BEBERAPA ISU BERBANGKIT IMPLIKASI PENGEN

BEBERAPA ISU BERBANGKIT IMPLIKASI PENGENALAN SKIM WAKAF UNTUK
PENDIDIKAN TINGGI DI MALAYSIA

Oleh
Mohd. Ali bin Muhamad Don
Pelajar pascasiswazah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi MARA
&
Prof Madya Dr. Hasan Bahrom

Pengenalan skim wakaf oleh IPT di Malaysia merupakan langkah proaktif untuk membiayai
pendidikan tinggi di samping membantu meringankan bebanan kewangan kerajaan dalam sektor
pendidikan yang meningkat saban tahun. Namun begitu isu Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)
sebagai sole trustee yang berkuasa mengawal aktiviti wakaf di Malaysia telah menyebabkan
sesetengah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menggunakan istilah selain wakaf bagi mengelak
terikat dengan enakmen yang dikanunkan. Melalui kajian kualitatif dengan kaedah analisis
dokumen dan temu bual separa struktur data-data berkaitan topik ini diselidiki seterusnya di analisa
menggunakan perisian komputer Atlas.ti. Kajian mendapati peruntukan undang-undang, masalah
pengurusan wakaf oleh Majlis dan universiti antara isu berbangkit implikasi pengenalan skim
wakaf di IPT. Justeru isu ini perlu diatasi dengan berhemah dan penyelesaian menang-menang
supaya cita-cita untuk menyemarakkan perkembangan wakaf pendidikan di universiti dapat

direalisasikan dengan jayanya.

Kata kunci; Wakaf Pendidikan Tinggi, Isu Wakaf di IPT.

Mohd. Ali bin Muhamad Don
Pelajar pascasiswazah
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi MARA
73khawarizmi@gmail.com

1.

Pendahuluan

Di Malaysia, amalan mewakafkan harta dipercayai bermula dengan kemasukan Islam ke Alam
Melayu (Siti Mashitoh, 2006). Sejak itu pelbagai pihak tidak ketinggalan beramal jariah dengan
berwakaf sehingga bidang pendidikan di Malaysia turut mendapat manfaat dengan penubuhan
sekolah-sekolah pondok, Sekolah Agama Rakyat (SAR), madrasah dan kolej yang dibiayai dengan
dana wakaf (Ahmad Zaki, 2008). Di peringkat awal ia diuruskan oleh pemimpin masyarakat, kadi,
imam, tuan guru, dan jawatankuasa masjid (Baharuddin et.al, 2006). Keinginan berwakaf ini

dikukuhkan dengan usaha setiap Muslimin untuk menyediakan bekalan pahala berterusan
walaupun sesudah meninggal dunia. Sandarannya adalah hadis Nabi Muhammad SAW yang
bermaksud;

“Apabila mati anak Adam terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah
jariah, ilmu yang bermanfaat ataupun anak soleh yang mendoakannya”
(Riwayat Muslim, Abu Dawud dan al-Nasaie)

2.

Permasalahan Kajian

Kecekapan pengurusan wakaf signifikan untuk menjadikan wakaf sumber alternatif pembiayaan
pendidikan tinggi negara. Namun begitu enakmen wakaf menetapkan MAIN sebagai sole trustee
wakaf di Malaysia, bermaksud segala aktiviti pewakafan harta sama ada wakaf khas ataupun wakaf
am terletak di bawah bidang kuasa MAIN. Justeru itu universiti yang melaksanakan skim wakaf
tertakluk kepada enakmen ini. Masalahnya terdapat konflik pengurusan harta antara MAIN
sebagai sole trustee dan universiti sebagai pelaksana wakaf. Dalam hal ini universiti berusaha
mencari sumbangan dana wakaf daripada warga universiti dan orang ramai dengan manfaatnya
disalurkan untuk kemudahan pelajar. Manakala MAIN selaku sole trustee menghendaki wakaf

tersebut didaftarkan atas nama MAIN, dana wakaf terkumpul disimpan oleh MAIN dan universiti
2

