SUMBANGAN KAJIAN Bab 6 - Rumusan & Penutup

kakitangan kerajaan. Perkara ini tidak sewajarnya terjadi kerana sebagai agen pelaksana dasar, kakitangan kerajaan hendaklah menjiwai NITA dan MSC dengan sepenuhnya. Masalah tidak menghayati dan memahami dasar kerajaan mencetus masalah lain iaitu mengakibatkan sistem maklumat kerajaan yang tidak cekap dan gagal memberi maklumat yang tepat dan berkesan kepada rakyat. Selain daripada itu sistem dan kurikulum pendidikan ICT yang tidak menyokong industri kandungan turut disentuh. Kurikulum pendidikan kebangsaan didakwa tidak memberi tumpuan kepada komponen kreativiti bagi melahir pelajar dan graduan yang mempunyai keupayaan inovasi. Perpustakaan pula yang tidak berada dalam aliran utama serta tidak berperanan dalam penggubalan dan pelaksanaan polisi maklumat di Malaysia. Hal ini mengakibatkan kandungan tempatan tersisih dan hanya memfokus serta cenderung kepada aspek teknologi berkaitan maklumat sahaja. Bidang perpustakaan yang tidak berada dalam aliran utama didakwa menjadi punca kegagalan penyediaan perkhidmatan maklumat yang baik kepada masyarakat.

6.3 SUMBANGAN KAJIAN

Sumbangan kajian kualitatif boleh terdapat dalam bentuk yang berbagai seperti perkaitan atau sumbangan kepada badan pengetahuan serta sumbangan pada kesahan kajian. Sumbangan kajian penilaian juga bergantung kepada penggunaan terus hasil penemuan kajian tersebut. Sebagai contoh, kajian Arnold 2007 didapati menyumbang kepada teori dengan menentukan skop polisi maklumat dan menjelaskan perkembangan polisi maklumat antarabangsa. Sumbangan kajian ini dibahagi kepada dua bahagian seperti berikut:

6.3.1 Sumbangan Dari Sudut Teori

i. Secara teori, polisi maklumat masih belum matang. Isu yang mendasari pembentukan polisi maklumat masih tidak disepakati. Kajian ini menyumbang kepada proses mematangkan bidang polisi maklumat dengan mengemuka senarai isu yang berkaitan dengan polisi maklumat berdasarkan kajian silang disiplin. ii. Kajian ini juga menyumbang kepada satu lagi teori berkaitan pengkelasan isu polisi maklumat iaitu berdasarkan matlamat dan sektor maklumat utama dalam negara. iii. Kajian ini menyumbang satu lagi kaedah bagi analisis situasi polisi maklumat berdasarkan kepada model bersepadu polisi maklumat cadangan penyelidik. iv. Model bersepadu polisi maklumat yang dicadangkan oleh kajian ini dapat menyumbang kepada kefahaman bagaimana isu polisi maklumat dan sistemnya berkembang dan berubah sesuai dengan keadaan dan keperluan semasa.

6.3.2 Sumbangan Dari Sudut Amalan

i. Polisi maklumat didapati diamal secara terpisah-pisah. Berdasarkan pengkelasan yang dicadangkan, kajian ini mengemukakan model polisi maklumat sepadu bagi mengatasi amalan polisi maklumat yang terpisah-pisah dan mengatasi masalah seperti pertindanan skop tanggungjawab dan pembahagian tugas. ii. Kajian ini mengemukakan status polisi maklumat terkini di Malaysia, termasuk masalah yang dihadapi. Kajian seumpama ini penting agar penggubalan polisi pada masa akan datang adalah berdasarkan realiti dan masalah polisi maklumat sedia ada. iii. Kajian ini menyenarai isu dan masalah yang boleh dijalankan secara terperinci dalam kajian pada masa depan. Kajian terperinci setiap sektor polisi maklumat yang dikemuka kajian ini boleh membantu membangun bidang polisi maklumat yang matang khususnya di Malaysia. iv. Kajian ini mengemukakan model bersepadu polisi maklumat yang boleh diguna oleh kerajaan sebagai satu garis panduan memahami dan melaksana polisi maklumat yang berbilang sektor. Natijahnya kerajaan dijangka dapat menyediakan sumber maklumat yang menyeluruh, berkesan dan cekap di Malaysia. v. Kajian ini juga membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pembangun polisi maklumat bagi mengiktiraf profesional sains maklumat dan perpustakaan tentang kepentingan penyertaan mereka khususnya dalam bidang pembangunan kandungan.

6.4 IMPLIKASI KAJIAN