PENGENALAN RUMUSAN KAJIAN Isu Polisi Maklumat

BAB VI RUMUSAN DAN PENUTUP

6.1 PENGENALAN

Bab ini membincang rumusan kajian secara keseluruhan mengikut beberapa bahagian bermula dengan bahagian satu iaitu rumusan bagi menjawab persoalan kajian berkaitan teori khususnya isu polisi maklumat, sektor utama polisi maklumat dan model polisi maklumat. Bahagian kedua membentangkan rumusan bagi menjawab persoalan kajian berkaitan amalan polisi maklumat iaitu tentang kewujudan, bentuk dan masalah yang dikaitkan dengan polisi maklumat di Malaysia. Rumusan bahagian ketiga adalah mengenai sunmbangan kajian, implikasi kajian, ulasan pencapaian objektif dan kesesuaian kaedah kajian, kelemahan kajian, cadangan pada masa depan dan diakhiri dengan kesimpulan.

6.2 RUMUSAN KAJIAN

Rumusan penemuan kajian dibentang dalam dua bahagian utama berdasarkan persoalan kajian yang dikemukakan dalam Bab 1 Perenggan 1.5.. Sebagai imbasan, persoalan kajian ini adalah seperti berikut:

A. Persoalan kajian berkaitan teori polisi maklumat

i. Apakah isu yang dikaitkan dengan bidang polisi maklumat? ii. Apakah sektor utama polisi maklumat? iii. Bagaimanakah bentuk model polisi maklumat?

B. Persoalan kajian berkaitan dengan amalan polisi maklumat Malaysia

i. Adakah polisi maklumat wujud di Malaysia? ii. Apakah bentuk polisi maklumat Malaysia? iii. Apakah masalah yang dikaitkan dengan polisi maklumat di Malaysia? Bahagian A adalah berkaitan dengan sumbangan teori dan implikasinya dirumus berdasarkan penemuan dalam Bab 2 dan Bab 3. Manakala bahagian B adalah berkaitan dengan analisis polisi maklumat di Malaysia yang dirumus dari penemuan dalam Bab 5.