perlu memohon kepada MAIN untuk memanfaatkannya. Persoalannya mampukah MAIN
mengurus semua aktiviti wakaf di universiti dengan dana yang berkembang tahun demi tahun.
Malah menurut kajian Khaf (1997), Mohd Kamarul & Nurul Jannah (2014) & Ismail et.al. (2015),
MAIN menghadapi masalah kekurangan modal, kekurangan staf berkemahiran dan kepakaran
untuk membangunkan wakaf. Mohd Syahiran & Hasan Bahrom (2011) juga mendedahkan MAIN
menghadapi masalah staf yang kurang memahami hukum hakam wakaf sehingga bertindak
menyalahi hukum syarak dan fatwa yang dikeluarkan. Di peringkat universiti pelaksana wakaf
pula terdapat universiti yang menghadapi masalah kekurangan dana sehingga membantutkan
usaha untuk memanfaatkan wakaf sedangkan telah beberapa tahun mengutip dana daripada orang
ramai. Ini dikukuhkan lagi dengan hadis bermaksud;

“Ada tujuh macam perbuatan yang diterima pahalanya sampai sesudah mati,
sesiapa yang membangunkan masjid maka ia tetap menerima pahala selagi ada
yang solat di dalamnya, sesiapa yang mengalirkan air sungai selagi ada yang
meminum airnya, Sesiapa yang menulis mashaf selagi ada yang membacanya,
orang yang menggali perigi selagi masih ada yang memanfaatkan airnya, sesiapa
yang menanam tanaman selagi dimakan oleh manusia atau burung, siapa yang

mengajarkan ilmu yang berguna selagi diamalkan oleh orang yang
mempelajarinya, orang yang meninggalkan anak yang soleh yang mendoakan dan
membaca istighfar baginya; yakni jika dikurniakan anak lalu diajarkan ilmu dan
al-Quran maka ayahnya akan mendapat pahala selagi anak itu melaksanakan
ajaran-ajarannya, tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri, sebaliknya jika
dibiasakan berbuat fasik maka ia mendapat dosanya tanpa mengurangi dosa orang
yang berbuat pekerjaan itu sendiri”
(Riwayat ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi dan Ibnu Majah).

Justeru kertas ini ingin mengenal pasti isu berbangkit implikasi daripada pengenalan skim wakaf
di universiti. Yang mana menurut Penulis perlu ditangani dengan berhemah tanpa menafikan kuasa
perundangan dan keinginan pihak universiti untuk terlibat dalam aktiviti wakaf di Malaysia.

3

3.

Metodologi Kajian

Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang menggunakan teknik analisis dokumen dan temu bual

untuk memperoleh data. Skop kajian ini tertumpu kepada tiga buah universiti di Negeri Selangor
iaitu UIAM, UPM dan UKM yang menjadi perintis pengenalan skim wakaf di universiti. Kaedah
pensampelan yang digunakan ialah pensampelan bertujuan (purposive sampling) yang mana
Partisipan dipilih dan ditentukan berdasarkan kepakaran dan pengalaman mereka dalam bidang
wakaf di Malaysia. Instrumen yang digunakan untuk mendapatkan data kajian ini ialah soalan
temu bual yang dibina oleh Pengkaji dan diajukan secara separa struktur semasa sesi temu bual
dilangsungkan. Data temu bual kemudiannya di analisa menggunakan Computer-Assisted
Qualitative Data Analysis Sofware, (CAQDAS) iaitu Atlas.ti versi 7.5.10. dengan teknik quotes

dan coding bagi membuat perbandingan dan penelitian terhadap jawapan Partisipan.

4.

Soroton Karya

Beberapa Institusi Pendidikan Tinggi awam dan swasta di Malaysia telah memperkenalkan skim
wakaf yang manfaatnya disalurkan untuk tujuan pendidikan tinggi (Ahmad, 2015). Dalam hal ini
model wakaf Universiti al-Azhar (Baharuddin, 2011, Anan C. Mohd., 2012) dan endowment oleh
universiti terkemuka di Barat (Maliah, 2009; Akram, 2012, Zaini, 2013) dijadikan asas
pembentukan dana wakaf untuk pembiayaan pendidikan tinggi.

