Peranan Ibubapa dalam Pendidikan Anak an

Peranan Ibubapa dalam Pendidikan Anak-anak
83
13

Rate This

Materi Diskusi Konvensyen Keibubapaan Peringkat Negeri Sabah anjuran Mimbar
Permuafakatan Ibubapa Nasional ( MAPIN ) Begeri Sabah/Daerah Semporna pada 26
hingga 28 Jun 2009, di Seafest Hotel, Semporna.
PERANAN IBUBAPA DALAM PENDIDIKAN ANAK-ANAK DARI PERPSPEKTIF
QUR’AN DAN HADITH
Professor Madya Dr. Ammar Fadzil – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Islam menerusi al-Qur’an dan Sunnah merupakan agama yang bersifat universal dan
komprehensif. Ia bukan sahaja meliputi aqidah, shariah dan akhlak tetapi juga meliputi
pendidikan keluarga dan anak-anak. Ibubapa mempunyai kedudukan yang tinggi pada
pandangan masyarakat dan agama. Fungsi ibubapa dalam membentuk anak-anak sukar
dicari ganti. Melalui mereka anak-anak mengenal kasih sayang, nilai-nilai kehidupan
dan erti kasih sayang. Islam sendiri menuntut supaya ibubapa diberikan kedudukan
yang tinggi dalam institusi keluarga dan masyarakat. Arahan berterimakasih diletakkan
pada tempat yang pertama selepas ibadah kepada Tuhan kerana perngorbanan insaniah
yang tidak berbelah bagi begitu juga keutamaan memberikan bantuan didahulukan

ibubapa di atas yang lain. Ibubapa merupakan salah satu elemen tanpanya tidak wujud
apa yang dipanggil masyarakat atau komuniti manusia. Ia berterusan membekalkan
generasi baru kepada masyarakat. Mereka memainkan peranan yang amat penting
dalam pembentukan masyarakat dan tamadun manusia masa hadapan. Baik dan buruk
tamadun yang dilahirkan adalah ditentukan oleh ibubapa selain dari faktor-faktor utama
seperti suasana dan sistem pemerintahan. Perubahan dan permasalahan yang sentiasa
berlaku dewasa ini menghasilkan cabaran yang getir kepada ibubapa dalam memastikan
peranan mereka sebagai pembentuk tamadun manusia dapat ditunaikan dengan
sempurna. Kertas ini tidak dapat mengupas dan menjawab segala persoalan yang

terbuku namun diharapkan dapat memberikan input yang berguna kepada konvensyen
yang diadakan pada hari ini.
Mengikut Islam peranan ibubapa amat besar. Merekalah yang bertanggungjawab ke
atas masa hadapan anak-anak. Peranan mereka sebagai pembina utama dan pertama
anak-anak sukar dicari penggalang ganti. Mereka bertanggungjawab memperkenalkan
kepada anak-anak nilai kasih sayang, erti kehidupan dan keperluan kepada pengorbanan
dalam menunaikan tanggungjawab. Dalam sebuah hadis disebut “Setiap anak dilahirkan
di atas fitrah, maka kedua ibubapanya yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani atau
Majusi” Fitrah di sni bermaksud Islam oleh itu setiap anak-anak dilahirkan sebagai
seorang Muslim maka ibubapanya yang bertanggungjawab memberikan ajaran agama

yang sempurna supaya anak tersebut kekal di atas fitrah Islamnya dan memastikan
anak tersebut tidak dipengaruhi oleh suasana persekitaran yang akan merosak dan
menjejaskan fitrah kejadiannya.
Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari “Orang lelaki adalah penjaga ke atas ahli
keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka dan perempuan penjaga ke
atas rumahtangga dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka.”
“Sesungguhnya bagi jasad kamu ke atas kamu ada hak dan sesungguhnya bagi anak
kamu ke atas kamu ada hak” (Riwayat Muslim)
Ibubapa bukan sahaja berfungsi sebagai ejen penambah zuriat manusia dan
memperbanyakkan umat Islam dalam konteks agama Islam, mereka bukan sahaja
menginginkan zuriat yang mewarisi perjalanan hidup mereka dan melahirkan anak soleh
malah lebih daripada itu mereka berfungsi sebagai center pusat yang melahirkan
generasi atau jil yang meneruskan kecemerlangan umat Islam sebagai ummattan
wasatan ummat terbaik ummat contoh kepada seluruh manusia surah al-Baqarah ayat
143 “dan demikianlah Kami jadikan kamu ummat pertengahan…”
Tujuan pertama dan kedua lebih bersifat kepentingan individu tetapi tujuan ketiga
bersifat universal dan lebih berkemasyarakatan.
Kesemua ibubapa secara naturalnya menginginkan anak-anak yang soleh “..Jika
sekiranya engkau memberi kami anak yang soleh tentulah kami akan selalu bersyukur”
(al-A`raf ayat 189) dan di dalam hadis riwayat Muslim “apabila mati anak Adam terputus

darinya melainkan tiga perkara anak soleh, ilmu bermanfaat dan sadaqah jariah”

Di dalam surah al-Furqan ayat 74 “Ya Tuhan kami anugerahkan keapda kami pasangan
kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami pemimpin
bagi orang yang bertakwa” manakala surah Maryam ayat 6 “yang akan mewarisi aku…”
Al-Qur’an seterusnya dengan tegas mengingatkan ibubapa akan tugas mereka yang
amat penting seperti yang disebut dalam surah al-Tahrim ayat 6 “Wahai orang-orang
yang beriman perliharalah diri-diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka” dan di
dalam surah al-Anfal ayat 28 ibubapa juga diingatkan supaya berwaspada dengan
keluarga dengan firmannya “Sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-anak kamu
adalah ujian” ujian yang menguji ibubapa adakah mereka menunaikan tanggungjawab
dan memberikan kepada anak-anak hak mereka yang sepatutnya.
Oleh itu ibubapa mestilah menyedari dan memahami kepentingan tiga perkara ini;
penyambung zuriat, anak soleh dan generasi ummatan wasatan dan menganggapnya
sebagai satu tugas dan amanah yang dipikulkan ke atas mereka oleh agama mereka.
Mereka mesti menganggap ianya sebagai satu amanah besar yang mesti dipikul dan
ditunaikan serta tidak boleh dipertanggunggjawabkan kepada pihak lain. Jikalau kita
hendak menjangkau kepada peranan yang lebih luas iaitulah memastikan bahawa anakanak tersebut mampu menyambung kesinambungan tamadun ummat manusia. Tetapi
apakah syarat-syarat kesinambungan tersebut?
Malik Bennabi seorang pemikir Islam terkenal berbangsa Algeria menyatakan dalam

bukunya Mushkilat al-Hadarah Shurut al-Nahdah (Permasalahan Tamadun Asas-asas
Kebangkitan)[1] bahawa tamadun mempunyai tiga unsur utama: manusia,
tanah[2]yang diduduki dan masa yang dimiliki oleh manusia.[3] Manusia menurutnya
berhadapan dengan berbagai masalah yang berbeza antara satu dengan lain. Ia berkait
rapat dengan individu dan organisasi masyarakat. Individu mempunyai tiga peranan
utama yang bakal mencipta tamadun dan sejarah masa hadapan: halatuju, budaya dan
harta.[4] Halatuju mestilah jelas dan menampakkan kesatuan fikiran dan tujuan,
budaya mestilah mampu menggabungkan elemen masa lampau dan masa hadapan
meninggalkan yang negatif dan mengambil yang positif yang semestinya berpaksi dan
bersumberkan wahyu. Budaya dalam erti yang luas ialah himpunan sifat-sifat akhlak
dan nilai kemasyarakatan yang diterima oleh individu seawal kelahirannya di alam
nyata.[5] Teori Malik Bennabi ini memperlihatkan kepada kita betapa besarnya
tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap individu masyarakat dan tidak terkecuali
mereka yang dipanggil ibu bapa.