6.2.1 Rumusan Berkaitan Teori

i. Isu Polisi Maklumat

Meskipun diakui polisi maklumat berkait rapat dengan sains maklumat Hahn 2003; Orna 2008, namun kajian ini mendapati polisi maklumat adalah satu bidang kajian yang unik kerana menjadi minat sarjana dari berbagai bidang seperti pembangunan polisi, sains dan teknologi, ekonomi, pengurusan dan perundangan, sosiologi dan telekomunikasi. Perbezaan latar belakang didapati tidak membatas perbahasan dan penerimaan isu yang dikemukakan oleh sarjana dari disiplin yang berlainan. Sebagai contoh Arnold 2007 seorang ahli sains maklumat menerima dan mengguna senarai isu polisi maklumat yang dikemukakan oleh Porat 1977 seorang ahli ekonomi. Selain itu, isu polisi maklumat seperti kebersendirian, dikemukakan oleh sarjana dari berbagai disiplin seperti, sains maklumat seperti Muir Oppenheim 2002a dan Arnold 2002, bidang ekonomi seperti Saxby 2011 dan bidang sosial seperti Pajaro Betancourt 2007. Kajian ini mendapati isu yang mendasari polisi maklumat tidak mengalami perubahan mengikut tahun tertentu seperti yang didakwa oleh Eisenbeis 1989, Hill 1994 dan Schwuchow 1999. Schwuchow misalnya mendakwa polisi maklumat berubah daripada menangani isu maklumat teknikal dan saintifik pada tahun 1950-an hingga awal 1970-an, kepada isu perkhidmatan maklumat elektronik mulai 1970-an hingga awal 1990-an. Namun kajian ini membuktikan sebaliknya. Isu maklumat teknikal dan saintifik masih terus berkaitan sehingga kini dibuktikan dengan kajian oleh Ruenwai pada tahun 2006. Sektor perpustakaan pula terus menjadi isu polisi maklumat yang penting sejak kajian Lamberton pada tahun 1974 hingga kini Arnold 2007; Bustamante 2007; Kamar 2006; Pajaro Betancourt 2007. Kajian ini turut mendapati isu berkaitan maklumat bertambah selari dengan perkembangan teknologi dan perubahan sistem sosial dunia. Antara isu terkini ialah polisi maklumat yang berfungsi menangani isu masyarakat maklumat dikesan mula dikemukakan oleh pengkaji lampau mulai tahun 1990-an selari dengan pengenalan teknologi maklumat kepada masyarat Moore 2005. Kajian ini berjaya mengesan 91 isu yang lazimnya menjadi asas kepada pembangunan polisi maklumat seperti yang dikemukakan dalam Jadual 2.1. Kajian ini dijangka memberi kesan kepada pihak yang terlibat dalam membangun polisi maklumat. Kajian menunjukkan polisi maklumat yang hanya memberi penekanan kepada isu tertentu seperti ICT, hak harta intelek dan Undang-Undang Siber. Polisi yang menjurus kepada isu tertentu dan tidak bersepadu dianggap sebagai pincang dan memberi kesan kepada hala tuju komunikasi dan maklumat negara. Justeru, adalah tidak wajar pembuat polisi hanya memberi tumpuan kepada isu tertentu seperti teknologi maklumat kerana polisi maklumat mencakupi aspek yang luas meliputi sosial, ekonomi, politik dan teknologi. Kajian ini dijangka dapat mewujudkan kesedaran kepada pembuat polisi serta mengiktiraf isu yang sebelum ini dikesampingkan seperti isu perkhidmatan maklumat dan perpustakaan. Justeru, kajian ini dijangka dapat dijadikan panduan kepada pembuat polisi bagi membuka minda bahawa polisi maklumat tidak boleh dipersempit dan dipermudah. Kepelbagaian isu polisi maklumat dari pelbagai disiplin ilmu yang ditemui dalam ini serta perbahasan yang berterusan membuktikan kesarjanaan bidang polisi maklumat sedang berkembang dengan dinamik. Kajian ini selari dengan pandangan Wilkinson Nilsen 2010 yang meramalkan bahawa polisi maklumat berpotensi menjadi disiplin ilmu tersendiri dengan ciri unik sebagai bidang baru silang disiplin. ii. Sektor Utama Polisi Maklumat Isu polisi maklumat dalam kajian ini dapat dikelas kepada 6 sektor berdasarkan matlamat polisi maklumat dan sektor utama dalam negara. Sektor yang dicadangkan ialah sektor Maklumat Teknikal dan Saintifik, sektor Perpustakaan dan Perkhidmatan Maklumat, sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi ICT, sektor Sosial, sektor Maklumat Kerajaan dan sektor ekonomi. Pengkelasan ini selari dengan definisi polisi maklumat sebagai satu garis panduan dalam menjamin capaian maklumat sejagat untuk menjalankan semua aktiviti sosial, ekonomi dan politik, bagi membantu mencapai pembangunan negara seperti cadangan Pajaro Betancourt 2007a. Kajian ini membuktikan bahawa kerja asas seperti penentuan isu polisi maklumat dan pengkelasannya kepada beberapa sektor khusus adalah penting sesuai dengan bidang polisi maklumat yang masih belum matang Arnold 2007; Duff 2004. Pengkelasan isu polisi maklumat ini adalah berdasarkan kepada objektif dan matlamat polisi maklumat yang menyeluruh dengan mengambil kira bidang polisi maklumat yang bersifat silang disiplin. Pengkelasan seumpama ini belum dilakukan oleh penyelidik lampau walaupun pengkelasan isu polisi maklumat telah dilakukan sejak 1974 lagi. Seperti penjelasan dalam Bab 2 perenggan 2.5. g kajian ini