Dari aspek perundangan terdapat universiti yang bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri
(MAIN) selaku sole trustee wakaf di Malaysia seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UPM) (Ahmad, 2015) dan terdapat universiti yang menguruskan
sendiri skim wakaf seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan tidak berdaftar
dengan MAIN (Maliah, 2009). Ekoran daripada itu UIAM memperkenalkan skim endowment
fund, UPM dan UKM memperkenalkan Dana Wakaf Ilmu (Siti Mashitoh & Asmak, 2014),

Universiti

Sains

Islam

Malaysia

(USIM)

memperkenalkan

Dana


Wakaf

al-Abrar

(news.usim.edu.my) dan Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIS) memperkenalkan skim Wakaf
4

Ilmi (www.kuis.edu.my). Selain itu terdapat IPT seperti Universiti Islam Malaysia (UIM) yang
dibangunkan atas konsep waqf university (Siti Mashitoh & Asmak, 2014). University College
Bestari (UCB) berasaskan konsep jual dan wakaf, Kolej Islam Darul Ulum (KIDU)
memperkenalkan konsep beli dan wakaf, Maktab Mahmud berasaskan sumbangan wakaf
masyarakat dan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) sumbangan wakaf tanah oleh
pemerintah (Mokhtar et.al., 2015). Terdahulu Kolej Islam Malaya (KIM) dibangunkan dengan
sumbangan tanah oleh pemerintah dan derma wakaf oleh masyarakat (Abdullah, 2005).
Daripada aspek pengurusan wakaf Mohd Jelani (1998), mengatakan pengurusan wakaf pendidikan
di Malaysia secara umumnya tidak seragam. Ia diletak di bawah pelbagai unit di MAIN. Walau
bagaimanapun tugas MAIN untuk membangunkan potensi wakaf pendidikan di Malaysia semakin
mencabar dan aspek pengurusan yang cekap amat diperlukan.
Perkembangan ini jelas menunjukkan komitmen IPT di Malaysia untuk menyemarakkan kembali

manfaat wakaf untuk pendidikan yang diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW (al-Shalaby, 1976:
Makdisi, 1981). Walau bagaimanapun dalam konteks pengenalannya di Malaysia terdapat
beberapa isu yang perlu diatasi.

5.

Dapatan Kajian & Perbincangan

Hasil kajian mendapati terdapat beberapa isu yang menjadi halangan dan cabaran pengenalan skim
wakaf di IPT iaitu;

i.

Isu Perundangan

ii.

Isu Pengurusan Wakaf oleh Majlis

iii.


Isu Pengurusan Wakaf di Universiti

5

Ketiga-tiga isu ini dikenal pasti melalui sesi temu bual yang telah dilakukan oleh Pengkaji antara
tahun 2014-2015 yang lalu. Berikut analisa dan perbincangan lanjut mengenai isu tersebut.

5.1

Isu Perundangan Wakaf

Berdasarkan Rajah 5.1, didapati isu Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai sole trustee
termasuk isu utama yang diutarakan oleh Partisipan yang ditemu bual.. Menurut P11 (2015)1
pengurusan harta wakaf di Malaysia dimonopoli oleh MAIN sehingga tiada pihak yang dibenarkan
untuk mengurus wakaf sedangkan wakaf milik Allah SWT. Pendapat ini disokong oleh P10 (2014)
yang mengatakan setelah enakmen wakaf diwujudkan Majlis tidak membuka ruang untuk
masyarakat berwakaf malah jenis wakaf khas tidak dibenarkan. Selain itu dalam konteks wakaf di
universiti timbul masalah peletakanhak aset wakaf. Menurut P8 (2015) setakat ini Majlis belum
menentukan aset wakaf universiti di bawah seliaan dan kawalan mana-mana pihak walaupun