Kepentingan menitik beratkan pembangunan anak-anak merupakan amalan yang
dipelopori oleh ulama-ulama Islam sejak zaman silam berasaskan ajaran Islam
bersumberkan Qur’an dan Sunnah. `Uqbah bin Abi Sufyan ketika menghantar anaknya
kepada seorang guru berpesan beliau kepada guru tersebut dengan kata-katanya :
“Hendaklah perkara pertama ketika engkau memperbaiki anakku ialah memperbaiki

dirimu, sebab matanya akan menurut matamu, yang baik pada mereka ialah apa yang
engkau pandang baik, yang buruk di sisi mereka ialah apa yang engkau pandang buruk,
ajarkan mereka jalan kehidupan orang bijak pandai, tunjukkan akhlaq orang-orang
mulia, engkau boleh mengancam dia dengan diriku, pereloklah perilakunya tanpaku,
jadilah seperti seorang doktor yang tidak memberikan ubat sebelum mengetahui
penyakitnya, janganh engkau sampai cuai kerana kekurangan yang ada padaku sebab
aku telah menyerahkan dia atas kesempurnaan yang ada padamu.” Pada zaman
khalifah Abbasiah al-Mansur, beliau telah menghantar seorang utusan ke penjara
bertanyakan banduan-banduan penjara apakah yang kamu rasa berat dari apa yang
kamu rasakan sekarang. Jawapan yang diterima ialah : tiada apa pun yang kami
rasakan amat pedih selain daripada kami terhalang untuk mendidik anak-anak kami.”
Cabaran Masa Kini
Ibu bapa pada hari ini berhadapan dengan berbagai cabaran di dalam mendidik anakanak. Mereka dituntut untuk memastikan anak-anak dibesar dan diberikan pendidikan
yang merangkumi pembentukan akal, jasmani, ruhani, akhlak dan sosial. Suasana
persekitaran memberikan tekanan kepada ibubapa dalam menangani cabaran tersebut.
Keperluan menambahkan pendapatan memerlukan kedua ibubapa bekerja telah
mengurangkan masa bersama dengan anak-anak. Justeru itu mereka terpaksa mencari
alternatif lain seperti mengambil pembantu rumah, menghantar anak-anak ke pusat
asuhan atau ke sesi persekolahan tambahan untuk memastikan kepentingan pendidikan
anak-anak terjaga. Kewujudan masalah sosial juga turut merunsingkan ibubapa. Gejala

dadah, melepak, merempit dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti maksiat merupakan
fenomena yang mencemaskan ibubapa. Tambahan pula media menyiarkan sitcom yang
boleh menyumbangkan kepada penglibatan anak-anak dalam aktiviti-aktiviti yang tidak
bermoral. Sebagai contoh mengikut kajian yang dilakukan oleh Hashim Bedu dan rakanrakannya Keruntuhan akhlak dan gejala sosial dalam keluarga;isu dan cabaran jenayah
syariah bagi negeri Johor meningkat dari setahun ke setahun. Mereka
mengklasifikasikan punca-punca jenayah seperti berikut : perasaan ingin tahu dan

mencuba, pengaruh rakan sebaya, pengaruh media massa dan sikap keluarga, ibubapa
mengamalkan sikap terlalu mengongkong dan mengabaikan pendidikan rohani dan
agama. Nooh Gadot dalam kertas kerjanya Masyarakat, Pendidikan dan Pembentukan
Keluarga Islam Berkualiti menyatakan bahawa keluarga Islam menghadapai masalah
pergaulan dan cara hidup seperti kelemahan komunikasi dalam keluarga, salah laku
perhubungan, generasi muda tidak menghormati yang tua dan ibubapa kurang
memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Seterusnya beliau menegaskan keluarga
Islam berhadapan dengan dua cabaran dalaman dan luaran. Dalaman seperti kehidupan
yang tidak berasaskan iman, takwa dan ihsan, ilmu pengetahuan tidak mencukupi, tidak
ada role model dalam keluarga, hubungan kekeluargaan yang renggang, tidak ada
suasana keislaman dalam keluarga, pembahagian masa tidak sekata di kalangan ahli
keluarga, faktor kemiskinan manakala cabaran luar ialah penglibatan ibu bapa dalam
aktiviti luar sehingga menjejaskan tanggungjawab di rumah, pergaulan dengan

kumpulan yang rendah akhlak, pengaruh media massa dan tidak bijak memilih kerjaya
yang bersesuaian dengan ibu bapa.
Sheikh Abdullah Nasih `Ulwan dalam bukunya Tarbiyatul Awlad fil
Islam[6] menyenaraikan punca keruntuhan moral anak-anak antaranya kepada
kemiskinan, pergaduhan sesama ibu dan bapa, perceraian yang mengundang kesusahan
kepada ibu yang menjaga anak-anak, masa lapang yang tidak terisi, pengaruh rakanrakan, diplomasi buruk ibu bapa kepada anak-anak dan ibu bapa yang tidak mendidik
anak-anak. Kemiskinan akan mendorong kanak-kanak keluar dari rumah mencari wang
untuk keperluan dirinya yang akan mendedahkan mereka kepada sarang-sarang
penjenayah natijahnya akan melahirkan masyarakat yang anggota masyarakatnya
penjenayah-penjenayah muda. Ibu bapa yang sentiasa bergaduh terutamanya di
hadapan anak-anak akan menyebabkan anak-anak resah dan tidak gembira. Perceraian
ibu bapa kebiasaannya menyebabkan anak-anak kehilangan bapa dan memaksa ibu-ibu
keluar mencari nafkah. Maka anak-anak yang sudah kehilangan bapa akn terasa
kekurangan masa bersama ibu mereka lantas mereka akan mencari alternatif untuk
mengisi kekosongan yang ada dalam jiwa mereka. Begitu juga jika anak-anak
mempunyai masa lenggang yang banyak dan ibu bapa tidak memenuhi masa anak-anak
mereka dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah akan mempengaruhi kanak-kanak
mengisi masa mereka mengikut cara mereka sendiri. Islam memberi peringatan yang
keras tentang kesan negatif yang bakal menimpa mereka yang tersilap memilih kawan
seperti dalam ayat 28-30 surah al-Furqan “Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang


zalim menggigit dua tangannya, seraya berkata: “Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil
jalan bersama-sama Rasul”. Kecelakaan besarlah bagiku; kiranya aku (dulu) tidak
menjadikan sifulan itu teman akrab(ku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari
Al Qur’an ketika Al Qur’an itu telah datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mau
menolong manusia.” Sabda Nabi: “Seseorang itu bergantung kepada agama saudaranya
maka hendaklah dia melihat ssiapa yanag menjadi saudaranya”. Sikap ibu bapa dan
cara diplomasi mereka yang tidak berhikmah menyebabkan anak-anak menjadi tertekan
dan beremosi kerana anak-anak juga manusia yang diberikan akal yang mampu berfikir
dan boleh menilai lantas mereka akan mempersoalkan sikap ibu bapa mereka yanag
tidak rasional. Kanak-kanak berkemungkinan mengambil jalan pintas melawan ibu
bapa, lari dari rumah dan menyimpan dendam kepada ibu bapa mereka. Pernah satu
ketika Umar ibn al-Khattab mengatakan kepada seorang ayah yang tidak menunaikan
tanggungjawabnya “Kamu datang berjumpa aku mengadu anakmu yang derhaka
sedangkan kamu terlebih dahulu derhaka kepadanya, kamu berlaku buruk kepadanya
sebelum dia berlaku buruk kepadamu”. Ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak
menjadikan anak-anak mereka seolah-olah tidak beribu bapa ibarat anak-anak yatim.
Benarlah kata penyair Arab “bukanlah yatim itu mereka yang ayahnya tidak
menanggungnya dan meninggalkannya sesungguhnya yatim itu ialah ibunya yang sibuk
dan ayahnya yang sibuk”. Ibu bapa perlu menjadi seperti seorang peladang yang

sentiasa mengambil berat terhadap benih pokok yang disemainya Dia perlu
menjaganya, membaja, menyiram air, membersihkan duri-durinya dan memotong
ranting-ranting yang patah. Dia perlu memastikan benih tersebut dapat menghasilkan
buah masak dan ranum. Jangan jadikan anak-anak seperti benih terbiar diterbangkan
angin ibarat debu beterbangan di udara.
Dr Muhammad Sayyid Yusuf dalam bukunya Manhaj al-Qur’an fi Islah alMujtama` menyenaraikan sebab kepincangan masyarakat kepada 3 punca utama:
berpaling dari ajaran agama, tertipu dengan godaan syaitan dan perancangan jahat
musuh yang ingin melihat kehancuran umat Islam. Musuh Islam terutamanya Yahudi
mengganggap antara kekuatan umat Islam terletak kepada keutuhan institusi keluarga
oleh itu mereka menjadikan matlamat mereka antaranya meruntuhkan kehidupan
berkeluarga dan merosakkan sistem pendidikannyya.

Oleh itu sebahagian besar

program-program media massa yang dipaparkan memperlihatkan unsur-unsur dan
budaya-budaya negatif yang boleh mempengaruhi nilai akhlak anak-anak dan remaja.

Sebaliknya budaya mulia yang ingin dilihat dalam kehidupan anak-anak dan remaja
sebagai jil dan generasi masa hadapan future generation ialah seperti yang ditegaskan
oleh Malik Bennabi ialah budaya yang bersumberkan wahyu kerana ianya merupakan

suatu yang quddus dan datangnya dari Tuhan. Mengikut perspektif Islam, budaya terdiri
dari tiga unsur aqidah, ibadah dan akhlak oleh itu semesti ketiga-tiga perkara ini
diberikan penekanan dalam pembentukan personaliti anak-anak.
Tuntutan materialisma masakini mempengaruhi ibubapa memberikan tekanan kepada
anak-anak untuk mencatat kejayaan cemerlang dalam bidang akademik lantas
mengabaikan aspek spriritual atau keagamaaan maka lahirlah anak-anak yang
cemerlang akademik tetapi kosong jiwanya, remaja cemerlang tetapi runtuh akhlak.
Sepatutnya kecemerlangan akademik mestilah diimbangi dengan kecemerlangan
spiritual spiritual excellence. Islam melalui al-Qur’an dan Hadith menuntut supaya
keseimbangan atau balance dalam semua aspek kehidupan, bukan sahaja aspek
material tetapi kerohanian juga mesti dititikberatkan. Oleh itu peranan ibu bapa pada
masa ini merupakan sebahagian dari jihad yang dituntut dalam Islam. Hadith Nabi ada
menyebut bermaksud barangsiapa bersabar dalam membesarkan anak-anak perempuan
maka baginya balasan syurga.
Penyelesaian Masalah dan Aspek Pendidikan Anak-anak
Apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian di sini ialah apakah peranan yang perlu
dimainkan oleh ibubapa dalam mengatasi masalah dan menangani cabaran yang
dihadapi. Anak-anak perlu diberikan kefahaman tentang peranan dan tujuan utama
mereka berada di alam maya ini. Kewujudan mereka bukannya untuk mengecapi
keseronokan yang bersifat sementara tetapi memahami dan menghayati kedatangan

mereka seperti yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam risalahnya Qimah al-Insan
wa Ghayah Wujudihi fi al-Islam adalah untuk beribadat, membangunkan bumi Tuhan
dengan sebaiknya dan menjadi khalifah Tuhan di bumi ini. Oleh itu ada tiga perkara
utama yang perlu ditekankan dalam pembentukan diri dan jiwa anak-anak iaitu
pemantapan iman dan ibadah, ilmu dan pengukuhan nilai akhlak mulia. Selain daripada
tiga perkara asas ini, ibu bapa perlu mengambil kira aspek-aspek lain yang tidak kurang
pentingnya. Secara umumnya aspek-aspek pendidikan anak-anak terbahagi kepada
aspek iman, akhlak, jasmani, minda, rohani, sosial, emosi dan seksologi.
Ciri-ciri Pendidikan Dalam Islam

Sebelum kita berbicara mengenai aspek-aspek pendidikan anak-anak yang perlu
dititikberatkan oleh ibu bapa terlebih kita merenung apakah yang dimaksudkan dengan
pendidikan dan apakah ciri-ciri pendidikan Islam.
Definisi dan Aspek Pendidikan
Pendidikan dari segi bahasa ialah membina, memperbaiki dan menyempurnakan. Dari
segi teknikal ia bermaksud membina fungsi badan, akal, akhlak sehingga sempurna
melalui latihan dan pembudayaan. Di dalam Islam pendidikan bermaksud
mempersiapkan individu Muslim yang beriltizam dengan agama dan berakhlak dengan
akhlak Islam dari segi hati, ruh, jasad, akal, akhlak dan sikap.[7]
Untuk memahami konsep pendidikan dalam Islam terutamanya al-Qur’an dan Hadis
memerlukan kita meneliti keseluruhan isi kandungannya. Al-Qur’an dalam surah alMu’minun umpamanya memasukkan elemen tawhid. Ibadat, akhlak, menjaga
kehormatan diri dan tanggungjawab kepada masyarakat melalui sistem zakat dan
penjagaan amanah. Surah al-Furqan menyebut takwa, takut kepada azab neraka,
bersedekah, memelihara kehormatan diri dan memberikan kesaksian yang adil sebagai
ciri-ciri peribadi unggul.
Pendidikan Islam akan dapat difahami dengan lebih jelas apabila kita memahami ciricirinya. Cirinya yang pertama ialah Rabbaniyyah yang bermaksud ianya dari Allah. Ini
merangkumi dua perkara iaitu sumber dan tujuan. Dari segi sumbernya ia menyedarkan
kita bahawa sumber pendidikan Islam tertinggi ialah al-Qur’an dan Hadith dan bukannya
bersumberkan akal dan nafsu manusia. Manusia tidak mencipta asas-asas pendidikan
Islam tetapi tugasnya ialah menerima, memahami dan menyesuaikan perlaksanaannya
di dalam sistem kehidupan dan pendidikan. Dari segi hala tuju pendidikan ia bermaksud
mengukuhkan ikatan hubungan dengan Tuhan dan mencari redhanya. Ayat 6 surah alInshiqaq bermaksud “Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah bekerja keras untuk
menemui Tuhanmu maka kamu akan menemuinya”.
Ciri kedua ialah pendidikan Islam itu bersifat sempurna dan komprehensif. Tidak ada
kekurangan dalam sistem pendidikan Islam kerana ianya bersumberkan dua sumber
utama iaitu Qur’an dan Hadith. Ia meliputi semua aspek pendidikan yang berasaskan
kepada tiga prinsip utama iaitu tawhid yang sebenar, meliputi semua aspek pendidikan
dan ibadah kepada Allah.

