagi ahli tarekat yang tidak
memahami rahsia ini akan mudah tertarik dengan limpahan karamah, zauq dan nur lalu
berlumba-lumba memperolehnya, sedangkan semua ini adalah anugerah Allah S.W.T. bukan
untuk dikejar dan dicapai.
f. Ada sekumpulan pengamal tasawuf yang keliru lalu menyangka maqam atau tingkatan wali
dan segenap gambaran (alam) yang terlihat adalah maqam yang hakiki dan segala-galanya.
Terdapat segelintir dari mereka merasakan diri lebih hebat dan lebih tinggi dari darjat waliwali besar, bahkan terkadang merasa lebih tinggi dari para nabi.
g. Lembah kebinasaan ini menjerumuskan segelintir ahli tarekat yang telah mencapai sedikit
zauq lalu mereka berbangga-bangga dan mendabik dada dengan apa yang mereka peroleh.
Mereka mula menyebarluaskan keajaiban atau syatahat yang berlaku. Mereka terlupa bahawa
asas dan rahsia sebuah perhambaan ialah rasa tadharru’ (rendah diri), tahmid (memuji Allah),
doa, khusyuk, al-ajz (berasa lemah di hadapan Allah), al-Faqr (berasa fakir pada Allah), dan
tidak mengharap kepada manusia.
h. Terdapat pengamal tarekat dan tasawuf yang ingin mencapai taraf wali ketika di dunia.
Mereka lalai bahawa satu hasil di akhirat lebih berat dari seribu kebaikan di dunia. Namun
lain halnya jika diberikan juga tanpa diminta, maka ianya mesti diterima dengan penuh adab
iaitu dengan kesyukuran dan tahmid (pujian) kepada Allah S.W.T. dan tidak sekali-kali
menganggapnya suatu upah.
Seseorang dalam jalan tarekat akan meningkat secara beransur-ansur ke martabat
yang lebih tinggi dalam syariat. Martabat ini adalah seerti dengan hakikat dan sirr (rahsia)
tarekat dalam ilmu tasawuf. Dalam konsep ini tarekat dan hakikat merupakan sebahagian
syariat. Dengan itu adalah tidak benar gambaran segelintir ahli tasawuf yang menyatakan
syariat itu adalah kulit sahaja, manakala isi dan patinya ialah hakikat (Said 2011: 575). Sebab
hakikat tidak mungkin dapat diperoleh tanpa menggunakan amalan yang terdapat dalam
syariat itu sendiri (Zakaria 2012: 34).
Golongan pengamal tarekat menurut Said Nursi (2011: 578) dibahagikan kepada dua
kumpulan, pertama: golongan yang tenggelam dan mabuk dalam kecintaan atau mahabbah
kepada Allah S.W.T. atau mereka hilang kawalan akibat naluri dalam jiwanya yang telah
menguasai keseluruhan pancainderanya (latha’if). Ketika itu dirinya tidak dapat patuh kepada
syariat tanpa niat, lalu ia terkeluar dari kawalan syariat.
Kumpulan kedua: golongan yang benar-benar tertarik kepada kelebihan zauq yang
begitu terserlah dalam alam tarekat dan hakikat tetapi tidak mengambil peduli terhadap
hukum hakam syariat, sedangkan syariat adalah lebih tinggi dari zauq yang mereka peroleh
dalam tarekat itu. Ada pula di kalangan mereka yang mengatakan syariat ini tiada kemanisan,
namun sebenarnya mereka sendirilah yang belum sampai kepada kemanisan menjalankan
syariat akibat kelemahan mereka.
Dari konsep Said Nursi tersebut nampak bahawa perilaku pengamal tarekat dan
tasawuf tidak boleh didakwa dengan hanya melihat sekilas perilaku secara zahirnya belaka,
8