menurut enakmen ia terletakhak di bawah Majlis. Sebagai contohnya masjid di universiti yang
menurut Seksyen 95 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor (EPAINS) Majlis
sebagai Pemegang Amanah Tunggal Masjid dan tanah yang berkaitan dengannya. Mengenai
pelaksanaan endowment fund UIAM, P12 (2015) mengatakan UIAM tidak mendapat kebenaran
daripada Majlis walau bagaimanapun P7 (2015) mendakwa Majlis tiada kuasa untuk menghalang
kerana tidak mengguna pakai istilah wakaf. Akan tetapi pendapat ini bertentangan dengan
pendapat P8 (2014) yang mendakwa walau apa pun nama yang digunakan jika terdapat niat untuk
berwakaf ia dikira wakaf. Ini ditrangulasikan dengan fatwa sumbangan derma KIM yang diiktiraf
sebagai wakaf. (Rujuk Lampiran A). Ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan P2 (2014) yang
mengatakan skim endowment di UIAM adalah wakaf. Sungguhpun begitu sehingga kini belum
ada tindakan diambil atas kesalahan wakaf tanpa kebenaran kerana menurut P12 (2015) terdapat
kelemahan penguatkuasaan ditambah lagi dengan wakaf ibadah sukarela/tatawwuc.

1

P11 adalah Partisipan ke-11 yang ditemu bual oleh Pengkaji, manakala (2015) adalah tahun sesi temu bual tersebut
dilaksanakan. Penerangan tentang rujukan ini terpakai kepada semua Partisipan yang dinyatakan dalam kertas ini.
Penggunaan kod ini juga bagi menjaga aspek kerahsiaan profil Partisipan yang enggan didedahkan namanya kecuali
jika dinyatakan sebaliknya.


6

Rajah 5. 1
Isu Perundangan Wakaf

Sumber: Temu bual oleh Pengkaji

Sungguhpun begitu menurut Penulis kedudukan MAIN sebagai sole trustee tidak mutlak
mengekang pelaksanaan wakaf di IPT. Sebagai wakil pemerintah dalam urusan wakaf kedudukan
MAIN hendaklah terus dipelihara malah diperkukuhkan dari masa ke semasa. Ini penting
mengelak penyelewengan dan pencerobohan ke atas harta wakaf yang bercanggah dengan tujuan
pensyariatannya. Akan tetapi MAIN tidaklah wajar memonopoli dan seolah-olah menjadi owner
sehingga menghalang perkembangannya di universiti. Dalam hal ini pelantikan Waqaf An-Nur
Corporation Berhad iaitu anak syarikat Johor Corporation Berhad oleh Majlis Agama Islam Negeri
Johor (MAIJ) sebagai Nazir Khas dan Mawquf alahi wajar dicontohi untuk membuka luas pintu
wakaf.

7

5.2

Isu Pengurusan Wakaf oleh Majlis

Seksyen 89 EPAINS memperuntukkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai Pemegang
Amanah Tunggal Wakaf. Dengan itu tiada pihak dibenarkan berwakaf melainkan dengan
kebenaran MAIS/MAIN (Siti Mashitoh, 2007). Menurut Rohana (https://www.academia.edu)
semua harta wakaf menjadi milik Majlis dan semua dokumen perjanjian berkaitan wakaf
hendaklah disimpan oleh Majlis. Dalam konteks pelaksanaan wakaf di universiti pula dana wakaf
terkumpul hendaklah diserahkan dan disimpan oleh MAIS. Timbul persoalan mampukah Majlis
menguruskan semua aktiviti wakaf? Kalangan Partisipan kajian memberikan respons berbeza-beza
seperti ditunjukkan pada Rajah 5.2 yang berikut.