Ciri ketiga ialah keseimbangan yang bemaksud keseimbangan antara akhlak individu dan
masyarakat dan negara manakala ciri keempat ialah komitmen iaitu pendidikan Islam
bukan terletak pada teorinya sahaja tetapi ianya sesuatu yang mesti dilaksanakan
kerana perlaksanaan merupakan manifestasi iman seseorang individu dan masyarakat.
Ciri terakhir ialah ia bersifat realistik sesuatu yang dapat dilaksanakan. Pendidikan
Islam ialah sesuatu yang mampu dilaksanakan dan bukannya sekadar teori yang indah
dilafazkan tetapi sukar dipraktiskan.
Secara umumnya sebahagian pakar bersetuju bahawa pendidikan anak-anak mestilah
bermula dari zaman awal kelahiran mereka. Dalam erti kata lain, segala apa yang dilihat
dan didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya adalah merupakan satu
pendidikan baginya kerana yang nyata bagi kanak-kanak di peringkat awal umur,
mereka tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk. Barat dan Islam
mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini, kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik
sejak dari awal. Apa yang membezakan ialah Islam menekankan pembentukan sahsiah
seseorang kanak-kanak bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi pemantapan akhlaq
perlu diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di dalam ruh dan jiwanya.
[8]Hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan
dan psikologi kanak-kanak, diperingkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat paling
utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringat
atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan. Pakar
perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa lebih separuh dari
perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun
manakala satu pertiga yang lain sempurna perkembangannya ketika kanak-kanak
berusia 8 tahun. Mengikut pandangan pakar psikologi Barat Freud, pengalaman kanakkanak pada zaman kecilnya akan mempengaruhinya di masa hadapan. Pada pandangan
sebahagian sarjana Islam teori pendidikan anak-anak bermula semasa perkahwinan ibu
dan bapa kepada anak-anak tersebut. Oleh itu sebahagian pemikir Islam
membahagikan pembentukan peribadi anak-anak kepada sekurang-kurangnya tiga
peringkat. Sebelum kelahiran, selepas kelahiran sehingga umur 10 atau 11 dan dari 11
sehinggalah ke alam remaja dan mampu berdikari.
Mengikut Dr al-Mabruk Uthman Ahmad dalam bukunya Tarbiyatul Awlad wal Aba’ fil
Islam peringkat sebelum lahir merangkumi pemilihan pasangan suami isteri, persediaan
mereka untuk bergelar ibubapa yang bukan sahaja bersifat biologi iaitu melahirkan anak

tetapi turut bersifat kepertanggungjawaban iaitu menunaikan tanggungjawab sebagai
ibu dan bapa. Suasana yang kondusif sepatutnya disediakan oleh ibubapa berdasarkan
kepada kemampuan supaya unsur-unsur positif dapat dimasukkan dan unsur-unsur
negatif dielakkan. Perkara-perkara yang boleh merosakkan anak-anak semasa dalam
kandungan sebagai contoh merokok dan meminum arak semestinya dihindari sesuai
dengan tanggungjawab mereka yang besar sehingga dirakamkan pengorbanan ibu
dalam al-Qur’an. Dalam surah Luqman ayat 14 “Dan Kami perintahkan kepada manusia
(berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam
keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam dua tahun .
Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepadaKulah kamu
kembali.” Pemilihan pasangan suami isteri yang baik dan menepati kehendak agama
akan menjadikan perkahwinan itu satu medan di mana ibu berperanan sebagai sebuah
sekolah yang menjaga dan mendidik anak-anak manakala bapa bertanggungjawab
menyediakan keperluan-keperluan yang diperlukan. Kerja sama yang dimainkan oleh
kedua belah pihak suami dan isteri akan memudahkan tugas dan amanah mendidik
anak-anak menjadi mudah dan bersistematik. Islam menekankan pemilihan pasangan
mestilah berasaskan agama, akhlak dan keturunan yang baik supaya anak-anak yang
dilahirkan itu akan mewarisi sifat-sifat yang baik dan adat yang mulia. Umar ibn alKhattab suatu ketika pernah berkata sebagai menjawab soalan apakah hak seorang
anak ke atas bapanya “hendaklah ia memilih ibu bagi anaknya, mencari nama yang elok
dan mengajarnya al-Qur’an.”
Pendidikan Iman
Iman merupakan asas kepada segala ibadah bahkan asas segala kebaikan. Kanak-kanak
sebaik saja dapat memahami mesti diajar asas-asas iman, rukun-rukun agama dan
prinsip shariat Islam. Kanak-kanak mesti diajar kefahaman jelas tentang Islam, diajar
mengenal Tuhan dan Rasul diajar supaya menerima Islam sebagai satu-satunya agama
yang benar dan sistem kehidupan yang dapat menjamin kebahagian dan kesempurnaan
dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Al-Qur’an begitu menitik beratkan pemantapan
dan pengukuhan aqidah serta pembersihannya dari segala unsur negatif yang
bertentangan dengan kesucian aqidah. Aqidah yang benar menjamin kepada manusia
tafsiran yang tepat dan komprehensif tentang konsep kewujudan alam dan manusia.
Penyelewengan aqidah akan membawa kepada penyelewengan ibadat dan adat serta
kerosakan akhlaq individu dan masyarakat. Mengikut Sayyid Sabiq “bencana pertama

yang menimpa masyarakat Islam ialah kelemahan aqidah. Kelemahan aqidah membawa
kepada kelemahan individu, keluarga, masyarakat, negara dan segenap cabang
kehidupan.” Iman yang dituntut kepada setiap individu dan yang diajar kepada anakanak mestilah iman yanag sebenar seperti yang diturunkan oleh Tuhan dan dijelaskan
oleh Rasulnya. Anak-anak mestilah diajar konsep iman dengan jelas dan tanpa
kerumitan supaya timbul di dalam perasaan diri mereka rasa kasih kepada Tuhan dan
Rasulnya. Apabila mereka sudah kenal dan kasih sudah tentulah mudah bagi mereka
menerima dan mempraktiskan segala ajaran dan arahan agama yang datang dari Tuhan
dan Rasul. Individu tanpa agama dan iman ibarat sehelai bulu yang beterbangan di
udara, ianya tidak akan tetap dan tidak mengenal hala tuju dan tidak akan berhenti di
satu destinasi yang tetap. Iman yang mantap dan benar akan menggerakkan anak-anak
dan individu untuk beribadat dan melakukan amalan dan perbuatan yang baik.
Iman tidak sempurna tanpa amal dan amal tidak sah tanpa iman. Al-Qur’an sering
mengaitkan iman dengan amal sebagai satu benda yang saling bertaut rapat ibarat
pepatah melayu aur dengan tebing. Amalan dan perbuatan yang baik akan melahirkan
nilai dan kesan yang positif. Al-Qur’an menegaskan sebagai contoh amalan solat dan
zakat akan menghalang seseorang dari melakukan kejahatan dan membersihkan diri
dari sifat-sifat keji.
Islam mengarahkan ibu bapa mengajar anak-anak mereka sembahyang apabila berusia
tujuh tahun. Kepentingan solat selain daripada ianya sebagai tiang agama, ia berupaya
menanam dalam diri anak-anak pengertian taat, penyempurnaan haq Tuhan, bersyukur,
berserah kepada Tuhan, dan pembersihan jiwa, fisikal dan akhlak. Kata Imam alGhazali : “Anak-anak ialah amanah, hatinya yang bersih ibarat satu jawhar, jika
dibiasakan dengan kebaikan akan bahagia dunia dan akhirat jika dibiasakan dengan
kejahatan rosak dan binasalah dia”
Pendidikan Akhlak
Yang dimaksudkan dengan pendidikan akhlak ialah himpunan nilai-nilai akhlak yang
perlu diajar kepada anak-anak sebaik sahaja mereka boleh memahami dan mencapai
umur tamyiz (discernment). Dimaksudkan dengan akhlak pada Imam al-Ghazali ialah
tingkah laku yang dilakukan oleh sesorang secara spontan dan bersahaja. Konsep
akhlak dalam Islam ialah ianya mencerminkan kualiti iman yang ada pada sesorang
individu. Sebagai Muslim ia sedar bahawa segala perbuatannya baik atau buruk jika