namun mesti berhati-hati dalam menilai pelanggaran yang dilakukan seseorang adakah
terkeluar daripada syariat ataupun ia masih berada di dalam batasan nya. Dari sini terlihat
bagaimana sikap Said Nursi yang sederhana, berhati-hati dan tidak mudah menghakimi atau
mendakwa.
4. PENUTUP
Terdapat beberapa rumusan dari hasil kajian dan perbincangan di atas yang dapat dipaparkan
sebagai berikut :
Pertama, Said Nursi memberikan takrifan tarekat dan tasawuf dengan berpandukan al-Quran
dan al-Sunah. Kedua-duanya hanya sebagai perantara (wasilah), sedang matlamatnya adalah
hakikat keimanan.
Kedua, jalan pintas rohani yang selamat membawa kepada Allah S.W.T. adalah zikir selalu
kepada Nya dan sentiasa tafakkur atau dengan melaksanakan amalan kalbu dan akal.
Ketiga, Said Nursi tidak menjelaskan keharusan ataupun larangan terhadap tasawuf dan
tarekat, akan tetapi memberikan panduan mana perkara yang betul dalam tasawuf dan boleh
diamalkan serta mana kesalahan yang mesti dihindari.
Keempat, Said Nursi mengajak pihak-pihak yang berbeza pandangan agar membuka fikiran
dan mengembalikan permasalahan kepada al-Quran dan al-Sunah sebagai rujukan utama.
Kelima, terdapat banyak manfaat serta kebaikan tasawuf dan tarekat, namun begitu perlu
diperhatikan cabarannya dan berwaspada terhadap bahayanya.
Keenam, syariat Islam adalah landasan tarekat dan segala amalan tasawuf. Kedua-duanya
merupakan hujah dan jalan yang mempermudah bagi menjalankan syariat.
Kajian ini akan membawa implikasi terhadap pandangan orang yang anti-tasawuf
supaya melihat sisi lain di mana terdapat banyak faedah ataupun kebaikan tasawuf, baik
faedah duniawi mahupun ketika di akhirat nanti. Dengan begitu ia tidak akan mudah
menyalahkan amalan Muslim lainnya bahkan mengkafirkan nya. Begitu pun bagi pihak
pengamal tasawuf dan tarekat yang belum menyedari bahaya dan cabarannya agar
berwaspada dan selalu berpedoman kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.
Kajian selanjutnya dapat dilakukan dengan menganalisis sejauh mana amalan tasawuf
dan tarekat memberi kesan kepada kehidupan umat Islam pada masa kini. Ataupun dapat pula
mengkaji seberapa jauh implikasi yang wujud setelah memahami pandangan dan konsep Said
Nursi terhadap tasawuf dan tarekat dalam kehidupan umat Islam.
RUJUKAN
Abdul Bari Al-Nadwi. 1963. Bayna Al-asawuf wa Al-hayat.Damaskus : Dar al-fath.
Hj Ali Hj Mohamed. 2006. Kunci Memahami Tasawuf.Selangor : Masterpiece Publication.
Ihsan Qasim Al-Shalihi. 2010. Nazhrah Ammah an Hayat Badiuz Zaman Said Nursi.
Kaherah: Syarikat Sozler.
9

Khadijah Al-Nabrawi. 2006. Dawābit Al-sulūk Al-ṣūfi fi Al-fikr Al-Nursi . Kaherah: Syarikat
Sozler, 58-74.
Muhd. Yusof Ibrahim. 1986. Pengertian Sejarah: Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan
kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Taufiq Ramadhan Al-Buthy. 2006. Al-idrāk al-rūhi bayna al-tasawwuf wa alNursi. Kaherah:Yayasan Wawasan dan Ilmu Pengetahuan Markas Al-Nur Istanbul,
67-77.
Said Nursi. 2011. Kulliyyat Rasail Al-Nur (Al-Maktubat). Terj. Kaherah : Syarikat Sozler.
Sartono Kartodirdjo. 1993. Pendekatan Ilmu Sosial dalam Metodologi Sejarah. Jakarta:
Gramedia Pustaka Utama.
Yusri Abd Karim. 2011. Indahnya Tasawuf dan Hidup Sufi. Selangor: Yamani Angle.
Zahir Syafiq Al-Kabby.1993. Fiqh Al-tashawwuf li Shaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah. Beirut:
Dar al-fikr al-arabi.
Zakaria Stapa. 2012. Pendekatan Tasawuf dan Tarekat Wadah Pemerkasaan Jati Diri
Ummah.Selangor : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zaprolkhan.2007. Komparasi pembaharuan Tasawuf Hamka dan Said Nursi. Tesis Sarjana
UIN Sunan Kalijaga, Jogjakarta.

10