Rajah 5. 2
Isu Pengurusan Wakaf oleh Majlis

Sumber: Temu bual oleh Pengkaji

8

Berdasarkan Rajah 5.2 terdapat persepsi yang kurang baik di kalangan Partisipan mengenai
pengurusan wakaf oleh MAIN. P11 (2015) misalnya berpendapat MAIN tidak berfikiran terbuka,
jumud serta gagal menggunakan kuasa yang diperuntukkan untuk menguruskan wakaf dengan
sebaiknya. Malah menurut P10 (2014) fungsi MAIN sebagai pendaftar wakaf sahaja tidak
mencukupi kerana harta wakaf perlu dibangunkan untuk memastikan kelangsungannya. P11
(2015) menambah aset wakaf sedia ada di Majlis pun tidak dapat dimajukan lalu bagaimana jika
Majlis terlibat mencampuri pengurusan wakaf di universiti. Ini ditambah lagi dengan masalah
kekurangan staf yang berkemahiran untuk mengurus dan membangunkan wakaf yang dihadapi
oleh MAIN (P11,2015). Selain itu kerenah birokrasi pendaftaran wakaf juga menyebabkan
kepayahan untuk berwakaf (P3,2015). Malah menurut P3 lagi dalam konteks pelaksanaan wakaf
di universiti pihak Majlis dilihat cuba mencampuri semua perkara yang sepatutnya boleh
diserahkan kepada kepakaran universiti dengan pemantauan Majlis. Ini seperti yang dicadangkan
oleh P12 (2015) supaya MAIN selaku PATW bertindak sebagai pemantau dan bukan pentadbir
wakaf di universiti.
Sebenarnya apabila diteliti masalah ini boleh diselesaikan apabila semua pihak yang terlibat
memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing. MAIN boleh bertindak sebagai advisor
dan enforcer berbanding mencampuri semua perkara yang kemungkinan tidak mampu diuruskan
semuanya. Beberapa contoh amalan sedia ada memperkukuhkan kenyataan ini. MAIS misalnya
tidak mencampuri pengurusan wakaf Universiti Islam Malaysia yang bergerak atas konsep waqf
university sepenuhnya. Majlis Agama Islam Negeri Sembilan memberi kebebasan kepada Pusat

Pembangunan dan Pembiayaan Wakaf (PPPW) USIM untuk mengutip dan mengagihkan dana
wakaf al-Abrar. Malah MAIS boleh memberi kebebasan kepada UIAM untuk menguruskan wakaf
walaupun atas nama endowment fund.

9

5.3

Isu Pengurusan Wakaf di Universiti
Rajah 5. 3
Isu Pengurusan Wakaf di Universiti

Sumber:

Temu bual oleh Pengkaji

Merujuk kepada Rajah 5.3 di atas didapati universiti sebagai pelaksana wakaf juga menghadapi
pelbagai masalah. Hal ini dirumuskan oleh P11(2015) berkaitan pentadbiran, mentaliti dan
pemasaran. Di sudut pentadbiran pengurusan wakaf universiti diletakkan di bawah PTJ atau
jabatan tertentu. Ini menimbulkan masalah apabila pensyarah dilantik sebagai Pengarah untuk
tempoh tertentu malah staf pentadbiran juga berpotensi ditukarkan daripada satu jabatan ke jabatan
lain (P10, 2014). Lebih memburukkan apabila pengurusan universiti tidak memahami konsep
wakaf dan menyamakan wakaf dengan endowment (P3, 2015). Selain itu mentaliti dan
ketidakfahaman masyarakat terhadap konsep wakaf di universiti menyebabkan masalah
kekurangan dana (P12, 2015). P7 (2015) mendakwa masyarakat belum menyedari kepentingan
wakaf dan keajaibannya. Ini menyebabkan wakaf di universiti belum berjaya (P12, 2015). Potensi
alumni sebagai penyumbang juga gagal dimanfaatkan (P10, 2014) ditambah dengan kegagalan
pemasaran wakaf (P3, 2015). Oleh itu aspek keyakinan dan kepercayaan masyarakat hendaklah
10

