Masalah Hasil Temuan Sumber Cetak

Komunikasi dan Multimedia 1998 dibawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia SKMM. Selain daripada tiga polisi maklumat yang utama, Malaysia mempunyai polisi maklumat yang lain terutamanya berkaitan dengan perpustakaan, maklumat saintifik dan teknikal dan maklumat kerajaan tetapi wujud dalam bentuk yang terpisah-pisah. Polisi ini ditangani secara berasingan dibuktikan dengan bilangan jawatankuasa yang berbagai seperti Jawatankuasa Pelaksana MSC, Jawatankuasa Kabinet berkaitan Jalur Lebar dan Majlis IT Kebangsaan NITC. Dapat disimpulkan bahawa polisi maklumat di Malaysia adalah dalam bentuk yang terpisah-pisah. Walaupun mempunyai badan penyelaras IT pada peringkat kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, namun NITC perlu memain peranan yang berkesan. Justeru, NITC wajar mempunyai sekretariat tetap di bawah kementerian tertentu dan bidang kuasa yang jelas bagi menjamin koordinasi dapat dilaksana dengan cekap dan berkesan. Keahlian NITC juga hendaklah menyeluruh meliputi pihak berkepentingan dari kerajaan, awam dan swasta. Selain itu, NITC perlu mengembangkan skopnya kepada kandungan maklumat kebangsaan. Untuk itu, sektor perpustakaan di Malaysia perlu dilantik sebagai anggota NITC. c Masalah yang dikaitkan dengan polisi maklumat di Malaysia Bagi membangun polisi maklumat yang dapat mencapai matlamat yang berbagai seperti yang dikemukakan dalam Bab 2 perenggan 2.3.4, penggubal polisi perlu melihat masalah yang dihadapi khususnya dari sudut pandangan penggubal dan pelaksana polisi pada masa lampau. Masalah yang dikaitkan dengan polisi maklumat Malaysia berdasarkan penemuan dari dokumen sumber cetak dan data sumber temu bual adalah seperti berikut:

i. Masalah Hasil Temuan Sumber Cetak

Kajian ini mendapati polisi berkaitan maklumat teknikal dan saintifik di Malaysia wujud secara berasingan dan tidak dikaitkan dengan sektor lain terutamanya sosial dan perpustakaan. Polisi berkaitan maklumat teknikal dan saintifik juga tidak menunjukkan bahawa sektor ini berkembang kepada sektor lain seperti sains sosial. Sektor perpustakaan pula didapati tidak berfungsi sebagai pembangun polisi maklumat malah tidak terlibat dalam badan penyelaras IT kebangsaan, NITC. Isu perpustakaan masih berlegar sekitar penyediaan keperluan infrastruktur maklumat sahaja. Perbahasan tentang kepentingan dan peranan perpustakaan sebagai sumber dan penyedia maklumat bagi pembangunan ekonomi dan sosial adalah tidak ketara di Malaysia. Perbahasan ICT didapati berkisar tentang penyediaan infrastruktur menyeluruh kepada rakyat dan aspek teknikal yang lain seperti piawaian ICT dan sebagainya. Kajian ini mendapati perbahasan Parlimen gagal mengaitkan isu infrastruktur dengan infostruktur. Hal ini menjadikan isu kandungan ditangani secara berasingan dengan ICT seterusnya menyebabkan infostruktur menjadi isu yang terabai. Kajian ini mendapati berlaku perbahasan berkenaan ‘masyarakat bermaklumat’ dan kaitannya dengan ICT dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Berkaitan dengan itu, kerajaan menyedari bahawa bagi membangun masyarakat bermaklumat, kerajaan perlu mengatasi beberapa halangan seperti kadar celik komputer yang rendah. Kerajaan juga berusaha dengan serius melalui program seperti Program Internet Desa, Infodesa dan program Pemberian Perkhidmatan Sejagat USP bagi menangani jurang digital. Bagi sektor maklumat kerajaan, kajian mendapati kerajaan tidak menyedia keperluan maklumat kepada rakyat secara menyeluruh. Antara perbahasan dan masalah berkaitan maklumat kerajaan adalah maklumat yang tidak terkini dalam portal kerajaan, pautan kepada bukan maklumat yang sepatutnya dan maklumat tidak mencukupi sering disuarakan. Hal ini menimbulkan persoalan tentang keseriusan kerajaan yang menganggap maklumat awam adalah sumber penting kepada kemajuan negara. Dalam pada itu, kerajaan Malaysia didapati mempunyai perancangan yang baik, terperinci dan menyeluruh terutamanya dalam agenda mengubah ekonomi sedia ada kepada sistem ekonomi yang berasaskan maklumat. Namun begitu beberapa isu seperti keperluan menyedia sumber manusia yang kreatif dan inovatif, masalah pengaliran keluar pekerja berpengetahuan tinggi, dan usaha menarik warga negara Malaysia yang berada di luar negara perlu dilaksana dengan serius melalui program dan agenda kerajaan yang berkesan. Selain itu rancangan dan inisiatif kerajaan berkaitan ekonomi berasaskan maklumat perlu dijelas dan difahami oleh semua lapisan masyarakat. Dalam sektor pendidikan ICT pula, isu berhubung dengan pendidikan ICT masih dikaitkan dengan infrastruktur asas seperti masalah bekalan tenaga elektrik terutama di Sabah dan Sarawak. Masalah lain adalah kekurangan infrastruktur komputer dan tenaga pakar bagi menyelia infrastruktur tersebut. Selain itu, kajian ini mendapati program celik komputer di sekolah tidak mempunyai kesinambungan di antara satu program dengan satu program yang lain terutamanya program yang sedia ada. Sebagai contoh, penubuhan kelab komputer dan komputer yang diderma ditinggal apabila satu program baharu diperkenal. ii. Masalah Polisi Maklumat Hasil Dari Temu bual Temu bual menemui beberapa persoalan penting berkaitan polisi maklumat di Malaysia. Antaranya NITC tidak berperanan dengan sewajarnya sebagai sebuah badan koordinasi peringkat kebangsaan di Malaysia. Kerajaan turut digesa melibatkan pihak berkepentingan yang menyeluruh dari dalam negara sewaktu penggubalan polisi. Ini kerana polisi penting seperti MSC dan AKM1998 adalah berdasarkan konsultasi dari pihak luar Malaysia tanpa melibatkan pihak berkepentingan dalam negara. Selain daripada itu kewajaran memisahkan komponen ICT dengan komunikasi turut dipersoal kerana dilihat sebagai suatu keputusan kebelakang dan tidak memberi untung. Hal ini menguatkan hujah tentang dasar Atas-Bawah yang diamal oleh kerajaan dan dianggap sebagai tidak membantu dalam mencapai agenda membentuk Malaysia sebagai negara ekonomi berasaskan maklumat. Tambahan pula Agenda IT Kebangsaan NITA dan MSC dilihat sebagai tidak dihayati oleh sebahagian kakitangan kerajaan. Perkara ini tidak sewajarnya terjadi kerana sebagai agen pelaksana dasar, kakitangan kerajaan hendaklah menjiwai NITA dan MSC dengan sepenuhnya. Masalah tidak menghayati dan memahami dasar kerajaan mencetus masalah lain iaitu mengakibatkan sistem maklumat kerajaan yang tidak cekap dan gagal memberi maklumat yang tepat dan berkesan kepada rakyat. Selain daripada itu sistem dan kurikulum pendidikan ICT yang tidak menyokong industri kandungan turut disentuh. Kurikulum pendidikan kebangsaan didakwa tidak memberi tumpuan kepada komponen kreativiti bagi melahir pelajar dan graduan yang mempunyai keupayaan inovasi. Perpustakaan pula yang tidak berada dalam aliran utama serta tidak berperanan dalam penggubalan dan pelaksanaan polisi maklumat di Malaysia. Hal ini mengakibatkan kandungan tempatan tersisih dan hanya memfokus serta cenderung kepada aspek teknologi berkaitan maklumat sahaja. Bidang perpustakaan yang tidak berada dalam aliran utama didakwa menjadi punca kegagalan penyediaan perkhidmatan maklumat yang baik kepada masyarakat.

6.3 SUMBANGAN KAJIAN