tidak mendapat balasan di dunia ini akan pasti mendapat balasan di hari kemudian.
Dalam surah Ahzab ayat 21 “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu seri
teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan
(kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”
Kanak-kanak yang terdidik di atas asas iman yang benar dan kasih kepada Tuhan dan
Rasul akan mendapati pada dirinya kesediaan untuk melakukan segala perkara yang
bersifat positif dan akan menolak segala perkara yang bersifat negatif. Dia akan
sentiasa merasakan bahawa Tuhan bersama dia, melihat dan menyaksikan segala
perbuatan dia. Kaitan akhlak dengan agama bukan sahaja konsep Islam tetapi ianya
diakui oleh bukan Islam. Ghandi sebagai contoh menyatakan : “Sesungguhnya agama
dan akhlak satu benda yang satu dan tidak dipisahkan…Agama ibarat ruh bagi akhlak
dan akhlak ibarat atmosfer bagi agama”

Kant menyatakan : “Tidak ada akhlak tanpa

tiga kepercayaan; Tuhan, ruh dan Hari Pembalasan”.
Akhlaq berperanan sebagai salah satu rukun utama pembentukan peribadi unggul dan
juga pembinaan keluarga dan masyarakat yang bertamadun. Tidak mungkin kita dapat
melihat suatu masyarakat contoh dan mithali yang saling bertoleransi, memahami, aman
tetapi kosong nilai-nilai akhlaq mulia yang ada pada masyarakat tersebut dan juga
individu. Dewasa ini masyarakat Islam dan Melayu khususnya berhadapan dengan
berbagai masalah sosial anak-anak. Terbaru pendapat pakar psikiatri mengatakan
remaja berumur lingkungan 15 tahun selalu berhadapan dengan masalah sehinggakan
sudah ada percubaan untuk membunuh diri hanya disebabkan cinta tidak diterima
kekasih.[9] Jika hendak diperturunkan di sini senarai tingkah laku dan masalah akhlak
remaja amatlah banyak. Bukan sahaja anak-anak menderhaka kepada orang tua mereka
tetapi pernah kedengaran anak-anak yang mendera sehingga peringkat membunuh
orang tua mereka. Perkara ini tidak akan berlaku jika remaja tersebut diberikan tembok
iman, ilmu dan akhlaq yang kukuh. Benarlah ungkapan syair yang masyhur: Innama alumam al-akhlaqu ma baqiyat, fain hum dzahabat akhlaquhum dzahabu (suatu ummat
akan kekal bersama akhlaqnya; bila akhlaqnya hancur, hancurlah mereka bersamanya).
Dalam pembikinan akhlaq anak-anak, tidak cukup dengan tumpuan kepada akhlaq
luaran tetapi dalaman atau rohani dan spiritual mesti dititikberatkan. Imam al-Ghazali,
pemikir Islam agung silam menekankan: “Sesungguhnya sifat yang lahir pada hati akan
memperlihatkan kesannya pada anggota-anggota zahir sehinggakan anggota-anggota
badan tidak akan bergerak melainkan mengikut kehendak hatinya.” Oleh itu

pembentukan karektor anak-anak tidak boleh ditumpukan hanya kepada kecerdasan
akal sahaja tetapi mesti mesti meliputi aspek emosi dan juga spiritual. Anak-anak mesti
diajar akhlaq individu seperti berpuas hati, sabar, bersyukur dan diajar akhlaq
bermasyarakat seperti benar, penyantun, amanah, toleransi, merendah diri dan
menepati janji. Sabda Nabi : “Keajaiban bagi seorang Muslim dalam urusannya,
sesungguhnya semua urusannya adalah baik belaka. Ini hanyalah untuk mukmin
sahaja. Jika berada di dalam kegembiraan dia bersyukur, jika ditimpa musibah dia
bersabar” (Riwayat Muslim)
Memandangkan pendidikan dalam Islam menitik berat
pemerhatian observation sepatutnya ibu bapa dalam aspek pendidikan akhlak
memandang serius empat isu utama : bercakap bohong, mencuri, mencela dan
menyeleweng dari ajaran agama.
Keempat perkara tersebut merupakan antara perkara utama yang dilarang oleh Islam
dan banyak ayat Qur’an dan Hadith Nabi yang melarang keras perbuatan tersebut.
Sebagai contoh dalam kes bohong Nabi ada menyebut : “Jauhilah kamu membohong,
sesungguhnya membohong membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa ke
neraka, dan adalah hamba itu berbohong dan sentiasa berbohong sehingga Allah
mengecapnya sebagai pembohong.” (Bukhari dan Muslim). Apa yang dibimbangi
terdapat fenomena di mana ibu bapa sering menunjukkan contoh yang tidak baik
terhadap anak-anak dengan berbohong walaupun tujuan mereka ialah untuk
melakukan islah atau pembaikan. Abu Dawud dan al-Baihaqi meriwayatkan dari
Abdullah bin `Amir bahawa suatu hari ibunya memanggilnya dan Rasulullah berada
bersama mereka. Rasulullah bertanya kepada Abdullah apakah yang kamu hendak
berikan kepadanya? Jawabnya aku ingin memberikannya sebiji tamar. Rasulullah
menjawab “Jikalau engkau tidak memberikannya sesuatu engkau akan dicap sebagai
pembohong.”
Islam meletakkan beberapa asas dalam pembentukan akhlak antaranya : tidak
mengikut budaya asing yang bercanggah dengan agama, hedonisma, mendengar muzik
atau nyanyian yang melalaikan, menyerupai wanita, bertabarruj dan melihat benda yang
haram.
Oleh itu dapat disimpulkan di sini akhlak anak-anak boleh terjejas jika ibu bapa
mengambil mudah dan tidak memberikan perhatian terutamanya kepada perkara-