disuburkan dengan menunjukkan ke mana manfaat wakaf digunakan (P10, 2014). Jika tidak bukan
sahaja masyarakat luar malah warga universiti juga skeptikal untuk menyumbang (P8, 2015). Hal
ini ditrangulasikan dengan kajian oleh Marziana (2015) yang mengatakan masyarakat bimbang
untuk menyumbang kepada universiti disebabkan harta wakaf tidak dilindungi sepenuhnya oleh
undang-undang selain masalah kecekapan pengurusan.
Sehubungan dengan itu universiti pelaksana boleh melihat isu ini sebagai proses check and balance
untuk memantapkan lagi pengurusan wakaf di universiti. Ini kerana wakaf adalah harta milik Allah
SWT dan universiti yang mengutip dana wakaf memikul amanah untuk memenuhi niat pewakaf.
Kegagalan berbuat demikian mendedahkan pengurusan universiti kepada kritikan dan fitnah yang
mencalarkan imej universiti dan wakaf secara umumnya. Malah ini juga dilihat antara faktor
mengapa warga universiti enggan mewakafkan harta mereka sekali gus menyebabkan pengurusan
wakaf di universiti menghadapi masalah kekurangan dana. Sedangkan apabila diteliti potensi
penyumbang di kalangan warga universiti sahaja cukup besar jika dapat dimanfaatkan sebaiknya.

6.

Kesimpulan

Hasil kajian menemukan masalah perundangan wakaf, pengurusan wakaf oleh MAIN dan
pengurusan wakaf oleh universiti menghalang perkembangan skim wakaf yang telah
diperkenalkan oleh IPT. Perkara ini jika tidak diatasi berkemungkinan menyebabkan pelaksanaan
wakaf di universiti dibubarkan seperti yang berlaku kepada Universiti Antarabangsa al-Bukhary.
Malah dengan sebab itu imej universiti sebagai peneraju pendidikan tinggi negara turut tercalar
dan imej wakaf sebagai sektor ekonomi ketiga juga bakal diperlekehkan. Yang lebih
membimbangkan pengurusan universiti mendapat saham dosa kerana gagal menguruskan amanah
orang ramai yang berharap jariah berkekalan hingga ke hari kiamat. Justeru pihak-pihak yang
terlibat perlu mengambil berat isu ini agar masalah yang sama tidak berlaku kepada IPT lain yang
kini berlumba-lumba memperkenalkan kaedah pembiayaan pendidikan dengan pelbagai nama
yang dikhuatiri mengelirukan.

11

7.

Senarai Rujukan

Abdullah Muhammad Zin et.al., (2005), Pendidikan Islam di Malaysia Dari Pondok ke Universiti,
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Shaifful Anuar Ahmad Shukor, (2015), Potensi Wakaf Pendidikan Tinggi di Malaysia ,
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Zaki Hj. Abd Latiff, Abdul Halim Ramli, Che Zuina Ismail, Kamarulzaman Sulaiman &
Norzaidi Mohd. Daud, (2008), Wakaf Pengurusan dan Sumbangannya Terhadap
Pendidikan Islam di Malaysia, Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA) UiTM.
Anan C Mohd., (2012), Kertas kerja bertajuk Pembangunan Wakaf-Pengalaman Malaysia
dibentangkan dibentangkan di Seminar Wakaf Serantau 3-6 September 2012 Hotel Sunway
Putra, Kuala Lumpur.
Baharuddin Sayin, (2011), Hala Tuju Waqaf Tunai, dlm. Isu-isu Semasa Mengenai Waqaf, Shah
Alam: Penerbit UiTM.
Baharuddin Sayin, Asmak Hj. Ali, S. Salahudin Suyorno, (2006), Pengenalan Pengurusan Wakaf
di Malaysia , Shah Alam: Unit Penerbitan Universiti Teknologi MARA .
Dr. Mohamad Akram Laldin, (September, 2012) Waqaf in Education Funding: The Experience of
International Islamic University Malaysia in Managing Endowment (Waqaf) Fund,
www.amanie-iconnect.com/library/featured article/ , (diakses pada 5 Jan. 2016).
Ismail bin Omar, Khairul Anuar bin Ahmad, Mohd Kamarul Khaidzir bin Saad1 , Nurul Jannah
bt, Abd. Halim, (2015), Perbadanan Wakaf Selangor: Satu Aspirasi Dalam Pembangunan
Wakaf Pendidikan, dibentangkan di International Conference on Cash Waqf 2015
(ICCW2015).
Khaf, Dr. Monzer, (1997), ‫اأس لي الحديثة في ادارة اأوق ف‬. http://monzer.kahf.com/papers/arabic/alasaleeb_al-hadeetha_fi_idarat_al-awqaf.pdf. (diakses pada 10 Februari 2016).
Makdisi, George, (1981), The Rise of Colleges: Institution of Learning in Islam and The West,
Edinburgh: Edinburgh University Press.
Maliah Sulaiman et.al., (2009) Trust Me! A Case Study Of The International Islamic University
Malaysia’s Waqf Fund, International Association For Islamic Economics , Review Of
Islamic Economics, Vol. 13 , No. 1, 2009.
Marziana, Abd Malib, Ruzian Markom & Rusnadewi Abd Rashid, (2015), Wakaf Pendidikan
Tinggi: Urus Tadbir dan Sistem Perundangan Yang Efektif dan Efisyen Menjamin
Kelestarian Perlaksanaan Wakaf, dlm. Baharuddin Sayin, (2015), pnyt. Wakaf Pendidikan
di Malaysia Satu Penantian, Shah Alam: Institut Kajian Zakat Malaysia (IKAZ) dan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS).
Mohd Jelani bin Ramly, (1998), Kajian ke atas Wakaf Bagi Tujuan Pendidikan Untuk Memenuhi
Permintaan Sekolah Agama Bersepadu di Johor Bahru, Skudai: Penerbit Universiti
Teknologi Malaysia.