tidak menganggap pendidikan ICT sebagai satu sektor polisi maklumat yang tersendiri. Sebaliknya, kajian ini menganggap pendidikan ICT merupakan keperluan asas kepada semua sektor polisi maklumat iaitu menyediakan semua lapisan masyarakat dengan kemahiran asas ICT bagi tujuan mengguna dan memanipulasi maklumat dengan baik. Walaupun pengkelasan dalam kajian ini dianggap menyeluruh dan bersepadu, namun pengkelasan ini masih terbuka untuk perbahasan kerana pada masa ini tidak ada satu panduan mutlak yang boleh dijadikan panduan bagi pembangunan model polisi maklumat. Kajian ini mendapati sektor polisi maklumat seperti yang dikemukakan oleh pengkaji lampau tidak berubah dengan ketara tetapi apa yang berlaku adalah pertambahan isu yang dikaitkan dengan sektor tertentu. Ini jelas dalam sektor sosial. Polisi maklumat dalam sektor sosial berfungsi untuk menyelia dan menggalak perkembangan sosial. Polisi maklumat dalam sektor sosial terus dibahas oleh pengkaji terkemudian seperti Moore 2005, Jaeger 2007, Arnold 2007, Kargbo 2007 dan Pajaro Betancourt 2007b. Manakala, isu yang dikemukakan oleh Cawkell pada tahun 1982 iaitu kebersendirin, keselamatan dan kebebasan masih kekal relevan. Peredaran masa membawa bersama pertambahan isu baharu yang perlu diambilkira dalam pembentukan polisi maklumat khususnya isu seperti capaian sejagat, perlindungan harta intelek dan kerahsiaan seperti yang dikemukakan oleh Pajaro Betancourt 2007b. Kajian ini berjaya mengenal pasti beberapa sektor baharu yang berpotensi menjadi sebahagian daripada polisi maklumat seperti sektor pertanian, pelancongan, antarabangsa, kesihatan dan keselamatan negara seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 3.12. Sektor ini wajar diambil perhatian apabila menggubal polisi maklumat pada masa hadapan. Sektor yang dicadangkan dalam kajian ini seterusnya disepadukan dengan menghubung kait semua sektor yang dikenal pasti bagi membentuk suatu model yang dapat mengambarkan bidang polisi maklumat secara menyeluruh. Polisi maklumat yang bersepadu dan menyeluruh adalah penting dan dijangka dapat meningkatkan keberkesanan amalan polisi maklumat sesebuah negara. iii. Model Polisi Maklumat Bidang polisi maklumat memerlukan satu model yang bersepadu dengan menghubung kait sektor yang terpisah-pisah sesuai dengan ciri polisi maklumat yang bersifat silang disiplin. Model lampau tidak dapat mengisi lompang dalam polisi maklumat seperti yang dikenal pasti dalam Bab 2 perenggan 2.4., 2.5., 2.6.1. dan 2.6.2.. Setiap model hanya menyelesaikan masalah tertentu sahaja. Model Porat 1977, Moore 1993, The Library Association 2002 dan Case 2010 hanya menyelesai masalah pengkelasan isu polisi maklumat, manakala model Dae 1996 dan model UNESCO 2009 hanya menyelesai masalah pembangunan polisi maklumat. Model polisi maklumat lampau juga gagal mengemukakan satu model yang boleh diguna pada peringkat teori dan amalan secara serentak. Model Moore 1993 dan Rowlands 1999 misalnya hanya oleh diaplikasi pada peringkat teori manakala model Moore 2005 dan Bustamante 2007 pula relevan pada peringkat amalan. Manakala model Moore 2005 dan Bustamante 2007 boleh diguna bagi menganalisis polisi maklumat. Model polisi maklumat kajian ini bersifat bersepadu kerana berjaya menunjukkan perkembangan dan interaksi antara sektor polisi maklumat. Model kajian ini juga menyenaraikan isu ke dalam beberapa sektor polisi maklumat bagi membuktikan polisi maklumat adalah bidang bersilang disiplin. Selain itu model kajian ini juga berbeza daripada model terdahulu kerana dapat menunjukkan bagaimana bidang polisi maklumat berkembang kepada sektor lain yang berpotensi menjadi sebahagian daripada bidang polisi maklumat seperti ditunjuk dalam Rajah 3.12. Model kajian ini berbeza daripada model terdahulu kerana model ini dapat digunakan secara teori dan amalan. Pada peringkat teori, model kajian ini boleh diguna bagi memahami batas, isu dan skop polisi maklumat. Disamping itu, model kajian ini dijangka dapat diguna sebagai alat bagi menerangkan bidang polisi maklumat secara menyeluruh dan menunjukkan bagaimana sektor polisi maklumat berhubung antara satu dengan yang lain. Model hasil daripada kajian ini adalah seperti ditunjukkan dalam Rajah 3.11. Pada peringkat amalan, model kajian ini dijangka dapat diguna sebagai kerangka bagi menganalisis situasi semasa polisi maklumat bagi sesebuah negara. Selain itu, model ini juga dijangka dapat memandu pembangunan dan badan koordinasi polisi maklumat peringkat kebangsaan dari terlepas pandang sebarang sektor penting dalam polisi maklumat. Selain itu, sektor polisi maklumat dijangka membantu dalam menentu agensi kerajaan atau organisasi swasta yang bertanggungjawab menanganinya. Model kajian ini berjaya mengatasi kelemahan dalam model sedia ada seperti yang dibincang dalam Bab 3 Perenggan 3.3.

