ULASAN PENCAPAIAN OBJEKTIF KAJIAN DAN KESESUAIAN KELEMAHAN KAJIAN

selaras dengan tuntutan ekonomi yang berasaskan pengetahuan. Keadaan ini dapat membantu pembentukan masyarakat bermaklumat dan perkembangan ekonomi negara yang baik.

6.5 ULASAN PENCAPAIAN OBJEKTIF KAJIAN DAN KESESUAIAN

KAEDAH KAJIAN Penjelasan perenggan 6.2.1. di atas menunjukkan kajian ini berjaya mencapai objektif kajian yang ditetapkan dalam Bab 1 perenggan 1.4 iaitu mengenalpasti isu yang mendasari polisi maklumat, mencadangkan sektor polisi maklumat yang bersesuaian, menentukan interaksi dan hubungkait antara sektor polisi maklumat bagi membentuk satu model polisi maklumat yang bersepadu, menganalisis polisi maklumat sedia ada di Malaysia mengguna model yang dicadangkan oleh kajian, mengenal pasti masalah yang wujud dalam bidang polisi maklumat. Model cadangan kajian ini seterusnya diguna bagi mencapai objektif menentukan status polisi maklumat di Malaysia seperti penjelasan dalam perenggan 6.2.2. Reka bentuk kajian kualitatif didapati sesuai bagi disiplin ilmu yang belum matang seperti bidang polisi maklumat berikutan kekurangan teori dan data empirikal seperti penjelasan dalam perenggan 4.2.3. Strategi kajian iaitu kajian kes Malaysia didapati sesuai berikutan usia kemerdekaan negara yang masih dianggap baru. Penggunaan kajian kes menyebabkan pemeriksaan teliti dapat dilakukan dan menghasilkan pemahaman yang jelas berkaitan polisi maklumat di Malaysia. Teknik kajian iaitu analisis dokumen dan temu bual didapati sesuai bagi kajian ini. Analisis kandungan dokumen sesuai terutama bagi keadaan persekitaran yang sukar diakses oleh orang awam seperti persidangan parlimen. Temu bual terbuka dengan responden yang terlibat secara langsung dalam pengubalan dan pelaksanaan polisi maklumat pula sesuai bagi mengenal pasti dan menyelidik keadaan sebenar polisi maklumat di Malaysia. Walaupun sukar mencari masa yang sesuai bagi mengadakan sesi temubual, namun terbukti berjaya menghasilkan temuan yang unik dan tidak terjangka.

6.6 KELEMAHAN KAJIAN

Kajian ini hanya menyingkap beberapa aspek dari segi teori dan amalan polisi maklumat. Dari segi teori, kajian ini mengenal pasti senarai isu polisi maklumat berdasarkan bahan susastera, mengkelas semua isu tersebut kepada enam sektor dan menghubung kait semua sektor tersebut bagi membentuk model polisi maklumat yang bersepadu. Sementara itu, dari segi amalan, dua isu utama dikenal pasti iaitu polisi maklumat yang terpisah-pisah dan keperluan kepada model polisi maklumat yang bersepadu. Oleh itu, terdapat beberapa batasan tertentu dalam kajian ini yang boleh diperbaiki untuk kajian masa hadapan. Batasan ketara kajian ini adalah berkaitan dengan kaedah kajian khususnya teknik temubual. Responden temubual kajian ini adalah seramai empat orang yang terdiri dari dua orang responden yang telah bersara dari jawatan dan dua orang yang masih dalam perkhidmatan. Walaupun kajian ini menepati panduan Patton 2002 dan Connaway Powell 2010 yang menjelaskan bilangan responden yang ditemu bual bukan menjadi isu dalam kajian kualitatif dan mengikut saranan Rabina 2001 agar memilih responden yang dapat memberi maklumat melebihi dari apa yang boleh didapati dari dokumen sumber cetak. Namun, kajian ini menyarankan agar kajian pada masa hadapan memilih responden yang dapat memberikan maklumat khusus bagi setiap sektor polisi maklumat iaitu Maklumat Teknikal dan Saintifik, Perpustakaan, ICT, Sosial, Kerajaan dan Ekonomi. Bilangan responden juga boleh ditambah dengan mengambil responden seimbang antara yang telah bersara dan yang masih dalam perkhidmatan. Hal ini dapat mengimbangi kesahihan dan ketelusan maklumat yang dikemukakan oleh responden kerana kajian ini mendapati responden yang masih berada dalam jawatan bersikap berhati-hati dengan setiap jawapan yang diberikan. Kajian turut mendapati responden yang masih berkhidmat cenderung untuk menyokong langkah dan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan berbanding dengan reponden yang telah bersara yang bersifat kritis dan terbuka.

6.7 CADANGAN KAJIAN MASA AKAN DATANG