12

Mohd Kamarul Khaidzir bin Saadan & Nurul Jannah bt Abd. Halim, (2014), Cabaran Pengurusan
Harta Wakaf Di Perbadanan Wakaf Selangor : Saranan Penambahbaikan, Muzakarah Fiqh
& International Fiqh Conference 2014 (MFIFC 2014) KLIA, 3 – 4 Disember 2014
Mohd Syahiran Abdul Latif & Hasan Bahrom, (2011), Potensi Ekonomi Dalam Pembangunan
Tanah Waqaf di Negeri Melaka, dlm. Baharuddin Sayin, (2011), Isu-isu Semasa Mengenai
Waqaf, Shah Alam: Penerbit UiTM.
Mokhtar Hj. Ismail, Mohd Isa Mohd Deni, Muna Sulaiman & Hairulfazli bin Muhammad Som,
(2015), Perkembangan Wakaf Pendidikan di Malaysia, Proceedings of International
Conference on Waqf 2015 (ICW2015), UniSZA, Kuala Terengganu, Terengganu.
Prof H Muchtar Jahja & Drs M Sanusi Latief, (1976), terj. Sejarah Pendidikan Islam oleh Prof Dr
Ahmad Shalaby, Singapura: Pustaka Nasional.
Rohana binti Abdullah, Pengurusan Wakaf di Malaysia Satu Tinjauan, https://www.academia.edu,
(diakses pada 12 Feb. 2016).
Siti Mashitoh Mahamood & Asmak Ab Rahman (2014a), Waqf financing For Higher Education:
Contemporary Funding Aplications in Some Selected Countries, dlm. Wan Kamal Mujani,
(2014), pnyt. Pelestarian Institusi Wakaf Memperkasa Pendidikan Tinggi, Bangi: Fakulti
Pengajian Islam UKM.
Siti Mashitoh Mahamood, (2006), Waqf in Malaysia: Legal dan Administrative Perspectives,
Kuala Lumpur: UM Press.
Siti Mashitoh Mahamood, (2007), Pembentukan Dana Wakaf Menurut Perspektif Syariah dan
Undang-undang Serta Aplikasinya di Malaysia, Jurnal Syariah Vol. 15, No. 2, 2007, Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Zaini Ujang, (2013), Kerangka Kewangan Pengajian Tinggi di Malaysia , Skudai: Penerbit
Universiti Teknologi Malaysia.

13

Lampiran A Fatwa Derma KIM sebagai Wakaf

14

15