perkara berikut seperti yang disebut oleh Abdullah Nasih `Ulwan iaitu tidak memerhati
pergaulan anak-anak, tidak menapis rancangan tv dan filem, membenarkan mereka
membaca majalah-majalah yang tidak sepatutnya dibaca, mengambil mudah urusan
pakaian dan aurat anak-anak, tidak mengawasi pergerakan mereka ke dan pulang dari
sekolah serta perpustakaan kecil mereka. Kata pujangga “Bagaimana kamu menangisi
keadaan anak kamu sedangkan kamu yang membunuhnya, telah pergi dia tetapi apakah
yang kamu lakukan?”
Pendidikan Jasmani
Kanak-kanak semasa dalam proses pembesaran sehingga ke peringkat pra sekolah perlu
diberikan pendidikan jasmani bertujuan membina dan memantau perkembangan fizikal.
Oleh itu, antara perkara-perkara yang berkaitan dengan jasmani yang disebut dalam
Qur’an dan hadith seperti kewajipan memberi nafkah, mempraktiskan sistem
pemakanan dan rehat yang baik. Nabi berpesan apabila sesorang hendak tidur
hendaklah dia berwudu’ dan berbaring ke kanan dan membaca doa. Selain daripada
perkara tersebut, anak-anak mestilah dipelihara dari sebarang penyakit dan perlulah
mereka diubati apabila ditimpa penyakit dan mengamalkan konsep yang disarankan
dalam hadis “La darar wa la dirar” tidak ada kemudaratan dan memudaratkan,
membiasakan anak-anak dengan aktiviti-aktiviti yang boleh menguatkan fizikal dan
gemarkan mereka dengan kehidupan yang bersifat berani dan berjuang seperti dalam
hadis “Berikan perhatian kepada perkara yang bermanfaat, pohon pertolongan dengan
Allah dan janganlah kamu menjadi lemah”.
Kepentingan jasmani diisyaratkan dalam Qur’an dalam surah Yusuf ayat 11-12
“Biarkanlah dia (Yusuf) pergi bersama kami esok pagi, agar dia (dapat) bersenangsenang dan (dapat) bermain-main, dan sesungguhnya kami pasti menjaganya.”
Keinginan naluri kanak-kanak untuk bermain dieksploitasi sepenuhnya oleh saudarasaudara Yusuf untuk memujuk ayah mereka memberikan keizinan untuk Yusuf keluar
bersama abang-abangnya. Dalam sunan Tirmidhi “permainan kanak-kanak memberikan
kekuatan kepada akalnya semasa dewasa.
Sarjana-sarjana Islam seperti Ibn Sina menyarankan supaya kanak-kanak kecil
semestinya dibiarkan belajar berjalan dengan sendiri tanpa dipaksa kerana paksaan
akan menjejaskan kekuatan tulang kaki. Apabila seorang anak bangun dari tidur dia
mestilah dimandikan kemudiannya dibiarkan bermain untuk seketika kemudiannya

diberikan sedikit makanan, kemudiannya bermain kemudiannya mandi dan selepas
daripada itu diberikan makanan. Imam al-Ghazali berpendapat kanak-kanak perlu
dibenarkan bermain selepas belajar untuk menghilangkan penat. Mencegah mereka dari
bermain dan memaksa mereka belajar sepanjang ahri akan mematikan hati dan
menganggu kecerdasan. Sebaik sahaja boleh bercakap dan memahami arahan anakanak perlu diajar adab dan akhlaq seperti adab makan dan minum.
Ibu bapa perlu bersikap tegas dalam mengawal fizikal anak-anak segala tindakan
mereka yang boleh merosakkan tubuh badan dan kesihatan perlulah dilarang. Di sini kita
dapat melihat sebahagian ibu bapa yang tidak bertegas dan membiarkan anak-anak
mereka melakukan kegiatan-kegiatan yang memudaratkan bukan sahaja dari segi
kesihatan bahkan juga merugikan wang. Perbuatan-perbuatan seperti merokok dan
pergaulan bebas akan mengundang berbagai masalah kesihatan dan sosial. Di sini saya
suka mencadangkan agar pihak berwajib bersikap lebih tegas dalam mewujudkan zon
bebas merokok dan menjadikan masyarakat Malaysia zero smoking. Program-program
hiburan perlu dikemaskinikan supaya elemen-elemen yang baik dipaparkan dan elemenelemen negatif yang menggalakkan anak-anak kepada pergaulan bebas mestilah
dimonitor dengan serius.
Pendidikan Minda dan Aqal
Di dalam menangani cabaran mendidik anak-anak sebagai future generation tidak dapat
dinafikan ilmu memainkan peranan yang besar dalam mewarnai corak kehidupan anakanak. Yang dimaksudkan dengan pendidikan minda atau aqal di sini ialah membina
fikiran anak-anak supaya mereka mengenal ilmu-ilmu bermanfaat, budaya ilmu, polapola pemikiran dan tamdaun sehingga berkembang fikiran dan berilmu. Ia juga
bermaksud pengetahuan dan juga skil yang bukan sahaja perlu ada pada anak-anak
sebagai satu tuntutan tetapi ibu bapa juga perlu mempunyai ilmu-ilmu asas dan skil
dalam membantu dan merangsangkan proses pembelajaran dan pendidikan anak-anak.
Antara kerosakan akhlak anak-anak adalah berpunca daripada kecuaian memberi
pendidikan.[10] Anak-anak perlu dibekalkan dengan dua cabang ilmu: ilmu agama dan
ilmu duniawi. Ilmu agama sebagai tuntutan seorang Muslim dan ilmu duniawi sebagai
memenuhi tuntutan kehidupan. Apabila proses pembelajaran dan pendidikan terbantut
atau tidak lengkap ianya akan mempengaruhi sikap anak-anak. Sesuatu yang tidak
dapat dinafikan ialah sebahagian dari remaja yang bermasalah adalah dari kalangan
mereka yang terpinggir dari arus pembangunan dan perkembangan ilmu. Pengajian

mereka tersekat setakat sekolah menengah dan masa remaja mereka terdedah kepada
gejala-gejala tidak sihat.
Ada tiga perkara pokok yang mesti ditekankan dalam pendidikan akal anak-anak iaitu
tanggungjawab memberikan ilmu, pembinaan pemikiran Islam dan kesihatan mental.
Dalam proses pendidikan ini ibu bapa pelu mengambil kira ilmu yang dianggap fardu ain
dan fardu kifayah dan mengamalkan pendekatan awlawiyyat priority keutamaan iaitu
ilmu apa yang perlu diajar dahulu dan bersesuaian dengan peringkat umur anak-anak.
Di sini konsep tadarruj atau gradual beransur-ansur perlu dipraktiskan kerana kanakkanak tidak mampu menerima semuanya pada satu waktu. Mewujudkan perpustakaan
kecil di dalam rumah adalah salah satu kaedah yang boleh merangsangkan minat untuk
membaca.
Penekanan yang serius tentang kepentingan ilmu inilah yang telah mengangkat
martabat umat Islam satu ketika dahulu sehingga diiktiraf oleh bukan Islam. Seorang
orientalis Belanda ada menyatakan : “Tidak dapat dijumpai di Andalus seorang yang
buta huruf sedangkan di Eropah ramai yang tidak tahu membaca dan menulis kecuali
golongan elit sahaja.” H.R.Gibb menyatakan “melalui kajian yang mendalam (oleh
Muslim) metod penyelidikan meresap masuk ke Eropah pada zaman pertengahan”.
Ibu bapa perlu membuat pemerhatian adakah anak-anak mereka menguasai ilmu-ilmu
fardu `ayn dan fardu kifayah dan cuba menimbulkan kesedaran anak-anak tentang
pertaliannya dengan agama. Adakah kita boleh berbangga apabila anak-anak kita
mampu menceritakan tentang tamadun Barat tetapi tidak berupaya menerangkan
tentang tamadun Islam.
Ibu bapa perlu mengambil perhatian berat kepada persekolahan anak-anak mereka
bermula dari peringkat pra sekolah, sekolah rendah dan menengah. Kemudahan
sekolah, kurikulum dan ko kurikulum mestilah dipantau supaya pembinaan peribadi
anak-anak dan perkembangan ilmu selaras dengan kehendak ibu bapa dan seperti yang
dituntut dalam Islam.
Pendidikan Sosial
Menyedari kanak-kanak pada peringkat umur awal memiliki daya keinginan untuk
membuat keputusan dan pilihan sendiri ibubapa semestinya sudah bersedia menanam di