6.2.2 Rumusan Kajian Terhadap Amalan Polisi Maklumat di Malaysia

a Polisi maklumat di Malaysia Seperti yang dijelaskan dalam Bab 2 perenggan 2.1, penyelidik lampau berbeza pandangan tentang dengan status polisi maklumat di Malaysia. Sebahagiannya mendakwa Malaysia mempunyai polisi maklumat yang menyeluruh Ruzaini 1996; Xue 2005 manakala sebahagian lagi berpandangan sebaliknya Arnold 2002b; Moore 2005. Walaupun Ruzaini 1996 mendakwa Wawasan 2020 adalah asas kepada pembangunan polisi maklumat, namun sebilangan sarjana menyatakan polisi perlu melangkaui penyataan tentang masa depan yang diingini semata-mata, sebaliknya melangkaui preskripsi metod bagi masalah yang dikenal pasti sebelumnya Arnold 2007. Justeru, kajian ini berpandangan Wawasan 2020 adalah dasar umum pembangunan negara yang pencapaiannya mesti disokong oleh dasar khusus terutamanya polisi maklumat kebangsaan. Penyata Rasmi Parlimen tidak menunjukkan sebarang penyata khusus berkaitan polisi maklumat Malaysia sekali gus gagal membuktikan wujudnya perbahasan polisi maklumat yang menyeluruh pernah berlaku dalam kedua-dua, Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Analisis temu bual pula mendapati tidak wujud persefahaman tentang polisi utama berkaitan maklumat di Malaysia. Sebahagian daripada responden berpandangan MSC dan NITA adalah dua polisi penting berkaitan maklumat. Sebahagian responden juga mendakwa Malaysia tidak mempunyai dokumen rasmi yang boleh dirujuk sebagai polisi maklumat namun komponennya wujud tetapi secara berasingan. Penyata Rasmi Parlimen turut tidak merujuk MSC dan NITA sebagai polisi maklumat yang khusus. Namun apabila merujuk kepada susastera berdasarkan kepada skop dan matlamat polisi maklumat, Malaysia mempunyai polisi yang boleh dikaitkan secara langsung dengan maklumat. Bagi menjawab persoalan kajian pada perenggan 6.2, kajian ini menyimpulkan tidak wujud sebarang dokumen rasmi yang boleh dirujuk sebagai polisi maklumat kebangsaan. Namun, polisi maklumat Malaysia wujud dalam bentuk program dengan MSC dan NITA boleh dianggap sebagai polisi maklumat utama manakala Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 AKM1998 dianggap sebagai kerangka perundangan yang menyelia berkaitan maklumat. b Bentuk polisi maklumat Malaysia Polisi maklumat Malaysia wujud dalam bentuk yang umum dengan anggapan NITA, MCS dan AKM adalah polisi maklumat utama. Walaupun berbentuk umum namun polisi tersebut didapati melangkaui skop infrastruktur maklumat. NITA dibangun dengan matlamat pembangunan sosial manakala MSC dengan matlamat pembangunan teknologi maklumat dan ekonomi. Kajian ini turut mendapati Malaysia mempunyai badan penyelia dan penguatkuasa berkaitan maklumat yang baik iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dibawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia SKMM. Selain daripada tiga polisi maklumat yang utama, Malaysia mempunyai polisi maklumat yang lain terutamanya berkaitan dengan perpustakaan, maklumat saintifik dan teknikal dan maklumat kerajaan tetapi wujud dalam bentuk yang terpisah-pisah. Polisi ini ditangani secara berasingan dibuktikan dengan bilangan jawatankuasa yang berbagai seperti Jawatankuasa Pelaksana MSC, Jawatankuasa Kabinet berkaitan Jalur Lebar dan Majlis IT Kebangsaan NITC. Dapat disimpulkan bahawa polisi maklumat di Malaysia adalah dalam bentuk yang terpisah-pisah. Walaupun mempunyai badan penyelaras IT pada peringkat kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, namun NITC perlu memain peranan yang berkesan. Justeru, NITC wajar mempunyai sekretariat tetap di bawah kementerian tertentu dan bidang kuasa yang jelas bagi menjamin koordinasi dapat dilaksana dengan cekap dan berkesan. Keahlian NITC juga hendaklah menyeluruh meliputi pihak berkepentingan dari kerajaan, awam dan swasta. Selain itu, NITC perlu mengembangkan skopnya kepada kandungan maklumat kebangsaan. Untuk itu, sektor perpustakaan di Malaysia perlu dilantik sebagai anggota NITC. c Masalah yang dikaitkan dengan polisi maklumat di Malaysia Bagi membangun polisi maklumat yang dapat mencapai matlamat yang berbagai seperti yang dikemukakan dalam Bab 2 perenggan 2.3.4, penggubal polisi perlu melihat masalah yang dihadapi khususnya dari sudut pandangan penggubal dan pelaksana polisi pada masa lampau. Masalah yang dikaitkan dengan polisi maklumat Malaysia berdasarkan penemuan dari dokumen sumber cetak dan data sumber temu bual adalah seperti berikut:

i. Masalah Hasil Temuan Sumber Cetak