IMPLIKASI KAJIAN Bab 6 - Rumusan & Penutup

menyediakan sumber maklumat yang menyeluruh, berkesan dan cekap di Malaysia. v. Kajian ini juga membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pembangun polisi maklumat bagi mengiktiraf profesional sains maklumat dan perpustakaan tentang kepentingan penyertaan mereka khususnya dalam bidang pembangunan kandungan.

6.4 IMPLIKASI KAJIAN

Dari aspek teori, polisi maklumat adalah satu bidang yang baharu. Walaupun peranan dan sumbangan disiplin sains maklumat terhadap perkembangan bidang polisi maklumat diakui, namun para pengkaji cenderung untuk menganggap polisi maklumat sebagai bidang yang bersifat silang disiplin. Model polisi maklumat yang dicadangkan dalam kajian ini membuktikan bahawa kepelbagaian dalam bidang polisi maklumat boleh disatukan dan dapat dilihat sebagai satu cabang ilmu yang berpotensi menjadi satu disiplin ilmu yang tersendiri. Berdasarkan model yang dicadangkan oleh kajian ini, beberapa implikasi terhadap dasar kerajaan dijangka boleh berlaku. Antara dasar yang boleh terkesan ialah dasar pelajaran kebangsaan. Jika sebelum tahun 1996, iaitu tahun sebelum MSC diperkenal, polisi maklumat didominasi oleh bidang sains maklumat dan perpustakaan. Namun, dengan pengenalan MSC, polisi maklumat hanya dikaitkan dengan teknologi hingga badan penyelaras maklumat kebangsaan NITC tidak dianggotai oleh perpustakaan. Peranan perpustakaan perlu dikembalikan. Ini dilihat dapat memperkasa perpustakaan sebagaimana yang diamalkan oleh negara maju. Perpustakaan mempunyai peranan yang signifikan kerana organisasi tersebut mempunyai kepakaran dalam hal ehwal pengurusan maklumat yang sepatutnya menjadi teras kepada polisi maklumat. Justeru, penjenamaan semula polisi maklumat dengan mengambil kedua-dua aspek teknikal dan kandungan perlu dilakukan. Selaras dengan perkembangan ini, satu bidang baharu wajar dipertimbangkan pada pengajian peringkat universiti. Berpandukan kepada model cadangan kajian ini, kurikulum yang merentas disiplin teknikal dan kandungan wajar ditawarkan di pusat pengajian tinggi. Kurikulum seperti ini dijangka dapat melahirkan graduan yang bukan hanya mahir dengan ilmu teknikal tetapi turut mempunyai kesedaran tentang keperluan membangun kandungan maklumat tempatan. Dari aspek amalan, polisi maklumat dikaitkan dengan masalah pembuatan yang terpisah-pisah dan pelaksanan polisi secara berasingan. Model polisi maklumat bersepadu seperti yang dicadangkan oleh kajian ini menunjukkan perkaitan dan hubungan di antara satu sektor maklumat dengan satu sektor maklumat yang lain. Model bersepadu kajian ini membuktikan maklumat merupakan keperluan semua peringkat lapisan masyarakat diperkukuhkan lagi dengan hujah tentang kepelbagaian matlamat polisi maklumat seperti yang dibincangkan dalam Bab 2 perenggan 2.3.4. Model bersepadu kajian ini menguatkan kewajaran bagi mewujudkan satu kementerian khusus yang bertanggungjawab terhadap maklumat negara khususnya polisi tentang perancangan, penciptaan, penyelenggaraan, penggunaan, capaian, penyebaran, perkongsian, perlindungan dan pelupusan maklumat menggunakan teknologi terkini. Badan penyelaras tanpa kuasa yang khusus seperti NITC jelas gagal memainkan peranannya seperti yang diakui oleh responden. Kajian ini turut memberi implikasi dalam penggubalan dan pelaksanaan polisi maklumat pada masa hadapan. Pembangunan polisi maklumat lampau khususnya MSC dan Akta Komunikasi dan Multimedia adalah diadaptasi dari perunding luar negara seperti yang dijelaskan dalam Bab 5 perenggan 5.3.3 5.3.4. Pandangan dari rakyat tidak diambil kira dalam penggubalan polisi tersebut. Kerajaan disaran untuk menukar pendekatan polisi atas bawah yang hanya menitikberatkan pandangan perunding dari luar sahaja, sebaliknya hendaklah mengambil kira pandangan rakyat dalam menggubal polisi maklumat selaras dengan cadangan Saxby 2011. Keterbukaan dan capaian rakyat kepada maklumat kerajaan adalah penting. Kerajaan disaran untuk menyedia maklumat yang lengkap dan tepat melalui portal dan laman sesawang rasmi. Jika perkara ini diambil kira oleh pelaksana polisi maklumat, hal ini dijangka dapat mengubah dasar kerajaan kepada bersikap terbuka terhadap capaian maklumat kerajaan kecuali bagi maklumat yang boleh mengancam keselamatan negara. Capaian kepada maklumat kerajaan yang mencukupi pada ketika diperlukan boleh membantu rakyat dan organisasi membuat keputusan yang tepat selaras dengan tuntutan ekonomi yang berasaskan pengetahuan. Keadaan ini dapat membantu pembentukan masyarakat bermaklumat dan perkembangan ekonomi negara yang baik.

6.5 ULASAN PENCAPAIAN OBJEKTIF KAJIAN DAN KESESUAIAN