dalam diri anak-anak mereka nilai-nilai sosial. Nilai-nilai sosial tersebut seperti kasih
sayang, berlaku adil dan lemah lembut. Nabi pernah berkata kepada Aishah bermaksud:
Wahai Aishah! Sesungguhnya Allah itu bersifat lemah lembut dan sukakan lemah lembut
(Riwayat Muslim).
Tidak dapat dinafikan kekuatan sesuatu masyarakat terletak kepada kekuatan
individunya. Anka-anak-anak perlu ditanam dan dilatih bersifat dengan sifat-sifat
bermasyarakat yang berasaskan kepada pertama asas personaliti yang baik seperti
taqwa, persaudaraan, kasih sayang, berkorban, pemaaf, berani bercakap benar, kedua
menjaga hak orang lain seperti hak ibu bapa, saudara, guru, kawan-kawan dan orang
yang lebih dewasa, ketiga komitmen kepada akhlak bermasyarakat seperti adab makan
dan minum, memberi salam, meminta izin, menghadiri majlis, berbual, bergurau,
mengucap tahniah, menziarahi orang sakit, mengucap tahniah dan mendoakan orang
yang bersin dan keempat bersikap mengambil berat iaitu bersifat kritikal terhadap isuisu sosial seumpamanya seperti sifat menghormati pendapat majoriti dan menyuruh
dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Pendidikan psikologi dan emosi
Yang dimaksudkan dengan pendidikan psikologi ialah mendidik anak-anak sebaik
mereka mampu berfikir dan memahami sifat berani, keyakinan dan ketenangan diri.
Aspek ini merupakan aspek yang penting yang kadang kala dipandang remeh oleh
ibubapa. Perasaan gembira, suka, marah, bermusuh dan takut adalah sebahagian dari
keadaan yang menguji emosi anak-anak. Matlamat penekanan aspek psikologi ini ialah
membentuk peribadi anak-anak dan menanamkan keyakinan diri sehingga mereka
mampu berdikari. Ibu bapa perlu membiasakan anak-anak dengan sifat-sifat terpuji dan
memastikan mereka terpisah dari sifat-sifat buruk yang boleh mempengaruhi psikologi.
Dua faktor yang mempengaruhi emosi kanak-kanak; pertama tindak balasnya terhadap
saudara-sauadaranya yang lebih tua dan kedua sikap ibubapa yang tidak dapat difahami
oleh anak-anak seperti sifat ayahnya yang berubah dari penyayang kepada seorang
yang bengis. Terdapat lima perkara ibu bapa perlu awasi dan hindarkan dari anak-anak.
Malu, takut, rendah diri, dengki dan marah.
Perasaan malu dapat dikesan pada peringkat awal usia anak-anak. Mereka malu untuk
bertemu dengan orang yang mereka tidak biasa berjumpa dan kadang-kadang sikap

malu ini diwarisi dari ibu bapa mereka. Sikap menyendiri dan tidak suka bercampur
dengan masyarakat yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan mendorong anak-anak untuk
menunjukkan sikap yang sama. Kanak-kanak perlu dibiasakan memasyarakatkan diri,
bergaul dengan orang lain tetapi dalam keterbasan yang tidak menafikan dari diri
mereka sifat-sifat mulia. Kebiasaan orang-orang Melayu dalam menghormati orangorang tua melarang anak-anak mereka dari duduk bersama. Sikap seperti ini mungkin
baik tapi dari segi yang lain akan menyebabkan anak-anak besrikap terlampau malu dan
segan sehinggakan apabila mereka dewasa kelak tidak ada keyakinan diri dan tidak
mampu berhadapan dan berkomunikasi dengan penuh konfiden.
Perasaan rendah diri merupakan satu bentuk emosi disebabkan oleh ketidaksempurnaan
fizikal badan, bentuk pendidikan dan suasana ekonomi. Terdapat beberapa faktor yang
mempengaruhi perasaan rendah diri iaitu hina diri, membezakan antara anak-anak,
kecacatan, keyatiman dan kemiskinan. Ada ibu bapa yang sering menggunakan
perkataan yang tidak baik bagi menggambarkan kesalahan kecil anak-anak di hadapan
saudara-saudaranya seperti budak jahat, penipu, pemalas dan pencuri atau memarahi
anak-anak di hadapan rakan-rakan mereka. Sikap ibu bapa yang terburu-buru dan
mudah hilang sabar akan membuatkan anak-anak memberontak, irihati, tidak hormat
orang tua dan dendam. Bagaimana mungkin kita mengharapkan mereka mempunyai
sikap yang baik seperti taat, kasih sayang dan menghormati orang tua jika kita telah
membibitkan dalam jiwa mereka perasaan-perasaan negatif tersebut. Sepatutnya ibu
bapa menggunakan berbagai pendekatan bijaksana bersesuaian dengan kesalahan dan
peringkat umur anak-anak. Di sinilah pentingnya kebijaksanaan ibu bapa iaitu
meletakkan sesuatu bersesuaian dengan tempatnya. Anas bin Malik berkhidmat kepada
Nabi selama sepuluh tahun sejak berusia 10 tahun. Tidak pernah Nabi memarahi dan
mengherdiknya. Kadang-kadang Nabi memanggilnya dengan namanya, ketika yang lain
dengan panggilan yang lembut Unais dan saat yang lain dipanggil wahai anakku. Pernah
satu ketika Anas diminta pergi ke kedai di dalam perjalanannya dia berhenti untuk
berjumpa dengan rakan sebayanya. Tiba-tiba dia merasakan seseorang memegang
bahunya lantas dia berpaling dan mendapati orang tersebut ialah Nabi. Dia menyangka
Nabi akan memarahinya tetapi apa yang dia dengar ialah “Wahai anakku adakah kamu
dalam perjalanan untuk menyelesaikan urusanmu”?
Perasaan takut dan marah ialah dua unsur negatif yang biasa melanda kanak-kanak.
Mengikut ahli psikologi kebanyakan perasaan takut merupakan satu benda yang

dihasilkan oleh diri manusia sendiri. Takut terbahagi kepada tiga; takut secara
semulajadi, resah dan fobia. Sikap ibubapa yang tidak bijaksana dalam berurusan
dengan anak-anak atau keruntuhan rumahtangga boleh menjadi penyebab kepada
perasaan takut yang akhirnya berkemungkinan akan mengganggu emosi kanak-kanak.
Antara nasihat Nabi ialah “Permudahkan jangan menyusahkan, tenangkan dan jangan
kecoh”. Terlalu memanja anak-anak juga merupakan antara faktor yang boleh
menyebabkan anak-anak hilang keyakinan diri dan berasa malu.
Metod pendidikan Islam
Ada beberapa metod yang dicadangkan oleh pakar-pakar pendidikan Islam. Antaranya
ibadah, menyuruh dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran, hikmah, bercerita,
perdebatan, membuat perbandingan, targhib dan tarhib, menanam adat-adat yang baik
dan menggunakan peristiwa-peristiwa yang berlaku dan hukuman.
Ibadat
Ibadat merupakan metod pendidikan yang sempurna merangkumi semua aspek jasmani
dan rohani individu dan masyarakat kerana pembentukan insan dan pembinaan
peribadinya amat berhajat kepada amalan-amalan dan tingkah laku yang baik. Ibadatibadat seperti solat, zakat, puasa dan haji menanam sifat-sifat mulia yang perlu ada
pada individu dan masyarakat.
Contoh Tauladan
Manusia dan anak—anak khususnya perlu diikat dengan contoh tauladan yang baik
supaya mereka boleh melihat sample dan menjadikannya sebagai ikutan. Terdapat
anak-anak yang menjadikan artis-artis dan ahli-ahli sukan sebagai idola dan pujaan
mereka sedangkan mereka ini kosong nilai-nilai akhlaknya. Ibu bapa perlu
memperkenalkan kepada anak-anak bahawa Rasul, para sahabatnya dan orang-orang
alim dan bijaksana sahaja yang sepatutnya dijadikan contoh tauladan kerana akhlak
mereka yang tinggi.
Amr bi ma`ruf dan nahi munkar
Mengajak manusia kepada kebaikan dan menegah dari keburukan satu metod yang baik
dan berkesan kerana ia membangkitkan dalam diri anak-anak perasaan mengambil

berat terhadap anggota masyarakat dan juga menyedarkan diri yang lalai akan
kesalahan dan kekurangan diri.
Pendidikan dengan hikmah dan kebijaksanaan
Kanak-kanak jika bersesuaian cara nasihatnya akan menerima dan mengikut perkara
yang dinasihatkan khususnya jika nasihat tersebut datang dari orang yang dikasihinya.
Hikmah bermaksud meletakkan sesuatu kena dengan tempatnya. Menggunakan
perkataan yang lemah lembut pada tempatnya menghukum anak-anak bersesuaian
dengan keadaan dan kesalahannya adalah hikmah.
Pengajaran dengan nasihat dan bimbingan dengan penuh hikmah dan kasih sayang
seperti mana pesanan Luqman kepada anak-anaknya. Pesanan memperlihatkan kepada
anak-anak betapa besarnya harapan ibu bapa kepada anak-anak mereka.
Menyertakan senda gurau di dalam pengajaran untuk menggerakkan otak,
menghilangkan jemu serta menimbulkan keinginan untuk bermesra-mesraan. Seorang
lelaki telah datang kepada Rasulullah memintanya seekor unta sedekah supaya dia
menggunakannya untuk mengangkat barang-barang rumahtangganya. Maka berkata
Rasulullah Aku akan memberimu anak unta untuk mengangkat barang itu. Lelaki itu
berkata Wahai Rasulullah! Apa yang dapat aku buat dengan anak unta itu? Jawa
Rasullullah Bukankah unta itu melahirkan anak unta?
Bercerita
Mengajar anak-anak dengan membawa cerita-cerita akan meninggalkan kesan di dalam
jiwa dan tersemat di dalam akal. Kaedah-kaedah ini digunakan oleh Qur’an dan hadith
antaranya ayat 176 surah al-A`raf “Dan ceritakanlah cerita-cerita itu kepada mereka
moga-moga mereka memahami”. Surah Yusuf umpamanya berkaitan kisah adik-adik
beradik yang penuh dengan dengki dan diatasi dengan kasih sayang dan ikhlas kepada
Allah.
Mendidik dengan pendekatan berdialog
Cara menyampaikan cerita mestilah ada kepelbagaian seperti bercerita secara dialog,
cerita secara mengemukakan soalan. Satu ketika Nabi bertanya kepada para
sahabatnya: Tahukah kamu siapa dia seorang Muslim itu? Jawab Sahabat : Allah dan

RasulNya saja yang lebih mengetahui. Sabda Nabi: Seorang Muslim itu ialah siapa yang
terselamat kaum Muslimin yang lain dari lidahnya dan tangannya.
Targhib dan tarhib
Targhib ialah membuatkan seseorang suka kepada sesuatu dan tarhib membuat
seseorang membenci atau lari dari sesuatu. Targhib seperti menceritakan kepada anakanak balasan dan hasil yang baik jika mereka berakhlak mulia dan tarhib menceritakan
kepada anak-anak keburukan yang bakal berlaku jika mereka tersilap jalan. Ibu bapa
boleh menggunakan gambar-gambar bagi menggambarkan apa yang mereka ceritakan
kepada anak-anak.
Menanam dalam jiwa anak-anak adat-adat dan perbuatan yang baik
Anak-anak dari semenjak kecil perlu ditunjukkan adat dan perbuatan yang baik dan
dijauhkan dari mereka adat dan perbuatan yang keji. Anak-anak perlu dibiasakan
dengan menghormati orang tua, bersopan santun, tidak pemarah dan dengki.
Menggunakan peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekeliling
Ibu bapa perlu mengaitkan peristiwa-peristiwa yang berlaku dengan akhlak anak-anak.
Tunjukkan kepada mereka dan berikan mereka kefahaman
Hukuman
Mendidik anak-anak dengan menghukum merupakan satu perkara yang tidak boleh
dipandang ringan apabila didapati mereka tidak mengikuti arahan. Hukuman yang
diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka adalah berbeza dan tidak sama
dengan undang-undang dikenakan ke atas masyarakat. Ibu bapa perlu mengambil
pendekatan-pendekatan berhikmah dalam menghukum anak-anak antaranya dengan
memberikan nasihat dengan lemah lembut dan kasihan belas. Dalam sebuah hadis
“Hendaklah anda bersifat lemah lembut dan jangan sekali-kali bersikap keras. Ibn
Khaldun dalam bukunya al-Muqaddimah menyatakan bahawa kekerasan yang
berterusan dengan anak-anak akan menjadikannya lemah semangat, jiwanya
memberontak, kecergasannya akan hilang, menjadi malas dan suka berdusta. Ibu bapa
juga boleh menghukum anak-anak dengan menunjukkan raut wajah yang tidak senang
seperti memalingkan muka dari mereka, menunjukkan perasaan marah. “Wahai Abu

Dharr! Tidak patut engkau mengatanya dengan menyebut ibunya. Sesungguhnya
engkau masih terpengaruh dengan cara-cara jahiliyyah” (al-Bukhari). Ibu bapa juga
boleh memulaukan anak-anak dengan cara tidak bercakap dengan mereka untuk
sesuatu tempoh. Memukul anak-anak mungkin merupakan cara terakhir seperti dalam
hadis “Suruh anak-anak kamu mengerjakan sembahyang seusia tujuh tahun dan
pukullah mereka apabila telah mencapai umur sepuluh dan pisahkanlah antara mereka
di tempat tidur.”
Kesimpulan dan Cadangan
Pendidikan anak-anak merupakan satu jihad dan memerlukan pengorbanan dari ibu
bapa. Ibu bapa terlebih dahulu perl